Disember 12, 2020

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Seperti yang dijangka, Bank Pusat Kesatuan Eropah mengekalkan kadar faedah mereka pada paras 0%. Matawang euro berpeluang untuk berada lebih rendah berbanding dengan dolar. Namun, mereka seperti membiarkan saja peluang itu berlalu pergi disebabkan oleh keputusan ECB untuk menambah lagi jumlah Program Pembelian Kecemasan Pandemik (PEPP) sebanyak €500 bilion dan juga komen yang dibuat oleh ketua bank tersebut iaitu Christine Lagarde. Sejujurnya, tiada apa yang mengejutkan daripada keputusan itu, kami telah ramalkannya pada minggu lalu. Tambahan pula, jumlah itu berada di tengah-tengah nilai yang diramal oleh peserta pasaran iaitu di antara €400-600 bilion. Namun disebabkan oleh ramalan yang tepat itulah pasangan EUR/USD ini dihalang daripada bergerak ke bawah.
    Sentimen hawkish yang dirasai daripada kenyataan Christine Lagarde juga membantu matawang Eropah itu, Beliau dilihat cuba untuk menurunkan kadar euro dengan mengatakan pihak ECB memantau ketat matawang itu. Walau bagaimanapun, keputusan penggubal dasar supaya tidak campur tangan dalam urusan pasaran tukaran asing lebih mempengaruhi para pelabur berbanding dengan kenyataan ringkas tentang “pemantauan kadar tukaran”. Kenyataan berbaur hawkish oleh Ms. Lagarde yang mengatakan jika situasi ekonomi Eurozone bertambah baik, tidak semestinya kesemua jumlah €500 bilion itu akan digunakan telah membantutkan usaha bear untuk membawa turun pasangan ini ke bawah.
    Akibatnya, setelah turun ke paras 1.2060, pasangan ini naik ke atas semula, melonjak ke ketinggian 1.2165, dan mengakhiri tempoh lima hari di tengah-tengah julat tersebut, berada di zon 1.2113, hampir berada di kedudukan yang sama semasa ia bermula pada hari Isnin;
  • GBP/USD. Penyusutan nilai pound telah melebihi susut nilai dolar. Kedudukan matawang British jatuh akibat ancaman Brexit secara “paksa” yang mungkin benar-benar akan berlaku. Kenyataan terbaru yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Boris Johnson dan juga ketua Pesuruhjaya Kesatuan Eropah iaitu Ursula von der Leyen dilihat seperti tiada sebarang terma nyata mengenai perpisahan British daripada EU yang akan dipersetujui. Johnson menasihati rakyatnya supaya bersedia untuk keluar dengan “tanpa rela”, dan von der Leyen turut menyatakan perkara yang hampir sama.
    Agak berbaloi untuk menekankan tentang perkataan “nyata” kerana sebahagian daripada perjanjian itu masih lagi boleh dipersetujui, kita mungkin tidak akan lihat “tembok” dibina untuk menghalang laluan di Selat Inggeris. Kedua-dua pihak memerlukannya, lebih-lebih lagi dengan keadaan pandemik COVID-19 yang makin meningkat sekarang. Berkemungkinan besar, akan terdapat banyak ruang-ruang kosong yang ditinggalkan dalam dokumen “Perjanjian”, dan kedua-dua pihak akan mula mengisinya seawal tahun 2021. Kontrak kurang bermutu seperti itu sudah pastinya tidak memberi kelebihan kepada pound. Buktinya dapat dilihat pada perkara yang berlaku ke atas pasangan GBP/USD pada minggu lalu.
    Daripada kedudukan tertinggi yang dicapai pada Jumaat, 4 Disember, turun ke paras terendah pada hari Jumaat, 11 Disember, matawang pound kerugian lebih daripada 400 mata! Semua ini berlaku walaupun pada hakikatnya pasangan ini tidak menuruti langkah berjaga-jaga yang diambil EUR/USD baru-baru ini, tetapi mula bergerak secara bebas sepenuhnya. Setelah mencecah paras terendah mingguan pada 1.3135 pada tengah hari Jumaat, 11 Disember, ia berjaya memperoleh semula kira-kira 90 mata menjelang petang, mengakhiri minggu di kedudukan 1.3225. Namun, lantunan ini mungkin hanyalah sedikit pembetulan ke atas pasangan ini yang cenderung untuk turun ke bawah;
  • USD/JPY. Disebabkan oleh peningkatan sentimen risiko, pelabur mula hilang minat terhadap aset terlindung seperti dolar dan juga yen. Akibatnya, kedua-dua matawang ini mencapai kata sepakat untuk kedamaian sementara dan bergerak mengikut trend mendatar. Namun, pasangan tersebut tidak berjaya melewati saluran jangka sederhana, saluran di mana ia mengalami penurunan sejak akhir Mac lalu. Mengikut ramalan minggu lepas, majoriti penganalisis (70%), disokong oleh analisis grafik pada D1 menjangkakan pergerakan lateral pasangan ini yang didominasi dengan sentimen bearish akan terus berlaku.
    Umumnya, memang itulah yang berlaku. Pasangan ini terus bergerak secara mendatar, perlahan-lahan mengecilkan amplitud ayunan mengikut julat 103.85-104.55 dan mewujudkan bentuk “panji” jangka sederhana dengan sokongan utama berada di sekitar 103.65. Bagi penghujung sesi dagangan, kedudukan terakhir pasangan ini berada pada paras 104.00;
  • Matawang Kripto. Konglomerat kewangan Wells Fargo, salah satu daripada “empat bank terbesar” di AS telah mengeluarkan satu laporan pelaburan yang baru. Satu halaman berasingan dikhaskan untuk pasaran matawang kripto dengan tajuk “Bitcoin - aset paling cair dan berprestasi tinggi 2020”. Penulisnya tidak memberi galakkan secara terus kepada para pelanggan mereka untuk melabur di dalam aset digital, tetapi mengekalkan tona optimis berkenaan prospek aset tersebut. “Sepanjang 12 tahun, jumlah keseluruhan modal pasarannya telah bertumbuh daripada sifar kepada $560 bilion,” Wells Fargo menyatakan. “Hobi kebiasaannya tidak akan bertahan selama 12 tahun."
    Bank itu maklum nilai bitcoin meningkat sehingga 170% sepanjang tahun ini tetapi turut memberi amaran tentang kecairannya yang tinggi. “Melabur dalam matawang kripto pada masa ini menyamai dengan hidup di awal zaman kerubut emas pada tahun 1850 yang lebih melibatkan banyak spekulasi berbanding melabur”, jelas penganalisis bank tersebut. Malah mereka menambah matawang kripto lebih banyak menarik perhatian, tapi bukannya lebih banyak pelaburan. (Pementasan William Shakespeare: “Much Ado About Nothing terlintas di fikiran secara tiba-tiba). 
    Sukar untuk tidak menyetujuinya: jumlah keseluruhan modal pasaran kripto kini adalah lebih jauh jika dibandingkan dengan jumlah tertinggi yang direkodkan pada awal Januari 2018 iaitu $830 bilion. Menurut jutawan Paul Tudor Jones, dalam dunia sekarang ini, “terdapat pasaran saham dengan jumlah $90 trilion, dan hanya tuhan saja tahu berapa trilion adalah matawang fiat."
    Pasaran kripto mengalami kerugian sebanyak $50 bilion lagi pada minggu lalu: bermula dengan jumlah $575 bilion, ia turun menjadi $525 bilion. Mereka yang optimis memanggil trend bearish itu sebagai pembetulan bermusim dan mengaitkannya dengan pengakhiran tahun serta keinginan para pelabur untuk mengaut untung setelah menunjukkan prestasi yang mengagumkan. Ingat semula bahawa pasangan BTC/USD tidak pernah berjaya melepasi paras $20,000. Para penganalisis membuat anggaran dengan kemungkinan sebanyak 30% bahawa pasangan tersebut mampu untuk berada di atas paras ikonik itu menjelang akhir Disember nanti. Kebarangkalian ia akan turun ke zon di antara $15,000-15,700 dianggarkan oleh peratusan yang sama iaitu sebanyak 30%.
    Dalam pada itu, bear telah berjaya menurunkan sebut harganya kepada $17,600 sebanyak dua kali: pada 9 dan juga 11 Disember. Sebanyak dua kali juga para pelabur menyelamatkan bitcoin semasa penurunan itu berlaku. Walau bagaimanapun, mereka tidak berjaya untuk mengubah arah trend secara radikal, dan pada petang Jumaat, 11 Disember, bitcoin didagangkan di zon dengan paras sokongan/rintangan yang kukuh pada paras $18,000.
    Sedia maklum bahawa bacaan Indeks Fear & Greed Kripto sedikit menurun dalam tempoh tujuh hari, daripada 92 kepada 89, masih menunjukkan pasangan BTC/USD memiliki banyak lebihan belian, dan mungkin menggambarkan proses pembetulan yang lebih teruk.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Nilai dolar makin menyusut. Ia kehilangan lebih daripada 550 mata berbanding matawang Eropah dalam tempoh satu setengah bulan saja. Akhirnya, pasangan ini bergerak secara mendatar dalam julat antara 1.2060-1.2165 pada minggu lalu. Walaupun kebanyakan pengayun (75%) serta indikator trend (95%) masih menunjukkan warna hijau pada D1, pasaran menantikan pembetulan ke arah bawah.
    Jika anda lihat pada statistik bilangan broker utama di UK, kira-kira 65% daripada dagangan mereka adalah dalam posisi short. 55% penganalisis serta analisis grafik pada H4 dan D1 turut bersetuju dengan mereka, dan meramalkan penurunan pasangan ini ke zon di antara 1.1965-1.2010. Penurunan mendadak bagi permintaan aset berisiko dan juga Brexit secara “paksa” mampu merendahkan lagi kedudukannya.
    Namun, melihat pada sikap optimis ECB mengenai pemulihan ekonomi di Kesatuan Eropah, perkembangan terkini situasi epidemiologi yang semakin baik di negara-negara EU serta nilai dolar yang menyusut, ramai penganalisis percaya bahawa pasangan ini akan bergerak ke atas sekali lagi selepas mengalami pembetulan, ke paras tertinggi yang pernah dicapai pada suku pertama 2018 iaitu di zon antara 1.2400-1.2565. Selain daripada penganalisis, kemungkinan berlakunya senario itu turut disokong oleh bacaan analisis grafik. Rintangan mungkin berada pada kedudukan 1.2200 dan 1.2300.
    Bagi acara yang bakal berlangsung pada minggu depan, tumpuan perlu diberi pada pengeluaran data aktiviti perniagaan di Jerman dan juga Eurozone serta data pasaran pengguna di AS pada hari Rabu 16 Disember. Selain daripada keputusan Rizab Persekutuan berkenaan kadar faedah, acara paling penting yang menanti kita pada hari Khamis 17 Disember adalah penerbitan Summary of Economic Forecasts oleh Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan serta sidang akhbar pucuk pimpinan organisasi tersebut yang akan diadakan.
  • GBP/USD. Kita akan mengetahui banyak statistik makro di UK pada minggu hadapan. Data pasaran buruh di negara itu akan dikeluarkan pada hari Selasa, 15 Disember, indeks harga pengguna serta aktiviti perniagaan dalam sektor perkhidmatan (Markit) akan diketahui pada keesokan harinya, manakala mesyuarat Bank of England yang akan membincangkan tentang kadar faedah serta jumlah pelan pembelian aset pula akan berlangsung pada hari Khamis, 17 Disember. Walau bagaimanapun, kesemua itu dilihat tidak begitu menarik berbanding ancaman Brexit secara “paksa”. Segala keputusan yang diperoleh di meja rundingan antara UK dan juga EU itulah yang akan menentukan masa depan pound.
    Satu kenyataan mengenai keadaan proses rundingan harus dibuat pada hari Ahad, 13 Disember, sama ada mahu dihentikan atau diteruskan. Pilihan paling lembut (dan paling realistik) adalah memanjangkan tempoh peralihan yang ada sekarang untuk tempoh enam bulan atau setahun lagi bagi beransur-ansur beralih ke aturan yang menyamai aturan asas Pertubuhan Perdagangan Dunia. Dalam kes ini, walaupun trend penurunan pasangan tersebut akan terus berlaku, ia mungkin dapat mengelak daripada kejatuhan nilai matawang British yang teruk. Sokongan paling hampir berada pada paras 1.3100, kemudian 1.3000 dan seterusnya 1.2850.
    Pilihan yang kedua adalah Brexit secara “paksa”, tanpa sebarang perjanjian serta pemanjangan tempoh yang akan menyebabkan penurunan pasangan ini ke paras pertengahan bulan Mei 2020 di sekitar 1.2075, atau ke paras terendah pada Mac lalu iaitu 1.1420.
    Sudah pasti terdapat pilihan ketiga, pilihan paling mustahil iaitu EU berputus asa secara tiba-tiba dan memenuhi segala permintaan British. Dalam hal ini, kita akan dapat lihat lonjakan nilai pound pertama sekali ke ketinggian 1.3500, kemudian mungkin ke paras tertinggi tahun 2018 di sekitar 1.4350. Namun, kami tekankan sekali lagi, pilihan tersebut adalah lebih kepada angan-angan saja;
  • USD/JPY. Yen menjangkakan selera pasaran bagi pelaburan berisiko akan kembali meningkat, dan menjadikannya sebagai matawang selamat sekali lagi. Namun dolar juga menantikan perkara tersebut. Peluang bagi matawang Jepun itu mungkin terhadap Brexit secara “paksa”, yang akan menyebabkan para pelabur beralih daripada euro dan juga pound. Antara dolar dan juga yen, persoalan yang timbul adalah “matawang selamat” manakah menjadi pilihan mereka.
    85% pengayun serta 100% indikator trend masih menunjukkan warna merah, menunggu penurunan pasangan ini ke paras yang lebih rendah dalam saluran menurun jangka sederhana yang telah bermula sejak akhir Mac lalu. Sokongan berada pada paras 103.65 dan 103.15.
    Namun rata-rata ramalan para penganalisis adalah berbeza daripada indikator. 90% daripada mereka yang mendapat sokongan analisis grafik pada D1 lebih memihak kepada dolar dan menjangkakan pasangan ini untuk naik ke sempadan atas saluran itu pada mulanya di sekitar 104.60, dan kemudian menembusinya, menguji paras rintangan 105.00. Namun, agak mustahil bagi bull dan juga bear untuk membuat pergerakan mendadak sebelum kedatangan tahun baru, 2021, dan pasangan ini akan terus bergerak secara mendatar, mengalami penyatuan di zon 104.00;

Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 14 - 18 Disember, 20201

  • Matawang Kripto. Jadi, adakah ia sedang melalui pembetulan atau penurunan nilai mendadak seperti yang dialami pada lewat 2017-2018? Persoalan ini masih belum terjawab.
    Penganalisis di Bloomberg percaya tiada sebab lain yang mengakibatkan perubahan arah pergerakan bitcoin sekarang, dan kos bagi setiap coin akan meningkat kepada $50,000 pada tahun 2021. “Nilai dolar semakin menyusut, mengheret matawang fiat yang lain”, jelas agensi berwibawa itu, “Para pelabur mengetahui apa yang sedang berlaku, dan mereka terpaksa bertukar kepada aset alternatif.” Bitcoin kini memiliki lebih banyak sokongan, kemungkinan untuk nilainya turun adalah minimum. Minat secara terbuka terhadap pasaran hadapan bitcoin CME telah melebihi $1 bilion buat kali pertama dalam sejarah, dan jumlah itu menunjukkan peningkatan sokongan para pelabur.
    Pendapat yang hampir sama turut diberi oleh jutawan dari Amerika iaitu Paul Tudor Jones, ketua di Tudor Investment Corporation yang berkata “nilai matawang kripto sedang mengalami lonjakan mendadak dan turun naik berlaku di sepanjang perjalanan itu.” “Dalam tempoh 20 tahun lagi, nilai bitcoin adalah lebih tinggi berbanding nilainya sekarang, Buat masa ini, nilainya akan mengalami pertumbuhan,” Yahoo! Finance memetik kenyataan beliau.
    Namun CEO Galaxy Digital iaitu Mike Novogratz menunjukkan sikap yang kurang optimis. Pada pandangan beliau, sudah pasti nilai bitcoin tidak akan turun sehingga sifar, tapi mungkin akan jatuh ke paras $14,000. Justeru, walaupun kerugian yang akan dialami para pelabur tidak mencecah 80-90%, tetapi mereka masih kehilangan kira-kira 30-40% daripada nilai keuntungan.
    Laporan yang dibuat syarikat fintech Cindicator perlu diberi perhatian. Ini kerana angka-angka yang terdapat di dalamnya bukanlah daripada pendapat penganalisis individu, tetapi purata hasil kaji selidik yang disertai lebih daripada 156,000 orang di pasaran kripto, dan nilai bitcoin pada tahun hadapan dijangka naik kepada $29,569. Responden yang pernah membuat ramalan paling tepat sebelum ini dan digelar sebagai “superforcaster” secara puratanya menjangkakan pertumbuhan nilai yang lebih tinggi iaitu $32,056. Untuk paras terendah pula, mereka meramalkan nilai $15,000 secara purata. “Superforcaster” pula tidak begitu optimis dan menjangkakan penurunan ke paras $12,000.
    “Kepintaran hibrid" yang dimiliki Cindicator adalah pembelajaran algoritma menggunakan mesin untuk memproses data daripada sekumpulan analisis, meramalkan nilai yang hampir sama, namun dalam julat yang lebih kecil. Menurut pengiraan yang dibuat, kadar BTC pada tahun hadapan tidak akan lebih daripada $25,222 dan tidak akan berada di bawah paras $16,000. Dalam masa yang sama, jumlah keseluruhan modal pasaran matawang kripto akan melebihi paras tertinggi yang direkodkan pada 2018 iaitu sebanyak $828 bilion dengan 80% kebarangkalian.
    Selain daripada pelabur berinstitusi, sokongan tambahan yang kukuh terhadap pasaran kripto pada tahun 2021 seharusnya mampu diberi oleh negara-negara yang menghadapi masalah ekonomi dan juga yang berhadapan dengan sekatan. Sehingga kini, Sistem Perbankan Antarabangsa SWIFT, bersama-sama Agensi Jenayah Kewangan (FinCEN) dan juga Kumpulan Pembangunan Anti Penggubahan Wang Haram (FATF) mengawal setiap transaksi dalam dolar. Disebabkan itu, negara-negara yang dikenakan sekatan ini kurang berpeluang untuk menyertai dagangan antarabangsa dan terpaksa beralih kepada matawang kripto. Sebagai contoh, negara Venezuela yang dahulu membuat bayaran menggunakan emas, kini bertukar kepada bitcoin dalam urusan import bersama Turki dan juga Iran. Setidak-tidaknya, ini adalah bukti yang diberi oleh sumber tanpa nama daripada Bank Negara berkenaan.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami