Julai 1, 2023

EUR/USD: Bila Pasangan Ini Akan Kembali ke Paras 1.1000?

  • Merumuskan dua minggu terakhir bulan Jun, keputusan yang diperoleh daripada konfrontasi antara EUR dan USD boleh dianggap sebagai neutral. Pada hari Jumaat, 30 Jun, kedudukan terakhir pasangan EUR/USD adalah sama seperti pada 15 dan 23 Jun lalu.

    Pada hari Khamis, 29 Jun, beberapa data makroekonomi yang kukuh telah diperoleh dari AS. Biro Analisis Ekonomi telah menyemak semula serta menaikkan kadar KDNK mereka untuk suku pertama kepada 2.0% tahun ke tahun (YoY) (diunjur 1.3%). Bagi pasaran buruh, jumlah awal untuk tuntutan pengangguran pada minggu lalu turun hampir sebanyak 30K, mencecah paras paling rendahnya sejak hujung bulan Mei lalu - 239K.

    Jika diingat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Rizab Persekutuan AS telah memutuskan untuk menghentikan sementara proses pengetatan kewangan mereka pada mesyuarat 14 Jun lalu serta membiarkan kadar faedahnya tidak berubah pada 5.25%. Lalu, peserta pasaran membuat spekulasi mengenai tindakan penggubal dasar tersebut yang seterusnya. Data yang dikeluarkan telah mengukuhkan lagi keyakinan mengenai kestabilan ekonomi negara itu dan menambah lagi jangkaan kadar faedah akan dinaikkan lebih tinggi. Mengikut FedWatch Tool oleh pihak CME, kadar kebarangkalian untuk kadar faedahnya naik sebanyak 25 mata asas (bp) pada mesyuarat bulan Julai nanti meningkat kepada 87%, manakala kebarangkalian jumlah keseluruhan kenaikan kadar faedah menjelang akhir tahun 2023 sebanyak 50 bp adalah hampir 40%. Akibatnya, pada tengah hari Jumaat, 30 Jun, pasangan EUR/USD mencatatkan kedudukan mingguan terendahnya pada paras 1.0835.

    Bercakap pada forum ekonomi di Sintra (Portugal) pada hari Rabu, 28 Jun, Pengerusi Rizab Persekutuan AS iaitu Jerome Powell telah menyatakan kenaikan lebih tinggi kadar faedah mungkin akan didorong oleh pasaran buruh yang kukuh serta kadar inflasi yang terus meningkat. Namun, data kadar teras perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) yang dikeluarkan pada 30 Jun menunjukkan bahawa walaupun sedikit perlahan, kadar inflasi semakin berkurangan. Kadar indeks PCE untuk bulan Jun diunjur mungkin akan kekal pada paras sebelum ini iaitu 4.7%, namun secara realitinya, ia turun kepada 4.6%. Hal ini dilihat sedikit membendung sentimen bullish terhadap dolar, menyebabkan kadar indeks DXY turun dan mengembalikan pasangan EUR/USD ke zon tengah koridor mendatar sepanjang dua minggu, mengakhiri lima hari dagangan pada paras 1.0910.

    Bagi keadaan ekonomi di seberang Lautan Atlantik pula, berikutan data awal kadar inflasi yang tinggi dari Sepanyol dan juga Jerman, pasaran menjangkakan kadar Indeks Harga Pengguna Terlaras (HICP) di Eurozone akan naik kepada 0.7% untuk bulan Jun, lebih tinggi berbanding bulan sebelumnya iaitu 0.2%. Walaupun kadar sebenarnya lebih tinggi berbanding bulan Mei, namun perbezaannya begitu kecil, pada kadar 0.3%. Selain itu, kadar awal Indeks Harga Pengguna (CPI) yang dikeluarkan pada hari Jumaat, 30 Jun menunjukkan penurunan kadar inflasi di Eurozone daripada 6.1% kepada 5.5% tahun ke tahun (diunjur 5.6%).

    Jika diingat setelah barisan pemimpin ECB mengeluarkan kenyataan bersifat hawkish pada pertengahan bulan Jun, pasaran sudahpun menjangkakan dua kali kenaikan kadar faedah euro yang akan dibuat pada bulan Julai dan September nanti, 25 mata asas bagi setiap kenaikan. Justeru, data baru kadar inflasi di Eropah tidak begitu memberi kesan kepada sentimen para pelabur.

    Hari Jumaat, 30 Jun bukan saja menjadi hari terakhir bagi suku tahun kedua, malah menandakan berakhirnya setengah tahun pertama. Berkenaan perkara ini, wakil-wakil dari beberapa buah bank telah memberikan unjuran mereka untuk setengah tahun kedua 2023 serta awal tahun 2024. Pakar ekonomi di Credit Agricole melihat tahap risiko yang dihadapi pasangan EUR/USD sekarang akan mula reda dalam masa terdekat dan menjangkakan kedudukannya pulih secara perlahan-lahan bermula daripada Q4 2023. Pada pendapat mereka, pasangan ini mungkin boleh naik ke paras 1.1000 dalam tempoh 6-12 bulan seterusnya.

    Pakar strategi di Wells Fargo menjangkakan nilai dolar akan menjadi sedikit stabil atau mungkin lebih kukuh sepanjang tahun 2023. Walau bagaimanapun, mereka meramalkan nilainya akan susut dengan ketara pada tahun hadapan. Jelas penganalisis Wells Fargo, “Memandangkan kami menjangkakan kegawatan yang kecil akan berlaku di A.S. serta pelonggaran polisi Rizab Persekutuan yang akan dilaksanakan kelak, kami meramalkan mata wang dolar A.S. akan lebih susut nilainya dengan beransur-ansur. […] Kami menjangkakan bahawa menjelang akhir tahun 2023, kadar wajar dagangan dolar A.S. akan berubah sedikit jika dibandingkan dengan kadar yang ada sekarang, dan kadar itu akan susut sebanyak 4.5% menjelang tahun 2024."

    Pakar ekonomi di Goldman Sachs juga memperbaharui unjuran mereka untuk EUR/USD. Kini mereka juga menjangkakan nilainya akan sedikit susut beberapa bulan akan datang serta tempoh yang lebih panjang sehingga akhir tahun 2023 dan setengah tahun pertama 2024 untuk mata wang euro pulih. Mereka menjangkakan kadar pasangan ini akan menjadi 1.0700 dalam masa tiga bulan, 1.1000 dalam masa enam bulan, dan 1.1200 dalam tempoh dua belas bulan.

    Untuk prospek jangka masa pendek, semasa ulasan ini dibuat pada malam 30 Jun, 50% penganalisis bersetuju dengan penurunan pasangan ini, 25% memilih pertumbuhannya, manakala baki 25% lagi berpendirian neutral. Dalam kalangan pengayun pada D1, 35% berada pada pihak bull (hijau), 25% berada pada pihak bear (merah), dan 40% pula memilih warna kelabu neutral. Dalam kalangan indikator trend, 90% berwarna hijau, dan hanya 10% berwarna merah. Sokongan paling hampir bagi pasangan ini berada di sekitar 1.0895-1.0900, diikuti dengan 1.0865, 1.0790-1.0815, 1.0745, 1.0670 dan akhir sekali, paras terendah 31 Mei lalu iaitu 1.0635. Bull akan berdepan rintangan di sekitar 1.0925-1.0940, diikuti dengan paras 1.0985, 1.1010, 1.1045, 1.1090-1.1110.

    Perkara yang menjadi tumpuan untuk minggu hadapan termasuklah penyiaran kadar Indeks Pengurusan Pembelian (PMI) dalam sektor Pembuatan di Jerman dan juga di AS pada hari Isnin, 3 Julai. Minit mesyuarat FOMC yang terkini akan dikeluarkan pada hari Rabu, 5 Julai. Keesokan harinya, pada hari Khamis, 6 Julai, data jumlah jualan runcit di Eurozone akan diketahui. Pada hari yang sama, laporan jumlah pekerjaan ADP serta kadar PMI dalam sektor perkhidmatan di AS juga akan dikeluarkan.

    Mengakhiri minggu bekerja, satu lagi kumpulan data dari pasaran buruh AS akan dikeluarkan pada hari Jumaat, 7 Julai, termasuklah kadar pengangguran serta jumlah penggajian bukan dalam sektor agrikultur (NFP) yang penting. Presiden ECB iaitu Christine Lagarde juga dijangka akan memberikan ucapan pada hari yang sama.

    Disamping itu, para pedagang harus mengingati bahawa hari Selasa, 4 Julai adalah hari cuti umum di AS kerana negara itu menyambut Hari Kemerdekaan. Disebabkan itu, pasaran akan ditutup lebih awal pada hari sebelumnya kerana hari cuti.

GBP/USD: Bagaimana En. Powell "Mengalahkan" En. Bailey

  • Dalam ulasan sebelum ini, kami maklum dengan kesan besar yang diberikan oleh kenyataan para pegawai rasmi terhadap sebut harga pasaran. Minggu ini sekali lagi mengesahkan perkara itu. Pada hari Rabu, 28 Jun, pasangan GBP/USD menunjukkan penyusutan yang agak menakjubkan. Ia berpunca daripada kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell dan juga Gabenor Bank of England iaitu Andrew Bailey di Sintra. Bailey berjanji bahawa Bank Pusat di bawah pimpinannya akan “mencuba sehabis baik agar inflasi mencapai kadar yang telah disasarkan”. Kata-kata ini membayangkan terdapat sekurang-kurangnya dua lagi kenaikan kadar faedah. Walau bagaimanapun, Powell juga tidak menolak tentang langkah mengetatkan lagi polisi kewangan Rizab Persekutuan, walaupun kadar inflasi di AS adalah lebih rendah berbanding di United Kingdom. Disebabkan oleh kedua-dua kenyataan itu, kejayaan menjadi milik Jerome Powell dan juga mata wang AS, manakala kadar GBP/USD pula turun mendadak.

    Keesokan harinya, statistik makro dari AS yang memberangsangkan telah mengukuhkan lagi nilai dolar. Jika bukan disebabkan oleh kadar indeks Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) di AS yang dikeluarkan pada hari terakhir minggu, kesan yang diterima pound mungkin adalah lebih teruk. Namun disebabkan oleh PCE, mata wang itu telah berjaya pulih dan mendapatkan semula hampir kesemua kerugian yang dialami dalam masa hanya beberapa jam dan mengakhiri minggu dengan berada pada kedudukan 1.2696.

    Semasa berucap di Sintra seperti yang telah dinyatakan tadi, Andrew Bailey turut menyatakan bahawa “ekonomi di UK terbukti lebih berdaya tahan” jika dibandingkan dengan apa yang Bank Negara itu jangkakan. Kami benar-benar ini mempercayai ketua BoE itu. Namun, data yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Kebangsaan (ONS) pada 30 Jun lalu membangkitkan sedikit kebimbangan. Pertumbuhan kadar KDNK di negara itu untuk Q1 2023 adalah 0.1% bagi penggal suku tahunan dan 0.2% bagi penggal tahunan. Jika indikator pertama ini kekal berada pada paras sebelumnya, maka indikator kedua pula menunjukkan penurunan yang lebih besar: rupa-rupanya nilai tersebut adalah 0.5% lebih rendah berbanding pada Q4 2022.

    Menurut pakar ekonomi Credit Suisse, situasi yang dihadapi Bank of England boleh ditafsir sebagai benar-benar luar biasa. Namun kelembapan kadar KDNK British dilihat tidak begitu membimbangkan barisan kepimpinan BoE yang lebih fokus membendung kadar inflasi yang tinggi.

    Selepas mesyuarat untuk bulan Mei dan Jun, pihak BoE telah menaikkan kadar faedah mereka sebanyak 25 mata asas dan 50 mata asas untuk menjadikannya 5.00%. Kebanyakan penganalisis percaya bahawa penggubal dasar itu mungkin sudah pun menaikkan kadarnya kepada 5.50% pada dua mesyuarat yang akan datang, dan kemudian kepada 6.25%, walaupun diancam kegawatan ekonomi. Pengambilan langkah seperti itu pada masa hadapan akan dapat memberi sokongan kepada pound. Sebagai contoh, Credit Suisse percaya bahawa walaupun nilai pound menjadi lebih kukuh dengan mendadak sejak September 2022, kadar GBP/USD masih lagi berpotensi untuk naik ke paras 1.3000.

    Dari sudut analisis teknikal, petunjuk yang diberikan oleh pengayun pada D1 dilihat agak samar-samar - satu pertiga daripadanya menunjukkan pertumbuhan, satu pertiga lagi penurunan, dan baki satu pertiga menunjukkan pergerakan mendatar. Gambaran lebih jelas telah ditunjukkan oleh indikator trend - 90% mengesyorkan untuk beli, 10% lagi jual. Jika pasangan ini turun ke bawah, ia perlu melepasi sokongan pada paras dan zon 1.2625, 1.2570, 1.2480-1.2510, 1.2330-1.2350, 1.2275, 1.2200-1.2210. Jika pasangan ini bergerak ke atas, ia akan berdepan rintangan pada paras 1.2755, 1.2800-1.2815, 1.2850, 1.2940, 1.3000, 1.3050, dan 1.3185-1.3210.

    Untuk perkara yang akan berlaku minggu hadapan, fokus harus diberikan terhadap penyiaran data PMI dalam sektor pembuatan di UK pada hari Isnin, 3 Julai. Pada hari Selasa, 4 Julai, laporan Bank of England akan dikeluarkan, ia mungkin dapat memberikan lebih banyak penjelasan tentang hala tuju polisi kewangan mereka pada masa hadapan. Pada hari terakhir minggu, Jumaat, 7 Julai, data dari pasaran buruh AS, termasuklah data pengangguran serta indikator penting seperti jumlah pekerjaan baru bukan dalam sektor agrikultur (NFP) akan dikeluarkan.

    Untuk berita minggu yang akan datang, tumpuan boleh diberikan pada hari Jumaat, 3 Julai, apabila kadar Indeks Pengurusan Pembelian (PMI) dalam sektor Pembuatan di United Kingdom akan dikeluarkan.

USD/JPY: “Tiket ke Bulan” Ternyata Pelbagai Guna

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 03 - 07 Julai, 20231

  • Sebaik saja kami membincangkan tentang potensi campur tangan yang mungkin diambil bagi menyokong mata wang yen dalam ulasan sebelum ini, hampir semua orang mula berbincang tentang topik yang sama, termasuklah penganalisis malah para pegawai dalam Kerajaan Jepun. Sudah pasti, spekulasi yang kami timbulkan itu bukanlah pencetusnya; ia didorong oleh kadar tukaran mata wang Jepun. Minggu lalu, pasangan USD/JPY meneruskan “penerbangan ke bulan”, merekodkan satu lagi kedudukan paling tinggi dalam sejarah iaitu 145.06. Menariknya, paras 145.00 adalah paras yang mencetuskan campur tangan pertama Bank of Japan (BoJ) itu sejak sekian lama.

    Telah banyak kali dinyatakan bahawa jurang perbezaan antara polisi kewangan Bank of Japan dan lain-lain bank negara utama yang semakin besar menjadi punca utama kepada nilai yen yang lebih lemah. Maka, selepas data kadar KDNK di US serta data tuntutan manfaat pengangguran dikeluarkan pada minggu lalu, hasil bon 10 tahun perbendaharaan AS naik kepada 3.84%, manakala bon dua tahun pula naik ke paras tertinggi sejak bulan Mac iaitu 4.88%. Justeru, jurang antara hasil bon AS dan Jepun terus menjadi lebih besar, mencerminkan perbezaan polisi kewangan antara pihak Rizab Persekutan dan BoJ yang begitu jauh serta menolak kedudukan pasangan USD/JPY ke paras lebih tinggi. Dalam situasi seperti ini, dapat difahami mengenai persoalan yang timbul tentang kemampuan penggubal dasar di Jepun dalam menyokong mata wang negara itu secara buatan.

    Hirokazu Matsuno, Ketua Setiausaha Kabinet Jepun pada hari Jumaat, 30 Jun telah menyatakan bahawa pihak berkuasa sedang “memantau rapat pergerakan mata wang dengan perasaan terdesak dan kesegeraan yang tinggi.” “Penting untuk kadar tukaran bergerak secara stabil yang mencerminkan indikator fundamental ekonomi. Baru-baru ini, pergerakan secara unilateral yang mendadak telah dapat dilihat. [Kami] akan mengambil langkah bersesuaian sebagai respon untuk pergerakan mata wang secara berlebihan itu,” janji pegawai tertinggi itu.

    Walau bagaimanapun, sebilangan penganalisis berasa ragu-ragu dengan kemampuan serta kekuatan yang ada pada Kerajaan Jepun dan juga Bank Negara itu bukan saja dalam mengukuhkan nilai yen, malah dalam mengekalkannya untuk satu jangka masa yang panjang. Cukup dengan mengingati bahawa tidak sampai lapan bulan sejak campur tangan kali terakhir yang diambil pada November 2023, dan sekarang, sekali lagi pasangan USD/JPY melonjak ke ketinggian 145.00. Disebabkan semua rizab mata wang adalah terhad, jelas penganalisis di Commerzbank, kesukaran dalam menyelesaikan masalah ini tiada penghujungnya, dan “apa yang tinggal hanyalah berharap agar para pegawai di kementerian [kewangan] sedar tentang perkara ini dan tidak terlalu yakin dengan kemampuan mereka sendiri.".

    Polisi kewangan yang dilaksanakan Kerajaan Jepun dan Bank Negaranya sejak kebelakangan ini jelas menunjukkan bahawa fokus mereka bukan saja berkenaan kadar tukaran yen, malah juga terhadap indikator ekonomi. Namun, penting untuk mengingati bahawa salah satu daripada indikator itu adalah inflasi. Berkenaan perkara ini, kita telah lihat peningkatan kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) untuk tahun ke tahun iaitu 3.1%, berbanding 3.0% bulan sebelum ini dan 2.7% pada bulan Februari. Walaupun nilai-nilai ini adalah lebih rendah berbanding yang dilihat di AS, Eurozone, atau UK, tiada siapa dapat memberi jaminan kadar inflasi tidak akan terus bertambah. Jika BoJ tidak mahu mengetatkan polisi mereka yang terlalu rendah serta menaikkan kadar faedahnya, satu-satunya cara yang ada untuk mengekalkan kadar tukaran adalah dengan campur tangan mata wang. Persoalan yang tinggal adalah bila ia akan dilaksanakan - sekarang atau apabila kadarnya mencecah 150.00 seperti yang berlaku pada musim bunga 2022 lalu.

    Kebanyakan penganalisis masih berharap Bank of Japan akhirnya akan memutuskan untuk mengetatkan polisi mereka. Harapan ini membolehkan pakar-pakar ekonomi di Danske Bank untuk mengunjurkan kadar USD/JPY berada lebih rendah daripada 130.00 dalam masa 6-12 bulan. Unjuran yang hampir sama telah dibuat oleh pakar strategi di BNP Paribas yang mensasarkan paras 130.00 menjelang hujung tahun ini dan 123.00 menjelang akhir tahun 2024. Namun, unjuran daripada Wells Fargo dilihat agak sederhana, para penganalisisnya menjangkakan pasangan ini hanya akan berada di kedudukan 133.00 menjelang hujung tahun 2024. Apa-apa pun, berada pada kedudukan itu sudah dianggap satu pencapaian buat mata wang Jepun kerana ia mengakhiri minggu lalu pada paras 144.29 setelah data PCE di AS dikeluarkan.

    Semasa ulasan ini dibuat, seperti minggu lalu, 60% penganalisis menjangkakan yen mampu berjaya mendapatkan semula sekurang-kurangnya sebahagian daripada kerugian yang dialami dan menolak pasangan ini ke bawah, manakala baki 40% lagi penganalisis menunjukkan pergerakan mendatar. Namun, tiada siapa yang bersetuju dengan pertumbuhan pasangan tersebut pada kali ini. Perlu diketahui bahawa hanya sebahagian kecil saja yang menjangkakannya pada minggu lalu, hanya berjumlah 10%. Namun begitu, pasangan USD/JPY meneruskan perjalanannya ke atas. Akhirnya, sementara para penganalisis membuat jangkaan, pasaran sendiri yang memutuskan. Dalam hal ini, tiada sebarang perasaan ragu-ragu yang ditunjukkan kedua-dua indikator trend dan juga pengayun: 100% pada D1 menunjukkan pertumbuhan. Walau bagaimanapun, satu perempat daripada pengayun dengan aktif menunjukkan keadaan lebihan belian pasangan ini.

    Sokongan paling hampir berada di zon 143.74, diikuti dengan 142.95-143.20, 142.20, 141.40, kemudian 140.90-141.00, 140.60, 138.75-139.05, 138.30, dan 137.50. Rintangan terdekat berada pada paras 144.55, kemudian bull perlu berdepan halangan pada paras 145.00-145.30, 146.85-147.15, dan 148.85, sebelum mencecah ketinggian yang dicapai pada Oktober 2022 iaitu 151.95.

    Tiada sebarang maklumat ekonomi penting yang berkaitan dengan ekonomi Jepun dijangka akan dikeluarkan pada minggu depan. Itulah hakikatnya melainkan Bank of Japan mengumumkan campur tangan mata wang yang kebiasaannya tidak akan mereka umumkan terlebih dahulu.

MATA WANG KRIPTO: Kegilaan Pelabur Berinstitusi Bitcoin Mendapat Momentum

  • Semua yang telah dibincang dan diimpikan selama ini dilihat akan berlaku: gergasi kewangan global akhirnya percaya dengan masa depan Bitcoin yang cerah. Pada tahun 2021, Matt Hougan, Ketua Pegawai Pelaburan di Bitwise telah menyatakan bahawa niaga hadapan yang berasaskan kepada ETF mata wang kripto tidak sesuai untuk pelabur-pelabur jangka masa panjang disebabkan kos berkaitan yang tinggi. Beliau menyebut bahawa setelah dagangan spot dana dagangan bursa (ETF) yang berasaskan bitcoin wujud, pelabur-pelabur berinstitusi akan mula membuat pelaburan yang besar. Baru-baru ini, dalam satu temubual bersama Bloomberg, Hougan mengisytiharkan ketibaan era baru dengan berkata, “Sekarang BlackRock telah mengibarkan panji mereka dan mengatakan BTC memiliki nilai, iaitu aset yang pelabur-pelabur berinstitusi ingin laburkan. Saya percaya kita sedang memasuki era baru mata wang kripto, yang saya gelarkan sebagai ‘era arus perdana’, dan saya jangkakan trend bull bertahun-tahun ini sudah bermula.".

    Spot ETF BTC ialah satu bentuk dana dengan sahamnya didagangkan di bursa dan ia mengikuti kadar spot atau pasaran BTC. Idea utama di sebalik ETF seperti itu adalah bagi menyediakan akses kepada pelabur berinstitusi terhadap dagangan bitcoin tanpa memilikinya secara fizikal serta dilakukan menerusi produk kewangan biasa yang dikawal selia.

    Buat masa ini, lapan institusi kewangan utama telah menghantar permohonan mereka kepada pihak Suruhanjaya Bursa dan Sekuriti A.S. (SEC) untuk memasuki pasaran mata wang kripto menerusi ETF berasaskan spot. Selain daripada gergasi pelaburan BlackRock, pihak lain yang turut memohon termasuklah pengurus aset global seperti Invesco dan Fidelity. Bank-bank global seperti JPMorgan, Morgan Stanley, Goldman Sachs, Bank of New York Mellon, Bank of America, Deutsche Bank, HSBC, serta Credit Agricole juga turut serta dengan demam bitcoin ini.

    Perlu diketahui bahawa sebelum ini pihak SEC telah menolak kesemua permohonan yang hampir sama. Namun, situasi sekarang mungkin akan berbeza. Pengerusi SEC iaitu Gary Gensler telah mengesahkan bahawa pihak SEC menganggap bitcoin sebagai satu komoditi, membuka prospek meluas untuk mata wang kripto utama itu. Cameron Winklevoss, salah seorang pengasas bursa mata wang kripto Gemini telah memberitahu bahawa pelabur-pelabur berinstitusi sudah bersedia untuk mula membeli BTC, dan menjangkakan dana spot berasaskan BTC itu mendapat kelulusan. “Jelaslah Bitcoin adalah satu pelaburan paling menguntungkan pada dekad sebelum ini. Hakikat itu akan terus berlaku pada dekad ini,” kata Winklevoss. Sentimen ini turut dikongsikan oleh Hugh Hendry, pengurus dana lindung nilai Eclectica Asset Management yang percaya bahawa BTC mampu menambah jumlah modal pasarannya tiga kali ganda lebih banyak untuk jangka sederhana.

    Bagi altcoin pula, situasi yang bakal dihadapi pula lebih mencabar. Max Keiser, seorang maksimalis dan kini menjadi penasihat kepada Presiden El Salvador percaya bahawa Gary Gensler memiliki peralatan teknikal serta pengaruh politik yang cukup untuk mengkategorikan XRP dan ETH sebagai satu bentuk sekuriti, sesuatu yang pada akhirnya akan memusnahkan altcoin-altcoin itu. “Pihak Suruhanjaya Bursa dan Sekuriti sedang bertungkus-lumus bekerja dengan kartel-kartel bank, bersama-sama berkomplot demi kepentingan struktur kewangan,” tulis Keiser di dalam blog beliau.

    Wajar untuk dinyatakan di sini bahawa pihak SEC telah memfailkan tuntutan mahkamah terhadap Binance dan Coinbase dengan menuduh platform-platform itu menjual sekuriti tidak berdaftar. Dalam dokumen mahkamah, pihak Suruhanjaya itu mengenal pasti Solana (SOL), Cardano (ADA), Polygon (MATIC), Coti (COTI), Algorand (ALGO), Filecoin (FIL), Cosmos (ATOM), Sandbox (SAND), Axie Infinity (AXS), dan Decentraland (MANA) sebagai sekuriti. Beberapa lagi platform mata wang kripto sudah pun menjadikan kenyataan SEC sebagai panduan, dan untuk mengelak daripada menerima pertuduhan, mereka telah menyahsenarai altcoin-altcoin tersebut.

    Kenyataan di atas itu menunjukkan bahawa terdapat kemungkinan bitcoin akan mengekalkan kedudukannya dalam pasaran untuk masa terdekat ini. Mark Yusko, pengasas dan juga CEO Morgan Creek Capital percaya bahawa trend bullish BTC boleh terus berlaku sehinggalah proses pengurangan penghasilan yang seterusnya, dijangka akan dilaksanakan pada April 2024. “Saya merasakan lonjakan ini hanyalah permulaan. Kita baru memasuki tempoh yang dikenali sebagai musim kebangkitan kripto,” jelas penganalisis itu. Namun, beliau memberi amaran bahawa setelah lonjakan bersifat spekulatif yang berpunca daripada pengurangan penghasilan, menjadi kebiasaan untuk wujudnya reaksi berlebihan pada arah bertentangan, juga dikenali sebagai musim dingin kripto.

    Menurut seorang penganalisis yang dikenali sebagai InvestAnswers, selain daripada proses pengurangan penghasilan seterusnya, penerimaan oleh pelabur-pelabur berinstitusi yang telah bermula akan membantu mendorong kepada pertumbuhan kadar BTC dengan menambah jumlah permintaan aset serta mengurangkan bekalannya. Gergasi pelaburan yang telah dinyatakan tadi secara kolektifnya menguruskan aset bernilai trilion dolar, manakala jumlah keseluruhan modal pasaran Bitcoin hanyalah lebih sedikit daripada $0.5 trilion. Hanya sebahagian kecil daripada jumlah $0.5 trilion ini yang didagangkan dengan aktif di pasaran.

    Peter Schiff, presiden syarikat Euro Pacific Capital dan seorang pengkritik Bitcoin yang tabah terus dengan pendapat beliau yang berbeza. Beliau percaya bahawa “tiada aset lain yang rendah kualitinya daripada mata wang kripto.” “Bitcoin terkecuali daripada lonjakan nilai aset berspekulatif tinggi sehingga baru-baru ini. Setelah nilainya turut sama naik sekarang, terdapat kemungkinan ia akan berakhir tidak lama lagi,” jelas beliau. Menurut Schiff, menjadi kebiasaan untuk lonjakan seperti itu berakhir apabila “aset paling tidak berkualiti” turut sama mengalami pertumbuhan, sebagai rujukan terhadap aset digital.

    Melihat pada carta BTC/USD, sangkaan Peter Schiff itu mungkin ada benarnya. Setelah nilainya naik akibat berita BlackRock dan minat yang ditunjukkan oleh pelabur-pelabur berinstitusi lain, pasangan ini telah didagangkan pada julat mendatar yang sempit antara $28,850 dan $31,000 sepanjang minggu lalu. Menurut para penganalisis, selain daripada bimbang dengan tindakan yang boleh diambil SEC, pertumbuhan pasaran bitcoin dan mata wang kripto buat masa ini terhalang oleh para penghasil. Menembusi rintangan pada paras $30,000 menggesa mereka untuk menghantar coin ke bursa dengan jumlah paling banyak ($128 juta hanya pada minggu lalu). Penghasil kripto berasa bimbang dengan kejatuhan harga yang ada sekarang akibat tindakan undang-undang yang lebih ketat terhadap industri ini. Disamping itu, purata kos penghasilan kekal tinggi berbanding harga semasa aset digital disebabkan pelaksanaan cara pengiraan yang lebih rumit sejak satu setengah tahun lalu. Akibatnya, para penghasil terpaksa menjual coin yang mereka miliki agar dapat bertahan untuk meneruskan aktiviti penghasilan, membiayai perbelanjaan, serta membayar hutang.

    Semasa ulasan ini dibuat pada malam Jumaat, 30 Jun, pasangan BTC/USD didagangkan di sekitar $30,420. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto turun sedikit kepada $1.191 trilion ($1.196 trilion minggu lalu). Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto berada di sempadan antara zon Greed dan Neutral, turun daripada 65 mata kepada 56 mata untuk sepanjang minggu.

    Pemangkin baru sangat-sangat diperlukan bagi meneruskan perjalanan ke paras lebih tinggi. Salah satu daripadanya adalah kontrak niaga hadapan ethereum dan bitcoin yang tamat tempoh pada hari Jumaat, 30 Jun. Mengikut AmberDate, lebih daripada 150,000 opysen BTC dengan nilai keseluruhan sekitar $4.57 bilion telah diselesaikan di Bursa Deribit. Selain itu, kontrak ETH bernilai $2.3 bilion juga telah diselesaikan. Menurut penganalisis di CoinGape, perkara ini mampu mencetuskan kadar turun naik yang ketara pada bulan Julai serta menyediakan sokongan kukuh terhadap aset-aset tersebut. Namun, ia masih lagi bergantung kepada data makroekonomi yang akan dikeluarkan di Amerika Syarikat nanti.

    Pada malam 30 Jun, pasangan ETH/USD didagangkan di sekitar paras $1,920. Sebilangan penganalisis percaya bahawa ethereum masih lagi berpotensi untuk menghasilkan lebih banyak momentum bullish. Penganalisis popular iaitu Ali Martinez menunjukkan bahawa ETH mungkin akan berdepan halangan besar di sekitar $2,000-2060 kerana lebih daripada 832,000 alamat telah membuat jualan pada julat itu sebelum ini. Namun, jika ethereum berjaya melepasi zon tersebut, ia adalah peluang terbaik untuk mengalami impuls mendadak menuju kadar $2,330. Lebih-lebih lagi, ia berpotensi untuk mengalami pertumbuhan ke paras $2,750 dalam jangka masa panjang.

    Akhir sekali, sedikit mengenai sejarah. Sepuluh tahun lalu, Davinci Jeremie telah memuat naik satu video YouTube yang sangat mengesyorkan para penontonnya agar membelanjakan sekurang-kurangnya satu dolar untuk membeli bitcoin dan menjelaskan kenapa nilai BTC boleh bertumbuh pada tahun-tahun mendatang. Pada waktu itu, kebanyakan orang yang enggan mendengar cadangan Jeremy berasa marah dan terhibur dengan ramalan beliau itu. Namun, kini mereka berasa sangat menyesal kerana mereka boleh melabur $1 untuk membeli lebih daripada 1,000 BTC, pelaburan yang bernilai $30 juta sekarang.

    Dalam temubual baru-baru ini, Jeremy menekankan bahawa masih berbaloi untuk membeli bitcoin. Menurut beliau, hanya 2 peratus daripada populasi dunia memiliki mata wang kripto, maka ia masih berpotensi untuk menggembirakan para pelaburnya dengan rekod baru. “Namun, terdapat juga satu masalah,” jelas Jeremy. “Semua orang ingin membeli bitcoin. Namun, tiada siapa yang pergi ke kedai dan berkata, ‘Boleh saya dapatkan satu trilion epal?’ Jadi, walaupun bitcoin adalah aset yang boleh dibahagikan, secara asasnya sifat itu menjadi titik lemahnya sendiri. Jawapan kepada masalah ini adalah untuk memaparkan pecahan kecil yang ada menjadi lebih mesra pengguna dan mudah difahami. Sebagai contoh, berbanding menulis jumlahnya seperti 0.000001 BTC, mereka mungkin boleh menggantikan nilai itu dengan jumlah satoshi yang sama, iaitu unit paling kecil bagi satu Bitcoin dengan nilai 0.00000001 BTC yang tidak boleh dibahagikan."

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami