Ogos 29, 2020

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. 60% daripada penganalisis sekali lagi cuba memberi keutamaan kepada dolar pada minggu lepas, dengan harapan pasangan EUR/USD masih akan berada di atas paras sokongan 1.1700. Baki 40% pula berpendapat ia akan kekal pada saluran sisi di antara 1.1700-1.1910, dan itulah yang telah berlaku. Selain daripada itu, paras terakhirnya berada hampir dengan sempadan atas koridor tersebut.
    Kenyataan yang dibuat ketua Rizab Persekutuan AS Jerome Powell semasa simposium Jackson Hole perlu dipertanggungjawabkan bagi pertumbuhan pasangan itu serta nilai dolar yang semakin menyusut dan sesetengah penganalisis menggelarnya sebagai amat bersejarah. Pihak Rizab mengambil keputusan paling berani dalam polisi kewangan yang dimulakan pada tahun 2012 dengan mengumumkan rancangan mereka untuk menyasarkan “kadar purata inflasi pada 2%”. Ini bermakna para penggubal dasar tidak akan mengetatkan polisi kewangan mereka walaupun kadar inflasi yang dialami melebihi dua peratus.
    Pindaan ini bermaksud polisi kewangan yang lebih longgar dijangka akan digubal pada bulan-bulan mendatang, mungkin juga memakan tahun. Lebih-lebih lagi, para pelabur tidak seharusnya menjangkakan sebarang pertambahan kadar faedah ke atas dolar. Jerome Powell sedar, dengan ekonomi negara yang kian pulih, apa yang diperlukan adalah kadar yang lebih rendah.
    Akhirnya, nilai dolar menyusut, memberi isyarat kepada jualan hutang AS. Bukan saja bon kerajaan untuk jangka masa panjang yang dijual, malah bon jangka masa pendek juga. Bersama-sama, ia membentuk kitaran yang amat kejam, kerana nilai kerugian yang dialami kadar faedah sekuriti ini mampu memberi tekanan kepada dolar, dan seterusnya menyebabkan nilainya terus menyusut berbanding matawang lain.
    Pasaran yang menyedari situasi tersebut telah menyebabkan pasangan EUR/USD melonjak ke sempadan atas koridor antara 1.1700-1.1910 pada hari Khamis-Jumaat, dan mengakhiri sesi dagangan mingguan pada paras 1.1900;
  • GBP/USD. Matawang pound meneruskan pendakian ke paras tertinggi bagi tahun 2019 iaitu 1.3515, dan ia hampir mencapainya pada minggu lalu, meraih 280 mata untuk berada di kedudukan 1.3350. Matawang British itu bukan saja mendapat sokongan akibat penyusutan nilai dolar yang berterusan, malah disebabkan oleh Perdana Menteri British yang semakin lemah.
    Menurut akhbar The Times, Boris Johnson kini sedang bergelut dengan penyakit yang berpunca daripada jangkitan COVID-19, dan disebabkan itu beliau boleh meletakkan jawatan selepas berakhirnya tempoh peralihan Brexit, iaitu pada penghujung tahun ini. Melihat pada keinginan Johnson untuk mengakhiri penggal sebagai perdana menteri dengan penuh rasa bangga, perpisahan UK daripada EU akan berjalan lancar tanpa hilang sebarang akses kepada pasaran tunggal di Eropah serta kesatuan kastamnya. Secara tidak langsung semua ini akan mengukuhkan lagi nilai pound;
  • USD/JPY. Pasangan ini telah didagangkan pada julat di antara 105.10-107.00 sejak empat minggu lepas. Walau bagaimanapun, kadar turun naiknya meningkat dengan mendadak sejak kebelakangan ini. Puncanya bukanlah disebabkan oleh ucapan ketua Rizab Persekutuan, Jerome Powell, tetapi berita mengenai hasrat Perdana Menteri Jepun iaitu Shinzo Abe untuk meletakkan jawatan akibat masalah kesihatan.
    Berita itu membolehkan yen mengukuhkan kedudukannya sebanyak 175 mata. Bagaimana ia boleh berlaku? Agak sukar untuk menjawab persoalan itu. Seperti yang diterangkan para penganalisis, Abe adalah Perdana Menteri paling lama berkhidmat sejak berakhirnya Perang Dunia II, dan bersama-sama dengan ketua Bank of Japan, Haruhiko Kuroda, beliau sedaya upaya mengekang pengukuhan matawang negara itu termasuklah mengenakan kadar faedah negatif. Polisi itu diberi nama “Abenomics”, namun ramai berpendapat gelaran yang lebih tepat adalah “Kurodanomics”.
    Kini Shinzo Abe mahu meletak jawatan, dan mungkin era “abenomics” akan turut berakhir, mungkin polisi fiskal yang ketat perlu dilonggarkan supaya matawang negara itu akan menjadi lebih kukuh.
    Dalam pada itu, seperti yang dinyatakan di atas, tiada sebarang kejutan yang berlaku, yen kekal berada di koridor bulan Ogos dan mengakhiri tempoh lima hari dagangan pada paras 105.35;
  • Matawang Kripto. Walaupun bitcoin gagal untuk melepasi paras $12,000 seperti setahun yang lalu, keadaan sekeliling secara umumnya masih lagi menyebelahinya. Pertama sekali, pelonggaran polisi kewangan oleh penggubal dasar yang masih tidak berpenghujung. Kedua, kita dapat lihat pertambahan bilangan syarikat dan juga penyedia perkhidmatan yang mula menerima matawang kripto sebagai kaedah pembayaran. Pandangan masyarakat terhadap aset digital serta beberapa bank pusat kini menjadi lebih setia. Menurut penganalisis, wabak COVID-19 telah memainkan peranan besar terhadap perubahan ini, ia telah menyebabkan sebahagian daripada hidup kita berada di atas talian. Malah FATF (Pasukan Petugas Tindakan Kewangan atau Financial Action Task Force) turut dilihat mula menerima kewujudan industri kripto ini.
    Dagangan matawang kripto menerusi aplikasi mudah alih telah meningkat sehingga 81% berbanding bulan Ogos tahun lalu. Mengikut laporan terkini oleh syarikat analisis Apptopia, kadar transaksi seperti itu bagi bulan semasa biasanya adalah lebih tinggi berbanding bulan sebelumnya dari segi bilangan pengguna aktif serta pendaftaran baru. Aplikasi mudah alih Coinbase dan Crypto.com telah mencatatkan rekod baru bagi bilangan pengguna aktif harian iaitu masing-masing dengan nilai 969,000 dan 576,000 pada 20 Ogos lalu.
    Bilangan pelabur besar untuk jangka masa panjang turut bertambah. Mengikut Glassnode, buat masa ini terdapat 2,190 walet dengan bilangan coin BTC melebihi 1,000. Secara keseluruhan, kesemua walet ini menyimpan hampir 8 juta bitcoin dengan jumlah nilai melebihi $90 bilion. Ini memberi insentif yang amat kukuh terhadap pertumbuhan BTC/USD pada masa hadapan.
    Dalam pada itu, bitcoin telah menemui Pivot Point baru pada minggu lalu - $11,500, di sepanjang garis pergerakannya selama ini. Pasangan BTC/USD berada di atas garisan ini pada permulaan minggu, kemudian ia turun ke paras sokongan $11,000. Namun ia naik semula sebanyak $400 lebih tinggi. Semuanya disebabkan oleh kenyataan yang dibuat ketua Rizab Persekutuan J. Powell semasa simposium di Jackson Hole, hingga menyebabkan nilai dolar susut selepas itu manakala aset alternatif seperti emas dan bitcoin pula mengalami pertumbuhan.
    Jumlah keseluruhan modal pasaran matawang kripto jatuh dalam tempoh tujuh hari, tetapi nilainya tidak begitu besar - daripada $366 bilion kepada $360 bilion. Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto pula tidak lagi berada pada suku terakhir jadual, turun daripada 81 mata kepada 74 mata. Menurut pembangun indikator ini, nampaknya lebihan belian ke atas BTC sudah mula berakhir, justeru buat masa sekarang, besar risikonya untuk membuka posisi short.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Berucap di Jackson Hole, Jerome Powell secara terang-terangan telah menyekat pertumbuhan nilai dolar. Ketua Rizab Persekutuan itu telah menyatakan dengan jelas bahawa kadar faedah akan terus berada di paras paling rendah pernah dicatatkan, dan tiada sebarang pertambahan akan dibuat walaupun tekanan daripada inflasi semakin bertambah. Ini adalah suatu isyarat bearish yang amat jelas terhadap matawang AS, dan ia menguatkan lagi kemungkinan untuk matawang euro dan lain-lain matawang bertumbuh lebih kukuh berbanding dolar.
    Selain itu, pihak Rizab Persekutuan tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menurunkan kadarnya kepada sifar, dan keputusan itu memberi faktor positif yang agak sederhana kepada nilai USD. Tambahan pula, harus diingat bank-bank pusat yang lain boleh memilih keputusan yang sama untuk tidak menurunkan kadarnya seperti itu, meneruskan kadar sedia ada serta menambah jumlah polisi pelonggaran kuantitatif (QE) mereka. Sebagai contoh, pihak ECB mungkin akan membuat keputusan yang sama sepert Rizab Persekutuan. Ketua Bank of France, François Villeroy de Galhau sudah pun menyatakan sasaran inflasi yang hampir serupa. Bank-bank pusat bagi negara-negara di Eurozone yang kini sedang mengalami peningkatan dalam jumlah kes coronavirus juga boleh turut serta mengambil langkah yang sama. Agak tidak jelas sama ada nilai dolar akan menyusut atau tidak jika dilihat sekali imbas.
    Setakat ini, jika dilihat pada indikator, keadaan tidak berpihak kepadanya. 85% pengayun pada H4 dan D1 adalah berwarna hijau, 15% lagi berada di zon lebihan belian. Dalam kalangan indikator trend, lebih banyak jumlah yang memihak kepada pertumbuhan pasangan EUR/USD: 100% pada H4 dan 95% pada D1.
    Namun pendapat yang amat berbeza diberikan oleh penganalisis. 60% daripada mereka percaya bahawa pasangan ini akan kekal pada julat nilai di antara 1.1700-1.1910. Setelah ia mengakhiri minggu lalu dengan kedudukan di sempadan atas saluran tersebut, ini bermakna perubahan trend serta kembalinya pasangan itu ke paras 1.1700 mungkin akan berlaku. Baki 40% lagi penganalisis menyokong sempadan saluran itu akan berjaya ditembusi, setelah nilai dolar terus menyusut, pasangan ini pada mulanya akan naik ke paras 1.1950, kemudian ke paras ikoniknya iaitu 1.2000.
    Masuk akal juga untuk memberi tumpuan terhadap bacaan analisis grafik. Pada D1, ramalan untuk bulan September adalah seperti berikut: pertama sekali turun ke paras 1.1700, kemudian naik ke paras 1.2035, diikuti pula dengan pergerakan mendatar pada saluran di antara 1.1900-1.2035.
    Sedikit mengenai perkembangan makroekonomi pada minggu hadapan. Pada hari Selasa, 1 September, data pasaran pengguna di Eurozone akan diketahui, indeks aktiviti perniagaan ISM di AS pula akan dikeluarkan pada 1 dan 3 September, manakala pada hari Jumaat, 4 September, kita akan ketahui keadaan pasaran buruh di AS seperti kebiasaannya, termasuklah bilangan pekerjaan baru selain daripada yang ada dalam sektor agrikultur (NFP);
  • GBP/USD. Jelas terpampang menjelang akhir minggu lalu, 100% daripada indikator trend menunjukkan pertumbuhan. Namun bagi pengayun pada H4 dan D1, 25% daripada mereka telah memberi isyarat bahawa pound memiliki lebihan belian. 55% daripada penganalisis juga memihak kepada sentimen bearish. Tambahan lagi, jumlah bilangan itu meningkat kepada 80% jika kita beralih dari ramalan mingguan ke ramalan bulanan. Zon sokongan berada pada 1.3275, 1.3155 dan 1.3050.
    Pada akhir sesi dagangan minggu lalu, pasangan GBP/USD ditutup pada 1.3350 - ia adalah paras rintangan yang agak kukuh dan pasangan ini telah gagal untuk melepasinya pada Julai 2018 serta Mac 2019, justeru kemungkinan besar kedudukannya akan sedikit pulih dan diikuti pula dengan pembetulan ke arah bawah. Selain itu, keinginan bull untuk memperbaharui paras tertinggi yang dicatatkan pada 2019 iaitu 1.3515 juga menjadi dorongan hebat kepada pihak yang mahu dolar terus kehilangan nilainya.
    Seperti yang berlaku kepada EUR/USD, analisis grafik pada D1 menarik perhatian semua. Mengikut bacaan yang ditunjukkan, pasangan ini mungkin akan mencecah ketinggian 1.3515 dalam beberapa hari lagi, diikuti pula dengan nilai yang pulih selepas itu, pertama sekali kembali ke paras sokongan 1.3275, dan kemudian turun ke paras 1.3050.
    Sedikit perubahan ke atas dinamik pasangan ini mungkin boleh berlaku semasa pembentangan Laporan Inflasi yang disediakan oleh Bank of England pada hari Rabu, 2 September serta ucapan ketuanya Andrew Bailey pada hari Rabu, 3 September;

Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 31 Ogos - 04 September, 20201

  • USD/JPY. Ramalan bagi pasangan ini adalah hampir sama dengan ramalan yang dibuat untuk euro dan juga pound. Apabila kebanyakan indikator menunjukkan penyusutan berterusan nilai dolar, kebanyakan penganalisis pula memilih sebaliknya, mahukan nilainya terus kukuh.
    100% indikator trend dan juga 75% pengayun adalah berwarna merah. Baki 25% pengayun pada kedua-dua tempoh masa H4 dan D1 menunjukkan pasangan ini memiliki lebihan jualan.
    65% penganalisis percaya bahawa pasangan USD/JPY tidak akan berganjak daripada had koridor antara 105.10-107.00, dan hanya baki 35% saja yang mempertimbangkan kemungkinan kedudukannya akan turun ke paras terendah pada 31 Julai lalu iaitu 104.18;
  • Matawang Kripto. Kini jumlah keseluruhan modal pasaran kripto hanyalah sebanyak $360 bilion, kira-kira 25-30% daripada modal pasaran Microsoft, Apple atau Amazon. Walau bagaimanapun, matawang kripto bukanlah sebuah badan korporat, ia adalah satu industri menyeluruh dalam bidang kewangan dan juga teknologi yang menyatukan ribuan syarikat-syarikat dari serata dunia. Itulah sebabnya pasaran aset digital masih lagi dipandang rendah oleh kebanyakan pelabur.
    Satu laporan baru yang dikeluarkan oleh Grayscale Investments iaitu sebuah dana matawang kripto telah menyatakan bahawa struktur pasaran BTC yang ada sekarang adalah menyamai bentuk pada awal 2016 sebelum bermulanya pertumbuhan bullish secara mendadak. Penganalisis dana itu meramalkan permintaan bagi bitcoin akan meningkat dengan ketara seiring dengan peningkatan inflasi.
    Penulis buku lagenda “Rich Dad Poor Dad”, usahawan dan juga seorang pelabur iaitu Robert Kiyosaki turut menyatakan pertumbuhan nilai bitcoin adalah disebabkan oleh krisis perbankan baru yang tidak dapat dielakkan. Selain itu, beliau berpendapat kesan yang akan menimpa adalah jauh lebih besar berbanding krisis kewangan yang berlaku sebelum ini. Para pelabur perlu mengalihkan dana mereka ke “tempat selamat” dengan segera”, coret Kiyosaki dalam akaun Twitternya. Beliau turut menekankan apabila ahli kewangan gergasi seperti Warren Buffett sudah mula menjual aset mereka yang ada kaitan dengan sektor perbankan, krisis yang bakal berlaku sudah semakin hampir. “Mungkin mereka dapat merasakan kesan yang bakal menimpa daripada krisis ini, pertama sekalinya adalah sistem kewangan tradisional”, - jelas Kiyosaki. Pada pandangan beliau, inilah masanya untuk anda memindahkan modal ke dalam instrumen yang lebih dipercayai, seperti bitcoin, emas dan juga perak.
    Buat masa ini para penganalisis menyatakan wabak coronavirus sebagai salah satu pendorong utama bagi pertumbuhan pasangan BTC/USD. Kebanyakan pelabur mula beralih kepada matawang kripto utama itu dan juga lain-lain coin digital disebabkannya. Ditambah pula dengan kenyataan Jerome Powell yang mengatakan pihak Rizab Persekutuan tidak akan mengetatkan polisi kewangan mereka, hal tersebut mampu meningkatkan pertumbuhan bitcoin dalam jangka masa panjang.
    Dalam analisis teknikal yang mereka hasilkan, sesetengah penganalisis juga melihat prospek pasangan ini untuk melepasi paras $12,000 dan melonjak ke ketinggian $40-45 ribu pada tempoh masa W1 dan juga MN. Walau bagaimanapun, untuk masa terdekat ini, 65% penganalisis menjangkakan pasangan BTC/USD akan bergerak di sepanjang Pivot Point $11,000 dengan lonjakan tunggal sama ada pada nilai $9,500 ke arah bawah atau $12,800 ke arah atas. Selain itu, hanya 20% penganalisis yang percaya bahawa bitcoin mampu untuk sekurang-kurangnya menjejakkan kaki ke paras $14,000 pada bulan September.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami