Jun 11, 2022

EUR/USD: Kami Menunggu Keputusan Mesyuarat Rizab Persekutuan

  • Pergerakan pasangan EUR/USD dari 23 Mei sehingga 9 Jun boleh dianggap sebagai mendatar dalam julat antara 1.0640-1.0760 (tanpa mengambil kira beberapa pergerakan mendadak di kedua-dua arah). Walau bagaimanapun, keadaan yang agak tenang ini berakhir apabila mesyuarat Lembaga Bank Pusat Kesatuan Eropah berlangsung pada hari Khamis, 9 Jun. Pasaran kembali sedar, kadar pasangan ini jatuh, dan setelah susut lebih daripada 200 mata menjelang tengah hari Jumaat, kedudukannya terhenti dalam menunggu untuk data kadar inflasi di AS dikeluarkan.

    Tanpa ragu-ragu lagi, mesyuarat ECB bukan saja menjadi topik hangat untuk minggu lalu, bahkan pada beberapa minggu sebelumnya. Para pelabur telah menjangkakan bahawa kadar faedah utamanya mungkin akan dikekalkan pada 0% untuk bulan Jun (memang berlaku). Namun mereka berharap ketua Bank Pusat, Christine Lagarde akan membuat pengumuman untuk kenaikan kadar sebanyak 0.5% pada bulan Julai, lebih-lebih lagi akibat kenaikan kadar inflasi yang mencapai rekod tertinggi yang baru iaitu 8.1% pada bulan Mei, dan unjuran bagi kadar pertumbuhannya itu untuk tiga tahun akan datang naik dengan mendadak. Namun pihak penggubal dasar dilihat belum bersedia untuk mengambil tindakan sebegitu, dan kadar faedah hanya akan dinaikkan sebanyak 0.25%. Pihak ECB akan mempertimbangkan kenaikan 0.25% lagi mungkin seawal bulan September nanti.

    Pihak penggubal itu bimbang kenaikan kadar yang mendadak boleh memberi kesan buruk terhadap ekonomi di Eurozone yang sudah pun berhadapan dengan kesukaran akibat kenaikan harga bahan api, gangguan bekalan serta lain-lain masalah yang berpunca daripada serangan ketenteraan Rusia di Ukraine.

    Hasil daripada mesyuarat yang berlangsung pada hari Khamis, 9 Jun menunjukkan pihak ECB kini dilihat tidak lagi berpendirian dovish, tetapi mereka masih lagi jauh daripada dasar hawkish yang menjadi pegangan pihak Rizab Persekutuan. Manakala kadar inflasi akan naik lebih tinggi berbanding jangkaan, dan sebaliknya, kadar tukaran akan menjadi rendah. Situasi ini memberi kesan negatif dan mendorong kepada penyusutan nilai mata wang Kesatuan Eropah itu.

    Satu lagi peristiwa penting minggu lalu adalah penerbitan data pasaran pengguna (CPI) di AS. Selain daripada kadar inflasi, pasaran buruh kini menjadi indikator paling utama yang menentukan polisi Rizab Persekutuan. Justeru, apa yang berlaku kepada harga pengguna adalah sangat penting. Jika kenaikan harga barangan sudah berakhir dan kadar inflasi kekal pada paras yang sama iaitu 8.3%, ia akan membuktikan bahawa polisi kewangan yang diambil Bank Pusat AS itu adalah tepat, lebih-lebih lagi apabila melihat kepada peningkatan mendadak unjuran kadar inflasi di Eurozone.

    Maka, mengikut data yang dikeluarkan pada 10 Jun, kadar Indeks Harga Pengguna, tidak termasuk harga makanan dan bahan api (CPI m/m) adalah 0.6%, kekal tidak berubah untuk bulan Mei (walaupun kadarnya itu lebih tinggi berbanding 0.5% yang diunjur), dan kadar CPI (g/d) susut daripada 6.2% kepada 6.0% dengan nilai unjuran sebanyak 5.9%. Pasaran menganggap perkara ini adalah satu isyarat baik buat dolar, dan paras pasangan EUR/USD turun lebih rendah, mengakhiri minggu di kedudukan 1.0520.

    Minggu hadapan, pada hari Rabu, 15 Jun, kami jangkakan satu perkara yang mungkin lebih penting daripada mesyuarat ECB. Ia adalah mesyuarat FOMC (Federal Open Market Committee) Rizab Persekutuan yang akan memutuskan tentang kenaikan kadar dana persekutuan yang seterusnya. Kami sudahpun menyatakan keinginan pihak penggubal untuk menaikkan kadarnya sebanyak 0.5% lagi, dan berkemungkinan besar kenaikan ini sudahpun dimasukkan sekali ke dalam sebut harga dolar oleh pasaran. Walau bagaimanapun, selepas berakhirnya mesyuarat itu, kami menunggu ulasan serta sidang akhbar oleh pucuk pimpinan Rizab Persekutuan, dan pada waktu itulah para pelabur akan mendapati sesuatu yang baru mengenai rancangan masa hadapan Bank Persekutuan AS. Secara umum, ianya masih menjadi tanda tanya.

    Buat masa ini, perbezaan pendapat penganalisis adalah berkadar sama pada petang 10 Jun: 50% memihak kepada bull, 50% - memihak bear. Untuk bacaan indikator pada D1, warna merah mendominasi sepenuhnya. Ini benar untuk 100% indikator trend. Jumlah yang sama juga ditunjukkan oleh warna merah untuk pengayun, tetapi 25% daripadanya sudah pun memberi isyarat terlebih jual. Rintangan kuat paling dekat terletak pada zon 1.0600, jika berjaya, bull akan cuba melepasi rintangan pada 1.0640 dan naik ke zon di antara 1.0750-1.0760, dan sasaran berikutnya ialah 1.0800. Bagi bear, tugas utamanya adalah untuk menembusi paras sokongan di sekitar 1.0500, kemudian 1.0460-1.0480, serta memperbaharui paras terendah 13 Mei lalu iaitu 1.0350. Jika berjaya, ia akan terus menyerang paras terendah 2017 iaitu 1.0340, di bawah paras itu hanyalah sasaran daripada 20 tahun yang lalu.

    Untuk berita ekonomi pada minggu hadapan, selain daripada mesyuarat FOMC Rizab Persekutuan, kami sarankan untuk memberi tumpuan kepada bacaan Indeks Sentimen Ekonomi ZEW serta indeks CPI di Jerman yang akan dikeluarkan pada hari Selasa, 14 Jun, serta Indeks Harga Pengeluar di AS. Data jualan runcit akan diketahui pada hari Rabu, 15 Jun, manakala data aktiviti pembuatan di Amerika Syarikat akan diketahui pada keesokan harinya. Akhir sekali, bacaan Indeks Harga Pengguna di Eurozone akan dikeluarkan pada hari terakhir minggu, Jumaat, 17 Jun.

GBP/USD: Kami Menantikan Mesyuarat Bank of England

  • Minggu lalu telah mengesahkan korelasi positif antara pound, euro dan dolar. Mata wang Eropah itu yang susut nilainya pada hari Khamis, 9 Jun telah menarik mata wang British bersama-samanya. Kedua-dua pasangan, EUR/USD dan GBP/USD turun ke bawah. Data mengenai harga pengguna di AS telah mendorong lagi penurunannya ke bawah. Hasilnya, paras terakhir mingguannya berada di sekitar 1.2311.

    Bank of England juga akan bermesyuarat sehari selepas mesyuarat Rizab Persekutuan, pada hari Khamis, 16 Jun. Mungkin keputusan mengenai kadar faedah mereka akan dibuat dengan mengambil kira langkah yang diambil rakan sejawatnya sehari sebelum itu. Disamping itu, peningkatan jangkaan kadar inflasi mungkin akan memaksa penggubal dasar untuk mengetatkan polisi kewangan mereka (QT, dan bukan pelonggaran kuantitatif QE). Unjuran Bank of England/Ipsos untuk 12 bulan seterusnya adalah 4.6% berbanding 4.3% sebelumnya.

    Dalam menunggu mesyuarat kedua-dua Bank Pusat di AS dan England, unjuran untuk pound dilihat agak tidak menentu. Adakah kedudukannya akan terus jatuh? 40% daripada penganalisis telah menjawab persoalan itu dengan ya, 50% lagi menjawabnya dengan tidak, manakala 10% pula berdiam diri. Bagi indikator pada D1, majoriti keseluruhannya berpihak kepada bear seperti yang berlaku kepada EUR/USD. Dalam kalangan indikator trend, 100% menunjukkan penurunan, dalam kalangan pengayun jumlahnya kurang sedikit: hanya 90% menunjukkan penurunan, walaupun satu perempat daripadanya sudah berada di zon lebihan jualan, baki 10% lagi adalah berwarna kelabu neutral. Sokongan berada pada paras 1.2290-1.2300, 1.2200, kemudian 1.2154-1.2164 dan 1.2075. Kedudukan kukuh bagi sokongan pasangan ini terletak pada paras psikologi pentingnya iaitu 1.2000. Jika berlakunya pertumbuhan, pasangan ini perlu menembusi rintangan pada paras 1.2400-1.2430, 1.2460, 1.2500, 1.2600, kemudian 1.2640-1.2665, 1.2700-1.2750, 1.2800-1.2835 dan 1.2975-1.3000.

    Selain daripada mesyuarat Bank of England, peristiwa yang melibatkan ekonomi pada minggu hadapan termasuklah data KDNK yang akan dikeluarkan pada hari Isnin, 13 Jun serta data penggajian dan pengangguran di UK pada hari Selasa, 14 Jun.

USD/JPY: Menunggu Mesyuarat Bank of Japan

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 13 - 17 Jun, 20221

  • Namun, mungkin tiada siapa yang perlu menantikannya. Berkemungkinan besar Bank of Japan sekali lagi akan membiarkan polisi teramat longgar mereka tidak berubah pada mesyuarat yang biasa pada hari Jumaat, 17 Jun, serta membiarkan kadar faedah berada pada kadar negatif iaitu negatif 0.1%. Namun, jika penggubal dasar ada memberi bayangan setidak-tidaknya pengetatan polisi mungkin akan dibuat pada masa hadapan ketika berlangsungnya sidang akhbar selepas itu, ia mungkin akan memberi kesan mengejutkan serta mengukuhkan lagi nilai yen.

    Namun, seperti yang telah disebut, perubahan ini adalah kecil. Kenaikan nilai dolar sekali lagi menolak pasangan USD/JPY untuk memperbaharui paras tertinggi dalam 20 tahun yang seterusnya. Paras tertinggi yang direkodkan minggu lalu berada pada ketinggian 134.55, dan pasangan ini mengakhiri minggu pada paras sedikit rendah, di sekitar 134.37.

    Buat masa ini, hanya 15% penganalisis yang bersetuju pasangan itu akan naik di atas paras 135.00, 35% bersikap neutral, manakala majoriti (50%) penganalisis menjangkakan pasangan ini akan turun ke bawah. (Walau bagaimanapun, melihat pada kekuatan momentum pertumbuhan pasangan ini, detik untuk berlakunya pembetulan seperti itu mungkin akan ditunda selama-lamanya). Bagi indikator pada D1, gambarannya adalah berbeza daripada pendapat penganalisis. Untuk indikator trend dan pengayun, 100% adalah berwarna hijau. Memang benar, dalam kalangan pengayun, 40% daripadanya berada di zon lebihan belian, satu jumlah yang banyak. Sokongan terdekat berada pada paras 134.00, diikuti dengan zon dan paras 133.00-133.35, 132.25-132.50, 130.45-131.00, 129.70-130.20, 128.60, 128.00, 127.50, 127.00, 126.00-126.35 dan 125.00. Sasaran bull adalah untuk memperbaharui paras tertinggi 9 Jun lalu iaitu 134.55. Sasaran berikutnya adalah paras tertinggi 1 Januari, 2002 iaitu 135.19 yang tidak begitu jauh lagi. (Pada hujung April lalu, semasa memfokuskan kepada kadar pertumbuhan pasangan ini, kami menyebut lonjakan ke ketinggian ini akan mengambil masa sebulan setengah. Kini pengiraan itu ternyata dilihat 100% tepat).

MATA WANG KRIPTO: Bitcoin Tercari-cari Paras Paling Rendah

  • Bull yang patuh kepada indeks S&P500, Dow Jones dan Nasdaq telah berjaya mengekang serangan bear untuk dua minggu, sehingga 9 Jun. Walau bagaimanapun, nilai dolar yang kukuh serta ramai pelabur yang lari daripada risiko inflasi telah menjadi punca kepada penjualan aktif posisi long berspekulasi di pasaran saham. Maka, sebut harganya pun jatuh.

    Pertarungan di antara bull dan bear di baris hadapan BTC/USD di sepanjang paras $30,000 masih belum berakhir setelah hampir lima minggu. Kredit diberikan kepada penyokong bitcoin, kerana walaupun pasaran saham mengalami keruntuhan, ia masih bertahan pada paras itu (pada petang Jumaat, 10 Jun), hanya turun sedikit ke bawah. Dalam situasi mendatar sebegitu, pelabur jangka masa panjang hanya boleh menunggu dan berharap agar pasangan ini mengalami pertumbuhan. Bagi pelabur Intraday pula, transaksi semasa ia mengikuti trend mendatar dalam koridor sempit mampu memberi pulangan. Namun ia memerlukan kemahiran tertentu untuk menjayakannya.

    Pada pendapat kami, sesiapa juga boleh menggunakan strategi dagangan yang bersesuaian dengan mereka. Pelabur berbeza mengalami pengalaman yang berbeza, keadaan psikologi yang berbeza, kemampuan kewangan yang berbeza, tempoh masa yang boleh diluang untuk berdagang juga berbeza. Secara umum, segalanya adalah bersifat individu. Sebagai contoh, CEO syarikat MicroStrategy iaitu Michael Saylor percaya bahawa anda tidak harus terbawa-bawa dengan sasaran jangka masa pendek. Menurut beliau, mereka yang terlalu banyak memberi perhatian pada carta adalah seperti “membuat tilikan nasib.” “Jika anda tidak merancang untuk menyimpannya [Bitcoin] selama empat tahun, anda bukanlah seorang pelabur, anda adalah seorang pedagang, dan nasihat saya untuk para pedagang: jangan dagangkannya, tapi melabur di dalamnya,” jelas Saylor kepada The Block.

    Jika diingat sehingga 14 April, 2022, MicroStrategy kekal sebagai pemilik terbesar bitcoin dalam kalangan syarikat-syarikat awam. Bersama-sama rakan kongsinya, mereka memiliki sebanyak 129,218 BTC bernilai $3.97 bilion dengan purata harga sekitar $30,700 setiap satu. Maka situasi yang dihadapi oleh MicroStrategy dan Michael Saylor secara peribadinya adalah agak kritikal. Syarikat itu akan berada dalam keadaan yang agak merugikan jika harga mata wang kripto utama itu tidak bertambah. Menurut sebilangan penganalisis, ia mungkin juga akan bergerak ke arah bertentangan.

    Maka, penganalisis kripto Justin Bennett membuat unjuran untuk minggu hadapan dengan memberikan bayangan bahawa carta seperti bulan Jun 2021 akan kembali terbentuk. Jika nilai aset bergerak di bawah paras ini, terdapat risiko ia akan kembali mencecah paras terendah bulan Mei yang lalu di antara $26,580-26,910.

    Menurut penganalisis itu, jika bitcoin mengalami senario sama seperti Jun 2021, ia akan mencatatkan paras paling rendah untuk tahun semasa: “Jika berlakunya aktivit jualan secara besar-besaran, pergerakan ke bawah mungkin akan tiba pada julat antara $24,000-25,000. Namun saya rasa itu bukanlah paras paling minimum dalam kitaran ini.”

    Setelah terbentuknya paras paling rendah tahunan yang baru, Bennett menjangkakan bitcoin akan mengalami sedikit pertumbuhan. “Berkemungkinan besar ia adalah lonjakan kecil ke paras tertinggi makro yang rendah.” Menurut pengiraan beliau, nilai BTC mampu naik sehingga $35,000 pada bulan Julai semasa berlakunya pertumbuhan jangka pendek ini.

    Namun Katie Wood, pengasas dan juga CEO syarikat pelaburan ARK Invest dengan aset sebanyak $60 bilion percaya bahawa nilai BTC sudah pun mencatatkan paras paling rendahnya jika berdasarkan pada prestasi rangkaian. Menurut beliau, “pelabur jangka pendek telah menyerah kalah, dan ini adalah berita baik dari segi pembentukan paras terendah. Peratusan pelabur jangka panjang berada pada kadar tertingginya: 65.7% (nemiliki BTC sekurang-kurangnya setahun). Namun masih ada kemungkinan sebahagian daripadanya mengalah dan mencatatkan paras paling rendah yang baru.

    Selain daripada indikator mengenai rangkaian, Wood juga memerhatikan pasaran niaga hadapan bitcoin dan memberi bayangan tentang tempoh kenaikan kadar turun naik aset ini. “Sukar untuk mengatakan dengan tepat pada arah manakah ia akan bergerak, tetapi kami percaya terdapat kemungkinan yang tinggi ledakan turun naik yang seterusnya akan menuju ke atas.”

    Walaupun wujudnya sedikit rasa optimis, semua orang harus mengambil langkah berjaga-jaga setelah runtuhnya Terra (LUNA). “Dalam masa yang sama, kami sedang berjaga-jaga,” jelas CEO ARK Invest itu. “Kejatuhan Terra telah mengakibatkan mata wang kripto menjadi kucar-kacir, dan disebabkan hal ini penggubal dasar mempunyai banyak alasan untuk mengenakan undang-undang yang lebih ketat daripada jangkaan.”

    Sebelum itu, dalam memberikan komen mengenai keruntuhan Terra dan pembetulan yang dialami pasaran selepas itu, ketua MicroStrategy seperti yang disebut di atas berasa ragu-ragu bahawa kejadian tersebut adalah bukti kepada fasa bearish. “Saya tidak tahu jika ia adalah pasaran bear atau tidak, tapi jika benar sekalipun, kita telah tiga kali mengalaminya dalam tempoh 24 bulan,” tegas Michael Saylor.

    Untuk ramalan jangka panjang, seperti biasa pendapat mereka adalah berbeza-beza. Pakar ekonomi Amerika dan pemenang Hadiah Nobel iaitu Paul Krugman menggelar mata wang kripto sebagai satu penipuan, membandingkannya dengan krisis hartanah pada tahun 2008. Dalam temubual bersama Fox News, beliau ada menyebut tentang cerita yang berjudul The Big Short, kisah yang menceritakan tentang krisis kewangan pada tahun 2000-an sehingga menyebabkan runtuhnya pasaran hartanah. Nilai hartanah sangat tinggi, tetapi ia tidak menghalang orang ramai terlibat dengannya. Kini situasi sama berlaku dalam pasaran mata wang kripto, jelas Krugman.

    Pakar ekonomi itu mengkritik mereka yang mendakwa aset kripto adalah masa depan sektor kewangan. Menurut Krugman, bitcoin yang membuat kemunculan pada tahun 2009 masih belum lagi menemui cara praktikal untuk menggunakannya, melainkan digunakan dalam aktiviti haram.

    “Mata wang kripto telah menjadi satu daripada kelas aset yang besar, dan para penyokongnya telah menambah pengaruh mereka dalam arena politik. Justeru, ia kedengaran seperti tidak masuk akal untuk kebanyakan orang apabila menyebut tiada nilai dalam mata wang kripto. Namun semua ini hanyalah seperti sebuah rumah yang didirikan di atas pasir. Saya teringat kepada gelembung hartanah serta krisis gadai janji, maka bolehlah saya katakan bahawa kita sudah beralih daripada dagangan short yang besar kepada penipuan besar,” jelas pemenang Nobel itu.

    Tidak seperti Paul Krugman, penganalisis Bloomberg iaitu Mike McGlone percaya bahawa kita sebaliknya berada dalam satu permainan besar untuk ke atas, bukan ke bawah. Mengikut ramalannya, kadar inflasi paling tinggi sejak 40 tahun lalu sudah bermula, ia akan menyebabkan berlakunya krisis ekonomi paling besar, dan selepas itu mata wang kripto, bon AS serta emas akan mengalami pertumbuhan yang tidak pernah dialami sebelum ini. McGlone dalam temubual beliau bersama Kitco News menyatakan bahawa “hal ini mungkin akan mengingatkan kita kepada kesan daripada krisis yang berlaku pada tahun 1929. Mungkin agaknya, ia lebih kepada kesan akibat krisis tahun 2008, atau mungkin kesan daripada keruntuhan pasaran 1987.”

    Bersama-sama Mike McGlone, Katie Wood dan Michael Saylor, pakar strategi Amerika iaitu Lyn Alden juga turut memihak kepada bull. Beliau tidak menjangkakan situasi inflasi yang berlaku akan pulih dalam masa terdekat kerana AS terus mencetak wang bagi memenuhi tuntutan kewangan mereka. Disebabkan itu, pada pendapat beliau, bitcoin kini menjadi salah satu aset yang paling boleh dipercayai, bersama-sama dengan emas dan juga hartanah.

    Ulasan kami sebelum ini ada menyebut tentang paras yang disasarkan bitcoin di mana para penganalisis InvestAnswers menetapkannya dengan memilih nilai purata daripada ramalan pilihan oleh Fidelity, ARK Invest dan lain-lain syarikat. Setelah menggabungkan beberapa model kripto terkenal, kesimpulan yang dibuat ialah kadar BTC menjelang tahun 2030 adalah di sekitar $1,555,000 bagi setiap coin.

    Walau bagaimanapun, penganalisis makro dan juga pengarah syarikat pelaburan Fidelity iaitu Jurrien Timmer telah memperbaharui ramalan jangka panjang beliau, dan kini ia nampak lebih sederhana. Jurrien Timmer merujuk kepada model yang dahulunya dikenali ramai iaitu Stock-to-Flow (S2F) oleh penganalisis dengan nama gelaran PlanB, dan model tersebut meramal harga BTC berdasarkan pada gangguan bekalan akibat pengurangan penghasilan aset tersebut. Namun, penganalisis itu menambah dua lagi model ke dalam model S2F bagi memantau kadar penerimaan Internet dan juga telefon mudah alih.

    Menurut Timmer, berdasarkan kepada model penerimaan telefon mudah alih, harga bitcoin mampu naik mendadak kepada $144,753 menjelang tahun 2025 (kira-kira setahun selepas penghasilannya dikurangkan). Namun jika BTC mengikuti kadar kelajuan penerimaan Internet, aset tersebut dilihat sudah pun mencecah paras tertingginya dan hanya boleh didagangkan pada nilai $47,702 dalam tempoh 3 tahun. Nilai purata yang diperolehi Timmer berdasarkan kepada model bekalan yang telah diubah suai adalah $63,778.

    Hanya masa yang akan menentukan sama ada ramalan penganalisis adalah tepat atau tidak. Dalam masa yang sama, semasa ulasan ini dibuat, pada petang Jumaat, 10 Jun, jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah $1.192 trilion ($1.225 trilion seminggu lalu). Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto terperosok di zon Extreme Fear di sekitar 13 mata (10 pada minggu lalu). Pasangan BTC/USD didagangkan pada kadar $29,340.

 

Kumpulan Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami