Januari 21, 2023

EUR/USD: Tenang Sebelum Ribut Melanda

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 23 - 27 Januari, 20231

  • Kadar Indeks Dolar DXY (nisbah antara USD dengan kelompok enam mata wang asing utama lain) telah bergerak dalam saluran mendatar yang agak sempit sejak 12 Januari lalu. Kadar turun naik yang melonjak sedikit telah berlaku disebabkan oleh penyiaran data jualan runcit di AS pada hari Rabu, 18 Januari. Walau bagaimanapun, keadaan pulih seperti sedia kala dengan cepat, dan indeks DXY terus bergerak secara mendatar dalam julat yang sempit di antara 102.00-102.50. Pergerakan kadar EUR/USD juga agak serupa, setelah bermula pada kedudukan 1.0833 pada hari Isnin, pasangan itu mengakhiri tempoh lima hari pada paras 1.0855.

    Pergerakan seperti ini memberi bayangan bahawa pasaran sudah pun mengambil kira segala aspek yang akan berlaku ke dalam sebut harganya. Ini termasuklah kenaikan kadar inflasi yang semakin perlahan, kemungkinan berlakunya kemelesetan ekonomi, dan juga prospek mengenai polisi kewangan Rizab Persekutuan AS yang mungkin berubah. Satu cetusan diperlukan untuk sebut harganya melonjak naik, dan berkemungkinan besar, ia adalah mesyuarat FOMC (Federal Open Market Committee) yang akan berlangsung pada 1 Februari nanti, serta kenyataan yang akan dikeluarkan oleh pengurusan Rizab Persekutuan selepas itu. Hanya data KDNK di AS sebagai statistik makro penting saja yang akan dikeluarkan sebelum berlangsungnya mesyuarat itu. Indikator tersebut akan diumumkan pada 26 Februari, dan berkemungkinan pertumbuhan ekonomi di negara itu akan menunjukkan pembantutan (kadar yang diunjur adalah antara 2.6-2.8% berbanding kadar 3.2% pada suku tahun sebelum ini). 

    Peserta pasaran terus tertanya-tanya berapa tinggi kenaikan kadar faedah yang akan diumumkan pada mesyuarat FOMC untuk bulan Februari nanti. Terdapat dua pilihan yang ada: sama ada 25 atau 50 mata asas (bp). Michelle Bowman, salah seorang ahli Lembaga Gabenor, Mary Dehli, Pengerusi Bank Rizab Persekutuan (FRB) San Francisco, serta Patrick Harke, Pengerusi Bank Rizab Persekutuan Philadelphia menjangkakan kenaikan sebanyak 25 bp. Naib Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Lael Brainard tidak menyatakan dengan jelas pendirian beliau mengenai kedua- dua pilihan itu pada hari Khamis, 19 Januari. Beliau juga tidak berkata apa-apa tentang kadar tertinggi yang boleh dijangka untuk tahun 2023 ini. Namun, beliau ada mengatakan polisi penggubal dasar itu harus diperketatkan bagi memastikan sasaran kadar inflasi 2.0% boleh dicapai.

    Kata-kata beliau itu bertepatan dengan pandangan Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell yang mengatakan pada bulan lalu bahawa penggubal dasar itu akan terus memastikan kadar faedah mereka berada pada kadar tertinggi sehinggalah mereka benar-benar pasti bahawa penurunan kadar inflasi sudah mengikuti trend yang mampan. Beliau berpendapat, kadar asasnya boleh dinaikkan sehingga 5.1% pada tahun 2023 dan terus kekal tinggi seperti itu pada tahun 2024.

    Ramalan untuk bulan Disember oleh pasaran sebulat suara menyatakan kadar yang sama, 5.10%. Walau bagaimanapun, kini pasaran sudah tidak lagi mempercayai Rizab Persekutuan AS, dan unjurannya turun sedikit kepada 4.90%. Sesetengah penganalisis percaya bahawa nilai tertinggi bagi kadar ini langsung tidak akan naik melebihi 4.75%. Lebih-lebih lagi, kadar tersebut malah boleh diturunkan kepada 4.50% menjelang akhir tahun 2023 nanti. Melihat kepada kadarnya yang sudah pun mencecah 4.50% buat masa ini, kenaikan kecil seperti itu sudah jelas tidak akan memberi kelebihan kepada dolar, ia hanya akan menolak naik nilai aset berisiko dan juga mata wang pesaing daripada kelompok DXY.

    Bagi mata wang Eropah yang biasa, pasaran swap percaya bahawa buat masa ini kebarangkalian untuk kadar faedah ECB dinaikkan sebanyak 50 bp pada 2 Februari nanti adalah 100%, manakala kadar kebarangkalian untuk kenaikan dengan nilai yang sama pada bulan Mac nanti dianggarkan sebanyak 70%.

    Christine Lagarde, ketua penggubal dasar Kesatuan Eropah yang berucap pada hari Khamis, 19 Januari di Forum Ekonomi Dunia di Davos (Switzerland) menekankan bahawa inflasi kekal berada pada kadar yang sangat tinggi, justeru pihak ECB tidak akan mengurangkan usaha mereka bagi mengawal kenaikan inflasi tersebut. Rakan sejawat Lagarde, seorang ahli Lembaga Pentadbir ECB dan juga Gabenor Bank Negara Belanda iaitu Klaas Knot berkata pada hari Khamis bahawa situasi berkenaan inflasi masih berada dalam keadaan yang kurang memuaskan dan salah untuk pasaran jika menjangkakan kenaikan kadar sebanyak 50 bp akan dilaksanakan hanya sekali saja pada masa hadapan. Menurut Klaas Knot, kenaikan seperti itu akan dibuat beberapa kali.

    Kenyataan sebegitu memberikan harapan kepada bull euro. Namun, terdapat juga dalam kalangan pegawai Kesatuan Eropah yang mengambil pendirian lebih berhati-hati. Francois Villeroy, ketua Bank of France berkata di Davos bahawa masih terlalu awal untuk bercakap tentang kenaikan kadar bulan Mac. Kata-kata beliau itu mencetus kepada khabar angin bahawa pihak ECB sudah bersedia untuk kenaikan sebanyak 25 bp.

    Jelas bahawa masa depan EUR/USD akan ditentukan pada 1-2 Februari nanti. Dalam masa yang sama, 40% penganalisis bersetuju dengan kedudukan mata wang yang menjadi lebih kukuh tidak lama lagi, serta pertumbuhan kadar pasangan ini. 50% menjangkakan mata wang AS akan berjaya mendapatkan semula sebahagian kerugian yang dialami. Baki 10% penganalisis berehat daripada membuat ramalan dalam menunggu keputusan mesyuarat Rizab Persekutuan dan ECB. Dalam kalangan indikator pada D1, gambarannya adalah berbeza: 100% indikator trend berwarna hijau. Dalam kalangan pengayun, 65% adalah warna hijau, 20% telah pun memberi isyarat pasangan ini memiliki lebihan belian, manakala baki 15% lagi adalah berwarna kelabu neutral. Sokongan terdekat bagi pasangan ini berada pada paras 1.0800, kemudian paras dan zon 1.0740-1.0775, 1.0700, 1.0620-1.0680, 1.0560 dan 1.0480-1.0500. Bull akan berdepan rintangan pada paras 1.0865, 1.0935, 1.0985-1.1010, 1.1130, dan cuba untuk berada di eselon antara 1.1260-1.1360 selepas itu.

    China menyambut Tahun Baru pada minggu depan, kami ingin mengucapkan tahniah kepada para pedagang berbangsa Cina. Untuk AS dan Eurozone, perkara-perkara berikut boleh ditandakan pada kalendar. Presiden ECB iaitu Christine Lagarde akan memberi ucapan pada hari Isnin, 23 Januari. Kadar indeks aktiviti perniagaan (PMI dan S&P Global) dalam sektor pembuatan di Jerman serta di Eurozone secara keseluruhannya akan dikeluarkan keesokan harinya. Kita akan mengetahui kadar Indeks Persekitaran Perniagaan (Business Climate Index atau IFO) di Jerman pada hari Rabu, 25 Januari. Seperti yang telah dinyatakan tadi, kadar KDNK di AS akan diketahui pada hari Khamis, selain itu, sebahagian data daripada pasaran pengguna dan pasaran buruh di negara ini juga akan dikeluarkan pada hari yang sama. Kadar indeks asas perbelanjaan isi rumah untuk penggunaan peribadi di AS akan dikeluarkan pada penghujung minggu bekerja, hari Jumaat, 27 Januari.

GBP/USD: Pound Counts on the Best

  • Seperti yang berlaku di AS, jualan runcit di UK juga susut. Jumlahnya turun kepada -1.0% (bulan ke bulan) pada Disember, nilai yang lebih rendah berbanding unjuran iaitu +0.5%. Penganalisis sedia maklum bahawa perbelanjaan sebenar di negara itu berada pada jumlah yang tinggi berbanding nilai KDNK antara tahun 2020-2022, namun kadar inflasi yang meningkat telah menyebabkan proses ini terbantut dengan mendadak. Dijangka tahun 2023 akan menjadi satu tempoh pembalasan kepada perkara yang sia-sia ini.

    Walau bagaimanapun, menurut pakar ekonomi di HSBC, salah sebuah konglomerat kewangan terbesar dunia, segalanya tidaklah begitu teruk. “Dengan kadar inflasi di UK yang mungkin akan memuncak dan ekonominya yang berpotensi untuk menjadi lebih lembab daripada unjuran,” jelas mereka, “proses pengetatan yang kurang agresif oleh BoE buat masa ini mungkin bermaksud pemulihan yang kurang dramatik pada tahun hadapan. Mungkin pada akhirnya perkara inilah yang akan menjadi faktor positif kecil buat pound British untuk beberapa bulan akan datang. Peralihan kepada data domestik yang lebih baik daripada jangkaan seharusnya juga memberi kelebihan positif kepada pound British.” Kata penganalisis itu, prestasi ekonominya bertambah baik dengan cepat disebabkan oleh kombinasi mata wang yang murah dan juga kadar faedah yang tinggi. Cukup dengan mengatakan bahawa penyata imbang dagangan di UK untuk Q3 tahun lalu telah menunjukkan defisit terendah sejak Disember 2021. HSBC turut percaya bahawa pertambahan selera risiko pasaran di peringkat global juga memberi manfaat kepada mata wang British.

    Tidak seperti trend mendatar yang dialami EUR/USD, mata wang British menunjukkan pertumbuhan pada minggu lalu: pasangan GBP/USD mencecah ketinggian 1.2435 pada 18 Januari, hampir dengan paras mingguan tertinggi pada Disember lalu. Bull pound mendapat inspirasi daripada Bank of England (BoE) yang dijangka akan terus bersungguh-sungguh mengetatkan polisi kewangan mereka, tidak seperti Rizab Persekutuan yang sebaliknya memperlahankan segala aktiviti. Kenaikan kadarnya mungkin dijangka menjadi 4.50% menjelang musim panas nanti daripada 3.50% yang ada sekarang. Hari terpenting untuk kenaikan ini adalah pada 2 Februari nanti apabila mesyuarat BoE yang seterusnya akan diadakan.

    Kedudukan terakhir minggu lalu berada pada paras 1.2395. Unjuran median bagi GBP/USD untuk masa terdekat ini adalah seperti berikut: 50% penganalisis percaya bahawa inilah masanya untuk pound memperlahankan kadar pertumbuhannya dan menunggu pembetulan ke bawah. Hanya 15% penganalisis yang memihak kepada bull, manakala 35% lagi mengambil pendirian neutral. Dalam kalangan pengayun pada D1, 85% adalah berwarna hijau, 15% memberi isyarat bahawa pasangan ini memiliki lebihan belian. 100% indikator trend adalah berwarna hijau. Sokongan bagi pasangan ini berada pada paras dan zon 1.2330, 1.2250-1.2270, 1.2200-1.2210, 1.2145, 1.2085-1.2115, 1.2025, 1.1960, 1.1900, 1.1800-1.1840. Jika pasangan ini bergerak ke atas,  ia akan berhadapan rintangan pada paras 1.2435-1.2450, 1.2510, 1.2575-1.2610, 1.2700, 1.2750 dan 1.2940.

    Tumpuan bagi ekonomi di UK untuk minggu hadapan termasuklah beberapa data aktiviti perniagaan di UK yang akan dikeluarkan pada hari Selasa, 24 Januari.

USD/JPY: Masa Depan Yen Juga Dilihat Positif

  • Walaupun Bank of Japan pada hakikatnya membiarkan kadar utama mereka tidak berubah pada kadar negatif -0.1% semasa bermesyuarat pada 18 Januari lalu, yen masih lagi antara mata wang DXY yang menjadi kegemaran. Pasangan USD/JPY menetapkan 127.21 sebagai paras terendahnya pada hari Isnin. Pasangan ini tidak pernah turun serendah itu sejak bulan Mei lalu. Jika diingat penurunan ini berlaku akibat jangkaan penyusutan nilai dolar serta penurunan hasil bon AS (spread antara AS/Jepun berada pada kadar paling rendah pada bulan Ogos-September 2022).

    Walau bagaimanapun, pasangan ini mengalami pembetulan ke atas dan berakhir pada paras 129.57 apabila minggu dagangan ditutup. Namun, menurut kebanyakan penganalisis, data yang menunjukkan pertumbuhan pantas kadar inflasi di negara itu masih akan memaksa Bank of Japan (BoJ) mengetatkan polisi kewangan mereka.

    Kadar inflasi di negara itu pada bulan Disember secara umumnya berjumlah 4.0% (tahun/tahun), naik daripada 3.8% pada bulan November. Kadar ini adalah yang tertinggi sejak Januari 1991. Kadar harga pengguna di Jepun yang tidak termasuk makanan segar (indikator penting yang dipantau oleh bank pusat negara tersebut) naik 4.0% bulan lalu berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. Ini adalah kadar tertinggi sejak Disember 1981. Kedua-dua indikator itu kekal berada melebihi sasaran BoJ iaitu 2% untuk 9 bulan berturut-turut.

    Pasaran menjangkakan perubahan polisi kewangan yang serius selepas 8 April nanti. Pada hari itulah Haruhiko Kuroda, ketua Bank of Japan akan menamatkan perkhidmatannya, dan beliau mungkin akan digantikan dengan calon baru yang berpendirian lebih tegas. Perdana Menteri Fumio Kishida dijangka akan menamakan calon beliau pada bulan Februari. Kuroda akan mempengerusikan mesyuarat terakhir beliau pada 10 Mac, dan mesyuarat BoJ yang seterusnya pada 28 April nanti akan dipengerusikan oleh ketua Bank Negara yang baru.

    Selain daripada perubahan dalam BoJ, faktor-faktor lain yang boleh mendorong kepada pertambahan nilai yen termasuklah menambah baik jumlah bayaran baki hutang di Jepun akibat yen yang susut nilai dan menyambung semula sektor pelancongan, serta menghidupkan semula status yen sebagai syurga selamat dan mata wang lindung nilai oleh para pelabur asing. Ahli ekonomi di Danske Bank menjangkakan kadar USD/JPY akan turun kepada 125.00 dalam masa beberapa bulan lagi. Menurut pakar strategi kumpulan kewangan antarabangsa Nordea, penurunan itu mungkin adalah lebih rendah daripada 120.00 menjelang akhir tahun 2023.

    Unjuran median para penganalisis juga sama seperti ramalan Danske Bank dan Nordea. Pandangan mereka mengenai masa depan USD/JPY adalah seperti berikut: 75% daripada mereka bersetuju dengan penurunan lebih rendah pasangan ini. Baki 25% mengambil pendirian neutral. Tiada seorang pun pada kali ini yang bersetuju dengan pertumbuhan pasangan tersebut. Dalam kalangan pengayun pada D1, 10% menunjukkan pertumbuhan, 75% penurunan, dan 15% lagi menunjukkan pergerakan mendatar. Bagi indikator trend, 15% menunjukkan pertumbuhan, 85% lagi menunjukkan arah yang berbeza. Sokongan paling hampir terletak di zon 129.30, diikuti dengan zon dan paras 128.90, 127.75-128.00, 127.00-127.25, 126.35-126.55, 125.00, 121.65-121.85. Rintangan berada di zon dan paras 130.45, 131.25, 132.00, 132.80, 133.60, 134.40 dan kemudian 137.50.

    Antara peristiwa penting untuk minggu depan adalah laporan Mesyuarat Jawatankuasa Polisi Kewangan Bank of Japan yang akan dikeluarkan pada hari Isnin, 23 Januari.

MATA WANG KRIPTO: Kejayaan Bitcoin Mengatasi Kecerdasan Buatan

  • Jika anda amati carta minggu lalu, anda boleh lihat dengan jelas bahawa pertambahan mendadak sikap optimis bullish telah hampir tiada. Jika diingat bitcoin telah menerima dorongan kuat daripada 9 Januari hinggalah 14 Januari disebabkan oleh data kadar inflasi (CPI) di AS yang rendah. Satu lagi dorongan kukuh yang menyumbang kepada kelebihan bull adalah berita mengenai pelikuidasi FTX yang menemui aset cair bernilai $5 bilion. Menurut sebilangan penggemar bitcoin, perkara ini seharusnya dapat mengurangkan kebimbangan pasaran kripto terhadap keadaan makroekonomi yang masih menunjukkan situasi bearish.

    Namun, kebarangkalian untuk kenyataan terakhir tadi salah adalah tinggi, dan kita masih lagi seharusnya berasa bimbang. Pertumbuhan nilai aset digital adalah disebabkan oleh pertambahan selera aset berisiko para pelabur di peringkat global. Hal ini dapat dilihat jika kita membandingkan sebut harga BTC/USD dengan kadar indeks saham S&P500, Dow Jones dan Nasdaq. Walaupun kelebihan besar memihak kepada bitcoin dalam perkara ini, semuanya adalah disebabkan oleh pertambahan kadar turun naiknya. Seperti yang sering kali kami tekankan, faktor utama yang menentukan dinamik kedua-dua pasaran saham dan kripto dalam hal ini adalah situasi yang menyelubungi polisi kewangan Rizab Persekutuan AS, ini termasuk perubahan kadar faedah dolar.

    Nilai bitcoin telah bertambah lebih daripada 37% sejak 1 Januari sehingga 18 Januari 2023, mencecah $22,715 iaitu harga tertingginya. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto telah melebihi $1 trilion buat pertama kalinya sejak begitu lama. Peserta pasaran yang bersemangat telah mendorong kepada pertambahan jumlah dagangan BTC sebanyak dua kali dalam masa seminggu: jumlahnya naik kepada $11 bilion dalam pasaran spot. Namun, menurut penganalisis Craig Erlam, tiada punca fundamental yang khusus untuk trend bullish terus berkembang buat masa sekarang.

    Pertumbuhan pasaran untuk dua minggu pertama bulan Januari telah memberi kejutan kepada bear. Mengikut statistik, mereka telah mengalami kerugian kira-kira $1.2 bilion pada minggu lalu saja. Kerugian ini hanya untuk BTC. Pada satu ketika, jumlah posisi short yang telah dicairkan adalah lebih enam kali ganda daripada posisi long. Namun semua yang berlaku ini adalah atas pengorbanan pelabur-pelabur kecil dan sederhana. Jumlah alamat bitcoin yang memiliki sehingga 1,000 BTC telah naik mendadak. Namun pelabur-pelabur berinstitusi (memiliki lebih daripada 1,000 BTC) secara praktikalnya tidak memberi sebarang reaksi kepada apa yang berlaku dan hanya melihat kesusahan bilis-bilis dengan perasaan megah dan tenang. Cukup dengan mengatakan bahawa aliran masuk tunai ke dalam bitcoin hanyalah kira-kira $10 juta saja sejak 10 Januari lalu, dan jumlah walet yang dimiliki para jerung terus berkurangan.

    Kami sudah pun menyatakan bahawa kebanyakan pelabur-pelabur berinstitusi dicegah daripada menyertai pasaran kripto kerana kurangnya penyeliaan. Malah, Kongres AS sekarang ini sudah pun mewujudkan satu jawatankuasa kecil khas yang baru bagi menyelesaikan masalah ini. Walau bagaimanapun, Kevin O’Leary percaya bahawa menerima pakai rangka kerja undang-undang yang ketat tidak akan menyelesaikan permasalahan dalam industri atau mengubah skala penipuan. Beliau adalah seorang CEO sebuah firma modal teroka O’Leary dan juga hos rancangan TV berjudul Shark Thank. Malah penganalisis itu percaya lebih banyak syarikat-syarikat dan bursa-bursa kripto akan jatuh muflis pada tahun ini. Pada pendapat beliau, puncanya adalah kejahilan orang ramai.

    Sekarang, mari bincangkan tentang unjuran dalam bentuk nombor. Ben Armstrong, seorang ikon mata wang kripto yang popular di Youtube percaya bahawa nilai mata wang kripto terunggul ini akan naik kepada $30,000 menjelang hujung Februari nanti. Kenaikan ini akan berlaku walaupun pada hakikatnya para penghasil kerap menjual aset mereka dengan aktif sejak kebelakangan ini bertujuan untuk mendapatkan pulangan.

    Peter Brandt, seorang pedagang saham dan penganalisis lagenda yang antara lainnya meramal dengan tepat pembetulan BTC pada tahun 2018 juga memberi unjuran baru terhadap pergerakan harga bitcoin. Menurut penganalisis itu, pertumbuhan nilai BTC ke paras berdekatan dengan $25,000 akan boleh dicapai tidak lama lagi. Setelah itu, beliau tidak menolak pembetulan boleh berlaku pada penghujung musim bunga yang akan memberi kekuatan kepada mata wang kripto untuk lonjakan baru. Akibatnya, coin itu akan mencapai kedudukan tertinggi seperti sebelum ini hampir pada paras $68,000 pada enam bulan terakhir tahun 2023. Selepas itu, satu lagi pembetulan dan kemudiannya memperbaharui paras tertinggi yang baru mungkin boleh berlaku. Untuk jangka masa panjang, Peter Brandt tidak menolak nilai bitcoin akan naik ke paras $150,000 menjelang awal tahun 2025. Walau bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa semua itu hanyalah tekaan beliau saja. Menurut pedagang terkemuka itu, tiada siapa tahu apakah nasib sebenar bitcoin kelak.

    Nilai bitcoin boleh naik di antara $50,000-100,000 dalam tempoh dua hingga tiga tahun nanti. Pendapat ini disuarakan oleh Anthony Scaramucci, pengasas syarikat dana lindung nilai SkyBridge Capital dalam temubualnya bersama CNBC. Ahli perniagaan itu menggelar tahun 2023 sebagai “tahun pemulihan” bagi mata wang kripto utama. Sudah pastinya, keputusan Rizab Persekutuan AS akan mempengaruhi kadar emas digital. Jika penggubal dasar itu mengambil langkah untuk merangsang ekonominya pada pertengahan tahun, keputusan tersebut akan menjadi dorongan terbaik untuk pertambahan nilai bitcoin. Adakah mereka akan mengambil langkah itu?

    Pakar strategi kanan Bloomberg Intelligence iaitu Mike McGlone bersetuju dengan hakikat bahawa paras terendah untuk pasaran kripto sudah pun berlalu. Namun pendapat beliau tentang polisi kewangan Rizab Persekutuan adalah berbeza. McGlone maklum bahawa carta yang sedia ada mengingatkan kepada dinamik tahun 2018, semasa nilai mata wang kripto pertama itu pulih daripada $5,000. Walau bagaimanapun, situasi makroekonomi sekarang adalah berbeza sepenuhnya, sebab itulah pertumbuhan nilai bitcoin mungkin akan terhenti pada nilai semasa. Kadar indeks NASDAQ mungkin akan terus susut, manakala korelasi antara bitcoin dan pasaran saham pula menjadi agak ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini. “Kita masih lagi mendapatkan likuiditi dari pasaran global, ada sebabnya mengapa ini berlaku. Walaupun jika nilai ekuiti dan lain-lain aset berisiko meningkat, jumlah likuiditi akan tetap dihadkan oleh bank persekutuan. Perbezaan ketara daripada tahun 2018 ialah pada waktu itu Rizab Persekutuan sudah mula melonggarkan polisi mereka, kita tidak nampak pelonggaran seperti itu sekarang,” jelas pakar strategi Bloomberg berkenaan.

    “Lihatlah NASDAQ, carta indeks itu telah menembusi paras SMA selama 200 minggu. Perkara ini hanya berlaku sebanyak 3 kali dalam sejarah, dan pihak Rizab Persekutuan sentiasa akan melonggarkan polisi kewangan mereka. Namun Bank Persekutuan AS kini giat memperketatkannya. Gambaran keseluruhan nampak optimis buat bitcoin, tapi perkara yang berlaku sekarang belum pernah terjadi sebelum ini, maka apa-apa pun boleh berlaku,” jelas McGlone.

    Peter Brand akui di atas tadi bahawa adalah hampir mustahil untuk menjangkakan dengan tepat pergerakan bitcoin. Platform penguji kecerdasan buatan (AI) ChatGPT menyokong pendapat beliau itu. Platform ini telah menjadi semakin popular disebabkan kebolehannya untuk menyelesaikan pelbagai jenis tugasan dengan tepat, termasuklah dagangan aset.

    Penganalisis di Finbold bertanyakan sistem kecerdasan buatan tentang berapakah harga bitcoin untuk tahun 2030. Finbold mencadangkan bahawa sistem ChatGPT mampu untuk memberi unjuran yang agak tepat berdasarkan kepada data lampau harga BTC, keadaan pasaran, analisis teknikal dan fundamental, serta lain-lain indikator. Namun respon sistem AI itu tidak seperti yang dijangkakan. Ia gagal untuk memberi unjuran kadar yang tepat dan mengaku bahawa agak sukar untuk memberi nilai kepada coin tersebut dalam jangka masa panjang. Sistem AI itu menyatakan kemeruapan pasaran yang tinggi serta undang-undang yang tidak jelas sebagai alasan. Walau bagaimanapun, seperti Peter Brandt, sistem AI itu percaya bahawa mata wang kripto terunggul ini berpotensi untuk mengalami pertumbuhan pada tahun-tahun yang mendatang. Pertumbuhan ini hanya boleh berlaku dengan perkembangan teknologi, pasaran mata wang kripto yang matang serta pengagihannya kepada masyarakat umum.

    Masa depan pasaran digital benar-benar kabur. Namun, kami boleh beritahu apa yang benar-benar berlaku sekarang. Semasa ulasan ini dibuat (petang Jumaat, 20 Januari), pasangan BTC/USD didagangkan di zon $22,700. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah $1.038 trilion ($0.968 trilion seminggu lalu). Kadar Indeks Fear & Greed Kripto telah meninggalkan zon Fear dan kini berada dalam keadaan Neutral dengan bacaan 51 mata (46 mata minggu lalu).

 

Kumpulan Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami