Oktober 4, 2023

Dunia pelaburan moden tidak lagi hanya berkisarkan kepada dana tradisional dan akaun broker. Dengan kecanggihan teknologi komputer dan internet, kini telah wujud kaedah demokratik yang baru, membolehkan pelabur-pelabur novis menyertai pasaran kewangan dengan aktif. Dua cara seperti itu yang paling dikenali ramai adalah servis Copy Trading dan juga PAMM. Artikel ini akan mendekatkan diri anda dengan sejarah pembangunannya serta bagaimana teknologi telah menulis semula peraturan permainan dalam dunia kewangan. Anda akan ketahui bagaimana servis-servis ini berfungsi, apakah kelebihan dan kekurangannya, serta apakah langkah yang perlu diambil bagi mengurangkan risiko dan menambah jumlah keuntungan.

Asal Usul Copy Trading dan Servis PAMM

“Susur galur” jauh bagi Copy Trading dan Servis PAMM sebelum kemajuan internet serta penggunaan komputer secara berleluasa adalah dana pelaburan, dana lindung nilai, dan akaun broker terurus. Kaedah-kaedah tradisional ini melibatkan modal pelaburan diamanahkan kepada golongan pengurus dana profesional.

Dana Pelaburan dan Pelbagai Strategi. Dalam dana ini, modal biasanya dikumpul daripada pelbagai lapisan pelabur dan diuruskan oleh sepasukan profesional. Namun, akses kepada dana-dana ini biasanya terhad mengikut syarat-syarat jumlah pelaburan minimum serta dikawal selia oleh undang-undang, mengehadkan kebolehcapaian terhadap pelabur-pelabur biasa.

Akaun Broker Terurus. Dalam perkara ini, pelabur mengamanahkan modal mereka kepada pedagang atau broker profesional yang menguruskan portfolio. Ini adalah pendekatan yang lebih diperibadikan, namun juga memerlukan modal pelaburan yang besar dan seringkali hanya dapat disertai oleh pelanggan-pelanggan yang kaya-raya.

Dana Lindung Nilai. Dana ini juga memberi peluang untuk mengamanahkan pengurusan portfolio kepada golongan profesional, namun ia memerlukan jumlah pelaburan awal yang besar dan tidak begitu menawarkan ketelusan berkenaan strategi serta operasinya.

Pelaburan Sosial. Dalam sesetengah keadaan, pelabur akan berkumpul dalam kelab-kelab atau komuniti tidak rasmi bagi berkongsi strategi dan melabur bersama-sama. Namun, keadaan ini tidak memberikan tahap kebolehskalaan serta capaian yang dimiliki platform-platform Copy Trading dan Servis PAMM moden. Kemajuan teknologi dan internet telah menjadikan konsep ini lebih mudah dicapai, menggabungkan pasaran, dan membolehkan para pelabur dari setiap lapisan dan jumlah modal yang dimiliki untuk menyertai pasaran kewangan global.

Copy Trading vs PAMM: Platform Manakah Sesuai Untuk Anda?1

Apakah Maksud Copy Trading

Copy Trading adalah satu strategi dagangan berinovasi dalam pasaran kewangan yang membolehkan para pelabur menyalin dagangan pedagang-pedagang lebih berpengalaman dalam masa nyata. Kaedah ini mendapat sambutan baik dalam pasaran Forex, menawarkan pedagang baru jalan mudah bagi mengelak daripada membuat analisis pasaran yang rumit sendiri.

Konsep perkhidmatan ini mula membuat kemunculan pada awal tahun 2010 dalam memberi respon terhadap pertambahan permintaan bagi tempat pelaburan yang lebih mudah dicapai serta lebih demokrasi. Sebelum ini, para pelabur perlu bergantung sama ada kepada nasihat golongan profesional atau pengalaman sendiri, kedua-duanya memiliki risiko yang berkaitan.

Platform pertama yang menawarkan perkhidmatan seperti itu hanya memfokuskan kepada pasaran Forex namun mengembangkannya dari masa ke masa termasuklah saham, mata wang kripto, dan lain-lain instrumen kewangan. Kemajuan teknologi memainkan peranan penting dalam evolusi Copy Trading. Penambahbaikan dalam algoritma, aplikasi mudah alih, serta antara muka pengguna telah menjadikan bentuk pelaburan ini lebih mudah dan lebih efisien.

Sejak daripada itu, konsep Copy Trading menjadi semakin popular. Broker-broker dan platform khusus turut serta menjadi perintis dalam menawarkan perkhidmatan ini, melebarkan pasaran dan menjadikannya lebih bersaing. Pilihan instrumen dan strategi yang ada untuk disalin juga menjadi lebih banyak. Kini, perkhidmatan ini adalah antara kaedah pelaburan paling popular, terutama sekali dalam kalangan pelabur baru, dan terus menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran yang berubah.

Bagaimana ia dilakukan? Proses yang berlaku tidak begitu rumit. Seorang pelabur membuka akaun bersama broker, memilih pedagang berpengalaman dengan rekod dagangan yang cemerlang dan cara dagangan bersesuaian yang “dipamerkan” pada platform, dan selepas itu menetapkan parameter bagi menyalin aktiviti pedagang tersebut. Setelah pedagang yang menjadi pilihan (juga dikenali sebagai penyedia isyarat) membuka atau menutup posisi, dagangan sepadan disalin secara automatik dalam akaun pelabur. Penerima isyarat menerima imbuhan khas untuknya, dan lebih ramai pelabur yang melanggan isyaratnya, lebih tinggi imbuhan yang diterima.

Antara kelebihan yang ada pada servis ini adalah kebolehcapaian kerana ia tidak memerlukan pelaburan kewangan yang besar atau pemahaman mendalam terhadap pasaran atau menggunakan perkakas analisis rumit. Kelebihan lain termasuklah kebolehan untuk mendapatkan pulangan dengan memanfaatkan pengalaman golongan profesional. Paling penting, para pelabur boleh memilih pedagang yang memiliki pelbagai strategi dan tahap risiko. Namun, penting untuk mengingati bahawa kejayaan lampau penyedia isyarat tidak menjamin kejayaan pada masa hadapan. Jika pelabur tidak berpuas hati dengan keputusan yang diperoleh, mereka boleh berhenti melanggannya pada bila-bila masa.

Apakah Servis PAMM

Akaun PAMM (Percentage Allocation Management Module) adalah satu kaedah pelaburan yang membolehkan para pelabur mewakilkan pedagang profesiona bagi menguruskan dana mereka, mengurangkan keperluan untuk berdagang sendiri. Tidak seperti Copy Trading, pelabur tidak menyalin dagangan individu tetapi lebih kepada menyumbang modal mereka dalam akaun bersama yang diuruskan pedagang, juga dikenali sebagai pengurus PAMM. Pendekatan ini memudahkan perkongsian bermanfaat bersama antara para pelabur dan pengurus. Fungsi servis ini adalah untuk mengagihkan jumlah untung dan rugi secara berkadar dalam kalangan peserta berdasarkan modal yang disumbang. Pengurus PAMM biasanya menerima sebahagian daripada jumlah pulangan dalam bentuk komisen atas hasil usaha mereka.

Perlu diketahui bahawa konsep akaun PAMM adalah lebih awal berbanding Copy Trading dan meraih populariti pada tahun 2000-an. Sejarah servis ini bermula dengan pembangunan dagangan pasaran kewangan secara online. Walaupun konsep mengamanahkan modal kepada pihak ketiga untuk diuruskan telah lama wujud (dalam bentuk dana lindung nilai serta dana pelaburan), disebabkan kemajuan yang dicapai dalam dagangan online servis ini dapat dijalankan dalam keadaan yang lebih demokrasi dan mudah untuk dicapai.

Antara golongan yang biasanya dianggap perintis awal dalam menawarkan servis PAMM adalah syarikat-syarikat yang mengkhususkan dagangan Forex. Namun, mencari “perintis” tertentu adalah satu perkara yang mencabar kerana terdapat beberapa syarikat yang mula membuat eksperimen dalam format ini secara serentak. Setelah instrumen pelaburan berkembang, broker mula menawarkan penyelesaian yang lebih selamat dan canggih, termasuklah pelbagai algoritma bagi pengagihan untung dan rugi serta sistem rating bagi memilih pedagang pengurus.

Bagi merit untuk servis ini, ianya adalah hampir sama dengan kelebihan yang ada pada Copy Trading. Ini termasuklah pengurusan oleh profesional, tidak perlu kerap memantau akaun, serta keupayaan untuk menambah atau mengeluarkan dana. Namun, pelabur tidak boleh mempengaruhi keputusan dagangan yang diambil pengurus PAMM. Justeru, sama seperti Copy Trading, tiada jaminan untuk mendapat pulangan, namun wujudnya risiko pelaburan yang merugikan.

Cara Untuk Memilih Penyedia Isyarat dan Pengurus PAMM

Memilih seorang pedagang untuk menyalin dagangan atau menguruskan akaun pelaburan adalah satu langkah yang sama penting apabila mempertimbangkan kedua-dua servis ini. Sangat diketahui umum bahawa mana-mana aktiviti pasaran kewangan sering didatangi dengan risiko. Justeru, sangat penting untuk menjalankan analisis sendiri dan bersedia dengan potensi kerugian yang akan dialami. Kejayaan pelaburan anda sangat bergantung kepada strategi serta kecekapan pedagang yang dipilih. Di bawah ini terdapat beberapa kriteria yang perlu diambil kira dalam membuat pilihan:

Statistik dan Sejarah Pedagang. Biasakan diri anda dengan aktiviti-aktiviti yang pernah dilaksanakan pedagang sebelum ini. Lihat berapa lama mereka sudah beroperasi pada platform, teliti sejarah dagangan mereka, instrumen kewangan yang mereka gunakan, serta purata peratusan kejayaan mereka. Sila maklum juga dengan jumlah pelabur dan pengikut mereka.

Strategi dan Cara Dagangan. Pedagang mungkin menggunakan pelbagai strategi; sesetengah gemarkan cara agresif dengan tahap risiko yang tinggi, sementara yang lain pula mungkin mengambil pendekatan lebih konservatif. Pilih pedagang dengan strategi yang selari dengan matlamat pelaburan serta tahap toleransi risiko anda. Buat penilaian terhadap profil risiko pedagang. Beri perhatian khusus kepada leveraj yang digunakan dan kadar susut akaun; berapa kerap ia berlaku dan apakah jumlahnya. Hal ini akan memberi anda pemahaman lebih baik mengenai risiko transaksi pedagang itu dan tahap kemungkinan anda kehilangan modal dan bukan mendapat pulangan.

Kepelbagaian. Dinasihatkan agar tidak hanya menyalin dagangan daripada satu pedagang, tapi pelbagai sumber. Perkara sama, adalah tindakan kurang bijak untuk melabur kesemua dana anda di dalam satu akaun PAMM; lebih baik untuk mengagihkannya kepada beberapa pengurus menggunakan strategi serta instrumen dagangan berbeza. Ini akan membolehkan anda mengurangkan tahap risiko serta menambah peluang untuk mendapat untung.

Komisen dan Syarat. Pastikan anda memahami fi yang dikenakan bagi menyalin dagangan daripada pedagang tertentu atau semasa menyediakan servis sebagai pengurus PAMM. Kos perkhidmatan mampu memberi kesan besar terhadap keseluruhan jumlah pulangan.

Mana yang Lebih Baik: Copy Trading atau Servis PAMM?

Bolehkah data mengenai perbezaan jumlah pedagang yang memilih antara Copy Trading dan Servis PAMM diperolehi? Servis manakah yang memberikan lebih banyak pulangan atau tinggi risiko untuk mengalami kerugian? Persoalan-persoalan seperti ini seringkali diajukan. Pilihan antara Copy Trading dan Servis PAMM bergantung kepada pelbagai faktor, dan setiap satu daripadanya memiliki kelebihan serta kekurangan tersendiri. Pilihan pelabur adalah dipengaruhi oleh objektif pelaburan mereka, apa yang mereka gemari, tahap pengetahuan dan pengalaman, serta ketersediaan mereka dan juga struktur bayaran.

Copy Trading menawarkan pelaburan yang lebih fleksibel kerana para pelabur boleh memilih jenis dagangan serta jumlah dagangan yang akan disalin dengan sendiri. Disamping itu, keseluruhan dana deposit kekal berada dalam akaun peribadi pelabur di mana mereka boleh membuka posisi sendiri secara serentak. Namun, cara ini memerlukan penyertaan lebih aktif para pelabur dan pengalaman dagangan yang lebih banyak.

Untuk Servis PAMM, dana akan dipindahkan ke dalam akaun pengurus PAMM kerana hanya individu tersebut yang boleh melaksanakan dagangan. Kaedah pengurusan berautonomi ini mungkin memudahkan para pelabur baru. Namun, anda bergantung sepenuhnya kepada pengurus, dan perlu mempertimbangkan tentang saiz fi komisen. Kaedah ini mungkin juga memerlukan pelaburan minimum dan sekatan apabila anda ingin menambah atau membuat pengeluaran dana.

Tiada sebarang data khusus yang menunjukkan servis manakah lebih popular. Sama juga, tiada sebarang data yang menunjukkan servis manakah lebih berpotensi untuk memberi pulangan atau menyebabkan kerugian. Kami telah menggariskan kelebihan serta kelemahan bagi setiap satunya. Sudah pasti, keputusan terbaik terletak dalam tangan anda.


« ARTIKEL BERGUNA
Ikuti Kami