Mei 21, 2024

Indikator Ishimoku Kinko Hyo, atau ringkasnya Ishimoku, diletakkan pada kedudukan yang tinggi dalam senarai senjata pedagang modern sebagai antara perkakas paling universal dan berguna. Kebolehannya untuk menyesuaikan dengan pelbagai syarat pasaran serta tahap fleksibiliti untuk bersepadu dengan lain-lain alat teknikal menjadikannya sebagai sebahagian daripada analisis teknikal. Ishimoku bukan saja membantu pedagang mengenal pasti serta memanfaatkan trend malah juga menguruskan risiko menerusi isyarat untuk titik masuk dan keluar yang jelas. Keunikan indikator ini terletak pada kebolehannya untuk mengagregatkan bermacam-macam data teknikal untuk menjadi satu bentuk data yang ringkas dan mudah difahami. Kualiti seperti ini dapat meningkatkan lagi kemungkinan untuk membuat dagangan Forex dan lain-lain pasaran kewangan yang lebih berjaya jika terdapat Indikator Ishimoku di dalam kit perkakas dagangan.

Sejarah Penghasilan

Pencipta Indikator Ishimoku, salah satu indikator teknikal paling dikenali di dunia adalah Goichi Hosoda, lebih dikenali sebagai Sanjin Ishimoku dalam dunia kewangan. Walaupun hasil ciptaan beliau memberi kesan besar dalam analisis teknikal, tidak banyak yang diketahui tentang kehidupan peribadi beliau. Hosoda diketahui telah dilahirkan di Jepun pada awak kurun ke-20. Beliau memulakan karier sebagai seorang wartawan dan tidak lama selepas itu mula mempelajari pasaran saham. Pada tahun 1930-an, Goichi Hosoda mula membangunkan satu sistem yang dapat membuat analisis perubahan dinamik pasaran kewangan yang lebih baik. Matlamat beliau adalah untuk menghasilkan satu indikator yang bukan saja dapat menentukan arah trend malah juga menyediakan isyarat untuk masuk dan keluar serta menentukan paras sokongan dan rintangan. Hasil kerja beliau ini mengambil masa lebih daripada 30 tahun.

Hanya pada tahun 1968, setelah berdekad-dekad menguji dan memperhalusinya, Goishi Hosoda membentangkan teori beliau yang diberi nama “Ishimoku Kinko Hyo”, yang diterjemahkan sebagai “Gambaran Segera Carta Keseimbangan”. Sistem ini menjadi popular dengan cepat dalam kalangan pedagang Jepun dan kemudian mula tersebar di seluruh dunia. Hosoda meninggal dunia pada tahun 1982, meninggalkan satu legasi dalam bentuk analisis teknikal yang menjadi antara alat paling berkesan dan masih digunakan oleh jutaan pedagang di seluruh dunia.

Indikator Ishimoku: Berdagang Menggunakan Salah Satu Perkakas Analisis Teknikal Terbaik1

Prinsip Operasi dan Penggunaan Strategi

Ishimoku mudah dikenali disebabkan visualisasi carta yang unik, mengandungi lima garis utama yang membantu menentukan paras sokongan dan rintangan, arah trend, serta tahap kekukuhannya. Komponen indikator ini adalah: 1. Tenkan-sen (garis penukaran) - kadar purata paras tertinggi dan terendah sepanjang 9 tempoh masa yang pilihan; 2. Kijun-sen (garis standard) - kadar purata paras tertinggi dan terendah sepanjang 26 tempoh masa pilihan; 3. Senkou Span A (garis span pemula A) - kadar purata natara Tenkan-sen dan Kijun-sen yang diunjurkan dalam 26 tempoh masa seterusnya; 4. Senkou Span B (garis span pemula B) - kadar purata paras tertinggi dan terendah sepanjang 52 tempoh masa yang diunjur ke dalam 26 tempoh masa seterusnya; 5. Chikou Span (garis lagging) - kadar tutup yang diunjur ke dalam 26 tempoh ke belakang.

Dalam operasi, indikator ini menganalisis tahap keseimbangan pasaran dan menyediakan gambaran nilai yang dinamik secara menyeluruh. Isyarat utama yang ingin diketahui pedagang apabila                menggunakan indikator ini adalah lintasan antara garis Tenkan-sen dan Kijun-sen. Selain itu, bentuk “awan” (Kumo) dijadikan zon penting bagi menentukan paras sokongan dan rintangan. Jika kedudukan nilai berada lebih tinggi daripada awan, ia menunjukkan trend pertumbuhan; jika kedudukannya lebih rendah, trend penurunan.

Antara strategi paling popular yang menggunakan indikator ini adalah: 1. Dagangan mengikut lintasan garisan (berdagang long jika Tenkan-sen melintas Kijun-sen dari bawah; berdagang short jika Tenkan-sen memintas Kijun-sen dari atas). 2. Dagangan mengikut bentuk awan (beli apabila harganya lebih tinggi daripada awan serta jika garis Senkou Span A dan Senkou Span B bertembung, menunjukkan trend pertumbuhan; jual apabila harganya lebih rendah daripada awan dan jika terdapat lintasan antara garis, menunjukkan trend penurunan). 3. Memanfaatkan garis lagging (berdagang long apabila Chikou Span melintasi garisan dari arah bawah semasa mengikuti trend pertumbuhan; berdagang short apabila Chikou Span melintasi garisan dari arah atas semasa mengikuti trend penurunan). 4. Strategi awan sebagai sokongan dan rintangan dinamik (4.1. Pulih daripada pembetulan dan meneruskan trend apabila nilainya telah kembali secara sementara ke awan, ia menunjukkan nilai yang sama. 4.2. Trend berubah setelah nilainya menembusi awan dan mengalami penyatuan di belakangnya).

Ishimoku boleh digunakan pada mana-mana tempoh masa, namun ia sangat berkesan jika digunakan pada carta harian (D1), empat jam (H4), dan jam (H1). Sangat penting untuk menunjukkan tahap kesabaran dan disiplin yang tinggi, dan sebelum membuat keputusan dagangan, adalah perlu untuk menunggu isyarat terhasil sepenuhnya dalam strategi dagangan yang dipilih.

Pembangunan Indikator Ishimoku dan Terbitannya

Sejak dihasilkan pada pertengahan kurun ke-20 oleh Goichi Hosoda, Indikator Ishimoku telah melalui banyak pembangunan serta mempengaruhi penghasilan kebanyakan alat analisis teknikal yang lain.

Adaptasi ke dalam pasaran moden. Ishimoku sebenarnya dihasilkan untuk diguna dalam pasaran saham Jepun yang beroperasi enam hari seminggu, menjelaskan tentang pilihan tempoh masa 9, 26, dan 52 hari (masing-masing mengikut bilangan hari dagangan dalam masa seminggu, sebulan, dan dua bulan). Namun, setelah menjadi popular di pasaran Barat, pedagang mula menyesuaikan parameter-parameter ini kepada lima hari bekerja dalam seminggu serta tempoh masa yang lebih pendek seperti carta jam dan minit, membolehkan Ishimoku diguna dengan lebih berkesan bagi dagangan harian dan juga scalping.

Indikator terbitan. Kebanyakan indikator terbitan yang dihasilkan berdasarkan kepada prinsip Ishimoku menggunakan konsep keseimbangan harga serta peralihan masa yang hampir sama. Sebagai contoh, indikator Ichimoku B/B (Ichimoku Breadth & Balance) telah dihasilkan untuk menilai kadar “kelebaran” serta “keseimbangan” pasaran dengan menganalisis agihan harga dalam lingkungan awan Ishimoku. Ia membantu menentukan tahap kemeruapan serta titik yang berpotensi diduduki jika pasaran mengalami penyusutan. Satu lagi indikator , Ichimoku MTF (Multi Time Frame) membolehkan analisis untuk beberapa tempoh masa dilakukan secara serentak pada satu carta. Hal ini menambah baik lagi visualisasi trend jangka panjang dan jangka pendek serta menyediakan paras sokongan/rintangan.

Gabungan strategi. Ishimoku juga sering digunakan bersama-sama dengan indikator popular yang lain untuk memperbaiki ketepatan isyarat dagangan. Contohnya, menggunakan Ishimoku dengan Indeks Kekuatan Relatif (RSI) atau stokastik lain bagi menentukan arah trend, paras sokongan/rintangan, dan menilai keadaan lebihan belian dan jualan di pasaran. Menggabungkan Ishimoku dengan MACD dapat membantu menentukan saat untuk masuk dan keluar pasaran, di mana indikator Ishimoku menentukan trend dan paras utama, manakala MACD pula mengesahkan tahap kekuatan pergerakan trend serta potensi pengunduran.

Variasi dan penambahbaikan untuk pasaran tertentu. Sudah tentu, terdapat juga modifikasi yang dibuat terhadap Ishimoku bagi menyesuaikannya dengan pasaran kewangan tertentu, seperti pasaran mata wang kripto dan juga komoditi. Pengubahsuaian ini termasuklah mengubah tempoh masa standard serta menambah jenis saringan isyarat yang lain. Sebagai contoh, untuk mata wang kripto, pasarannya adalah sangat meruap dan berjalan 24/7, maka pedagang sering mengurangkan tempoh masa standar pada Ishimoku untuk menjadikan indikator tersebut lebih sensitive kepada perubahan harga yang pantas. Untuk pasaran komoditi, trend yang ditunjukkan adalah lebih lama jika dibandingkan dengan Forex, tempoh masa kadang-kala ditambah untuk membuat saringan lebih baik terhadap turun naik serta perubahan kecil dan lebih fokus kepada pergerakan trend yang besar.

Integrasi dengan dagangan algoritma. Ishimoku juga popular dalam kalangan pembangun dagangan algoritma untuk Expert Advisors (EA) kerana kebolehannya untuk menentukan kedudukan penting serta trend dengan jelas tanpa perlu mengubah tetapan seperti yang kebanyakan indikator lain. Ia hampir menjadikan indikator ini sebagai calon paling ideal untuk menyepadukannya ke dalam sistem dagangan automatik di mana objektiviti dan kebolehramalan adalah sangat-sangat penting.

Sumber dan Buku Pembelajaran

Lama-kelamaan, pelbagai sumber pengetahuan yang membincangkan tentang Ishimoku telah dihasilkan, termasuklah buku-buku, webinar, dan kursus. Material-material ini membantu pedagang memahami cara yang paling berkesan untuk menggunakan indikator tersebut serta menyediakan contoh daripada latihan dagangan sebenar dalam pelbagai pasaran. Ini adalah beberapa petikan oleh pakar-pakar kewangan dan pedagang terkenal mengenainya:

Alexander Elder, seorang pedagang profesional berbangsa Rusia-Amerika yang juga penulis buku dagangan popular termasuklah "How to Play and Win on the Stock Exchange": “Ichimoku menjadi alat saringan terbaik untuk dagangan saya. Ia membantu saya menilai kekuatan trend dengan cepat dan mengelak daripada memberi isyarat palsu."

Carol Osborne, seorang pedagang dan penganalisis terkenal yang khusus dalam indikator kompleks: “Paras sokongan dan rintangan yang ditunjukkan secara visual oleh Awan Ichimoku tidak dapat ditandingi oleh mana-mana alat lain."

Larry Williams, seorang pedagang niaga hadapan lagenda yang juga penulis beberapa buah buku mengenai strategi dagangan dan analisis pasaran: “Saya menggunakan Ichimoku untuk mencari titik masuk dan keluar; ia seperti membaca pasaran untuk saya."

Stanley Kroll, seorang pedagang dan juga pelabur jangka panjang yang mahir dalam pengurusan risiko: “Ichimoku bukan saja menentukan arah trend malah juga membantu anda memahami apa yang berlaku apabila trend mula menjadi lemah."

John Bollinger, seorang penganalisis yang juga pencipta indikator “Bollinger Band” yang popular: “Awan Ichimoku menambah lagi kedalaman analisis yang dibuat oleh Bollinger Band, membolehkan ia menentukan kemeruapan pasaran dengan lebih tepat."

Mark Minervini, seorang pedagang berjaya dari AS yang juga penulis beberapa buah buku mengenai strategi pelaburan: “Ichimoku sangat ideal untuk menghasilkan strategi berasaskan trend, terutama sekali jika anda ingin meminimumkan risiko serta menetapkan paras stop-loss yang jelas."

Kelemahan Utama

Walaupun dengan kelebihan yang dinyatakan sebentar tadi, terdapat pelbagai sumber yang turut membincangkan tentang kelemahan indikator ini. Pedagang perlu mengambil kira bahawa seperti indikator yang menggunakan data lampau, isyarat yang diberikan Ishimoku mungkin agak lambat dan tidak selalunya mencerminkan keadaan pasaran semasa dengan tepat.

Satu lagi kelemahan melibatkan golongan yang khususnya melaksanakan dagangan pipsing dan juga scalping. Disebabkan komponen utama indikator ini membuat pengiraan berdasarkan kepada data untuk satu jangka masa panjang, perubahan pantas dan mendadak mungkin tidak diambil kira dengan betul. Hasilnya, dalam keadaan kemeruapan pasaran yang kukuh, Ishimoku mungkin memberikan isyarat palsu, merumitkan lagi proses membuat keputusan.

Bagi kelemahan ketiga, ada juga yang menyatajab agak rumit untuk mentafsir isyarat Ishimoku, terutamanya buat pedagang baru. Indikator ini mengandungi lima garis utama, setiap satunya memiliki kepentingan sendiri, maka isyarat daripada salah satu garis mungkin tidak menyamai garis-garis yang lain. Perkara ini agak tidak menyenangkan terutama sekali dalam dagangan jangka pendek di mana keputusan pantas amat diperlukan. Justeru, seperti yang dinyatakan sebelum ini, adalah dinasihatkan untuk menggunakan gabungan indikator Ishimoku dengan alat analisis teknikal yang lain. Penggunaan seperti ini dapat membantu menyaring isyarat-isyarat palsu dan meningkatkan bilangan dagangan berjaya.


« ARTIKEL BERGUNA
Ikuti Kami