Julai 25, 2023

George Soros adalah satu nama yang membangkitkan bermacam emosi di seluruh dunia. Bagi sesetengah orang, beliau menjadi simbol kecekapan berniaga dan tokoh dermawan; bagi yang lain, manipulasi politik. Namun siapakah sebenarnya lelaki ini yang memiliki kekayaan sebanyak $8.5 bilion?

Penglibatan Awal

George Soros, atau nama sebenarnya György Soros dilahirkan pada 12 Ogos, 1930 di Budapest, Hungary, berasal daripada keluarga yahudi. Ibu bapanya, Tivadar dan Erzsebet Soros membesarkan beliau dengan kemewahan, namun kehidupan mereka berubah sama sekali setelah bermulanya Perang Dunia Kedua. Berdepan ancaman pembunuhan beramai-ramai, keluarga Soros terselamat daripada kesukaran yang tidak dapat dibayangkan. Untuk menyelamatkan keluarganya, Tivadar mereka-reka naratif palsu yang mengatakan mereka beragama Kristian dan mendapatkan dokumen palsu bagi menyokong dakwaan beliau itu. Pengalaman ini sangat-sangat mempengaruhi zaman muda György. Beliau kemudian menegaskan bahawa kebolehan beliau untuk mempersepsikan sesuatu itu sebagai “sesuatu yang lain, bukan sifat sebenarnya,” diperoleh pada waktu-waktu itu.

Selepas tamatnya perang, Soros berpindah ke London dan di sanalah beliau menghadiri London School of Economics (LSE). Pada ketika itu, beliau menemui hasil kerja ahli falsafah terkenal iaitu Karl Popper yang membentuk pandangan beliau terhadap ekonomi dan kemasyarakatan dengan mendalam.

Pelabur yang Mengalahkan Bank of England: Kisah George Soros yang Berbilion Dolar1

Karier Kewangan

Setelah tamat pengajian di LSE pada tahun 1952, Soros memulakan karier beliau di Singer & Friedlander di London. Pada tahun 1956, beliau berpindah ke AS dan mula bekerja bersama bank pelaburan F.M. Mayer di Wall Street New York, khusus dalam sekuriti-sekuriti Eropah. Pada tahun 1959, beliau menyertai Arnhold & S. Bleichroeder, di situlah beliau berjaya menjawat jawatan naib presiden. Menjelang tahun 1963, beliau telah memulakan dana pelaburan pertamanya yang dipanggil ‘Double Eagle’, dan sepuluh tahun selepas itu, ia diberikan nama baru iaitu ‘Soros Fund Management.’ Pada waktu itu, Soros meninggalkan Arnhold & S. Bleichroeder untuk memfokuskan sepenuhnya perhatian kepada dana beliau sendiri.

Di bawah pimpinan tokoh itu, keuntungan ‘Soros Fund Management’ bertambah secara substansial, kemudian diberi nama baru iaitu ‘Quantum Fund’, dan menjadi asas kepada kekayaan dan juga kemasyhuran beliau dalam dunia pelaburan. Pada September 1992, George Soros berada di kemuncak kejayaan perniagaannya setelah beliau telah ‘memufliskan’ pound British. Operasi ini yang kini dikenali sebagai ‘Black Wednesday’ telah mengumpul keuntungan berbilion dolar kepada Soros dan menarik perhatian global. Beliau telah menerima gelaran ‘pelabur yang mengalahkan Bank of England’, menjadikan beliau seorang yang terkenal bukan saja dalam dunia perniagaan malah dalam kalangan masyarakat umum.

Pada waktu itu, rantau Eropah masih beroperasi menggunakan European Exchange Rate Mechanism (ERM), satu sistem kadar tukaran dalam Sistem Kewangan Eropah. Sistem tersebut memerlukan mata wang negara-negara yang turut serta dikekalkan dalam koridor turun naik yang tertentu. Pound sterling British termasuk dalam sistem ini, dengan ketetapan untuk mengekalkan kadarnya mengikut had tertentu berbanding mata wang mark Jerman. Namun, di tengah-tengah spekulasi pasaran mata wang serta tekanan ekonomi yang melanda, mengekalkan kadar sedia ada menjadi satu masalah.

Soros melihat peluang untuk mewujudkan spekulasi dalam situasi itu. Quantum Fund miliknya itu mula menjual pound secara agresif, keadaan itu menambahkan lagi tekanan terhadap mata wang tersebut. Kaedah ini digelar sebagai ‘bear raid’ - Soros dan ahli kumpulannya menjual mata wang yang mereka sendiri tidak miliki, dengan harapan untuk membelinya semula selepas itu pada kadar lebih rendah dan memperoleh pulangan daripada perbezaan harga.

Pada 16 September, 1992, hari ‘Black Wednesday’, pihak Bank of England terpaksa mengumumkan penurunan nilai pound dan penyingkiran mereka dari ERM, walaupun banyak percubaan dilakukan menerusi kenaikan kadar faedah serta campur tangan dalam pasaran mata wang bagi menyokong nilai mata wang tersebut. Perkara ini mendorong kepada kejatuhan nilai mata wang British - nilai pound susut sebanyak 15% berbanding mark Jerman dan 25% berbanding dolar AS. George Soros dilaporkan mendapat keuntungan kira-kira $1 bilion dalam masa satu malam, menjadikan beliau salah seorang spekulator mata wang paling ternama dalam sejarah, manakala Quantum Fund pula, antara dana lindung nilai paling berjaya.

Cara Soros dan Quantum Fund Mengaut Keuntungan Mereka

Salah satu prinsip asas Soros adalah ‘teori refleksiviti” beliau yang mempersepsikan pasaran sebagai satu sistem tidak stabil dan di luar jangkaan serta berfungsi secara tidak rasional. Maka, beliau menggunakan strategi spekulatif dan arbitraj secara aktif, cuba untuk mendapatkan pulangan daripada turun naik harga dalam tempoh singkat serta keadaan pasaran yang tidak menentu. Soros dan Quantum Fund miliknya itu sering menjana keuntungan dengan menggunakan pelbagai perkakas dan teknik pelaburan, termasuklah membeli saham, bon, komoditi, mata wang, dan instrumen derivatif kewangan. Sebagai contoh, Soros membuat pelaburan ke dalam saham syarikat teknologi pada lewat 1990-an dan menjana keuntungan dengan menjual saham-saham itu sebelum meletusnya ‘gelembung dotcom’ pada tahun 2000.

Walau bagaimanapun, masih wujud risiko dalam pelaburan, malah pelabur paling berjaya juga boleh membuat kesilapan. George Soros tidak terkecuali. Sebahagian daripada dagangan yang dibuat telah memberikan pulangan besar kepada beliau dan Quantum Fund, sebahagian pula telah membawa kerugian yang teruk. Walau bagaimanapun, Soros telah berjaya mengekalkan status beliau sebagai salah seorang pelabur paling berjaya dan berpengaruh dalam sejarah, dan strategi serta pendekatan yang beliau gunakan telah memberi impak besar kepada seluruh dunia kewangan.

Dari 'Pelabur yang Mengalahkan Bank of England' Kepada Dermawan

George Soros bukan saja seorang ahli perniagaan lagenda. Minat beliau adalah meluas dan melebihi Wall Street. Beliau terlibat secara aktif dalam dunia filantropi, menyokong pelbagai projek amal dengan kekayaan yang dimiliki beliau. Pada tahun 1979, Soros mengasaskan Open Society Foundations (OSF) yang menjadi salah satu daripada organisasi dermawan terbesar di dunia. Yayasan itu telah melaksanakan projek-projek di lebih daripada 120 buah negara di seluruh dunia. Ini adalah antara projek-projek yayasan itu:

Pelajaran dan Sains: Yayasan ini menyokong pelbagai inisiatif yang meluas, daripada program bantuan kanak-kanak miskin sehinggalah kepada program yang disasarkan untuk menyokong penyelidikan akademik dan juga universiti. Pada tahun 1991, Soros telah menubuhkan Universiti Eropah Tengah di Budapest.

Perlindungan Hak Asasi: OSF turut membiayai organisasi serta gerakan yang memperjuangkan hak asasi manusia, termasuklah hak-hak pendatang, pelarian, komuniti LGBT+, dan lain-lain kumpulan yang lemah.

Keadilan dan Penguatkuasaan Undang-Undang: Yayasan ini menyokong projek-projek yang dibangunkan untuk tujuan menentang rasuah, menambah baik sistem perundangan serta keadilan terhadap penjenayah.

Kesihatan: OSF turut serta secara aktif dalam menangani masalah-masalah kesihatan yang kritikal, seperti HIV/AIDS, batuk kering, dan penagihan dadah.

Kebebasan Media: Yayasan ini mendokong kebebasan media dan kewartawanan yang berhadapan dengan penganiayaan atau penapisan.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, salah satu matlamat OSF adalah menyokong persatuan-persatuan umum yang mempertahankan hak kemanusiaan serta cuba untuk mempengaruhi keadaan politik yang berubah dalam peralihan ekonomi atau apabila hak kemanusiaan dan demokrasi menerima ancaman. Kerja keras Soros terhadap usaha ini telah menjadikan beliau sebagai tumpuan terhadap pelbagai teori konspirasi. Hartawan ini sering dituduh mencetuskan revolusi pelbagai kaum serta bantahan secara besar-besaran di banyak negara. Namun, seperti yang disedari kebanyakan saluran media, Soros dan Yayasan beliau itu tidak mengawal secara terus atau menganjurkan revolusi-revolusi ini. Untuk tuduhan terhadap beliau, ia sering dilontarkan oleh kerajaan-kerajaan autoritarian atau kuasa-kuasa politik yang melihat aktiviti OSF sebagai satu ancaman kepada penguasaan mereka.

Sebagai contoh, pada tahun 2018, OSF telah dipaksa untuk menghentikan operasi mereka di Hungary kerana tekanan serta tentangan berterusan oleh kerajaan Viktor Orban yang menuduh Yayasan itu melemahkan keselamatan negara dan mencampuri urusan dalaman negara berkenaan. Antara perkara yang sering dikaitkan dengan Soros adalah “Revolusi Rose” di Georgia (2003),  “Revolusi Orange” di Ukraine (2004-2005), dan “Revolusi Tulip” di Kyrgyzstan (2005).

Buku Karangan Soros dan Amaran yang Beliau Berikan

George Soros bukan saja seorang pakar kewangan dan juga dermawan, bahkan beliau juga seorang pengkritik, ahli fikir dan juga penulis. Beliau sudah menulis beberapa buah buku dan pelbagai artikel dan esei. Dalam hasil penulisannya, beliau menggabungkan analisis ekonomi serta trend kewangan dengan isu-isu berkenaan politik dan sosial, menjadikan karyanya itu sesuatu yang menarik untuk golongan profesional dan para pembaca yang lebih meluas.

Antara buku tulisan beliau:

"The Alchemy of Finance", 1987 - dalam buku ini, Soros menggariskan pandangan beliau mengenai dunia kewangan dan ekonomi, termasuklah berkenaan “teori refleksiviti” beliau. Teori ini mencadangkan bahawa proses membeli dan menjual sekuriti adalah berdasarkan kepada jangkaan nilai masa hadapan. Jangkaan-jangkaan ini adalah bersifat psikologi sepenuhnya, justeru ia boleh dan seharusnya dipengaruhi oleh manfaat yang diterima oleh satu-satu pihak (kebiasaannya menerusi media massa).

"Underwriting Democracy", 1991 - dalam buku ini, Soros berkongsi pandangan serta pengalaman beliau dalam menyokong peralihan demokrasi di Eropah Timur selepas kejatuhan pihak komunis.

"The Crisis of Global Capitalism: Open Society Endangered", 1998 - dalam karya ini, Soros membuat analisis tentang krisis kewangan antara tahun 1997-1998 serta kesannya kepada dunia.

"The Tragedy of the European Union: Disintegration or Revival?", 2014 - buku ini adalah sebuah dialog antara Soros dan juga wartawan Gregor Schmit yang membincangkan tentang masa depan Kesatuan Eropah serta peranan Rusia dalam dunia politik.

Petikan hasil karya Soros mencerminkan daya pemikiran beliau tentang proses dan pandangannya mengenai dunia ekonomi, politik dan juga kemasyarakatan. Antara yang terkenal adalah seperti berikut:

– "Saya tidak gentar untuk menjadi penentang dan berbeza pendapat dengan orang ramai."

– "Harga pasaran sering menunjukkan nilai yang salah, dalam erti kata lain ia menunjukkan pendapat yang berat sebelah pada masa hadapan."

– "Pasaran mencerminkan kesedaran kolektif kita, namun ia masih lagi belum sempurna."

– “Tidak ada gunanya berasa yakin tetapi hanya meletakkan posisi yang kecil”.

– “Saya kaya hanya disebabkan saya menyedari kesalahan yang dibuat”.

– “Lebih rumit sesuatu sistem itu, lebih banyak kesalahan yang boleh berlaku”.

– "Tidak kira berapa besar usaha yang digunakan untuk menjangkakannya, pasaran kewangan akan sentiasa dipenuhi dengan kejutan."

– "Bagi kebanyakan orang, berbuat salah itu adalah memalukan; bagi saya, memahami kesalahan yang dibuat menjadi sumber harga diri saya."

– "Saya memilih untuk berbuat baik kerana ia membuatkan saya berasa lebih puas."

– "Salah faham dan salah tafsir mengenai sesuatu perkara itu adalah punca kepada banyak, jika bukan semua, permasalahan dalam dunia politik."

– "Jika pelaburan itu menghiburkan, jika anda berasa gembira melabur, mungkin anda tidak mendapat pulangan langsung. Pelaburan yang baik adalah membosankan."

– "Tidak kisah sama ada anda betul atau tidak, paling penting berapa banyak wang yang anda perolehi apabila unjuran anda tepat dan berapa kerugian dialami apabila unjuran anda salah."


« ARTIKEL BERGUNA
Ikuti Kami