Ogos 19, 2023

EUR/USD: Faktor yang Mengukuhkan dan Melemahkan Nilai Dolar

  • Mata wang AS meneruskan pergerakan ke atasnya pada minggu lalu. Minit mesyuarat Federal Open Market Committee (FOMC) Rizab Persekutuan AS untuk bulan Julai telah dikeluarkan pada hari Rabu, 16 Ogos dan ia menunjukkan terdapat kemungkinan bahawa polisi kewangan akan lebih diperketatkan.

    Sebelum minit mesyuarat ini diketahui, peserta pasaran membincangkan tentang berapa lamakah kadar faedah utama 5.5% ini akan bertahan. Walau bagaimanapun, setelah kandungan dokumen tersebut diteliti, perbincangan beralih pula kepada berapa banyak kenaikan yang akan dibuat nanti. Beberapa orang ahli FOMC telah menyatakan dalam minit mesyuarat itu bahawa landskap ekonomi yang ada sekarang mungkin tidak akan menunjukkan penurunan kadar inflasi ketara seperti yang diharapkan. Sentimen seperti ini telah memberi laluan kepada pihak Rizab Persekutuan untuk mempertimbangkan satu lagi kenaikan. Akibatnya, kebarangkalian untuk kadar faedah mereka menjadi 5.75% atau naik lebih tinggi pada tahun 2023 telah melonjak daripada 27% kepada 37%, mengukuhkan kedudukan nilai dolar.

    Satu lagi faktor yang memperkukuhkan lagi nilai dolar AS adalah keadaan yang menguntungkan dalam pasaran sekuriti serta ekonomi AS yang berdaya tahan. Kadar jualan runcit yang positif telah menggesa Bank Rizab Persekutuan Atlanta untuk menyemak semula unjuran kadar KDNK negara itu bagi Q3, menaikkannya daripada 5.0% kepada 5.8%. Pasaran hartanah juga menunjukkan tanda-tanda masa depan yang cerah: jumlah permit pembinaan bulanan yang telah dikeluarkan naik sebanyak 0.1%. Tambahan pula, kadar pembinaan rumah-rumah baru juga meningkat sebanyak 3.9%, mencecah 1.452 juta unit, melebihi jumlah 1.448 juta yang diunjurkan. Statistik jualan runcit yang dikeluarkan pada 15 Ogos memberi lebih banyak sokongan kepada Indeks Dolar (DXY) dengan aktiviti pengguna berkembang sebanyak 0.7% pada bulan Julai: kadar yang lebih tinggi berbanding 0.4% yang diunjur serta nilai 0.2% pada bulan sebelumnya. Secara keseluruhan, data-data ini menekankan tentang ketiadaan risiko untuk ekonomi AS mengalami kemelesetan, mencadangkan terdapat kemungkinan fasa pengetatan polisi akan diteruskan. Disamping itu, kenaikan harga minyak mentah mungkin akan memaksa penggubal dasar tersebut menaikkan lagi kadar faedah mereka, keadaan yang berpotensi untuk mewujudkan satu lagi gelombang inflasi.

    Namun sebaliknya, situasi yang berlaku dalam sektor perbankan AS boleh memberikan lebih banyak cabaran kepada dolar. Neil Kashkari, Presiden Bank Rizab Persekutuan Minneapolis percaya bahawa krisis yang mula berlaku pada bulan Mac sehingga mengakibatkan kebankrapan beberapa bank-bank utama mungkin belum lagi berakhir. Beliau berpendapat bahawa jika Rizab Persekutuan terus menaikkan kadar faedahnya, ia akan lebih menyukarkan bank-bank untuk beroperasi dan boleh mencetuskan satu lagi gelombang kebankrapan. Perspektif ini telah disuarakan oleh para penganalisis di Fitch Ratings. Malah unjuran mereka turut mengandaikan bahawa rating bagi beberapa buah bank di AS akan diturunkan, termasuklah gergasi perbankan seperti JPMorgan Chase & Co.

    Pakar strategi di Goldman Sachs percaya bahawa pihak Rizab Persekutuan mungkin hanya mempertimbangkan penurunan kadar utama mereka pada Q2 2024. Pencetus kepada pengambilan langkah seperti itu mungkin adalah kadar inflasi menjadi lebih stabil pada paras sasaran 2.0%. Namun, Goldman Sachs sedar bahawa langkah yang akan diambil oleh penggubal dasar itu masih lagi belum dapat dijangka, ini bermakna kadarnya boleh terus kekal tinggi untuk satu tempoh yang panjang. Mengikut FedWatch Tool oleh CME, secara keseluruhan, 68% daripada peserta pasaran menjangkakan kadar itu akan diturunkan sekurang-kurangnya 25 mata asas (b.p) menjelang bulan Mei 2024.

    Berkenaan ekonomi di Eurozone, data yang dikeluarkan pada 16 Ogos lalu telah menunjukkan ekonominya berkembang sebanyak 0.3% (suku tahun ke suku tahun) bagi Q2 2023. Kadar ini selari sepenuhnya dengan unjuran serta menyamai kadar pertumbuhan yang berlaku pada Q1. Pertumbuhan KDNK secara tahunan berada pada kadar 0.6%, konsisten dengan kadar untuk suku tahun sebelum ini dan juga yang diunjurkan. Data kadar inflasi yang dikeluarkan pada hari Jumaat, 18 Ogos juga tidak begitu mengejutkan. Kadar tersebut bertepatan dengan jangkaan pasaran serta nilai sebelum ini. Untuk bulan Julai, kadar Indeks Teras Harga Pengguna (CPI) yang direkodkan adalah 5.5% (tahun ke tahun) dan -0.1% (bulan ke bulan).

    Walaupun prestasi ekonomi yang sederhana ditunjukkan secara konsisten, mata wang euro terus berdepan dengan tekanan penurunan. Faktor-faktor yang menyumbang kepada perkara ini termasuklah krisis bahan api yang berpotensi berlaku di Eropah pada musim sejuk nanti serta ketaktentuan yang menyelubungi polisi kewangan Bank Negara Kesatuan Eropah (ECB).

    Memulakan tempoh dagangan lima hari pada paras 1.0947, pasangan EUR/USD ditutup pada kadar 1.0872. Pada malam 18 Ogos semasa ulasan ini dibuat, 50% penganalisis menjangkakan pertumbuhan kadar pasangan ini tidak lama lagi, 35% memihak kepada dolar, dan baki 15% lagi kekal neutral. Berkenaan pengayun pada tempoh masa D1, 100% bersetuju dengan mata wang AS, namun 25% daripadanya menunjukkan pasangan ini memiliki lebihan jualan. 85% daripada indikator trend menunjukkan penurunan, manakala baki 15% lagi menunjukkan pertumbuhan. Paras sokongan paling hampir bagi pasangan ini berada di antara 1.0845-1.0865, diikuti dengan 1.0780-1.0805, 1.0740, 1.0665-1.0680, 1.0620-1.0635, dan 1.0525. Bull akan berdepan rintangan pada julat antara 1.0895-1.0925, kemudian 1.0985, 1.1045, 1.1090-1.1110, 1.1150-1.1170, 1.1230, 1.1275-1.1290, 1.1355, 1.1475, dan 1.1715.

    Minggu depan, semuanya tertumpu kepada simposium barisan kepimpinan bank-bank pusat utama di Jackson Hole yang akan berlangsung antara 24 dan 26 Ogos. Jika pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell memberikan petunjuk yang kecil sekalipun mengenai penamatan kitaran kenaikan kadar faedah yang dilaksanakan sekarang dalam ucapan beliau pada 25 Ogos nanti, kadar DXY (Indeks Dolar) mungkin akan jatuh. Namun, menjadi bukti bahawa dinamik pasangan mata wang ini juga bergantung kepada kenyataan para pemimpin bank-bank pusat yang lain, secara umumnya termasuklah Presiden ECB iaitu Christine Lagarde.

    Perkara penting lain untuk minggu hadapan termasuklah penyiaran data pasaran buruh di AS pada 22 dan 23 Ogos. Hari Rabu, 23 Ogos, indikator aktiviti perniagaan (PMI) di Amerika Syarikat, Jerman, dan juga di Eurozone akan dikeluarkan. Disamping itu, statistik bagi pesanan barangan tahan lama serta kadar pengangguran di AS akan dikeluarkan pada hari Khamis, 24 Ogos.

GBP/USD: Ketaktentuan BoE - Bencana Buat Pound

  • Kadar turun naik pasangan GBP/USD adalah pada julat antara 1.2620-1.2800 sejak dua setengah minggu yang lalu, pergerakan yang tidak memberikan sebarang kelebihan buat bull mahupun bear. Walaupun Bank of England (BoE) menaikkan kadar faedah mereka baru-baru ini, momentum bullish masih belum dapat ditemui.

    Kebimbangan semakin bertambah dalam kalangan pihak berkepentingan di pasaran mengenai pengetatan agresif polisi kewangan yang mungkin boleh menggoyahkan lagi kestabilan ekonomi UK yang sudah pun agak teruk, dan berada di ambang kegawatan. Pada bulan Julai, kadar pengangguran naik dengan ketara sebanyak 0.2%, berada pada kadar 4.2%. Lebih membimbangkan, kadar pengangguran bagi golongan muda melonjak sebanyak 0.9%, naik daripada 11.4% kepada 12.3%. Disamping itu, terdapat peningkatan sebanyak 25K bagi tuntutan manfaat pengangguran jika dibandingkan pada bulan lalu. Pertambahan kadar pengangguran ini sebahagian besarnya berpunca daripada gelombang penutupan perniagaan yang bermula pada tahun 2021. Trend ini dapat dilihat berlaku lebih ketara pada awal tahun 2022, menyamai kadar yang dialami hanya pada krisis lewat 1980-an dan juga kegawatan ekonomi 2008.

    Mengikut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Negara (ONS) pada 18 Ogos, jualan runcit di UK untuk bulan Julai susut sebanyak 1.2% untuk bulan ke bulan, penurunan yang lebih ketara berbanding 0.6% yang direkodkan pada bulan lalu. Secara tahunan, terdapat penguncupan sebanyak 3.2%, berbanding penurunan sebanyak 1.6% pada bulan Jun.

    Data inflasi (CPI) yang dikeluarkan pada 16 Ogos memberi isyarat bahawa walaupun terdapat penurunan daripada 7.9% kepada 6.8% bagi tahun ke tahun (YoY), kadar inflasinya masih lagi tinggi. Lebih-lebih lagi, kadar faedah terasnya terus stabil di kedudukan 6.9%. Kenaikan kos bahan api boleh menjadi pencetus kepada lonjakan kadar inflasi yang lebih tinggi.

    Pasaran sangat-sangat percaya bahawa Bank of England seharusnya memberikan respon dengan mengambil langkah yang bersesuaian. Bank negara itu mungkin perlu terus menaikkan kadar mereka bukan hanya pada tahun ini tetapi juga pada tahun 2024. Walau bagaimanapun, seperti yang dinyatakan oleh pakar ekonomi di Commerzbank, jika pasaran mendapati bahawa komitmen BoE untuk membendung inflasi mula goyah disebabkan bimbang tindakan itu boleh menghalang pertumbuhan ekonominya, maka perkara itu mungkin akan memberi implikasi teruk kepada pound.

    GBP/USD ditutup pada kadar 1.2735 pada hari Jumaaat, 18 Ogos. Unjuran para penganalisis untuk minggu hadapan adalah seperti berikut: 60% memihak kepada bullish pound, 20% memihak bearish, dan baki 20% lagi berpendirian neutral. Untuk pengayun pada D1, 50% berwarna merah, menunjukkan berlakunya trend bearish, manakala 50% lagi berwarna kelabu neutral. Untuk indikator trend, nisbah antara warna merah dan hijau adalah 60% dan 40% yang memihak kepada bullish.

    Jika pasangan ini turun ke bawah, ia akan menerima sokongan pada paras dan zon 1.2675-1.2690, 1.2620, 1.2575-1.2600, 1.2435-1.2450, 1.2300-1.2330, 1.2190-1.2210, 1.2085, 1.1960, and 1.1800. Jika pasangan ini naik ke atas, ia akan berdepan rintangan pada paras 1.2800-1.2815, 1.2880, 1.2940, 1.2980-1.3000, 1.3050-1.3060, 1.3125-1.3140, 1.3185-1.3210, 1.3300-1.3335, 1.3425, dan 1.3605.

    Untuk data makroekonomi, hari Rabu, 23 Ogos bukan saja akan menjadi “Hari PMI” di Eropah dan AS, malah juga di UK kerana indikator bagi aktiviti perniagaan dalam pelbagai sektor ekonomi British akan dikeluarkan. Sudah tentu, tiada siapa harus lupa tentang simposium tahunan di Jackson Hole.

USD/JPY: Menunggu Campur Tangan Mata Wang

  • Penyiaran minit mesyuarat FOMC serta kenaikan hasil bon 10 tahun Perbendaharaan A.S. ke paras yang tidak pernah dicapai sejak tahun 2008 telah mendorong kepada lonjakan lebih tinggi pasangan USD/JPY, mencecah ketinggian 146.55. Seperti yang pakar ekonomi dari Bank MUFG Jepun sedia maklum, “Nilai dolar yang menjadi lebih kukuh telah menolak USD/JPY ke zon bahaya sehinggakan risiko untuk campur tangan bagi menghalang pergerakan lebih tinggi juga semakin bertambah.” Rakan sejawat mereka di kumpulan perbankan Belanda ING bersetuju bahawa pasangan ini sekarang berada di dalam fasa campur tangan. “Walau bagaimanapun, kadar kemeruapannya masih lagi rendah untuk membimbangkan para pegawai kerajaan Jepun."

    Jika diingat bahawa pihak Kementerian Kewangan (MOF) telah campur tangan dalam USD/JPY ketika ia berada di atas paras 145.90 pada September tahun lalu. Namun sekarang ini, kelihatan tiada siapa antara Kementerian Kewangan mahupun Bank of Japan (BoJ) yang ingin mempertahankan mata wang domestiknya. Bertentangan dengan keadaan yang berlaku di A.S., Eurozone dan juga UK di mana kadar inflasi mereka turun (walaupun berbeza kadarnya), keadaan inflasi di Jepun masih lagi tinggi. Pada hari Jumaat, 18 Ogos, Biro Statistik negara tersebut telah mengeluarkan kadar Indeks Harga Pengguna Negara (CPI) untuk bulan Julai, dan ia berada pada kadar 3.3%, dan bukan 2.5% (tahun ke tahun) seperti yang dijangkakan.

    Para penganalisis di Commerzbank tidak dapat melihat banyak peluang untuk nilai yen bertambah lagi, walaupun kadar KDNK negara tersebut mengalami pertumbuhan. (Data awal menunjukkan kadar pertumbuhan untuk suku  tahun kedua adalah 1.5% (tahun ke tahun) berbanding 0.8% yang diunjur dan kadar 0.9% sebelum ini). Sebaliknya, terdapat kebimbangan dalam keadaan seperti itu, nilai yen boleh menjadi lebih lemah lagi jika Menteri Kewangan tidak mengambil sebarang tindakan bagi menghalang penurunannya. “Mungkin Bank of Japan dan Kementerian Kewangan berharap situasi ini akan bertambah baik apabila kadar faedah di A.S. mula turun semula,” jelas pakar ekonomi Commerzbank. “Kami juga menjangkakan nilai dolar yang lemah pada waktu itu. Namun, waktu yang kami harapkan itu masih terlalu lama untuk tiba. Satu-satunya perkara yang boleh dicapai dengan campur tangan Kementerian Kewangan sehingga tibanya waktu itu adalah melambatkan masa. Pada pendapat kami, bertindak melawan arus tidak akan dapat mengukuhkan nilai yen. Ia mungkin berjaya buat sementara, namun ia bukannya satu kepastian.".

    Walau bagaimanapun, kebimbangan yang dialami peserta pasaran semakin bertambah mengenai nilai yen yang lemah pada satu tahap nanti akan memaksa pegawai kerajaan Jepun mengambil tindakan. Seperti yang dinyatakan oleh ING, status mata wang Jepun yang memiliki lebihan belian ditambah pula dengan ancaman campur tangan mungkin akan memburukkan lagi sebarang pembetulan bearish untuk USD/JPY. Disebabkan pembetulan itu, walaupun bersifat sederhana, pasangan ini ditutup pada paras 145.37 pada minggu lalu.

    Berkenaan dengan jangkaan minggu hadapan, unjuran median para penganalisis adalah seperti berikut: Majoriti (60%) daripada mereka menjangkakan nilai dolar menjadi lebih kukuh dan kadar USD/JPY pula akan terus mengalami pertumbuhan. Baki 40% lagi menjangkakan pembetulan bearish. Untuk pengayun pada D1, kesemua 100% berwarna hijau, walaupun 20% daripada jumlah itu menunjukkan keadaan lebihan belian. Untuk indikator trend, 80% berwarna hijau manakala 20% lagi berwarna merah. Sokongan paling hampir berada di zon 144.50, diikuti dengan 143.75-144.04, 142.90-143.05, 142.20, 141.40-141.75, 140.60-140.75, 139.85, 138.95-139.05, 138.05-138.30, dan 137.25-137.50. Rintangan terdekat berada pada paras 145.75-146.10, then 146.55, 146.90-147.15, 148.45, 150.00, dan akhir sekali, paras tertinggi pada Oktober 2022 iaitu 151.95.

    Kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) untuk wilayah Tokyo akan dikeluarkan pada hari Jumaat, 25 Ogos. Tiada data penting lain berkenaan keadaan ekonomi Jepun yang dijadual akan dikeluarkan pada minggu hadapan.

MATA WANG KRIPTO: Bagaimana Elon Musk Merosakkan "Dolar Kebanyakan"

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 21 - 25 Ogos, 20231

  • Sejak 14 Julai lalu, mata wang kripto utama dan juga pasaran aset digital secara keseluruhannya telah berdepan dengan tekanan nilai dolar yang kukuh. Jelaslah bahawa apabila kekuatan skala BTC/USD lebih memihak kepada dolar, kedudukan bitcoin menjadi lemah. Malah, antara 11 dan 15 Ogos, pasaran dilihat seperti telah melupakan tentang mata wang kripto sepenuhnya, dengan carta pasangan BTC/USD bergerak dalam julat turun naik yang tipis, berpaut pada Pivot Point $29,400.

    Penganalisis di Glassnode sedar bahawa pasaran emas digital berada pada fasa tidak peduli dan lemah yang terlampau pada waktu itu. Metrik turun naik pada permulaan minggu mencecah kadar paling rendah, dengan spread indikator Bollinger Bands mengecil kepada 2.9%. Paras rendah seperti itu hanya pernah berlaku sebanyak dua kali saja dalam sejarah: pada September 2016 dan juga Januari 2023. “Pasaran perlu mengambil langkah bagi… mencuri tumpuan para pelabur,” kesimpulan yang dibuat penganalisis Glassnode.

    Langkah seperti itu telah diambil, walaupun tidak semestinya mengikut kehendak para pelabur. Langkah pertama berlaku pada malam 16 Ogos apabila kadar BTC/USD turun kepada $28,533. Penurunan ini mungkin telah didorong oleh penyiaran minit mesyuarat Rizab Persekutuan untuk bulan Julai seperti yang telah dinyatakan sebelum ini. Namun, penurunan kecil itu bukanlah penghujungnya. Penurunan ketara telah berlaku pada malam antara 17 dan 18 Ogos. Ia boleh digambarkan sebagai penurunan ke jurang paling dalam setelah bitcoin mencecah kadar mingguan paling rendahnya iaitu $24,296. Perkara itu berlaku setelah akhbar The Wall Street Journal melaporkan dengan memetik satu dokumen yang tidak didedahkan bahawa syarikat SpaceX milik Elon Musk telah mencairkan pemilikan BTC mereka, penurunan jumlah keseluruhan mata wang kripto sebanyak $373 juta. Walau bagaimanapun, laporan itu tidak menyatakan dengan tepat bilakah penjualan coin oleh SpaceX itu dilakukan. Namun begitu, butiran seperti itu bukanlah sesuatu yang diperlukan bagi mencetuskan keadaan panik di pasaran.

    Beberapa perkara lain turut memberikan tekanan kepada sebut harganya. Sebagai contoh, Mahkamah Persekutuan A.S. telah membenarkan pihak Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) untuk membuat rayuan terhadap Ripple, menimbulkan keraguan tentang sebahagian daripada keputusan mahkamah yang menyebelahi Ripple sebulan sebelum ini. Siri tuntutan undang-undang berterusan oleh pihak berkuasa A.S. terhadap bursa-bursa utama mata wang kripto kekal menjadi satu lagi faktor negatif.

    Keruntuhan nilai bitcoin telah mengheret keseluruhan pasaran kripto ke bawah, mendorong kepada penutupan posisi margin secara besar-besaran. Menurut Coinglass, dalam tempoh 24 jam, posisi lebih daripada 175,000 peserta pasaran telah ditutup, mengakibatkan pedagang mengalami kerugian lebih daripada $1 bilion.

    Situasi ini mungkin boleh menjadi lebih buruk jika bukan disebabkan oleh laporan Bloomberg yang menyatakan bahawa pihak SEC sedang bersedia untuk meluluskan penghasilan niaga hadapan ETF pertama bagi Ethereum. Akibatnya, pasangan BTC/USD dan ETH/USD mengalami pembetulan ke atas, kembali menduduki paras pada dua bulan lalu. Sebagai peringatan, pasaran melonjak naik pada 15 Jun lalu setelah BlackRock memfailkan permohonan mereka bagi menghasilkan ETF spot bitcoin. Namun, setelah berlakunya penurunan baru-baru ini, pertumbuhan tersebut dilihat seperti sudah tiada lagi.

    Adakah kita perlu jangkakan penurunan lebih rendah? Paling ketara, seorang pedagang dan penganalisis terkenal dengan nama gelaran Dave_the_Wave yang dikenali kerana meramal dengan tepat telah memberikan amaran bahawa nilai bitcoin boleh jatuh ke paras sempadan bawah Lengkung Pertumbuhan Logaritma (LGC) menjelang hujung tahun 2023, mengandaikan dengan kasar penurunan sebanyak 38% daripada paras paling tinggi tahun ini. Dalam situasi seperti itu, paras paling rendah mungkin akan berada di sekitar $19,700.

    Seorang lagi pedagang terkenal, Tone Vays tidak menolak penurunan BTC kepada $25,000 (sudah pun berlaku). Dalam perkara ini, Vays percaya bahawa terdapat kemungkinan besar untuk penurunan jangka panjang akan berlaku. Mengikut pandangan beliau, mata wang kripto terunggul ini “terhuyung-hayang di tepi jurang, dan keadaannya begitu suram.” “Nilainya perlu naik dengan cepat, maksud saya - dalam bulan ini. Kita tidak mempunyai masa untuk turun lebih rendah; jika tidak, keadaan panik akan berleluasa di pasaran. Saya tidak akan terkejut jika BTC didagangkan di bawah kadar $20,000. Para penghasil juga mungkin akan mula mencairkan pegangan mereka, satu tindakan yang sangat berbahaya,” Vays memberikan amaran.

    Kami telah sebutkan seorang lagi penganalisis sebelum ini iaitu Michael Van De Poppe, pengasas syarikat modal teroka Eight yang menyangkal dakwaan nilai BTC akan jatuh kepada $12,000. Namun, pada pendapat beliau, untuk bitcoin kembali mengalami pertumbuhan yang aktif, ia perlu melepasi paras $29,700. Paras penting untuk coin itu yang seterusnya adalah $40,000.

    Bertentangan dengan Michael Van De Poppe, Kevin Kelly, pengasas bersama dan juga ketua penganalisis di Delphi Digital sudah dapat melihat tanda-tanda awal lonjakan bull. Namun, pengamatan itu dibuat sebelum berlakunya penurunan teruk pada 18 Ogos. Menurut Kelly, kitaran biasa kripto bermula apabila nilai bitcoin mencecah paras paling tinginya (ATH), diikuti dengan penurunan sebanyak 80%. Kira-kira dua tahun kemudian, nilainya akan naik semula mencecah ATH sebelum itu dan terus naik mencecah paras tertinggi yang baru. Turutan ini biasanya akan terus berlaku dalam masa empat tahun.

    Kelly percaya bahawa corak itu bukanlah sesuatu yang rawak tetapi selari dengan “kitaran perniagaan meluas.” Beliau maklum bahawa nilai tertinggi bitcoin sering bertepatan dengan kadar indeks pembuatan ISM yang ketika ini berada dalam fasa penurunan terakhirnya. Situasi yang berlaku sekarang mengingatkan Kelly tentang dinamik pasaran antara tahun 2015 dan 2017.

    Beliau menekankan bahawa pengurangan penghasilan bitcoin sebanyak dua kali sebelum ini berlaku kira-kira 18 bulan setelah aset tersebut mencecah paras terendahnya dan kira-kira tujuh bulan sebelum mencapai nilai paling tinggi dalam sejarah. Pengurangan penghasilan yang berikutnya dijangka akan dilaksanakan pada April 2024. Kemudian, kira-kira enam bulan selepas itu jika mengikut anggaran penganalisis berkenaan, nilai emas digital ini mungkin akan mencecah ATH. Walau bagaimanapun, Kelly memberikan amaran bahawa tiada sebarang jaminan untuk perkara ini berlaku. Beliau juga membuat spekulasi mengenai kemungkinan tentang “penurunan palsu."

    Satu lagi analisis kitaran yang sama telah dibuat oleh penganalisis yang dikenali sebagai Ignas, menjangkakan pasaran bull bitcoin berlaku pada tahun 2024. Pengiraan beliau adalah berdasarkan kepada corak yang telah ditunjukkan oleh mata wang kripto utama itu bertahun-tahun lamanya: 1. Penurunan 80% daripada kedudukan ATH, paras paling rendah dicapai setahun kemudian (Q4 2022). 2. Pulih sepanjang dua tahun dan mencecah paras paling tinggi sebelum ini (Q4 2024). 3. Pertumbuhan selama setahun lagi ke paras ATH yang baru (Q4 2025).

    Menurut Ignas, industri kripto berdepan cabaran makroekonomi pada tahun 2022, namun situasi sekarang semakin bertambah baik. Pengurangan penghasilan bitcoin pada April 2024 mungkin akan selari dengan lonjakan likuiditi global, memperhebatkan lagi lonjakan bull yang dijangka akan berlaku. Disamping itu, penggunaan baru bitcoin serta pelancaran ETF spot bitcoin setelah ia mendapat kelulusan SEC akan mampu mempengaruhi nilainya.

    Mengikut kaji selidik yang dijalankan oleh blogger popular dan penganalisis terkenal iaitu PlanB, 60% daripada responden percaya pasaran bull akan wujud selepas pengurangan penghasilan dilaksanakan. PlanB sendiri telah memberikan teori bahawa setelah proses tersebut dilaksanakan, nilai BTC akan berada di sekitar $55,000. Isyarat daripada model ramalan harga bitcoin beliau iaitu S2F menunjukkan potensi pergerakan coin tersebut ke paras itu.

    Robert Kiyosaki, pelabur dan penulis buku kewangan terlaris iaitu “Rich Dad Poor Dad” memberikan satu lagi ramalan. “Nilai bitcoin menuju paras $100,000,” Kiyosaki percaya. “Berita buruknya: jika pasaran saham dan bon runtuh, nilai emas dan perak akan melonjak naik. Lebih teruk lagi, jika ekonomi global menjadi lumpuh. Maka nilai bitcoin akan menjadi berjuta-juta, emas boleh dibeli dengan harga $75,000, manakala perak pula bernilai $60,000. Jumlah hutang negara begitu besar. Semua orang akan ditimpa masalah,” jelas Kiyosaki. Namun, tambah beliau lagi, “Saya harap saya salah tentang perkara ini."

    Sesuai dengan beliau sebagai seorang penulis, Kiyosaki secara metafora menggelar emas dan perak sebagai “wang tuhan” dan bitcoin pula “dolar kebanyakan”. “Saya sukakan bitcoin kerana kita ada musuh yang sama - kerajaan persekutuan AS, perbendaharaan, pihak Rizab Persekutuan, dan Wall Street. Saya tidak percayakan mereka. Jika anda percaya, kumpul lebih banyak wang dolar, dan akan menerima IOU,” jelas beliau.

    Perlu diketahui bahawa bertentangan dengan pendirian Robert Kiyosaki, kebanyakan pelabur baru-baru ini telah tertarik dengan dolar AS dan bukannya “wang kebanyakan.” Mereka melihat dolar sebagai aset selamat yang lebih dipercayai. Peralihan ini dapat dibuktikan apabila membandingkan carta DXY dengan BTC. Semasa ulasan ini dibuat, pada malam 18 Ogos, pasaran telah menunjukkan beberapa isyarat mengenai keadaan yang lebih stabil, dengan BTC/USD didagangkan kurang daripada $26,100. Jumlah keseluruhan modal pasaran mata wang kripto menerima kesan yang agak teruk dengan jumlah $1.054 trilion, susut daripada $1.171 trilion seminggu lalu dan kekal berada di hujung-hujung nilai psikologi pentingnya iaitu $1 trilion. Tidak mengejutkan, kadar Indeks Fear & Greed Kripto turut menampakkan penurunan, beralih daripada kategori Neutral kepada zon Fear dengan bacaan 37 mata, turun daripada 51 mata yang dicatatkan minggu lalu.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami