Februari 11, 2023

EUR/USD: Pendirian Dovish Rizab Persekutuan Bertukar Kepada Hawkish Sekali Lagi

  • Setelah berakhirnya mesyuarat Rizab Persekutuan dan ECB, kadar Indeks Dolar DXY susut ke paras terendah sepanjang 9 bulan iaitu 100.80 pada 2 Februari lalu. Hal ini berlaku setelah ketua Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell memberikan petunjuk bersifat dovish dengan mengakui buat pertama kalinya bahawa “proses deflasi telah pun bermula” pada sidang akhbar yang diadakan selepas mesyuarat tersebut. Pasaran memutuskan bahawa ini adalah permulaan kepada pengakhiran, dan gelombang bullish akan berakhir tidak lama lagi.

    Namun petunjuk bukanlah benar-benar sebuah janji. Terutama sekali petunjuk yang diberi oleh ketua Bank Persekutuan AS. Kini, semasa berucap di Washington Economic Club, Jerome Powell menyatakan kadar faedah perlu terus dinaikkan supaya kadar inflasi dapat dikawal. Beliau memberikan petunjuk hawkish bahawa paras tertinggi untuk kadar faedah adalah lebih tinggi berbanding daripada jangkaan. Malah lebih tinggi daripada kadar yang diunjur sendiri oleh Rizab Persekutuan yang diumumkan pada Disember lalu.

    Pendirian hawkish Powell turut mendapat sokongan Presiden Bank Rizab Persekutuan (FRB) New York iaitu John Williams, ahli Lembaga Gabenor Rizab Persekutuan iaitu Christopher Waller serta Pengerusi Bank Rizab Persekutuan Minneapolis iaitu Neil Kashkari. Neil menyatakan bahawa masih banyak yang perlu Rizab Persekutuan lakukan bagi membendung kadar inflasi. Ini mungkin bermakna kadar faedah mungkin akan dinaikkan daripada 4.75% yang ada sekarang menjadi 5.40%  atau lebih tinggi daripada itu dan kekal untuk jangka masa panjang.

    Kali ini, pasaran merasakan bahawa tidak berbaloi untuk menunggu pelonggaran awal polisi kewangan, dan nilai dolar mula mengalami pertumbuhan. Kadar indeks DXY mencecah paras tertinggi sepanjang lima minggu iaitu 103.96 mata pada hari Selasa, 7 Februari. Namun, ia gagal untuk naik lebih tinggi kerana berhadapan dengan rintangan yang agak kuat secara serentak: 1) kadar SMA 50 hari, 2) garis trend terdahulu sejak tahun 2021, 3) had tertinggi dalam saluran menurun yang mula terbentuk pada November 2022, serta rintangan melintang di zon 104.00.

    Tidak banyak yang diberikan statistik makro sepanjang lima hari lalu, namun terdapat kenyataan memberansangkan oleh para pemimpin dari Amerika dan juga Eropah (sidang kemuncak pemimpin EU telah berlangsung pada 9-10 Februari lalu). Minggu hadapan menjanjikan lebih banyak data ekonomi yang bermakna. Data kadar inflasi pengguna (CPI) di AS untuk bulan Januari akan dikeluarkan pada hari Selasa, 14 Februari. Jangkaan mengandaikan bahawa kenaikan harga adalah antara 0.4-0.5% untuk bulan Januari (0.1% pada Disember). Dalam masa yang sama, nilai tahunannya mungkin adalah lebih rendah berbanding nilai sebelum ini (6.2% berbanding 6.5%). Jika indeks CPI menunjukkan inflasi berada dalam keadaan stabil, ia akan mengesahkan kenyataan terbaru Rizab Persekutuan yang bersifat hawkish dan turut menyokong nilai dolar. (Pakar ekonomi Scotiabank percaya bahawa paras EUR/USD mungkin turun kepada 1.0500-1.0600). Jika penurunan kadar inflasi terus berlaku, nilai mata wang AS akan berdepan dengan tekanan hebat.

    Setelah mencecah ketinggian 1.1032 pada 2 Februari (tertinggi sejak April 2022), pasangan EUR/USD mengalami penyusutan dan mengakhiri minggu pada paras 1.0679. 35% penganalisis menjangkakan pengukuhan nilai dolar yang lebih kukuh semasa ulasan ini dibuat (petang 10 Februari), 20% lagi menjangkakan pengukuhan nilai euro, manakala baki 45% pula mengambil pendirian neutral. Gambarannya adalah berbeza dalam kalangan indikator pada D1. 85% pengayun adalah berwarna merah (satu pertiga sudah berada di zon lebihan jualan), manakala 15% lagi berwarna hijau. Dalam kalangan indikator trend, 40% mencadangkan untuk beli, 60% - jual. Sokongan paling hampir untuk pasangan ini berada di zon 1.0670, kemudian di zon dan paras 1.0620, 1.0560, 1.0500, 1.0440 dan 1.0370-1.0400. Bull akan berdepan rintangan di sekitar paras 1.0700-1.0710, 1.0745-1.0760, 1.0800, 1.0865, 1.0895-1.0925, 1.0985-1.1030, 1.1110, dan cuba untuk berada di eselon antara 1.1260-1.1360 selepas itu.

    Selain penyiaran data inflasi yang telah dinyatakan di atas tadi, antara perkara penting untuk minggu hadapan adalah data awal kadar KDNK di Eurozone yang akan dikeluarkan pada hari Selasa, 14 Februari. (Sudah pasti kita tidak lupa 14 Februari adalah Hari St. Valentine, hari cuti paling romantik yang disambut di seluruh dunia. Masyarakat meluahkan rasa cinta mereka sesama sendiri pada hari tersebut untuk lebih daripada seribu tahun). Data jualan runcit di AS akan diketahui pada hari Rabu, 15 Februari, manakala data pengangguran di AS pula akan dikeluarkan pada hari Khamis, 16 Februari. Kadar Indeks Harga Pengeluar (PPI) di AS untuk bulan Januari juga akan dikeluarkan pada 16 Februari.

GBP/USD: Minggu Hadapan: Kemeruapan Dijamin Tinggi

  • Pound cuba untuk mendapatkan semula sebahagian daripada kerugian yang dialami pada minggu lalu. Setelah menukar arah pergerakannya pada 7 Februari dari paras 1.1961 (terendah sejak 6 Januari), pasangan GBP/USD mencecah paras tertinggi mingguan iaitu 1.12193 pada 9 Februari. Kemudian, nilai pound mula menjadi lemah berbanding dolar bersama-sama dengan mata wang lain yang ada dalam Indeks DXY. Disebabkan itu, GBP/USD mengakhiri minggu pada paras 1.2055, kedudukan yang hampir sama semasa ia bermula (1.2050).

    Latar belakang yang berdasarkan pada berita masih lagi samar-samar dan dilihat tidak menentu. Masalah berkenaan ekonomi terus memberi tekanan kepada mata wang British. Jika diingat dalam usaha membendung inflasi, Bank of England (BoE) telah menaikkan kadar faedah utama mereka sebanyak 50 bp menjadikannya 4.00% pada 2 Februari lalu, namun dalam masa yang sama dengan ketara mengubah pendirian mereka menjadi lebih longgar. Hal ini telah menolak nilai mata wang British itu ke bawah lebih daripada 250 mata daripada nilai tertingginya sejak pertengahan bulan Jun 2022 (1.2450).

    Peserta pasaran percaya bahawa mungkin pihak BoE takut dengan kenaikan kadar faedah yang naik lebih mendadak. Terdapat satu lagi persoalan mengenai kesan pertumbuhan kadar faedah terhadap inflasi. Namun, mungkin ia akan menimbulkan krisis dalam ekonominya, paling utama sekali, dalam sektor pembinaan. Data aktiviti perniagaan dalam sektor pembinaan di negara itu untuk bulan Januari yang telah dikeluarkan pada hari Isnin, 6 Februari menunjukkan indikator ini susut daripada 48.8 mata kepada 48.4 mata. Jabatan Statistik Kebangsaan United Kingdom melaporkan pada hari Jumaat, 10 Februari bahawa keseluruhan ekonomi di negara tersebut yang diunjur susut sebanyak -0.3% untuk bulan Disember sebenarnya susut sebanyak -0.5% (terdapat kenaikan +0.1% untuk bulan November). Kadar KDNK negara itu terbantut pada 0% pada Q4, setelah jatuh sebanyak -0.2% pada suku tahun sebelumnya. Kadar KDNK tahunannya susut daripada +1.9% kepada +0.4%.

    Berlatarbelakangkan perkara ini, laporan kejayaan serta unjuran optimis yang diberi oleh Setiausaha Perbendaharaan UK iaitu Jeremy Hunt kedengaran agak pelik. Pegawai tertinggi UK itu berkata “pertumbuhan ekonomi di UK adalah yang terpantas dalam kalangan negara-negara G7 pada tahun lalu dan kita juga telah berjaya mengelak daripada kegawatan”. Ini bermakna “ekonomi kita terbukti lebih berdaya tahan dan bukan seperti yang orang ramai bimbangkan.” Jeremy Hunt terus menyatakan, “jika kita meneruskan rancangan untuk menurunkan separuh daripada kadar inflasi pada tahun ini, kami pasti kita akan mencapai prospek pertumbuhan ekonomi yang terbaik berbanding negara-negara lain di Eropah.”

    Tidak seperti Hunt, pakar strategi di Commerzbank percaya bahawa situasi tidak menentu mengenai masa depan inflasi di UK masih kekal tinggi. Dinamik dan juga kadar Indeks Harga Pengguna yang dikeluarkan pada hari Rabu, 15 Februari nanti mungkin boleh menjelaskannya. Kadar CPI inilah indikator penting yang akan menentukan masa depan polisi kewangan Bank of England. Sudah tentu, data mengenai keadaan pasaran buruh yang akan dikeluarkan sehari sebelum itu, pada hari Selasa, 14 Februari, serta data jualan runcit yang akan diketahui pada 17 Februari juga sama pentingnya.

    Kesemua statistik makroekonomi ini pastinya akan menambah kadar kemeruapan pasangan GBP/USD. Dalam pada itu, 40% penganalisis menjangkakan nilai pound akan terus lemah, peratusan yang sama pula enggan memberi sebarang unjuran dan menunggu untuk indikator-indikator tertentu dikeluarkan. Hanya 20% penganalisis bersetuju dengan nilai pound yang lebih kukuh serta pertumbuhan kadar pasangan ini. Dalam kalangan indikator trend pada D1, keseimbangan skala adalah 75% berbanding 25% yang memihak kepada warna merah. Dalam kalangan pengayun, 100% kelebihan memihak kepada warna merah, namun 10% daripada jumlah itu memberikan isyarat pasangan ini memiliki lebihan jualan. Sokongan bagi pasangan ini berada di zon dan paras 1.2025, 1.1960, 1.1900, 1.1800-1.1840. Jika pasangan ini bergerak ke atas, ia akan berdepan rintangan pada paras 1.2085, 1.2145, 1.2185-1.2210, 1.2270, 1.2335, 1.2390-1.2400, 1.2430-1.2450, 1.2510, 1.2575-1.2610, 1.2700, 1.2750 dan 1.2940.

USD/JPY: Ketua BOJ yang Baru, Polisi yang Lama.

  • Seperti mata wang lain dalam DXY, yen Jepun memberikan reaksi terhadap kenyataan hawkish Rizab Persekutuan serta turun naik hasil bon Perbendaharaan AS pada minggu lalu. Namun, lonjakan kemeruapan paling tinggi berlaku disebabkan oleh khabar angin yang menyatakan Kabinet Menteri Jepun ingin mencalonkan Kazuo Ueda yang berusia 71 tahun sebagai gabenor Bank of Japan (BOJ) yang baru.

    Bekas profesor di University of Tokyo itu terkenal sebagai seorang pakar polisi kewangan. Beliau menyertai Lembaga Gabenor BOJ pada 25 tahun yang lalu, pada April 1998 dan kekal menjawat jawatan sehingga April 2005. Ueda menentang dengan lantang keputusan Bank Negara itu untuk tidak melaksanakan polisi kadar sifar pada tahun 2000, dan mungkin beliau terpilih dalam pencalonan ini adalah disebabkan oleh keinginan para pemimpin untuk melihat seorang ketua Bank of Japan yang tidak terburu-buru menamatkan polisi kewangan yang tersangat longgar. Perkara ini disahkan oleh Ueda sendiri pada 10 Februari yang menyatakan polisi sedia ada sudah mencukupi, ia perlu terus dipatuhi saja.

    Pasangan USD/JPY mengakhiri minggu lalu pada paras 131.39, paras yang sering didudukinya sejak 20 Disember, 2022. Menurut majoriti (55%) penganalisis, nilai yen mungkin akan menjadi lebih kukuh dalam lingkungan tempoh tiga bulan ini, tetapi julat sasarannya agak besar. Sesetengah orang percaya bahawa pihak Rizab akan kembali berpendirian dovish, kemudian pasangan USD/JPY mampu untuk mencapai zon 120.00, manakala sebahagian lain mempertimbangkan julat antara 127.00-128.00 sebagai had penurunannya.

    Untuk jangka masa pendek, hanya 20% penganalisis bersetuju bahawa pasangan ini akan susut, 30% menjangkakan pertumbuhan, manakala 50% lagi mengambil keputusan untuk tidak memberi sebarang unjuran. Dalam kalangan pengayun pada D1, 80% menunjukkan pertumbuhan, 10% melihat kepada penurunan, dan 10% lagi bergerak secara mendatar. Bagi indikator trend, 40% menunjukkan pertumbuhan, dan baki 60% lagi mengunjurkan arah yang bertentangan. Paras sokongan paling hampir berada di zon 131.25, diikuti dengan zon dan paras 130.50, 129.70-130.00, 128.90-129.00, 128.50, 127.75-128.10, 127.00-127.25 dan 125.00. Rintangan berada pada paras dan zon 131.85-132.00, 132.80-133.00, 133.60, 134.40 dan kemudian 137.50.

    Data awal KDNK di Jepun akan dikeluarkan pada minggu hadapan, pada hari Selasa, 14 Februari. Ekonomi di negara itu dijangka mengalami pertumbuhan sebanyak +0.5% untuk Q4 2022 (susut -0.2% pada suku tahun sebelumnya). Data yang sudah dikeluarkan dilihat agak positif. Pembiayaan bank untuk bulan Januari adalah lebih tinggi berbanding jangkaan (+2.6%) dan nilai sebenarnya naik sebanyak +3.1% (+2.7% pada bulan Disember). Kadar Indeks Pengamatan Situasi Ekonomi Semasa (Economy Watchers Current Situation Index) juga meningkat, naik daripada 47.9 mata kepada 48.5 mata pada hujung bulan Januari.

MATA WANG KRIPTO: Adakah Bitcoin Perlu “Berehat”?

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 13 - 17 Februari, 20231

  • Korelasi antara bitcoin dan pasaran saham (S&P500, Dow Jones dan Nasdaq) serta aset berisiko yang lain bukanlah satu perkara baru. Namun, emas digital itu tidak disangka-sangka menunjukkan korelasi secara langsung dengan mata wang AS pada minggu lalu, bukan korelasi songsang. Hubung kait ini jelas kelihatan jika kita membandingkan carta BTC/USD dan EUR/USD. Kedua-dua aset menunjukkan penurunan dan pertumbuhan pada masa yang sama. Menggambarkan analoginya pada skala keseimbangan, dapat kami perhatikan bahawa paradoks fizikal pertumbuhan dan penurunan kedua-duanya berlaku pada masa yang sama. Hukum fizik hanya kembali pulih apabila menghampiri hujung minggu: nilai dolar sedikit kukuh, nilai bitcoin pula susut.

    Momentum ke atas yang menaikkan nilai mata wang kripto utama itu daripada $16,272 pada November 2022 kepada $24,244 pada hari pertama bulan Februari 2023 mula hilang sedikit demi sedikit. BTC/USD telah kembali berada di kedudukan pada dua minggu terakhir bulan Januari, dan hasil yang ditunjukkan untuk tiga minggu setengah terakhir ini boleh dianggap hampir kepada sifar.

    Seperti yang pelabur dan pedagang terkenal iaitu Tone Vays maklum, bitcoin telah “tumbuh dengan sangat pantas dan sangat tinggi” dan kini berdepan dengan rintangan yang agak serius setelah menghampiri paras $25,000. Penganalisis itu percaya bahawa aset tersebut akan menembusi zon rintangan itu pada akhirnya, namun mungkin ia “perlu berehat sekarang.” Vays menjelaskan bahawa beliau menjangkakan kadarnya akan bersepadu sama ada pada julat yang sempit, atau susut sedikit.

    Penganalisis itu tidak bersendirian dalam memberikan unjuran tersebut. Mengikut statistik, ramalan media ahli komuniti kripto yang membuat unjuran tepat nilai bitcoin pada setiap hujung bulan mempunyai kadar ketepatan sehingga 75% sejak enam bulan lalu. Penganalisis di Findbold telah menyiarkan keputusan terkini kaji selidik terhadap lebih daripada 15 ribu orang pedagang serta unjuran yang dihasilkan oleh algoritma pembelajaran mesin. Kebanyakan orang menjangkakan sebut harga BTC akan turun kepada $20,250 menjelang 28 Februari, 2023, kepintaran buatan pula menjangkakan $24,342.

    Julat turun naik yang kecil (mengikut standard bitcoin) seperti itu agak tepat menyamai dengan ramalan Vays untuk “berehat”. Situasi di pasaran agak tidak menentu buat masa ini, dan sementara pemilik jangka masa pendek telah kembali merasai keuntungan, pemilik jangka masa panjang (lebih daripada enam bulan) masih berada di zon merah. Ia mengambil masa selama 291 hari pada fasa bearish sebelum ini untuk kesemua metrik menjadi hijau, sekarang baru 268 hari yang berlalu.

    Kebanyakan pelabur mengalami kerugian pada penghujung tahun lalu. Syarikat MicroStrategy mencatatkan penyata imbang kerugian (belum terealisasi) sebanyak $1.3 bilion pada tahun 2022 akibat pelaburan jangka masa panjangnya dalam bitcoin. (Sehingga 31 Disember, 2022, jumlah pemilikannya adalah sebanyak 132,500 BTC bernilai $1.84 bilion). Dalam masa yang sama, pihak pengurusan syarikat berkenaan tidak bercadang untuk berhenti daripada melabur di dalam aset digital. Dalam memberikan komen mengenai kacau-bilau pada tahun lalu, pengasas bersama MicroStrategy iaitu Michael Saylor berkata beliau melihat perkara ini seperti teori Darwin: pelabur lemah dan berniat jahat telah meninggalkan pasaran, ini seharusnya akan mendorong industri tersebut lebih maju untuk jangka masa panjang. Dalam masa yang sama, menurut Saylor, mata wang kripto memerlukan rangka kerja undang-undang yang jelas supaya syarikat-syarikat dapat mematuhi standard tertentu dan juga melindungi para pelanggan. “Apa yang diperlukan adalah kawal selia. Panduan jelas daripada pihak Kongres sangat dialu-alukan dalam industri seperti yang ada pada Goldman Sachs, Morgan Stanley dan juga BlackRock. Kami mahukan peraturan pengendalian yang jelas daripada pihak SEC (Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa) Amerika Syarikat.”

    Walau bagaimanapun, mengambil contoh bekas eksekutif syarikat blockchain Meta dan bekas Presiden PayPal iaitu David Marcus, beliau berasa ragu-ragu badan perundangan tersebut dapat menggubal rang undang-undang seperti itu dalam masa terdekat ini. Berdasarkan jangkaan ini, beliau percaya bahawa syarikat-syarikat kripto akan terus beroperasi dalam keadaan “vakum” pada tahun 2023, menanggung risiko dan bahaya sendiri, dan musim dingin kripto hanya akan berakhir pada tahun 2025 apabila pasaran sudah pulih daripada ribut yang melanda pada tahun lalu.

    Lebih mengejutkan, bukan saja penyokong mata wang kripto yang menyokong penggubalan rang undang-undang, malah para penentangnya juga semakin memberi tekanan. Charlie Munger, kenalan Warren Buffet, naib presiden syarikat induk Berkshire Hathaway mendesak supaya pihak berkuasa AS mengharamkan bitcoin, hartawan itu membandingkannya dengan pelaburan dalam perjudian. Beliau berkata dalam temu bual bersama Wall Street Journal bahawa industri mata wang kripto telah menjejaskan kestabilan sektor kewangan global. BTC tidak boleh dianggap sebagai satu kelas aset kerana ia tidak mempunyai nilai.

    Munger telah menyatakan pendapat beliau itu sejak beberapa tahun lepas. Sekarang beliau mendesak pihak berkuasa AS untuk menamatkan terus pasaran kripto. Beliau berpendapat, adalah perlu untuk meletakkannya dalam rangka kerja undang-undang yang ketat supaya pada akhirnya industri ini akan binasa sendiri.

    Ketahuilah bahawa Charlie Munger berusia 99 tahun, ini mungkin menjelaskan tentang pendapat konservatif beliau yang sangat radikal. Generasi ahli perniagaan yang lebih muda bersikap lebih setia terhadap inovasi digital. Cukup dengan menunjukkan keputusan kaji selidik yang dijalankan oleh syarikat perundingan kewangan deVere Group. Mereka menunjukkan bahawa walaupun dengan cabaran yang dihadapi pada tahun 2022, 82% jutawan mempertimbangkan untuk melabur dalam aset digital. Menurut Nigel Green, CEO syarikat deVere Group, momentum daya tarikan seperi itu akan bertambah seiring dengan keadaan sistem kewangan tradisional yang berubah.

    CEO syarikat pelaburan Morgan Creek iaitu Mark W. Yusko percaya bahawa keadaan makroekonomi yang menguntungkan akan mendorong kepada pasaran bull selepas ini pada hakikatnya boleh bermula seawal Q2 2023. Menurut pengurus ternama itu, Rizab Persekutuan AS mungkin tidak akan menurunkan kadar faedah utama mereka dalam masa terdekat ini. Namun, kelewatan atau pemberhentian sementara dalam melaksanakan proses ini akan dilihat sebagai petunjuk positif buat aset berisiko, termasuklah mata wang kripto. CEO Morgan Creek berkenaan memetik jangkaan mengenai pengurangan penghasilan bitcoin yang seterusnya, secara tentatif akan dijalankan pada 19-21 April 2024 sebagai satu lagi sebab lain untuk pertumbuhan pasaran kripto. Mengikut pengiraan Yusko, pasaran aset digital biasanya akan pulih sembilan bulan sebelum proses pengurangan penghasilannya bermula, ini bermaksud lonjakan nilai untuk kali ini akan bermula pada hujung musim panas 2023 nanti.

    Cathie Wood, ketua syarikat ARK Invest bersikap lebih optimis mengenai masa hadapan, beliau masih lagi menganggap mata wang kripto pertama ini adalah satu bentuk perlindungan terbaik bagi berlindung daripada kerugian kewangan. Pada pandangan beliau, kesemua segmen dalam populasi, sama ada yang miskin mahupun yang kaya akan mendapat manfaat daripada penggunaan emas digital itu. Bagi mengesahkan kata-kata pengurus mereka, para penganalisis ARK Invest telah membuat ramalan yang luar biasa. Senario bersifat pesimis yang mereka hasilkan mengandaikan bahawa nilai BTC akan naik kepada $259,000, manakala senario optimis pula - sehingga $1.5 juta bagi setiap coin. (Kami tertanya-tanya apakah komen Charlie Munger mengenai perkara ini?)

    Semasa ulasan ini dibuat (petang Jumaat, 10 Februari), pasangan BTC/USD didagangkan di zon $21,600. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah sebanyak $1.010 trilion ($1.082 trilion seminggu lalu). Kadar Indeks Fear & Greed Kripto jatuh daripada 60 mata kepada 48 mata dalam tempoh seminggu, dan berakhir di zon Neutral, hampir berada di tengah-tengah skala. Situasi sekarang tidak menentu, mungkin seperti bitcoin, para pedagang perlu “berehat”?

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami