Mac 14, 2020

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Cukup! Ekonomi dunia bukan lagi digerakkan oleh kerajaan, bank-bank, mahupun syarikat perbadanan. Ekonomi kini hanya dikuasai oleh “sesuatu” yang digelar Covid-19. Pandemik coronavirus telah mengakibatkan situasi panik di bursa saham, penurunan harga minyak, pengurangan kadar pengeluaran, serta penutupan sempadan. Semua orang berasa takut, tidak tahu apa yang bakal berlaku pada minggu atau bulan hadapan, malah enam bulan yang akan datang. Sekolah-sekolah dan universiti, restoran dan kafe-kafe, taman serta stadium kini kosong, orang ramai dinasihatkan untuk duduk di rumah saja. Makanan dan tisu tandas langsung tidak kelihatan di pasaraya-pasaraya. Segala kegiatan beramai-ramai telah dibatalkan, dan ada khabar angin yang berleluasa di media sosial mengatakan pembatalan persidangan untuk menghadapi coronavirus adalah disebabkan oleh…coronavirus. Keputusan Presiden Trump untuk menutup sempadan AS serta melarang kemasukan warga Eropah telah mengejutkan pasaran. Niaga hadapan EuroSTOXX50 jatuh 5.57%, manakala niaga hadapan DAX30 turun sebanyak 4.22%. Indeks saham di AS mengalami kerugian paling teruk dalam tempoh 33 tahun. Indeks saham utama di Jepun, Australia, India, Hong Kong, Korea Selatan, serta lain-lain negara mencecah paras terendahnya.
    Masih ingatkah kesan besar yang diakibatkan oleh keputusan untuk mengurangkan kadar faedah utama dari 1.75% kepada 1.25% semasa mesyuarat tergempar Rizab Persekutuan pada 4 Mac lalu. Disebabkannya, pasangan EUR/USD melonjak naik melebihi hampir 640 mata, sedikit lagi akan mencecah paras 1.1500.
    Tidak seperti yang berlaku di Amerika, pihak ECB mengekalkan kadar mereka semasa bermesyuarat pada 12 Mac. Gabenor bank Christine Lagarde berkata sistem perbankan di Eurozone masih lagi stabil dan tidak memerlukan sebarang pengurangan kadar. (Kadarnya ketika itu adalah -0.5% dan negatif). Namun pasaran lebih tertarik dengan kenyataan Cik Lagarde berkenaan masalah penyusutan spread yang tidak akan diselesaikan pihak ECB. Para pelabur masih teringat akan krisis hutang pada tahun 2011 yang berpunca daripada kenaikan kadar sehingga menyebabkan saham-saham serta matawang negara-negara Eropah jatuh, dan hampir mencecah 1.1055 iaitu paras terendahnya.
    Jika pada tahun lalu julat turun naik mingguan pasangan ini tidak sampai 200 mata, julat pasangan EUR/USD untuk tahun ini dengan mudah mengatasi nilai tersebut dan hanya mengambil masa beberapa jam saja. Semasa nilainya memuncak pada minggu lalu, nilai dolar pulih kira-kira 440 mata berbanding euro. Kemudian ia mengalami pembetulan, dan pasangan ini mengakhiri tempoh lima hari dengan berada hampir pada 1.1100. Pada pendapat kami, semua ini menunjukkan keadaan yang amat mengelirukan di pasaran sehingga pasangan itu sekali lagi kembali ke zon Pivot Point di mana ia sudahpun berada sejak Mei 2019.
    Bagi ramalan yang dibuat pada minggu lalu, 40% penganalisis memilih pasangan ini untuk berada di zon antara 1.1450-1.1500. Ia berlaku pada hari Isnin, 9 Mac. Majoriti penganalisis (60%) memilih kembalinya pasangan ini ke paras di antara 1.1000-1.1100, dan seperti yang dinyatakan di atas, ia benar-benar berlaku. Justeru kedua-dua ramalan adalah 100% tepat. Bukankah itu suatu paradoks? Tidak, semuanya disebabkan oleh coronavirus;
  • GBP/USD. Terdapat dua faktor utama yang dikaitkan dengan pound. Pertama sekali kekeliruan mengenai pasaran minyak serta penurunan harganya yang amat berkait rapat dengan matawang British ini. Kedua, dinamik negatif dalam pasaran hutang. Hasil bon 10 tahun kerajaan di UK terus mengalami penurunan jika dibandingkan dengan hasil sekuriti yang sama di AS dan juga Jerman. Namun, jika hasil bon saja yang jatuh, sudah tentu sebut harga pound akan jatuh lebih teruk. Apa lagi yang boleh anda buat apabila turun 900 mata dalam masa hanya 5 hari?
    Akhirnya, pasangan ini mencecah paras minggu pertama Oktober 2019 dan mengakhiri sesi dagangan pada paras 1.2280: paras yang mungkin bull tidak jangkakan dalam mimpi buruk mereka seminggu yang lalu;
  • USD/JPY. Nilai dolar berbanding euro, pound dan juga yen mula naik sejak petang Isnin, 9 Mac. Para pelabur juga telah menyingkirkan emas yang mengalami korelasi songsang dengan pasangan ini. Akhirnya, setelah meninggalkan paras sokongan 101.17 pada hari Isnin, pasangan ini berada di kedudukan 108.00 pada hari Jumaat, 13 Mac – paras sama ia berada pada hari Jumaat, 6 Mac. Angka itu tidaklah begitu pelik jika dilihat pada analisis grafik. Apa yang menghairankan adalah masa serta skop turun naiknya: - pertama sekali turun 700 mata dalam tempoh 5.5 hari, kemudian turun lagi dalam tempoh 4.5 hari dengan jumlah mata yang sama. Apa lagi yang boleh anda lakukan, inilah realitinya;
  • Matawang Kripto. "Cui prodest?”, - laung penduduk Roman kuno yang bermaksud: “siapa yang mendapat untung”. Semua keuntungan yang disebut adalah milik peminat kripto, jutawan kripto dan juga lain-lain pemilik dengan jumlah matawang kripto yang banyak. Apapun, merekalah yang meyakinkan para pelabur dan pedagang bahawa tidak lama lagi, nilai bitcoin dan juga pasaran kripto keseluruhannya akan melonjak naik ke paras yang belum pernah dicapai sebelum ini. “Bitcoin telah menjadi alat terbaik untuk lindung nilai matawang daripada segala risiko dan ia akan menggantikan dolar tidak lama lagi!” - itulah yang disebut-sebutkan, menggesa semua orang untuk melabur dalam coin kripto, menyebabkan mereka menjadi lebih kaya. Jadi?
    Bercakap tentang jampi para “penggila” ini, sering kami ingatkan sebelum melaburkan wang, adalah sangat perlu untuk kita menilai situasi yang ada, atau mungkin membuka posisi jual dan bukannya beli - kerana pasangan BTC/USD bukan saja boleh naik dengan mendadak, ia juga boleh jatuh menjunam. Itulah yang berlaku pada minggu lalu.
    Jika anda percaya pada sang pembela bitcoin, bolehlah ia dianggap sebagai talian selamat semasa kejatuhan pasaran saham, penyusutan kadar tukaran serta putusnya hubungan ekonomi. Dikala semua kecelakaan ini sedang berlaku, ia seharusnya memberikan pulangan kepada para pelabur, namun nilai Bitcoin menyusut dengan lebih cepat.
    Dalam masa sebulan bermula 12 Februari hinggalah 13 Mac, nilai matawang kripto utama ini menyusut sebanyak 58%, jatuh daripada $10,340 kepada $4,300. Di sebilangan bursa, penurunannya adalah lebih teruk – turun sehingga $3,815 iaitu sebanyak 63%.
    Bitcoin kerugian separuh daripada nilainya dalam masa satu hari bermula 12 hingga 13 Mac, mengheret keseluruhan pasaran kripto ke bawah bersamanya, termasuklah altcoin terkenal seperti Ethereum (ETH/USD), litecoin (LTC/USD) dan juga Ripple (XRP/USD). Situasi tersebut kembali stabil menjelang petang Jumaat, 13 Mac, dan nilai pasangan BTC/USD naik ke paras $5,600. Indeks Fear & Greed Kripto hanya memberi bacaan 10 daripada keseluruhan 100 poin, ini bermakna pasaran bukan saja khuatir, malah ketakutan.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Pergelutan antara kerajaan dan penggubal undang-undang ekonomi negara mereka terus berlaku. Pihak ECB tidak menurunkan kadar faedah mereka tetapi telah mengumumkan kenaikan sebanyak 60% dalam program pelonggaran kuantitatifnya (QE) berjumlah €120 bilion pada tahun 2019. Pihak Rizab AS bertindak dengan melambakkan wang murah ke dalam pasaran setelah mendapat tekanan Presiden Trump yang bersungguh-sungguh mahu dipilih semula bagi penggal kedua. AS telah melancarkan program pinjaman dengan tempoh singkat sejak minggu lalu, di mana pihak Rizab bersedia untuk meminjamkan $1.42 trilion setiap minggu kepada bank-bank. Perkara ini tidak pernah berlaku dalam sejarah negara Amerika Syarikat. Bank-bank itu telahpun menerima tranche pertama mereka sebanyak 0.225% setiap tahun bermula minggu ini. Semua ini menunjukkan kemungkinan besar kadar dolar akan diturunkan sekurang-kurangnya 0.5% semasa mesyuarat Rizab berlangsung pada minggu hadapan.
    Keseimbangan kuasa ini tidak memihak dolar. Namun, margin kecil (55%) dikalangan penganalisis masih lagi berpihak kepada bear, dan turut mendapat sokongan 85% pengayun serta indikator trend pada H4. Baki 45% penganalisis percaya nilai dolar masih akan menyusut, dan pasangan ini akan bergerak ke atas. Ramalan ini mendapat persetujuan 15% pengayun pada H4 yang memberi isyarat bahawa pasangan tersebut telah dijual secara berlebihan.
    Analisis grafik pada H4 menunjukkan penurunan mendadak pasangan ini ke paras 1.0950, dan ianya bertumbuh ke ketinggian 1.1100 pada mulanya, kemudian naik lagi 100 mata selepas itu.
    Walau bagaimanapun, sebarang ramalan mampu berubah tanpa disangka-sangka akibat panik berkenaan coronavirus, keadaan yang tidak menentu pada pasaran saham serta matawang, dan juga kenaikan harga minyak. Ini terbukti dengan kekalutan pada bacaan indikator D1 yang menyebabkan warna hijau, merah serta kelabu bercampur-campur.
    Zon sokongan utama berada pada paras 1.1065, 1.1000, 1.0850 dan juga paras terendah bulan Februari iaitu 1.0750. Zon rintangan pula – 1.1175, 1.1240, 1.1350 dan 1.1500;
  • GBP/USD. Jelas bahawa 100% indikator trend dilihat menunjukkan penurunan pada penghujung sesi mingguan. Namun situasi berbeza yang berlaku dikalangan pengayun – 20% yang berada pada tempoh masa H4 serta 15% lagi pada D1 sudah menunjukkan ia berada di zon terlebih jual, petunjuk bahawa proses pembetulan atau pembalikan trend ke atas akan berlaku. Analisis grafik pada D1 juga menyokong pendapat ini. Menurut bacaannya, pasangan ini mampu mencecah paras terendah mingguan berdekatan dengan paras terendah pada Oktober 2019 iaitu 1.2200, dan kemudian mengubah arahnya ke atas – pertama sekali ke rintangan 1.2425, dan kemudian ke paras 1.2565. Dalam masa yang sama, setelah melihat pada julat turun naik yang dialami baru-baru ini, kita seharusnya meletakkan dua lagi paras sokongan – 1.2065 dan 1.1960, serta dua paras rintangan – 1.2725 dan juga 1.2870. Walau bagaimanapun, kita berharap ia tidak berakhir di sini.
    Bagi pendapat penganalisis pula, agak mustahil untuk mereka membuat sebarang ramalan mingguan. Namun jika beralih pada ramalan untuk 1-2 bulan berikutnya, bilangan yang menyokong pertumbuhan pasangan ini menjadi majoriti - 75%, kenaikan ke paras di antara 1.2900-1.3100 menjadi sasaran mereka;
  • USD/JPY. Jika kebanyakan penganalisis memilih pertumbuhan nilai pound serta penurunan dolar dalam ramalan jangka sederhana GBP/USD, situasi berbeza berlaku ke atas yen. 60-70% penganalisis percaya bahawa nilai matawang Jepun ini akan menyusut dalam tempoh 1-2 bulan berikutnya, manakala pasangan ini akan cepat-cepat melepasi zon 108.30-109.75 sehingga mencecah paras 112.00-112.40. Sasaran bull seterusnya adalah 200 mata lebih tinggi.
    Ingatlah bahawa selain keputusan Rizab Persekutuan AS mengenai kadar faedah mereka pada minggu depan, kita juga menantikan keputusan yang hampir serupa oleh Bank of Japan pada hari Khamis, 19 Mac dan juga oleh People’s Bank of China pada Jumaat, 20 Mac. Kedua-dua pengawal selia ini telah mengumumkan niat mereka untuk menyokong bank-bank komersial serta syarikat-syarikat di negara mereka. Jika turun naik kadar ke atas yuan tidak memberi kejutan kepada pasaran, pengurangan kadar ke atas yen akan mengejutkan ramai pelabur.
    Jika kadar ke atas dolar dikurangkan, dan kadar ke atas yen kekal pada paras negatif -0.1%, berkemungkinan kelebihan akan berpihak kepada matawang Jepun, manakala pasangan USD/JPY akan turun lagi, melepasi setiap satu paras sokongan 105.90, 104.50, dan 103.15. Sasaran bear adalah untuk kembali ke paras terendah minggu lalu dan cuba untuk berada pada paras 101.00.
    Sudah tentu, kita perlu terus memantau hasil semasa bon 10 tahun Perbendaharaan AS serta harga minyak yang sebahagian besarnya akan menentukan sebut harga yen Jepun;

Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 16 - 20 Mac, 20201

  • Matawang Kripto. “Apa yang berlaku?” - tanya pedagang dan pelabur pada diri sendiri setelah melihat kejadian minggu lalu. Adakah ini permulaan bagi suatu pengakhiran? Adakah ia suatu spekulasi besar yang dibuat bagi mendapatkan semula kerugian apabila nilai Bitcoin naik semula? Mungkinkah orang ramai masih tidak percaya masa depan kripto yang cerah dengan menyingkirkan wang maya itu ketika berdepan dengan situasi kritikal berkenaan coronavirus, menukarnya dengan dolar yang sudah teruji dan lebih ketara.
    Buat masa ini ramalan yang dibuat para penganalisis agak kabur dan sederhana. Menurut 65% daripada mereka, nilai pasangan BTC/USD boleh berada di zon antara $6,000-6,500 pada minggu depan. Baki 45% lagi melihatnya di sekitar $5,000.
    Namun situasi bull dilihat agak teruk selepas itu. Hanya 20% penganalisis percaya Bitcoin akan mengukuhkan kedudukan nilainya melebihi $7,000 menjelang akhir Mac, manakala 20% lagi meramalkan penurunan nilai coin ini ke zon di antara $3,000-3500. Baki 60% lagi langsung tidak terburu-buru untuk memberikan ramalan mereka.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami