Mei 9, 2023

Semua orang tahu bahawa berdagang di pasaran kewangan adalah salah satu cara dinamik dan paling berkesan untuk mendapatkan untung, walaupun tanpa modal permulaan yang besar. Disebabkan itulah ia sangat popular di seluruh dunia. Namun, semua orang juga tahu bahawa aktiviti ini penuh dengan pelbagai risiko, dan berdagang boleh menyebabkan kehilangan kesemua modal. Untuk berjaya, seseorang pedagang itu perlu memahami dengan baik bagaimana pasaran itu berfungsi, bagaimana situasi semasa yang berlaku di pasaran serta bagaimana keadaannya pada masa hadapan. Terdapat dua jenis analisis paling utama yang biasa digunakan untuk tujuan ini: analisis teknikal dan fundamental.

Analisis Teknikal

Analisis teknikal boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu analisis grafik dan juga analisis komputer (atau indikator). Analisis grafik adalah seperti paras kedudukan, saluran, trend, pelbagai jenis corak. Analisis komputer pula adalah indikator, bacaan yang biasanya dibuat dengan pengiraan komputer. Dalam kebanyakan situasi, kedua-dua analisis teknikal ini berhubung kait kerana sebilangan besar indikator adalah dihasilkan berdasarkan kepada kebanyakan carta-carta grafik yang wujud sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Selain itu, mengambil gelombang Elliot dan carta lilin Jepun sebagai contoh, kedua-dua itu juga ada kaitan dengan analisis teknikal.

Analisis Grafik. Nama kaedah analisis ini sangat jelas kerana ia dihasilkan berdasarkan kepada kajian terhadap carta harga. Analisis grafik juga turut mengandungi kajian terhadap paras dan trend harga, serta pengecaman pelbagai jenis bentuk dan formasi pada carta, serta lagi-lain alatan analisis visual. Disamping itu, analisis grafik mungkin juga akan menggunakan pelbagai jenis indikator seperti purata pergerakan (MA) bagi membantu pedagang menentukan arah pergerakan harga pada masa hadapan.

Salah satu kelebihan menggunakan analisis grafik adalah visualisasi. Ia dapat membantu dalam mengenal pasti pelbagai trend di pasaran yang mungkin tidak dapat dilihat dengan jelas apabila menggunakan cara analisis yang lain. Carta-carta yang dipapar pada skrin komputer atau telefon pintar dilihat lebih mudah untuk difahami walaupun oleh pedagang-pedagang baru. Namun, ia tidaklah semudah itu. Untuk menggunakan analisis ini dengan lebih berkesan, pedagang mestilah memiliki tahap pengetahuan dan pengalaman yang cukup bagi memahami cara mentafsir carta dengan betul serta mengambil keputusan yang sepatutnya. Hal ini mungkin memerlukan masa dan tenaga untuk belajar bagi mendapatkan kemahiran praktikal tersebut.

Analisis Komputer (atau indikator) adalah analisis yang bukan saja berasaskan kepada carta harga, malah juga terhadap jumlah dagangan. Dasar kepada andaian ini adalah sebut harga serta jumlah lampau boleh digunakan untuk meramal harga dan trend pada masa hadapan. Terdapat pelbagai jenis indikator yang diguna untuk tujuan ini, seperti purata pergerakan (MA), MACD, RSI, pengayun stochastic, Bollinger Band serta banyak lagi, membantu pedagang menentukan masa yang sesuai untuk masuk atau keluar dari sesuatu posisi dagangan.

Salah satu kelebihan analisis teknikal adalah ia berasaskan kepada data yang sedia ada, termasuklah yang boleh didapati dalam terminal dagangan MetaTrader-4 (MT4), dan juga boleh diproses dengan cepat. Beberapa dozen indikator paling popular sudah pun dipasang pada terminal itu. Disamping itu, terdapat ribuan indikator lain yang telah dibangunkan untuk MT4. Sesetengah daripadanya boleh dibeli, dan yang lain pula boleh dimuat turun secara percuma.

Indikator-indikator seperti itu digunakan untuk membangunkan strategi serta digunakan dalam dagangan secara manual dan automatik menggunakan robot penganalisis. Ia bukan saja berkesan terhadap dagangan sederhana dan panjang, malah juga dagangan pipsing dan scalping. Namun, sebelum menggunakannya dalam dagangan sebenar, kami ingin menasihatkan supaya anda menguji setiap satunya terlebih dahulu pada penguji strategi yang terdapat pada terminal MT4, serta menilai keberkesanannya menggunakan akaun demo, juga tersedia untuk para pelanggan NordFX.

Walaupun dengan kelebihan yang ada, analisis teknikal (grafik dan indikator) tidak terlepas daripada banyak kekurangan. Salah satu daripadanya adalah ia boleh memberikan reaksi terhadap isyarat palsu, terutama sekali dalam keadaan pasaran yang sangat meruap. Selain itu, bacaan indikator adalah berasaskan kepada sebut harga lampau semata-mata dan agak lambat untuk didapati. Malah, kelewatan ini tetap berlaku walaupun kepada isyarat yang digelar sebagai indikator duluan, sejenis indikator yang meramal perkembangan satu-satu keadaan hanya dengan melihat situasi terdahulu yang serupa.

Satu lagi kekurangan yang ada ialah bacaan indikator sangat bergantung kepada cara ia ditetapkan. Dengan kaedah penetapan yang sama, kualiti kerja yang diperoleh bagi instrumen dagangan yang berbeza serta tempoh masa yang berlainan boleh menjadi sangat berbeza-beza. Disamping itu, situasi pasaran yang berubah juga boleh menyebabkan dagangan mereka gagal.

Akhir sekali dan paling penting, kami berpendapat analisis teknikal gagal untuk mengambil kira faktor-faktor fundamental yang boleh memberi kesan terhadap harga pasaran dalam keadaan yang paling tidak dijangka. Sebab itulah seseorang pedagang itu perlu menggabungkan analisis teknikal bersama analisis fundamental bagi mendapatkan kadar keberkesanan paling maksimum, serta cara pendekatan yang lain, termasuklah pengurusan risiko, kepelbagaian portfolio, dll.

Analisis Teknikal dan Fundamental: Cara Mengelak Daripada Membuat Kesilapan Untuk Mendapat Untung Besar1

Analisis Fundamental

Analisis fundamental dihasilkan dengan mengkaji keadaan ekonomi, kewangan, politik serta faktor sosial yang dapat memberi kesan kepada harga sesuatu aset. Ia dapat membantu para pelabur menentukan sama ada harga aset itu terlalu tinggi atau terlalu rendah, cuba untuk meramalkan harga aset selari dengan perubahan yang berlaku pada masa depan, dan membuat keputusan sama ada membeli atau menjual aset berkenaan.

Antara faktor-faktor fundamental termasuklah:

- Data ekonomi: statistik kadar KDNK, inflasi, pengangguran, pengeluaran, penyata imbang, dll.

- Polisi kewangan dan kadar faedah Bank Negara.

- Rangkuman politik dan geopolitik: pilihan raya, dasar undang-undang dan pindaan.

- Revolusi, pergolakan umum, peperangan, serangan keganasan, dll.

- Trend sosial: perubahan demografi, inovasi teknologi, permintaan pengguna yang berubah, dll.

- Perubahan musim dan bencana alam, kekurangan atau terlebih sumber asli.

- Pelbagai faktor lain: trend pasaran, perubahan indeks, kenyataan syarikat, prestasi kewangan syarikat, dll.

Maka, perbezaan antara analisis fundamental dan analisis teknikal adalah seperti berikut. Analisis teknikal dibuat berdasarkan kepada kajian ke atas carta serta indikator teknikal, dan menggunakan data harga serta jumlah lampau bagi meramal pergerakan pasaran yang seterusnya. Analisis fundamental pula menggunakan set data yang lebih meluas. Ia dibuat berdasarkan kepada penilaian faktor-faktor yang bukan saja dipengaruhi oleh harga semasa atau harga terdahulu sesuatu aset, malah mungkin kesan yang bakal dihadapinya pada masa hadapan.

Antara kelebihan analisis fundamental adalah keupayaannya untuk meramal trend jangka panjang serta menilai harga asas sesuatu aset itu. Walau bagaimanapun, prosesnya boleh menjadi rumit dan memerlukan banyak masa dan tenaga untuk mengumpul serta mengkaji data-data yang diperlukan. Disamping itu, analisis sebegitu mungkin tidak selalu mengambil kira perkara-perkara yang berlaku di pasaran untuk jangka masa pendek, seperti perubahan sentimen pelabur atau kejadian geopolitik yang tidak disangka-sangka. Kesimpulannya, analisis fundamental sering digunakan untuk pelaburan jangka masa panjang, sementara analisis teknikal pula digunakan untuk transaksi jangka masa pendek.

Kombinasi Pelbagai Jenis Analisis serta Model-Model Statistik

Penting untuk menyedari bahawa setiap daripada kaedah-kaedah ini memiliki kelebihan dan kekurangannya sendiri, dan pilihan terbaik bergantung kepada keperluan individu, strategi, tahap risiko serta sasaran bagi setiap pedagang. Dalam masa yang sama, menjadi kebiasaan pedagang untuk menggunakan kombinasi kedua-dua jenis analisis ini. Ia dapat membantu mengurangkan kadar risiko serta meningkatkan kemungkinan dagangan yang berjaya.

Disamping itu, mengkaji sejumlah besar data-data lampau serta menggunakan kaedah-kaedah statistik seperti analisis regresi membolehkan anda menghasilkan model matematik bagi mengenal pasti trend dan meramal arah pergerakan harga pada masa hadapan, dan juga boleh menentukan titik masuk dan keluar bagi setiap posisi. Salah satu kelebihan model statistik adalah keupayaannya untuk memproses data dalam jumlah yang besar serta memperlihatkan trend yang tersembunyi dan kebergantungannya dalam pasaran.

Namun begitu, sudah pasti model-model statistik seperti itu memiliki kekurangannya sendiri dan tidak boleh memberi sebarang jaminan. Pertama, ia memerlukan pengetahuan yang luas dalam ilmu statistik, matematik, dan juga pengekodan. Kedua, kesilapan dan ketidaktepatan boleh terjadi pada model statistik, terutama sekali model yang rumit dan keadaan pasaran yang tidak tipikal.

Cara Dagangan Selebriti

Jika anda mendalami biografi pedagang-pedagang lagenda, jelaslah bahawa mereka menggunakan pelbagai jenis analisis yang berbeza, namun begitu setiap daripada mereka ada cara yang tersendiri.

- Warren Buffett terkenal sebagai seorang penyokong analisis fundamental. Keputusan pelaburan yang dibuat beliau adalah berdasarkan kepada analisis prestasi kewangan sesebuah syarikat, seperti perolehan, dividen, jumlah aset dan hutang. Ini membolehkan beliau menentukan nilai jangka panjang saham itu serta potensi pulangan yang boleh diperoleh. Buffett juga percaya betapa pentingnya untuk melabur dalam syarikat yang dipercayai serta menyimpan saham untuk jangka masa yang panjang.

- George Soros adalah penggemar analisis teknikal. Beliau menggunakan carta harga untuk menentukan trend serta corak di pasaran, dan beliau turut memfokuskan kepada bacaan pelbagai indikator. Soros juga percaya bahawa sangat penting untuk menilai kadar risiko serta tahap kebolehpercayaan pelaburan yang dibuat, dan menggunakan strategi pengurusan risiko, dengan kata lain, cara menguruskan modal. 

- Peter Lynch terkenal sebagai pengguna yang menggabungkan pelbagai bentuk pendekatan, ini termasuklah analisis teknikal dan fundamental. Beliau menyemak penyata kewangan syarikat bagi menilai potensi kadar pertumbuhannya dan menggunakan carta harga serta lain-lain indikator dalam menentukan sama ada mahu turut serta ataupun tidak.

- John Paulson dianggap sangat berkebolehan dalam membuat analisis mengenai peristiwa semasa. Beliau menganalisis berita-berita dan hebahan-hebahan seperti kenyataan yang dikeluarkan syarikat, perubahan situasi politik dan data-data ekonomi untuk menentukan kesannya terhadap harga pasaran. Paulson juga menggunakan analisis fundamental dan analisis teknikal untuk memperhalusi keputusan pelaburan yang dibuat.


« ARTIKEL BERGUNA
Ikuti Kami