Jun 3, 2023

EUR/USD: Bolehkah Dolar Kembali Mengalami Pertumbuhan yang Stabil?

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 05 - 09 Jun, 20231

  • Nilai dolar telah naik sejak 4 Mei lalu. Kadar Indeks DXY mencecah ketinggian 104.609 pada 31 Mei, hari terakhir musim luruh. Kadar tersebut tidak pernah naik setinggi itu sejak Januari 2023. Seperti yang telah kami sebutkan sebelum ini, dua faktor utama telah menjadi pendorong kepada pergerakan ke atas mata wang Amerika tersebut.

    Faktor yang pertama adalah selera para pelabur terhadap dolar sebagai aset selamat yang tercetus akibat ancaman A.S. gagal membayar hutang negaranya. Walau bagaimanapun, pihak Senat telah sebulat suara bersetuju untuk meluluskan rang undang-undang had hutang negara pada minggu lepas. Sehubungan dengan perkara itu, ancaman gagal membayar hutang sudah berakhir, dan perkara ini telah menambah baik sentimen di pasaran serta mengurangkan permintaan dolar.

    Faktor kedua adalah jangkaan kenaikan lebih tinggi kadar faedah Rizab Persekutuan. Dengan kenyataan bersifat hawkish daripada para pegawainya, kadar kebarangkalian pihak FOMC (Federal Open Market Committee) menaikkan kadar faedah mereka kepada 5.5% pada mesyuarat 14 Jun nanti telah meningkat lebih daripada 60% pada penghujung Mei lalu.

    Namun, seperti ungkapan orang-orang lama, “anak sungai lagi kan berubah, inikan pula hati manusia”. Peranan “anak sungai” di sini dimainkan oleh Timbalan Presiden Rizab Persekutuan AS yang baru iaitu Philip Jefferson yang samar-samar memberi petunjuk bahawa proses pengetatan polisi kewangan perlu dihentikan sementara. Selain itu, Patrick Harker, Presiden Bank Rizab Persekutuan Philadelphia dengan terang menyatakan bahawa “kita harus melangkau kenaikan kadar setidak-tidaknya pada mesyuarat bulan Jun nanti”. Kemudian, Harker dengan lantang mencadangkan untuk melangkau kenaikan tersebut pada setiap mesyuarat FOMC, termasuklah mesyuarat bulan Jun. Peserta pasaran serta-merta teringat dengan kenyataan Jerome Powell, ketua Rizab Persekutuan yang turut menyebut tentang penamatan sementara.

    Data makroekonomi AS yang kukuh mungkin dapat membantu dolar. Walau bagaimanapun, laporan penggajian oleh pihak ADP yang dikeluarkan pada hari Khamis, 1 Jun menunjukkan bahawa jumlah pekerjaan dalam sektor swasta turun daripada 291K pada bulan April kepada 278K pada bulan Mei. Sementara itu, jumlah awal tuntutan manfaat pengangguran naik walaupun sedikit, daripada 230K kepada 232K. Kelembapan ekonomi juga ditunjukkan oleh penurunan kadar Indeks Pengurusan Pembelian (PMI) ISM dalam sektor pembuatan daripada 47.1 kepada 46.9. (Sebagai peringatan, jika kadar PMI lebih rendah daripada 50, ia menunjukkan ekonominya menguncup, terutama sekali jika trend itu terus berlaku untuk beberapa bulan). Semakan semula data unit kos buruh bagi Q1 2023 secara menyeluruh yang diturunkan daripada 6.3% kepada 4.2% juga telah didorong oleh jangkaan bersifat dovish. Statistik lemah seperti itu telah menambah keraguan peserta pasaran mengenai satu lagi kenaikan kadar faedah pada 14 Jun nanti. Akibatnya, menurut Fedwatch Tool daripada CME Group, kadar kemungkinan untuk kadar faedah dinaikkan telah jatuh daripada 60% kepada 25%. Kadar Indeks DXY juga turut jatuh.

    Jika statistik di AS pada 1 Jun tidak menyebelahi mata wang Amerika, data dari Eropah yang dikeluarkan sehari sebelum itu, pada 31 Mei sebaliknya telah membantu kadar EUR/USD mencecah kadar mingguan terendahnya sepanjang 9 minggu pada paras 1.0634. Kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) menunjukkan inflasi di Eurozone berada pada trend menurun. Dengan kadar 4.0% sebelum ini dan 6.3% yang diunjur, kadar sebenar CPI turun kepada 6.1%. Jika berdasarkan kepada setiap negara, kadar pertumbuhan harga pengguna di Itali turun daripada 8.7% kepada 8.1%, di Perancis - turun daripada 6.9% kepada 6.0%, dan di Jerman - turun daripada 7.6% kepada 6.3%. Di Sepanyol, kadar CPI turun ke paras paling rendah sejak dua tahun lalu.

    Dalam masa yang sama, dengan kadar inflasi yang menyusut, peluang untuk pengetatan polisi kewangan yang lebih agresif oleh Bank Negara Kesatuan Eropah juga menurun. Namun begitu, pihak ECB masih lagi dijangka akan menaikkan kadar mereka sebanyak 25 mata asas (bp) kepada 4.0% pada mesyuarat berikutnya pada 15 Jun nanti. Walaupun dengan kenaikan ini, kadarnya masih lagi rendah daripada kadar semasa Rizab Persekutuan iaitu 5.25%. Jika pihak ECB berhenti di situ dan menamatkannya sementara, ia akan menghalang bull EUR/USD daripada menunjukkan muslihat penting yang dimilikinya.

    Statistik pasaran buruh yang kebiasaannya dikeluarkan pada hari Jumaat pertama setiap bulan, kali ini pada 2 Jun yang kukuh mungkin dapat membantu dolar pada hari-hari terakhir minggu. Data NFP (Non-Farm Payrolls) menyamai jangkaan: jumlah pekerjaan baru bukan dalam sektor agrikultur sebenarnya naik kepada 339K dan bukan 180K seperti yang diunjur dan jumlah 294K untuk bulan lalu. Namun, satu lagi indikator penting, kadar pengangguran telah mengecewakan para pelabur: kadar pengangguran di AS mencecah 3.7% pada bulan Mei (3.4% pada bulan April, diunjur 3.5%).

    Berikutan laporan penggajian yang tidak jelas seperti itu, pasangan ini mengakhiri tempoh lima hari dagangan pada paras 1.0707. Untuk prospek jangka pendek, semasa ulasan ini dibuat pada malam 2 Jun, unjurannya boleh dikatakan adalah neutral: 50% penganalisis menjangkakan pertumbuhan pasangan ini, peratusan yang sama menjangkakan penurunannya. Dalam kalangan pengayun dan indikator trend pada D1, kelebihan besar memihak kepada dolar - 85% daripada kedua-dua indikator berwarna merah, baki 15% lagi berwarna hijau. Dalam kalangan indikator trend, 85% memihak warna merah (15% memihak warna hijau). Sokongan paling hampir untuk pasangan ini berada di sekitar 1.0680, diikuti dengan zon dan paras 1.0620-1.0635 dan 1.0490-1.0525. Bull akan berdepan rintangan di sekitar paras 1.0745-1.0707, kemudian 1.0800-1.0835, 1.0865, 1.0895-1.0925, 1.0985, 1.1045, dan 1.1090-1.1110.

    Untuk kalendar minggu hadapan, tumpuan boleh diberikan pada hari Isnin, 5 Jun apabila kadar PMI (Indeks Pengurusan Pembelian) ISM dalam Sektor Perkhidmatan di AS akan dikeluarkan. Tinjauan Pasaran Tenaga oleh pihak EIA (Pentadbiran Maklumat Tenaga) serta data rizab minyak mentah di AS mungkin akan menyebabkan pasaran mengalami turun naik pada hari Selasa dan Rabu. Selain itu, data jualan runcit di Eurozone akan diumumkan pada hari Selasa, 6 Jun. Pasaran juga mungkin boleh meruap pada 8 Jun apabila kadar KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) di Eurozone serta data pengangguran di AS dikeluarkan.

GBP/USD: Inflasi di UK Mendorong Nilai Pound Ke Atas

  • Sepanjang minggu lalu, pound telah berjaya pulih sepenuhnya daripada susut nilai yang berlaku antara 12 Mei sehingga 25 Mei. Hal ini terjadi setelah kadar inflasi di UK yang dikeluarkan minggu lalu mengejutkan pasaran dengan pertumbuhan tak dijangka. Data untuk bulan April menunjukkan kadar indeks harga pengguna naik sebanyak 1.2% berbanding 0.8% kenaikan yang dicatatkan sebulan sebelumnya. Kadar Indeks Harga Pengguna teras mencapai kadar paling tinggi sejak beberapa tahun lalu, mencecah 6.8% untuk tahun ke tahun, melebihi 6.2% yang diunjur. Walaupun kadar inflasi tahunannya turun daripada 10.1% kepada 8.7%, ia masih lebih tinggi berbanding 8.2% yang diunjur. Ini adalah kadar paling rendah sepanjang 13 bulan lalu, namun ia masih lagi lebih tinggi daripada kadar sasaran. Secara khususnya, kadar inflasi makanan mencecah 19.1%, kadar yang tidak pernah dicapai sejak tahun 1977. Nilai ini memberi kesan yang sangat besar kepada isi rumah berpendapatan rendah, memaksa mereka untuk berbelanja lebih banyak untuk makanan daripada berbelanja untuk lain-lain barangan serta perkhidmatan.

    Kaunselor Perbendaharaan UK iaitu Jeremy Hunt sudah pun menyatakan terdapat keperluan untuk meneruskan polisi kewangan yang bersifat hawkish, walaupun hal itu boleh mencetuskan risiko kegawatan. Pegawai kerajaan itu sedar bahawa ekonomi hanya benar-benar boleh pulih jika inflasi berjaya dibendung. Disebabkan itu, para pelabur menjadi lebih yakin bahawa Bank of England (BoE) akan menaikkan kadar faedah mereka sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat yang akan datang, dan mungkin kenaikan tersebut tidak akan terhenti di situ.

    Terdapat satu lagi faktor yang membolehkan kedudukan pasangan GBP/USD naik mencecah paras 1.2544 pada 2 Jun. Jika dolar berjaya mengukuhkan kedudukannya pada pertengahan bulan Mei, mata wang AS itu telah berdepan tekanan untuk jual (puncanya telah dinyatakan sebelum ini) pada minggu lalu, dan perkara ini telah membantu kepada lonjakan kadar GBP/USD. Setelah data pasaran buruh di AS dikeluarkan, pasangan ini mengakhiri minggu pada paras 1.2450.

    Untuk situasi semasa, unjuran median para penganalisis adalah seperti berikut: 45% penganalisis menjangkakan keadaan bullish terus berlaku, 30% lagi memihak kepada bear, dan peratusan yang hampir sama (25%) memilih untuk tidak memberi sebarang komen. Dalam kalangan pengayun pada D1, hanya 15% yang mengesyorkan untuk jual, 50% telah bersedia untuk beli, manakala 35% lagi menunjukkan warna kelabu neutral. Dalam kalangan indikator trend, keseimbangan kekuatan antara warna hijau dan merah masing-masing adalah 85% dan 15% yang memihak kepada warna hijau.

    Jika pasangan ini bergerak turun ke bawah, sokongan berada pada paras dan zon 1.2390-1.2420, 1.2300-1.2330, 1.2275, 1.2200-1.2210. Jika pasangan ini naik ke atas, ia akan berdepan rintangan pada paras 1.2480, 1.2510, 1.2540, 1.2570, 1.2610-1.2635, 1.2675-1.2700, 1.2820, dan 1.2940.

    Kadar Indeks Aktiviti Perniagaan (PMI) Komposit, serta kadar PMI dalam sektor perkhidmatan di United Kingdom akan dikeluarkan pada minggu hadapan, iaitu hari Isnin, 5 Jun. Gambaran aktiviti perniagaan akan dilengkapkan dengan kadar indeks PMI dalam sektor pembinaan di negara itu yang akan dikeluarkan keesokan harinya, Selasa, 6 Jun.

USD/JPY: Pasangan Ini Mencari Jalan Pulang

  • Judul untuk ulasan sebelum ini adalah “USD/JPY Menerima Tiket ke Bulan.” Bagi ulasan minggu ini, bolehlah ia diberi judul “Pasangan Ini Mencari Jalan Pulang”. Atau setidak-tidaknya, ia cuba untuk berbuat begitu, mengesahkan unjuran yang diberikan oleh 75% penganalisis pada minggu lalu. Jika pasangan ini mencecah paras tertingginya untuk tempoh lima hari (dan sejak enam bulan lalu) pada ketinggian 140.92 pada 30 Mei lalu, kedudukan terendahnya pada 1 Jun adalah 250 mata lebih rendah, pada paras 138.42. Walau bagaimanapun, keinginan untuk menggapai bintang sekali lagi terjadi selepas itu, dan pasangan ini mengakhiri minggu pada paras 139.95.

    Jelaslah bahawa nilai yen yang menjadi lebih kukuh baru-baru ini adalah kesan langsung daripada dolar yang susut nilainya. Namun, apabila melihat kepada prospek masa hadapan, semuanya menjadi tidak jelas dan tidak pasti. Mari kita petik beberapa kenyataan yang telah dibuat.

    Berucap di Parlimen, Gabenor Bank of Japan (BoJ) iaitu Kazuo Ueda menyatakan bahawa ia akan mengambil masa untuk sasaran kadar pertumbuhan harga sebanyak 2.0% berjaya dicapai. Beliau juga menambah bahawa beliau tidak boleh berikan sebarang tempoh masa untuk sasaran itu dicapai. Lebih-lebih lagi, ketua BoJ itu percaya bahawa menetapkan garis masa yang ketat bagi mencapai sasaran mungkin boleh mengakibatkan kesan yang tidak dijangka kepada pasaran dan beliau tidak mahu perkara tersebut berlaku.

    Pada hari Jumaat, 2 Jun, satu kenyataan oleh Menteri Kewangan Jepun iaitu Shunichi Suzuki juga telah dikeluarkan. Pada pendapat beliau, pergerakan kadar mata wang ditentukan oleh pasaran dan juga lain-lain faktor. Beliau juga menyebut: “Nilai yen yang lemah memberikan pelbagai kesan terhadap ekonomi Jepun”. Walau bagaimanapun, Menteri itu tidak menyebut dengan khusus apakah “lain-lain faktor” dan “pelbagai kesan” yang beliau maksudkan itu.

    Untuk situasi semasa, pakar-pakar ekonomi di ING, kumpulan perbankan terbesar di Belanda, percaya bahawa “pasangan USD/JPY dilihat dinilai terlalu tinggi daripada keadaan dagangan yang lebih menguntungkan yen jika dibandingkan setahun yang lalu.” Mereka juga maklum bahawa “masih terdapat risiko kejutan akan dibuat oleh Bank of Japan pada 16 Jun nanti, menormalkan lagi polisi kawalan lengkung hasil perolehannya,” sesuatu yang boleh menjadi faktor positif buat yen.

    Pakar strategi di Wells Fargo, salah satu daripada bank “empat paling berpengaruh” di AS juga agak optimis dengan masa depan mata wang Jepun itu, menjangkakan yen menerima manfaat besar daripada nilai dolar A.S. yang lemah. Mereka percaya bahawa “Bank of Japan akan meminda polisi mereka pada Q4 2023 untuk menormalkan lagi pasaran bon kerajaan,” dan hal ini boleh memberi peluang kepada yen untuk mengukuhkan nilainya menjelang akhir tahun ini. “Pengukuhan nilai yen seharusnya juga mendapat sokongan daripada penamatan kitaran pengetatan oleh bank-bank pusat dunia serta peralihan kepada polisi yang lebih longgar di peringkat global, dan juga kegawatan di A.S. pada enam bulan terakhir tahun 2023,” jelas pakar strategi Wells Fargo. “Kami mensasarkan kadar USD/JPY berada pada paras 136.00 menjelang akhir tahun 2023 dan 129.00 menjelang hujung tahun 2024.” (tamat petikan).

    Untuk prospek minggu hadapan pasangan ini, pandangan para penganalisis adalah seperti berikut. Buat masa ini, 65% daripada mereka berharap nilai mata wang Jepun akan menjadi lebih kukuh serta pergerakan pasangan ini ke bawah. Hanya 25% penganalisis yang bersetuju dengan nilai dolar menjadi lebih kukuh, manakala 10% lagi berpendirian neutral. Dalam kalangan indikator pada D1, kelebihan sepenuhnya memihak kepada dolar: 100% indikator trend dan 85% pengayun menunjukkan pertumbuhan pasangan ini (10% menunjukkan keadaan lebih beli). Baki 15% pengayun menunjukkan penurunan. Sokongan paling hampir untuk pasangan ini berada di sekitar 139.45, diikuti dengan zon dan paras 138.75-139.05, 137.50, 135.90-136.10, 134.85-135.15, 134.40, 133.60, 132.80-133.00, 132.00, 131.25, 130.50-130.60 dan 129.65. Rintangan paling hampir berada di antara 140.90-141.00, kemudian bull perlu berdepan rintangan pada paras 142.20, 143.50 dan 144.90-145.10. Kedudukan itu tidak jauh daripada paras tertinggi yang dicapai pada bulan Oktober 2022 iaitu 151.95.

    Tiada sebarang maklumat ekonomi penting berkenaan ekonomi di Jepun yang dijangka akan dikeluarkan pada minggu hadapan. Pengecualian dilakukan pada hari Khamis, 8 Jun, apabila kadar KDNK di Jepun untuk Q1 2023 akan diumumkan.

MATA WANG KRIPTO: Unjuran Positif yang Sederhana Buat Bitcoin

  • Setelah nilainya naik daripada paras sokongan $25,850 pada 25 Mei lalu, bull melancarkan serangan, menanam harapan dalam diri para pelabur. Namun, terbukti kekuatan yang ditunjukkan gagal untuk mencapai paras rintangan $29,000. Paras tertinggi mingguan telah direkodkan pada 29 Mei iaitu $28,433, dan kemudian pasangan BTC/USD berundur ke paras sokongan $26,500, membiarkan para pelabur berasa kecewa.

    Dinamik ini mungkin telah dicetus oleh spekulasi yang menyelubungi hutang kerajaan AS. Namun begitu, setelah menyemak carta, tiada sebarang korelasi secara langsung antara BTC dengan indeks saham (S&P500, Dow Jones, dan Nasdaq), dan korelasi songsang dengan Indeks Dolar (DXY) yang dapat dilihat dalam sebut harga bitcoin.

    Setelah kekecohan serta kejadian buruk yang berlaku kepada kripto pada tahun 2022 dan awal 2023 seperti runtuhnya FTX pada bulan November dan kebankrapan beberapa institusi lain termasuklah Celcius, Voyager Digital, dan Three Arrows Capital, bitcoin telah berjaya pulih dan menambah nilainya lebih daripada 60%. Walau bagaimanapun, tempoh yang tenang berlaku selama sebelas minggu. Penganalisis mata wang kripto terkenal iaitu Ton Vays percaya bahawa mata wang kripto utama ini sedang menamatkan fasa penyatuannya, dan ramai pelabur sudah pun “membeli bitcoin pada harga terendahnya,” membayangkan BTC sedang bersedia untuk mengalami pertumbuhan ke paras lebih tinggi. Bagi mencapai sasaran itu, ia harus melepasi rintangan pada paras $30,000. Jika “bull” berjaya menghadapinya, BTC akan mencecah nilai paling tinggi yang baru.

    “Inilah masanya untuk bitcoin mengalami pertumbuhan”, jelas Vays. “Walau bagaimanapun, jika dilihat pada carta, bull tiada kekuatan yang mencukupi. […] Masih ada masa untuk ia melepasi rintangan. Kita perlu melepasi paras $30,000, mengubah kedudukan indikator Lucid SAR, dan kemudian naik ke paras $34,000 di mana satu lagi paras rintangan menanti.” (Untuk rujukan: indikator Lucid SAR adalah satu variasi Parabolic SAR. Ia adalah indikator mengikuti trend yang menggabungkan harga dan masa dalam mengira trend serta menentukan titik masuk dan keluar.)

    Menurut penganalisis di JPMorgan, harga bitcoin dijangka naik kepada $45,000. Perkara ini telah ditunjukkan oleh harga emas semasa yang menghampiri $2,000 setiap auns. Para penganalisis sedar bahawa kedua-dua aset ini biasanya bergerak secara selari. Berdasarkan kepada pengiraan pakar strategi JPMorgan, nilai emas fizikal bukan milik bank pusat dianggarkan berjumlah sekitar $3 trilion. Perkara ini memberi bayangan harga emas digital, atau bitcoin adalah di sekitar $45,000 bagi setiap coin, dengan mengandaikan jumlah bitcoin dalam portfolio pelabur-pelabur persendirian menyamai jumlah logam berharga itu.

    Walau bagaimanapun, penganalisis di JPMorgan melihat nilai $45,000 sebagai harga had atas bitcoin, mencadangkan potensi terhad aset tersebut. Pengiraan ini tidak mengambil kira proses pengurangan penghasilan serta peningkatan kos para penghasil. Pengurangan penghasilan yang akan dilaksanakan pada tahun 2024 nanti akan menggandakan kos penghasilan bitcoin secara automatik kepada kira-kira $40,000, dan jika mengikut sejarah, nilai ini akan menjadi nilai sempadan bawah harga aset berkenaan.

    Apabila bercerita tentang penghasil, situasinya adalah dua kali lebih sukar. Dalam mengejar lebih banyak pulangan, mereka telah menyumbang kepada pengiraan yang lebih rumit. Sejak lima bulan dalam tahun 2023 ini, tahap kerumitan dalam pengiraan telah meningkat sebanyak 45%, menyamai peningkatan yang berlaku sepanjang tahun 2022. Pertambahan nilai bitcoin pada Q1 tahun ini telah meningkatkan sikap optimis dalam kalangan penghasil, mendorong kepada perkembangan kuasa pengkomputeran mereka secara aktif. Walau bagaimanapun, keadaan ini telah memberi kesan yang bertentangan kerana tahap kerumitan yang lebih tinggi memberi kesan kepada kadar keuntungan, menurunkan nilainya ke paras pada 13 Januari lalu semasa BTC didagangkan pada kadar $19,000.

    Bekas CEO BitMEX iaitu Arthur Hayes percaya bahawa tahun 2023 akan menjadi tahun yang sangat meruap bagi bitcoin kerana tindakan yang bakal diambil oleh pihak Sistem Rizab Persekutuan (FRS) di Amerika Syarikat. Namun, beliau tidak menjangkakan mata wang kripto akan mencecah nilai paling tingginya yang baru pada tahun ini. Hayes menyatakan, “Saya tidak rasa nilai bitcoin akan mencecah $70,000 pada tahun ini. Berkemungkinan besar, nilai itu akan dicapai pada tahun depan setelah proses pengurangan penghasilan dilaksanakan. Bitcoin akan terus mengalami pertumbuhan pada tahun 2025 dan 2026. Kemudian, saya jangkakan berlakunya malapetaka. Situasi ini bakal berlaku ketika tiada sesiapa pun jangkakan… Buat masa ini keadaannya adalah seperti di hujung tanduk: kerajaan AS mencetak sejumlah besar wang kertas, ramai yang hilang kepercayaan terhadap mereka, dan kebanyakan orang cuba bertahan mencari rezeki untuk diri mereka sendiri,” Hayes membuat kesimpulan.

    Penganalisis popular iaitu Credible Crypto tidak bersetuju dengan beliau. Mengikut pendapatnya, bitcoin mungkin meniru gelombang pertumbuhan impulsif yang dilihat dalam kitaran bull sebelum ini dan mencapai rekod nilai tertinggi yang baru seawal tahun 2023. “Saya sering mendengar bahawa adalah mustahil untuk bitcoin mencapai nilai tertinggi dalam sejarahnya pada tahun ini. Namun saya berpendapat kita perlu bandingkan keadaan sekarang dengan impuls yang berlaku kali terakhir pada tahun 2020. Ingatlah, bitcoin mengambil masa tiga bulan untuk melepasi paras $10,000. Namun dalam tempoh dua bulan berikutnya, nilai bitcoin meningkat 90% lagi. Hanya empat bulan selepas itu, ia mencapai rekod harga yang baru, naik lima kali ganda daripada $10,000. Maka jangan beritahu saya itu adalah mustahil buat bitcoin. Kita akan lihat nilai tertinggi yang baru pada tahun ini,” Credible Crypto berkata dengan penuh keyakinan.

    Majalah Business Insider juga telah menunjukkan minat dalam unjuran para penganalisis mengenai perkara yang bakal berlaku kepada mata wang kripto utama itu menjelang hujung tahun 2023. Charmyn Ho, Ketua Analisis di bursa kripto Bybit percaya bahawa bitcoin tidak akan boleh memperbaharui nilai tertingginya sehinggalah keadaan makroekonomi menjadi lebih jelas. Semuanya bergantung kepada unjuran yang menunjukkan potensi berlakunya keadaan gawat di AS, Eropah, serta lain-lain ekonomi utama akibat keluk kadar hasil terbalik dicampur lagi dengan beberapa faktor makroekonomi yang tidak menyebelahi seperti inflasi. Faktor pengurangan penghasilan juga perlu diambil kira, walaupun ia dijangka akan dilaksanakan pada bulan April 2024.

    Menurut Jagdeep Sidhu, Presiden Syscoin Foundation, walaupun ribut kripto telah beberapa kali melanda, ekosistem bitcoin terbukti berdaya tahan. Pasaran telah kembali pulih daripada keruntuhan bursa FTX menerusi kebolehannya yang ada untuk menyerap kejutan dan kemudian berkembang. Jika kadar inflasi di AS menurun dan undang-undang mengenai penyeliaan aset digital menjadi lebih jelas, nilai bitcoin boleh mencecah paras $38,000 menjelang akhir tahun ini, nilai yang lebih tinggi kira-kira 40% daripada nilai semasa.

    Mengikut senario yang ditunjukkan oleh Tim Shan, Ketua Pegawai Operasi bursa kripto Dexalot, bitcoin dijangka akan didagangkan pada julat antara $25,000 dan $32,000 menjelang hujung tahun 2023. Walau bagaimanapun, jika kadar inflasi masih kekal tinggi, harganya mungkin akan kembali turun kepada nilai terendah yang dicapainya pada awal tahun ini.

    David Uhryniak, Pengarah Pembangunan Ekosistem di TRON berasa yakin bahawa bitcoin akan mengakhiri tahun ini dengan nilai lebih daripada $35,000. Menurut beliau, pedagang tidak tergesa-gesa untuk melabur sejumlah besar wang mereka dan lebih mahu melihat di manakah mata wang kripto utama ini serta pasaran secara keseluruhannya akan berada. Menjelang Q4 2023, kebanyakan daripada keraguan yang timbul seharusnya akan hilang.

    Pasaran mata wang kripto tidak hanya bergantung kepada bitcoin semata-mata. Sudah agak lama sejak kita membincangkan tentang mata wang kripto kedua paling penting iaitu ethereum. Altcoin ini juga menunjukkan kadar kemeruapan yang tinggi, serta pulangan pelaburan yang sangat bergantung kepada titik masuk. Sebagai contoh, nilai coin ini naik daripada $90 kepada $4,855 antara Mac 2020 dan November 2021, naik lebih daripada 50 kali ganda. Namun, nilainya jatuh kepada $880 pada Jun 2022, susut 80% daripada nilainya. Melihat kepada nilai pulangan sejak awal tahun 2018 sehingga ke hari ini, jumlahnya agak sederhana iaitu 30%.

    Para penyelidik di VanEck telah membentangkan tiga senario harga untuk ethereum pada tujuh tahun akan datang. Mengikut senario biasa, nilai coin ini akan menjadi $11,849 pada tahun 2030. Mengikut senario bullish, nilai ETH boleh mencecah $51,006, manakala jika melihat pada senario bearish yang tidak menguntungkan, nilai ethereum akan jatuh kepada $343. “Anggaran nilai yang kami berikan adalah berdasarkan kepada andaian bahawa ethereum akan menjadi rangkaian untuk tujuan transaksi paling dominan di peringkat global, menjadi hos kepada sebahagian besar sektor perniagaan paling menguntungkan. Platform paling dominan mungkin akan memperoleh sejumlah besar bahagian pasaran yang ada,” jelas penganalisis di VanEck.

    Laporan tersebut turut menyatakan bahawa ethereum mungkin akan menjadi tempat simpanan kekayaan, sama seperti bitcoin, tetapi dengan sedikit perbezaan. “Kami mempertikaikan bahawa ETH melampaui transaksi mata wang mahupun transaksi komoditi seperti minyak atau gas asli. Kami percaya coin itu masih belum menjadi tempat menyimpan nilai yang lengkap seperti bitcoin disebabkan oleh kod dalam rangkaian ethereum yang berpotensi untuk berubah dan juga kedudukannya yang memfokuskan kepada projek utiliti. Namun begitu, mata wang kripto ini boleh menjadi aset simpanan bagi organisasi kerajaan yang ingin memaksimumkan modal insan."

    Walau bagaimanapun, menurut pakar strategi JPMorgan, ancaman utama kepada altcoin nombor satu itu datang daripada organisasi kerajaan. Tekanan yang mereka berikan serta aktiviti jual beli menimbulkan ancaman kepada Ethereum, dan dalam masa terdekat ini, ia mungkin membantutkan pertumbuhannya di belakang bitcoin. Perkara ini khususnya menjadi lebih ketara setelah Pengerusi SEC iaitu Gary Gensler menyatakan bahawa “semua kecuali bitcoin” adalah tertakluk di bawah undang-undang sekuriti. “Token kripto serta sekuriti kripto akan dikawal selia, dan mungkin akan pupus. Bitcoin adalah satu-satunya komoditi yang tidak akan dikawal selia oleh SEC. Bitcoin adalah rangkaian serta aset paling selamat.” komen CEO MicroStrategy iaitu Michael Saylor terhadap kenyataan Gensler.

    Semasa ulasan ini dibuat pada malam Jumaat, 2 Jun, pasangan BTC/USD didagangkan pada kadar $27,155, manakala ETH/USD pula didagangkan pada kadar $1,900. Jumlah keseluruhan modal pasaran mata wang kripto adalah sebanyak $1.149 trilion ($1.123 trilion minggu lalu). Kadar dominasi bitcoin dalam pasaran adalah sebanyak 47.51%, manakala Ethereum pula adalah 20.65%. Kadar Indeks Fear & Greed Kripto kekal tidak berubah secara relatifnya sepanjang tujuh hari lalu dan buat masa ini berada di zon Neutral pada bacaan 50 mata (berbanding 49 mata seminggu lalu).

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami