Jun 10, 2023

Emas adalah salah satu instrumen dagangan yang menjadi kegemaran bagi kebanyakan pedagang paling berjaya di NordFX. Perkara ini dengan mudah boleh dilihat pada ulasan kedudukan teratas pedagang paling berjaya yang dikeluarkan syarikat broker ini setiap bulan. Disebabkan itulah wajar untuk kami sediakan ulasan khas bagi memfokuskan pasangan XAU/USD secara khusus.

XAU/USD: Tinjauan Sejarah dan Unjuran Sehingga Tahun 20271 

Adakah Emas Benar-Benar Aset Terlindung?

Dalam keadaan ekonomi semasa, ditambah dengan percubaan bank-bank pusat utama di seluruh dunia yang ingin membendung kadar inflasi, harga logam berharga ini telah merekodkan nilai tertingginya, mencecah $2,080 bagi setiap auns troy pada 4 Mei lalu. Peserta pasaran bergegas untuk membeli emas kerana percaya ia boleh menjadi pelindung kepada modal mereka daripada susut nilai.

Mengikut tinjauan yang dijalankan oleh Bloomberg, kira-kira 50% daripada responden telah menyatakan bahawa emas adalah aset selamat utama mereka (bon Perbendaharaan AS berada di tempat kedua, hanya menerima 15% undian). Walau bagaimanapun, adakah emas benar-benar aset efektif bagi melindung nilai daripada risiko harga, atau ia hanyalah salah faham semata-mata?

Sebagai contoh, dengan mengambil kira tempoh daripada bulan Mac sehingga Oktober 2022, harga emas turun daripada $2,070 kepada $1,616, susut kira-kira 22% daripada nilainya. Penurunan itu tetap berlaku walaupun pada hakikatnya ketika itu kadar inflasi di Amerika Syarikat merekodkan paras tertingginya sepanjang 40 tahun. Maka, aset pelindung jenis apakah emas itu?

Pertumbuhan Harga Emas

Jika kita lihat semula dinamik harga emas sejak awal kurun ke-20, dapatlah kita lihat corak berikut. Pada tahun 1900, nilai logam berharga itu adalah kira-kira $20 bagi setiap auns troy.

Sepanjang tempoh antara 1914 dan 1918, di tengah-tengah Perang Dunia Pertama sehinggalah berakhirnya peperangan itu, harganya naik di sekitar $35. Kemudian, pada tahun 1930-an, semasa Zaman Kemelesetan melanda yang disebabkan oleh pembaharuan mata wang di Amerika Syarikat, harganya ditetapkan pada $20.67 bagi setiap auns troy. Sepanjang Perang Dunia Kedua, nilai aset tersebut kekal stabil dan telah ditetapkan pada $35 di bawah sistem Bretton Wood, harga yang sama seperti semasa Perang Dunia Pertama.

Pada tahun 1971, Amerika Syarikat tidak lagi mengikuti piawaian emas dan menyebabkan kadar tukarannya diapungkan dan harga emas pula naik. Pada lewat tahun 1970-an dan awal 1980-an, harganya naik melebihi paras $800 bagi setiap auns troy yang berpunca daripada ketegangan geopolitik, inflasi serta penurunan kadar pengeluaran emas. Bermula 1980-an sehinggalah 2000-an, harga emas jatuh dan turun naik dalam julat antara $250 dan $500.

 Sejak awal tahun 2000, harga emas naik dengan agak ketara disebabkan oleh kejadian-kejadian geopolitik, ketidakstabilan sektor kewangan, serta tekanan inflasi. Pada Ogos 2020, di tengah-tengah pandemik COVID-19 dan ketaktentuan ekonomi, harga emas melepasi paras $2,000 bagi setiap auns troy buat pertama kalinya. Walau bagaimanapun, berikutan daripada pencapaian itu, nilai emas mula susut akibat daripada keadaan ekonomi yang semakin pulih, pengetatan polisi oleh bank-bank pusat, kenaikan kadar faedah, dan pelbagai lagi faktor-faktor lain.

Percubaan untuk menembusi paras rintangan $2,000 yang berlaku pada Mac 2022 telah menemui kegagalan. Akhirnya, lonjakan kali ketiga berjaya dicapai pada bulan Mei tahun ini.

Kenapa Harga Emas Naik

Jadi, apakah perkara yang menyumbang kepada nilai emas dan kenapa harganya naik?

  • Bekalan yang Terhad dan Sukar Ditemui: Emas adalah logam yang sukar ditemui, dan pengeluarannya adalah terhad serta memerlukan usaha dan sumber yang besar.
  • Kukuh dan Tahan Lama: Sifat emas adalah sangat tahan dengan penggunaan dan kakisan. Ia dapat mengekalkan bentuk fizikalnya untuk tempoh yang lama, amat sesuai untuk dijadikan penyimpan nilai jangka masa serta sering digunakan dalam industri barang kemas dan banyak lagi.
  • Penyimpan Nilai: Emas telah lama dianggap sebagai aset penyimpan nilai. Ia boleh mengekalkan kuasa pembeliannya untuk tempoh yang panjang, bertindak sebagai aset lindung nilai terhadap kadar inflasi serta ketakstabilan kadar saham dan juga nilai mata wang.
  • Likuiditi dan Kebolehcaman: Emas diiktiraf secara universal dan diterima sebagai sebuah aset. Ia dengan mudah boleh ditukar kepada wang tunai atau digunakan sebagai medium pembayaran di pelbagai negara dan kebudayaan yang berbeza.

Faktor-faktor inilah yang menyumbang kepada kemahuan serta permintaan terhadap emas, seterusnya mendorong pertumbuhan harganya.

Faktor-Faktor Mempengaruhi Harga Emas

Mari kita mendalami faktor-faktor yang mempengaruhi harga emas. Penting untuk sedar bahawa tiada sebarang hubung kait langsung antara setiap satu daripada faktor-faktor ini dengan harga emas. Unjuran pasaran dan juga kombinasi faktor-faktor ini juga boleh memainkan peranan dalam menentukan harga emas. Sebagai contoh, lonjakan kadar XAU/USD yang berlaku baru-baru ini boleh dikaitkan dengan pendirian pihak Rizab Persekutuan AS yang dijangka akan menamatkan kitaran kenaikan kadar faedah mereka, potensi A.S. gagal membayar hutang negara, seta keadaan geopolitik dan ekonomi yang tidak stabil akibat serangan ketenteraan Rusia di Ukraine. Sekarang, mari kita lihat faktor-faktor utama tersebut:

  • Keadaan Ekonomi: Keadaan ekonomi global, termasuklah pertumbuhan atau penguncupan kadar KDNK, kadar pengangguran, serta kestabilan sektor kewangan secara keseluruhannya boleh memberi kesan kepada harga emas. Mengambil ketaktentuan di pasaran atau keadaan gawat sebagai contoh mungkin meningkatkan permintaan emas sebagai aset bebas risiko.
  • Konflik Geopolitik: Konflik politik dan geopolitik seperti serangan ketenteraan, peperangan, serangan pengganas, sekatan, pilihan raya, dll., mungkin boleh menyebabkan ketidakstabilan dan ketaktentuan pasaran, mendorong kepada pertambahan permintaan emas sebagai aset selamat.
  • Kadar Inflasi: Kadar inflasi memainkan peranan penting dalam menentukan harga emas. Jika kadar inflasi naik, harga emas biasanya akan turut naik kerana para pelabur mencari perlindungan terhadap  susut nilai mata wang.
  • Bank-Bank Pusat: Tindakan yang diambil bank-bank pusat, termasuklah perubahan kadar faedah boleh mempengaruhi harga emas. Sebagai contoh, penurunan kadar faedah mungkin akan merangsang permintaan emas kerana nilainya lebih menarik berbanding lain-lain aset.
  • Pergerakan Mata Wang: Pergerakan turun naik kadar tukaran antara negara-negara berbeza juga boleh memberi kesan terhadap harga emas. Jika mata wang negara pengeluar emas menjadi lemah berbanding lain-lain mata wang, harga emas dalam mata wang itu mungkin akan bertambah, merangsang eksport dan menambah permintaan emas.
  • Permintaan Pelaburan: Permintaan untuk pelaburan termasuklah pembelian jongkong emas, coin, serta transaksi niaga hadapan. Permintaan biasanya akan bertambah apabila tahap kepercayaan terhadap mata wang fiat menjadi semakin lemah.
  • Sangat penting untuk mempertimbangkan pengaruh antara faktor-faktor ini serta jangkaan pasaran apabila membuat penilaian harga emas.

Ramalan Harga: Adakah Nilai Emas akan Naik?

Apabila bercerita tentang ramalan harga, adalah penting untuk tahu bahawa semua ini adalah andaian semata-mata yang dibuat berdasarkan maklumat dan analisis sedia ada. Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, pasaran emas adalah rumit dan sering dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Sebarang unjuran yang dibuat adalah dinilai secara subjektif dan boleh berubah bergantung kepada keadaan ekonomi serta geopolitik, dan juga perubahan dalam bekalan serta permintaan di pasaran. Walau bagaimanapun, kita harus akui bahawa sesetengah ramalan itu terbukti hampir tepat.

Ini adalah beberapa contoh unjuran yang dibuat sebelum September 2021. Pada Mei 2021, penganalisis di Goldman Sachs menjangkakan harga emas boleh mencecah $2,000 bagi setiap auns troy menjelang tahun 2024. Dua bulan kemudian, rakan mereka di Bank of America menjangkakan perkara yang sama. Kedudukan pada paras ini berjaya dicapai setahun lebih awal. Namun, sama ada pasangan XAU/USD mampu untuk mengekalkan kedudukannya di atas paras ini, mengubah paras rintangan menjadi paras sokongan, masih menjadi tanda tanya.

Buat masa ini, pakar strategi di Goldman Sachs menunjukkan sasaran $2,200. Sementara itu, syarikat kewangan Swiss iaitu UBS percaya bahawa harga emas mungkin akan mencecah $2,100 menjelang akhir tahun 2023 dan menjadi $2,200 pada tahun 2024. (Perlu diketahui bahawa unjuran paras tertinggi mereka sebelum ini adalah $2,400 untuk tahun ini). Nilai yang hampir sama telah diramal oleh penganalisis di Agensi Unjuran Ekonomi (Economic Forecasting Agency) yang percaya bahawa harga emas mungkin boleh naik lebih tinggi daripada $2,400, namun hanya dijangka akan berlaku pada tahun 2027.

***

Pada awal ulasan ini, kami bertanyakan soalan adakah emas adalah aset pelindung. Pada awal kenyataan beliau, Warren Buffett menyampaikan rasa sangsi mengenai pelaburan di dalam emas, merujuk aset tersebut sebagai tidak produktif dan tidak menjana sebarang pulangan. Namun, melihat pada carta, jelaslah bahawa beliau telah membuat kesilapan. Malah pelabur lagenda itu sendiri mengakui perkara tersebut dan kemudian menyampaikan kenyataan positif terhadap emas sebagai satu aset penyimpan nilai. Pakar kewangan yang disegani iaitu Georgia Soros juga mengiktiraf emas sebagai aset kepelbagaian yang memberi perlindungan terhadap inflasi serta keadaan politik yang tidak stabil. Ray Dalio, pengasas firma pelaburan Bridgewater Associates mengesyorkan untuk menyertakan logam berharga ini ke dalam portfolio seseorang pelabur.

Berkemungkinan besar, jangkaan mereka semuanya adalah tepat, dan dalam masa terdekat ini, emas akan mengekalkan peranannya sebagai pemelihara modal utama. Namun, penting untuk sentiasa mengingati bahawa keberkesanan mana-mana pelaburan bergantung kepada titik masuk. Jika dagangan dibuat pada masa yang salah, terdapat kemungkinan modal deposit anda akan berkurangan. Namun begitu, untuk emas, kadar kebarangkalian kedudukan XAU/USD naik sekali lagi adalah lebih tinggi berbanding kebanyakan mata wang fiat. Untuk bertahan daripada turun dan akhirnya mencapai keuntungan, ilmu pengurusan modal, serta masa dan sabar adalah diperlukan.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami