Januari 5, 2023

Kami telah bincangkan minggu lalu bagaimana pakar-pakar ekonomi dari institusi-institusi kewangan utama dunia melihat masa depan pasangan EUR/USD untuk tahun 2023. Namun, ulasan kami turut mengulas tentang dua lagi pasangan yang telah lama menjadi peneraju, USD/JPY serta GBP/USD. Adalah tidak adil untuk mengecualikan kedua-dua pasangan pada kali ini. Lebih-lebih lagi, mata wang yen Jepun dan pound British adalah komponen terpenting dalam pembentukan Indeks DXY Dolar AS selepas mata wang euro (masing-masing adalah sebanyak 13.6% dan 11.9%).

Selain daripada unjuran untuk masa hadapan, menjadi kebiasaan untuk kami bincangkan perkara-perkara yang penganalisis jangkakan pada tahun lalu, 2022, serta sejauh manakah jangkaan-jangkaan tersebut daripada menjadi kenyataan.

USDJPY dan GBPUSD: Yang Berlaku Pada Tahun 2022, Yang Bakal Berlaku Pada Tahun 20231 


USD/JPY: Bertumbuh Pada Mulanya, Kemudian Menyusut

Kami telah berikan judul “Jepun Mahu Nilai Yen yang Lemah” untuk ulasan pasangan ini setahun yang lalu. Judul ini ternyata benar-benar berlaku: memulakan 1 Januari dengan berada pada paras 115.00, pasangan ini hampir mencecah kadar 152.00 pada 21 Oktober lalu akibat polisi kewangan yang teramat longgar serta kadar faedah negatif (negatif 0.1%). Kali terakhir kedudukannya setinggi ini adalah pada 32 tahun yang lalu. Malah, Menteri Kewangan dan juga Bank of Japan (BoJ) yang takut nilai mata wang negara itu akan menjadi terlalu lemah telah melancarkan campur tangan dengan segera bagi menyelamatkannya. Mata wang yen turut dibantu dengan perubahan pendirian Rizab Persekutuan AS yang dijangka berubah daripada polisi tegas dan bersifat hawkish kepada polisi sedikit longgar. Disebabkan itu, dinamik pergerakan tahunan USD/JPY mengalami pembentukan seperti berikut (data dikeluarkan bagi setiap suku tahun): Q1 - 121.00, Q2 - 135.00, Q3 - 144.00 dan Q4 - 131.00.

Hampir tiada seorang pun penganalisis yang berasa ragu-ragu mengenai perbezaan pendekatan antara penggubal dasar AS dan Jepun akan mampu mengukuhkan kedudukan nilai dolar pada tahun lalu. Namun tiada siapa yang menjangkakan pertumbuhannya adalah setinggi itu. Unjuran paling hampir (namun jauh sekali daripada tepat) telah diberikan oleh kumpulan perbankan Belanda iaitu ING Group (Internationale Nederlanden Groep), dan ia adalah seperti berikut: Q1 - 114.00, Q2 - 115.00, Q3 - 118.00 dan Q4 - 120.00. Unjuran mengikut susunan paling tepat selepas itu telah diberikan oleh Morgan Stanley (Q4 - 118.00) dan Amundi (Q4 - 116.00).

Konglomerat kewangan Perancis iaitu Societe Generale, Bank Barclays British serta CIBC (Canadian Imperial Bank of Commerce) juga menjangkakan paras 116.00 sebagai paras maksimumnya, tetapi untuk Q2, bukan untuk akhir tahun. Selanjutnya, menurut penganalisis dari institusi-institusi kewangan ini, yen perlu meletakkan dolar di zon antara 114.00-115.00. Jangkaan paling kurang tepat telah diberi oleh Goldman Sachs, mereka percaya bahawa pasangan ini akan memulakan tahun 2023 dengan penurunan ke paras 111.00.

Statistik terakhir untuk tahun lalu masih belum lagi diketahui. Namun kadar inflasi pengguna terakhir untuk tahun 2022 dijangka akan berada berada pada paras 2.9%. Kadar ini sedikit tinggi berbanding sasaran, tetapi amat rendah jika dibandingkan dengan prestasi kadar inflasi di negara-negara utama lain yang menaikkan kadar faedah mereka secara agresif sepanjang tahun lalu dalam usaha untuk membendung kenaikan harga barang. Lebih-lebih lagi, mengikut jangkaan BoJ, kadar ini mungkin akan turun kepada 1.6% menjelang akhir tahun 2023. Hal ini menimbulkan persoalan: jika semuanya dalam keadaan baik, mengapa polisi kewangan sedia ada mahu diketatkan, kemudian menaikkan kadar faedah dan mewujudkan masalah kepada para pengeluar?

Pihak Bank Negara Jepun telah mengambil semua langkah itu pada mesyuarat kali terakhir untuk tahun lalu, pada 20 Disember, dan membiarkan kadar faedahnya tidak berubah. Namun, ia masih berjaya memberi kejutan kepada pasaran dengan melebarkan julat turun naik hasil bon kerajaan kepada 0.5%. Keputusan yang diambil ini telah mendorong kepada pertumbuhan nilai mata wang kebangsaan negara itu lebih daripada 3% berbanding dolar.

Kemudian, satu tempoh tenang dijangka akan tiba, dan tiada sebarang perubahan besar dalam polisi kewangan Bank Negara Jepun akan berlaku sepanjang Q1 nanti. Perubahan tertentu seperti itu hanya boleh dianggap akan berlaku selepas tarikh 8 April. Hari itu menandakan berakhirnya tugas Haruhiko Kuroda sebagai ketua BoJ, dan calon yang baru dengan pendirian lebih tegas mungkin akan mengambil tempat beliau. Namun, walau pada hakikatnya terdapat mereka yang berpendirian hawkish dalam kalangan calon-calon, sukar untuk kami jangkakan terdapat perubahan radikal yang akan diambil nanti.

Kami telah jelaskan rancangan yang mungkin dilaksanakan oleh Rizab Persekutuan AS, rakan kepada pasangan USD/JPY untuk tahun 2023 dalam ulasan sebelum ini. Jika penggubal dasar Jepun mengekalkan pendirian mereka, jurang antara kadar faedahnya akan bertambah, namun tidak begitu besar. Kemudian keadaan akan menjadi stabil sepenuhnya selepas itu. Sesetengah penganalisis beranggapan bahawa keadaan yang berlaku di China mungkin akan memberi kesan besar terhadap yen. Jika indikator ekonomi dari China terus merosot, mata wang Jepun mungkin akan menjadi “mata wang selamat” buat para pelabur Asia, dan seterusnya membantu kepada pengukuhan nilainya.

Mungkin faktor-faktor di atas inilah yang mempengaruhi pandangan pakar-pakar strategi dari bank-bank utama dunia. Maka, ING membuat andaian bahawa kadar USD/JPY mungkin akan mencecah paras 125.00 menjelang akhir tahun 2023. Societe Generale memberi pandangan yang hampir sama untuk unjuran suku tahunan mereka: Q1 - 135.00, Q2 - 135.00, Q3 - 130.00 dan Q4 - 125.00. HSBC juga menjangkakan kedudukannya pada 2024 nanti akan berada hampir dengan kedudukan sekarang, di sekitar 130.00.

Masih ada 12 bulan lagi sebelum bulan Disember tiba, dan terdapat pelbagai perkara di luar jangkaan yang boleh berlaku sepanjang tempoh itu. Tiga tahun sebelum ini menjadi bukti kepada hakikat tersebut: pandemik COVID-19 dan serangan ketenteraan Rusia ke atas Ukraine telah merosakkan pelbagai unjuran serta jangkaan. Disebabkan itulah adalah lebih menarik untuk kita berikan tumpuan kepada unjuran para penganalisis untuk tempoh masa yang lebih pendek.

Perbezaan pendapat mengenai dinamik pasangan ini untuk Q1 nanti adalah luar biasa besarnya. Sesetengah penganalisis (tidak ramai sebenarnya) menjangkakan penurunan lebih rendah pasangan ini, sekarang ini ke zon antara 124.00-125.00. Sebaliknya, Goldman Sachs dan Brown Brothers Harriman pula menjangkakan pasangan ini akan sekali lagi menguji ketinggian 150.00. Barclays Bank dan Bank of America juga menunjukkan pertumbuhan ke paras 146.00-147.00. Walaupun unjuran oleh ING, BNP Paribas dan CIBC dilihat agak sederhana (136.00-138.00), jelas sekali bahawa penganalisis paling berpengaruh menjangkakan nilai dolar akan mengukuh berbanding yen antara bulan Januari-Mac nanti.

 

GBP/USD: Masih Berada di Persimpangan

Unjuran tahun lalu untuk pasangan ini telah diberikan judul “Berada di Tiga Persimpangan.” Hal ini disebabkan oleh hakikat bahawa tidak seperti rakan sejawat mereka di Jepun, pendirian Bank of England (BoE) adalah lebih sukar untuk dijangka. Terdapat tiga pilihan yang ada: naik, turun atau mendatar.

Walaupun kadar kebergantungan sumber tenaga di UK adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara Kesatuan Eropah, krisis global yang berlaku akibat sekatan anti Rusia masih menjadi penghalang. Memulakan 1 Januari, 2022 pada paras 1.3500, pergerakan pasangan ini adalah seperti berikut (data dikeluarkan bagi setiap suku tahun): Q1 - 1.3100, Q2 - 1.2100, Q3 - 1.1100 dan Q4 - 1.2000. Kedudukan GBP/USD mencecah kadar paling rendah sepanjang 37 tahun lalu pada 26 September, 2022, berada di sekitar paras 1.0350.

Penganalisis di ING memberikan unjuran bahawa nilai pound akan susut dan berada di tengah-tengah segitiga antara nilai dolar AS yang kukuh, nilai mata wang komoditi yang stabil serta nilai mata wang rendah perolehannya yang lemah. Justeru, mengikut senario-senario ini, GBP/USD seharusnya akan bergerak secara mendatar: Q1 - 1.3300, Q2 - 1.3400, Q3 - 1.3400 dan Q4 - 1.3400. Walau bagaimanapun, jangkaan mereka adalah salah. Namun kesilapan ini tidak boleh dibandingkan dengan senario bersifat patriotik yang diberi oleh bank Barclays British: Q1 - 1.3300, Q2 - 1.3700, Q3 - 1.4000 dan Q4 - 1.4200. Maka, kedudukan pasangan ini pada penghujung Q3 berada pada paras 1.0350, bukan 1.4000. Perbezaan sebanyak 3,850 mata!  

Akibat pendirian BoE yang lebih tegas serta pendirian Rizab Persekutuan yang dijangka akan menjadi lebih longgar, pound berjaya mendapatkan semula sebahagian kerugian yang dialami dan naik semula ke zon 1.2000 antara bulan Oktober-Disember 2022. Namun, penganalisis di Commerzbank Jerman menganggap bahawa situasi yang berlaku itu hanyalah penangguhan bersifat sementara dan menjangkakan pound akan berdepan dengan tekanan yang lebih besar.

Untuk pemulihan ekonomi daripada krisis, AS dilihat lebih baik berbanding UK. Wakil-wakil dari Bank Negara United Kingdom itu menyatakan secara terbuka mengenai situasi sukar yang dialami. Kegawatan ekonomi mula berlaku pada tahun lalu, dan mengikut jangkaan Bank Negara itu, ia akan berterusan sehinggalah pertengahan tahun 2024, manakala ekonomi negara tersebut akan menguncup sebanyak 2.9%. Buat masa ini, nilai pound yang lemah juga dikaitkan dengan defisit akaun semasa yang besar serta pertumbuhan mendadak kadar inflasi yang menunjukkan paras tertinggi dalam tempoh bertahun-tahun. Pertama sekali, situasi ini terjadi akibat kenaikan mendadak harga import minyak dan gas.

Berkemungkinan Bank of England akan terus menaikkan kadar faedah mereka pada tahun 2023 nanti sebagai percubaan untuk mengawal kenaikan harga barang. Buat masa ini, kadar faedah antara Rizab Persekutuan dan BoE masing-masing adalah 4.50% dan 3.50%. Jurang antara keduanya tidaklah begitu besar seperti sebelum ini, hanyalah sebanyak 100 bp. Kelebihan yang ada pada dolar akan terus dimilikinya, dan kadarnya mungkin boleh mencecah paras pariti jika penggubal dasar British itu lebih berpendirian hawkish. Sementara itu, pakar-pakar ekonomi menyatakan bahawa kenaikan kadar untuk Q1 dan Q2 nanti masing-masing hanyalah sebanyak 50 bp (basis point) dan 25 bp, menjadikan kadarnya kepada 4.25%.

 Dalam situasi seperti ini, mengikut HSBC, salah sebuah konglomerat kewangan terbesar di UK, perkembangan bagi GBP/USD adalah seperti berikut: Q1 - 1.2200, Q2 - 1.2300, Q3 - 1.2400 dan Q4 - 1.2500. Kumpulan Societe Generale Perancis menjangkakan sebut harganya seperti berikut: Q1 - 1.2000, Q4 - 1.2400.

Seperti yang dialami oleh USD/JPY, unjuran bagi pasangan GBP/USD untuk suku tahun akan datang dilihat lebih berbagai-bagai: 1.0700 oleh TD Securities Research sehinggalah 1.2600 oleh Citi Bank. Unjuran yang berada di antara julat ini: BNP Paribas (1.0800), Barclays (1.1300), CIBC (1.1500), Scotiabank (1.2000) dan Westpac Institutional Bank (1.2200).

***

Kami akan mengubah semula ramalan tahunan dan suku tahunan kepada mingguan seperti sebelum ini bermula pada minggu hadapan. Kami rasakan ramalan seperti itu akan memberi panduan yang lebih jelas.

 

Kumpulan Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami