Januari 30, 2021

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Perang dagangan yang dimulakan oleh Presiden Trump sebelum ini nampaknya mula reda, namun sekarang bolehlah kita mengucapkan “tahniah” kepada semua orang untuk permulaan perang yang baru - perang matawang. Hal ini boleh menjadi sesuatu yang menarik dan juga tidak menentu. Kali ini, ia disebabkan oleh European Central Bank, diketuai oleh Christine Lagarde yang mengisytiharkan permusuhan. Lawannya, Seperti yang anda jangkakan, adalah Sistem Rizab Persekutuan AS.
    Sudah berulang kali kami nyatakan bahawa pertumbuhan nilai euro adalah berpunca daripada merebaknya pandemik COVID-19. Matawang Kesatuan Eropah itu naik lebih daripada 1700 mata berbanding dolar sejak 20 Mac, 2020 sehinggalah 15 Januari, 2021. Buat masa ini, pucuk pimpinan ECB berpura-pura menyatakan masalah yang dihadapi bukanlah disebabkan oleh paras semasa kadar EUR/USD, tetapi kadar pertumbuhannya. Namun kini ternyata sebut harga semasanya juga begitu penting terhadap ekonomi EU, dan bukanlah sesuatu yang teruk jika nilainya turun.
    Ketua Bank Negara Finland dan juga Belanda telah mula menyuarakan dengan aktif kebimbangan pihak ECB mengenai kadar tukaran euro dan perlunya mereka untuk mengambil langkah tegas bagi merangsang inflasi, memberi bayangan kadar faedah akan terus dikurangkan. Sudah pasti Janet Yelen tidak akan menyukainya. Jika diingat bekas ketua Rizab Persekutuan yang kini menjawat Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yelen berjanji akan menghalang mana-mana negara yang cuba untuk menurunkan kadar faedah matawang mereka secara buatan dengan cara apa sekalipun.
    Justeru, kami menganggap cabaran telah dikemukakan serta diterima, dan pertarungan kini bermula. Sejak dari mula lagi, EU telah dikecewakan… oleh Jerman, penyokong utamanya. Nampaknya kadar inflasi di negara itu pada bulan Januari naik daripada -0.7% kepada +1.6% yang sudah pastinya akan memberi kesan terhadap kadar pertumbuhan seluruh indikator di Eurozone. Sama ada perkara ini akan mempercepatkan penetapan program rangsangan kuantitatif (EQ) ECB masih menjadi tanda tanya. Pasaran kini berada di persimpangan, dan ia begitu jelas boleh dilihat pada sebut harga EUR/USD: pasangan ini telah bergerak di saluran mendatar yang sempit di antara 1.2055-1.2185 sejak dua setengah minggu yang lalu. Malah, dengan indeks saham AS yang jatuh antara 27-29 Januari juga tidak mampu menolak pasangan ini keluar dari saluran tersebut. Pada akhir minggu, pasangan ini menamatkannya dengan berada pada kedudukan 1.2135;
  • GBP/USD. Pada minggu lalu, kebanyakan penganalisis (65%) enggan berkongsi perasaan optimis bullish yang dirasai analisis teknikal. Puncanya adalah prestasi teruk yang ditunjukkan ekonomi British dan juga kenyataan Perdana Menteri negara itu, Boris Johnson yang memberi amaran mengenai sekatan pergerakan kali ketiga mungkin akan berpanjangan sehingga musim panas. Hal ini bukan saja memaksa para pelabur menilai semula unjuran mereka terhadap pound, malah membincangkan semula senario berlakunya kadar faedah negatif oleh Bank of England.
    Melihat pada carta pasangan ini, bolehlah kami nyatakan bahawa momentum yang dimiliki bulish sekarang ini mula hilang. Malah data positif pasaran buruh di UK yang baru dikeluarkan pada 26 Januari juga gagal membantunya. Pasangan ini tidak mampu menembusi rintangan pada paras 1.3750 untuk dua minggu berturut-turut. Kadar turun naiknya juga menurun. Jika kadarnya melebihi 400 mata seminggu pada akhir Disember, bacaannya kini turun kepada 150 mata. Tamatnya tempoh lima hari dagangan, pasangan ini sekali lagi berada di zon rintangan yang kuat iaitu 1.3700;
  • USD/JPY. Trend jangka sederhana pasangan ini telah pun bermula sejak penghujung Mac 2020, apabila ia mula bergerak dengan lancar di sepanjang saluran menurun. Banyak perbincangan yang telah dibuat dalam kalangan penganalisis, sama ada pasangan ini mampu untuk mengubah arah trend tersebut dan menembusi sempadan atas saluran itu.
    Hanya 30% daripada penganalisis yang bersetuju dengan perkembangan tersebut pada minggu lalu, namun ramalan mereka adalah yang paling tepat. Zon antara 104.70-105.00 telah dijadikan sebagai sasaran bull, dan pasangan USD/JPY berjaya berada di zon itu pada hari Jumaat, 29 Januari. Tidak seperti euro dan pound, ia memberi reaksi yang agak aktif terhadap laporan positif berkenaan pasaran buruh serta imbangan dagangan di AS. Namun dorongan utama telah diberi oleh pengagihan semula aliran kewangan yang berpunca daripada kejatuhan indeks saham S&P500, Dow Jones serta Nasdaq di Amerika. Hasilnya, pasangan ini mencecah paras tertinggi dalam tempoh 10 minggu iaitu 104.95, dan mengakhiri sesi dagangan sedikit rendah pada paras 104.70;
  • Matawang Kripto. Sudah pasti kami hanya melawak, namun ternyata ramalan seorang tukang tilik dari New York mula menjadi nyata. Kami menceritakan kisah Maren Altman yang menentukan trend pasangan BTC/USD berdasarkan pergerakan bintang-bintang pada minggu lalu. Beliau dengan tepat meramalkan pembetulan yang dialami bitcoin pada awal Januari, akibat trajektori Merkuri (harga BTC) yang akan dipintas oleh Zuhal (indikator pengehad) pada hari itu. Ramalan terbarunya berbunyi “ada beberapa tanda yang baik bakal tiba pada akhir Januari."
    Sepanjang tiga minggu lalu, nilai matawang kripto berlegar-legar di zon sokongan $30,000, malah cuba untuk menembusi paras yang lebih rendah sehingga menanam sikap pesimis dalam kalangan penganalisis dan juga pelabur. Contohnya, Scott Minerd, pengarah pelaburan di Guggenheim Partners menyatakan kadar bitcoin tidak akan kekal berada di atas paras $35 ribu malah $30 ribu kerana tiada permintaan daripada pelabur berinstitusi yang mampu menyokong sebut harganya pada paras tersebut.
    Walau bagaimanapun, nilai pada akhir bulan menunjukkan kemenangan mungkin menjadi milik tukang tilik dalam pertarungannya dengan penganalisis. Setelah berada pada paras terendah mingguannya iaitu $29,200 pada hari Rabu 27 Januari, pasangan ini mengubah arah pergerakannya dan naik ke paras $38,100 pada hari Jumaat 29 Januari. Namun ia diikuti dengan perubahan arah mendadak selepas itu, jatuh ke paras $33,500. Justeru, nasib pertarungan itu masih belum diketahui semasa ulasan ini dibuat.
    Jangkaan Scott Minerd mengenai pelabur besar profesional bukanlah peminat matawang digital adalah benar. Apa yang berlaku pada enam bulan terakhir 2020 bolehlah dianggap sebagai satu eksperimen terhadap golongan itu kerana mereka sering melihat pada reaksi para penggubal dasar. Namun, pengarah Guggenheim Partners mungkin tidak mengambil kira pelabur runcit juga mampu menaikkan nilai bitcoin walaupun dengan ketiadaan pelabur berinstitusi seperti yang berlaku pada tahun 2017. Selain itu, jika sebelum ini hanya terdapat golongan peminat muda, kini generasi pertengahan pula menyertai mereka.
    Satu kajian yang dibuat para penganalisis di platform Wirex bersama-sama Stellar Development Foundation menunjukkan kebanyakan pelabur matawang kripto bukanlah golongan muda alaf baru seperti yang disebut baru-baru ini, tapi golongan yang berusia lebih daripada 45 tahun. Pelabur yang berusia antara 25 dan 45 hanyalah sebanyak 22%.
    Pembelian semula bitcoin secara aktif setelah nilainya turun di bawah paras $30,000 serta ketiadaan jualan panik telah menunjukkan kebanyakan pelabur masih meletakkan kepercayaan terhadap pertumbuhan nilai bitcoin ke paras tertingginya yang baru. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto sekali lagi melepasi paras psikologinya iaitu $1 trilion sepanjang tujuh hari yang lalu, naik daripada $0.933 trilion kepada $1.08 trilion. Bagi Indeks Fear & Greed Kripto, ia juga menunjukkan pertumbuhan bersama-sama kenaikan nilai sebut harganya. Jika bacaan pada penghujung minggu lalu berada pada 40 mata, ia naik kepada 77 pada hari Jumaat, 29 Januari. Bacaan ini sudah hampir dengan zon lebihan belian, namun nilai maksimumnya masih jauh di hadapan. Jika diingat nilai indeks tersebut sering berada di zon antara 95-98 daripada keseluruhan 100 semasa lonjakan nilainya pada Disember - minggu pertama untuk bulan Januari.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Perang antara matawang yang telah disebut dalam ulasan ini bukanlah hanya akan berlaku sepanjang minggu atau sebulan, ia mungkin akan memakan bertahun lamanya. Ekonomi di AS “susut” sebanyak 3.5% pada tahun 2020. Ia bukan saja menjadi indikator negatif pertama sejak 2009, malah penurunan terbesar sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua. Walau bagaimanapun, pelabur menjangkakan kadar faedah yang lebih rendah serta suntikan tunai ke atas ekonomi AS ($900 bilion daripada Donald Trump dan $1,900 bilion daripada Joe Biden), dan juga kejayaan program vaksinasi menentang COVID-19 akan membantu mengembalikan pertumbuhannya bagi tahun 2021. Walaupun begitu, semua ini akan berlaku secara beransur-ansur dan berperingkat.
    Berbeza dengan Amerika Syarikat, sokongan terhadap ekonomi di Eurozone dilihat lebih sederhana - €750 bilion, justeru, kadar pertumbuhan KDNK Eurozone akan menjadi lebih sederhana (+1.5% menurut unjuran). Malah kadar vaksinasi di rantau ini lebih rendah berbanding negara-negara luar. Jika semua ini dicampur bersama-sama dengan usaha pihak ECB untuk menurunkan nilai biasa matawang Eropah, bolehlah kita jangkakan pasangan EUR/USD akan menerima sedikit tekanan. Namun seperti yang telah dinyatakan, Setiausaha Perbendaharaan AS iaitu Janet Yelen akan berusaha untuk menghalang perkara ini daripada berlaku.
    Setelah pasangan EUR/USD bergerak secara mendatar di saluran antara 1.2055-1.2185 selama dua minggu setengah, indikator teknikal kini menjadi bingung, dan ia juga tidak memberi sebarang isyarat jelas ke manakah arah pergerakannya. Bagi penganalisis, kebanyakan daripada mereka (65%) menjangkakan dolar akan terus susut nilainya walaupun dengan segala perkara yang berlaku, dan pasangan ini akan kembali ke zon di antara 1.2200-1.2300. Sasarannya adalah untuk berada di kedudukan tertinggi bulan Januari iaitu 1.2350, rintangan paling hampir berada pada paras 1.2185. Sokongan paling hampir berada pada paras 1.2055, sasaran penting bagi bear pula berada di zon antara 1.1800-1.1900.
    Minggu depan menyaksikan pelbagai acara ekonomi utama akan diketahui. Data aktiviti bisnes serta pasaran buruh di AS akan dikeluarkan pada hari Isnin, 1 Februari dan Rabu, 3 Februari. Kita akan ketahui data awal KDNK pada hari Selasa, 2 Februari dan data pasaran pengguna di Eurozone pada hari berikutnya. Akhir sekali, pada 5 Februari iaitu hari Jumaat pertama bulan ini, data ke atas jumlah pekerjaan baru yang terhasil bukan daripada sektor agrikultur (NFP) di Amerika Syarikat biasanya akan dikeluarkan. Indikator ini dijangka akan menunjukkan peningkatan daripada -140K kepada +85K yang mungkin mendorong kepada pengukuhan jangka pendek dolar, walaupun perkara ini biasanya sudah diambil kira oleh pasaran terlebih dahulu;
  • GBP/USD. Kami menunggu-nunggu mesyuarat Bank of England yang akan diadakan pada hari Khamis, 4 Februari di mana persoalan mengenai jumlah pembelian aset dalam program sokongan ekonomi yang dirancang akan terjawab, juga berkenaan penurunan kadar faedah. Adakah penggubal dasar di Britain akan memberi pelabur kejutan? Ramalan kami, tiada sebarang kejutan akan dibuat. Berkemungkinan jumlah pembelian bon di pasaran terbuka akan kekal sama - £895 bilion, manakala kadar faedah akan kekal pada 0.1%. Justeru, pasaran akan menunggu untuk sebarang isyarat, tersurat mahupun tersirat, daripada ketua Bank of England iaitu Andrew Bailey yang dijadualkan akan membuat ucapannya pada 4 dan 5 Februari.
    Bagi penganalisis pula, 70% daripada mereka percaya bahawa pasangan GBP/USD masih akan berjaya melepasi rintangan pada paras 1.3750 dan naik ke ketinggian 1.3800 sekurang-kurangnya untuk sekejap. Analisis grafik serta 85% pengayun pada D1, dan juga 100% indikator trend pada H4 dan D1 bersetuju dengannya. Dalam masa yang sama, 60% penganalisis bersama-sama analisis grafik percaya bahawa setelah kedudukannya naik mendadak, pasangan ini akan kembali ke zon di antara 1.3615-1.3700. Sokongan seterusnya berada di sekitar 1.3500;
  • USD/JPY. Kebanyakan penganalisis (70%) yang mendapat sokongan analisis grafik pada D1 percaya bahawa penurunan pasangan ini akan terus berlaku. Walau bagaimanapun, bentuk eselon pasangan ini kini berubah, dan sempadan atas saluran menurun jangka sederhananya kini menjadi garis sokongan. Paras rintangan utama berada pada kedudukan 105.00, sokongan berada pada paras 104.00, 103.55 dan 103.00.
    Baki 30% lagi penganalisis menjangkakan pasangan ini mampu untuk naik lebih tinggi dan mencecah kedudukan di zon antara 105.70-106.10.
    Dalam kalangan indikator trend, 100% pada H4 dan 85% pada D1 menunjukkan pertumbuhan. Bagi pengayun, 75% pada H4 dan 60% pada D1 adalah berwarna hijau, yang lain menunjukkan isyarat pasangan ini memiliki lebihan belian;

Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 01 - 05 Februari, 20211

  • Matawang Kripto. Menurut sebilangan penganalisis, penurunan yang berlaku pada bulan Januari kini sudah berakhir, dan nilai pasangan BTC/USD sudah bersedia untuk naik ke $50,000. Mereka yang ingin mendapatkan pulangan dan memindahkan aset kripto mereka ke dalam fiat sudahpun berbuat demikian. Kini bull sudah bertenaga semula, membentuk momentum ke atas sekali lagi. Kadar faedah bank pusat yang kini hampir kepada sifar dan rangsangan fiskal berskala besar memberi tekanan kepada dolar, manakala tarikan Bitcoin sebagai aset lindung nilai akibat turun naik pasaran saham pula masih boleh dijadikan sebagai hujah untuk peningkatan berterusan.
    Berkemungkinan besar 2021 akan menjadi satu pertarungan antara pasaran kripto dan juga penggubal dasar. Jika kita mengetepikan sikap optimis para peminat kripto, masih menjadi tanda tanya sama ada aset digital benar-benar mampu mengukuhkan kedudukan mereka.
    Sebagai contoh, Bank of Singapore, salah satu organisasi kewangan terbesar di Asia menyatakan bitcoin adalah instrumen yang memiliki masa depan cerah, bukan saja untuk bersaing dengan emas malah menggantikan kedudukan pertama dalam sekuriti pelaburan. Dalam masa yang sama, penganalisis bank berkenaan percaya bahawa “kami tidak sekali menjangkakan penerimaan bitcoin secara besar-besaran dalam masa terdekat kerana para penggubal dasar tidak akan membenarkan para pengguna secara peribadi membuat keputusan mengenai bagaimana transaksi ke atas jutaan dolar akan dibuat.” Kerajaan giat membuat penjelasan bahawa mereka tidak akan membenarkan sebarang serangan ke atas instrumen utama mereka - matawang kebangsaan.
    Bagi matawang kripto kedua terpenting, pasaran masih menunggu pelancaran niaga hadapan Ethereum. Faktor inilah yang membolehkan pasangan ETH/USD mengekalkan kedudukan mereka pada bulan Januari, apabila bitcoin berusaha ingin melepasi paras sokongan di zon $30,000.
    Jika diingat salah satu faktor yang membolehkan bitcoin melepasi paras $20,000 pada penghujung 2017 adalah pelancaran niaga hadapannya oleh Chicago Mercantile Exchange (CME). Kini, pada 8 Februari, 2021, bursa yang sama menantikan kelulusan pihak penggubal terhadap permohonan penyenaraian niaga hadapan Ethereum, dan ia mungkin akan menambah lagi nilai sebut harganya.
    Menyimpulkan ulasan ini, terdapat satu lagi cerita menarik dalam perjalanan matawang kripto. Sebelum ini kami telah nyatakan seorang penilik nasib warga Amerika yang membuat ramalan harga bitcoin berdasarkan pergerakan planet. Kali ini kami ingin bercerita tentang seorang lagi rakyat Amerika, Simon Berne, yang memasang mesin penghasilan dalam but kereta sport BMW i8 miliknya. Mesin itu digerakkan dengan bateri kereta yang disambungkan menggunakan penyongsang DC. Tenaga yang dibekalkan bateri BMW i8 adalah 3500W, manakala mesin penghasilannya hanya menggunakan tenaga sebanyak 1500W. Menurut Berne, ia adalah satu cara terbaik untuk beliau mendapatkan pulangan walaupun semasa memandu.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami