Mac 6, 2021

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Pepatah ada mengatakan, “lain orang lain caranya”. Jika Donald Trump memegang jawatan Presiden AS yang dimiliki Joe Biden sekarang, beliau mungkin akan menyelar tindakan ketua Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell sebagai “khianat” kerana ucapan yang disampaikannya pada hari Khamis, 4 Februari lalu secara tidak langsung telah menjatuhkan pasaran saham di Amerika. Powell terus tidak mempedulikan tentang lonjakan hasil bon Perbendaharaan AS yang memperoleh hasil tahunan tertinggi. Dalam masa yang sama, beliau memberi bayangan tentang pengetatan pramatang yang mungkin akan dikenakan ke atas polisi kewangan mereka.
    Walaupun ketua Rizab Persekutuan itu menekankan bahawa kemeruapan ekonomi di negara tersebut masih lagi belum berlaku, dan beliau sendiri tidak nampak sebarang keperluan untuk menaikkan kadar faedah, pasaran telah membayangkan kemungkinan polisi kewangan akan berubah. Sebagai tindak balas, hasil bon 10 tahun Perbendaharaan melonjak bersama-sama dengan dolar, manakala pasaran saham pula jatuh. Indeks S&P500 rugi sebanyak 120 mata manakala indeks Purata Industri Dow Jones mengalami kerugian lebih daripada 300 mata.
    Kejatuhan harga saham telah memaksa para pelabur mencari tempat berlindung dalam matawang dolar. Disebabkan itu, indeks DXY dolar mencecah kadar tertinggi sepanjang tiga bulan iaitu 91.38 pada hari Khamis, dan pertumbuhannya berterusan sehingga hari Jumaat, 5 Mac, dan kadar DXY adalah melebihi 92.00 semasa rumusan ini dibuat.
    Data pasaran buruh AS menambah lagi sikap optimis para pelabur. Bilangan pekerjaan baru yang bukan dihasilkan oleh sektor agrikultur (NFP) naik daripada 166K kepada 379K, jumlah yang diunjur adalah 182K. Akhirnya, ramalan yang dipersetujui oleh majoriti (70%) penganalisis pada minggu lalu ternyata adalah tepat: pasangan EUR/USD meneruskan pergerakan ke bawah, mencecah paras terendah mingguan pada 1.1895 dan mengakhiri minggu sedikit tinggi daripada itu, pada 1.1915;
  • GBP/USD. Analisis grafik pada D1 pada minggu lalu mencadangkan pergerakan mendatar pasangan ini di antara 1.3860-1.4240. Walau bagaimanapun, saluran yang dilaluinya adalah lebih sempit: ia didagangkan pada julat antara 1.3860-1.4000 sehingga hari Khamis. Selepas itu, disebabkan oleh kenyataan yang dibuat oleh ketua Rizab Persekutuan AS iaitu Jerome Powell, nilai dolar mula mengukuh, dan setelah pasangan GBP/USD menembusi sempadan bawah saluran itu, ia turun ke paras yang hampir dengan 1.3775. Paras  terakhir bagi tempoh lima hari dagangan ditetapkan pada kedudukan 1.3840.
  • USD/JPY. Trend penurunan beberapa bulan yang berlaku kepada pasangan ini berakhir pada 6 Januari, mengubah arahnya dan bergerak ke atas hampir untuk keseluruhan 2021. Semasa ramalan dibuat pada minggu lalu, satu pertiga daripada penganalisis memihak kepada bear, satu pertiga lagi mengambil posisi neutral, dan baki satu pertiga mengunjurkan pertumbuhan pasangan ini. Malah tidak ramai penganalisis yang bersetuju ia mampu berada di zon antara 108.00-108.50, hanya 25% saja daripada mereka. Namun mereka meramalkan dengan tepat: paras tertinggi mingguan yang direkodkan adalah pada 108.60, diikuti dengan sedikit lantunan ke bawah dan berakhir pada kedudukan 108.35.
    Punca lonjakan pasangan ini masih lagi sama: berlatarbelakangkan peningkatan hasil bon Amerika yang melebihi hasil sekuriti di Jepun, para pelabur menyingkirkan aset terlindung dengan kadar faedah negatif seperti yen. Bersama-sama matawang Jepun, emas dan franc Swiss juga menerima kesan yang sama. Selain itu, kenyataan yang dikeluarkan oleh Jerome Powell menyemarakkan lagi keadaan, dan menyebabkan pasangan USD/JPY itu mencecah paras tertinggi selama 8 bulan;
  • Matawang Kripto. Ada berita baik untuk bull: Nilai bitcoin belum lagi turun di bawah paras $43,000. Namun bear juga menerima berita baik: Nilai bitcoin tidak berada di atas $52,000. Setelah pergerakannya membentuk sinusoid, kedudukan BTC/USD pada carta kembali berada di paras yang sama tujuh hari lalu pada petang Jumaat, 5 Mac. Persoalan sama ada pergerakan ini hanya pembetulan semata-mata atau permulaan “musim dingin kripto” yang baru masih belum terjawab.
    Hal yang berkaitan dengan berita semasa juga dilihat agak menimbulkan kontroversi. Gergasi sistem pembayaran seperti Mastercard, Visa dan PayPal berada di pihak bull, mereka giat menarik perhatian “generasi kripto”. Skrill dan Neteller juga mengambil tindakan yang sama. Fungsi pelayar internet Opera telah diperkaya dengan algoritma baru yang membolehkan penggunanya menjalankan transaksi menggunakan pelbagai jenis matawang kripto popular. Ciri lain Opera adalah walet digital mampu dihasilkan sendiri tanpa perlu melayari laman pihak ketiga. Gergasi teknologi lain seperti Google juga mula beralih ke matawang kripto: platform Google Finance telah menambah satu lagi tab bertujuan untuk memantau harga aset digital.
    Aktiviti pengguna kian bertambah. Volum dagangan di bursa matawang kripto telah melebihi $1 trilion pada bulan Februari. Menurut para penganalisis, jumlah itu berjaya dicapai buat julung kalinya dalam sejarah. Walaupun semasa berlakunya lonjakan nilai bitcoin kali pertama dahulu, volum dagangan yang dicatatkan hanyalah sebanyak $650 bilion. Menurut penganalisis di platform analitik Block Research, kebanyakan pelabur lebih gemar untuk membuat transaksi dari satu akaun ke satu lagi servis pihak ketiga bagi mengekalkan status tanpa nama sepenuhnya. Justeru, jumlah sebenar transaksi mungkin adalah dua kali ganda daripada jumlah rasmi.
    Walau bagaimanapun, semuanya tidaklah begitu indah jika dilihat sekilas pandang. Kami sudah nyatakan bahawa penggubal dasar boleh (mungkin akan berterusan) menjadi masalah utama bagi aset digital untuk tahun 2021.
    Menurut penganalisis Sven Henrich, ketua Menteri Kewangan AS iaitu Janet Yellen sebenarnya telah mengisytiharkan perang terhadap bitcoin. Pengumuman beliau telah menyebabkan bitcoin dijual secara besar-besaran oleh para “jerung” yang berlaku antara 21-23 Februari lalu, dan juga penurunan mendadak sebut harga BTC sebanyak 23%. Kini, Persatuan Pentadbir Sekuriti Amerika Utara (NASAA) telah menerbitkan senarai tahunan bagi produk kewangan paling berbahaya, dan mereka menyenaraikan matawang kripto sebagai risiko pelaburan utama pada tahun ini.
    Dengan menilai keadaan sukar untuk mengawal aliran kewangan, anda tidak boleh lupa mengenai kemunculan yuan digital yang mampu memberi kesan besar kepada bitcoin. Amerika Syarikat serta beberapa lagi buah negara juga tidak menolak kemungkinan untuk melancarkan matawang digital (CDBC) mereka sendiri.
    Buat masa ini, semasa ulasan dibuat, pasaran kini berada di persimpangan. Jumlah keseluruhan modal pasaran mingguan sedikit naik: daripada $1,410 bilion kepada $1,444 bilion. Manakala Indeks Fear & Greed Kripto pula sekali lagi meninggalkan zon neutral (55) dan bergerak menuju ke zon lebihan belian, mencapai bacaan 77 daripada 100 mata.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Melihat pada indikator terkini, ekonomi di AS menunjukkan keadaan yang lebih baik. Program vaksinasi giat dijalankan, pasaran buruh kian pulih, dan kadar KDNK bagi suku pertama sudah pun menunjukkan pertumbuhan hampir 10%. Menurut Jerome Powell, indeks harga pengguna mungkin lebih tinggi sedikit daripada paras yang disasarkan iaitu 2% seawal musim panas ini.
    Walau bagaimanapun, perjalanan masih lagi panjang untuk pulih sepenuhnya. Pada hujung minggu ini, 6-7 Mac, pihak Senat akan mula membuat undian bagi meminda belanjawan mereka. Jika para penggubal dasar sebulat suara bersetuju, rakyat AS akan menerima bantuan percuma yang baru sebanyak $1,400 bagi setiap seorang, dan nilai keseluruhan pakej rangsangan (QE) akan berjumlah $1.9 trilion.
    Suntikan hampir 2 trilion matawang dolar yang baru ini ke dalam pasaran boleh mengakibatkan penyusutan mendadak nilai matawang AS dan mengembalikan selera risiko para pelabur. Jika ia berlaku, penjualan saham akan terhenti dan kadar indeks saham akan meningkat semula.
    Semasa membuat ramalan untuk minggu hadapan, kebanyakan penganalisis (60%) tidak menolak trend penurunan akan terus berlaku serta pasangan EUR/USD yang akan jatuh ke zon 1.1800. 100% indikator trend serta 75% pengayun pada H4 dan D1 menunjukkan penurunan. Namun baki 25% lagi sudahpun menunjukkan pasangan ini memiliki lebihan jualan.
    Gambarannya berubah dengan radikal apabila beralih daripada ramalan bulanan kepada ramalan suku tahun. Di sini 70% daripada penganalisis lebih memihak kepada euro setelah bantuan sebanyak $1.9 trilion muncul di pasaran, dan kadar pasangan itu meningkat. Rintangan berada pada paras 1.2025, 1.2060, 1.2170, 1.2200 dan 1.2270.
    Untuk perkara yang bakal berlaku pada minggu depan, data berkenaan KDNK di Eurozone yang akan dikeluarkan pada hari Selasa, 9 Mac, statistik pasaran pengguna di AS dan Jerman yang masing-masing akan diketahui pada hari Rabu dan Jumaat, 10 dan 12 Mac, serta keputusan Bank Pusat Kesatuan Eropah mengenai kadar faedah yang akan diketahui pada hari Khamis, 11 Mac perlu diberi perhatian. Mengikut ramalan, kadar faedahnya mungkin tidak akan berubah, kekal pada sifar. Justeru, sidang akhbar oleh kepimpinan tertinggi ECB yang akan diadakan pada hari yang sama dilihat lebih mengujakan;
  • GBP/USD. Gabenor Bank of England iaitu Andrew Bailey dijadual akan berucap pada hari Isnin, 8 Mac untuk menyatakan keinginan beliau dalam menggariskan parameter utama bagi polisi kewangan negara itu ketika berhadapan dengan kemerosotan ekonomi yang berpunca daripada wabak COVID-19. Menurut penganalisis di ING, “secara keseluruhan, bantuan fiskal harus mengetengahkan prospek membina untuk pound sterling pada suku kedua 2021. Bantuan fiskal seterusnya haruslah menyumbang kepada pemulihan ekonomi serta menjadikan pound sterling sebagai peneraju pasaran matawang bagi negara-negara G10."
    Namun, sebelum ia berlaku, 50% penganalisis menjangkakan pasangan GBP/USD akan menembusi sokongan di paras sekitar 1.3775-1.3800 dan terus naik ke zon di antara1.3600-1.3760. Ramalan itu mendapat sokongan 85% indikator trend dan juga 100% pengayun pada H4, namun hanya 65% “rakan” mereka pada D1 yang menyokongnya.
    25% daripada penganalisis, disokong oleh analisis grafik pada kedua-dua tempoh masa menjangkakan pertumbuhan pasangan ini, dan baki 25% lagi mengambil posisi neutral. Dalam masa sama, seperti yang berlaku kepada EUR/USD dan atas beberapa sebab lain, bilangan penyokong bull meningkat kepada 60% apabila beralih ke ramalan bulanan. Rintangan berada pada paras 1.3900, 1.3950, 1.4000, 1.4085 serta 1.4185, dan sasaran mereka adalah kedudukan tertinggi yang dicapai pada 24 Februari iaitu 1.4240;

Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 08 - 12 Mac, 20211

  • USD/JPY. Setelah kedudukan pasangan ini secara harfiahnya naik sebanyak 215 mata pada minggu lalu dan mencecah paras tertinggi sepanjang lapan bulan, jelas menunjukkan 100% indikator trend adalah berwarna hijau. Namun bagi pengayun, 35% daripada mereka telah pun memberi isyarat ianya memiliki lebihan belian. Analisis grafik juga menunjukkan penurunan. Kebanyakan pedagang takut untuk membuka posisi long dan juga short dalam keadaan seperti itu.
    Bagi penganalisis, keadaan sekarang sudah mula memihak kepada pembetulan ke bawah: kini sudah terdapat 50% penyokong bear. 25% lagi menjangkakan pasangan USD/JPY untuk terus mengalami pertumbuhan, dan baki lagi 25% kekal neutral. Apabila beralih daripada ramalan mingguan kepada bulanan, 80% penganalisis menjangkakan penurunan pasangan ini dan kembalinya ia ke zon 105.00. Sokongan berada pada paras 108.00, 106.70, 106.10 dan 105.70; Rintangan - 109.80;
  • Matawang Kripto. Satu tinjauan yang dibuat oleh Glassnode menunjukkan hanya 4 juta bitcoin yang ada di pasaran. Pengurangan penghasilan kali ketiga yang bermula pada Mei 2020 telah mengurangkan perolehan para penghasil daripada 12.5 BTC kepada 6.25 BTC bagi setiap blok yang dihasilkan. Ia mengurangkan lagi bekalan coin di pasaran. Seperti yang anda ketahui, jumlah penghasilan bitcoin yang dihadkan menjadi salah satu kelebihan utama yang dimilikinya jika dibandingkan dengan emas dan matawang fiat.
    “Tiba-tiba, membeli bitcoin adalah sesuatu yang berbaloi dan tidak lagi berisiko,” coret Mike Novogratz, ketua bank kripto Galaxy Digital. Sebaliknya, ia adalah sesuatu yang berisiko jika tidak memiliki BTC dalam portfolio pada ketika bank-bank pusat terus mencetak wang. Kami tidak memiliki masa yang cukup untuk mengupah pengurus jualan bagi mendekati kesemua pelanggan berinstitusi yang ingin memahami serta menyertai pasaran ini."
    Malah peminat emas seperti presiden Euro Pacific Capital iaitu Peter Schiff juga menyokong kenyataan Novogratz. Tidak lama sebelum ini, broker terkenal yang meragui kemampuan bitcoin itu menggelar bitcoin sebagai “buih” paling besar dalam sejarah dan bercakap buruk tentang kemampuan minda para pelabur matawang kripto. Kini beliau mengakui kesilapannya. “Ketika mula-mula saya mengetahui tentang bitcoin, saya tidak rasa pelabur-pelabur bijak akan bertindak bodoh dan membeli bitcoin. Saya silap,” jelas Schiff.
    Berbalik kepada ketua Galaxy Digital, Mike Novogratz, kami sedia maklum bahawa beliau dengan tiba-tiba telah mengubah ramalan kadar BTC bagi penghujung 2021 dan tahun berikutnya. “Saya rasakan,” ahli bank itu berkata, “nilainya akan kekal di antara $42,000 dan $60,00 buat sementara, dan kemudian melonjak tinggi kepada $100,000. Saya tidak terkejut jika nilai ini berjaya dicapai menjelang akhir tahun."
    Ramalan berunsurkan konspirasi yang tidak disangka-sangka telah diberikan oleh penganalisis dalam bidang risikan kompetatif. Beliau percaya kewujudan dan sokongan terhadap berita mengenai Bitcoin yang sering digembar-gemburkan bukanlah hanya kebetulan. Jika seorang ahli kewangan elit Amerika berjaya meyakinkan para pemiutangnya bahawa memiliki bitcoin adalah lebih baik daripada dolar, lama-kelamaan beliau boleh memindahkan kesemua hutang luar milik AS ke dalam matawang kripto. “Tidak lama selepas ia berlaku, nilai matawang kripto hanya perlu jatuh, dan jumlah hutang Amerika yang begitu besar itu akan terus menjadi sifar,” jelas penganalisis itu.
    Hanya waktu yang akan membuktikan hal tersebut. Dalam masa yang sama, kejadian yang berlaku ke atas pasaran saham AS memainkan salah satu peranan penting yang mempengaruhi nilai bitcoin. Jika diingat kira-kira setahun yang lalu, penurunan kadar pasaran saham akibat keadaan panik yang berpunca daripada wabak COVID-19 telah menyebabkan kejatuhan pasaran matawang kripto.
    Membuat kesimpulan, terdapat satu lagi cara mudah untuk kripto yang agak melucukan. Sebelum ini kami telah menyebut tentang seorang ahli tilik nasib warga Amerika yang meramalkan nilai bitcoin berdasarkan pergerakan planet. Terdapat juga khabar berkenaan seorang lagi warga Amerika Syarikat yang membina ladang penghasilan di dalam bonet kereta BMW miliknya. Ladang itu mendapat tenaga daripada bateri kereta yang bersambung menggunakan penyongsang DC bagi membolehkan pemiliknya melombong matawang kripto semasa keretanya sedang bergerak.
    Ini pula berkenaan seorang “gamer” dan juga peminat tegar kripto dari China yang mula terkenal bernama Yifan Gu. Beliau berjaya melangkau had teknikal yang ditetapkan bagi penghasilan matawang kripto, dibuat menggunakan Sony PlayStation 5, dan konsol permainan itu disesuaikan bagi melombong Ethereum, memperoleh untung kira-kira $50 setiap minggu. Sebelum ini, Yifan Gu menyesuaikan MacBook Air dengan cip Apple M1 miliknya untuk melombong altcoin utama itu. Namun, mengikut kadar ETH semasa, anda hanya boleh memperoleh $0.14 sehari dengan menggunakan MacBook Air.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami