Jun 24, 2023

EUR/USD: Kenyataan Rasmi Menjadi Pendorong Pasaran

  • Sebagai peringatan, pihak Federal Open Market Committee (FOMC) Rizab Persekutuan AS telah memutuskan untuk menghentikan sementara proses pengetatan polisi kewangan serta membiarkan kadar faedah mereka tidak berubah pada kadar 5.25% pada hari Rabu, 14 Jun lalu. Keesokan harinya, pada hari Khamis, 15 Jun, pihak Bank Negara Kesatuan Eropah (ECB) telah menaikkan kadar faedah euro sebanyak 25 mata daripada 3.75% kepada 4.00%. Presiden ECB iaitu Christine Lagarde telah memaklumkan bahawa pengetatan polisi kewangan serta kredit mereka akan terus dilaksanakan pada bulan Julai.

    Retorik yang tegas itu turut mendapat sokongan daripada wakil-wakil ECB yang lain. Mengikut komen yang diberikan oleh ahli Jawatankuasa Pentadbir ECB iaitu Olli Rehn, kadar inflasi asas di Eurozone turun dengan sangat perlahan, memerlukan lebih banyak usaha daripada pihak penggubal dasar bagi menstabilkan kadar harga. Keinginan penggubal dasar itu untuk terus menaikkan kadar faedah mereka turut disahkan oleh Ketua Pakar Ekonomi ECB iaitu Philip Lane dan juga ahli Jawatankuasa Pentadbir ECB iaitu Isabel Schnabel. Pada pandangan mereka, banyak yang perlu dilakukan penggubal dasar itu sebelum kadar inflasi kembali stabil di sekitar paras 2%. (Mengikut data terkini, kadar inflasi tahunan di Eurozone kekal pada 6.1%, manakala kadar Indeks Teras Harga Pengguna berada pada paras 5.3%).

    Berdasarkan kepada kenyataan bersifat hawkish para pegawai tertinggi Kesatuan Eropah itu, pasaran menyimpulkan bahawa kadar faedah euro dijangka akan dinaikkan sekurang-kurangnya dua kali lagi, pada bulan Julai dan September nanti, naik 25 mata asas untuk setiap kenaikan. Hal ini terus mengukuhkan lagi nilai euro, dan kadar EUR/USD mencecah kedudukan tertingginya iaitu 1.1011 pada hari Khamis, 22 Jun.

    Namun, dunia kewangan bukan hanya berkisarkan tentang ECB saja. Pada 21 dan 22 Jun, perhatian para peserta pasaran tertumpu kepada testimoni separuh tahunan Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell di hadapan Kongres A.S. Walaupun retorik yang dibuat secara keseluruhannya hampir sama dengan sidang akhbar pada 14 Jun lalu, kali ini Powell lebih menekankan tentang prospek kenaikan kadar yang lebih tinggi pada masa hadapan. Sentimen itu menjadi lebih kuat khususnya pada hari kedua beliau memberikan testimoni. Pendirian hawkish Pengerusi Rizab Persekutuan itu serta persekitaran pasaran yang menolak risiko telah membantu mata wang Amerika menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding pesaingnya. Pada hari Khamis, kadar Indeks Dolar A.S. (DXY) mengubah arah pergerakannya dan mula naik ke atas semula, manakala kadar EUR/USD pula turun.

    Kebimbangan berlakunya kegawatan di Eurozone yang semakin bertambah turut menjadi penghalang kepada euro. Pada hari Jumaat, 23 Jun, mata wang Eropah itu menerima tekanan bearish yang agak ketara disebabkan oleh data dari Jerman dan Eurozone yang menunjukkkan kadar aktiviti perniagaan (PMI) dalam sektor pembuatan terus susut dengan laju. Mengikut pengiraan Reuters berdasarkan kepada statistik PMI yang telah dikeluarkan, kemungkinan untuk kadar faedah akhir ECB mencecah 4.25% turun hampir kepada 0%, manakala kedudukan EUR/USD pula mencecah paras terendah mingguannya pada kadar 1.0844.

    Walau bagaimanapun, situasi yang dihadapi mata wang Eropah itu tidaklah begitu teruk, setidak-tidaknya untuk jangka masa sederhana. Sebagai contoh, pakar ekonomi di ANZ (Kumpulan Perbankan Australia dan New Zealand) percaya bahawa walaupun terdapat kemungkinan untuk pihak Rizab Persekutuan AS menurunkan kadar faedah mereka sebanyak 20 mata asas menjelang akhir tahun ini, jangkaan pasaran mencadangkan bahawa pihak ECB mungkin tidak akan mengambil tindakan yang sama sehinggalah awal tahun 2024. Hasil daripada perkara itu, kitaran pelonggaran polisi ECB mungkin dilaksanakan lebih lewat dan tidak begitu ketara jika dibandingkan dengan Rizab Persekutuan, memberi kelebihan kepada euro. Disebabkan itu, kadar EUR/USD boleh naik kepada 1.1200 pada Q3 nanti. Menurut pihak ANZ, kadar tukaran secara keseluruhannya akan turun naik dalam julat antara 1.0500 dan 1.1400 sepanjang tahun 2023.

    Setelah data PMI dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan di Amerika Syarikat dikeluarkan, pasangan EUR/USD mengakhiri tempoh lima hari dagangan pada paras 1.0893. Untuk prospek masa terdekat, semasa ulasan ini dibuat pada malam 24 Jun, unjuran dilihat agak tidak menentu: 45% penganalisis bersetuju dengan penyusutan kadar pasangan ini, manakala jumlah peratusan yang sama menjangkakan pertumbuhan kadarnya, dan baki 10% pula berpendirian neutral. Dalam kalangan pengayun bagi tempoh masa harian, 90% menunjukkan isyarat bullish, manakala 10% lagi kekal neutral. Berkenaan dengan indikator trend, 80% berwarna hijau, manakala 20% lagi berwarna merah. Sokongan paling hampir untuk pasangan ini berada di sekitar paras 1.0865, diikuti dengan 1.0790-1.0800, 1.0745, 1.0670, dan akhir sekali paras terendah pada 31 Mei lalu iaitu 1.0635. Bull akan berdepan rintangan di sekitar paras 1.0900-1.0925, diikuti dengan 1.0960-1.0985, 1.1010, dan 1.1045, serta rintangan lebih kuat di antara 1.1090-1.1110.

    Minggu depan akan memberikan pelbagai data makroekonomi dari Amerika Syarikat. Kita boleh menunggu data pasaran hartanah serta data pesanan barangan modal dan tahan lama untuk dikeluarkan pada hari Selasa, 27 Jun. Disamping itu, kadar Indeks Keyakinan Pengguna (CCI) oleh pihak Conference Board, antara indikator terkenal juga akan diketahui. Keputusan bagi ujian daya tahan tekanan bank di negara itu akan diketahui keesokan harinya, pada hari Rabu, 28 Jun, sesuatu yang menarik perhatian di tengah-tengah krisis perbankan akibat kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan. Lebih-lebih lagi, pada hari yang sama, Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell dijangka akan memberi ucapan beliau. Hari Khamis akan memberikan statistik pasaran buruh serta data kadar KDNK di negara tersebut. Akhir sekali, hari Jumaat, 30 Jun, kadar Indeks Teras Penggunaan dan Perbelanjaan Peribadi (PCE) penduduk Amerika, satu pengukur kadar inflasi penting akan dikeluarkan. Untuk ekonomi di Eurozone, kadar awal inflasi (CPI) di Jerman dan di Eurozone secara keseluruhannya yang masing-masing dijangka akan dikeluarkan pada 29 dan 30 Jun menjadi tumpuan.

GBP/USD: Kejutan Bank of England Tertangguh

  • Data ekonomi UK yang dikeluarkan pada minggu lalu dilihat agak bercampur-campur. Indikator inflasi yang penting iaitu kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) kekal tidak berubah pada bulan ini, pada paras 8.7% untuk tahun ke tahun, lebih daripada 8.4% yang dijangka pasaran. Data jualan runcit menunjukkan gambaran positif setelah mengalami pertumbuhan tak dijangka sebanyak 0.3% untuk bulan ini, berbanding penurunan kepada -0.2% yang diunjur dan juga kadar sebelum ini iaitu 0.5%. Jualan runcit teras yang mengecualikan minyak automotif naik sebanyak 0.1% berbanding -0.3% yang diunjur dan juga kadar sebelum ini iaitu 0.7%. Namun, indikator aktiviti perniagaan di negara ini agak mengecewakan. Kadar awal bagi Indeks Pengurusan Pembelian (PMI) Perkhidmatan susut kepada 53.7 untuk bulan Jun, berbanding 54.8 yang diunjur. Kadar PMI Pembuatan juga lebih rendah berbanding jangkaan, turun daripada 47.1 kepada 46.2 (diunjur: 46.8).

    Data inflasi yang dikeluarkan pada 21 Jun lalu bukan saja melebihi jangkaan pasaran malah juga melangkaui unjuran Bank of England (BoE) sendiri. Berlatarbelakangkan perkara ini, bank negara itu memberi kejutan semasa bermesyuarat pada hari Khamis, 22 Jun dengan menaikkan kadar asasnya sebanyak 50 mata asas dan bukannya 25 mata asas, menjadikan kadar faedahnya 5.00%.

    Jika mengikut logik konvensional, langkah yang diambil itu seharusnya dapat memberi sokongan kepada mata wang British. Walau bagaimanapun, perkara itu tidak berlaku. Kadar GBP/USD pada mulanya naik sebanyak 60 pips menjadi 1.2841 selepas 10 minit BoE membuat keputusan, tetapi kemudian turun lebih daripada 100 pips ke paras 1.2737. Para penganalisis percaya bahawa pergerakan ke atas pada mulanya didorong oleh algoritma dagangan reaktif terhadap tajuk utama berita, tetapi momentum bullish yang berlaku selepas itu terhalang disebabkan para penjual berdepan rintangan dekat dengan paras tertinggi sepanjang 14 bulan yang direkodkan pada 16 Jun.

    Pakar strategi dari ING, kumpulan perbankan terbesar di Belanda percaya bahawa kenaikan sebanyak 150 mata asas telah pun diambil kira sebelum Bank Negara itu bermesyuarat. Kadar mereka telah dinaikkan sebanyak 50 mata asas, kini pasaran menjangkakan kadar itu naik lagi 100 mata asas untuk menjadikannya 6.00%. Selain daripada kenaikan kadar faedah yang agresif, spekulasi semakin tersebar mengenai kemungkinan Bank of England terpaksa melonggarkan polisi kewangan mereka bermula pada musim panas 2024 (mungkin lebih awal) bagi mengelak ekonominya daripada jatuh.

    Pakar ekonomi di Commerzbank mempertikaikan kelewatan BoE menaikkan kadar faedah utama mereka serta kenaikan yang terlalu perlahan, meletakkan mereka dalam kedudukan mengejar. Pada pandangan mereka, penggubal dasar itu cuba mengejar kadar inflasi dan bukan membendungnya menerusi polisi kewangan, langkah pengetatan mungkin boleh memberi kesan negatif kepada mata wang British.

    Walau bagaimanapun, ada juga pendapat yang bertentangan. Sebagai contoh, pakar ekonomi di Scotiabank menjangkakan kadar GBP/USD boleh naik ke paras 1.3000 dalam masa terdekat ini. Rakan mereka di ING berkongsi pendapat yang sama dengan menyatakan “Melihat pada carta, tiada sebarang paras ketara yang wujud di antara kedudukan semasa dan juga 1.3000, hal ini mencadangkan bahawa paras 1.3000 tidak begitu jauh untuk dicapai."

    Pasangan GBP/USD mengakhiri minggu lalu pada paras 1.2714. Berdasarkan kepada kadar kemeruapan semasa, pasangan ini secara teorinya boleh melepasi baki jarak yang ada untuk menduduki paras 1.3000 hanya dalam masa beberapa minggu atau hari saja. Buat masa ini, 45% daripada penganalisis menyokong senario itu, manakala 25% lagi berpendapat sebaliknya, dan baki 30% pula enggan memberikan sebarang unjuran. Bagi analisis teknikal, kedua-dua pengayun dan juga indikator trend pada tempoh masa harian adalah sama seperti bacaan pasangan EUR/USD. Jika pasangan ini bergerak ke bawah, sokongan akan berada pada paras dan zon 1.2685-1.2700, 1.2625, 1.2570, 1.2480-1.2510, 1.2330-1.2350, 1.2275, dan 1.2200-1.2210. Jika ia bergerak ke atas, pasangan ini akan berdepan rintangan pada paras 1.2760, 1.2800-1.2815, 1.2850, 1.2940, 1.3000, 1.3050, dan 1.3185-1.3210.

    Satu perkara penting yang ada pada kalendar untuk minggu hadapan adalah data KDNK di United Kingdom yang akan dikeluarkan pada hari Jumaat, 30 Jun.

USD/JPY: Pengembaraan ke Bulan Diteruskan

  • Kami memberikan judul “Yen Mendapat Tiket ke Bulan” buat pasangan USD/JPY pada beberapa minggu yang lalu, dan kesannya masih lagi boleh dirasai. Pasangan ini mencecah ketinggian 143.86 pada minggu lalu. Menurut Commerzbank, “nilai yen yang lemah secara beransur-ansur menjadi karakter yang dramatik.” Pakar ekonomi di Bank United Overseas (UOB) Singapura mengunjurkan nilai dolar mungkin akan terus kukuh dalam masa 1-3 minggu seterusnya. Mereka berkata, “Paras penting yang berikutnya adalah 144.00. Masih terlalu awal untuk menentukan sama ada nilai dolar yang kukuh […] akan berjaya melepasi halangan ini. Namun begitu, paras sokongan kukuh kami telah pun diselaraskan kepada 141.60 daripada 141.00."

    Pakar ekonomi di MUFG Bank percaya bahawa jurang perbezaan yang semakin besar antara polisi kewangan Bank of Japan dan lain-lain bank pusat utama telah menjadi punca kepada nilai yen yang semakin lemah. “Perbezaan jumlah hasil bon antara Jepun dan negara-negara asing lain yang besar, serta penurunan kadar kemeruapan dan kadar faedah telah menyumbang kepada mata wang yen semakin dinilai lebih rendah,” jelas penganalisis MUFG. Menurut rakan mereka di konglomerat kewangan Perancis iaitu Societe Generale, jika kadar faedah di Amerika Syarikat dinaikkan lagi pada bulan Julai, kadar pasangan USD/JPY boleh naik ke paras 145.00. 

    Jelaslah bahawa yen bukan saja berdepan tekanan daripada pendirian “dovish” berterusan Bank of Japan (BoJ) malah juga daripada pertambahan secara keseluruhan hasil bon global. Tekanan yang dihadapi mata wang Jepun itu hanya boleh dikurangkan dengan berharap pihak BoJ akan mula mengambil langkah untuk menamatkan polisi kewangan mereka yang terlalu longgar. Contohnya, pakar ekonomi di Danske Bank berharap kadar tukaran USD/JPY akan turun lebih rendah daripada 130.00 dalam masa 6-12 bulan akan datang. Unjuran sama telah dibuat oleh pakar strategi di BNP Paribas yang mensasarkan paras 130.00 menjelang hujung tahun ini dan 123.00 menjelang tahun 2024.

    Bagi kerajaan Jepun dan juga Bank of Japan, nampaknya mereka masih belum bersedia untuk sebarang perubahan besar. Minggu lalu, Menteri Kewangan iaitu Shunichi Suzuki menyatakan bahawa sementara mereka memantau pergerakan mata wang dengan teliti, mereka tidak berniat untuk memberikan sebarang komen. Beliau menambah lagi bahawa “pergerakan mata wang yang mendadak cuba dielakkan” dan “kadar mata wang seharusnya ditentukan oleh pasaran yang mencerminkan indikator fundamental.” Namun, kami melihat ketua kementerian kewangan itu sebagai seorang yang menipu. Kami hanya perlu ingatkan bahawa Bank of Japan tanpa disangka-sangka telah terlibat dalam campur tangan mata wang pada tahun lalu setelah mendapat gesaan Kementerian Kewangan. Sepanjang berlakunya campur tangan ini, mata wang yen mampu menjadi lebih kukuh berbanding dolar lebih daripada 1,500 pips. Adakah tidak mustahil untuk kejutan sama berlaku sekarang?

    Setelah mencapai ketinggian 143.86 sekali lagi, pasangan ini mengakhiri minggu pada paras 143.71. Semasa ulasan ini dibuat, 60% penganalisis menjangkakan nilai yen sekurang-kurangnya akan pulih sedikit dan menolak kedudukan pasangan ini ke bawah, manakala 30% lagi penganalisis menunjukkan pergerakan mendatar. Walaupun jumlah yang menyokong pertumbuhan pasangan pada kali ini hanyalah sebanyak 10%, ketahuilah bahawa unjuran kelompok minoriti boleh menjadi kenyataan. Lebih-lebih lagi, ia disokong oleh analisis teknikal kerana 100% indikator trend dan juga pengayun pada tempoh masa harian menunjukkan pertumbuhan. Namun, satu perempat daripada keseluruhan pengayun memberikan isyarat aktif pasangan ini memiliki lebih belian. Sokongan paling hampir berada di zon 143.00-143.20, diikuti dengan 142.20, 1.4140, 140.90-141.00, 1.4060, 139.85, 1.3875-1.3905, 138.30, dan 137.50. Rintangan paling hampir berada pada paras 143.85, kemudian bull perlu berdepan halangan pada paras 144.90-145.30, 146.85-147.15, 148.85, dan berpotensi mencecah paras tertinggi pada Oktober 2022 iaitu 151.95.

    Tiada sebarang maklumat ekonomi penting berkaitan keadaan ekonomi Jepun yang dijangka akan dikeluarkan pada minggu depan.

MATA WANG KRIPTO: Pemengaruh Bertaruh ke atas Bitcoin

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 26 - 30 Jun, 20231

  • Bear mendominasi pasaran kripto untuk sembilan minggu berturut-turut. Namun, situasi itu berubah secara tiba-tiba pada 15 Jun apabila bitcoin menunjukkan pertumbuhan mendadak yang tidak disangka-sangka. Nilainya menembusi paras rintangan $25,000, $26,500, malah melepasi nilai $30,000, mencecah ketinggian $31,388 pada 23 Jun. Kenaikan minggu lalu adalah berjumlah lebih daripada 26%. Altcoin turut mengikuti trend pertumbuhan bitcoin dengan ethereum mengalami pertumbuhan nilai kira-kira 19%.

    Lonjakan nilai bitcoin telah didorong oleh beberapa siri berita positif. Tumpuan paling utama adalah pengumuman gergasi pelaburan BlackRock yang memfailkan permohonan bagi melancarkan tabung amanah spot bitcoin, satu usaha bertujuan untuk memudahkan akses pelabur berintstitusi terhadap pasaran kripto. Walau bagaimanapun, itu bukanlah satu-satunya berita yang menggembirakan. Antara konglomerat kewangan terbesar di Jerman, Deutsche Bank, telah mengisytiharkan penyertaan mereka ke dalam pasaran aset digital serta penglibatannya dalam servis penjagaan mata wang kripto. Gergasi kewangan Wall Street iaitu Citadel dan juga Fidelity telah berganding bahu melancarkan bursa kripto disentralisasi yang diberi nama EDX Markets pada 20 Jun. Satu lagi gergasi pelaburan, Invesco yang menguruskan aset dengan nilai $1.4 trilion telah memfailkan permohonan bagi ETF spot Bitcoin. (MicroStrategy percaya bahawa ETF seperti itu mampu menarik pelaburan bernilai trilion dolar). Akhir sekali, pengeluaran kelompok baru coin stabil Tether (USDT) mungkin turut menyumbang kepada pertumbuhan kadar BTC/USD.

    Perlu diketahui bahawa lonjakan nilai mata wang kripto terunggul ini berlaku walaupun pihak Suruhanjaya Bursa dan Sekuriti A.S. mengambil tindakan keras terhadap pasaran digital. Sebelum ini, pihak SEC telah memfailkan tuntutan mahkamah terhadap Binance dan Coinbase, menuduh kedua-dua platform dengan penjualan sekuriti tidak berdaftar. Mengikut dokumen mahkamah, pihak SEC telah menamakan lebih daripada dua belas jenis token sebagai sekuriti. Menurut para penganalisis, kejayaan yang diraih penggubal dasar itu mampu mendorong kepada penyahsenaraian coin-coin berkenaan serta mengehadkan potensi pembangunan blockchain yang berkaitan. Lebih daripada 60 coin sudah pun disenarai hitam penggubal dasar berkenaan.

    Preston Pysh, penulis buku pelaburan popular percaya bahawa tekanan yang diberikan penggubal dasar adalah satu kempen yang telah dirancang. Ia bertujuan untuk memberi pelabur-pelabur besar laluan dan peluang bagi memasuki pasaran aset digital dengan keadaan yang menguntungkan. Beliau memberikan contoh langkah berani yang diambil oleh gergasi Wall Street seperti yang telah dinyatakan sebelum ini untuk menyokong hujah beliau.

    Hos TV yang juga seorang hartawan, Mark Cuban, serta bekas eksekutif SEC iaitu John Reed Stark telah membincangkan tentang tindakan keras yang dilaksanakan ke atas industri kripto. Stark percaya bahawa tindakan yang diambil SEC itu adalah satu keperluan. Menurut beliau, penggubal dasar itu cuba untuk melindungi para pelabur daripada potensi penipuan serta helah yang wujud dalam sektor ini. Beliau juga yakin bahawa tindakan SEC itu akhirnya akan memberi manfaat kepada industri dengan menyingkirkan pelabur-pelabur yang tidak jujur serta menambah lagi tahap ketelusan. Bagi Mark Cuban pula, beliau menyamakan keadaan sekarang ini dengan situasi pada awal kewujudan internet. Pada pandangan hartawan itu, “90% daripada syarikat blockchain akan berdepan dengan kegagalan. 99% token kripto akan gagal. Sama seperti 99% syarikat yang telah tiada semenjak wujudnya internet."

    Sedia maklum bahawa kebanyakan individu pemengaruh berasa skeptikal tentang mata wang kripto dan mengetepikan bitcoin. Kami sudah memetik kenyataan Benjamin Cowen, pengasas Into The Cryptoverse yang percaya bahawa altcoin “akan berdepan hari-hari terakhirnya manakala dominasi bitcoin akan terus berkembang.” Sentimen yang hampir sama turut disampaikan oleh pedagang terkenal iaitu Gareth Soloway yang berkata beliau sering membandingkan pasaran kripto dengan gelembung dot-com. Menurut beliau, keruntuhan pasaran yang berlaku pada awal 2000-an akan berulang semula dalam industri ini. Soloway memberi jaminan bahawa “sistem perlu menyingkirkan sampah” untuk berkembang pesat. Beliau percaya bahawa 95% daripada kesemua token “akan susut nilainya kepada sifar."

    Robert Kiyosaki, penulis buku “Rich Dad Poor Dad” baru-baru ini telah memberi amaran mengenai keruntuhan pasaran hartanah yang bakal berlaku. Menurut penganalisis itu, pembiaya pinjaman hartanah di California iaitu LoanDepot sudah pun berada di ambang kebankrapan, dan kejatuhan pasaran hartanah yang akan berlaku nanti adalah lebih teruk berbanding krisis sama yang dialami pada tahun 2008. Dalam situasi ini, Kiyosaki sekali lagi menasihatkan para pengikut beliau agar bersedia untuk berdepan bencana ini serta mengumpul logam berharga dan bitcoin.

    Mike Novogratz, CEO syarikat Galaxy Digital juga percaya bahawa dalam proses membendung kadar inflasi, permintaan bagi instrumen alternatif juga bertambah, dan salah satunya adalah Bitcoin yang beliau jangkakan nilainya akan mencecah $500,000 untuk jangka masa panjang. Max Kaiser, seorang bekas pedagang dan juga hos televisyen yang kini menjadi penasihat kepada Presiden El Salvador iaitu Nayib Bukele, malah menyatakan nilainya mampu naik lebih tinggi iaitu $1 juta bagi setiap coin. Cathy Wood, CEO ARK Invest juga percaya sasaran $1 juta itu boleh dicapai.

    Peter Brandt yang dikenali sebagai “Bijak Pandai Misteri Pasaran” juga turut serta dalam memberi pujian kepada bitcoin dengan menyatakan keraguan beliau terhadap coin-coin lain kecuali bitcoin. Pedagang dan penganalisis lagenda ini menyatakan bitcoin adalah satu-satunya mata wang kripto yang akan berjaya mengakhiri perlumbaan ini. Beliau kemudiaannya menyatakan bahawa mungkin ethereum (ETH) boleh bertahan, tetapi legasi sebenar adalah milik bitcoin. Benjamin Cowen yang disebut sebelum ini juga menjangkakan ethereum akan berdepan kesukaran, mencadangkan kadar ETH/BTC mungkin akan turun ke paras Q1 2021 tidak lama lagi, berpotensi untuk susut 45% daripada nilai semasa.

    Chris Burniske, seorang rakan kongsi dalam firma modal teroka Placeholder sedia maklum bahawa pertumbuhan yang dialami mata wang kripto sering terjadi apabila kadar indeks Nasdaq 100 (NDX) berada dalam keadaan tenang. Kemeruapan yang rendah dalam pasaran saham mendorong modal mengalir masuk ke dalam aset lebih berisiko, dan bermulalah lonjakan bullish bitcoin. Burniske merujuk kepada pemerhatian yang dibuat pengasas syarikat Glassnode iaitu Jan Happel dan Yan Allemann. Berdasarkan penemuan yang mereka dapati, sejak tahun 2019, bitcoin telah menunjukkan pertumbuhan kukuh setelah tamatnya sentimen bullish pada indeks NDX. Buat masa ini, kedudukan bitcoin tidaklah begitu jauh untuk ia melepasi NDX sekali lagi setelah indeks itu hampir mencapai kadar tertingginya.

    Pelabur popular dan pengasas syarikat modal teroka Eight iaitu Michael Van De Poppe percaya bahawa adalah mustahil untuk ramalan BTC yang bersifat negatif daripada berlaku jika melihat keadaan pasaran semasa walaupun terdapat sebilangan penulis yang menjangkakan nilai mata wang kripto tersebut akan jatuh kepada $12,000. Pada pendapat beliau, para pelabur seharusnya “mengisi poket mereka” sekarang dalam menantikan pertumbuhan nilai lebih tinggi.

    Kadar dominasi BTC mencecah 50% pada hari Khamis, 21 Jun. Ini bermakna separuh daripada keseluruhan modal yang ada dalam pasaran mata wang kripto datang daripada aset ini. Kali terakhir kadarnya setinggi ini adalah pada dua tahun lalu iaitu pada Mei 2021. Pertumbuhan yang berlaku baru-baru ini adalah berpunca daripada tekanan SEC terhadap altcoin dan juga permohonan tabung amanah spot bitcoin oleh syarikat BlackRock. Michael Saylor, CEO syarikat MicroStrategy percaya bahawa dominasi bitcoin akan terus meningkat dan mencecah 80% pada tahun-tahun akan datang. “Buat masa ini, terdapat 25,000 token dengan kualiti yang berbeza boleh didapati di pasaran, dan perkara ini membingungkan pelabur-pelabur besar,” beliau berkata. “Setelah menyingkirkan aset-aset yang tidak diperlukan menerusi SEC, modal-modal besar akan lebih mudah untuk dilaburkan ke dalam mata wang terunggul itu.".

    Semasa ulasan ini dibuat pada malam Jumaat, 23 Jun, pasangan BTC/USD didagangkan di sekitar $30,840. Jumlah keseluruhan modal pasaran mata wang kripto adalah berjumlah $1.196 trilion ($1.064 trilion minggu lalu). Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto telah kembali kepada kedudukan pertengahan bulan April lalu, naik daripada zon Neutral ke zon Greed sepanjang minggu, naik daripada 47 mata kepada 65 mata.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami