Jun 1, 2022

EUR/USD: Mesyuarat FOMC Rizab Persekutuan yang "Membosankan"

  • Indeks dolar DXY mencecah kadar tertinggi bertahun-tahun pada hari Jumaat, 13 Mei iaitu 105.05 setelah naik selama enam minggu. Kali terakhir ia naik setinggi ini adalah pada 20 tahun yang lalu. Namun begitu, arah pergerakannya berubah, dan kadarnya betul-betul berada pada paras 101.50 dua minggu selepas itu. Melihat pada trend secara umumnya, pasangan EUR/USD juga mengalami pertumbuhan sejak 13 Mei lalu, mencecah paras 1.0764 pada 27 Mei. Nilai euro juga lebih kukuh berbanding dolar sebanyak 415 mata sepanjang masa itu. Hal ini bukanlah disebabkan oleh mata wang Eropah tersebut, tetapi berpunca daripada mata wang Amerika. Lebih tepat lagi, oleh pihak Rizab Persekutuan AS.

    Minit mesyuarat Federal Open Market Committee (FOMC) kali terakhir yang dikeluarkan pada hari Rabu, 25 Mei lalu juga tidak memberi sebarang kejutan. Hanya apa yang semua orang lain sudah pun jangka. Kandungan dokumen itu hanya mengesahkan keinginan pihak penggubal dasar tersebut berkenaan kenaikan kadar pembiayaan semula sebanyak 0.5% setiap kali mereka bermesyuarat untuk dua bulan seterusnya. Para pegawai Rizab Persekutuan juga sebulat suara bersetuju untuk meluluskan satu rancangan untuk mengurangkan portfolio aset mereka yang buat masa ini berjumlah $9 trilion bermula 1 Jun nanti. Ketiadaan sebarang kejutan dalam mesyuarat FOMC telah memberi tekanan kepada dolar, namun ia membantu pasaran saham: kadar indeks saham S&P500, Dow Jones dan Nasdaq melonjak naik.

    Kalendar untuk makroekonomi di Eurozone pada minggu lalu hampir tiada. Bagi statistik dari AS, ia dilihat menunjukkan pada pelbagai arah. Tuntutan awal pengangguran turun kepada 210K pada minggu lalu, rendah berbanding 215K yang dijangka. Pesanan untuk barangan tahan lama naik sebanyak 0.4%, menunjukkan pertambahan lebih tinggi aktiviti pengguna, sesuatu yang menjadi pendorong utama kepada pertumbuhan ekonomi. Walau bagaimanapun, di sebalik itu, kadar KDNK di AS untuk Q1 telah dinilai semula lebih rendah kepada negatif -1.5%, kadar yang lebih membimbangkan berbanding anggaran -1.3% serta -1.4% yang diunjur sebelum ini.

    Antara faktor-faktor jangka sederhana, polisi agresif Bank Pusat AS terus memainkan peranan penting yang memihak kepada dolar. Ketua organisasi berkenaan, Jerome Powell telah berulang kali mengesahkan keinginan pihak beliau untuk menaikkan kadar faedah bagi mengekang kadar inflasi serta menghalang ekonomi daripada terlalu meruap. Kadar inflasi tahunan di AS (CPI) mencecah 8.1% untuk bulan April, empat kali lebih tinggi berbanding 2% yang disasarkan. Dalam masa yang sama, menurut para penganalisis, kenaikan harga minyak ke paras tertinggi yang baru akan terus melonjakkan kadar inflasi ke atas dalam tempoh beberapa bulan akan datang. Hal ini pula mungkin akan memaksa pihak Rizab Persekutuan untuk mengetatkan lagi polisi kewangan mereka.

    Status mata wang AS sebagai salah satu aset terlindung juga akan terus mendapat sokongan. Disebabkan oleh konflik ketenteraan antara Rusia dan Ukraine yang dijangka akan memuncak, permintaan untuknya dijangka akan terus bertambah kerana rasa bimbang dalam kalangan pelabur mengenai ancaman berlakunya stagflasi di Eropah. Hubungan antara China dan Taiwan yang semakin tegang juga telah menambah permintaan untuk aset selamat itu.

    Pasangan EUR/USD mengakhiri minggu lalu pada paras 1.0701. Semasa ulasan ini dibuat, pada petang 27 Mei, pendapat penganalisis adalah seperti berikut: 30% penganalisis berasa yakin bahawa pasangan ini akan kembali bergerak ke bawah, 50% lagi menunggu pendakian ke atas untuk terus berlaku, dan baki 20% pula berpendirian neutral. Bacaan indikator pada D1 tidak menunjukkan sebarang kesepakatan. 80% pengayun berwarna hijau, 10% berwarna merah, dan 10% lagi berwarna kelabu neutral. Dalam masa yang sama, satu perempat daripada warna “hijau” sudah pun berada di zon lebihan belian. Terdapat kesetaraan pendapat dalam kalangan indikator trend: 50% bersetuju dengan pertumbuhan pasangan, 50% lagi memilih penyusutannya. Rintangan terdekat terletak di zon antara 1.0750-1.0800. Jika berjaya, bull akan cuba pula untuk menembusi rintangan pada 1.0900-1.0945, kemudian 1.1000 dan 1.1050, dan bertemu dengan paras rintangan seterusnya di zon antara 1.1120-1.1137. Untuk bear, tugas utamanya adalah untuk menembusi paras sokongan pada 1.0640, kemudian 1.0480-1.0500, dan memperbaharui paras terendah pada 13 Mei lalu iaitu 1.0350. Jika berjaya, pasangan ini akan menjunam ke paras terendah tahun 2017 iaitu 1.0340, dan hanya terdapat paras sokongan pada 20 tahun yang lalu jika turun lebih rendah daripada itu.

    Terdapat pelbagai statistik dari pasaran pengguna di Jerman (30 Mei dan 1 Jun) dan di EU (31 Mei dan 3 Jun) yang akan dikeluarkan pada minggu hadapan. Data indeks perniagaan ISM bagi sektor pembuatan di AS yang akan dikeluarkan pada hari Rabu, 1 Jun juga perlu diambil maklum. Pada hari yang sama, laporan ADP bagi pekerjaan bukan perladangan akan diketahui, dan satu lagi data dari pasaran buruh di AS akan diketahui pada hari Jumaat, 8 Mei yang turut mengandungi indikator penting seperti kadar pengangguran serta jumlah pekerjaan baru bukan dalam sektor perladangan (NFP).

GBP/USD: Keputusan Kerajaan UK yang "Tak Membosankan"

  • Seperti yang berlaku kepada euro, faktor utama terhadap pengukuhan nilai pound serta pertumbuhan kadar pasangan GBP/USD adalah penyusutan umum nilai mata wang AS. Penurunan kadar indeks dolar DXY selama dua minggu adalah kerugian paling teruk yang pernah dialami sejak Disember 2021. Namun, tidak seperti euro, mata wang British telah dibantu oleh dua lagi faktor. Faktor pertama ialah data pasaran buruh yang kukuh. Faktor kedua adalah kadar inflasi untuk bulan April yang memuncak dalam tempoh empat dekad dan memberi harapan kepada para pelabur berkenaan pengetatan polisi kewangan yang berterusan serta kadar faedah yang lebih tinggi oleh pihak Bank of England.

    Perdana Menteri British iaitu Boris Johnson menyatakan kebimbangannya mengenai prospek ekonomi di negara itu pada minggu lalu. Beliau berkata dalam temubual bersama Bloomberg TV pada 27 Mei bahawa beliau “menjangkakan keadaan yang sukar kelak” dan “tidak mahu melihat berlakunya lagi lingkaran antara harga dan gaji seperti pada tahun 70-an."

    Sehari sebelum itu, tidak seperti mesyuarat Rizab Persekutuan yang “membosankan”, keputusan yang diambil kerajaan United Kingdom sangat mengejutkan pasaran. Menteri Kewangan UK, Rishi Sunak mengumumkan bantuan tunai sekali bayar berjumlah £650 kepada setiap isi rumah yang berpendapatan rendah bagi menampung kenaikan harga. Jumlah fiskal untuk bantuan ini secara keseluruhannya adalah sebanyak £15 bilion. Walaupun Sunak menegaskan bahawa pakej bantuan ini hanya akan memberi “impak kecil” terhadap kadar inflasi, ramai penganalisis merasakan bahawa suntikan dana ini mampu menyegerakan penilaian semula Bank of England terhadap unjuran ekonomi bagi tahun ini dan tahun hadapan. Berkemungkinan, pihak penggubal dasar itu akan mengambil keputusan untuk mengambil pendirian lebih hawkish bagi mengehadkan tekanan inflasi yang dihadapi ekonomi di negara itu.

    Dalam masa yang sama, prospek pertumbuhan ekonomi di UK buat masa ini kekal sangat rendah berbanding negara di seberang Atlantik. Hal ini menyebabkan ramai penganalisis berasa ragu-ragu tentang kebolehan pound untuk terus bertumbuh dengan stabil dalam jangka masa sederhana, bersama-sama dengan pasangan GBP/USD. Terutama sekali jika ketegangan yang tertumpu pada Protokol Ireland Utara semakin meningkat. Jika diingat dokumen ini adalah tambahan kepada Perjanjian Brexit yang menyelia dagangan khusus, isu-isu berkenaan kastam dan imigresen antara UK, Ireland Utara dan juga Kesatuan Eropah.

    Kedudukan terakhir pasangan ini pada minggu lalu berada pada paras 1.2628. 55% penganalisis bersetuju dengan pertumbuhan berterusan pasangan ini, 35% pula memilih penurunannya, dan baki 10% lagi mengikuti trend mendatar.

    Situasi yang dihadapi indikator pada D1 adalah agak sama dengan bacaan pada EUR/USD. Dalam kalangan indikator, 50% menunjukkan pertumbuhan pasangan ini, peratusan yang sama menunjukkan penurunannya. Dalam kalangan pengayun, keseimbangan pendapatnya agak berbeza: hanya 10% menunjukkan penurunan, 10% lagi bersikap neutral, 80% menunjukkan pertumbuhan, walaupun satu perempat daripadanya sudah pun berada di zon lebihan belian. Sokongan berada pada paras 1.2600-1.2620, 1.2475-1.2500, 1.2400, 1.2370, 1.2300, 1.2200, kemudian 1.2154-1.2164 dan 1.2075. Pivot point yang kukuh buat pasangan ini berada pada paras psikologi pentingnya iaitu 1.2000. Jika pergerakan ke atas terus berlaku, pasangan ini perlu melepasi rintangan pada paras 1.2675, kemudian rintangan di zon antara 1.2700-1.2750, 1.2800-1.2835 dan di antara 1.2975-1.3000.

    Bagi peristiwa yang melibatkan ekonomi di United Kingdom pada minggu hadapan, kami boleh maklum mengenai nilai indeks aktiviti perniagaan dalam sektor pembuatan (PMI) yang akan dikeluarkan pada hari Rabu, 1 Jun. Hari Khamis dan Jumaat, 2 dan 3 Jun adalah hari cuti di UK.

USD/JPY: Jepun Ada Cara Mereka Sendiri. Yang Mana Satu?

  • Perdana Menteri Jepun iaitu Fumio Kishida baru-baru ini telah menyatakan “pergerakan nilai yen yang berlaku sekarang adalah didorong oleh pelbagai faktor” dan menambah bahawa menjadi keutamaan pihak kerajaan membantu meringankan beban isi rumah dan perniagaan menerusi pelbagai langkah-langkah tindakan.

    Agak menarik jika melihat pada maksud di sebalik ayat “pergerakan yen yang berlaku sekarang”. Adakah beliau maksudkan kadar USD/JPY yang telah melonjak naik daripada 102.58 kepada 131.34 sejak bulan Januari, 2021, dan nilai mata wang Jepun yang telah menyusut sebanyak 2,876 mata? Maka ini bukanlah “pergerakan” saja, ia adalah kejatuhan yang sebenar, dan perkara inilah yang menjadi rintihan penduduk di negara itu.

    Kadar inflasi di negara tersebut terus bertambah, dan akhirnya menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduknya. Kenaikan harga pengguna telah direkodkan untuk lapan bulan berturut-turut. Kenaikannya adalah sebanyak 2.5% untuk bulan April berbanding bulan sama setahun yang lalu, menunjukkan kadar pertumbuhan tertinggi sejak bulan Oktober, 2014. Seperti yang Dow Jones maklum, kadar inflasi telah melebihi paras 2.0% buat pertama kalinya sejak September, 2008, dan pertumbuhan ini tidak mengambil kira kesan daripada kenaikan cukai pengguna. Namun, apakah reaksi yang diberi oleh ketua penggubal dasar di negara itu?

    Apabila penggubal dasar di AS dan di UK mengetatkn polisi kewangan mereka bagi membendung inflasi, perkara sebaliknya yang berlaku di Jepun. Menurut Perdana Menteri Fumio Kishida yang disebut tadi, pihak berkuasa mensasarkan untuk mencapai kadar inflasi sasaran mereka menerusi pembaharuan struktur kerajaan, polisi fiskal, serta melonggarkan polisi kewangan Bank of Japan. (Jika diingat kadar faedah yang dikenakan ke atas yen berada pada kadar negatif -0.1% untuk tempoh masa yang lama).

    Kemudian, Gabenor Bank of Japan iaitu Haruhiko Kuroda menjelaskan jika harga bahan api tidak menunjukkan penurunan mendadak, indeks harga pengguna (CPI) utama Jepun mungkin akan kekal hampir pada paras 2% untuk kira-kira 12 bulan seterusnya. 

    Dalam masa yang sama, jika kami membuat analisis terhadap kenyataan oleh kedua-dua pemimpin, percanggahan tertentu dalam penilaian mereka terhadap situasi ekonomi yang dihadapi mula jelas kelihatan. Di suatu sudut, Fumio Kishida menyatakan keutamaan kerajaan adalah untuk mengurangkan tekanan kadar inflasi, termasuklah menaikkan gaji rakyatnya. Di satu sudut yang lain, Haruhiko Kuroda menyatakan bahawa berdasarkan kepada situasi kenaikan gaji seperti itu, pertambahan berterusan kadar inflasi mungkin akan berlaku. Akibatnya, masih belum jelas pada titik manakah pihak kerajaan dan Bank Negara Jepun boleh berkrompomi, serta bagaimanakah rupanya polisi kewangan di negara itu untuk beberapa bulan akan datang.

    Kebanyakan pelabur, terutama sekali pelabur asing menjangkakan mereka terpaksa juga menaikkan kadar faedahnya walaupun pihak penggubal dasar telah memberi jaminan akan memberi komitmen terhadap polisi kewangan yang sangat longgar. Rupa-rupanya, dengan jangkaan seperti ini, bersama-sama dengan penurunan kadar DXY, telah memberi sokongan kepada yen: pasangan USD/JPY mengakhiri minggu lalu pada paras 127.11.

    Buat masa ini, 60% penganalisis berpihak kepada bear, dan menjangkakan pergerakan berterusan ke bawah pasangan ini, 15% pula memilih penyambungan semula trend jangka sederhana ke atas, manakala 25% lagi menjangkakan pergerakan mendatar.

    Dalam kalangan indikator pada D1, perbezaan pendapat adalah seperti berikut. Bagi pengayun, 60% adalah berwarna merah, satu pertiga daripadanya sudah memberi isyarat pasangan ini memiliki lebihan jualan, 10% lagi berwarna hijau, dan baki 30% pula berwarna kelabu neutral. Dalam kalangan indikator trend, pendapatnya adalah seimbang 50% kepada 50%. Sokongan paling hampir berada pada paras 126.35, diikuti dengan zon dan paras 126.00 dan 125.00 serta 123.65-124.05. Sasaran bull adalah untuk naik di atas paras 127.55, kemudian melepasi rintangan pada paras 128.00, 128.60, 129.40-129.60, 130.00, 130.50 dan memperbaharui paras tertinggi yang dicapai pada 9 Mei lalu iaitu 131.34. Sasaran terakhir adalah paras tertinggi pada 1 Januari, 2002, iaitu 135.19.

    Tiada maklumat penting berkaitan keadaan ekonomi di Jepun yang dijangka akan dikeluarkan pada minggu ini.

MATA WANG KRIPTO: Gambarannya Negatif, Namun Masih Ada Lagi Harapan

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 30 Mei - 3 Jun, 20221

  • Kami ada dua berita untuk anda: berita baik dan berita buruk. Mari mulakan dengan berita baik. Ramai penganalisis, seperti CEO ARK Invest iaitu Katherine Wood secara harfiahnya mengimpikan bitcoin akan “meninggalkan” indeks saham S&P500, Dow Jones dan Nasdaq, berhenti daripada mengekorinya dan bergerak secara sendiri. Akhirnya, kita dapat lihat sesuatu yang seperti itu berlaku dalam tempoh dua minggu ini. Walaupun pasaran saham mengalami turun naik, bull terdesak dalam cubaan mereka untuk mengekalkan pertahanannya di zon $30,000 antara 13 Mei dan 27 Mei, menghalang pasangan BTC/USD daripada turun di bawah paras sokongan $28,620. Begitulah pengakhiran berita baik. Kita beralih pula kepada berita buruk. Lebih tepat lagi, berita-berita buruk kerana terdapat lebih daripada satu berita.

    Mata wang kripto No.1 kini didagangkan di zon negatif buat pertama kalinya dalam sejarah untuk lapan minggu berturut-turut. Korelasi secara langsung antara BTC dengan indeks saham menjadi faktor penting kepada dinamik seperti itu, dan korelasi tersebut hanya berjaya diakhiri pada dua minggu terakhir bulan Mei.

    Penganalisis di Goldman Sachs pada bulan April maklum bahawa polisi agresif pihak Rizab Persekutuan mungkin akan mewujudkan fenomena kemelesetan dalam ekonomi di AS. Jangkaan seperti itu mendorong peralihan pelabur-pelabur berinstitusi daripada aset berisiko, termasuklah mata wang kripto.

    Aktiviti dagangan secara keseluruhannya semakin berkurang. Dana yang mengalir keluar dari dana pelaburan mata wang kripto sejak dua minggu lalu telah mencapai jumlah tertinggi sejak Julai 2021. Jumlah keseluruhannya dalam dana pengurusan telah menyusut kepada $38 bilion. Bilangan transaksi juga berkurang. Jumlah volum coin di bursa kripto telah berkurang kepada 2.5 juta BTC, mengalihkan bitcoin ke dalam walet di luar talian.

    Berdasarkan perkara ini, kenyataan mengenai mata wang kripto utama yang berbaur negatif lebih kerap kedengaran. Ketua ECB, Christine Lagarde pada 22 Mei berkata mata wang kripto tidak memiliki sebarang tahap keselamatan yang boleh diguna untuk mengekalkan kestabilannya. Keesokan harinya, ketua Bank of England iaitu Andrew Bailey juga menyuarakan pendapat yang sama, dengan menyatakan bitcoin tidak memiliki nilai intrinsik dan tidak sesuai untuk diguna sebagai satu kaedah bayaran.

    Scott Minerd, Pengarah Pelaburan di Guggenheim Partners bersetuju dengan kenyataan ketua-ketua Bank Negara itu. “Mata wang seharusnya boleh menyimpan nilai, digunakan dalam sesuatu pertukaran serta menjadi satu unit akaun. Satu pun tiada padanya, malah ia [mata wang kripto] langsung tiada asas tunggalnya,” beliau membuat kesimpulan dan membandingkan situasi yang berlaku di pasaran kripto dengan gelembung dot com. Menurutnya, kebanyakan aset digital adalah “sampah”, tetapi bitcoin dan ethereum akan berjaya mengharungi musim sejuk kripto yang berpanjangan. “Jika ia menembusi paras $30,000, paras terendahnya akan menuju kepada $8,000. Justeru, saya merasakan masih ada banyak lagi ruang untuk nilainya turun, terutama sekali dengan tindakan tegas Rizab Persekutuan AS,” Scott Minerd membuat jangkaan.

    CEO Galaxy Digital iaitu Mike Novogratz menggambarkan keadaan keseluruhan pasaran kewangan sebagai suram. Beliau percaya bahawa walaupun nilainya jatuh daripada paras tertinggi dalam sejarah, terdapat risiko altcoin akan susut lebih daripada separuh nilainya. Namun, walaupun dengan berdasarkan pada makroekonomi yang bersifat bearish, ketua Galaxy Digital itu terus optimis dan percaya pasaran kripto akan pulih pada masa hadapan. Menurut ketua Galaxy Digital itu, “Komuniti kripto memiliki daya ketahanan yang kuat dan percaya bahawa pasaran masih menyediakan peluang kemasukan awal.”

    Benar, jika anda membuat analisis pada rangkaian sosial, anda akan dapat lihat para pemiliknya berasa yakin dengan masa depan yang lebih cerah, tidak seperti pelabur-pelabur berinstitusi. Maka, syarikat analisis Santiment telah mengeluarkan data Weighted mereka, yang mengira komen-komen positif dan negatif mengenai sesuatu aset di laman-laman sosial. Berdasarkan maklumat yang diperolehi, bitcoin sudah mencapai kadar terendahnya di peringkat global dan dijangka akan meningkat dalam beberapa minggu lagi. “Ini adalah masanya untuk bitcoin merebut setiap peluang yang ada dalam mengukuhkan kedudukannya yang agak terhad, penganalisis di Santiment percaya.

    Salah seorang penganalisis media sosial yang disegani iaitu Credible juga percaya bahawa walaupun mood bearish secara umumnya wujud di pasaran, nilai BTC sudah sedia untuk melonjak naik. Credible menggunakan teori gelombang Elliott untuk membuat analisis teknikal yang menjangkakan arah pergerakan kadar berdasarkan pada tahap psikologi pemiliknya, dan menggambarkan hasilnya dalam bentuk gelombang. Teori ini mengandaikan kitaran pasaran bull akan berlaku dalam 5 gelombang impuls, dan aset akan mengalami proses pembetulan pada gelombang kedua dan keempat, manakala lonjakan nilai pada gelombang pertama, ketiga dan kelima. Disamping itu, setiap gelombang utama turut mengandungi 5 sub gelombang lebih kecil.

    Menurut penganalisis itu, nilai bitcoin kini berada di tengah-tengah gelombang utama kelima yang bermula pada awal tahun 2019. Selain itu, buat masa ini nilai BTC berada di sub gelombang kelima yang akan menolak nilai aset tersebut ke paras tertinggi dalam sejarahnya melebihi $100,000. “Saya sedar pendekatan saya ini menimbulkan kontroversi,” jelas Credible. “Kebanyakan orang tidak menjangkakan nilai tertinggi yang baru boleh dicapai sebelum pengurangan penghasilan yang seterusnya pada tahun 2024, namun saya rasa ia akan berlaku lebih awal, dalam masa beberapa bulan lagi.”

    Rekt Capital yang memiliki lebih daripada 300,000 orang pengikut di Twitter telah memberi amaran nilai bitcoin boleh turun sebanyak 28% di bawah paras purata pergerakan 200 minggu dalam masa yang singkat. Beliau menjelaskan bahawa paras SMA ini memainkan peranan penting terhadap paras sokongan yang semakin bertambah baru-baru ini. Nilai bitcoin telah turun di bawah paras ini pada masa lalu, tetapi penyusutan yang berlaku dalam tempoh ini tidak berkekalan. Bacaan candlestick mingguan belum lagi pernah berakhir di bawah paras SMA ini, namun bayang yang kelihatan adalah setinggi 28%. Jika perkara ini berlaku sekali lagi sekarang, kadar mata wang kripto akan berada pada paras $15,500. Purata pergerakan 200 minggunya kini berada di zon $22,000.

    Menurut seorang lagi penganalisis kripto dengan nama gelaran Rager, “Jika nilai BTC susut dan naik semula dari paras purata pergerakan selama 200 minggu, seperti kitaran bearish sebelum-sebelum ini, ia adalah satu petanda baik. Kadar penurunan maksimumnya hanyalah sebanyak 68%.” Walau bagaimanapun, menurut pengiraan penganalisis tersebut, sebelum ini kadar penurunan seperti itu boleh mencecah sehingga 84%, dan “mengikut realiti semasa, penurunan sebanyak 84% akan menjadikan nilainya kepada $11,000.” Oleh itu, melihat kepada tempoh masa kitaran bearish BTC pada tahun 2014 dan 2018, ia akan mengambil masa selama 6 ke 8 bulan sebelum nilai paling rendahnya dicapai.

    Rager percaya bahawa dalam jangka masa pendek, harga bitcoin akan terus bergantung kepada pasaran saham AS, sama ada kukuh ataupun lemah: “Nilai BTC agak terhad untuk naik ke atas sekarang, namun nilainya tidak akan menjadi kukuh sehinggalah keadaan pasaran saham berubah.”

    Menurut Glassnode, nisbah untuk operasi put- dan call- ke atas BTC telah bertambah daripada 50% kepada 70%, keadaan yang menunjukkan peningkatan terhadap keinginan para pelabur dalam mengukuhkan kedudukannya daripada terus mengalami dinamik negatif.

    Open interest (OI) dalam kontrak call dengan tarikh akhir pada hujung bulan Julai tahun ini tertumpu di sekitar paras $40,000. Walau bagaimanapun, peserta dagangan lebih gemar untuk meletakkan kontrak put yang akan memberi pulangan jika nilainya turun kepada $25,000, $20,000 dan $15,000. Dalam kata lain, sehingga pertengahan tahun ini, fokus pasaran adalah untuk melindung nilai daripada risiko dan/atau membuat spekulasi nilainya akan terus menyusut.

    Para optimis mendominasi untuk jangka masa panjang. Kontrak yang tamat pada penghujung tahun kebanyakannya membuka posisi dalam julat antara $70,000 dan $100,000. Dalam kontrak put, OI terbesar tertumpu pada nilai di antara $25,000 dan $30,000, zon nilai yang didudukinya sekarang.

    Kami mengakhiri ulasan berita baik dan buruk pada hari ini dengan makluman berikut. Kami hanya maklum semasa ulasan ini dibuat, pada petang Jumaat, 27 Mei, jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah sebanyak $1.194 trilion ($1.248 trilion seminggu lalu). Kadar Indeks Fear & Greed Kripto kekal terperosok di zon Extreme Fear dan berada di sekitar 12 mata. (Jika diingat bacaannya turun kepada 8 mata pada 17 Mei, kadar terendah sejak 28 Mac, 2020). Pasangan BTC/USD bergelut untuk kekal di medan tempur, didagangkan pada kadar $28,800.

 

Kumpulan Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami