Februari 26, 2022

EUR/USD: Perang Bukan Saja Menumpahkan Darah, Malah Melumpuhkan Perniagaan

  • Dinamik pergerakan mata wang Eropah kini ditentukan oleh perkara yang berlaku di Ukraine. Anda boleh lupakan saja semua jenis indikator makroekonomi buat sementara waktu. Mata wang manakah yang akan memperoleh lebih banyak kelebihan daripada pencerobohan Rusia ke atas negara jirannya, dan siapa pula yang akan mengalami kerugian, semuanya akan menjadi lebih jelas hanya apabila situasi menjadi lebih stabil. Ia tidak mungkin akan berlaku dalam masa terdekat ini.

    Serangan yang mungkin dilancarkan oleh Rusia ke atas Ukraine telah beberapa minggu dibincangkan. Walau bagaimanapun, ramai pihak menjangkakan serangan itu hanya akan berlaku di dua wilayah timur negara berkenaan, Donetsk dan Luhansk. Namun, Rusia telah melancarkan peluru berpandu dan juga serangan bom ke atas semua bandar-bandar utama di negara itu pada awal pagi hari Khamis, 24 Februari, termasuklah ibu negaranya iaitu Kyiv, diikuti dengan serangan tentera darat.

    Tiada sesiapa yang menjangkakan perkara seperti ini (kecuali Presiden Rusia Putin dan orang di sekelilingnya) akan berlaku. Pasaran mengalami kejutan mendadak, dan ia mula jatuh bukan saja disebabkan oleh aset berisiko, tetapi juga oleh mata wang Eropah.

    Beberapa buah negara di Eropah, terutama sekali negara-negara di Baltik takut Rusia mungkin akan menceroboh negara mereka selepas menyerang Ukraine. Namun begitu jika perasan takut ini tiada sekalipun, ekonomi di Eropah sudah jatuh dengan teruk.

    Disebabkan oleh kawasan yang berhampiran, negara-negara di zon Eropah lebih banyak bergantung kepada bahan api Rusia berbanding dengan Amerika Syarikat. Rusia membekalkan kira-kira 40% gas dan 30% minyak kepada EU. Tambahan pula, salah satu saluran paip gas utamanya melalui salah sebuah kawasan di Ukraine, di mana pertempuran sedang berlaku. Situasi ini dengan serta-merta melonjakkan harga minyak mentah dan ianya adalah lapan kali lebih tinggi berbanding harga bahan api yang sama di Amerika Syarikat.

    Jelas menunjukkan bahawa ramalan untuk Eropah Barat tidak lain dan tidak bukan adalah mengalami kemelesetan yang teruk, malah mungkin stagflasi. Stagflasi berlaku apabila pertumbuhan KDNK mengalami kadar yang amat rendah beserta dengan kadar inflasi yang sangat tinggi, kadarnya kini sudahpun mencecah rekod tertinggi iaitu 5.1%.

    Hal ini menjadi lebih teruk disebabkan oleh sekatan ekonomi yang dikenakan pihak EU ke atas Rusia dalam memberi sokongan kepada Ukraine. Mereka mengehadkan perolehan semasa industri dengan serius, dan juga mengetatkan sektor perbankan. Agak sukar untuk menggambarkan bagaimana pihak ECB mampu untuk menghentikan rangsangan kewangan serta menaikkan kadar faedah mereka dalam situasi begini. Bagi Rizab Persekutuan AS pula, penggubal dasar ini berkemungkinan tidak akan membatalkan rancangan mereka. Namun, mungkin mereka akan melewatkan pelaksanaannya untuk menyokong pasaran saham. Setidak-tidaknya dalam masa terdekat nanti.

    Pasangan EUR/USD didagangkan pada kadar 1.1494 pada 10 Februari lalu. Perang di Eropah Timur pada hakikatnya telah menolak pasangan ini ke bawah pada paras 1.1106 hanya dua minggu selepas itu, kehilangan sebanyak 388 mata.

    Pasaran sedikit pulih akibat kejutan yang berlaku menjelang hujung minggu pada hari Jumaat, 25 Februari. Prinsip lama yang dikenali sejak zaman Napoleon Bonaparte, “Beli semasa darah ditumpahkan,” ternyata berhasil. Kadar indeks saham naik, memberi sokongan kepada mata wang Eropah. Setelah pembetulan selesai, ia mengakhiri minggu pada paras 1.1270.

    Semasa ulasan ini dibuat, pada 25 Februari, masih tidak diketahui lagi bagaimana operasi ketenteraan Rusia di Ukraine akan berakhir. Juga belum pasti apakah sekatan baru yang akan dikenakan pihak EU dan juga AS terhadap Rusia jika serangan tidak dihentikan. Justeru, hanya Presiden Putin saja yang mampu memberikan ramalan paling tepat untuk minggu hadapan. Buat masa ini kami hanya boleh menyatakan pendapat para penganalisis serta bacaan indikator.

    Jangkaan para penganalisis untuk minggu hadapan dilihat agak tidak menentu: 65% daripada mereka menunjukkan zon 1.1300 yang telah menjadi Pivot Point sejak pertengahan bulan Disember 2021. Baki 35% lagi bersetuju dengan bear dan tidak menolak kemungkinan pasangan ini akan menguji semula paras sokongan 1.1100 sekali lagi. 90% indikator trend pada D1 adalah berwarna merah manakala 10% lagi berwarna hijau. Dalam kalangan pengayun, 80% adalah berwarna merah, 20% lagi berwarna hijau.

    Melihat pada peningkatan kadar kemeruapan yang sedang berlaku, rintangan paling hampir berada di kawasan yang besar di antara 1.1285-1.1390. Jika bull tidak menghentikan serangan di situ, sasaran mereka seterusnya adalah pada paras tertinggi yang dicapai pada 13 Januari dan 10 Februari iaitu 1.1485, kemudian 1.1525 dan 1.1615. Zon sokongan adalah di antara 1.1185-1.1200 dan 1.1085-1.1120. Ia diikuti dengan kedudukan musim panas 2020 yang tidak berbaloi untuk diberi perhatikan disebabkan oleh ketidakstabilan situasi geopolitik sekarang ini. Namun, bear dijangka  akan cuba untuk mencapai sekurang-kurangnya ke paras simbolik 1.1000.

    Untuk kalendar minggu hadapan, keadaannya agak sibuk. Jelas bahawa fokus utamanya sekarang adalah perkara yang berlaku di Ukraine serta sekatan baru yang mungkin akan dikenakan EU dan AS kepada mereka.

    Disamping itu, data pasaran pengguna di Jerman serta aktiviti perniagaan (ISM) dalam sektor pembuatan di AS akan dikeluarkan pada hari Selasa, 1 Mac. Statistik pasaran pengguna di Eurozone akan diketahui pada hari Rabu, 2 Mac, manakala laporan daripada ADP mengenai tenaga buruh dalam sektor swasta akan dikeluarkan di AS. Jerome Powell selaku pengerusi Rizab Persekutuan akan berucap di hadapan Kongres pada hari yang sama. Bacaan kadar indeks aktiviti perniagaan ISM dalam sektor perkhidmatan di AS akan diketahui pada hari Khamis. Selain daripada data jualan runcit di Eurozone, menjadi kebiasaan untuk kami menantikan sebahagian daripada statistik dari pasaran buruh di AS, termasuklah bilangan pekerjaan baru bukan dalam sektor agrikultur (NFP) pada hari Jumaat pertama setiap bulan, pada 4 Mac. 

GBP/USD: Great Britain Juga Sebahagian Daripada Eropah

  • Walaupun United Kingdom telah keluar daripada Kesatuan Eropah, negara tersebut masih menjadi sebahagian daripada Eropah. Oleh itu, segala yang telah diperkatakan mengenai EU dan Eurozone sebelum ini juga adalah relevan untuk UK. Apa yang membezakan antara keduanya adalah nilai kadar. Kadar turun naik maksimum pasangan GBP/USD untuk minggu lalu adalah sebanyak 366 mata (turun daripada 1.3638 kepada 1.3272), dan setelah mengalami pembetulan, kedudukannya turun ke paras 1.3410. Kini bolehlah kita melupakan tentang penyatuan di sekitar paras 1.3600.

    Seperti EU, UK dengan serta-merta mengenakan sekatan ke atas Rusia dan Perdana Menteri negara itu mengeluarkan kenyataan keras dan marah yang mengutuk operasi ketenteraan di Ukraine. Pengambilan langkah seperti itu boleh menyebabkan masalah yang agak serius bukan saja kepada ekonomi di Rusia, malah juga di British. Cukup dengan mengatakan British Petroleum adalah salah satu pelabur asing terbesar di Rusia dan juga memiliki saham di Rosneft. Bank-bank di British pula mempunyai hubungan rapat dengan syarikat-syarikat besar serta individu-individu penting di Rusia. Disamping itu, kedua-dua buah negara telah mengharamkan syarikat penerbangan negara masing-masing daripada terbang menuju ke negara antara satu sama lain.

    Ramalan penganalisis untuk pasangan GBP/USD pada minggu hadapan adalah seperti berikut: 40% daripada mereka bersetuju dengan pergerakan ke atas manakala 40% lagi memilih pergerakan ke bawah, baki 20% pula memilih trend mendatar. Hampir kesemua indikator pada D1 adalah berwarna merah. Dalam kalangan indikator trend, 100% berwarna merah, dalam kalangan pengayun pula 85% menunjukkan warna yang sama. Hanya 15% daripada mereka memberikan reaksi pembetulan ke atas pasangan ini. Sokongan berada pada paras 1.3400, 1.3365 dan 1.3275-1.3315, kemudian 1.3200 serta paras terendah yang dicapai pada 8 Disember iaitu 1.3160. Rintangan berada pada paras 1.3485, 1.3600, 1.3645, 1.3700-1.3740, 1.3830 dan 1.3900.

    Berikutan keputusan untuk bulan Februari, kita akan mendapati sejumlah besar statistik makroekonomi yang berkaitan dengan ekonomi di British pada minggu ini. Indeks aktiviti perniagaan (PMI) dalam sektor pembuatan akan dikeluarkan pada hari Selasa, 1 Mac, data indeks komposit serta indeks aktiviti perniagaan dalam sektor perkhidmatan pula pada hari Khamis, dan indeks yang sama dalam sektor pembinaan - pada hari Jumaat. Belanjawan tahunan United Kingdom yang akan diketahui pada hari Rabu, 2 Mac juga boleh diberi perhatian.

USD/JPY: Jepun Tidak Berada di Eropah

  • Jepun secara praktikalnya tidak memberi sebarang reaksi terhadap perang di Ukraine. Ia memang masuk akal: jarak antara Kyiv dan Tokyo adalah sejauh 8205 kilometer. Sudah tentu, Jepun juga mengenakan sekatan terhadap Rusia, tetapi ia hampir tidak memberi sebarang kesan terhadap dinamik pergerakan pasangan USD/JPY. Sebaliknya, ia dipengaruhi oleh kenaikan harga sumber bahan api yang mana ekonomi di negara itu banyak bergantung kepadanya. Akibat daripada perkara itu, setelah mula bergerak ke atas dari paras 114.40 pada hari Khamis, 24 Februari, pasangan ini naik ke ketinggian 115.75, dan kedudukan terakhir mingguannya sedikit rendah pada paras 115.52. Menyimpulkan keputusan minggu lalu, perlu maklum bahawa kadar turun naik harga pasangan ini tidaklah begitu ketara: hanya 57 mata (115.03-115.60).

    Ramalan penganalisis untuk minggu hadapan adalah seperti berikut: 55% memihak kepada pertumbuhan pasangan ini, 35% bersetuju dengan penyusutan, manakala 10% lagi mahukan trend mendatar. Dalam kalangan pengayun pada D1, 65% berwarna hijau, 20% berwarna merah, dan 15% lagi berwarna kelabu neutral. Untuk indikator trend, 65% melihat pada pertumbuhan, manakala 35% lagi berpendirian sebaliknya. Rintangan paling hampir berada di zon 115.70. Sasaran utama bull adalah untuk memperbaharui paras tertingginya iaitu 116.34 dan naik lebih tinggi ke paras yang tidak didudukinya sejak Januari 2017. Sokongan berada pada paras 115.00, 114.80, 114.15, 113.75, 113.45, 113.20, 112.55 dan 112.70.

    Tiada sebarang peristiwa ekonomi penting yang dijangka akan berlaku di Jepun pada minggu hadapan.

MATA WANG KRIPTO: Terbukti Bitcoin dan Ethereum Lebih Dipercayai Berbanding Saham

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 28 Februari - 04 Mac, 20221

  • Faktor utama yang memberi tekanan kepada pasaran kripto pada seminggu yang lalu adalah kadar faedah yang mungkin akan dinaikkan oleh bank pusat AS. Kemungkinan Rusia menceroboh Ukraine menjadi faktor kedua. Kini ia menjadi faktor utama, jangkaan menjadi kenyataan.

    Situasi geopolitik berkaitan yang semakin buruk telah menjauhkan lebih ramai pelabur daripada aset berisiko dan mendorong kepada kejatuhan nilai indeks saham dan juga mata wang digital. Korelasi antara bitcoin dan juga S&P 500 sepanjang 90 hari telah mencecah kadar tertingginya sejak Oktober 2020. Perkara ini dinyatakan dalam laporan analisis oleh Arcane Research. Sebaliknya, statistik hubung kait antara emas maya dan emas sebenar pula menjadi negatif kerana tidak seperti BTC, emas adalah aset berisiko rendah. Arcane Research juga maklum bahawa jumlah dagangan spot bitcoin pada bursa berpusat susut ke paras pada awal Disember 2020.

    Menjadi kebiasaan pergerakan bitcoin adalah bertentangan dengan dolar, digelar sebagai insuran terhadap inflasi. Namun jika dilihat pada carta minggu lalu, BTC mungkin lebih menjadi insuran dalam pasaran aset berisiko: nilai saham menyusut lebih cepat sejak bermulanya peperangan di Ukraine berbanding sebut harga mata wang kripto utama seperti bitcoin dan ethereum. Kadar indeks saham S&P500, Dow Jones, Nasdaq susut di bawah paras  terendah sebulan lalu dalam masa beberapa jam pada 24 Februari, hari pertama berlakunya serangan bom dan roket. Usahlah bercakap tentang indeks IMOEX di Rusia: susut hampir 50% dalam masa beberapa jam, dan dagangan ditamatkan selepas itu. Tidak seperti kesemua indeks tersebut, pasangan BTC/USD dan ETH/USD mengekalkan kedudukan mereka dengan berani di atas paras terendah 24 Januari lalu.

    Pastinya, ini bukanlah sesuatu yang menggembirakan. Jangkaan kenaikan kadar faedah utama oleh pihak Rizab Persekutuan AS serta ketegangan geopolitik akan terus mendorong sikap pesimis dalam kalangan pelabur bitcoin, justeru kebarangkalian untuk berlakunya jualan coin yang tidak menguntungkan akan terus meningkat. Inilah kesimpulan yang dibuat oleh para penganalisis di Glassnode. Rantaian indikator mengesahkan trend bearish ini: jumlah alamat bitcoin yang aktif susut ke sempadan bawah koridornya. Ini menunjukkan kurangnya permintaan aset berkenaan. Peratusan pelabur bitcoin yang menerima keuntungan buat masa ini adalah di antara 65.8% dan 76.7%.

    Para spekulator jangka pendek (pemilik coin kurang daripada 155 hari) telah membeli BTC sebanyak 2.56 juta. Purata kos pemilikan adalah $47,200. Nilai rugi belum terealisasi mereka adalah kira-kira 17%, dengan harga sekitar $39,000. Buat masa ini mereka menjadi sumber tekanan jualan dengan ketiadaan pertambahan permintaan yang sama nilainya. Glassnode percaya bahawa jika harganya naik, tekanan kepada penjual yang cuba untuk meninggalkan pasaran tanpa mengalami kerugian atau memperoleh keuntungan minimum mungkin akan bertambah.

    Menurut Du Jun, CEO bursa kripto Huobi, kitaran harga sebelum ini menunjukkan pasaran bull bitcoin yang baru tidak mungkin akan berlaku sehinggalah hujung tahun 2024 atau awal 2025. Menurut beliau, kitaran harga bitcoin berkait rapat dengan pengurangan penghasilannya: blok ganjaran berkala bagi pengurangan penghasilan yang dianggar berlaku setiap empat tahun sekali telah dimasukkan ke dalam algoritmanya.

    Pengurangan penghasilan kali terakhir berlaku pada Mei 2020, dan sebut harga mata wang kripto pertama berkenaan mencecah harga tertingginya dalam sejarah melebihi $68,000 setahun selepas itu. Pergerakan harga yang hampir sama dilihat berlaku setelah pengurangan penghasilan dijalankan pada tahun 2016: nilai bitcoin merekodkan harga tertingginya pada Disember 2017.

    Penurunan mendadak emas digital tersebut berlaku kemudiannya pada kedua-dua tahun.

    Berdasarkan kepada trend ini, CEO Huobi itu percaya bahawa “kita sedang berada di peringkat awal pasaran bear” dan menjangkakan trend bullish bitcoin hanya akan wujud setelah penghasilannya dikurangkan pada tahun 2024. Dalam masa yang sama, beliau menambah “secara realitinya sukar untuk meramal dengan tepat kerana terdapat banyak faktor yang boleh memberi kesan kepada pasaran seperti isu berkenaan geopolitik, ternasuklah peperangan, atau pandemik COVID-19.”

    Kevin O'Leary, bintang dalam rancangan realiti perniagaan Shark Tank juga memberikan ramalannya. Beliau maklum kebanyakan pelabur berinstitusi masih belum melabur dalam mata wang kripto utama kerana isu tersebut belum lagi mendapat kelulusan di peringkat dasar.

    O'Leary juga maklum bahawa sesiapa jua yang membuat spekulasi nilai BTC akan memakan kos sebanyak $100,000, $200,000, $300,000 harus sedar ia mungkin menjadi kenyataan apabila pelabur berinstitusi akhirnya berpeluang untuk membeli aset kripto mengikut undang-undang yang telah ditetapkan. Beliau sedar yang beliau menyatakan perkara itu dengan yakin kerana beliau bekerja dengan “dana kekayaan negara dan pelan persaraan.” Walaupun banyak khabar angin kedengaran tentang BTC sekarang ini, tiada seorang pun daripada mereka yang memiliki token. Lebih-lebih lagi, mereka belum merancang pun untuk melabur dalam aset ini.

    Menurut O’Leary, adalah lebih baik untuk tidak menyamakan BTC sebagai coin, tetapi sebagai sebuah perisian. Beliau maklum dengan pelabur berinstitusi yang memiliki saham dalam Microsoft dan Google, justeru lebih mudah bagi mereka untuk memahami jika menganggap mata wang kripto sebagai sebuah perisian. Pada ketika sektor kripto mula memenuhi syarat-syarat yang ditentukan, pelabur-pelabur berinstitusi kewangan ini boleh melabur antara 1% hingga 3% daripada modal mereka ke dalam bitcoin, hal ini boleh berlaku dalam tempoh 2-3 tahun akan datang.

    Melihatkan pada perkara yang tidak begitu menggembirakan ini, temubual pengasas bersama Ethereum, Vitalik Buterin bersama Bloomberg boleh dianggap sebagai kemuncak sikap optimis. Pertama sekali, beliau tidak pasti adakah “musim dingin kripto” telah benar-benar tiba. Kedua, beliau percaya “kedinginan” seperti itu mampu membantu industri menjadi lebih kuat. 

    Buterin dalam temubual bersama agensi berkenaan menekankan bahawa pada hakikatnya mereka yang “mendalami industri mata wang kripto” mengalu-alukan kewujudan pasaran bear. Hal ini membolehkan mereka menyingkirkan projek-projek yang lemah, juga mengurangkan kadar “tokok tambah”. Ketika tempoh “dingin” inilah kebanyakan projek yang lemah dan berbahaya akan hilang, dan pembangun itu percaya bahawa hanya projek-projek penting serta boleh dipercayai yang sudah memikirkan model perniagaan mereka dengan baik dan berada dalam kumpulan yang memiliki minat sama saja akan kekal.

    Untuk masa terdekat ini, penganalisis di Arcane Research percaya bahawa zon sokongan kukuh berada dalam lingkungan antara $28,000-$30,000 kerana “paras terendah pasaran bear bagi musim panas 2021” terletak di situ. Mereka mensasarkan nilai $40,000 sebagai paras rintangan yang penting.

    Semasa ulasan ini dibuat (petang Jumaat, 25 Februari), pasangan BTC/USD didagangkan di sekitar $39,000. Indeks Fear & Greed Kripto jatuh sedikit ke zon Fear, turun daripada 30 mata kepada 27 mata dalam tempoh seminggu, manakala jumlah keseluruhan modal pasaran kripto susut daripada $1.815 trilion pada tujuh hari lalu kepada $1.755 trilion.

 

Kumpulan Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami