Julai 30, 2022

EUR/USD: Keputusan Mesyuarat FOMC: Mengapa Nilai Dolar Menyusut dan Indeks Saham Bertumbuh

  • Jadi, mesyuarat FOMC (Federal Open Market Committee) Rizab Persekutuan AS telah diadakan pada hari Rabu, 27 Julai. Memang tidak disangkal lagi kadar faedah utama mereka akan dinaikkan. Namun berapa banyak? Adakah sebanyak 100 mata asas (bp), kadar yang tidak pernah dinaikkan sebanyak itu sejak tahun 1981, atau sebanyak 75 mata? Pasaran dilihat mengharapkan pilihan pertama, namun pihak Rizab Persekutuan memilih polisi yang lebih longgar iaitu pilihan kedua. Disebabkan itu, kadar pasangan EUR/USD naik dan kembali berada di saluran yang memang dilaluinya sejak 19 Julai lalu iaitu antara 1.0150-1.0270 dan bukannya membuat serangan baru terhadap paras 1.0000. Ia kemudian diikuti dengan percubaan bear yang gagal untuk menembusi sempadan bawah saluran itu (puncanya dijelaskan di bawah, di bahagian pasangan GBP/USD) dan kedudukan terakhirnya berada pada paras 1.0221.

    Berucap di penghujung mesyuarat itu, Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell cuba untuk meyakinkan semua orang bahawa penggubal dasar itu masih lagi bersifat hawkish. Beliau menyatakan bahawa beliau tidak percaya kemelesetan ekonomi sedang berlaku kerana pasaran buruh dan beberapa sektor yang lain masih lagi kukuh. Ini bermakna risiko untuk kadar inflasi terus berlaku adalah lebih ketara berbanding risiko berlakunya kemelestan ekonomi. Maka, jika perlu, pihak Rizab Persekutuan sudah bersedia untuk mempercepatkan lagi kenaikan kadar faedahnya.

    Walau bagaimanapun, pasaran tidak mempercayai kata-kata Powell dan memberikan reaksi mereka terhadap keputusan mesyuarat FOMC dengan beralih kepada pasaran saham. Kadar indeks dolar DXY susut sebanyak 0.7%, tetapi kadar indeks saham meningkat: S&P500 naik sebanyak 2.6%, Dow Jones - naik 1.4%, NASDAQ - naik 4.1%. Kadar niaga hadapan minyak juga naik 3.4%.

    Telah dijangka sebelum ini bahawa kadar faedah utamanya boleh mencecah 3.4% menjelang akhir tahun ini disebabkan oleh pengetatan polisi kewangan, malah ia mungkin boleh naik lebih tinggi sehingga 3.8% menjelang akhir tahun 2023. Khabar angin yang tersebar di sekitar pasaran sekarang adalah pihak Bank Persekutuan AS mungkin akan menghentikan kenaikan kadarnya pada bulan November, dan mereka akan memulakan semula program pelonggaran kuantitatif (QE) pada tahun 2023. Sebab utamanya ialah walaupun dengan jaminan Powell yang meyakinkan, menaikkan kadar faedah serta mengurangkan defisit belanjawan untuk memerangi inflasi telah memberi kesan negatif terhadap kadar KDNK. Perkara ini pula boleh mendorong kepada kemerosotan dalam pasaran buruh.

    Apa yang dibincangkan ini telah mendapat pengesahan oleh statistik makro yang dikeluarkan pada hari Khamis, 28 Julai. Anggaran awal kadar KDNK di AS untuk Q2 2022 adalah negatif 0.9% dan bukannya naik daripada +0.3% kepada +0.5% seperti yang diunjur.

    Justeru, penyusutan kadar KDNK memberi kelebihan kepada nilai dolar kerana ia mungkin akan memaksa pihak Rizab Persekutuan untuk lebih berhati-hati dalam menaikkan kadar faedah mereka, lebih rendah berbanding kenaikan sebanyak 75 mata asas dalam setiap mesyuaratnya. Mengikut alatan FedWatch oleh CME Group, kadar kebarangkalian untuk pihak penggubal itu hanya menaikkan kadar faedahnya sebanyak 50 bp dalam bulan September adalah hampir 80%. Penyusutan berterusan hasil bon 10 tahun kerajaan AS juga memberi kelebihan kepada nilai mata wang Amerika: hasilnya turun daripada 3.4% kepada 2.68% dalam hanya masa sebulan. Hal ini memberi peserta pasaran sebab untuk merasakan kadar inflasi masih berada dalam kawalan dan program pengetatan kuantitatif (QT) boleh diselesaikan lebih awal daripada yang dijadual.

    Selain itu, semuanya juga agak tidak kena di Eropah. Masalah yang berterusan serta gangguan bekalan sumber tenaga dari Rusia tidak memberi kelebihan kepada euro. Sebagai respon terhadap ugutan sumber tenaga yang dibuat oleh Kremlin, ketua Pesuruhjaya Kesatuan Eropah iaitu Ursula von der Leyen memanggil negara-negara EU untuk bersedia dengan pemberhentian bekalan gas dari Rusia sepenuhnya. Beliau berpendapat, adalah perlu untuk menyimpan sumber yang ada walaupun sekecil mana kebergantungan negara-negara tersebut terhadap sumber tenaga Rusia bagi mengelak daripada keruntuhan berskala besar.

    Klaus Müller, ketua penggubal dasar tenaga Jerman (Bundesnetzagentur) percaya bahawa ancaman kekurangan sumber gas akan terus berlaku di negara itu untuk dua musim sejuk yang seterusnya, manakala harga elektrik akan dinaikkan sekali lagi pada bulan Ogos.

    Bercakap mengenai Eurozone, perlu sedia maklum bahawa data ekonomi yang dikeluarkan pada hari Jumaat, 29 Julai dilihat tidak begitu meyakinkan. Dari satu segi, kadar inflasi terus meningkat: dengan nilai unjuran yang sama seperti nilai sebelum ini iaitu 8.6%, kadar indeks pengguna (CPI) sebenarnya naik kepada 8.9% pada bulan Julai. Dari satu segi yang lain pula, kadar KDNK di Eurozone (y/y, Q2) susut kepada 4.0% dan bukannya turun daripada 5.4% kepada 3.4%. Situasi pasaran buruh di Jerman juga dilihat agak bagus, jumlah pengangguran turun daripada 132K kepada 48K sepanjang tempoh sebulan.   

    Untuk masa hadapan terdekat bagi pasangan EUR/USD, semasa ulasan ini dibuat pada petang 29 Julai, 45% penganalisis menyokong pertumbuhannya, 45% lagi memilih penurunan dan baki 10% pula memilih pergerakan mendatar. Bacaan indikator pada D1 juga tidak memberi isyarat yang jelas. Bagi indikator trend, 50% menunjukkan pertumbuhan, 50% menunjukkan penurunan. 35% daripada pengayun berpihak kepada bear, baki 65% lagi menyokong bull, walaupun 25% daripadanya memberi isyarat bahawa pasangan ini memiliki lebihan belian.

    Dengan paras 1.0200 dikecualikan, sokongan terdekat bagi pasangan EUR/USD adalah di zon antara 1.0150-1.0180, kemudian 1.0100 dan sudah semestinya paras 1.0000. Setelah berjaya ditembusi, bear akan mensasarkan paras terendah 14 Julai lalu iaitu 0.9950, paras yang lebih rendah adalah zon sokongan/rintangan 2002 yang kukuh di antara 0.9900-0.9930. Tugas penting buat bull yang seterusnya adalah untuk melepasi rintangan pada paras 1.0250-1.0270 dan kembali ke zon di antara 1.0400-1.0450, diikuti dengan zon 1.0520-1.0600 serta 1.0650-1.0750.

    Antara perkara yang akan berlaku termasuklah penerbitan indeks aktiviti perniagaan (ISM) dalam sektor pembuatan di Jerman dan Amerika Syarikat pada hari Isnin, 1 Ogos. Jumlah jualan runcit di Jerman akan diketahui pada hari yang sama. Data jualan runcit di Eurozone serta data aktiviti perniagaan (ISM) dalam sektor perkhidmatan di AS akan dikeluarkan pada hari Rabu, 3 Ogos. Sebahagian daripada data pasaran buruh di AS akan diketahui di penghujung minggu, pada hari Jumaat, 5 Ogos, ini termasuklah kadar pengangguran serta indikator penting seperti NFP iaitu jumlah pekerjaan baru bukan dalam sektor agrikultur di AS.

GBP/USD: Keputusan BOE Memberi Ancaman untuk Menjadi Sensasi

  • Keputusan berhati-hati yang diambil Rizab Persekutuan, komen teragak-agak oleh Jerome Powell dan data pertumbuhan ekonomi AS bagi Q2 yang mengecewakan telah mendorong kepada lonjakan kadar GBP/USD pada minggu lalu. Akibatnya, bull berjaya menaikkan kedudukan pasangan ini ke paras tertinggi bulanan iaitu 1.2245 pada 29 Julai. Pasangan ini turun sekejap ke paras 1.2062 pada petang hari yang sama. Nilai dolar menjadi kukuh disebabkan oleh data indeks Personal Consumption Expenditures (PCE) di AS. Peningkatan indikator inflasi bulanan ini adalah berjumlah 0.6% (dua kali ganda lebih tinggi daripada nilai sebelumnya iaitu 0.3% dan lebih tinggi berbanding 0.5% yang diunjur). Hal ini mempengaruhi sentimen pasaran dan membantu mata wang AS untuk mula pulih. Disamping itu, 29 Julai adalah hari terakhir bekerja untuk bulan ini, dan kebanyakan pelabur telah memilih untuk mendapatkan pulangan mereka setelah nilai pound mengalami pertumbuhan. Walau bagaimanapun, pertumbuhan nilai dolar tidak berpanjangan dan kedudukan terakhir mingguannya berada pada paras 1.2176.

    Bagi data makroekonomi dari United Kingdom untuk minggu hadapan, kami sedia maklum dengan penerbitan data indeks komposit PMI serta indeks aktiviti perniagaan dalam sektor perkhidmatan di UK pada hari Rabu, 3 Ogos. Namun peristiwa penting untuk minggu hadapan sudah pastinya ialah mesyuarat Bank of England (BOE) pada hari Khamis, 4 Ogos.

    Penggubal dasar ini telah menaikkan kadar faedah mereka daripada 1.00% kepada 1.25% dalam mesyuaratnya sebelum ini pada 16 Jun lalu. Kenaikan 25 mata asas dilihat hanyalah satu pertiga daripada 75 mata asas yang dinaikkan oleh Rizab Persekutuan, tetapi nilai pound naik mendadak pada waktu itu. Nilai mata wang British kukuh sebanyak 365 mata dalam masa beberapa jam saja manakala pasangan GBP/USD telah menetapkan paras tertinggi mingguannya pada 1.2405.

    Mari lihat apa yang akan berlaku pada kali ini dan bolehkah ia kembali ke kedudukan tertinggi itu. Adakah ia akan naik lebih tinggi? Lagipun, mengikut unjuran, BOE mungkin memilih untuk mengambil langkah terdesak, menaikkan kadarnya sebanyak 150 mata asas sekaligus, dalam hal ini menjadikan kadarnya kepada 2.75% dan lebih tinggi daripada kadar dolar iaitu 2.50%, satu hujah penting yang memberi kelebihan kepada pengukuhan nilai mata wang British.

    Buat masa ini, 35% penganalisis percaya bahawa mata wang British akan terus menyusut, 35% lagi sebaliknya menjangkakan perubahan pergerakan ke atas, dan baki 30% pula kekal neutral. Bacaan indikator pada D1 adalah seperti berikut. Dalam kalangan indikator trend, keseteraannya adalah sebanyak 50% kepada  50%. Dalam kalangan pengayun, hanya 10% yang memihak kepada bear, 90% lagi menunjukkan pertumbuhan, walaupun 15% sudahpun berada di zon lebihan belian.

    Sokongan terdekat berada pada paras 1.2045, diikuti dengan 1.2000 dan zon antara 1.1875-1.1915. Di bawahnya adalah paras 1.1800, paras terendah 14 Julai lalu iaitu 1.1759, kemudian 1.1650, 1.1535 serta paras terendah pada Mac 2020 di zon antara 1.1400-1.1450. Bagi bull pula, rintangan akan dihadapi di zon dan paras 1.2200-1.2245, 1.2300-1.2325 dan 1.2400-1.2430.

USD/JPY: Rekod Penurunan Sebanyak 500 Pip

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 01 - 05 Ogos, 20221

  • Kesemua sebab yang disebutkan di atas menyumbang kepada pengukuhan nilai mata wang Jepun. Pada malam sebelum berlangsungnya mesyuarat Rizab Persekutuan AS pada 27 Julai, pasangan USD/JPY berada di ketinggian 137.45, dan setelah susut hampir sebanyak 500 mata, pasangan itu menetapkan kedudukan terendah sepanjang enam minggu pada paras 132.49 dua hari berikutnya. Berkemungkinan penurunan mendadak seperti itu telah dibantu oleh yen yang memiliki lebihan jualan, memperbaharui paras terendah selama 24 tahun pada 14 Julai lalu.

    Data Personal Consumption Expenditure di AS yang dikeluarkan sebelum minggu berakhir, pada hari Jumaat, 29 Julai telah mengakibatkan pasangan USD/JPY pulih sementara ke ketinggian 134.58, dan trend menurun bersambung selepas itu, manakala pasangan ini mengakhiri sesi lima hari dagangan pada paras 133.31.

    Bagi prospek mata wang Jepun, unjuran para penganalisis dilihat agak neutral, sama seperti pasangan sebelum ini. 45% daripada mereka menunggu kejayaan baru pasangan ini ke atas, 45% lagi berharap trend menurun akan terus berlaku, dan baki 10% pula memilih koridor mendatar. Gambarannya agak berbeza dalam bacaan indikator pada D1: nisbah indikator trend yang memihak kepada warna merah adalah 65% kepada 35%, 25% pengayun menunjukkan pertumbuhan, 75% menunjukkan penurunan, namun satu pertiga daripadanya memberikan isyarat pasangan ini memiliki lebihan jualan.

    Nilai slippage yang mungkin serta julat zon rintangan/sokongan telah naik mendadak disebabkan oleh kecairan pasangan ini yang sangat tinggi. Sokongan berada pada paras dan zon antara 132.50-133.00, 131.40, 128.60 dan 126.35-127.00. Rintangan pula berada pada paras di antara 134.20-134.60, 135.00-135.55, 136.30-137.45, 137.90-138.40, 138.50-139.00, diikuti dengan paras tertinggi 14 Julai iaitu 139.38 serta sasaran nilai bundar bull iaitu 140.00 dan 142.00.

MATA WANG KRIPTO: Nilai Bitcoin Mungkin Naik. Namun Bukan Dalam Masa Terdekat.

  • Hakikat bahawa pihak Rizab Persekutuan AS hanya menaikkan kadar sebanyak 0.75% dan bukannya 1.0% pada mesyuarat 27 Julai lalu memberikan sokongan kukuh kepada aset berisiko, terutama sekali terhadap pasaran saham. Sesetengah penganalisis yang paling radikal berkata pihak penggubal dasar itu mungkin akan berhenti daripada menaikkan kadar faedah seawal bulan November, dan akan memulakan semula program pelonggaran kuantitatif (QE) pada tahun 2023 serta mula membeli aset dan mengukuhkan penyata imbangannya sekali lagi dengan melambakkan pasaran dengan dolar murah. Kadar indeks S&P500, Dow Jones dan Nasdaq naik lebih tinggi disebabkan jangkaan yang menggembirakan buat para pelabur seperti itu, dan sebut harga bagi aset berisiko seperti bitcoin serta lain-lain mata wang kripto juga turut sama naik.

    Harga bitcoin kini telah kekal berada di atas paras $20,000 untuk dua minggu berturut-turut, dan tarikan hebat daripada para spekulator tertumpu kepadanya. Menurut penganalisis di Glassnode, perkara ini berlaku disebabkan oleh perpindahan coin daripada pihak hodler yang menyerah kalah kepada pembeli “baru” yang bersikap optimis. Penganalisis tersebut juga memberi penekanan bahawa terdapat juga permintaan daripada pihak spekulator sebelum ini semasa nilainya berada pada paras $30,000 dan $40,000.

    Mengikut sebilangan penganalisis, para jerung (pelabur dengan coin antara 1000+ dan 10000+ BTC) yang masih dalam mood hodle dan terus membeli bitcoin apabila kadar tukarannya jatuh juga menyumbang kepada perkara ini. Aktiviti pemilik-pemilik kecil BTC juga diberi perhatian. Sebagai contoh, jumlah alamat dengan baki sebanyak 0.01+ BTC mencecah kadar tertinggi iaitu 10,543,548.

    Glassnode memberi amaran bahawa ia mungkin mengambil lebih banyak masa sebelum keadaannya kembali kukuh. Hal ini dibuktikan oleh indikator jangka masa panjang seperti URPD. Bagi meningkatkan peluang untuk perubahan arah trend pasaran, adalah penting untuk melihat peralihan kategori daripada coin bersifat spekulatif kepada “dimiliki pelabur jangka masa panjang” (dalam kata lain, “umur” atau jangka hayat coin daripada tempoh belian harus melebihi 155 hari).

    Penganalisis kripto iaitu Nicholas Merten percaya bahawa lonjakan nilai mungkin boleh berlaku dalam situasi sekarang ini, dan ia akan memberi kejutan besar buat bear. “Nilai bitcoin melonjak ke paras $53,000 daripada $29,000 pada Julai lalu, kenaikan sebanyak 80% dalam masa sebulan. Saya mengandaikan pasaran boleh mengalami pertumbuhan lagi sekarang dan cuba untuk berada di kawasan penyatuan di sekitar $30,000. Tiada zon rintangan utama yang perlu dihadapi dan nilai purata pergerakan menunjukkan ke arah itu, memberi bitcoin peluang untuk naik ke atas. Kebanyakan orang tidak percaya dengan kemungkinan ini, tetapi lonjakan nilai boleh memberi anda kejutan dengan skala yang ada dalam pasaran dengan jumlah derivatif yang berlebihan.”

    Sila maklum bahawa walaupun Merten tidak menolak tentang lonjakan nilai BTC untuk jangka masa pendek, beliau masih rasa ragu-ragu bahawa aset tersebut telah mencecah paras terendahnya: “Ramai orang percaya bahawa paras terendahnya telah dicapai pada 18 Jun lalu. Memang benar, kita telah lihat jualan secara besar-besaran dibuat dan perubahan arah yang baik telah berlaku. Pasaran juga telah menyingkirkan sejumlah besar modal yang dipinjam untuk diguna dalam membuat spekulasi terhadap kripto. Namun tiada siapa yang boleh menidakkan realiti tentang impak berterusan daripada pasaran makro yang akan terus mengehadkan pelaburan jangka panjang ke dalam mata wang kripto.”

    Pendapat yang hampir sama telah disuarakan oleh penganalisis Aaron Chomsky. Beliau percaya bahawa laluan keluar pasangan BTC/USD daripada saluran sisi sehinggalah ke sempadan atas hanya akan menjadi pencetus kepada penurunan lebih rendah harganya. Beliau menjangkakan perubahan arah pergerakan serta penurunan ke sempadan bawah saluran tersebut dan mensasarkan nilai $17,500. Dalam masa yang sama, Aaron Chomsky percaya bahawa sasaran $10,000 juga agak realistik. “Nampaknya, kita akan berada dalam musim dingin kripto untuk jangka masa yang lama,” coret penganalisis itu. “Bitcoin mensasarkan nilai antara $5-7k, dan sebarang kelewatan seperti yang berlaku sekarang akan memaksa kami untuk menyemak semula sasaran paras yang benar-benar paling rendah.”

    Menurut Jim Rogers, pengasas bersama syarikat Quantum Fund and Soros Fund Management, “bahagian paling rendah” mungkin bermaksud penurunan harga bitcoin kepada sifar. Pelabur besar Amerika ini berkata bahawa anda perlukan kerajaan untuk menyokong sektor ini sebelum mempertimbangkan mata wang kripto sebagai pelaburan selamat. BTC hanyalah satu alat untuk bertaruh, ia bukanlah wang sebenar. Bitcoin amat sesuai untuk spekulasi tetapi akhirnya ia akan gagal sebagai sebuah mata wang.

    Jim Rogers menekankan bahawa beliau hanya akan mempertimbangkan untuk membeli BTC jika pihak Kesatuan Eropah menerimanya sebagai sebuah mata wang rasmi serta memperkenalkannya ke dalam sistem bayaran di rantau itu. Walau bagaimanapun, kenyataan beliau itu hanya boleh dianggap sebagai satu jenaka kerana EU tidak mungkin akan mengambil langkah tersebut dalam dekad yang seterusnya.

    Sudah tentu, berbanding dengan penganalisis bersikap skeptik yang sudah bersedia untuk menyingkirkan pasaran kripto, masih lagi ada tokoh-tokoh bersikap optimis yang menjangkakan masa depan bitcoin yang cerah. Sebagai contoh, pengasas bersama syarikat Real Vision Group dan bekas CEO Goldman Sachs iaitu Raoul Pal percaya bahawa pasaran mata wang kripto sedang bersedia untuk perubahan besar arah trend yang positif. Pasaran biasanya didorong dengan likuiditi, dan ia hadir dalam bentuk bekalan wang M2, jelas beliau. Bekalan wang ini berkorelasi dengan jumlah keseluruhan wang dalam edaran, bersama-sama dengan aset bukan tunai yang begitu cair yang sangat mudah untuk ditukarkan ke dalam bentuk tunai.

    Kebanyakan pelabur kripto percaya bahawa pemotongan kadar ganjaran apabila penghasilannya dikurangkan yang dijadual akan berlaku pada bulan Mei 2024 akan mendorong kepada kenaikan harganya. Walau bagaimanapun, Pal mempertikaikan bahawa peranan M2 adalah lebih besar berbanding dengan pengurangan penghasilannya: “Mata wang kripto tidak didorong oleh kitaran perniagaan, tetapi oleh likuiditi global. Maka indikator utama bagi pertumbuhan nilai bitcoin ialah kadar perubahan M2. Setiap kali berlakunya pertambahan dalam bekalan wang, akan berlakunya juga perubahan arah pergerakan, jelas penganalisis itu.

    Adalah perlu untuk mengingat semula apa yang dibincangkan pada permulaan ulasan ini. Jika pihak Rizab Persekutuan benar-benar beralih daripada pengetatan kuantitatif (QT) kepada pelonggaran kuantitatif (QE), dan terdapat wang berlebihan di pasaran, selera pelabur terhadap aset berisiko juga pastinya akan meningkat.

    Raoul Pal juga menyatakan bahawa kebanyakan pelabur menjangkakan kenaikan mendadak harga mata wang kripto yang seterusnya akan berlaku sebelum pengurangan penghasilannya selepas ini. Lebih-lebih lagi, jangkaan seperti ini adalah berdasarkan kepada data lampau yang agak meyakinkan. Salah seorang penyokong kepada senario ini adalah penganalisis kewangan iaitu Florian Grummes, pengarah urusan syarikat pelaburan Midas Touch Consulting. Pada pendapat beliau, walaupun dengan kenaikan semasa, musim dingin kripto masih lagi belum berakhir. Beliau berpendapat, kenaikan ke paras $35,000 hanya akan berlaku dalam tempoh 6-12 bulan. Lonjakan ini akan digelar sebagai “lonjakan tambahan” yang mungkin akan mendahului kepada lonjakan lebih besar pada masa akan datang.

    Untuk jangka masa panjang, Grummes begitu yakin dan optimis, tetapi memberi amaran bahawa disebabkan pasaran kripto berkorelasi terus dengan pasaran saham, seseorang bukan saja perlu bersedia dengan pergerakan ke atas, malah juga pergerakan ke bawah dalam situasi sekarang ini.

    Sikap optimis yang paling luar biasa pada minggu lalu telah ditunjukkan oleh penganalisis terkenal dengan nama gelaran PlanB, pencipta model Stock-to-Flow. Beliau telah menjangkakan saat apabila kadar saham AS serta nilai bitcoin mencecah kedudukan tertinggi yang baru. “Sesetengah orang takut dengan dengan makroekonomi, hubung kait antara bitcoin dengan pasaran saham, dll.,” beliau membuat ciapan Twitter. “Pendapat saya ialah kadar S&P500 akan berada di antara $5,000-$6,000 dalam tempoh 5 tahun berikutnya, manakala nilai bitcoin pula adalah di antara $100,000 dan $1 juta.

    Sudah pasti prospek seperti itu adalah sangat menakjubkan. Namun PlanB dan Florian Grummers sudah pun melakukan kesilapan dalam membuat unjuran mereka. Maka, sila berhati-hati dalam menggunakan ramalan kedua-duanya, sama juga apabila menggunakan ramalan orang lain. Satu-satunya perkara yang terus berlaku adalah bitcoin didagangkan di sekitar $23,900 semasa ulasan ini dibuat (petang Jumaat, 28 Julai). Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah $1.098 trilion ($1.026 trilion seminggu lalu), manakala bacaan Indeks Fear & Greed Kripto masih berada di zon Fear pada 39 mata (33 mata seminggu lalu).

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami