November 1, 2023

Berdagang di pasaran kewangan bukan saja mengenai analisis carta dan melaksanakan strategi, malah juga berkenaan tahap psikologi diri sendiri. Dalam artikel ini, kami akan meneliti apakah yang paling ditakuti pedagang serta cara mengatasinya, berbincang cara menentukan sama ada anda sudah bersedia untuk menjadi seorang pedagang dan juga berkongsi nasihat daripada pakar-pakar dan juga orang berpengaruh dalam dunia kewangan.

Kebimbangan Paling Utama Pedagang dan Cara Mengatasinya

Apakah yang paling ditakuti para pedagang? Pakar psikologi memberi penekanan terhadap empat perasaan takut paling utama. Mungkin perasaan yang paling ditakuti adalah bimbang kerugian wang. Ia diikuti dengan bimbang terlepas peluang, atau dalam kata lain, bimbang terlepas melaksanakan transaksi yang berpotensi memberi pulangan. Ketiga, perasaan takut untuk membuat kesalahan yang bermaksud khuatir dalam mentafsir data atau membuat keputusan yang salah. Akhir sekali, takut disalah erti atau dikecam pedagang atau pelabur yang lain. Kami menggelarnya sebagai takut daripada dikritik.

Mengurus Rasa Takut dan Persediaan Psikologi untuk Berdagang1

Bagaimana seseorang itu boleh berdepan dengan kesemua kebimbangan ini? Tidak dinafikan lagi, ilmu pengetahuan dan latihan profesional memainkan peranan penting: lebih banyak anda mendalami sesuatu subjek, lebih sedikit kebimbangan yang ada. Sebagai contoh, Warren Buffett menasihatkan supaya melabur ke dalam sesuatu yang anda fahami dan bukan disebabkan terlalu panik. Sudah pasti nasihat ini berbaloi untuk diikuti kerana Buffett adalah salah seorang daripada pelabur paling terkenal dan terkemuka dunia dengan nilai kekayaan bersih melebihi $100 bilion seperti yang dilaporkan Forbes. Pentingnya ilmu pengetahuan serta penambahbaikan diri secara berterusan turut ditekankan oleh Timothy Sykes, salah seorang pedagang muda paling berjaya di AS yang telah berjaya menggandakan modal sebanyak $12,000 kepada $ 2 juta. Pelabur dan pedagang terkenal dunia iaitu George Soros menyarankan agar sentiasa bersedia dengan perkara tidak diingini dan menyesuaikan diri dengan keadaan tidak diduga. Ditanya berkenaan kebimbangan melakukan kesalahan dan menerima kritikan, harta wang ini menjelaskan: “Tidak kira sekuat mana kita cuba meramalkannya, pasaran kewangan akan selalu dipenuhi dengan kejutan. […] Bagi sesetengah orang, melakukan kesalahan adalah perkara yang memalukan; bagi saya, menyedari kesilapan sendiri adalah satu kebanggaan”. Untuk ini, anda juga boleh merujuk kepada satu lagi petikan kata-kata oleh Soros: “Kadang kala tidak penting jika anda betul atau pun salah, tetapi berapa banyak keuntungan yang diperoleh apabila anda betul dan berapa banyak kerugian yang dialami ketika anda salah membuat keputusan."

Sudah pasti, apabila berbincang mengenai cara berkesan untuk mengurangkan tahap stress serta menambah peluang untuk berjaya, hampir kesemua pakar pasaran kewangan menasihati agar mematuhi dengan ketat kepada strategi yang telah dibangunkan dan diuji terlebih dahulu, mengurangkan keputusan yang diambil mengikut emosi, dan tidak lupa juga pengurusan kewangan.

Menilai Tahap Kesediaan Psikologi untuk Berdagang

Adakah cara untuk menentukan tahap kesediaan psikologi seseorang individu itu bagi menjadi seorang pedagang? Sudah tentu ada. Mari senaraikan sebahagian daripadanya dan kemudian memahami maksud dan cara ia berfungsi dengan lebih mendalam. Justeru, bagi menilai tahap kesediaan psikologi untuk berdagang, kaedah-kaedah berikut akan digunakan:

Temu Bual dan Kaji Selidik. Temu bual dan rundingan secara peribadi bersama pedagang profesional atau pakar psikologi yang khusus dalam pasaran kewangan, dan melengkapkan soal selidik berkenaan sikap anda berkenaan wang, risiko, dan membuat keputusan boleh memberi manfaat dalam menilai tahap kesediaan psikologi untuk berdagang. Ahli-ahli profesional boleh memberi penekanan terhadap kekuatan dan kelemahan dalam profil psikologi anda.

Ujian Menghindar RIsiko. Mengambil ujian psikometrik juga boleh membantu menentukan tahap kecenderungan anda terhadap risiko. Ujian-ujian ini menilai reaksi anda terhadap potensi kerugian dan keuntungan yang mungkin dialami bagi memahami tahap keselesaan anda semasa membuat keputusan berbentuk kewangan.

Akaun Demo. Mempraktikkan dagangan menggunakan akaun demo membolehkan anda menilai keupayaan sendiri dalam menguruskan emosi dan membuat keputusan rasional tanpa melibatkan sebarang risiko kewangan sebenar.

Diari Pedagang. Menyimpan diari yang mengandungi nota-nota berkenaan emosi dan reaksi terhadap bermacam-macam senario dagangan boleh membantu anda menganalisis keadaan psikologi sendiri. Lama kelamaan, anda boleh mengenal pasti corak yang berulang dan membuat perubahaan yang diperlukan.

Ujian Stres. Mengikut sesetengah keadaan, ujian stres yang khusus akan dijalankan bagi memberi simulasi terhadap keadaan pasaran yang ekstrem. Ujian ini membantu anda menilai reaksi yang diberikan dalam situasi bertekanan tinggi.

Ujian Menghindar Risiko

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, ujian menghindar risiko adalah satu proses yang bertujuan menilai tahap kecenderungan anda terhadap risiko, terutama sekali dalam konteks membuat keputusan berkenaan kewangan. Alat berguna ini sangat memberi manfaat dalam peringkat awal karier anda. Berikut adalah pecahan biasa bagi ujian sebegitu:

– Persiapan menghadapi ujian. Sebelum memulakan ujian, anda biasanya akan diberi arahan dan penjelasan berkaitan perkara yang diharapkan daripada anda. Kadang kala, temu bual dijalankan terlebih dahulu bagi mendapatkan maklumat asas berkenaan pengalaman anda dalam bidang kewangan serta kefahaman tentang risiko.

– Soalan dan Senario. Sesuatu ujian itu mengandungi beberapa siri soalan dan senario hipotesis yang menggambarkan bermacam-macam situasi kewangan dan menggunakan format berbilang jawapan. Ini adalah beberapa contoh soalan yang mungkin diberikan: Sila jelaskan perasaan anda mengenai wang? Apa yang akan anda lakukan jika menang hadiah cabutan bertuah yang lumayan? Berapa banyak duit simpanan yang anda sanggup habiskan? Adakah anda membuat keputusan secara intuitif dengan menganalisis keadaan, atau dengan mendengar nasihat orang lain?

– Penilaian Reaksi. Respon anda bagi setiap soalan atau senario akan dinilai bagi menentukan tahap kecenderungan risiko anda. Jawapan sering digredkan mengikut skala, dan keputusan akhir akan dicampur bagi mendapatkan skor menghindar risiko yang menyeluruh.

– Analisis dan Maklum Balas Keputusan. Setelah selesai mengambil ujian, pakar-pakar akan menganalisis keputusan anda. Mereka mungkin mentafsir jawapan-jawapan anda dan memberikan cadangan berkenaan pengurusan risiko dan langkah yang perlu diambil untuk berkembang sebagai seorang pedagang.

– Mengambil ujian semula. Dalam sesetengah kes, anda disyorkan untuk mengambil semula ujian secara berkala, terutama sekali jika terdapat perubahan ketara dalam hidup atau keadaan kewangan anda.

Ujian menghindar risiko boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk dan tempat, bergantung kepada keperluan dan sumber yang anda miliki. Terdapat bermacam-macam ujian psikometrik percuma dan berbayar yang direka khusus bagi menilai tahap kecenderungan risiko boleh didapati secara online. Ujian seperti itu boleh menjadi titik permulaan yang baik. Kebanyakan pengurus kewangan, pakar psikologi, dan pakar bimbingan yang menawarkan ujian menghindar risiko sebagai sebahagian daripada perancangan kewangan yang menyeluruh. Perkara ini sangat berguna jika anda berharap untuk menerima pendekatan yang lebih diperibadikan dan juga rundingan oleh pakar-pakar, mereka juga boleh menyediakan cadangan-cadangan secara profesional.

Sesetengah universiti dan organisasi saintifik menjalankan kajian mengenai tahap psikologi kewangan dan mungkin menawarkan ujian menghindar risiko sebagai sebahagian daripada projek kajian mereka. Kadang kala, ujian juga boleh didapati daripada seminar atau webinar pembelajaran yang tertentu. Tidak kiralah kaedah atau platform yang anda pilih, paling utama adalah untuk memastikan ujian yang anda pilih itu memiliki reputasi yang bagus dan disokong oleh penilaian menghindar risiko secara saintifik.

Akaun Demo

Dagangan menggunakan akaun demo yang ditawarkan syarikat broker NordFX adalah direka bagi mendapatkan kemahiran asas dan dijalankan pada platform dagangan sebenar tetapi menggunakan modal wang maya. Hal ini membolehkan para pengguna membiasakan diri mereka dengan antara muka serta fungsi-fungsi yang ada pada platform, mempraktik dagangan tanpa melibatkan risiko kewangan, serta menguji pelbagai jenis strategi dan indikator.

Berdagang menggunakan wang maya tidak mencetuskan tahap stres emosi yang sama seperti berdagang dengan wang sebenar. Namun, terlalu lama berlatih menggunakan akaun demo boleh mengakibatkan jangkaan tidak realistik dan lupa tentang risiko yang ada. Justeru, penting untuk memahami hakikat bahawa kejayaan yang diperoleh pada akaun demo tidak menjamin perkara yang sama akan berlaku dalam pasaran sebenar.

Diari Pedagang

Diari pedagang adalah satu alat bagi membantu anda mengurus dan membuat analisis aktiviti dagangan sendiri. Hal pengurusan ini boleh dibuat secara elektronik, sebagai contoh, dengan menggunakan spreadsheet Excel mahupun Google Sheets, atau secara tradisional dalam bentuk buku nota kertas. Entri yang biasa disertakan ke dalam diari termasuklah tarikh, masa, dan harga buka dan tutup posisi, jumlah posisi, arah dagangan, aset atau pasangan mata wang yang didagangkan, paras stop-loss dan take-profit, serta jumlah untung atau rugi hasil dari dagangan itu.

Amat penting untuk mendokumentasikan punca memasuki sesuatu dagangan, seperti analisis pasaran atau berita, isyarat indikator, dan lain-lain lagi, serta punca keluar. Menggabungkan tangkap layar dan juga carta yang menunjukkan keadaan pasaran semasa membuka atau menutup sesuatu posisi boleh menjadi sangat berharga. Selain itu, menerangkan emosi sendiri sebelum, semasa, dan selepas melaksanakan sesuatu dagangan adalah satu perkara yang bermanfaat. Sebarang nota tambahan yang meneliti kesilapan sendiri serta pengajaran yang diperoleh dapat memberi matlamat.

Diari seperti itu bukan saja dapat memberikan wawasan terhadap keberkesanan strategi dagangan anda sendiri malah juga mengasah kemahiran mengurus risiko, disiplin, dan respon psikologi terhadap bermacam situasi pasaran. Mengemas kini diari ini dengan kerap, secara idealnya selepas setiap dagangan yang dibuat dapat membantu mengelak daripada membuat kesilapan sama berulang kali di masa hadapan. Namun, sudah tentunya, kekerapan entri sangat bergantung kepada cara dagangan anda. Walaupun tugas untuk mendokumenkan dagangan jangka panjang dan sederhana adalah sesuatu yang jelas dan mudah, ia lebih mencabar untuk dagangan urus niaga hariam dan hampir mustahil untuk mendokumenkan dagangan scalping dan pip.

Ujian Stres

Ujian stres adalah senario atau model yang direka khusus bagi menilai respon para pedagang terhadap keadaan pasaran ekstrem yang benar-benar meniru situasi dalam kehidupan sebenar. Ujian-ujian ini menilai keupayaan yang ada pada seseorang pedagang dalam mengurus risiko secara berkesan dan semasa membuat keputusan apabila berdepan tekanan hebat dari luar.

Semasa ujian dijalankan, senario pasaran ekstrem disimulasikan: turun naik harga mendadak secara tiba-tiba, kadar kemeruapan yang berubah-ubah, serta lain-lain situasi yang rumit. Sepanjang simulasi ini, pedagang perlu membuat keputusan sama ada untuk membuat belian, menjual, membuat order, dan bermacam lagi. Setelah ujian tamat, seorang penganalisis akan menilai jawapan yang diberi, tahap disiplin, daya tahan terhadap stres, dan keberkesanan pengurusan risiko. Latihan seperti itu dapat memperbaiki kebolehan anda bertindak sebaiknya semasa berada dalam keadaan ekstrem, mengenal pasti kelemahan yang ada dalam kaedah dagangan sendiri, dan hasilnya, melaksanakan perubahan yang perlu.

Kebolehpercayaan Hasil Ujian

Apakah risiko yang ada jika terdapat kesilapan dalam kesemua kaedah yang disenaraikan, dan sejauh manakah tahap kebolehpercayaannya? Bolehkah seorang pedagang baru yang berjaya melepasi semua jenis ujian, sebenarnya masih belum bersedia sepenuhnya untuk berdagang dengan wang sebenar?

Pertama sekali, penting untuk ketahui bahawa soalan kaji selidik dan ujian psikologi bergantung kepada tahap kesedaran dan kejujuran yang ada dalam diri semasa memberikan respon. Mungkin jawapan yang diberi tidak selalunya mencerminkan dengan tepat keadaan sebenar pemikiran seseorang individu itu. Lebih-lebih lagi, dagangan sebenar kebiasaannya melibatkan tahap stres emosi yang tinggi, dan ia sukar untuk disimulasikan. Tiada orang baru yang mampu meraih pengalaman tanpa mengharungi latihan dan masa. Mencapai kejayaan dalam ujian mungkin akan mendorong seseorang menjadi terlebih yakin, sehingga mengakibatkan sering membuat keputusan secara impulsif dan berisiko, serta berpotensi untuk mengalami kerugian besar.

Penting juga untuk menyedari bahawa pasaran kewangan dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuklah penyiaran statistik makroekonomi, isu politik, bencana alam, dan psikologi orang ramai. Semua faktor ini tidak boleh dihasilkan sepenuhnya dalam ujian atau simulasi. Maka, walaupun kaedah yang disenaraikan tadi boleh menjadi sesuatu yang bermanfaat bagi penambahbaikan skil dan kesedaran diri, semua itu tidak boleh diganti dengan pengalaman sebenar dan seharusnya dianggap sebagai salah satu daripada pelbagai faktor dalam mempersediakan diri untuk berdagang.


« ARTIKEL BERGUNA
Ikuti Kami