September 10, 2022

EUR/USD: Dua Peristiwa Penting Minggu Lalu

  • Dua perkara penting telah berlaku pada minggu lalu. Pertama, pasangan EUR/USD sekali lagi telah memperbaharui paras terendahnya selama 20 tahun pada hari Selasa, 6 September, turun ke paras 0.9863. Kemudian, Bank Negara Kesatuan Eropah telah menaikkan kadar faedah mereka buat kali pertama sebanyak 75 mata asas (bp) menjadi 1.25% pada hari Khamis, 8 September, serta memberikan komen-komen bersifat hawkish semasa melaksanakannya.

    Boleh kami katakan bahawa kedua-dua perkara itu tidaklah mengejutkan pasaran, dan secara keseluruhannya, ia adalah seiring dengan ramalan yang kami berikan pada ulasan sebelum ini. Kedudukan pasangan ini yang pulih dan bergerak ke atas akibat keputusan pihak ECB juga tidak memberi sebarang kejutan. Setelah naik kira-kira 250 mata, kedudukan tertingginya dicapai pada 9 September pada paras 1.0113. Ia diikuti dengan pembetulan ke atas, dan kedudukan terakhir pasangan ini berada pada paras 1.0045.

    Walaupun dengan tindakan bersifat hawkish seperti itu, kedudukan pihak ECB masih lagi jauh daripada Rizab Persekutuan AS: kadar faedah semasa dolar adalah 2.50%, betul-betul dua kali lebih tinggi daripada euro. Namun bukan itu saja. Jika mesyuarat bulan September penggubal Kesatuan Eropah itu sudah pun berlalu, mesyuarat untuk rakan sejawat mereka di Amerika masih lagi belum berlangsung. Jika pihak FOMC (Federal Open Market Committee) Rizab Persekutuan menaikkan kadar mereka sekali pada 21 September nanti, nilai dolar akan terus berada di hadapan. Kadar kebarangkalian untuk kenaikan itu adalah hampir 100%.

    Masih agak sukar untuk menjangkakan apakah tindakan yang bakal diambil oleh kedua-dua Bank Persekutuan pada bulan Oktober nanti. Namun dapat dirasakan mungkin pihak ECB akan mengurangkan sedikit pendirian hawkish mereka, sekurang-kurangnya untuk sementara waktu, bagi memahami lebih dalam kesan kenaikan kadar faedah terhadap inflasi dan juga keadaan ekonominya. Faktor krisis tenaga yang berlaku di Eropah akibat sekatan anti-Rusia masih belum dapat membantu euro. Walau bagaimanapun, pucuk pimpinan Kesatuan Eropah sedang mengambil langkah aktif bagi mengurangkan kadar kebergantungan mereka dengan Rusia menjelang musim sejuk yang akan tiba tidak lama lagi. Melihat kepada hakikat bahawa kadar pertumbuhan KDNK yang dikeluarkan pada 7 September lalu adalah lebih tinggi berbanding nilai sebelum dan kadar unjurannya (4.1% berbanding 3.9%), situasi stagflasi mungkin dapat dielakkan.

    Semasa ulasan ini dibuat pada petang Jumaat, 9 September, perbezaan pendapat para penganalisis adalah seperti berikut. 55% penganalisis bersetuju dengan hakikat bahawa pasangan EUR/USD akan terus menyusut dalam masa terdekat ini, 30% bersetuju dengan pengukuhan nilai euro serta pertumbuhan kadarnya, manakala baki 15% lagi menjangkakan trend mendatar di sepanjang Pivot Point 1.0000. Bacaan indikator pada D1 tidak memberikan isyarat yang jelas. Dalam kalangan indikator trend, nisbah perbezaannya adalah 50% kepada 50%. Dalam kalangan pengayun, warna hijau memiliki sedikit kelebihan, 50%, 35% berwarna merah, dan 15% lagi berwarna kelabu neutral.

    Julat dagangan penting untuk tiga minggu lalu adalah di antara 0.9900-1.0050. Dengan mengambil kira gangguan yang berlaku di kedua-dua arah, julatnya menjadi semakin besar, iaitu 0.9863-1.0113. Sokongan kukuh selepas zon 0.9860 berada di sekitar 0.9685. Paras rintangan dan sasaran bull adalah seperti berikut: 1.0130, kemudian 1.0254, sasaran seterusnya berada di sekitar 1.0370-1.0470.

    Terdapat agak banyak peristiwa penting yang akan berlaku pada minggu depan. Kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) di Jerman dan AS akan dikeluarkan pada hari Selasa, 13 September. Kadar CPI adalah satu indikator untuk mengira kadar inflasi pengguna dan ia menggambarkan perubahan paras harga kumpulan barangan dan perkhidmatan untuk bulan Ogos. Indeks Sentimen Ekonomi ZEW di Jerman untuk bulan September akan diketahui pada hari yang sama. Sekumpulan statistik ekonomi yang lain akan dikeluarkan pada hari Rabu, 14 September dan Khamis, 15 September iaitu Indeks Harga Pengeluar (PPI) serta data jualan runcit dan kadar pengangguran di AS. Kami menunggu data CPI di Eurozone untuk dikeluarkan, serta kadar Indeks Keyakinan Pengguna University of Michigan di AS pada penghujung minggu bekerja, pada hari Jumaat, 16 September.

GBP/USD: Anti Rekod Pound British

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 12 - 16 September, 20221

  • Kami berikan judul “Menuju Ke Paras Terendah Sejak 37 Tahun Lalu” untuk ulasan GBP/USD sebelum ini. Jika diingat paras terendah pada Mac 2020 (1.1409-1.1415) adalah menyamai paras terendah pada 37 tahun yang lalu. Kini, unjuran untuk mata wang British yang menyakitkan hati ini telah menjadi kenyataan: pasangan ini mencecah paras terendah mingguannya dengan berada di sekitar 1.1404 pada 7 September, memecahkan anti-rekod yang dicapai pada tahun 2020. Kemudian euro menarik mata wang yang lain ke atas setelah nilainya bertambah kukuh berbanding dolar, dan ini termasuklah pound. Hasilnya, kadar GBP/USD naik kepada 1.1647, dan mengakhiri sesi dagangan lima hari pada paras 1.1585.

    Peristiwa penting yang berlaku pada 7 Ogos adalah penerbitan Laporan Kadar Inflasi di UK dan juga ucapan oleh ahli-ahli Jawatankuasa Polisi Kewangan, diterajui oleh ketua Bank of England iaitu Andrew Bailey. Seperti dijangka, pegawai rasmi itu menegaskan semula mengenai komitmen mereka dalam mengetatkan polisi kewangannya (QT). Kenyataan itu mengukuhkan lagi jangkaan pasaran mengenai kenaikan kadar yang mungkin dibuat oleh penggubal dasar tersebut daripada 1.75% kepada 2.50% semasa bermesyuarat pada bulan September. Mesyuarat ini sebenarnya dijadual akan berlangsung pada Khamis ini. Namun, disebabkan negara itu masih berkabung atas kemangkatan Ratu Elizabeth II, ia ditunda seminggu lagi dan akan bersidang pada 22 September, setelah pihak Rizab Persekutuan AS membuat keputusan mengenai kadar mereka.

    Jika kadar faedah ke atas pound yang dijangka naik benar-benar menjadi kenyataan, ia akan memberi tekanan yang lebih besar terhadap ekonomi UK, kini ianya sudahpun berada dalam keadaan membimbangkan. UK sudah pun berada di tengah-tengah kegawatan dan kadar inflasinya akan mencecah 14% pada tahun ini, menurut Dewan Perniagaan British (BCC). Menurut Goldman Sachs, kadar itu boleh mencecah 22% menjelang akhir tahun 2023 yang akan mendorong kepada kelembapan berlarutan ekonominya serta penyusutan ekonomi melebihi 3.5%. Penyelia sumber tenaga di British iaitu Ofgem telah mengumumkan bahawa purata bil penggunaan tenaga elektrik isi rumah tahunan akan naik sebanyak 80% bermula Oktober ini. Manakala menurut Financial Times, jumlah isi rumah yang hidup di bawah paras kemiskinan akan naik lebih dua kali ganda pada Januari dan mencecah 12 juta orang.

    Sudah tentu para pelabur berasa amat bimbang mengenai sama ada perdana menteri baru, Liz Truss akan mampu menangani situasi menyedihkan yang dihadapi oleh ekonomi negara itu. Setelah gagal untuk pulih daripada Brexit dan juga pandemik COVID-19, United Kingdom kini berhadapan dengan kadar inflasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini, penurunan kuasa membeli para penduduknya serta kejatuhan nilai mata wang negara itu.

    Unjuran median untuk minggu hadapan dilihat agak neutral. Satu pertiga daripada penganalisis berpihak kepada bull, satu pertiga lagi dengan bear, manakala baki satu pertiga pula berpendirian neutral. Bacaan indikator pada D1 kebanyakannya berwarna merah. Dalam kalangan indikator trend, nisbah yang memihak kepada warna merah adalah 70% berbanding 30%. Untuk pengayun, 65% menunjukkan penurunan dan 35% menunjukkan pergerakan mendatar. Tiada pengayun yang memberikan isyarat akan berlakunya pertumbuhan.

    Untuk bull, ia akan bertemu rintangan di zon dan paras 1.1600, 1.1650, 1.1720, 1.1800, 1.1865-1.1900, 1.2000, 1.2050-1.2075, 1.2160-1.2200. Selain daripada zon di antara 1.1475-1.1510, sokongan terdekat adalah paras terendah 7 September lalu iaitu 1.1404. Kita hanya boleh meneka paras yang lebih rendah untuk pasangan ini berada. Melihat kepada peningkatan kadar kemeruapan, mungkin tidak berbaloi untuk memfokuskan kepada nilai bundarnya, atau paras Fibonacci, atau mana-mana nilai daripada analisis grafik.

    Berkenaan dengan statistik ekonomi di United Kingdom, data kadar KDNK serta kadar pengeluaran di negara itu akan diketahui pada hari Isnin, 12 September, manakala data penggajian serta kadar pengangguran di negara tersebut akan dikeluarkan pada hari Selasa, 13 September. Kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) akan dikeluarkan pada hari Rabu, 14 September, dan data jualan runcit di UK akan diketahui pada hari Jumaat, 16 September. Sumber bagi kesemua data-data ini adalah daripada Jabatan Statistik Negara, maka tarikh untuk penerbitannya tertakluk kepada perubahan disebabkan berkabung untuk Ratu Elizabeth II.

USD/JPY: Pasangan Ke Bulan

  • Kadar USD/JPY naik ke paras yang tinggi iaitu 140.79 pada 2 September lalu, justeru memecahkan rekod untuk paras tertingginya selama 24 tahun. Kebanyakan penganalisis menunggu untuk berlakunya kenaikan lebih tinggi serta memperbaharui paras tertingginya berbanding minggu lalu. Apa yang berlaku adalah seperti berikut: pasangan ini naik ke paras 144.85 pada hari Rabu, 7 September. Kedudukan terakhir mingguannya adalah sedikit rendah, pada paras 142.65.

    Menerangkan sebab mengapa perkara ini berlaku adalah sangat mudah dengan arahan Copy Paste pada papan kekunci, cukup dengan mengambil mana-mana ulasan kami untuk beberapa tahun sebelum ini. Itulah yang kami lakukan sekarang. Jadi, puncanya masih lagi sama: perbezaan polisi kewangan antara Bank of Japan (BOJ) dan bank-bank persekutuan utama yang lain, terutama sekali pihak Rizab Persekutuan AS. Tidak seperti bank Amerika yang bersifat hawkish, penggubal dasar Jepun itu masih ingin meneruskan polisi mereka yang amat longgar, dengan bertujuan untuk merangsang ekonomi negara tersebut menerusi pelonggaran kuantitatif (QE) serta kadar faedah negatif (-0.1%). Situasi pertumbuhan kadar ini tidak akan berubah sehinggalah pihak BOJ menaikkan kadar faedah mereka.

    Mengapa pula Bank Negara Jepun harus menaikkan kadarnya? Data kadar KDNK (Q2) yang dikeluarkan untuk negara itu dilihat agak baik: indikator tersebut menunjukkan peningkatan daripada 0.5% kepada 0.9%, dan nilai yang diunjur adalah 0.7%. Memang benar, kadar inflasi di Jepun telah melebihi sasarannya iaitu 2%, dan itu sesuatu yang teruk. Namun kadar itu tersangatlah rendah jika dibandingkan dengan kadar inflasi di US, Eurozone atau UK. Maka tidak ada apa yang perlu dirisaukan di sini. Menteri Kewangan Jepun iaitu Shunichi Suzuki berkata bahawa kenaikan harga akan berakhir bukan disebabkan oleh pengetatan polisi kewangan, tetapi adalah sebaliknya, dengan menyuntik dana berjumlah 5.5 bilion yen daripada rizab belanjawan mereka. Selain itu, menteri tersebut juga berkata bahawa beliau “memantau rapat pergerakan kadar tukaran”, dan “sangat penting untuk ia bergerak dengan stabil” serta “tidak menginginkan pergerakan mendadak mata wang itu."

    Haruhiko Kuroda, Gabenor Bank of Japan menyatakan perkara yang hampir sama, pada petang Jumaat, 9 September, setelah bertemu dengan Perdana Menteri Fumio Kishida. Kenyataan penting yang beliau ucapkan adalah seperti berikut: “Saya telah berbincang dengan Kishida tentang pasaran tukaran asing”, “Pergerakan mendadak kadar tukaran adalah sangat tidak diingini”, “Kami memantau dengan rapat pergerakan kadar tukaran."

    Kami tidak pasti tentang apa yang positif daripada kenyataan pegawai tinggi kerajaan ini, namun seperti yang pihak media laporkan, disebabkan oleh yen mendapat sokongan, kini 45% daripada penganalisis menjangkakan nilai yen akan terus mengukuh. 45% lagi kekal neutral, manakala hanya 10% yang menunggu pertumbuhan lebih tinggi kadar USD/JPY. Indikator pada D1 menunjukkan kelebihan sepenuhnya kepada warna hijau. Warna sama ditunjukkan oleh 100% pengayun, dalam kalangan indikator trend - 90% menunjukkan warna hijau, hanya 10% yang berwarna merah.

    Paras 143.75 adalah rintangan terdekat. Tugas No.1 bull adalah untuk memperbaharui paras tertinggi 7 September lalu dan berada di atas paras 145.00. Semasa musim bunga, apabila membuat analisis kadar pertumbuhan pasangan ini, kami menjangkakan kadarnya boleh mencecah paras tertinggi 150.00 pada bulan September. Nampaknya ia mula menjadi kenyataan. Sokongan pasangan ini berada pada paras dan zon 142.00, 140.60, 140.00, 138.35-139.05, 137.50, 135.60-136.00, 134.40, 132.80, 131.70.

    Tiada sebarang peristiwa penting mengenai situasi ekonomi di Jepun yang dijangka akan berlaku pada minggu hadapan.

MATA WANG KRIPTO: Minggu Penting dalam Kalendar

  • Satu lagi gelombang jualan telah berlaku pada minggu lalu. Nilai bitcoin menghampiri paras terendah pada 19 Jun lalu ($17,600), turun kepada $18,543 pada 7 September. Pada masa yang sama, nilai Ethereum berada di bawah paras $1,500, kedudukan bagi paras rintangan/sokongan yang kuat, dan merekodkan $1,488 sebagai paras terendah mingguannya. Sebab utama kepada berlakunya dinamik ini adalah retorik Rizab Persekutuan AS yang bersifat hawkish, dan hasilnya, nilai mata wang AS menjadi lebih kukuh. Walau bagaimanapun, melihat kepada mesyuarat ECB selepas itu, kadar kedua-dua coin kembali pulih sepenuhnya, dan malah nilai sebutnya semakin bertambah. Semasa ulasan ini dibuat pada petang Jumaat, 9 September, nilai dagangan kedua-duanya adalah seperti berikut: $21,275 untuk BTC/USD, $1,715 untuk ETH/USD. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto naik sedikit dan berada di atas paras psikologi $1 trilion pentingnya iaitu sebanyak $1.042 trilion ($0.976 trilion minggu lalu). Kadar Indeks Fear & Greed Kripto turun sebanyak 3 mata lagi dalam tempoh tujuh hari daripada 25 kepada 22 dan berada di zon Extreme Fear.

    Mengikut servis TradingView, nisbah antara nilai ethereum dan bitcoin telah bertambah ke paras tertingginya untuk tahun 2022. Kedudukannya berada pada paras 0.0843 pada petang 6 September. Kali terakhir nisbahnya berada setinggi itu adalah pada Disember 2021. Nilai 1 BTC adalah kira-kira 12.4 ETH jika mengikut harga semasa.

    Komuniti ETH telah mengaitkan pertumbuhan kadar indikator ini dengan penggabungan rangkaian yang akan dilaksanakan tidak lama lagi. Kebanyakan pengguna sudah hampir setahun membincangkan tentang revolusi yang lambat laun akan berlaku dalam tandem ini. Kemudian ethereum akan memintas bitcoin dari segi nilai dan juga jumlah permodalannya. Jika diingat rangkaian ethereum dijadual akan dikemas kini dari 13 hingga 20 September. Penggabungan ini mungkin adalah antara perkara paling penting dalam industri mata wang kripto untuk tahun 2022. Ini kerana ia akan membawa beberapa perubahan penting kepada cara rangkaiannya berfungsi. Paling utama adalah pengurangan penggunaan tenaga sebanyak 99.99% serta penurunan kadar penyebaran coin ETH.

    Menurut sebilangan penganalisis, jika peralihan rangkaian Ethereum 2.0 serta pelaksanaan mekasnisma Proof-of-Stake berjalan seperti yang dirancang, nilai altcoin ini boleh naik mendadak dan menarik keseluruhan pasaran ke atas bersama-samanya, terutama sekali seteru utamanya, bitcoin. Namun semua itu hanya akan berlaku jika semuanya berjalan lancar dan mengikut rancangan. Atau mungkin tidak. Berita yang tersebar pada hari Rabu, 7 September ialah rangkaian ethereum mengalami masalah selepas dikemas kini dengan Bellatrix. Blockchain itu melihat pertambahan mendadak dalam “bilangan blok yang terlepas,” istilah untuk frekuensi kegagalan rangkaian dalam memproses blok-blok transaksi yang telah dijadual  untuk disahkan. Jumlah ini bertambah kira-kira 1700%. Sebelum dikemas kini, jumlahnya adalah kira-kira 0.5%, dan jumlah itu menjadi 9% setelah kemas kini Bellatrix dipasang.

    Ketua Pegawai Strategi CoinShares iaitu Meltem Demirors percaya bahawa para pelabur tidak mengendahkan situasi umum yang berlaku di pasaran sekarang, di tengah-tengah kegilaan mengenai peralihan ETH kepada mekanisma PoS. Walaupun ada kelebihan yang boleh didapati daripada penggabungan rangkaian ethereum itu sendiri, belum pasti sama ada peralihan tersebut akan menarik masuk modal pelaburan yang banyak: “Sementara terdapat semangat membara dalam kalangan komuniti kripto mengenai penggabungan yang boleh mengurangkan bekalan dan meningkatkan permintaan dengan mendadak, realitinya adalah lebih membosankan: para pelabur berasa khuatir dengan kadar faedah dan juga indikator makro. Saya percaya bahawa modal besar yang baru mungkin tidak akan mengalir ke dalam ETH. Terdapat beberapa risiko yang perlu diambil kira dalam pasaran kerana proses penggabungan itu telah dijadikan alasan untuk membuat belian apabila khabar angin mula kedengaran dan membuat jualan apabila berita mula tersebar. Bagaimana risiko-risiko ini perlu diambil kira? Besar kemungkinan oleh pihak pelabur berinstitusi atau menerusi dagangan, bukan menerusi pembelian terus aset tersebut tetapi melalui opsyen.”

    Para penganalisis di portal u.today juga mengingatkan tentang statistik makro. Mereka maklum bahawa 13 September mungkin adalah tarikh yang penting, bukan saja kerana penggabungan rangkaian ethereum. Terdapat satu lagi faktor. Seperti yang kami nyatakan di atas, data baru daripada Indeks Harga Pengguna (CPI) di AS akan dikeluarkan pada hari yang sama. Menurut penganalisis itu, maklumat ini akan membantu para pelabur memahami apa yang terjadi kepada kadar inflasi di negara tersebut dan ia akan memberi kesan secara langsung kepada pasaran kewangan, termasuklah mata wang kripto. Jika kemas kini rangkaian itu tidak menimbulkan sebarang masalah dengan kadar kemeruapan, kecairan serta sekuriti, dan kadar CPI pula menunjukkan penurunan kadar inflasi, maka momentum bullish boleh dijangkakan, jika tidak pasaran kripto akan terus jatuh.

    Glassnode menjangkakan nilai BTC akan turun lagi ke paras sokongan di sekitar $17,000. Para penganalisis tidak mengecualikan gelombang penyusutan seperti itu daripada berlaku disebabkan oleh perkadaran coin “tidak menguntungkan” yang dimiliki spekulator (berdagang sejak 155 hari lalu) semakin meningkat. Kadarnya naik kepada 96% (3.11 juta BTC daripada 3.24 juta BTC). Keadaan ini menjadi lebih buruk akibat terhentinya lonjakan bearish dari 19 Jun sehingga 15 Ogos. Kenaikan harganya kepada $25,000 dan penyusutan nilai yang berlaku beberapa hari selepas itu menambah lagi separuh daripada rizab coin milik spekulator ke dalam kategori “tidak menguntungkan”.

    Untuk jangka masa terdekat ini, ujian tekanan oleh golongan spekulator inilah yang akan menentukan pelupusannya dalam pasaran kerana kebanyakan aktiviti dalam rantaian dijalankan oleh mereka. Perkara sama yang telah berlaku tiga kali sepanjang trend menurun sekarang ini mendorong kepada jualan dengan perancangan yang singkat dan seterusnya pembetukan paras terendah mingguan.

    Penganalisis Kevin Swenson bersetuju dengan pendapat Glassnode yang membimbangkan itu. Beliau juga memberi amaran mengenai bitcoin yang mungkin akan bergerak ke bawah. Nilai dolar AS melonjak naik ke paras tertingginya dalam masa 20 tahun, manakala nilai bitcoin turun di bawah paras sokongan menyerong yang telah mengekalkan kedudukan aset ini daripada berada di paras terendah bulan Jun iaitu $17,600, jelas Swanson. Swanson akui bahawa senario bearish akan terus berlaku kepada bitcoin kerana kadar indeks dolar DXY masih kuat lagi mengikuti trend ke atas.

    Seorang lagi penganalisis, Naeem Aslam percaya bahawa nilainya tidak akan turun ke paras $18,000 atau $15,000, tetapi lebih rendah, mungkin ke paras $12,000.

    Penganalisis kripto iaitu Nicholas Merten juga tidak mengecualikan nilai bitcoin akan turun ke paras sokongan yang kuat di antara $12,000-14,000 tidak lama lagi. Beliau membuat ramalan ini berdasarkan kepada nilai untung atau rugi belum terealisasi (NUPL) yang menunjukkan keadaan posisi para pemilik BTC. (Apabilan nilai NUPL melebihi 0, kebanyakan pelabur mendapat untung. Jika nilainya lebih rendah daripada 0, maka ramai pelabur yang mengalami kerugian).

    Dalam masa yang sama, Merten percaya bahawa pergerakan BTC akan gagal diramal kerana aset tersebut belum pernah didagangkan semasa berjalannya tempoh pengetatan polisi kewangan serta kenaikan kadar faedah. Beliau juga berasa ragu-ragu dengan permulaan segera pelonggaran kuantitatif (QE) oleh pihak Rizab Persekutuan AS seperti yang berlaku sebelum ini. “Saya ini maklumkan di sini,” tulis penganalisis itu, “bahawa belum pernah berlaku kegawatan sebanyak 50%, kadar pembetulan yang agak menyedihkan atau pasaran saham bearish dalam tempoh 10 tahun BTC didagangkan pada bursa. Pasaran bear yang biasa terjadi adalah di sekitar 20%, dan kemudian pihak Rizab Persekutuan tiba untuk menyelamatkan keadaan. Namun sekarang pihak Rizab Persekutuan tidak boleh membuat perkara yang sama. Jika anda mencetak lebih banyak wang untuk menyelamatkan keadaan, ia akan memburukkan lagi masalah berkenaan inflasi ini.”

    Sedikit berita positif di akhir ulasan ini. Walaupun jumlah keseluruhan modal pasaran kripto jatuh dan beberapa buah projek besar jatuh muflis, kadar hash bitcoin semakin menghampiri kadar maksimum dalam sejarahnya. Situasi ini dilihat tidak konsisten dengan 70% penyusutan kadar mata wang kripto utama itu daripada paras maksimumnya, serta pengurangan jumlah syarikat-syarikat penghasilan awam. Walau bagaimanapun, para penghasil terus menghasilkan kapasiti yang baru. Penganalisis mengaitkan perkara ini dengan sikap optimis sesetengah syarikat serta tahap kesediaan untuk berhadapan dengan pasaran lain yang bergolak. Jika kita sertakan data Glassnode yang mendapati peningkatan jumlah coin dalam tangan para hodler bersama-sama dengan perkara ini, maka kita boleh berharap musim dingin kripto akan diikuti dengan musim kebangkitannya.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami