Disember 11, 2021

EUR/USD: Sebelum Berlangsungnya Mesyuarat Rizab Persekutuan dan ECB

  • Kami berikan judul “Kadar Inflasi dan Tenaga Kerja Menentukan Segalanya” untuk ulasan bahagian ini pada minggu lalu. Kedua-dua parameter inilah yang menentukan polisi kewangan bagi bank-bank pusat buat masa sekarang. Mesyuarat pihak Rizab Persekutuan AS yang seterusnya akan berlangsung pada hari Khamis, 16 Disember, dan pasaran menjangkakan pihak penggubal dasar itu akan mempercepatkan prosedur untuk penamatan insentif, dan malah, mungkin akan menaikkan kadar faedah. Tidak syak lagi, keputusan-keputusan ini akan bergantung pada statistik makro yang dikeluarkan dalam beberapa hari kebelakangan ini.

    Laporan dari pasaran buruh AS yang dikeluarkan pada 9 Disember lalu secara keseluruhannya dilihat agak baik. Bilangan permohonan awal untuk manfaat penggangguran diunjur akan naik sebanyak 3000, namun jumlahnya menjadi 185,000 permohonan, turun sebanyak 43,000. Ini adalah jumlah paling rendah dalam tempoh lebih daripada separuh abad, sejak tahun 1969. Sebaliknya, jumlah permohonan semula adalah lebih teruk daripada jangkaan: bilangannya naik sebanyak 38 ribu permohonan dan bukannya turun sebanyak 72 ribu. Namun jika kita mencampurkan jumlah kedua-dua indikator, kita akan dapat lihat pengurangan jumlahnya sebanyak 5,000 dan ini mengesahkan pasaran buruh sedang menuju ke arah trend pemulihan. Tambahan lagi, jumlah kekosongan kerja meningkat sebanyak 431 ribu: sudahpun terdapat kekurangan bekalan tenaga buruh di Amerika Syarikat.

    Untuk kadar inflasi, lebih tinggi nilainya, lebih tinggi peluang pihak Rizab Persekutuan akan mempercepatkan proses pengetatan polisi kewangan mereka. Kita bukan hanya bercakap mengenai pengurangan pembelian semula aset, tetapi juga berkenaan kenaikan kadar utamanya yang akan mendorong kepada pengukuhan nilai dolar ke paras lebih tinggi.

    Buat masa sekarang kadar inflasi di Amerika Syarikat telah mencecah paras tertinggi dalam tempoh lebih empat puluh tahun, dan berdasarkan pada data yang dikeluarkan pada 10 Disember, nilai tersebut akan terus meningkat. Kadar indeks harga pengguna (CPI) tahunan naik daripada 6.2% pada bulan Oktober kepada 6.8% untuk bulan November. Bagi indeks teras (Core CPI), nilai dari tahun ke tahunnya adalah 4.9% pada bulan November, juga lebih  tinggi daripada nilai sebelum itu (4.6% pada bulan Oktober). Pasaran kini akan menunggu apakah reaksi yang akan pihak Rizab Persekutuan berikan pada mesyuarat mereka nanti terhadap nilai-nilai tersebut. Jerome Powell iaitu ketua bagi organisasi itu berserta rakan sejawat beliau telah meyakinkan para pelabur terlebih dahulu berkenaan kesediaan mereka bagi sekatan kewangan yang lebih agresif.

    Kira-kira 70% penganalisis di Financial Times percaya bahawa proses untuk mengembalikan polisi kewangan seperti sebelum berlakunya Covid akan berjalan lancar, dan kadar faedahnya akan mencecah 1.5% menjelang akhir tahun 2023 (nilainya adalah 0.25% sekarang). Dalam masa yang sama, hanya 10% penganalisis menjangkakan peringkat pertama kenaikan kadar hanya akan berlaku pada Q1 2022, 50% lagi mengharapkan pada Q2. Bagi penamatan sepenuhnya program pelonggaran kuantitatif (QE) yang berjumlah $120 bilion, lebih daripada separuh responden tinjauan percaya bahawa ia akan berlaku pada akhir bulan Mac tahun hadapan.

    Mesyuarat Bank Negara Kesatuan Eropah yang seterusnya akan diadakan pada hari Khamis, 16 Disember, hari sama berlangsungnya mesyuarat Rizab Persekutuan. Tidak seperti Rizab Persekutuan, kami telah nyatakan pihak ECB merancang untuk mengambil langkah pertama ke arah itu hanya pada tahun 2023. Sehingga itu kita akan dapat lihat peningkatan harga tertinggi dalam sejarah di negara-negara Eurozone dengan tenang. Namun begitu terdapat kemungkinan penggubal dasar Kesatuan Eropah itu akan memilih untuk mempercepatkannya, mencontohi rakan seangkatan di luar negara, dan bertukar menjadi helang daripada merpati. Kejutan ini akan menggembirakan bull EUR/USD. Hal ini tidak boleh dikecualikan, terutama sekali disebabkan oleh kenyataan hawkish mula kedengaran dari pegawai atasan ECB yang berwibawa seperti Isabel Schnabel.

    Ahli Jawatankuasa Pentadbir bank berkenaan berkata sebelum ini bahawa pembelian aset adalah satu kaedah penting apabila pasaran berada dalam keadaan mengejut dan meleset, tetapi kadar keseimbangan antara kelebihan dan keburukan QE berkurang sepanjang tempoh ekonomi mengalami pertumbuhan, menambah risiko ketidakstabilan kewangan. Walaupun ia berlaku dalam tempoh yang pendek, reaksi pasaran yang menyebabkan pertumbuhan nilai mata wang Eropah itu secara umumnya bukanlah berkait dengan kenyataan Puan Schnabel.

    Dalam menantikan mesyuarat Rizab Persekutuan dan juga ECB, pasangan EUR/USD bergerak di sekitar Pivot Point 1.1300 untuk dua minggu berturut-turut. Kali ini, ia mengakhiri tempoh lima hari dagangan hampir pada garis 1.1316. Dalam kalangan penganalisis, 75% menjangkakan pengukuhan lebih tinggi mata wang AS, 20% pula berharap nilai euro akan bertambah. Baki 5% lagi mengambil pendirian neutral.

    Namun trend mendatar selama dua minggu telah mengakibatkan kekeliruan dan percanggahan dalam kalangan indikator pada D1. Untuk indikator trend, 60% adalah berwarna merah, 40% berwarna hijau. Bagi pengayun, 40% menunjukkan penurunan, 30% menunjukkan pertumbuhan dan baki 30% lagi adalah pergerakan mendatar. Rintangan berada di zon dan paras 1.1355, 1.1380, 1.1435-1.1465 serta 1.1525. Sokongan paling hampir berada pada paras 1.1300, kemudian 1.1265, 1.1225, 1.1185, dan 1.1075-1.1100 selepas itu.

    Antara perkara yang akan berlaku pada minggu depan, selain daripada mesyuarat bank-bank pusat dan komen pihak pengurusannya selepas itu yang perlu diberi perhatian adalah pengeluaran statistik jualan runcit di AS pada hari Rabu, 15 Disember, serta penerbitan data aktiviti perniagaan di Jerman dan juga di Eurozone pada 16 Disember. Disamping itu, mesyuarat Jawatankuasa Kesatuan Eropah akan diadakan pada hari Khamis dan juga Jumaat.

GBP/USD: Sebelum Berlangsungnya Mesyuarat Rizab Persekutuan dan Bank of England

  • Tarikh 16 Disember akan membawa banyak keterujaan kepada para pelabur: selain daripada Rizab Persekutuan dan ECB, Bank of England juga akan membuat keputusan berkenaan polisi kewangan dan kadar faedah mereka pada hari tersebut. Kadar indeks Markit bagi aktiviti perniagaan dalam sektor perkhidmatan di UK juga akan diketahui pada hari yang sama. Selain itu, data pengangguran akan dikeluarkan pada hari Selasa, 14 Disember, manakala kadar inflasi pada pasaran pengguna UK akan diketahui pada hari Rabu, 15 Disember.

    Nilai pound jatuh pada minggu lalu setelah kerajaan UK memperkenalkan langkah kuarantin yang baru akibat kemunculan strain COVID-19 yang baru. Mengikut statistik, jumlah jangkitan strain Omicron naik berganda setiap dua ke tiga hari. Kiraan mudah bagi dinamik seperti itu menunjukkan jumlah jangkitannya mungkin akan melebihi 1 juta menjelang akhir bulan ini (10.6 juta jangkitan telah direkodkan di negara tersebut sejak bermulanya pandemik). Situasi ini membimbangkan para pelabur, justeru mereka ingin mendapatkan maklumat dari Bank of England sama ada strain coronavirus Omicorn akan mempengaruhi rancangan penamatan program rangsangan kewangan mereka ataupun tidak.

    Bull untuk pasangan GBP/USD tidak begitu gembira dengan statistik makroekonomi yang lemah, rupa-rupanya lebih teruk daripada jangkaan. Juga, mata wang pound terus menerima tekanan akibat Brexit dan perselisihan faham yang ketara antara pihak EU dan UK mengenai Protokol Ireland Utara, dan menurut pegawai dari British, protokol itu telah menyebabkan negara mereka berhadapan dengan kekurangan barangan serta terputus bekalan.

    Dalam masa yang sama, 40% penganalisis masih lagi berharap pasangan ini akan mengalami pertumbuhan. Namun jika Bank of England enggan menaikkan lagi kadar faedah, harapan mereka akan terkubur seperti dedaun yang layu. Melihat pada pendirian kerajaannya terhadap kuarantin, berkemungkinan besar penggubal dasar itu akan mengekalkan saja kadar faedah sedia ada sekurang-kurangnya sehingga Februari 2022. Majoriti (60%) penganalisis menjangkakan itulah hasil daripada mesyuarat tersebut.

    Menantikan keputusan penggubal dasar, pasangan GBP/USD mengakhiri sesi dagangannya sama seperti seminggu yang lalu: berada di zon 1.3265. Namun, walaupun hal itu berlaku, 75% indikator trend pada D1 masih lagi berpihak kepada bear. Dalam kalangan pengayun, 80% daripada mereka turut memiliki pendapat yang sama, baki 20% lagi menunjukkan pergerakan ke atas.

    Tugas No.1 bull adalah melepasi paras rintangan utama di zon antara 1.3285-1.3300. Ini tidak akan menjadi masalah jika Bank of England menaikkan kadar faedah mereka pada 16 Disember nanti. Rintangan seterusnya berada pada paras 1.3360, 1.3410, 1.3475, 1.3515, 1.3570, 1.3610, 1.3735, 1.3835. Sokongan paling hampir berada di zon antara 1.3210-1.3220, diikuti dengan paras 1.3195, 1.3160, 1.3135, 1.3075. Jika paras sokongan berjaya ditembusi, pasangan ini mungkin akan turun ke paras 1.2960.

USD/JPY: Yen Mengekalkan Pertahanan. Setakat ini berjaya

Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 13 - 17 Disember, 20211

  • Jika pasangan EUR/USD berlegar-legar di sekitar paras 1.1300 untuk minggu kedua, pasangan USD/JPY juga sama, hanya bergerak di sekitar 113.30. Keinginan terhadap risiko yang kembali dalam pasaran dan menaikkan kadar indeks saham tidak memberi kesan besar kepada mata wang Jepun, dan perkara ini telah disokong oleh kenyataan dari seorang ahli Lembaga Bank of Japan iaitu Hitoshi Suzuki. Beliau berkata dalam mengulas mengenai situasi berkenaan COVID-19, jika pihak Rizab Persekutuan AS mula menamatkan QE serta menaikkan kadar faedah mereka lebih awal daripada jangkaan, Bank of Japan juga mungkin akan menaikkan kadar jangka panjang mereka. Menurut Hitoshi Suzuki, kadar mungkin akan dinaikkan secepat mungkin apabila tiada lagi kebimbangan mengenai coronavirus yang akan membantu ekonomi di Jepun untuk terus pulih. Pastinya sia-sia untuk menjangkakan kenaikan itu akan diputuskan pada mesyuarat penggubal dasar yang akan diadakan pada hari Jumaat, 17 Disember nanti. Berkemungkinan kadar ini akan kekal pada -0.1% iaitu paras negatif sama seperti sebelum ini.

    Timbalan ketua Bank of Japan, Masayoshi Amamiya cuba untuk menaikkan tahap optimis dalam kalangan pelabur. Negara itu berhadapan dengan kelembapan ekonomi, tetapi mengikut pengiraan penggubal dasar tersebut, ia seharusnya pulih pada tahun 2022, walaupun dengan kewujudan strain Omicron. Komen pegawai bank itu dibuat setelah data KDNK di Jepun bagi Q3 yang sangat lemah dikeluarkan pada hari Rabu, 8 Disember. Kadarnya menunjukkan penurunan sebanyak 0.9% berbanding kadar sebelum ini iaitu negatif 0.8% dan juga kadar positif yang diunjurkan iaitu +0.4%.

    Mengimbas semula ramalan sebelum ini, kebanyakan penganalisis menjangkakan pasangan USD/JPY akan cuba sekali lagi untuk kembali ke saluran antara 113.40-114.40. Inilah yang berlaku sebenarnya: nilai dolar mula bertumbuh, dan nilainya naik ke paras 113.95 pada 8 Disember, walaupun kemudian diikuti dengan perubahan arah trend dan berakhir di sempadan bawah saluran itu, pada paras 113.40.

    Untuk ramalan minggu hadapan, 80% penganalisis percaya bahawa pasangan ini akan naik ke atas sekali lagi dengan bantuan daripada Rizab Persekutuan AS, malah, mungkin menembusi sempadan atas saluran 113.40-114.40. Rintangan berada pada paras 113.70, 114.00, 114.40, 114.70, 115.00 dan 115.50, manakala sasaran jangka panjang bull adalah paras tertinggi Disember 2016 iaitu 118.65. Hanya 20% penganalisis bersetuju dengan senario bearish. Sokongan paling hampir berada pada paras 112.55, kemudian 112.00 dan akhir sekali 111.65.

    Dalam kalangan pengayun pada D1, 60% masih menunjukkan penurunan, 30% kekal neutral, dan baki 10% lagi menunjukkan pertumbuhan. Pendapat indikator trend terbahagi sama rata, 50-50.

MATA WANG KRIPTO: Pelabur Bertaruh pada Ethereum

  • Masih tiada penjelasan yang kukuh berkenaan penurunan nilai bitcoin di bawah paras $42,000 pada malam 4 Disember lalu. Walau bagaimanapun, adalah berbaloi untuk memberi perhatian pada hakikat bahawa kejatuhan pasaran kripto berlaku ketika pasaran saham jatuh dan juga pemergian para pelabur daripada aset berisiko. Punca berlakunya hal ini adalah berita mengenai syarikat hartanah terbesar di China iaitu Evergrande yang disiarkan. Media telah melaporkan pengasas syarikat berkenaan telah dipanggil pihak kerajaan untuk menjawab tentang kemungkinan syarikat itu akan muflis yang boleh menyebabkan masalah besar terhadap seluruh ekonomi dunia.

    Penganalisis di Galaxy Digital Research percaya bahawa itu bukanlah puncanya. Mereka berpendapat, penyebab kejatuhan ini adalah kegelisahan yang dirasai orang ramai tentang strain Omicron COVID-19 yang baru serta kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell mengenai program QE yang mungkin akan ditamatkan lebih awal.

    Biarpun mata wang kripto unggul itu mencatatkan nilai tertingginya pada 10 November lalu iaitu $68,780, nilainya menyusut untuk lima minggu berturut-turut. Sikap optimis para penganalisis dan juga pelabur turut berkurang bersama-sama nilainya.

    Ketua Pegawai Pelaburan Bitwise Asset Management iaitu Matt Hougan percaya bahawa kini bitcoin berkemungkinan tidak akan memperbaharui nilai tertingginya dan mencecah $100,000 sebelum berakhir tahun 2021. “Saya merasakan nilai itu akan menjadi sasaran pada tahun 2022,” jelas pengurus terkenal dalam satu temubual bersama Bloomberg. Kadar pertumbuhan seharusnya didorong oleh pertambahan sokongan dari para institusi, dan beliau merasakan, wujudnya “daya pendorong fundamental” dalam hal ini.

    Namun sebaliknya, Louis Navellier, seorang ahli ekonomi dan juga pelabur terkenal percaya bahawa “daya pendorong” itu menolak ke arah bawah. Satu gelembung besar telah terhasil di pasaran saham yang akan mengakibatkan pembetulan kukuh terhadap aset berisiko, dan disebabkan itulah nilai bitcoin boleh jatuh sehingga menjadi $10,000.

    Navellier teringat kejatuhan kadar mata wang kripto utama yang teruk antara bulan Februari-Mac 2020 telah diikuti dengan pembetulan yang agak sama. Kali ini, beliau berpendapat situasinya mungkin akan menjadi lebih teruk dan bitcoin mampu kehilangan sehingga 80% daripada jumlah keseluruhan modal pasaran. Perkara ini mungkin dapat membantu pihak Rizab Persekutuan AS dalam keputusan mereka untuk mengetatkan polisi kewangan.

    “Jatuh di bawah paras $46,000 (purata pergerakan 200 hari) mungkin adalah isyarat bearish. Bitcoin harus turun ke paras $28,500 bagi melengkapkan corak dua puncak berganda, dan penurunan seperti itu mungkin menggambarkan penyusutan di bawah paras $10,000. Itu adalah susut nilai sebanyak 80% dan bitcoin sudahpun menunjukkan pergerakan yang serupa,” pelabur itu berkata, dan merujuk kepada apa yang berlaku pada hujung 2017.

    Jika diingat pada ketika itu, nilai bitcoin jatuh agak lama setelah mengalami kenaikan mendadak ke paras $19,270. Susut nilai itu terus berlaku hampir setahun dan mendapat gelaran musim dingin kripto, dan nilai pasangan BTC/USD pada waktu itu susut hampir sebanyak 85%.

    Penurunan mendadak bukan saja berlaku pada tahun 2017, malah pada enam bulan terakhir 2019. Sudah tentu, tiada siapa dapat lupa tentang kejadian yang berlaku baru-baru ini: antara bulan April-Julai tahun ini, apabila nilai bitcoin jatuh sebanyak 55% dalam tempoh tiga bulan.

    Gelombang-gelombang bearish ini telah mengoyakkan poket dan walet para spekulator dengan teruk dan membuatkan semua orang bercerita tentang keruntuhan sepenuhnya pasaran kripto sekali lagi. Mengikut pengiraan 99bitcoins: tahun ini masih belum berakhir, dan BTC telah pun dijangka akan hancur sebanyak 41 kali. Tentangan terhadap coin itu adalah lebih aktif pada tahun 2017 dan 2018: jumlah jangkaan aset tersebut hancur lebih awal pada tahun berkenaan masing-masing adalah sebanyak 124 dan 93.

    Obituari terakhir pada tahun 2018 telah dibuat oleh seorang ahli ekonomi iaitu Bill Blain. Blain menggelar bitcoin sebagai satu skim Ponzi yang tidak berupaya untuk memenuhi fungsinya sebagai wang, dan mengemukakan alasan mata wang kripto meningkatkan kadar inflasi. Lebih-lebih lagi, tidak seperti pengkritik kripto yang lain, Blain juga ragu-ragu dengan teknologi blockchain: “Dari masa ke masa, saya bertemu dengan ratusan sampah yang mengakui diri mereka sebagai genius dalam blockchain, matematik dan kriptografi berasaskan logik pengiraan… 10% daripadanya adalah menarik manakala 90% lagi adalah benar-benar mengarut,” kata beliau.

    Tidak seperti Bill Blain dan Louis Navellier, penganalisis dan pelabur terkenal iaitu Ton Weiss percaya bahawa masih terlalu awal untuk menyingkirkan mata wang kripto. Beliau berpendapat, peluang masih lagi cerah untuk bitcoin mencapai paras tertinggi yang baru pada tahun ini setelah penyusutan nilai yang berlaku baru-baru ini. Coin tersebut perlu berada di atas paras $53,500 supaya bull dapat merebut peluang tersebut. “Saya rasa ia akan menjadi pusingan V. Kita tidak akan lagi berpeluang untuk membeli bitcoin di bawah nilai $50,000,” Weiss percaya.

    Jika keadaan menjadi teruk, dan penurunan terus berlaku, pastinya ia akan menarik minat pelabur jangka panjang. Setiap kali berlakunya penurunan, pelabur mula membeli coin dengan nilai rendah dan menjangkakan nilainya akan naik lebih tinggi, mereka juga enggan pasaran kripto jatuh mendadak tanpa kawalan.

    Jadi, pelabur yang memiliki lebih banyak bitcoin (antara 100 hingga 10 ribu BTC) sudah pun membeli 67,000 coin pada minggu lalu. Benar, itu bukanlah jumlah yang besar. Justeru, masih terlalu awal untuk membincangkan tentang permulaan trend bullish lagi. Sebaliknya, kelebihan masih lagi berada (lebih tepat lagi, dalam genggaman) bear yang cuba untuk menolak pasangan BTC/USD ke bawah di zon antara $46,000-48,000, paras yang dilalui oleh purata pergerakan 200 hari.

    Semasa ulasan ini dibuat (pada malam antara 10 Disember dan 11 Disember), jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah sebanyak $2.215 trilion (kurang 25% berbanding semasa nilainya mencecah maksimum pada 10 November). Indeks Fear & Greed Kripto masih lagi berada di zon Extreme Fear pada bacaan 24 mata. Namun indeks dominasi bitcoin turun kepada 39.88%, memberikan lebih banyak lagi “ruang” kepada pesaing utamanya, ethereum yang sudahpun memiliki syer pasaran sebanyak 22%. (Sebagai perbandingan, syer pasaran BTC dan ETH masing-masing adalah 71.86% dan 10.63% pada awal tahun ini).

    Carta ETH/USD menunjukkan dengan jelas ethereum sedang pulih dengan lebih cepat berbanding bitcoin setelah mengalami penurunan pada 4 Disember lalu. Jika kadar pasangan BTC/USD naik tinggi sedikit daripada 55% sejak lima bulan lepas, kenaikan kadar ETH/USD adalah melebihi 130%.

    Faktor utama yang menjadi pendorong kepada pertumbuhan nilainya beberapa bulan kebelakangan ini adalah coin transaksi pada rangkaian dan hakikat bahawa kadar penyingkirannya adalah lebih banyak daripada kadar pengeluarannya. Rangkaian ethereum sudahpun menyingkirkan lebih daripada 1 juta coin sejak hard fork London diaktifkan.

    Rahul Rai, pengurus dana di BlockTower Capital percaya bahawa kepelbagaian sifat yang ada pada blockchain ethereum akan menjadi faktor utama bagi menarik minat para pembangun dan juga pelabur. Beliau yakin jika ethereum berjaya memulakan semula sistem kewangan global, pasarannnya akan menjadi lebih besar daripada bitcoin pada masa hadapan. Jutawan kripto itu menjangkakan ia akan berlaku seawal pertengahan tahun 2022. ETH akan menjadi mata wang kripto pertama yang akan naik berganda dari segi jumlah modal pasaran.

    Penganalisis di bank pelaburan Amerika iaitu JPMorgan juga membuat kenyataan yang hampir sama pada April lalu. Mereka berpendapat, bitcoin adalah komoditi bagi pengguna. Ia boleh bersaing dengan logam berharga dan dilihat sebagai suatu alat untuk menyimpan nilai, tetapi ia akan jauh ketinggalan daripada ethereum dalam jangka masa panjang yang akan menjadi teras dalam ekonomi mata wang kripto.

    Pengarah Bitwise Asset Management iaitu Matt Hougan juga menjangkakan “kenaikan mendadak aktiviti berasaskan ethereum” dalam unjuran beliau untuk tahun 2022. “Para pelabur akan mencari-cari tentang Ethereum, Solana atau Polygon. Mereka akan mula faham mata wang kripto bukan hanya sekadar bitcoin,” jelas Hougan.

***

Kami menyaksikan lonjakan aktiviti para pelanggan NordFX yang terus mengumpul tiket cabutan bertuah kerana undian untuk Cabutan Bertuah Super bagi edisi Tahun Baru akan diadakan tidak lama lagi. Lebih banyak tiket yang anda miliki, lebih tinggi peluang untuk anda menang satu atau lebih hadiah yang ditawarkan, berjumlah antara $500 hingga $20,000.

Sedikit lagi masa yang tinggal, tetapi anda masih ada peluang. Sangat mudah untuk menyertainya. Segala butiran boleh didapati di laman web NordFX.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami