Jun 20, 2024

Indikator ekonomi memainkan peranan penting dalam membuat analisis fundamental serta unjuran jangka panjang dan sederhana, sama ada berkenaan mata wang atau harga komoditi dagangan bursa. Dalam kalangan indikator, Indeks Harga Pengguna (Consumer Price Index atau CPI), Indeks Harga Pengeluar (Producer Price Index atau PPI), dan Indeks Pengurusan Pembelian (Purchasing Managers' Index atau PMI) adalah antara yang menyerlah kerana kepentingan serta penggunaan yang meluas. Indeks-indeks ini menyediakan maklumat penting mengenai pelbagai aspek keadaan ekonomi dan mempengaruhi keputusan Bank-Bank Negara berkenaan kadar faedah serta keseluruhan polisi kewangan mereka. Justeru, dengan memahami indeks-indeks ini, peserta pasaran kewangan boleh membuat keputusan tepat sama ada dalam dagangan, pelaburan, mahupun rancangan strategik.

CPI – Indikator Utama Inflasi

Indeks Harga Pengguna (CPI) adalah salah satu indikator ekonomi penting yang mengukur perubahan harga barangan serta perkhidmatan yang digunakan setiap isi rumah. Ia mewakili purata wajar bagi penilaian perubahan harga beberapa barangan dan perkhidmatan dalam satu tempoh tertentu. Maka, indeks CPI menjadi antara parameter penting dalam menilai kadar inflasi ekonomi.

Pengiraan kadar melibatkan beberapa langkah:

– Pilih tempoh dasar: Menetapkan titik mula harga untuk membandingkan harga pada masa depan.

– Pilih beberapa jenis barangan dan perkhidmatan: Menentukan set barangan dan perkhidmatan yang akan diguna dalam pengiraan indeks. Set ini mencerminkan tabiat penggunaan isi rumah.

– Harga wajar: Meletakkan harga wajar bagi setiap barang dan perkhidmatan berdasarkan kepada purata perbelanjaan isi rumah.

– Mengumpul data harga: Harga barangan dan perkhidmatan diambil daripada pelbagai sumber, termasuklah kedai-kedai, pasaraya, kedai atas talian, dan lain-lain outlet.

– Mengira indeks: Membuat perbandingan harga semasa dengan harga dalam tempoh dasar, dan kadar CPI akan dikira berdasarkan kepada perbandingan ini.

Jenis-Jenis Indeks CPI. Terdapat beberapa jenis indeks CPI, setiap satunya memiliki ciri tersendiri dan digunakan untuk tujuan berbeza:

– CPI Utama: Mencerminkan perubahan kos kesemua barangan dan perkhidmatan yang ada dalam bakul, termasuklah makanan, pakaian, rumah, pengangkutan, perubatan, perbelanjaan hiburan, serta banyak lagi barangan dan perkhidmatan yang diguna masyarakat umum. 

– CPI Teras: Mengecualikan komponen meruap seperti makanan, bahan api, rokok, dan alcohol bagi menyediakan dinamik harga yang lebih stabil dan tepat. Indikator ini diguna bagi menentukan inflasi teras iaitu indikator yang lebih dipercayai untuk trend ekonomi jangka panjang.

– CPI Pengguna Bandar (CPI-U): Meliputi perbelanjaan kesemua isi rumah di bandar.

– CPI Pekerja Upah (CPI-W): Memfokuskan kepada perbelanjaan isi rumah di mana pendapatan utama adalah hasil daripada kerja-kerja pembuatan.

Kepentingan indeks CPI dalam Pasaran Kewangan. Untuk pedagang dan lain-lain peserta pasaran kewangan, memantau indeks CPI adalah sangat penting. Indeks CPI adalah indikator utama bagi inflasi. Justeru, Bank-Bank Negara seperti Rizab Persekutuan (Fed), Bank Negara Kesatuan Eropah (ECB), dan lain-lain menggunakan data CPI untuk membuat keputusan polisi kewangan mereka. Kadar inflasi yang tinggi di sesebuah negara boleh menyebabkan kenaikan kadar faedah, memberi kesan kepada kos pinjaman, hasil perolehan bon kerajaan, serta kadar tukaran mata wang negara berbanding mata wang lain. Maka, indikator CPI adalah komponen asas bagi analisis fundamental, membolehkan peserta pasaran kewangan membuat keputusan tepat dan menyesuaikan strategi mereka mengikut keadaan ekonomi semasa. Ia memberi kesan kepada strategi pelabur, selera risiko, serta tahap minat kepada pelbagai aset selamat lain.

Kegunaan Indeks CPI, PPI, dan PMI Dalam Analisis Kewangan1

PPI – Indikator Utama Inflasi

Indeks Harga Pengeluar (PPI) adalah antara indikator ekonomi paling penting yang diguna bagi mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh syarikat pembuatan nasional. Indeks PPI adalah indikator utama inflasi kerana perubahan dalam harga pada peringkat pengeluaran mendahului perubahan harga pada peringkat pengguna (CPI).

Pengiraan indeks PPI melibatkan beberapa langkah penting:

– Pilih tempoh dasar: Menetapkan titik mula harga untuk membandingkan harga pada masa depan.

– Pilih set barangan dan perkhidmatan: Menentukan kelompok barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan dalam ekonomi.

– Harga wajar: Meletakkan harga wajar bagi setiap barang dan perkhidmatan berdasarkan kepada kadar penghasilan.

– Mengumpul data harga: Harga barangan dan perkhidmatan dikumpul daripada pelbagai syarikat dan juga pengeluar.

– Mengira indeks: Membuat perbandingan harga semasa dengan harga dalam tempoh dasar, dan kadar PPI dikira berdasarkan perbandingan ini.

Jenis-jenis Indeks PPI. Terdapat beberapa jenis indeks PPI, setiap satu digunakan secara berbeza dan memiliki ciri tersendiri:

– PPI Semua Komoditi: Termasuklah semua barangan dan perkhidmatan yang terhasil dalam ekonomi.

– PPI Barangan Pengantara: Memfokuskan kepada barangan yang diguna dalam proses pembuatan tetapi bukan bertujuan untuk kegunaan akhir.

– PPI Bahan Mentah: Mencerminkan perubahan harga bahan mentah utama.

– PPI Barangan Siap: Mengukur perubahan harga produk yang bersedia dijual untuk pengguna akhir.

Seperti indeks CPI, indeks PPI adalah penting untuk menganalisis pasaran kewangan serta membangunkan strategi dagangan jangka panjang dan sederhana. Seperti yang telah dinyatakan, indeks PPI adalah indikator utama dan digunakan untuk membuat unjuran inflasi pengguna. Maka, ia digunakan secara aktif oleh Bank-Bank Negara apabila membuat keputusan berkenaan polisi kewangan. Data PPI juga sangat berguna buat pelabur dan pedagang dalam pasaran saham dan komoditi kerana ia membantu mereka menilai perubahan kos penghasilan yang ditampung syarikat, sesuatu yang penting bagi mereka untuk menganalisis tahap keuntungan dan daya saing.

PMI – Penilaian Keadaan Ekonomi Semasa Dan Akan Datang

Satu lagi indikator ekonomi yang penting adalah Indeks Pengurusan Pembelian (PMI). Ia diguna bagi menilai keadaan semasa serta unjuran masa depan aktiviti dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan bagi sesuatu ekonomi negara atau kesatuan, sebagai contoh, negara-negara di Eurozone. Indeks PMI adalah berdasarkan kepada kaji selidik pengurus-pengurus pembelian dan mencerminkan perubahan dari segi pesanan baru, pengeluaran, tenaga kerja, penghantaran dan juga inventori.

Pengiraan kadar PMI adalah seperti berikut: Pengurus pembelian dari syarikat-syarikat memberi respon terhadap soalan-soalan mengenai keadaan semasa perniagaan. Aspek soalan yang diberi termasuklah jumlah order baru, tahap pengeluaran, tenaga buruh, tempoh penghantaran, dan jumlah inventori. Respon yang diberi akan diproses dan ditukar kepada nilai indeks. Setiap aspek akan diberikan nilai wajar berdasarkan kepentingannya. Nilai melebihi 50.0 dianggap sebagai positif dan menunjukkan pertumbuhan aktiviti, manakala nilai lebih rendah daripada 50.0 adalah negatif dan menunjukkan penguncupan ekonomi.

Jenis-Jenis Indeks PMI. Terdapat beberapa jenis indeks PMI, dan setiap daripadanya diguna untuk tujuan berbeza dan memiliki ciri-ciri tersendiri:

– PMI Pembuatan: Menunjukkan keadaan aktiviti perniagaan dalam sektor pembuatan.

– PMI Perkhidmatan: Menilai aktiviti perniagaan dalam sektor perkhidmatan.

– PMI Komposit: Data termasuklah dari sektor pembuatan dan perkhidmatan, memberi gambaran keseluruhan aktiviti ekonomi.

Kepentingan Indeks PMI Dalam Pasaran Kewangan. Bagi pedagang dan lain-lain peserta pasaran kewangan, terdapat beberapa sebab penting untuk memantau indeks PMI. Pertama, indeks PMI adalah indikator utama yang menyediakan gambaran keseluruhan mengenai keadaan ekonomi pada masa hadapan. Kadar indeks yang meningkat menandakan perkembangan aktiviti ekonomi, manakala penurunan kadar pula menunjukkan penguncupan. Bank-bank negara dan juga badan-badan kerajaan menggunakan data PMI bersama-sama dengan indeks CPI dan PPI bagi menilai serta mengunjur keadaan ekonomi semasa dan pada masa hadapan serta membuat keputusan berkenaan polisi kewangan mereka. Selain itu, memantau indeks PMI juga membolehkan peserta pasaran kewangan membuat keputusan tepat selain daripada menyesuaikan strategi mereka berdasarkan keadaan ekonomi semasa dan yang diunjurkan. Sebagai contoh, peningkatan kadar PMI Pembuatan mungkin merangsang minat terhadap saham-saham syarikat pembuatan, manakala penurunannya pula mungkin mendesak pelabur ke arah aset selamat.

***

Tidak diragui lagi, setiap jenis indeks yang telah disebutkan di atas adalah penting dan berguna dengan sendirinya. Walau bagaimanapun, menggabungkan beberapa indeks dapat membantu pedagang dan pelabur membuat unjuran trend jangka panjang dan sederhana yang lebih tepat, meningkatkan lagi hasil perolehan mereka, serta mengurangkan risiko kewangan.

Selain itu, bacaan indikator ekonomi dapat membantu dalam menjangkakan keputusan yang bakal diambil Bank-Bank Negara, seterusnya mampu digunakan dengan berkesan dalam dagangan jangka pendek yang dibuat sejurus sebelum dan selepas mesyuarat penggubal-penggubal dasar. Perlu juga diketahui bahawa kelebihan metrik-metrik ini bukan saja terhadap pedagang mata wang, saham, dan komoditi malah juga bagi golongan yang terlibat dalam pelaburan dan dagangan mata wang kripto. Sebagai contoh, situasi ekonomi di AS serta langkah yang diambil Rizab Persekutuan memberi kesan besar terhadap selera risiko serta pelaburan peserta pasaran, sesuatu yang mampu mencetuskan pertumbuhan dan penguncupan pasaran aset digital. Maka, dapatlah disimpulkan dengan yakin di sini bahawa memahami indeks CPI, PPI dan PMI adalah kunci kepada pelaburan serta keputusan dan strategi dagangan berjaya.


« ARTIKEL BERGUNA
Ikuti Kami