Januari 1, 2022

Ramalan Bank-Bank Utama untuk 2022: JPY, GBP, CAD, AUD, CHF, SEK, CNH1 

Kami telah rumuskan pendapat para penganalisis dari bank-bank serta agensi-agensi terkemuka dunia seminggu yang lalu mengenai arah pergerakan pasangan EUR/USD untuk tahun 2022 yang akan tiba. Pada hakikatnya agak logik mengapa kami menumpukan perhatian terhadap pasangan itu: sekian lama, pasangan ini paling banyak didagangkan dalam pasaran Forex, dan mata wang Eropah itu sendiri menjadi pendorong dalam pembentukan Indeks Dolar AS dengan margin yang agak besar, iaitu sebanyak 57.6%.

Jika diingat indeks DXY telah dibangunkan oleh pihak Rizab Persekutuan AS pada tahun 1973 untuk menunjukkan nisbah nilai antara dolar AS dengan kelompok 6 mata wang utama dunia. Kelompok ini mengandungi mata wang euro (57.6%), yen Jepun (13.6%), pound British (11.9%), dolar Kanada (9.1%), krona Sweden (4.2%) serta franc Swiss (3.6%).

Pada pendapat kami, keadaan ekonomi dunia telah banyak berubah sepanjang separuh abad sejak indeks DXY dihasilkan. Setidak-tidaknya yuan China perlulah turut dimasukkan dalam kelompok itu. Justeru, di bawah ini kami akan melihat pada prospek untuk pasangan mata wang yang membentuk indeks dolar: USD/JPY, GBP/USD, USD/CAD, USD/SEK, USD/CHF, serta beberapa pasangan lagi, AUD/USD, NZD/USD, EUR/GBP dan juga USD/CNH.

USD/JPY: Jepun Inginkan Yen yang Lemah

  • Sudah diketahui bahawa inflasi, bersama-sama dengan pasaran buruh yang kian pulih menjadi satu daripada dua faktor utama yang menjadi fokus kepada bank-bank pusat dalam menghasilkan polisi kewangan mereka.

    Jurang kadar KDNK positif juga dikenali sebagai jurang inflasi kerana ia menunjukkan pertambahan kadar permintaan agregat melebihi pertambahan kadar bekalan agregat dan seterusnya mempercepatkan proses inflasi. Mengikut IMF, hal ini akan berlaku di Amerika Syarikat (+ 3.3%) dan juga di Kanada (+ 0.8%) pada tahun 2022. Penggubal dasar perlu mengambil langkah aktif untuk mengetatkan polisi kewangan mereka bagi membendung kadar inflasi. Menurut penganalisis dari bank Belanda iaitu ING Group (Internationale Nederlanden Groep), pengetatan tersebut akan memberi kelebihan kepada mata wang negara-negara itu, terutama sekali USD berbanding mata wang di negara-negara yang memiliki jurang kadar KDNK negatif. Ianya juga dikenali sebagai kemerosotan kerana bekalan yang melebihi permintaan adalah punca kepada deflasi.

    Jurang deflasi telah berlaku di Jepun sejak tahun 2008 dan berkemungkinan akan berlaku sekali lagi pada tahun 2022. Disebabkan itulah polisi Bank of Japan adalah antara yang paling dovish dalam kalangan bank-bank pusat di lain-lain negara, manakala kadar faedah yen sudah lama berada pada paras negatif, iaitu negatif 0.1%.

    Ketua Bank of Japan, Haruhiko Kuroda baru-baru ini telah menyatakan bahawa nilai yen yang lemah akan membantu ekonomi negara itu dan bukannya memburukkan lagi keadaan. Menurut pegawai kanan tersebut, jika nilai yen susut, ia akan menyokong kepada perolehan korporat dan juga eksport.

    ING Group percaya bahawa perbezaan pendekatan yang diambil antara pihak Rizab Persekutuan AS dan juga penggubal dasar di Jepun seperti itu akan mengukuhkan nilai dolar berbanding yen. Unjuran suku tahunan bagi pasangan USD/JPY pada tahun ini adalah seperti berikut: Q1 - 114.00, Q2 - 115.00, Q3 - 118.00 dan Q4 - 120.00.

    Konglomerat kewangan Perancis iaitu Societe Generale menganggarkan kebarangkalian sebanyak 50% untuk pasangan ini naik ke paras 116.00 pada Q2, manakala 25% - naik ke paras 118.00. Baki 25% penganalisis menjangkakan senario bearish akan berlaku serta penurunan pasangan ini ke paras 110.00.

    Penganalisis dari lain-lain bank global dunia juga berpihak kepada dolar. Walau bagaimanapun, tidak seperti ING, paras tertinggi yang mereka unjur bukannya berlaku pada akhir tahun, tetapi di pertengahan  tahun. Unjuran oleh Barclays Bank adalah seperti berikut: Q1 - 115.00, Q2 - 116.00, Q3 - 116.00 dan Q4 - 115.00. Unjuran oleh CIBC (Canadian Imperial Bank of Commerce) juga menunjukkan gambaran serupa: Q1 - 115.00, Q2 - 116.00, Q3 - 115.00, Q4 - 114.00.

    Reuters telah menemubual wakil-wakil dari bank-bank terbesar yang ada di Wall Street dan menerbitkan pendapat para penganalisisnya berkenaan kadar pasangan USD/JPY untuk enam bulan terakhir tahun 2022. Kebanyakan unjuran menunjukkan kepada pengukuhan nilai dolar: JP Morgan Q3 - 114.00, Amundi Q4 - 116.00, Morgan Stanley Q4 - 118.00. Namun sebaliknya, Goldman Sachs percaya bahawa pasangan ini akan turun ke paras 111.00 pada tahun 2023.

GBP/USD: Berada Di Tiga Persimpangan

  • Mengenai masa depan mata wang British, pendirian yang diambil oleh bank pelaburan British iaitu Barclays Bank adalah bersifat patriotik. Pakar strateginya menganggap pound dinilai begitu rendah dan menjangkakan pasangan GBP/USD akan kembali ke paras tertinggi tahun 2021 dan mencapai kedudukan 1.4200 menjelang akhir tahun nanti.

    Tidak seperti kebanyakan bank pelaburan lain, Barclays percaya bahawa polisi Rizab Persekutuan AS tidak langsung memberi sokongan yang cukup untuk mata wang AS, dan ianya akan mendorong kepada susut nilai yang sederhana. Bank itu meramalkan bank-bank lain akan mengambil tindakan yang lebih agresif berbanding Rizab Persekutuan dengan menaikkan kadar faedah lebih tinggi, dan ia akan mengurangkan daya tarikan dolar. Pertama sekali, sudah tentunya oleh Bank of England.

    Bagi unjuran jangka pendek terhadap pound, penganalisis di Barclays agak berhati-hati dengannya, kerana kesan daripada kadar inflasi yang tinggi akan menafikan sokongan yang mungkin terhasil daripada peningkatan kecil kadar faedah. Selain itu, kebimbangan terhadap gelombang baru COVID-19 serta ketegangan dengan EU akibat Brexit juga perlu diambil kira. Disebabkan itu, ramalan suku tahunan Barclays adalah seperti berikut: Q1 - 1.3300, Q2 - 1.3700, Q3 - 1.4000 dan Q4 - 1.4200.

    Capital Economics, salah satu pusat penyelidikan bebas terkemuka di UK berpendapat sebaliknya. Dengan pendirian bertentangan, para penganalisisnya menjangkakan nilai pound akan susut, dan merujuk kepada kombinasi antara 1) pertumbuhan ekonomi yang terbantut, 2) pengurangan kadar inflasi serta 3) kelembapan Bank of England. Ketiga-tiga faktor ini pada hakikatnya mungkin akan mendorong penggubal dasar di United Kingdom untuk menaikkan kadar mereka hanya sebanyak 0.5% dan bukannya 1.0% beberapa bulan akan datang, ia pastinya akan mengecewakan pasaran.

    Namun, selain daripada pertambahan serta penyusutan nilai mata wang British, terdapat juga senario ketiga. Penganalisis ING Group menjangkakan nilai pound akan berada di tengah-tengah segitiga antara nilai dolar AS yang kukuh, mata wang komoditi yang stabil serta mata wang hasil rendah yang lemah. Justeru, mengikut senarion ini, pasangan GBP/USD akan bergerak mengikut trend mendatar: Q1-1.3300, Q2-1.3400, Q3-1.3400 dan Q4-1.3400.

Lain-Lain Pasangan Mata Wang

  • Jika Barclays Bank percaya dengan mata wang kebangsaannya, penganalisis di CIBC (Canadian Imperial Bank of Commerce) agak pesimis dengan apa yang bakal berlaku. Mereka berpendapat, nilai dolar Kanada mungkin akan susut pada tahun ini. “Pasaran terlalu memandang tinggi terhadap langkah yang mungkin akan diambil oleh Bank of Canada pada tahun 2022,” jelas CIBC, “dan memandang rendah dengan Rizab Persekutuan pada tahun 2022. Penentukuran semula akan mengakibatkan CAD tidak lagi menjadi pilihan para pelabur.” Unjuran bank tersebut untuk pasangan USD/CAD adalah seperti berikut: Q1-1.2800, Q2-1.2900, Q3-1.3000 dan Q4-1.3000.
  • Penganalisis di HSBC (Hongkong and Shanghai Banking Corporation) percaya bahawa sesetengah mata wang masih akan mampu bertahan berbanding dengan dolar yang kukuh nilainya, ini termasuklah dolar Australia. HSBC percaya Bank Rizab Australia mungkin akan mengambil pendirian yang lebih hawkish disebabkan oleh data makroekonomi mereka yang agak kukuh.
  • Pakar strategi ING tidak mengecualikan dolar Australia mungkin akan mendapat manfaat sama ada daripada penilaiannya yang rendah mahupun lebihan jualan. Namun, pada pendapat mereka, meletakkan posisi long ke atas pasangan AUD/USD masih memberi risiko yang tinggi.
  • Selain itu, menurut penganalisis ING, nilai franc Swiss dan Krona Sweden (USD/SEK) juga akan jauh ketinggalan di belakang dolar (USD/CHF) pada tahun 2022, bersama-sama dengan euro (EUR/USD) dan juga yen Jepun (USD/JPY).
  • Unjuran Barclays Bank untuk lain-lain pasangan yang disenaraikan sebagai instrumen dagangan pada syarikat broker NordFX adalah seperti berikut: EUR/GBP : Q1 - 0.87, Q2 - 0.86, Q3 - 0.85, Q4 - 0.84 | USD/CHF : Q1 - 0.91, Q2 - 0.90, Q3 - 0.90, Q4 - 0.90 | AUD/USD : Q1 - 0.75, Q2 - 0.76, Q3 - 0.77, Q4 - 0.78 | NZD/USD : Q1 - 0.73, Q2 - 0.73, Q3 - 0.73, Q4 - 0.73 | USD/CAD : Q1 - 1.23, Q2 - 1.22, Q3 - 1.21, Q4 - 1.21 | USD/CNH : Q1 - 6.35, Q2 - 6.30, Q3 - 6.40, Q4 - 6.50.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami