Mac 18, 2023

EUR/USD: ECB Tidak Terkesan Dengan Krisis Perbankan

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 20 - 24 Mac, 20231

  • Lilin hitam yang besar telah terbentuk pada minggu lalu setelah kadar EUR/USD susut daripada 1.0759 kepada 1.0515. Hal ini tidak berlaku semasa pihak ECB memutuskan tentang kadar faedah mereka pada hari Khamis, 16 Mac, tetapi sehari sebelum itu. Punca kepada kemerosotan nilai mata wang Eropah itu tidak lain tidak bukan adalah disebabkan oleh ketua Bank Negara Arab Saudi.

    Inilah yang berlaku. Disebabkan oleh tiga buah bank di Amerika Syarikat iaitu Silvergate, Silicon Valley dan Signature yang diisytiharkan muflis, krisis perbankan yang melanda telah merebak ke Eropah, melumpuhkan bank Credit Suisse. Konglomerat perbankan terbesar di Switzerland itu telah lama berhadapan dengan masalah likuiditi yang teruk disebabkan oleh skandal rasuah di Mozambique dan juga khabar angin yang dipengaruhi media berkenaan wang haram daripada raja dadah Bulgaria. Pada hari Rabu, 15 Mac, berita mula tersebar mengenai Bank Negara Arab Saudi, pemegang saham terbesar dalam Credit Suisse mengambil keputusan untuk tidak menyalurkan sebarang dana kepada bank Swiss yang bermasalah itu.

    Saham Credit Suisse susut lebih daripada 30%. Namun ia tidak berakhir di situ, satu lagi gelombang panik menyerang bank-bank utama Eropah yang lain. Saham bank Societe Generale susut sebanyak 12%, BNP Paribas - susut 10%, Commerzbank - susut 9%. Dalam situasi seperti ini, para pelabur merasakan pihak ECB tidak akan berani untuk menaikkan kadarnya sebanyak 50 mata asas (bp), kadar kebarangkalian untuk kenaikan seperti itu jatuh daripada 90% kepada 20%, dan ini mendorong kepada penjualan euro.

    Namun seperti yang biasa berlaku, jangkaan para pelabur adalah salah. Hari Khamis pun tiba, dan pihak Bank Kesatuan Eropah melaksanakan apa yang telah dijanjikan sebulan lalu: kenaikan sebanyak 50 bp. Selain itu, perasaan bimbang yang melanda sektor perbankan mula berkurang. Bank Negara Switzerland menjadi penyelamat kepada Credit Suisse, manakala pihak berkuasa AS, termasuklah pihak Perbendaharaan AS serta Rizab Persekutuan memberikan bantuan kepada bank-bank di Amerika. Disamping itu, 11 lagi bank swasta menyertai operasi menyelamat dengan memperuntukkan dana sebanyak $30 bilion untuk tujuan tersebut. Hasilnya, keadaan kacau-bilau mulai reda, kadar EUR/USD pula kembali ke zon selesa iaitu 1.0650, dan peserta pasaran mula berbincang tentang berapa banyakkah kenaikan yang akan diputuskan pihak penggubal dasar AS pada hari Rabu nanti.

    Jika diingat mesyuarat FOMC (Federal Open Market Committee) Rizab Persekutuan AS yang akan datang dijadual berlangsung pada hari Rabu, 22 Mac. Namun, walaupun Jerome Powell dan rakan sejawatnya telah memberikan kenyataan bersifat hawkish, gambaran daripada statistik makroekonomi menunjukkan polisi kewangan Rizab Persekutuan itu perlu dilonggarkan dan bukan lebih diketatkan.

    Data daripada pasaran buruh AS yang dikeluarkan pada 9 dan 10 Mac dengan jelas menunjukkan kelembapan ekonomi di negara itu. Jumlah tuntutan awal pengangguran adalah sebanyak 211K, lebih tinggi berbanding 195K yang diunjur dan 190K pada bulan lalu. Indikator ini telah melebihi paras 200K buat pertama kalinya dan mencecah jumlah maksimum sejak Disember 2022 lalu. Bagi pekerjaan baru bukan dalam sektor agrikultur (NFP), jumlahnya adalah sebanyak 311K, jurang yang sangat besar berbanding pada bulan Januari - 503K. Bersama-sama dengan kadar pengangguran yang meningkat kepada 3.6% (3.4% pada Januari), kadar pertumbuhan jualan runcit yang susut, serta krisis perbankan yang dialami, pendirian hawkish ahli-ahli FOMC mungkin tidak jelas kelihatan. Buat masa ini, kadar kebarangkalian untuk kadar faedah persekutuan dinaikkan sebanyak 25 mata asas (daripada 4.75% kepada 5.00%) pada 22 Mac nanti adalah 80%. Lagipun, pasaran derivatif menjangkakan kadar ini akan berada lebih rendah daripada 4% menjelang akhir tahun 2023, satu berita buruk buat mata wang dolar.

    Walau bagaimanapun, ekonomi di Eropah juga tidak begitu kukuh, yang mampu menggesa pihak ECB supaya mengambil langkah yang kurang agresif. Pasaran swap hampir 100% pasti bahawa penggubal dasar eropah itu hanya akan menaikkan kadarnya sebanyak 25 mata asas - daripada 3.00% kepada 3.25% pada 4 Mei nanti.

    Kadar EUR/USD ditutup pada kedudukan 1.0664 untuk tempoh lima hari lalu. Semasa ulasan ini dibuat, pada malam Jumaat, 17 Mac, 40% penganalisis menjangkakan nilai dolar yang lebih kukuh, manakala peratusan sama menjangkakan nilainya menjadi lemah, dan baki 20% lagi berpendirian neutral. Dalam kalangan pengayun pada D1, 75% berwarna hijau, 10% lagi berwarna merah, dan baki 15% pula berwarna kelabu neutral. Dalam kalangan indikator trend, 90% mencadangkan untuk jual dan 10% lagi mengesyorkan untuk beli. Sokongan paling hampir buat pasangan ini berada di sekitar 1.0590-1.0620, diikuti dengan paras dan zon 1.5000-1.0530, 1.0440, 1.0375-1.0400, 1.0300, and 1.0220-1.0255. Bull akan berdepan rintangan di sekitar paras 1.0680-1.0700, 1.0740-1.0760, 1.0800, 1.0865, 1.0930, 1.0985-1.1030.

    Jelaslah bahawa perkara utama untuk minggu hadapan adalah mesyuarat Rizab Persekutuan yang akan diadakan pada 22 Mac, ringkasan unjurannya, serta sidang akhbar oleh pengurusan tertinggi organisasi tersebut selepas itu. Selain itu, People’s Bank of China akan membuat keputusan mengenai kadar faedah mereka pada hari Isnin, 20 Mac, perubahan ini mungkin akan memberi kesan kepada dinamik indeks dolar DXY. Menjelang hujung minggu, pada hari Khamis, 23 Mac, satu lagi kelompok data dari pasaran buruh AS akan dikeluarkan, manakala pada hari Jumaat, 24 Mac, indikator bagi kadar indeks aktiviti perniagaan (PMI) di Jerman dan Eurozone, serta jumlah pesanan bagi barangan modal dan tahan lama di Amerika Syarikat akan diketahui.

GBP/USD: Perbendaharaan UK Merangsang Nilai Pound

  • Pasangan GBP/USD juga membentuk corak lilin hitam pada 15 Mac, walaupun agak pendek ketinggiannya dengan 170 pip. Walau bagaimanapun, nilai pound kembali pulih sepenuhnya menjelang hujung minggu dan menjadi lebih kukuh jika dibandingkan pada sepuluh hari pertama bulan Mac, berakhir pada paras 1.2175. Ini disebabkan oleh peningkatan sikap optimis mengenai prospek ekonomi British. Canselor Perbendaharaan UK iaitu Jeremy Hunt telah membentangkan belanjawan untuk tahun ini, beliau menyatakan bahawa sasaran utamanya adalah untuk menstabilkan ekonomi di negara tersebut. Kadar KDNK di UK dijangka hanya akan turun sebanyak 0.2% pada tahun ini, berbanding 1.5% yang diunjur sebelumnya, dan kadar ini dapat mengelak ekonominya daripada mengalami kegawatan secara teknikal. Disamping itu, kadar inflasi akan turun kepada 2.9% menjelang akhir tahun 2023, hampir 3.5 ganda lebih rendah berbanding kadar paling tingginya iaitu 10.1%. Tambahan pula, Canselor berkenaan turut mengumumkan pakej tindakan serta faedah untuk individu bagi membantu mengimbangi kekurangan tenaga buruh.

    Berikutan keputusan kadar faedah Rizab Persekutuan yang akan diumumkan pada minggu hadapan, Bank of England (BoE) turut akan mengumumkan keputusan mereka hanya 18 jam selepas itu. Perlu sedia maklum bahawa ketua BoE iaitu Andrew Bailey yang berucap pada hari Rabu, 1 Mac menyatakan dengan samar-samar bahawa keputusan akhir mengenai prospek polisi kewangan bank negara British masih lagi belum dibuat, dan bank itu seharusnya menjadi lebih fleksibel untuk bulan-bulan akan datang agar tidak membimbangkan pasaran. Kini, sikap berhati-hati penggubal dasar itu diburukkan lagi dengan krisis perbankan yang akan dimulakan oleh pelan tindakan agresif rakan sejawat mereka di seberang Lautan Atlantik. Jika sebelum ini pasaran benar-benar yakin kadar faedah akan dinaikkan sekurang-kurangnya 25 mata asas daripada 4.00% yang ada sekarang (malah mungkin sebanyak 50 mata asas), kini mereka berasa ragu-ragu - bagaimana jika BoE mengambil keputusan untuk berhenti sementara bagi menilai situasi dan mengelak daripada membuat sebarang kesilapan?

    Buat masa ini, majoriti penganalisis (50%) memihak kepada dolar, hanya 10% yang bersetuju dengan pertumbuhan nilai mata wang British, manakala baki 40% lagi kekal dengan pendirian tunggu dan lihat. Dalam kalangan pengayun pada D1, keseimbangan skala adalah seperti berikut: 85% memihak kepada warna hijau (satu perempat daripadanya berada di zon lebihan belian) dan baki 15% lagi memihak kepada warna merah. Dalam kalangan indikator trend, kelebihan penuh menjadi milik warna hijau, sebanyak 100%. Sokongan bagi pasangan ini berada pada paras dan zon 1.2145, 1.2075-1.2085, 1.2000-1,2025, 1.1960, 1.1900-1.1920, 1.1800-1.1840, 1.1720, dan 1.1600. Jika pasangan ini bergerak ke atas, ia akan berdepan rintangan pada paras 1.2200-1.2210, 1.2270, 1.2335, 1.2390-1.2400, 1.2430-1.2450, 1.2510, 1.2575-1.2610, 1.2700, 1.2750, dan 1.2940.

    Untuk berita berkaitan dengan ekonomi UK, selain daripada mesyuarat BoE, kalendar minggu hadapan akan mengandungi data jualan runcit serta kadar indeks aktiviti perniagaan dalam sektor perkhidmatan di negara itu yang dijangka akan dikeluarkan pada hari Jumaat, 24 Mac.

USD/JPY: Adakah Kadar Faedah Akan Turun Lebih Rendah?

  • Yen adalah mata wang yang benar-benar tidak terkesan dengan krisis perbankan yang berlaku di AS dan Eropah, dan sebaliknya, menambah lebih banyak daya penarik kepada mata wang Jepun itu sebagai mata wang selamat yang mampu menjadi pelindung semasa berlakunya krisis kewangan. Malah kenyataan oleh gabenor Bank of Japan (BoJ) iaitu Haruhiko Kuroda yang telah bersara tentang kemungkinan kadar faedah akan diturunkan lebih rendah yang kini sudah pun berada pada kadar -0.1% melemahkan semangat para pelabur. Hasilnya, pasangan USD/JPY mengakhiri sesi dagangan pada kedudukan yang telah didudukinya pada awal Februari lalu, pada paras 131.80.

    Untuk prospek minggu hadapan, buat masa ini 50% penganalisis bersetuju dengan pertumbuhan kadar pasangan ini, 25% lagi menunjukkan penurunan, manakala 25% pula enggan memberikan sebarang unjuran. Dalam kalangan pengayun pada D1, 90% menunjukkan penurunan (satu pertiga daripadanya memberikan isyarat lebihan jualan), manakala 10% lagi menunjukkan arah bertentangan. Semua indikator trend menunjukkan penyusutan. Sokongan paling hampir untuk pasangan ini berada di zon 131.25, diikuti dengan paras dan zon 130.50, 129.70-130.00, 128.00-128.15, dan 127.20. Rintangan berada pada paras dan zon antara 132.80-133.20, 134.00-134.35, 135.00-135.35, 135.90-136.00, 137.00, 137.50, dan 137.90-138.00.

    Tiada statistik makro penting berkaitan ekonomi Jepun yang dijangka akan dikeluarkan pada minggu depan. Namun, para pedagang harus ingat bahawa hari Selasa, 21 Mac adalah hari cuti di Jepun: Hari Ekuinoks Musim Bunga. Sudah tentu, jangan lupa tentang mesyuarat FOMC Rizab Persekutuan AS yang dijadual akan diadakan pada 22 Mac.

MATA WANG KRIPTO: Apa yang Tidak Baik untuk Bank adalah Sempurna Buat Bitcoin

  • Dalam ulasan kami sebelum ini, kami telah senaraikan beberapa faktor yang memberi kesan negatif kepada pasaran kripto. Antaranya adalah tentangan keras terhadap kripto oleh pihak berkuasa AS, termasuklah Jabatan Perbendaharaan, SEC, Rizab Persekutuan, Peguam Negara, pihak Senat, malah pentadbiran Biden sendiri. Namun, masalah berkenaan altcoin serta undang-undang cukai yang akan dipinda tidak lama lagi adalah tidak seberapa jika dibandingkan dengan krisis yang dialami sektor perbankan Amerika. Pada 8 Mac, bank kripto Silvergate telah membuat pengumuman untuk menjalani proses likuidasi secara sukarela, diikuti dengan Silicon Valley Bank (SVB) dan juga Signature Bank selepas itu, ketiga-tiga bank ini digunakan secara aktif oleh syarikat-syarikat kripto sebagai get laluan fiat. Dan pada minggu lalu pula, bank-bank di Eropah turut disenaraikan seperti yang telah dibincangkan di atas tadi.

    Bank Silvergate terkesan dengan hutang yang ditanggung akibat keruntuhan bursa kripto FTX, manakala bank SVB dan Signature pula terjejas disebabkan oleh polisi kewangan Rizab Persekutuan, termasuklah kenaikan kadar faedah serta penurunan jumlah penyata imbang. “Bank ke-18 terbesar [SVB] jatuh muflis. Kami sedar tentang penjualan bon Perbendaharaan AS yang mencapai rekod baru sehingga mengakibatkan kerugian belum terealisasi dengan jumlah berbilion dolar dalam sektor perbankan. Justeru, kita boleh lihat terdapat satu lagi contoh pemiutang menjadi sebahagian daripada sistem rizab, bukannya pendeposit,” komen The Bitcoin Layer terhadap masalah itu. Mengikut data FDIC, hanya pada tahun lalu saja, jumlah kerugian belum terealisasi bagi bank-bank di AS meningkat daripada $3 bilion kepada $652 bilion.

    Maka, pihak penggubal dasar pada mulanya membiarkan bank-bank tersebut muflis, dan kemudian menyatakan kesanggupan mereka untuk menyelamatkannya. Bank SVB dan Signature kini berada di bawah kawalan Perbadanan Deposit Insuran Persekutuan. Bersama-sama dengan jabatan Perbendaharaan dan Rizab Persekutuan, Perbadanan Deposit Insuran Persekutuan berkata bahawa para pendeposit di Bank SVB dan Signature akan mendapat akses penuh kepada wang mereka. Disamping itu, pihak Rizab Persekutuan turut mengumumkan pembentukan Bank Term Funding Facility (BTFP) bagi menyediakan pembiayaan kecemasan kepada bank-bank yang mungkin berdepan masalah sama dengan peruntukkan sebanyak $25 bilion untuk tujuan itu.

    Berlatarbelakangkan perkara ini, penulis buku paling laris Rich Dad Poor Dad yang juga seorang usahawan iaitu Robert Kiyosaki menggesa sekali lagi untuk melabur dalam emas, perak dan juga bitcoin. Pada pendapat beliau, untuk keluar daripada “ekonomi teruk” ini, penggubal dasar akan mencetak “lebih banyak wang murah.” “Jaga diri anda. Keadaan tidak menentu akan melanda,” jelas Kiyosaki.

    Penganalisis pasaran iaitu Tedtalksmacro menggelar tindakan Rizab Persekutuan ini sebagai permulaan kepada pelonggaran kuantitatif tidak rasmi. Malah, pendirian bekas CEO BitMEX iaitu Arthur Hayes adalah lebih meyakinkan: “Bersedialah untuk lonjakan mendadak nilai aset berisiko. Mesin pencetak wang telah dihidupkan! - tulis beliau. - Memberi bantuan kepada para pendeposit bank yang bankrap bermakna menyuntik wang ke dalam ekonomi dengan likuiditi yang hanya pernah dikeluarkan sepanjang tahun ini. Ia adalah peluang terbaik untuk aset berisiko."

    Jika diingat pada awal Mac lalu, kita dapat lihat aliran keluar modal yang aktif oleh pelabur-pelabur berinstitusi yang bimbang dengan tindakan penggubal dasar. Dalam hanya masa seminggu, aliran modal yang keluar daripada bitcoin telah mencapai rekod baru dengan jumlah $244 juta. Kini segalanya telah berubah: kadar BTC telah naik lebih daripada 30%, dan jumlah keseluruhan modal pasaran mata wang kripto sekali lagi berada melebihi nilai $1 trilion. Peserta pasaran masih ingat dengan sifat mata wang kripto yang berpotensi dijadikan sebagai alat melindungi modal dan hakikat bahawa Bitcoin benar-benar dihasilkan untuk bertahan daripada kejutan seperti ini. Para pemerhati menyamakan keadaan ini seperti krisis Kripto yang berlaku pada tahun 2013, kejadian yang menyerlahkan kelemahan dalam pecahan sistem rizab serta menarik semua tumpuan kepada lindung nilai secara disentralisasi dan bukannya perbankan berpusat.

    Menurut sebilangan penganalisis, apa yang berlaku adalah satu pengiklanan baik untuk bitcoin yang nilainya dijangka akan melonjak naik. Namun, terdapat juga pendapat-pendapat yang skeptik. Sebagai contoh, hos rancangan Mad Money CNBC iaitu Jim Cramer terus mengkritik industri kripto, menggelar bitcoin sebagai “haiwan aneh.” Pada pendapat beliau, institusi kewangan besar serta pelabur-pelabur kaya memanipulasi mata wang kripto secara rahsia. “Jangan fikir segalanya terjadi dengan sendiri,” Cramer memberi amaran kepada penonton rancangan beliau, dan menambah lagi beliau tidak pernah percaya dengan bitcoin.

    Ramalan yang diberikan oleh penganalisis makro dan juga pedagang terkenal iaitu Henrik Zeberg juga dilihat agak suram. Beliau menilai korelasi antara kadar pengangguran di AS, kadar indeks hartanah NAHB, indeks pasaran saham, serta mata wang kripto, dan beliau maklum dengan persamaan membimbangkan antara situasi yang berlaku sekarang dengan krisis pada tahun 1929. Menurut penganalisis itu, semua pasaran berada dalam keadaan yang “panas melampau” dan kini menghampiri keruntuhan ekonomi yang akan terus berlaku untuk beberapa tahun. Kegawatan yang akan berlaku nanti mungkin menjadi lebih teruk berbanding pada tahun 2007-2009. Menurut penganalisis itu, pasaran mata wang kripto juga akan menjadi teruk, dan kebanyakan coin digital tidak akan mampu bertahan.

    Zeberg membentangkan unjuran kemelesetan makroekonomi berdasarkan kepada teori gelombang Elliot. Mengikut kaji selidik itu, gelombang 4 mungkin akan mencecah paras maksimumnya seawal tahun 2024. Kemudian, pasaran kewangan utama akan mengalami kejatuhan teruk. Penganalisis menekankan bahawa semua perhatian harus difokuskan kepada indikator ekonomi pada suku ketiga dan keempat tahun 2023, suku tahun yang dijangka menjadi pengakhiran kepada tempoh “bullish” dalam kitaran pasaran yang ada sekarang.

    Semasa ulasan ini dibuat pada malam 17 Mac, pasangan BTC/USD didagangkan di sekitar $27,500. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto meningkat daripada $0.937 trilion kepada $1.155 trilion pada minggu lalu. Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto naik daripada 34 mata kepada 51 mata dalam masa tujuh hari dan beralih daripada zon Fear kepada zon Neutral.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Material ini bukanlah cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan dan hanya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami