Kepintaran buatan (Artificial Intelligence atau AI) adalah satu cabang sains komputer yang bertujuan untuk mencipta mesin pintar bagi meniru kelakuan manusia dan mampu untuk membuat keputusan. Rangkaian neural adalah salah satu subset daripada AI yang sangat berguna untuk tugas-tugas seperti pengecaman imej, penterjemahan bahasa, serta membuat unjuran nilai mata wang, saham, dan lain-lain aset kewangan.
Kelebihan Kepintaran Buatan Dalam Dagangan Online di Pasaran Kewangan
Terdapat beberapa cara untuk pedagang online mendapat faedah daripada penggunaan AI. Algoritma yang dikuasakan oleh AI mampu menganalisis set data yang besar dari pasaran kewangan, sumber-sumber berita, dan juga media-media sosial bagi mengenal pasti trend serta corak pergerakan. Maklumat-maklumat ini boleh membantu para pedagang membuat keputusan pelaburan yang lebih berhemah serta mengurangkan kadar risiko. Lebih-lebih lagi, sistem dagangan yang dikuasakan AI boleh menjalankan dagangan secara automatik dan melaksanakannya dengan lebih pantas berbanding manusia, membolehkan para pedagang memanfaatkan pergerakan pasaran pada masa sebenar. Hasilnya, pedagang-pedagang boleh menjimatkan masa mereka serta meningkatkan lagi kadar keuntungan dengan menggunakan alat dagangan berkuasa AI.
Robot Dagangan yang Menggunakan Kepintaran Buatan dan Rangkaian Neural
Seperti EA yang biasa, robot dagangan (Expert Advisor/EA) yang menggunakan AI dan juga rangkaian neural berfungsi berdasarkan pada aturan serta algoritma yang telah ditetapkan terlebih dahulu. Namun, ia juga boleh dilaras mengikut strategi berdasarkan kepada keadaan pasaran, menjadikannya lebih mudah untuk disesuaikan serta lebih berkesan berbanding sistem dagangan tradisional. Kelebihan lain apabila menggunakan EA termasuklah kemampuan untuk beroperasi secara 24/7, kadar ketepatan yang tinggi, dan kebolehan dalam meminimumkan kesalahan serta perasaan terburu-buru yang dilakukan oleh manusia biasa.
Sistem berasaskan AI boleh menganalisis trend pasaran serta mengenal pasti potensi risiko, membolehkan para pedagang mengubah strategi mereka mengikut kesesuaian. Sebagai contoh, jika sistem AI dapat mengesan pelaburan berisiko tinggi, ia boleh memaklumkan kepada pedagang supaya mengelak daripada membuat pelaburan atau mengurangkan jumlahnya.
Walau bagaimanapun, penting untuk ingat bahawa penggunaan AI dalam dagangan bukanlah sesuatu yang tiada cacat cela. Seperti strategi-strategi pelaburan yang lain, risiko masih tetap ada, dan prestasi alat dagangan berasaskan AI juga akan merosot jika keadaan yang tidak dijangka terjadi di pasaran atau berlakunya kesilapan teknikal, hal ini akan merumitkan dalam mengoptimumkan parameter EA untuk prestasi maksimum. Penting juga buat para pedagang supaya lebih berhati-hati serta menggunakan alatan-alatan ini setelah meneliti dan menganalisisnya sendiri untuk mendapatkan hasil yang optimum.
Masa Depan AI dan Dagangan Online
Selagi teknologi terus berkembang, penggunaan AI serta rangkaian neural dalam dagangan online dijangka akan meningkat. Sistem berasaskan AI ini boleh menganalisis data dalam jumlah yang besar dalam masa nyata, dan ia boleh mempelajari serta menyesuaikan data-data tersebut mengikut perubahan keadaan pasaran. Hasilnya, para pedagang boleh membuat keputusan yang lebih cepat dan tepat, seterusnya memperoleh hasil pelaburan yang lebih baik.
Sistem dagangan berasaskan AI mungkin akan menjadi lebih canggih pada masa hadapan, membenarkan pelaksanaan strategi pelaburan yang lebih rumit serta membina model ramalan. Disamping itu, platform berasaskan AI boleh menawarkan nasihat pelaburan yang lebih tertumpu, berdasarkan kepada toleransi risiko dan juga keutamaan seseorang pedagang. Namun, disebabkan penggunaan AI dan rangkaian neural menjadi semakin berleluasa dalam dagangan online, mungkin juga timbul kebimbangan mengenai kesannya terhadap tenaga kerja dalam industri kewangan. Sesetengah penganalisis menjangkakan AI mampu menggantikan pedagang manusia dalam situasi tertentu, lalu mengakibatkan kehilangan pekerjaan.
Selain itu, terdapat juga kebimbangan mengenai sistem berasaskan AI ini yang berpotensi untuk rosak atau digodam, sehingga mengakibatkan kerugian kepada para pedagang. Walaupun dengan semua keraguan ini, faedah yang diberikan oleh AI dalam dagangan online adalah jelas, dan ramai pedagang yang sudah pun menggunakan alatan dan platform berasaskan AI untuk memperluas kelebihan yang dimiliki mereka.
Kembali Kembali