Julai 8, 2023

EUR/USD: Terlalu Bergantung Kepada Kadar CPI

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 10 - 14 Julai, 20231

  • Kadar Indeks Dolar (DXY) bertumbuh dengan stabil sepanjang minggu lalu, mencapai kadar tertingginya pada hari Khamis, 6 Julai. Disebabkan itu, kadar EUR/USD lebih cenderung memihak kepada mata wang Amerika, hingga mengakibatkan pasangan ini menduduki kedudukan terendah mingguannya pada paras 1.0833. Nilai dolar yang menjadi semakin kukuh itu telah didorong oleh penyiaran minit mesyuarat Federal Open Market Committee's (FOMC) yang telah diadakan pada 14 Jun lalu. Dalam mesyuarat berkenaan, para ahli jawatankuasa menekankan tentang risiko akibat tekanan inflasi serta memberikan komitmen mereka dalam mencapai kadar inflasi sasaran 2.0% secepat yang mungkin. Mereka juga maklum dengan kesesuaian dengan sekurang-kurangnya satu lagi kenaikan kadar faedah selain daripada kenaikan bulan Julai nanti yang mampu merangsang keyakinan bull indeks DXY. Jika diingat ketua penggubal dasar tersebut iaitu Jerome Powell juga ada menyatakan sebelum ini bahawa “sebahagian besar pemimpin Rizab Persekutuan telah menjangkakan dua atau lebih lagi kenaikan kadar menjelang hujung tahun ini".

    Segalanya dilihat berjalan agak lancar untuk dolar. Walau bagaimanapun, statistik yang telah dikeluarkan sepanjang minggu lalu dilihat agak bercampur-campur, menimbulkan perasaan ragu-ragu mengenai polisi hawkish penggubal dasar itu yang tidak berbelah bahagi. Mengikut laporan yang dikeluarkan ADP, dari satu sudut, kadar penggajian dalam sektor swasta di AS yang diunjur sebanyak 228K sebenarnya naik 497K pada bulan Jun, dan jumlah itu adalah lebih tinggi berbanding 267K pada bulan Mei. Dari sudut yang lain pula, kadar indeks kekosongan kerja JOLTS pula adalah berjumlah 9.82 juta untuk bulan Mei, turun daripada 10.3 juta pada bulan sebelumnya dan kurang sedikit daripada jumlah 9.935 yang diunjur. Kadar indeks PMI dalam sektor pembuatan di AS yang telah susut untuk lapan bulan berturut-turut juga agak mengecewakan, berada pada kadar 46.0 untuk bulan Jun - kadar terendahnya sejak Mei 2020. Memberikan komen terhadap kadar-kadar ini, Ketua Pakar Ekonomi Perniagaan di S&P Global Market Intelligence iaitu Chris Williamson berkata bahawa “keadaan sektor pembuatan di AS merosot dengan mendadak pada bulan Jun, dan perkara ini menambahkan lagi kebimbangan tentang ekonominya yang mungkin menjadi gawat pada enam bulan terakhir tahun ini ".

    Kebimbangan ini menjadi lebih teruk akibat ketegangan sektor dagangan yang baru antara AS dan China. Berlatarbelakangkan perkara ini, timbul persoalan dalam kalangan peserta pasaran adakah pihak Rizab Persekutuan berani untuk meneruskan kenaikan kadar faedah mereka pada bulan Julai nanti? (Pasaran telah lama mengambil kira kenaikan daripada 5.25% kepada 5.50% pada 27 Julai dalam sebut harga mereka.) Atau adakah penggubal dasar itu akan mengumumkan penamatan kitaran pengetatan polisi kewangan mereka? Data terkini dari pasaran buruh yang dikeluarkan pada hari Jumaat, 7 Julai lalu mungkin dapat memberikan jawapan.

    Data yang dikeluarkan agak mengecewakan bull DXY. Kadar indeks Gaji Bukan Ladang (Non-Farm Payrolls atau NFP), petunjuk kepada kelembapan ekonomi yang berpotensi berlaku di Amerika Syarikat menunjukkan jumlah pekerjaan baru bukan dalam sektor agrikultur susut kepada 209K pada bulan Jun. Jumlah ini adalah lebih rendah berbanding pada bulan Mei iaitu 306K dan 225K yang diunjur. Bagi pertumbuhan kadar purata gaji jam pula, mengikut laporan Biro Statistik Buruh AS, indikator ini kekal berada pada kadar sebelum ini: 4.4% tahun ke tahun dan 0.4% bulan ke bulan. Satu-satunya jangkaan pasaran yang berjaya dipenuhi adalah kadar pengangguran, susut daripada 3.7% kepada 3.6% sepanjang bulan lalu.

    Berikutan penyiaran data-data seperti itu, dolar kembali dijual di pasaran, dan pasangan EUR/USD mengakhiri minggu bekerja dengan berada pada paras 1.0968. Untuk prospek jangka pendek, semasa ulasan ini dibuat pada malam 7 Julai, 35% daripada penganalisis menjangkakan pertumbuhan lebih tinggi pasangan ini, 45% mengunjurkan penurunan, manakala baki 20% lagi mengambil pendirian neutral. Dalam kalangan pengayun pada D1, 80% bersetuju dengan bull, 20% pula memihak kepada bear, dan kesemua indikator trend lebih cenderung menyokong bullish. Sokongan paling hampir bagi pasangan ini berada di sekitar 1.0895-1.0925, diikuti dengan 1.0835-1.0865, 1.0790-1.0800, 1.0740, 1.0670, dan akhir sekali, kedudukan paling rendah pada 31 Mei iaitu 1.0635. Bull akan berdepan rintangan di sekitar paras 1.0975-1.0985, diikuti dengan 1.1010, 1.1045, 1.1090-1.1110 selepas itu.

    Keseluruhan pakej data inflasi pengguna di AS yang mungkin dapat memberikan kesan paling ketara terhadap masa depan polisi kewangan Rizab Persekutuan akan dikeluarkan pada minggu hadapan. Kadar Indeks Harga Pengguna (CPI), termasuk kadar teras akan diketahui pada hari Rabu, 12 Julai. Keesokan harinya, hari Khamis, 13 Julai, kita akan menerima maklumat mengenai indikator penting seperti jumlah tuntutan manfaat pengangguran serta kadar Indeks Harga Pengeluar (PPI). Hari Jumaat pula, sebagai “kemuncak”, kita akan dihidangkan dengan kadar Indeks Keyakinan Pengguna oleh University of Michigan. Bagi statistik penting di Eropah, kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) di Jerman akan dikeluarkan pada hari Selasa.

GBP/USD: Prospek untuk Trend Bullish

  • Pada minggu lalu, pound dengan jelas menjadi penerima manfaat paling besar untuk pasangan GBP/USD. Pada 29 Jun, mata wang British didagangkan pada kadar 1.2600, manakala pada 7 Julai, kadarnya sudah pun mencecah ketinggian 1.2848.

    Mata wang pound telah mendapat sokongan daripada data pasaran buruh serta aktiviti pembuatan yang lemah di AS, serta keraguan mengenai penyambungan pendirian hawkish Rizab Persekutuan. Mata wang itu turut dibantu oleh hakikat bahawa kadar Indeks Pengurusan Pembelian (PMI) dalam sektor Pembuatan di UK mencecah 46.5 untuk bulan Jun, kadar yang walaupun lebih rendah daripada bulan sebelum ini iaitu 47.1, ia lebih tinggi berbanding 46.2 yang dijangka pasaran. Berlatarbelakangkan data-data ini, kemungkinan untuk polisi kewangan Bank of England (BoE) lebih diperketatkan lagi dengan aktif secara umumnya sudah tidak diragui lagi. Berikutan mesyuarat penggubal dasar itu untuk bulan Mei dan Jun, pihak BoE telah menaikkan kadarnya masing-masing sebanyak 25 mata asas dan 50 mata asas untuk menjadikannya 5.00%. Kebanyakan penganalisis percaya bahawa penggubal dasar itu mampu untuk menaikkannya kepada 5.50% pada dua mesyuarat yang berikutnya, malah mungkin naik kepada 6.25% selepas itu, walaupun diancam kegawatan ekonomi. Dalam situasi ini, mata wang British memiliki kelebihan yang lebih besar. Sebagai contoh, di Credit Suisse, mereka percaya bahawa pasangan GBP/USD masih berpotensi untuk naik ke paras 1.3000.

    Pasangan ini mengakhiri minggu lalu pada paras 1.2838. “Momentum trend bullish terus diyakini pengayun jangka masa pendek, jangka sederhana dan jangka panjang, mencadangkan pertumbuhan ke paras 1.2850 (dan lebih tinggi) masih boleh berlaku,” pakar ekonomi dari Scotiabank menjelaskan. Mengikut teori, dengan kadar kemeruapan sekarang ini, pasangan GBP/USD boleh meneruskan baki perjalanan ke paras 1.3000 dalam masa beberapa minggu atau malah beberapa hari saja. Walau bagaimanapun, pada Ketika ini, hanya 25% penganalisis yang bersetuju dengan senario tersebut. Pendapat bertentangan disokong oleh 45%, manakala baki 30% lagi kekal berpendirian neutral.

    Untuk analisis teknikal, 90% pengayun pada D1 menunjukkan pertumbuhan (suku daripada jumlah itu berada di zon lebihan belian), dan 10% menunjukkan pergerakan mendatar. 100% indikator trend mengesyorkan untuk jual. Jika pasangan ini turun ke bawah, ia akan menerima sokongan pada paras dan zon 1.2755, 1.2680-1.2700, 1.2590-1.2625, 1.2480-1.2510, 1.2330-1.2350, 1.2275, 1.2200-1.2210. Jika pasangan ini naik ke atas, ia akan berdepan rintangan pada paras 1.2850, 1.2940, 1.3000, 1.3050 dan 1.3185-1.321.

    Perkara penting yang akan berlaku pada minggu depan termasuklah ucapan oleh Gabenor Bank of England iaitu Andrew Bailey pada hari Isnin, 10 Julai, serta penyiaran data pasaran buruh di UK pada hari Selasa, 11 Julai.

USD/JPY: Lonjakan dan Kejayaan Bear Pasangan ini yang Gagal Diteruskan

  • Jangkaan yang telah lama dinantikan oleh para penganalisis akhirnya berlaku: “penerbangan lebih tinggi” pasangan USD/JPY tergendala dan berubah kepada penurunan cemas. Lebih tepat lagi, ia bukan saja penurunan, tetapi benar-benar jatuh. Puncanya, sudah tentulah data makroekonomi yang lemah di AS kerana tiada apa yang berubah di Jepun. Polisi Bank of Japan (BoJ) kekal tidak berubah. Timbalan Gabenor Bank Negara itu, Shinichi Uchida baru-baru ini sekali lagi telah menolak kemungkinan untuk mengakhiri polisi kewangan mereka yang teramat longgar dengan lebih awal serta beralih daripada kadar faedah negatif.

    Polisi kewangan yang dilaksanakan Kerajaan serta Bank Negara Jepun sepanjang beberapa tahun lalu jelas menunjukkan bahawa kadar yen, malah kadar inflasi, bukanlah menjadi keutamaan mereka, walaupun kadar CPI telah naik kepada 3.1% untuk tahun ke tahun. Yang menjadi keutamaan adalah indikator ekonomi, dan semuanya dilihat baik-baik sahaja. Kadar Indeks Tankan bagi Pengeluar Utama yang dikeluarkan pada hari Isnin, 3 Julai menunjukkan pertumbuhan menakjubkan daripada 1 kepada 5 (diunjur 3), menandakan keadaan perniagaan yang lebih baik di negara itu.

    Pasangan USD/JPY didagangkan pada kadar 145.05 pada 30 Jun, manakala kadar minimum pada 7 Julai telah direkodkan pada paras 142.06. Maka, dalam masa hanya seminggu, yen telah berjaya mendapatkan semula 300 mata penuh daripada dolar. Punca kepada kejayaan bear itu adalah lebihan jualan mata wang Jepun. Seperti yang ditekankan pakar strategi dari konglomerat kewangan Perancis iaitu Societe Generale, nilai yen tidak pernah serendah ini sejak 1970-an. “Ralat penentuan harga sebesar ini boleh terus berlaku lebih lama daripada yang kita jangkakan,” mereka berkata, “namun kali ini sangat luar biasa, dan sebaik saja kadarnya mula ditukarkan semula, tidak syak lagi nilai yen akan mula melonjak naik.” Menganalisis prospek pasangan ini, Societe Generale menjangkakan bahawa hasil perolehan bon 5 tahun kerajaan A.S. akan turun kepada 2.66% dalam masa setahun, membolehkan pasangan USD/JPY turun lebih rendah daripada 130. Jika hasil perolehan bon kerajaan Jepun (JGB) kekal pada paras semasa, pasangan ini malah berpeluang untuk turun ke paras 125.00.

    Kami maklum dengan jangkaan pakar ekonomi dari Danske Bank dalam ulasan sebelum ini yang menyebut kadar USD/JPY akan berada lebih rendah daripada 130.00 antara 6-12 bulan akan datang. Pakar strategi di BNP Paribas memberikan unjuran yang hampir sama - mereka mensasarkan paras 130.00 menjelang akhir tahun ini dan 123.00 menjelang hujung tahun 2024. Ramalan Wells Fargo dilihat agak sederhana - para penganalisisnya percaya bahawa pasangan ini hanya akan turun ke paras 133.00 menjelang hujung tahun 2024.

    Minggu lalu melihat pasangan USD/JPY ditutup pada paras 142.10. Semasa ulasan ini dibuat, 60% penganalisis percaya bahawa pergerakan ke bawah ini hanyalah pembetulan jangka pendek, dan pasangan ini akan kembali mengalami pertumbuhan dalam masa terdekat. Baki 40% bersetuju dengan pertumbuhan lebih tinggi. Isyarat yang ditunjukkan indikator pada D1 dilihat agak bercampur-campur. Dalam kalangan pengayun, 25% berwarna hijau, 15% berwarna kelabu neutral, dan 60% lagi berwarna merah (suku daripadanya menunjukkan pasangan ini memiliki lebihan jualan). Dalam kalangan indikator trend, keseimbangan kekuatan antara warna hijau dan merah adalah 50% dan 50%. Sokongan paling hampir berada di zon 141.40-141.60, diikuti dengan 140.45-140.60, 1.3875-1.3905, 137.50, 135.90-137.05. Rintangan paling hampir berada di antara 145.00-145.30, kemudian bull perlu berdepan halangan pada paras 146.85-147.15, 148.85, dan kedudukan seterusnya tidak jauh daripada paras tertinggi yang dicapai pada Oktober 2022 iaitu 151.95.

    Tiada sebarang maklumat ekonomi penting berkaitan ekonomi Jepun yang dijangka akan dikeluarkan pada minggu depan.

MATA WANG KRIPTO: Tiga Pendorong Pertumbuhan – Rizab Persekutuan, Pengurangan Penghasilan, dan Wanita

  • Permulaan musim panas agak merancakkan industri kripto rupa-rupanya. Dari satu sudut, penggubal dasar terus memantau sektor ini dengan ketat. Pada sudut yang lain pula, kita dapat melihat pertambahan minat pelabur-pelabur berinstitusi dengan mendadak. Paling utama sekali, permohonan bagi pelancaran dagangan spot ETF bitcoin oleh gergasi-gergasi pelaburan seperti BlackRock, Invesco, Fidelity, dan lain-lain lagi.

    Berkenaan tekanan oleh penggubal dasar, perdebatan telah berlangsung lebih daripada setahun. Sesetengah pihak menyambut baik proses ini, sesetengah yang lain pula menentangnya. Mereka yang menyokong menyatakan kawalan selia ini dapat menyingkirkan pihak yang tidak bertanggungjawab dan menarik masuk aliran modal berbilion, jika bukan trilion dolar ke dalam pasaran kripto daripada pelabur-pelabur berinstitusi. Pihak yang menentang pula mendakwa campur tangan daripada Suruhanjaya Bursa dan Sekuriti AS melanggar prinsip utama mata wang kripto sepenuhnya - bebas daripada kerajaan dan negara. “Penguatkuasaan undang-undang merosakkan ekonomi negara ini,” jelas Tim Draper, pengasas bersama firma modal teroka Draper Fish Jurvetson pada 20 Jun lalu. “Saya rasa kita berhadapan masalah sebenar kerana pihak SEC menanam rasa takut… Penggubalan undang-undang wajib ini tidak masuk akal.".

    Ketahui bahawa pihak SEC sebelum ini telah menolak kesemua permohonan bagi penghasilan spot ETF bitcoin. Pada kali ini, pihak Suruhanjaya itu menyatakan bahawa permohonan baru yang dibuat tidak begitu jelas dan menyeluruh. Walau bagaimanapun, syarikat-syarikat tidak menyerah kalah dan sudah pun menghantar permohonan yang telah disunting. “Permohonan bagi ETF spot bitcoin yang mendapat kelulusan akan memberitahu para pelabur bahawa mata wang kripto pertama itu adalah satu aset yang sah,” jelas pengasas bersama syarikat MicroStrategy iaitu Michael Saylor. “Jika pihak SEC meluluskan permohonan aset ini, seorang pengguna boleh menekan butang dan membuat pembelian bitcoin berjumlah $10 juta dalam masa 30 saat.” “Ini adalah satu pencapaian penting dalam penerimaan pelabur-pelabur berinstitusi. Saya rasa ia penting, namun begitu, saya tidak rasa nilainya akan naik kepada $5 juta dalam tempoh yang singkat,” hartawan itu membuat kesimpulan. Namun, menurut Hugh Hendry, pengurus dana lindung nilai di Eclectica Asset Management, jumlah keseluruhan modal pasaran bitcoin boleh bertambah tiga kali ganda untuk jangka masa sederhana.

    Selain itu, Tim Draper yang telah disebutkan tadi sebelum ini telah menjangkakan harga bitcoin mampu mencecah $250,000 pada hujung tahun 2022. Setelah unjuran beliau itu tidak dipenuhi,  beliau memanjangkan tempoh masa selama enam bulan lagi  sehingga pertengahan tahun 2023 untuk nilai tersebut dicapai. Kini Draper sekali lagi mengubah unjuran beliau - menurutnya, mata wang kripto utama itu akan mencapai nilai yang diunjur pada hujung bulan Jun 2025 dengan kadar kebarangkalian sebanyak 100%. Lebih-lebih lagi, salah satu pendorong utama kepada pertumbuhan nilai bitcoin adalah golongan wanita.

    Golongan suri rumah yang membayar pembelian mereka dengan bitcoin sudah pasti boleh menjadi faktor penting. Namun, lebih ramai penganalisis “konservatif” yang menekankan kepada dua faktor lain: 1) pelonggaran polisi kewangan Rizab Persekutuan dan 2) pengurangan penghasilan bitcoin pada April 2024. Dalam menantikan kedua-dua perkara itu, bursa kripto sedar dengan penurunan jumlah bekalan, dan pelabur jangka panjang pula telah merekodkan jumlah pengumpulan coin dalam walet paling tinggi: 13.4 juta bitcoin.

    Berkenaan faktor nombor 1. Pada mesyuarat bulan Jun, pihak Rizab Persekutuan telah memutuskan untuk menghentikan sementara serta membiarkan kadar faedah utama mereka tidak berubah. Namun, kemungkinan untuk kadarnya naik 25 b.p. sekali atau dua kali lagi tidak dinafikan. Setelah itu, kitaran pengetatan polisi kewangannya mungkin akan berakhir, dan pasaran menjangkakan perubahan trend akan berlaku pada hujung tahun 2023 - awal tahun 2024 dan penurunan kadarnya akan mula dapat dilihat. Penurunan ini seharusnya dapat memberi kesan positif terhadap selera risiko para pelabur dan membantu aliran masuk modal ke dalam pasaran, termasuklah aset digital.

    Faktor 2. Pengurangan penghasilan. Faktor ini biasanya juga dapat memberi kesan positif kepada sebut harga bitcoin. Hubung kait antara pengurangan penghasilan yang berlaku setiap empat tahun dengan dinamik pergerakan nilai coin telah lama disedari. Penganalisis Root telah membentangkan rajah berbentuk jejari yang menarik mengenai topik ini. Menggambarkan empat tahun dalam bentuk bulatan, harganya mencapai nilai tertinggi dalam kitaran dan berada dalam sektor yang sama. Mengikut rajah tersebut, setelah mencecah nilai terendahnya pada tahun 2023, kadar bitcoin seharusnya bergerak menuju nilai $1 juta setiap coin yang akan dicapai pada tahun 2026.

    Untuk masa terdekat ini, para penyelidik di CoinDesk percaya bahawa peserta pasaran kini seharusnya menggandakan sikap berhati-hati apabila berdagang mata wang kripto. Pada hakikatnya indikator bagi likuiditi fiat susut dengan mendadak di seluruh dunia sejak suku keempat 2022, dan kadar pertumbuhan sebut harga BTC dalam situasi seperti itu pula adalah suatu anomali. Kadar BTC berada pada kedudukan terendahnya iaitu $15,500 sejak November lalu dan telah menggandakan nilai tersebut kepada $31,000 sejak daripada itu. Tambahan pula, sejak 15 Jun, nilainya telah bertambah lebih daripada 20%.

    Menurut pengurus portfolio di Decentral Park Capital iaitu Lewis Harland, situasi yang berlaku masih lagi rumit. Beliau telah mengesahkan bahawa indikator fiat yang dipantau baru-baru ini seperti keuntungan bersih likuiditi Rizab Persekutuan serta kadar likuiditi bersih global jatuh dengan mendadak. “Ini adalah punca utama kenapa kita perlu berhati-hati dengan BTC, walaupun dengan sikap optimis yang sepakat di pasaran. Kami merasakan para pelabur terlepas pandang mengenai perkara ini,” jelas Harland. (Indikator likuiditi bersih global yang mengambil kira jumlah bekalan fiat di beberapa buah negara utama telah jatuh kepada $26.5 trilion - jumlah paling rendah sejak November 2022. Data-data ini telah disediakan oleh TradingView dan juga Decentral Park Capital).

    Mengikut pandangan sebilangan penganalisis, keadaan anomali juga telah melebarkan jurang hubung kait antara emas fizikal dan emas digital. Sementara harga bitcoin menunjukkan pertumbuhan menakjubkan, nilai emas turun sedikit demi sedikit. Fred Thiel, CEO Marathon Digital, sebuah syarikat penghasilan mendakwa jurang yang semakin besar ini bukan saja menunjukkan perubahan tumpuan yang lebih memihak kepada aset digital malah juga menunjukkan bitcoin menjadi lebih mudah diakses oleh pelbagai golongan pelabur.

    Presiden Euro Pacific Capital iaitu Peter Schiff tidak bersetuju dengan andaian-andaian ini. Menurut penyokong setia emas ini, kebanyakan pelabur sebenarnya tidak percaya dengan bitcoin, mereka hanya berharap ada pihak lain yang akan membeli daripada mereka dengan harga yang lebih tinggi. “Hanya menunggu masa sebelum harga mata wang kripto pertama itu turun mendadak. Nilai paling tinggi yang dilihat pada tahun 2021 di sekitar $70,000 adalah kemuncaknya. Bitcoin pada akhirnya akan hancur,” jelas Schiff, menambah lagi bahawa kisah mereka yang rugi disebabkan mata wang kripto akan lebih mendapat perhatian berbanding kisah mereka yang berjaya.

    Menurut penganalisis terkenal iaitu Benjamin Cowen, penurunan jumlah likuiditi fiat tidak akan memberi kesan negatif penting terhadap bitcoin, tetapi terhadap altcoin. “Jumlah likuiditi semakin berkurang, maka orang ramai melihat pasaran bitcoin lebih selamat jika dibandingkan dengan pasaran altcoin,” penganalisis itu percaya. “Namun itu tidak bermakna nilai bitcoin tidak akan jatuh; ia bermaksud coin itu lebih selamat sedikit."

    Mengikut jangkaan Cowen, nilai bitcoin boleh naik kira-kira 14% berbanding harga semasa dan mencecah nilai maksimum iaitu $35,000 pada tahun 2023. “Untuk jangka masa pendek, amat sukar untuk mengatakan jika nilai bitcoin boleh naik sedikit lagi. Bagi saya sendiri, saya mensasarkan nilai $35,000,” penganalisis itu berkata.

    Pedagang kripto yang digelar sebagai Altcoin Sherpa berasa yakin bahawa nilai mata wang kripto utama itu boleh naik kepada $32,000 pada mulanya dan kemudian mencecah paras tertinggi tahun 2023 yang baru iaitu $40,000. Walau bagaimanapun, beliau tidak begitu pasti dengan paras $40,000 itu. Kemudian, trend pembetulan ke bawah yang ketara akan berlaku.

    Mengikut analisis teknikal, pasangan mata wang kripto BTC/USD mungkin akan membentuk corak “bullish flag” yang baru pada carta. Pendapat ini telah diberikan oleh para penganalisis dari Fairlead Strategies. Mereka berkata, “Bitcoin sedang menghadam perolehan yang diterimanya sepanjang fasa penyatuan. Satu bullish flag yang baru berpotensi untuk terbentuk, ia boleh berlaku jika berjaya menembusi dan berada lebih tinggi daripada paras mingguan Ichimoku Cloud di sekitar $31,900."

    Para penganalisis menjelaskan bahawa corak ini terbentuk seperti tiang dan bendera. Bentuk tiang mewakili lonjakan awal harga, manakala bendera pula mewakili penyatuan yang berlaku selepas itu akibat “sentimen bullish yang lemah sementara” dan kurangnya tekanan kuat untuk jual. Mengikut teori analisis teknikal, setelah kedudukan aset tersebut melebihi harga sempadan bendera, ia lebih cenderung untuk naik lebih tinggi bersamaan kira-kira panjang tiang.

    Dalam kes bitcoin, pergerakan ke atas daripada kedudukan terendah yang dicapai pada 15 Jun, 2023 lalu iaitu $24,790 kepada $31,388 yang didudukinya pada 23 Jun boleh dianggap sebagai tiang, manakala penyatuan yang terbentuk selepas itu adalah benderanya. Mengikut analisis, kejayaan yang berpotensi dicapai BTC mungkin membolehkan nilai mata wang kripto itu mencecah paras rintangan utama seterusnya iaitu $35,900.

    Menurut pakar strategi dan juga pedagang kripto iaitu Bluntz yang berjaya mengenal pasti dengan tepat kedudukan terendah pasaran bear bitcoin pada tahun 2018, beliau kini memberikan ramalannya tentang ethereum pula. Beliau percaya bahawa altcoin ternama itu sedang menunjukkan tanda-tanda lonjakan yang kuat dan boleh mengambil alih tempat bitcoin dalam beberapa bulan akan datang. Menurut pakar strategi kripto itu, ethereum mampu untuk mengalami pertumbuhan berbentuk parabola pada bulan-bulan terakhir 2023, melepasi kedudukan bitcoin dengan ketara.

    Bluntz yang dianggap sebagai seorang pengamal analisis teknikal berpengalaman, khususnya Teori Elliott Wave, salah satu cara meramal pergerakan harga berdasarkan psikologi orang ramai dan biasanya dizahirkan dalam bentuk gelombang. Mengikut teori ini, aset dalam keadaan bullish akan menonjolkan lima gelombang lonjakan dengan gelombang ketiga menunjukkan pendakian yang lebih curam. Bluntz mencadangkan bahawa ethereum sudah pun berada pada tahap awal gelombang lonjakan ketiga, kedudukan yang boleh mendorong nilai ETH menghampiri $4,000 sebelum berakhirnya tahun 2023.

    Sebaliknya, Altcoin Sherpa memberikan unjuran yang bertentangan. Melihat kepada pasangan ETH/BTC, beliau maklum dengan kemungkinan kadarnya akan turun dan mensasarkan parasnya berada pada julat paling rendah di sekitar 0.053 BTC jika mengikut nilai mata wang kripto terunggul, atau $1,614.

    Semasa ulasan ini dibuat, pada malam Jumaat, 7 Julai, pasangan BTC/USD didagangkan di sekitar $30,200, manakala pasangan ETH/USD pula di sekitar $1,860. Jumlah keseluruhan modal pasaran mata wang kripto jatuh sedikit dengan nilai $1.176 trilion ($1.191 trilion minggu lalu). Kadar Indeks Fear & Greed Kripto pula kekal di sempadan antara zon Greed dan Neutral, pada bacaan 55 mata buat masa ini (56 mata seminggu lalu).

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami