Mei 30, 2024

Dolar AS, salah satu mata wang paling berpengaruh dalam ekonomi dunia jika mengikut sejarah, memiliki kisah lampau menjangkau lebih daripada dua kurun. Mata wang itu telah melalui peralihan daripada satu unit akaun yang ringkas menjadi aset rizab global, mencerminkan perubahan ekonomi dan politik bukan saja di negara itu, malah juga di peringkat global. Memahami sejarah dolar yang dahulu dan sekarang dapat membantu para pedagang menganalisis trend pasaran semasa, meramal perkembangannya, menilai tahap kekukuhan “Greenback” itu, dan juga membuat keputusan tepat. Maka, dari mana dolar berasal dan bagaimana ia mencapai kejayaan yang dikecapi hari ini?

Kurun Ke-18: Dolar Di Ambang Kemerdekaan AS

Sejarah dolar AS pada kurun ke-18 adalah berkait rapat dengan perkembangan ekonomi serta perubahan politik dalam kalangan golongan muda di negara Amerika. Malah ia telah pun bermula sebelum negara itu merdeka, merangkumi beberapa peringkat dan peristiwa penting.

Asal usul perkataan “dolar” boleh dijejak semula pada tahun-tahun awal kewujudan New York. Pada kurun ke-17, New York adalah satu penempatan untuk orang Belanda yang diberi nama New Amsterdam, dan mata wang utama di situ adalah “leeuwendaler” (syiling Belanda yang memaparkan seeking singa). Perkataan “daler” yang dipendekkan telah diguna secara meluas, bukan saja untuk mata wang Belanda malah juga lain-lain mata wang.

Perlu diketahui bahawa sebelum penghasilan mata wang Amerika yang disatukan, pelbagai koloni Amerika menggunakan bermacam-macam bentuk wang, termasuklah pound British, doubloon Sepanyol, serta mata wang berbentuk komoditi seperti tembakau atau jagung. Seperti kerajaan negara itu sendiri, wang sebenar Amerika membuat kemunculan semasa berlakunya Perang Kemerdekaan (1775-1783), apabila pihak Kongres Benua meluluskan undang-undang rasmi pertama untuk pengedarannya pada tahun 1776.

Masalah paling utama pada waktu itu adalah kekurangan syiling. Akibatnya, Kongres Benua Kedua mengeluarkan dolar Benua - wang kertas bagi membiayai perbelanjaan ketenteraan. Wang kertas ini tidak disandarkan dengan emas atau perak, menyebabkan inflasi dan susut nilai. Frasa “tidak bernilai seperti dolar Benua” adalah berasal daripada zaman itu apabila masyarakat umum hilang kepercayaan terhadap mata wang tersebut.

Detik penting dalam sejarah dolar adalah penerimaan Akta Syiling 1792 yang menubuhkan sistem kewangan AS secara rasmi. Undang-undang itu menetapkan dolar sebagai satu unit sistem kewangan serta menyediakan penghasilan syiling pertama Amerika. Dolar ditakrifkan mengandungi 371.25 butir (24.057 gram) perak tulen, diinspirasikan oleh peso perak Sepanyol (juga dikenali sebagai “dolar Sepanyol").

Alexander Hamilton (1755/1757–1804), Setiausaha Perbendaharaan AS yang pertama memberi cadangan untuk membuat perancangan tentang penubuhan sebuah bank negara. Matlamatnya adalah untuk menyokong ekonomi yang sihat, kestabilan mata wang, dan juga pengurusan hutang negeri oleh pihak persekutuan. Idea serta pembaharuan yang dibawa Hamilton memainkan peranan penting dalam pengisytiharan dolar sebagai mata wang kebangsaan, menyumbang kepada kestabilan kewangan serta menanam rasa percaya terhadap wang baru itu.

Menjelang akhir kurun ke-18, dolar mula diterima secara meluas untuk transaksi domestik dan perlahan-lahan diiktiraf di persada antarabangsa. Langkah penting selepas itu adalah penubuhan beberapa kilang pembuatan di serata AS, memastikan penghasilan syiling mengikut standard piawaian. Hal ini mengukuhkan peranan dolar sebagai asas sistem ekonomi Amerika, membantuk menyelesaikan pelbagai masalah ekonomi dan kewangan negara baru itu, memastikan ekonominya berkembang di masa hadapan, serta menyediakan batu asas kepada status dolar sebagai mata wang utama pada masa hadapan.

Sejarah Dolar AS: Dari Permulaan Sehingga Dominasi Global1

Kurun ke-19: Laluan Berliku Untuk Mendapat Pengiktirafan

Pada awal kurun ke-19, mata wang Eropah seperti pound sterling British mendominasi sistem kewangan dunia, menjadi mata wang paling stabil bagi dagangan antarabangsa serta rizab kewangan negara. Peranan dolar di persada dunia adalah hampir tiada. Ia hanya mula mengukuhkan kedudukannya serta dikenali ramai pada pertengahan kurun ini ketika sektor industri berkembang di AS dan perkembangan ekonomi Amerika telah membuka jalan kepada pengiktirafannya.

Sejak penggubalan Akta Syiling pada tahun 1792 sehinggalah tercetusnya Perang Saudara Amerika (1861-1865), kerajaan persekutuan tidak mengeluarkan wang kertas. Tugas mengeluarkan wang kertas ini diserahkan kepada negeri masing-masing mahupun bank-bank swasta. Situasi ini menjadi lebih rumit dengan kemunculan negeri-negeri bebas yang baru. Cuba bayangkan keadaan kacau-bilau yang akan berlaku akibat penggunaan pelbagai wang kertas dengan pelbagai saiz dan rekaan. Bank-bank perlu menyediakan katalog yang mengandungi wang kertas contoh, dan sebagai langkah keselamatan, membuat tukaran wang kertas asing pada nilai diskaun. Sebagai contoh, wang kertas $5 oleh Bank Agrikultur Tennessee mungkin hanya bernilai $4 di New York.

Namun kekeliruan tidak terhenti di situ saja; keadaan menjadi lebih kucar-kacir apabila golongan pemalsu dan penipu turut mencetak wang mereka. Disebabkan mana-mana bank di mana-mana negeri boleh mencetak wang mereka sendiri, terdapat golongan yang mula membuka bank dengan gelaran “Wildcat” di kawasan-kawasan terpencil, terutama sekali di bahagian Wild West, di mana mereka memperkenalkan mata wang mereka sendiri. Jika bank seperti itu muflis atau hilang bersama-sama pemiliknya, wang kertas yang mereka keluarkan tidak bernilai lagi.

Situasi ini beransur-ansur menjadi lebih baik selepas Perang Saudara yang sangat memberi kesan besar terhadap ekonomi negara dan sistem kewangannya. Semasa peperangan berlaku, kerajaan mengeluarkan wang kertas yang dikenali sebagai “Greenback” - wang perbendaharaan dalam denominasi 1, 2, 5, 10, 20, 50, 100, 500, 1000, dan 10000 dolar yang tidak boleh ditukarkan kepada logam berharga. Wang kertas ini mendapat nama “Greenback” kerana bahagian belakangnya berwarna hijau. Pengedaran wang kertas ini mengurangkan kebergantungan kepada emas dan perak buat sementara serta mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan persekutuan dalam ekonominya. Walau bagaimanapun, cetakan berlebihan semasa berlakunya kegawatan ekonomi telah mengakibatkan nilai Greenback susut. Pada tahun 1864, nilai sekeping wang kertas adalah kurang daripada 40 sen dalam bentuk perak.

Setelah Perang Saudara berakhir, Akta Specie Payment Resumption 1875 menyatakan bahawa kerajaan perlu menebus wang kertas dan menukarnya kepada emas, mengukuhkan keyakinan terhadap dolar sebagai satu mata wang yang stabil dan boleh dipercayai.

Hujung Kurun ke-19: Bermulanya Pengembangan di Peringkat Global

Revolusi Industri di AS yang bermula pada pertengahan kurun ke-19 telah mengukuhkan lagi kedudukan ekonomi negara itu. Pembangunan rangkaian kereta api, industri keluli, serta penghasilan secara besar-besaran telah menjadi penyumbang kepada kekayaan negara dan meningkatkan jumlah peredaran wang dolar di peringkat domestik dan antarabangsa. Sistem perbankan meluas telah diwujudkan di AS, memastikan mata wang negara itu diedarkan dengan stabil, menyediakan pinjaman, dan membiayai projek-projek industri berskala besar.

Pada waktu itu, AS mula turut serta secara aktif dalam persidangan dan perjanjian antarabangsa, seperti Persidangan Kewangan Antarabangsa 1878 di mana perbincangan mengenai standard pengeluaran mata wang dan dagangan dibuat. Pada tahun yang sama, satu undang-undang telah diluluskan bagi mengawal selia pengeluaran Greenback, membantu dolar dalam mengukuhkan kepercayaan serta pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Mata wang Amerika mula digunakan secara aktif di luar negara sebagai kaedah untuk melunaskan bayaran, dibantu dengan eksport barangan dari AS seperti kapas, tembakau, dan gandum, serta pelaburan, pinjaman, serta bantuan kewangan Amerika di luar negara. Amerika menggunakan dolar sebagai satu alat untuk diplomasi kewangan, dengan matlamat untuk melebarkan pengaruh mereka di pelbagai rantau, terutama sekali di Amerika Latin.

Semua langkah-langkah ini telah menjadikan nilai dolar lebih kukuh, menyediakan akses yang lebih mudah dan senang untuk kegunaan di dalam dan luar negara. Menjelang awal kurun ke-20, dolar telah berubah daripada mata wang baru dan tidak stabil pada 100 tahun menjadi satu elemen penting dalam ekonomi dunia. Ia menjadi simbol kepada pertumbuhan ekonomi serta pengaruh politik Amerika Syarikat, dan kestabilan serta kebolehpercayaan yang dimilikinya telah membantu mengukuhkan keyakinan sistem kewangan Amerika di seluruh dunia. Proses ini telah menjadi batu asas kepada dominasi dolar dalam ekonomi dunia pada masa hadapan, dan dominasi yang kukuh berjaya dihasilkan pada kurun ke-20.

Separuh Pertama Kurun ke-20: Mengharungi Perang dan Krisis untuk Mendominasi Dunia

Pada separuh pertama kurun ke-20, dolar AS berdepan perubahan dan cabaran yang besar, menjadi mata wang utama dunia. Beberapa peristiwa global telah dilalui sepanjang tempoh ini, termasuklah Perang Dunia Pertama, Zaman Kemelesetan, dan Perang Dunia Kedua. Semasa berlakunya Perang Dunia Pertama (1914-1918), negara AS telah menjadi kreditor dan pembekal sumber terbesar untuk Kuasa Bersekutu (Empayar Rusia, Great Britain, dan Perancis). Sebelum turut serta dalam perang pada than 1917, AS berdagang dan menyediakan pinjaman secara aktif kepada sekutunya, mengakibatkan kemasukan jumlah emas yang besar serta mengukuhkan nilai dolar. Perang ini telah membantu dolar memulakan proses untuk menjadi mata wang dunia kerana ekonomi Eropah menjadi lemah dan ekonomi AS pula menjadi lebih kukuh.

Setelah perang berakhir (1918-1929), Amerika menggunakan penguasaan ekonominya untuk mempromosikan lagi dolar. Penubuhan pelbagai institusi kewangan serta penyertaan mereka dalam sidang kewangan antarabangsa telah membantu penyepaduan dolar ke dalam ekonomi global. Namun, keruntuhan pasaran saham pada tahun 1929 serta Zaman Kemelesetan (1929-1939) yang berlaku selepas itu telah menjejaskan ekonomi AS dengan teruk. Sebagai respon terhadap kegawatan ekonomi yang berlaku, Presiden Franklin Roosevelt telah melaksanakan beberapa langkah yang dikenali sebagai “New Deal”, termasuklah menyingkirkan standard emas pada tahun 1933 yang membolehkan bekalan wang ditingkatkan serta merangsang ekonomi. Langkah-langkah ini telah berjaya menstabilkan dolar serta meletakkan batu asas untuk pengukuhan lebih tinggi.

Sepanjang Perang Dunia Kedua (1939-1945), AS sekali lagi menjadi enjin ekonomi dunia kerana negara-negara Eropah telah musnah. Kira-kira setahun sebelum perang berakhir, dari 1Julai sehingga 22 Julai 1944, Persidangan Bretton Woods, dikenali secara rasminya sebagai Persidangan Monetari dan Kewangan Negara-Negara Bersatu telah diadakan. Persidangan ini telah menjadi asas kepada ekonomi dan sistem kewangan dunia selepas perang. Ia telah mengumpulkan seramai 730 orang delegasi dari 44 buah negara Bersekutu di Hotel Mount Washington di Bretton Woods, New Hampshire, AS. Matlamat utama adalah untuk mewujudkan persekitaran ekonomi stabil yang boleh menghalang daripada berlakunya malapetaka ekonomi seperti Zaman Kemelesetan pada tahun 1930. Matlamat dan kejayaan utama persidangan ini adalah:

- Kestabilan kadar tukaran: Untuk menghalang daripada saingan tarif dan penurunan nilai secara kompetatif akibat kesan teruk daripada Zaman kemelesetan, satu sistem kadar tukaran tetap namun boleh diubah telah dihasilkan. Dolar menjadi mata wang rizab utama dunia, dan kesemua mata wang utama disandarkan kepada Greenback yang boleh ditukar ganti dengan emas pada kadar tetap $35 bagi setiap auns.

- Penubuhan Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund atau IMF): IMF telah ditubuhkan bagi memantau sistem kewangan, menyediakan pinjaman jangka pendek kepada negara-negara yang ingin mengekalkan kadar tukarannya, serta membantu menyelesaikan isu baki bayaran balik.

- Penubuhan Bank Pembangunan dan Pembinaan Semula Antarabangsa (International Bank for Reconstruction and Development atau IBRD/Bank Dunia): Bank Dunia telah ditubuhkan bagi menyediakan modal jangka panjang kepada negara yang memerlukan apabila berakhirnya perang. Matlamat utamanya adalah untuk membiayai projek bagi mempromosikan pertumbuhan ekonomi dan juga menambah baik standard kehidupan.

Antara kesan penting daripada persidangan ini adalah promosi terhadap pelaburan dan dagangan antarabangsa, menyediakan keperluan bagi persekitaran mata wang yang stabil setelah keadaan kucar-kacir dan tidak stabil yang berlaku pada tahun 1930-an. Satu lagi hasilnya adalah kedudukan dolar AS yang semakin kukuh. Mata wang dolar, bersama-sama emas menjadi asas de facto kepada sistem kewangan dunia, mendorong kepada peningkatan pengaruh ekonomi dan politik Amerika Syarikat di persada antarabangsa.

Separuh Kedua Kurun ke-20: "Kejutan Nixon" dan Kesannya

Walaupun sistem Bretton Woods telah menyumbang kepada kemakmuran serta kestabilan ekonomi dalam dekat pertama selepas perang, keadaan itu mula goyah pada tahun 1960-an disebabkan pelbagai isu berkenaan ekonomi dan politik. Akhirnya, pada tahun 1971, Presiden AS iaitu Richard Nixon mengumumkan penggantungan kebolehtukaran dolar kepada emas. Perkara ini dikenali sebagai “Kejutan Nixon”, dan kesannya termasuklah:

- Peralihan kepada kadar tukaran terapung: Sejurus selepas kebolehtukaran dolar kepada emas digantung, mata wang utama dunia beralih kepada sistem kadar tukaran terapung. Sistem ini membolehkan kadar tukaran berubah mengikut keadaan pasaran tanpa perlu bersandar kepada dolar mahupun emas.

- Peningkatan kadar kemeruapan di pasaran mata wang: Sistem kadar tukaran terapung ini telah mengakibatkan kemeruapan pasaran mata wang bertambah kerana kadar tukaran kini bergantung kepada bermacam-macam indikator ekonomi serta sentimen pasaran yang bersifat spekulatif.

- Peranan bank negara dipertingkatkan: Bank-bank negara/pusat menerima lebih banyak kuasa dan tanggungjawab untuk menguruskan mata wang negara masing-masing dalam persekitaran kewangan global yang lebih rumit dan dinamik.

Walaupun dengan keruntuhan sistem Bretton Woods, ia telah menjadi asas kepada binaan sistem kewangan antarabangsa moden dan juga menyumbang kepada penubuhan IMF serta Bank Dunia, agensi yang terus memainkan peranan penting dalam ekonomi global. Disamping itu, pengalaman daripada sistem Bretton Woods menekankan tentang kepentingan koordinasi polisi ekonomi antarabangsa serta kesan struktur kewangan global terhadap pembangunan sesebuah negara. Malah selepas kejadian “Kejutan Nixon”, mata wang Greenback mengekalkan kedudukannya, dan pada lewat kurun ke-20 dan awal kurun ke-21, ia kekal menjadi mata wang rizab utama serta aset penting bagi dagangan dan kewangan antarabangsa.

Kurun ke-21: Krisis Baru, Cabaran Baru

Pada kurun ke-21, walaupun dolar terus memainkan peranan penting dalam ekonomi dunia, ia sering berdepan dengan cabaran serta perubahan baru yang mencerminkan dunia kewangan yang lebih rumit dan berada dalam era globalisasi. Ledakan ekonomi pada tahun 2000-an telah diganggu dengan krisis kewangan global tahun 2008, menyebabkan kegawatan teruk serta memerlukan campur tangan berskala besar oleh kerajaan. Rizab Persekutuan AS (Fed) terpaksa menurunkan kadar faedah dan memulakan program pelonggaran kuantitatif (QE) bagi menyokong ekonominya.

Pada tahun 2020, pandemik COVID-19 telah menyebabkan satu lagi krisis ekonomi. Amerika sekali lagi memberikan respon dengan polisi kewangan dan fiskal yang agresif, termasuklah rangsangan kewangan dan polisi kewangan yang lebih longgar. Langkah-langkah ini dapat membantu ekonomi namum dalam masa yang sama menambah hutang negara dan mengakibatkan peningkatan inflasi. Setelah pandemik kembali reda dan ekonomi AS berjaya menunjukkan daya ketahanan yang tinggi terhadap keadaan paling mencabar, bank persekutuan AS mula menormalkan polisi kewangan mereka secara beransur-ansur.

Sehingg hari ini, dolar dianggap aset simpanan paling dipercayai, maka kebanyakan rizab mata wang antarabangsa masih menggunakan dolar AS, memastikan permintaan tinggi terhadap Greenbacks. Harga minyak dan lain-lain komoditi adalah dalam dolar, dan kebanyakan transaksi dagangan dan kewangan antarabangsa masih lagi dijalankan menggunakan mata wang ini.

Namun, dolar tidak boleh bersenang-lenang dengan kejayaan yang ada. Beberapa tahun kebelakangan ini, persaingan daripada lain-lain mata wang seperti euro dan yuan China semakin sengit. China mempromosikan yuan sebagai mata wang antarabangsa secara aktif, menandatangani perjanjian swap bersama negara lain serta mengembangkan penggunaan yuan sebagai kaedah penyelesaian antarabangsa. Kewujudan mata wang kripto serta minat dalam bank pusat mata wang digital (CBDC) memberikan cabaran lain kepada dominasi dolar. Pertambahan hutang kerajaan AS juga menambah lagi kebimbangan tentang kemampanan mata wang Amerika itu untuk jangka masa panjang dan mampu menyebabkan keyakinan hilang. Maka, berdepan cabaran serta perubahan ekonomi global, daya tahan serta kebolehsuaian dolar akan menjadi faktor penting untuk mengekalkan kedudukan dominannya pada masa hadapan.


« ARTIKEL BERGUNA
Ikuti Kami