Ogos 7, 2022

EUR/USD: Berita Dari AS yang Tidak Dijangka-jangka

  • Pasangan EUR/USD telah bergerak secara mendatar di sepanjang saluran antara 1.0100-1.0270 sejak hampir tiga minggu. Percubaan teragak-agak untuk menembusi sempadan atas atau bawah saluran itu asyik berakhir dengan kegagalan. Adakah cuti musim panas harus dipersalahkan? Berkemungkinan besar, puncanya ialah statistik ekonomi dari AS yang tidak dijangka-jangka serta prospek yang tidak jelas telah mengakibatkan kekeliruan di pasaran.

    Kadar Indeks Aktiviti Perniagaan (ISM) dalam sektor Pembuatan di AS yang dikeluarkan pada hari Isnin, 1 Ogos tanpa disangka-sangka rupanya lebih tinggi berbanding yang diunjur. Indeks aktiviti perniagaan dalam sektor perkhidmatan yang dikeluarkan oleh Markit pada hari Rabu, 3 Ogos menunjukkan peningkatan kepada 47.3 daripada 47.0 mata yang diunjur. Indikator yang sama tetapi daripada pejabat kerajaan AS (ISM) juga menunjukkan peningkatan kepada 56.7 mata (55.3 pada bulan lalu, diunjur sebanyak 53.5 mata). Adakah rupa-rupanya ekonomi di AS ternyata tidak semuanya teruk, memiliki margin selamat yang sangat baik, walaupun dengan harga sumber tenaga yang tinggi dan kenaikan agresif kadar faedah Rizab Persekutuan?

    Jika diingat pada mesyuarat FOMC (Federal Open Market Committee) Rizab Persekutuan AS yang diadakan pada 27 Julai lalu, kadar faedah utama mereka telah dinaikkan sebanyak 75 mata asas lagi. Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell bercakap di penghujung mesyuarat itu cuba meyakinkan semua orang bahawa pihak penggubal dasar itu masih lagi mengekalkan pendirian hawkish mereka. Ini bermaksud pihak Rizab Persekutuan sudah bersedia untuk mempercepatkan kenaikan kadar faedah jika perlu. Walau bagaimanapun, pasaran tidak percaya dengan kata-kata Powell dan beralih kepada pasaran saham sebagai reaksi terhadap hasil mesyuarat FOMC itu.

    Sesetengah penganalisis tidak menolak bahawa kemuncak kadar inflasi di AS sudah pun berlalu. Pendorong utama kenaikan kadar itu adalah harga bahan api yang tinggi seperti yang dinyatakan di atas. Walau bagaimanapun, bacaan Indeks Teras Harga Pengguna sudahpun berkurang sebanyak 0.6% sejak bulan Mac, walaupun kadarnya masih berada pada paras yang tinggi.

    Pasaran buruh juga semakin pulih. Kadar pengangguran di AS kekal berada di sekitar 3.6% sejak bulan Mac dan itu adalah satu indikator yang baik. Malah kadarnya lebih baik pada bulan Julai iaitu 3.5%. Manakala indikator penting seperti NFP, bilangan pekerjaan baru bukan dalam sektor agrikultur di AS yang dikeluarkan pada hari Jumaat, 5 Ogos dan diunjur sebanyak 250K, sebenarnya mencecah 528K. Hal ini berlaku walaupun hakikatnya jumlahnya itu adalah sebanyak 372K pada sebulan lalu.

    Jerome Powell berkata beliau tidak percaya dengan kegawatan ekonomi kerana pasaran buruh serta beberapa sektor ekonomi yang lain dalam keadaan yang agak kukuh. Ini bermaksud risiko untuk kadar inflasi terus naik lebih tinggi adalah lebih ketara berbanding risiko untuk gawat. Walau bagaimanapun, jika kadar inflasi menurun, dan kadar KDNK negara itu tidak menunjukkan dinamik positif yang meyakinkan, pendirian itu akan lebih berat untuk beralih kepada melonggarkan polisi kewangan Rizab Persekutuan. Kadar faedah utama itu sebelum ini dijangka mampu mencecah 3.4% menjelang akhir tahun akibat pengetatan polisi kewangan, malah mungkin naik lebih tinggi, sehingga 3.8% menjelang akhir tahun 2023. Buat masa ini pasaran sedang bersedia dengan hakikat bahawa pihak FOMC mungkin tidak akan menaikkan kadarnya sebanyak 0.75%, tetapi hanya 0.50% untuk bulan September, dan tidak menaikkan terus kadarnya itu pada bulan November, serta kembali semula dengan program pelonggaran kuantitatif (QE) sama sekali pada tahun 2023.

    Sementara situasi di AS dilihat lebih baik berbanding jangkaan, menurut data terkini, keadaannya adalah lebih teruk di Eropah. Jualan runcit di Jerman turun kepada negatif 8.8% bagi tempoh tahun ke tahun, walaupun jumlahnya menunjukkan kenaikan kepada +1.1% sebulan yang lalu. Secara keseluruhan, gambaran di Eurozone dilihat agak membimbangkan: indikator yang sama susut daripada +0.4% kepada -3.7% (berbanding -1.7% yang diunjur). Ini disebabkan oleh hakikat bahawa masyarakat di sana kurang memahami apa yang bakal mereka hadapi dalam masa terdekat nanti. Orang ramai takut dengan kenaikan harga yang lebih tinggi, terutama sekali disebabkan oleh masalah bekalan sumber tenaga dari Rusia. Manakala peperangan antara Rusia dan Ukraine yang semakin menegang dan berkemungkinan tiba di EU juga tidak membangkitkan sifat optimis. Tidak perlulah untuk kita bincangkan mengenai kebimbangan jika Rusia menggunakan senjata nuklearnya.

    Setelah data positif dari pasaran buruh AS dikeluarkan pada hari Jumaat, 5 Ogos, kedudukan nilai dolar agak kukuh, dan kadar pasangan EUR/USD ditutup pada paras 1.0180 setelah tempoh lima hari berakhir. Seperti seminggu yang lalu, 45% penganalisis bersetuju dengan hakikat bahawa ia masih akan menembusi sempadan bawah saluran antara 1.0100-1.0270, 45% lagi menunjukkan pertumbuhan ke atas dan baki 10% pula - terus bergerak mendatar. Bagi pengayun pada D1, 25% memihak kepada bear, 60% memihak kepada bull, dan 15% lagi berpendirian neutral. Isyarat yang lebih jelas ditunjukkan oleh indikator trend: 90% menunjukkan penurunan dan hanya 10% menjangkakan pertumbuhan ke atas.

    Sokongan paling hampir buat pasangan EUR/USD berada di zon 1.0150, kemudian 1.0100-1.0120, sudah tentu paras 1.0000 selepas itu. Setelah berjaya mencapainya, bear akan mensasarkan paras terendah pada 14 Julai lalu iaitu 0.9950, kedudukan lebih rendah adalah zon rintangan/sokongan kukuh pada tahun 2002 di antara 0.9900-0.9930. Tugas penting buat bull yang seterusnya adalah untuk melepasi paras rintangan 1.0200, selepas itu mereka perlu naik ke zon antara 1.0250-1.0270. Sasaran berikutnya ialah untuk kembali ke zon antara 1.0400-1.0450, diikuti dengan 1.0520-1.0600 dan zon 1.0650-1.0750.

    Untuk peristiwa yang akan berlaku, data dari pasaran pengguna AS (CPI) yang akan dikeluarkan pada hari Rabu, 10 Ogos perlu diberi perhatian. Data ini akan menerima pakej tambahan pada hari Khamis dan Jumaat: 11 Ogos - Indeks Harga Pengeluar (PPI) dan 12 Ogos - Indeks Keyakinan Pengguna University of Michigan di AS. Bagi berita dari Eropah pula, kadar Indeks Harga Pengguna Terlaras di Jerman akan dikeluarkan pada 10 Ogos.

GBP/USD: Bank of England: Tiada Perkara Sensasi Berlaku

  • Perkara penting pada minggu lalu sudah pastinya adalah mesyuarat Bank of England (BOE) yang diadakan pada hari Khamis, 4 Ogos. Ia sepatutnya penting, tetapi rupanya tidak. Sesetengah pelabur berharap agar penggubal dasar itu mengambil langkah terdesak dan menaikkan kadarnya sebanyak 150 mata asas terus. Jika berlaku, ianya akan memintas kadar semasa dolar (2.50%) yang mungkin akan menjadi hujah bermakna dalam pengukuhan nilai mata wang British. Namun, perkara sensasi itu tidak menjadi kenyataan. Bank of England hanya menaikkan kadarnya sebanyak 0.50%, menjadikan kadar keseluruhan sebanyak 1.75%, kadar yang telah diambil kira oleh pasaran dalam sebut harganya.

    Minit mesyuarat Jawatankuasa Polisi Kewangan (MPC) juga ternyata agak membosankan. Jika ada salah seorang daripada 9 orang ahlinya yang ingin menaikkan kadar mereka sebanyak 75 mata asas, ia mungkin dilihat sebagai satu perkembangan positif terhadap pound. Namun sebaliknya yang berlaku: kadarnya hanya mahu dinaikkan sebanyak 25 mata asas, dan ia memberi lebih banyak tekanan kepada mata wang British itu. Namun, jelas seperti yang ditunjukkan dalam minit mesyuarat, kesemua 9 orang ahli Jawatankuasa itu sebulat suara bersetuju untuk menaikkan kadarnya sebanyak 50 mata asas.

    Unjuran ekonomi yang disemak semula ternyata agak suram, dan kenyataan pengurusan BOE selepas berakhir mesyuarat adalah bersifat dovish dan tidak jelas. Menurut ketua Bank of England iaitu Andrew Bailey, kenaikan kadar semasa sebanyak 50 mata asas tidak bermakna pihak bank akan menaikkan dengan jumlah yang sama pada setiap mesyuarat berikutnya. “Kadar faedah tidak akan kembali seperti kadar sebelum berlakunya krisis kewangan,” kata Andrew Bailey secara samar-samar. “Kita tidak akan tahu berapakah kadar faedah yang dianggap normal kelak.” Ketua pakar ekonomi iaitu Hugh Pill menambah keadaan samar itu dengan berkata “keseimbangan tahap kadar faedah sangatlah tidak menentu."

    Akibat ketiadaan sebarang penanda aras, pasangan GBP/USD kembali ke kawasan tengah antara paras 1.2064 dan 1.2214 pada hari Khamis, 4 Ogos, julat turun naik yang sering dilaluinya. Pada hari Jumaat, disebabkan oleh berita dari pasaran buruh AS, kedudukannya turun ke paras sokongan 1.200 yang kukuh, dan berakhir pada paras 1.2070.

    Menurut satu pertiga daripada penganalisis, minggu lalu tidak memberi sebarang kesan yang baik kepada pound, maka kedudukan pasangan ini akan terus jatuh. Pandangan bertentangan juga diberi oleh satu pertiga lagi penganalisis, dan baki satu pertiga pula kekal neutral. Bacaan indikator pada D1 adalah seperti berikut. Dalam kalangan indikator trend, nisbah yang memihak kepada warna merah adalah 90% kepada 10%. Dalam kalangan pengayun, hanya 35% memihak kepada bear, 25% menjangkakan pertumbuhan, 40% lagi berpendirian neutral.

    Sokongan paling dekat berada pada paras antara 1.2000-1.2025, diikuti dengan zon antara 1.1875-1.1925. Lebih rendah lagi adalah paras 1.1800, paras terendah pada 14 Julai lalu iaitu 1.1759, kemudian 1.1650, 1.1535 dan paras terendah Mac 2020 di zon antara 1.1400-1.1450. Bagi bull pula, mereka akan menemui rintangan di zon dan paras 1.2100-1.2130, 1.2170-1.2215, 1.2245, 1.2280-1.2325 dan 1.2400-1.2430.

    Untuk berita makro yang akan dikeluarkan di UK, perhatian boleh diberikan pada hari Jumaat, 12 Ogos. Data kadar KDNK negara itu serta penghasilan dalam industri pembuatan di UK akan dikeluarkan pada hari tersebut.

USD/JPY: Kadar Kecairan Tinggi, Jangkaan Neutral

  • Melihat pada carta, julat antara 134.60-137.00 dianggap menarik oleh bull dan bear pasangan USD/JPY. Pasangan ini didagangkan dalam julat itu daripada pertengahan Jun sehinggalah awal Julai, dan ia kembali berada di situ pada penghujung minggu lalu. Setelah memulakan sesi hari Isnin, 1 Ogos pada paras 133.31, pasangan ini mencecah paras terendah mingguannya di kedudukan 130.37 keesokan harinya. Ia diikuti dengan perubahan arah pergerakan dan dolar mula mendapatkan semula kerugian dengan aktif. Hasilnya, kedudukan terakhir pasangan ini berada pada ketinggian 135.00.

    Untuk prospek mata wang Jepun, jangkaan para penganalisis dilihat agak neutral, sama seperti pasangan sebelum ini. 45% daripada mereka menantikan kejayaan baru pasangan ini ke atas, 45% lagi berharap trend menurun terus berlaku, baki 10% pula menyatakan tentang pergerakan mendatar. Gambaran ini dilihat agak berbeza dengan bacaan indikator pada D1 dan lebih kepada pelbagai arah. Nisbah indikator trend yang memihak kepada warna hijau adalah 85% kepada 15%. Pengayun pula adalah sebaliknya: 60% menunjukkan pertumbuhan, 40% menunjukkan pergerakan mendatar, manakala bilangan penyokong trend ke bawah adalah 0%.

    Nilai penurunan yang mungkin serta julat zon sokongan/rintangan telah naik mendadak akibat kadar kecairan pasangan ini yang teramat tinggi. Sokongan berada pada paras dan zon 134.75, 134.25, 132.60-133.15, 131.50, 130.40, 128.60 dan 126.35-127.00. Rintangan berada pada paras 136.35-137.00, 137.45, 137.90-138.40, 138.50-139.00, diikuti dengan paras tertinggi 14 Julai lalu iaitu 139.38 serta paras bundar yang disasarkan bull iaitu 140.00 dan 142.00.

    Tiada sebarang berita penting berkenaan ekonomi Jepun yang dijangka akan dikeluarkan pada minggu ini. Satu perkara yang perlu diingat ialah hari Khamis, 11 Ogos adalah hari cuti umum, Jepun menyambut Hari Gunung. Ini adalah hari cuti yang baru diperkenalkan; ia dimulakan pada tahun 2014 sebagai inisiatif organisasi alam sekitar serta pelancongan bagi menyokong rasa cinta rakyat negara itu terhadap alam sekitar di negara mereka dan memberikan rakyat Jepun “peluang untuk mengenali gunung-ganang dan merasakan nikmat yang terpancar daripadanya." 

MATA WANG KRIPTO: Orang Berpengaruh Bercakap Tentang Musim Kebangkitan Kripto yang Panjang

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 08 - 12 Ogos, 20221

  • Harga bitcoin turun ke paras $17,595 pada 18 Jun, sama seperti paras pada Disember 2020 dan hampir 75% kurang daripada nilai tertinggi dalam sejarahnya iaitu $68,918. Pasangan BTC/USD perlahan-lahan merangkak naik daripada saat itu, menunjukkan siri pendakian ke paras tertinggi serta penurunan ke paras terendah sepanjang 7 minggu. Disamping itu, kadar turun naik pasangan ini meningkat perlahan-lahan: jika kadarnya adalah kira-kira $3,150 pada awalnya, jumlah itu adalah melebihi $4,000 pada penghujung Julai.

    Pertikaian masih belum reda tentang apa yang berlaku pada 18 Jun sepanjang sebulan setengah lalu: adakah bitcoin sudah mencecah paras terendahnya? Adakah sekarang ini hanya pertengahan musim dingin kripto saja, dan musim dingin yang sebenarnya masih belum tiba lagi? 

    Semasa ulasan ini dibuat, pada petang Jumaat, 5 Ogos, jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah sebanyak $1.089 trilion ($1.098 trilion pada minggu lalu), manakala kadar Indeks Fear & Greed Kripto masih berada di zon Fear, pada bacaan 31 mata (39 mata pada minggu lalu). Pasangan BTC/USD didagangkan di zon $22,900.

    Menurut penganalisis di Arcane Research, jika nilai bitcoin kekal berada di paras $20,700, nilai itu akan berada dalam lingkungan $27,000-$28,000 tidak lama lagi. Namun “jika nilai bitcoin turun di bawah paras $20,700, itu akan menandakan penurunan ke paras terendah. Ini adalah isyarat bearish dalam konteks analisis teknikal.” Arcane Research menekankan bahawa banyak perkara bergantung kepada dinamik pasaran saham yang mana nilai bitcoin berkorelasi dengan rapat. Dinamik kadar faedah utama Rizab Persekutuan juga memainkan peranan penting. “Kenaikan kadar faedah menambah lagi kos permodalan dan justeru mengakibatkan harga saham jatuh. Saham-saham syarikat teknologi paling banyak menyusut. Semakin tinggi modal institusi meningkat, semakin rapat bitcoin dikaitkan dengan pasaran kewangan tradisional,” jelas para penganalisis itu. Menurut mereka, jika pasaran saham terus jatuh, trend menurun emas digital itu akan terus berlaku. (Sila maklum bahawa indeks S&P500 buat masa ini didagangkan di sekitar zon rintangan/sokongan 4.100-4.150 yang penting. Namun menurut Goldman Sachs, pasaran saham AS sedang menuju ke arah satu lagi jualan besar-besaran.)

    Glassnode juga tidak pasti dengan momentum berterusan bitcoin untuk pulih. Kenaikan harga BTC dan Ethereum baru-baru ini tidak datang sekali dengan bacaan indikator dalam rantaian yang lebih baik secara fundamental. Hal ini juga tidak memberi keyakinan dalam perubahan situasi pasaran secara fundamental, para penganalisis di syarikat tersebut percaya.

    Jumlah alamat bitcoin yang aktif kekal berada dalam saluran trend menurun. Dengan lonjakan mendadak yang hanya berlaku seketika semasa tempoh penurunan dikecualikan, aktiviti dalam rangkaian masih lagi rendah. Ini menunjukkan influks permintaan baru yang agak kecil. Trend yang sama dapat dilihat dalam blockchain Ethereum. Walaupun dengan pergerakan harga yang kukuh baru-baru ini, beban yang dialami rangkaian dari segi bilangan transaksi telah menyusut berkurang dengan sistematik sejak Mei 2021 ke paras paling rendah sejak musim panas 2020.

    Lonjakan aktiviti telah berlaku sejak beberapa minggu ini, dan para penganalisis mengaitkannya dengan konsolidasi coin ke dalam walet. Mereka menjelaskan bahawa mereka mungkin akan berubah fikiran jika trend ini terbukti mampan. Penganalisis Glassnode sebelum ini memberi amaran ia mungkin mengambil masa untuk asasnya terbentuk dengan kukuh. Hal ini dibuktikan oleh indikator jangka panjang seperti URPD. Bagi menambah peluang untuk arah pergerakan pasaran berubah, penting untuk melihat kepada perubahan coin spekulatif bertukar menjadi kategori sesuatu “yang disimpan oleh pelabur jangka panjang” (dalam kata lain, “usia” coin daripada waktu pembelian mestilah melebihi 155 hari).

    Bank of America menjangkakan jumlah pengeluaran bitcoin daripada platform mata wang kripto ke dalam walet selamat adalah kira-kira $508 juta, Ethereum kira-kira $381 juta (data daripada 2 Julai sehingga 1 Ogos). Nilai bitcoin telah naik sebanyak 19% pada sepanjang tempoh itu, nilai Ethereum pula - sebanyak 56%. Walau bagaimanapun, kesimpulan yang dibuat oleh para penganalisis dari bank itu dilihat lebih optimis berbanding rakan sejawat mereka di Glassnode. Pada pendapat mereka, pertambahan aliran keluar mata wang kripto daripada bursanya serta pertumbuhan aliran masuk bersih ke dalam coin stabil adalah petunjuk kepada momentum pasaran bullish. Dalam masa yang sama, Bank of America maklum dengan “tekanan penjual yang semakin berkurang” dan juga peralihan inisiatif kepada pembeli aset digital. Penganalisis juga menekankan tentang kemampanan trend, walaupun pada hakikatnya pihak Rizab Persekutuan menaikkan kadar utamanya sebanyak 0.75% pada 27 Julai.

    Seperti kebanyakan ahli-ahli dalam komuniti kripto, pedagang dan juga pelabur iaitu Bob Loukas bersetuju dengan pengurangan penghasilan sebagai pendorong dalam trend pasaran. Pengurangan seterusnya dijangka berlaku pada tahun 2024 pada blok bernombor 840,000. Menurut Bob Loukas, apabila bitcoin mencecah paras tertinggi dalam sejarahnya yang baru, pasaran aset digital mungkin akan jatuh dan berada dalam “musim dingin sebenar” pada tahun 2026.

    Mengikut model yang beliau hasilkan, pergerakan pasaran bitcoin boleh diukur dalam kitaran 16 tahun, mengandungi empat kitaran mikro sepanjang 4 tahun setiap satunya. Dalam hal ini, kitarannya perlu dikira bermula daripada paras paling rendah yang pertama sehingga paras paling rendah yang seterusnya. “Walaupun sukar untuk dipercayai, secara teorinya, paras terendah pada tahun 2026 nanti mungkin adalah lebih rendah berbanding pada tahun 2022,” pelabur itu berkata.

    Mark Yusko, rakan kongsi pengurusan di Morgan Creek Digital bersetuju dengan naratif mata wang kripto utama akan melalui kitaran bersifat spekulasi. Pada pendapat beliau, BTC kini berada dalam bahagian “kebangkitan” kitaran semasa dan membentuk asas untuk “lonjakan” bull yang seterusnya, ia dijangka akan berlaku sejurus sebelum pengurangan penghasilan pada 2024. “Saya berpendapat, kebangkitan kripto telah bermula,” jelas Yusko. “Jika melihat pada dua kitaran sebelum ini, kita akan mendapati jumlah hari yang sama dalam kitaran sebelum bermulanya kebangkitan dan juga berakhirnya musim dingin. Kebangkitan kripto boleh berterusan selama berbulan-bulan, dan kita tidak perlukan pasaran bull buat masa sekarang. Apabila kita berada dalam lonjakan kripto, kita akan dapat lihat lonjakan bull yang seterusnya dan ia dijangka akan berlaku semasa penghasilannya dikurangkan pada tahun 2024.”

    Menurut CEO Morgan Creek Digital, struktur pasaran bitcoin sekarang menunjukkan kepada proses pengakhiran krisis. “Setakat ini saya belum bersedia untuk mengatakan dengan yakin sama ada coin ini telah mencecah paras terendahnya,” kata pelabur itu. “Namun jika anda mengingat semula, anda dapat lihat bahawa bitcoin telah mencecah beberapa paras terendah dan tertinggi yang luar biasa. […] Itu adalah trend bullish yang agak baik, dan kebangkitan kripto mungkin boleh berlaku.”

    Mark Yusko juga percaya bahawa harga semasa mata wang kripto pertama ini adalah tidak sesuai. Beliau berpendapat, walaupun penganalisis menjangkakan nilainya mungkin akan turun di bawah $18,000, “nilai sesuai” coin tersebut seharusnya adalah kira-kira $30,000 buat masa ini, dan ia boleh naik kepada $250,000 menjelang tahun 2026.

    Seperti Mark Yusko, Anthony Scaramucci, pengasas dan juga rakan pengurusan SkyBridge Capital merasakan setelah pasaran jatuh akibat syarikat Three Arrows, Celsius dan Voyager yang menjadi muflis, perkara paling teruk untuk saat “bearish” dalam sektor kripto sudah pun berakhir. Beliau juga turut menunjukkan pada tahun 2026, memberi amaran bahawa tempoh pelaburan dalam aset digital seharusnya paling tidak adalah 4 atau 5 tahun. Bagi “nilai sesuai” untuk bitcoin, pada pendapat beliau, ia seharusnya berada di sekitar $40,000.

    Seorang lagi pengurus terkenal, CEO Pantera Capital iaitu Dan Morehead berkongsi pendapat yang sama. Seperti rakan sejawatnya, beliau percaya bahawa krisis yang melanda pasaran aset digital hampir berakhir. Masih terdapat banyak syarikat-syarikat yang berada dalam proses pembubaran akibat muflis di makhamah. Walau bagaimanapun, proses paling besar telah pun berlaku pada bulan Mei dan Jun lalu, ketika tekanan ke atas industri ini sedang memuncak. “Saya merasakan kita sudah hampir berada di penghujung krisis pasaran. Pasaran telah jatuh hampir lapan bulan sekarang. Kami perhatikan manifestasi krisis paling teruk berlaku pada bulan November, Mei dan Jun. Nampaknya kita telah melihat apa yang perlu dilihat,” jelas CEO Pantera Capital itu.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami