Ogos 26, 2023

EUR/USD: Powell dan Lagarde - Lebih Banyak Bercakap, Kurang Isi Kandungan

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 28 Ogos - 01 September, 20231

  • Data aktiviti perniagaan di kedua-dua belah Lautan Atlantik untuk minggu lalu terbukti sangat-sangat lemah. Mata wang euro berdepan tekanan akibat penurunan kadar indeks PMI dalam sektor Perkhidmatan di Jerman daripada 52.3 kepada 47.3, dan kemudian turut menarik turun kadar Indeks Aktiviti Perniagaan Komposit bukan saja di Jerman, malah juga di seluruh Euruzone. Kadar indeks berkenaan di Jerman susut daripada 48.7 kepada 44.7, manakala di Eurozone pula susut daripada 48.6 kepada 47.0. Data bagi KDNK di Jerman untuk Q2 yang telah dikeluarkan pada hari Jumaat, 27 Ogos, mengesahkan lagi bahawa keadaan ekonomi di Eropah tidak berkembang. Mengikut suku tahun, metriknya berada pada kadar 0%, dan secara tahunan pula, ia menunjukkan penurunan sebanyak -0.6%.

    Data makroekonomi di Amerka juga turut gagal menggembirakan para pelabur. Data awal bagi aktiviti perniagaan di Amerika Syarikat yang dikeluarkan pada hari Rabu, 23 Ogos gagal mencapai jangkaan. Lebih khusus lagi, kadar PMI dalam sektor Pembuatan susut daripada 49.0 kepada 47.0, manakala dalam sektor Perkhidmatan, turun daripada 52.3 kepada 51.0. Kadar Indeks Komposit juga menjadi semakin lemah daripada 52.0 kepada 50.4. (Sila maklum bahawa kadar melebihi 50.0 menunjukkan keadaan ekonomi yang baik, manakala di bawah 50.0 pula menunjukkan kemerosotan.) Data bagi pesanan barangan tahan lama di A.S. juga ternyata lebih lemah. Walaupun kadarnya naik 4.4% pada bulan Jun, kadar yang sama itu susut tanpa disangka sebanyak -5.2% untuk bulan Julai.

    Walaupun pada hakikatnya statistik dari benua Eropah dan Amerika itu dianggap lemah oleh sebilangan penganalisis, kadar Indeks Dolar DXY terus menunjukkan lonjakan bullish yang bermula enam minggu sebelum ini, manakala kadar EUR/USD pula kekal menunjukkan penurunan. Malah retorik bersifat hawkish yang dibuat oleh Presiden Deutsche Bundesbank iaitu Joachim Nagel tidak berupaya untuk memperkukuhkan nilai euro. Nagel menggesa untuk meneruskan kenaikan kadar faedah bagi mengawal kadar inflasi. Sebaliknya, rakas sejawat Nagel dari Portugal iaitu Mario Centeno mendesak supaya lebih berhati-hati bagi mengelak kesan negatif daripada menimpa ekonomi Eurozone.

    Perbezaan pendapat dalam kalangan ahli Majlis Pentadbir ECB yang dilihat berlatarbelakangkan keadaan ekonomi yang lemah secara berterusan pada Q1 dan Q2 serta potensi penguncupan kadar KDNK untuk Q3 2023 telah menanam perasaan ragu-ragu dalam kalangan peserta pasaran. Keadaan-keadaan ini telah menimbulkan kesangsian tentang sama ada penggubal dasar itu akan meneruskan kenaikan kadar lebih tinggi pada bulan September ataupun tidak.

    Berucap di simposium bank-bank negara global di Jackson Hole, pendirian wakil-wakil daripada A.S. dilihat lebih muafakat. Presiden Bank Rizab Persekutuan Boston iaitu Susan Collins dan Presiden Bank Rizab Persekutuan Philadelphia iaitu Patrick Harker menyatakan bahawa pihak Rizab Persekutuan AS mampu untuk mengekalkan kadar faedah pada paras stabil sehingga penghujung tahun ini. Walau bagaimanapun, mereka enggan memberikan sebarang komen tentang tempoh masa bagi peralihan polisi kewangan untuk tahun hadapan. Selain itu, menurut Susan Collins, daya tahan ekonomi A.S. terhadap pengetatan polisi kewangan yang agresif membayangkan bahawa pihak Rizab Persekutuan mungkin perlu bertindak lebih lagi berbanding apa yang telah mereka lakukan. Komen beliau itu ditafsir sebagai petunjuk jelas bahawa polisi penggubal dasar Amerika tersebut akan lebih diperketatkan lagi, menyebabkan peserta pasaran membuat spekulasi bahawa Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell juga mungkin akan mengambil pendirian yang lebih bersifat hawkish.

    Dua ucapan penting telah dijadual akan diberikan pada petang Jumaat, 25 Ogos di simposium bank negara global di Jackson Hole. Kedua-dua ucapan itu berpotensi untuk sama ada mengganggu atau memperkukuhkan trend kewangan semasa. Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell dijadual akan memberikan ucapan beliau terlebih dahulu, diikuti dengan Presiden ECB iaitu Christine Lagarde dua jam sebelum pasaran ditutup.

    Jika Powell mengesahkan bahawa kadar faedah tidak akan berubah sehingga hujung tahun ini, ia mampu menimbulkan tekanan jual terhadap dolar. Sebaliknya, lonjakan pertumbuhan nilai dolar mungkin menjadi lebih tinggi jika Powell memberi bayangan terdapat kemungkinan kadar faedah akan dinaikkan lagi. Data daripada FedWatch Tool menunjukkan terdapat kebarangkalian sebanyak 39% untuk satu lagi kenaikan kadar faedah sebanyak 25 mata asas menjelang hujung tahun 2023 sebelum beliau memberikan ucapan.

    Pada tahun lalu di Jackson Hole, Powell memberikan amaran bahawa sebarang kenaikan kadar faedah boleh menghasilkan “kesakitan” terhadap ekonomi A.S., kenyataan yang mengakibatkan kejatuhan teruk pasaran saham A.S. Pada tahun ini, pasaran ekuiti A.S. tidak menunggu kenyataan daripada Powell. Indeks utama seperti S&P 500, Dow Jones dan Nasdaq menunjukkan penurunan mendadak seawal 24 Ogos.

    Jadi, apa yang Jerome Powell katakan pada kali ini? Beliau pada umumnya menyatakan perkara yang sama seperti tahun lalu. Memetik kenyataan: “Pada simposium Jackson Hole tahun lalu, kenyataan yang saya berikan adalah begitu ringkas dan terlalu berterus terang. Isi kandungan ucapan saya padat tahun ini masih lagi sama: Tugas Rizab Persekutuan adalah untuk menurunkan kadar inflasi kepada paras sasaran 2%, dan kami akan berjaya mencapainya,” Pengerusi Rizab Persekutuan itu memberikan jaminan. Beliau kemudiannya membentangkan dua senario yang berpotensi akan berlaku nanti: sama ada akan mengekalkan kadar semasa atau menaikkannya. “Walaupun inflasi tidak lagi berada pada kadar tertingginya, ia adalah satu perkembangan yang baik, namun kadar itu masih lagi tinggi,” jelas beliau. “Kami telah bersedia untuk menaikkan lagi kadar faedah jika diperlukan dan terus mengekalkan pendirian polisi kewangan yang ketat sehinggalah kami benar-benar berasa yakin bahawa inflasi turun dengan stabil menuju kadar sasarannya."

    Ketua bank negara A.S. itu juga sedia maklum bahawa kadar inflasi PCE (Perbelanjaan Penggunaan Peribadi) mencecah kadar 4.3% pada bulan Julai, naik daripada 4.1% pada bulan sebelumnya. (Data PCE untuk bulan Julai akan dikeluarkan secara rasmi pada 31 Ogos). Secara keseluruhan, retorik Powell seperti biasa adalah samar-samar: membiarkan peserta pasaran mempertimbangkan kedua-dua senario yang diberikan.

    Mungkin ucapan oleh Lagarde lebih sukar untuk difahami. “Peralihan mendalam fungsi ekonomi global […] boleh mendorong kepada kemeruapan inflasi yang lebih tinggi serta tekanan harga yang lebih berterusan,” jelas beliau. Menurut Presiden ECB itu, “pada tahap ini, masih belum jelas kesemua peralihan ini akan menjadi sesuatu yang kekal. […] Sementara perubahan-perubahan ini mungkin terbukti adalah langkah bersifat sementara, bank-bank negara perlu bersedia kerana sebahagian daripada langkah yang diambil itu adalah lebih berkekalan."

    Kesimpulannya, sementara Powell memberikan dua pilihan, sama ada mengekalkan atau menaikkan kadar faedah mereka, Lagarde dengan pantas menyatakan bahawa kadar faedah akan terus dinaikkan selagi terdapat keperluan untuk membendung inflasi. Disebabkan itu, selepas beberapa kali teragak-agak, carta candle harian untuk pasangan EUR/USD kembali berada di tengah-tengah julat pergerakannya.

    Memulakan tempoh lima hari dagangan pada paras 1.0872, pasangan EUR/USD ditutup dengan kelebihan memihak kepada dolar, pada paras 1.0794. Semasa ulasan ini dibuat, pada malam 25 Ogos setelah berakhirnya ucapan oleh ketua Rizab Persekutuan dan ECB di Jackson Hole, pendapat penganalisis berbelah bahagi: 50% bersetuju dengan pertumbuhan kadar pasangan ini manakala 50% lagi menjangkakan penurunan. Dalam kalangan indikator trend dan pengayun pada carta D1, 100% memihak kepada mata wang Amerika dan berwarna merah. Namun, 15% daripadanya sudah menunjukkan pasangan ini memiliki lebihan jualan. Sokongan paling hampir berada di antara 1.0765-1.0775, diikuti dengan 1.0740, 1.0665-1.0680, 1.0620-1.0635, dan 1.0525. Bull akan berdepan dengan rintangan di sekitar paras 1.0845-1.0865, diikuti dengan 1.0895-1.0925, kemudian 1.0985, 1.1045, 1.1090-1.1110, 1.1150-1.1170, 1.1230, dan 1.1275-1.1290.

    Kita akan melihat penyiaran sejumlah besar data ekonomi yang pelbagai pada minggu hadapan. Ia akan bermula pada hari Selasa, 29 Ogos, apabila kadar Indeks Keyakinan Pengguna A.S. serta data peluang pekerjaan dikeluarkan. Pada hari Rabu, 30 Ogos, data awal Indeks Harga Pengguna (CPI) dari Jerman akan diketahui, bersama-sama dengan statistik pasaran buruh serta kadar KDNK di A.S. Hari Khamis akan memberikan beberapa data CPI awal di Eurozone, data jualan runcit di Jerman, serta kadar pengangguran dan Indeks Teras Harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (Indeks Teras Harga PCE) di A.S., satu indikator inflasi yang penting. Pada hari Jumaat, 1 September, satu set maklumat yang banyak dari pasaran buruh A.S. akan diketahui, termasuklah data Non-Farm Payrolls (NFP) yang sangat penting. Minggu depan akan diakhiri dengan kadar Indeks Pengurusan Pembelian (PMI) dalam sektor Pembuatan di A.S.

GBP/USD: Adakah Kadar Akan Naik Akhirnya?

  • Tekanan inflasi di United Kingdom mula berkurang, walaupun kadarnya kekal yang tertinggi dalam kalangan negara-negara G7. Kami telah sedia maklum sebelum ini bahawa walaupun pertumbuhan kadar harga  tahunan telah susut daripada 7.9% kepada 6.8% (paling rendah sejak Februari 2022), inflasi masih berada pada kadar yang tinggi. Lebih-lebih lagi, metrik teras CPI terus kekal pada kadar 6.9% untuk tahun ke tahun, hanya 0.2% lebih rendah daripada kadar paling tinggi yang dicapai pada dua bulan sebelum ini. Harga bahan api yang naik boleh mengancam kepada satu lagi lonjakan kadar inflasi.

    Data-data dan prospek seperti ini memberi tekanan besar kepada mata wang British. Menurut sesetengah penganalisis, ia akan memaksa pihak Bank of England (BoE) untuk menaikkan lebih tinggi kadar faedah. Hal ini mungkin akan berlaku walaupun dengan peningkatan kadar pengangguran serta ancaman kegawatan ekonomi. Kemungkinan ini tidak boleh dihalang kerana data awal aktiviti perniagaan yang dikeluarkan pada hari Rabu, 23 Ogos menunjukkan kadar PMI dalam sektor Pembuatan di UK susut daripada 45.3 kepada 42.5 dalam tempoh sebulan, kadar PMI dalam sektor Perkhidmatan turun daripada 51.5 kepada 48.7, manakala kadar PMI Komposit pula turun daripada 50.8 kepada 47.9. Justeru, ketiga-tiga indikator ini berada lebih rendah daripada 50.0, menunjukkan kemerosotan mendadak landskap ekonominya.

    Sebilangan penganalisis percaya bahawa kemuncak kadar faedah utamanya adalah sekitar 6% (kadar semasa adalah 5.25%). Disebabkan oleh tekanan inflasi yang semakin meningkat, pihak BoE mungkin akan terpaksa mengekalkan kadar tertinggi ini untuk satu tempoh tertentu, walaupun berdepan dengan tekanan daripada ahli politik yang populis. Jika perkara ini berlaku, pound berpeluang untuk memperbaiki kedudukannya berbanding dolar.

    Walau bagaimanapun, berkenaan prospek jangka pendek, penganalisis di Scotiabank  tidak menolak penurunan lebih rendah kadar GBP/USD kepada 1.2400 setelah menembusi paras sokongan 1.2620. Mereka menambah lagi bahawa “perubahan kedudukan di atas kadar 1.2600 boleh memberikan sokongan jangka pendek kepada pound, terutama sekali dengan mengambil kira penjualan yang berlaku dilihat terlalu meregang.” Penganalisis di ING, kumpulan perbankan terbesar Belanda percaya bahawa pasangan ini boleh menemui sokongan di sekitar paras 1.2500 jika nilai dolar menjadi lebih kukuh. Rakan mereka dari United Overseas Bank Singapura menjangkakan pasangan GBP/USD akan didagangkan pada julat antara 1.2580-1.2780. Mereka menyatakan, “selagi nilai pound kekal berada lebih rendah berbanding paras rintangan yang kukuh [1.2720], kadarnya mungkin akan turun kepada 1.2530 dan malah ke paras 1.2480 pada masa depan."

    Setelah ucapan dibuat di Jackson Hole pada hari Jumaat, 25 Ogos, pasangan GBP/USD ditutup pada paras 1.2578. Pendapat jangka pendek dalam kalangan penganalisis adalah seperti berikut: 60% bersetuju dengan trend bullish, 20% lebih memihak bearish, manakala baki 20% lagi adalah neutral. Pada tempoh masa D1, 60% pengayun adalah berwarna merah, namun satu pertiga daripada jumlah itu menunjukkan keadaan lebihan belian pada pasangan itu; baki 40% lagi berada di zon kelabu neutral. Bagi indikator trend, 85% berwarna merah, mencadangkan trend bearish, berbanding 15% yang berwarna hijau.

    Jika trend pasangan ini menurun, ia mungkin akan menerima sokongan pada paras dan zon yang pelbagai: 1.2540, 1.2500-1.2510, 1.2435-1.2450, 1.2300-1.2330, 1.2190-1.2210, 1.2085, 1.1960, dan 1.1800. Sebaliknya, jika pasangan ini bergerak ke atas, ia akan berdepan rintangan pada paras 1.2630, 1.2675-1.2690, 1.2760, 1.2800-1.2815, 1.2880, 1.2940, 1.2980-1.3000, 1.3050-1.3060, 1.3125-1.3140, dan 1.3185-1.3210.

    Mengenai data ekonomi penting di United Kingdom, tiada sebarang data yang dijangka akan dikeluarkan pada minggu depan. Fokus akan tertumpu kepada perkembangan di seberang Laut Atlantik. Namun, pedagang harus maklum bahawa hari Isnin, 28 Ogos adalah hari cuti bank di UK.

USD/JPY: Tinggi dan Lagi Tinggi

  • Gabenor Bank of Japan (BoJ) iaitu Kazuo Ueda dijadual akan berucap di Jackson Hole pada hari Sabtu, 26 Ogos, selepas ulasan ini dibuat. Secara jujurnya, kami tidak menjangkakan sebarang kenyataan mengejutkan daripada beliau. Buat masa ini, kami hanya boleh bergantung kepada komen yang diberikan oleh Menteri Kewangan negara tersebut iaitu Shunichi Suzuki. Pada hari Jumaat, 25 Ogos, beliau menyatakan bahawa beliau “mengikuti dengan teliti kesan daripada perbincangan di Jackson Hole terhadap ekonomi global.” Beliau menambah lagi bahawa beliau tidak dapat memberikan sebarang butiran khusus berkenaan pembentukan bajet tambahan bagi membiayai langkah berkaitan ekonomi.

    Ketahuilah bahawa baru-baru ini Bank of Japan (BoJ) telah mengambil keputusan yang bersifat “revolusi”, setidak-tidaknya mengikut standard mereka sendiri, dan beralih daripada sasaran lengkung hasil perolehan Bon Kerajaan Jepun (JGB) yang tegar kepada pendekatan yang lebih fleksibel. Namun, pelaksanaan itu menetapkan beberapa sempadan, meletakkan “garis merah” pada hasil 1.0% dan menyatakan bahawa mereka akan membuat pembelian bagi memastikan hasilnya tidak melebihi paras  tersebut. Seminggu selepas pelaksanaannya, hasil JGB mencecah kadar tertinggi sepanjang sembilan tahun, mencecah paras 0.65%. Sehubungan dengan itu, pihak bank negara berkenaan terpaksa campur tangan dengan membeli sekuriti mereka bagi mengelak peningkatan hasil perolehan yang lebih tinggi.

    Mengikut media Jepun, Nikkei Asia percaya bahawa pelaksanaan operasi seperti itu dijangka akan meningkatkan bajet perbelanjaan mereka. Tidak seperti Menteri Kewangan, media tersebut memberikan jumlah tepat: 110 trilion yen (lebih daripada 753 bilion dolar) untuk tahun 2024. Menurut laporan Nikkei Asia, permohonan belanjawan dijangka akan dihantar menjelang akhir bulan Ogos, ini bermaksud pada minggu hadapan.

    Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, perubahan dasar lengkung perolehan bagi sekuriti adalah langkah yang benar-benar luar biasa dilaksanakan oleh Bank of Japan (BoJ). Namun, menurut Bank MUFG Jepun, perkara ini tidak cukup untuk memulakan pemulihan nilai yen. Berkenaan dengan kenaikan kadar faedah, MUFG percaya bahawa Bank of Japan mungkin hanya akan mula membuat keputusan tentang kenaikan pertama pada enam bulan pertama tahun hadapan. Hanya selepas itu peralihan kepada pengukuhan nilai mata wang dijangka akan berlaku.

    Yen berpeluang untuk mengukuhkan sedikit kedudukannya pada minggu lalu. Memberikan respon terhadap data aktiviti ekonomi yang lemah, hasil bon Perbendaharaan A.S. susut lebih daripada 1.5%. Seperti yang semua sedia maklum, terdapat korelasi songsang antara hasil bon mereka dengan mata wang yen. Jika hasil bon Perbendaharaan berkurang, nilai mata wang Jepun akan bertambah, dan pasangan USD/JPY akan membentuk trend menurun. Inilah perkara yang benar-benar berlaku pada pertengahan minggu lalu, pada 23 Ogos, pasangan ini mencecah kedudukan terendah mingguannya pada paras 144.53.

    Walau bagaimanapun, kegembiraan para pelabur yen tidak lama kerana pasangan ini mencapai paras tertinggi yang baru iaitu 146.62 pada 25 Ogos. Untuk kadar akhir minggu dagangan, ia berada pada paras 146.40. Menurut pakar strategi di Credit Suisse, pasangan ini akhirnya akan naik lebih tinggi dan mencecah kadar sasaran utama dan jangka panjang pada paras 148.57.

    Berkenaan dengan prospek minggu hadapan, konsensus dalam kalangan penganalisis adalah seperti berikut: Majoriti (60%) penganalisis menjangkakan pembetulan pasangan ini ke bawah. Sementara itu, 20% lagi menjangkakan pasangan USD/JPY akan meneruskan pergerakan ke atas, dan baki 20% lagi enggan memberikan komen mereka. Pada tempoh masa D1, kesemua indikator trend menunjukkan warna hijau, dan 90% daripada pengayun juga berwarna hijau (10% daripadanya berada di zon lebihan belian); baki pengayun kekal berpendirian neutral. Sokongan paling hampir berada pada paras 146.10, diikuti dengan 145.50-145.75, 144.90, 144.50, 143.75-144.05, 142.90-143.05, 142.20, 141.40-141.75, 140.60-140.75, 139.85, 138.95-139.05, 138.05-138.30, dan 137.25-137.50. Rintangan paling hampir berada di antara 146.90-147.15, diikuti dengan 148.45-148.60, 150.00, dan akhir sekali, paras tertinggi pada Oktober 2022 iaitu 151.95.

    Tiada sebarang statistik penting berkenaan keadaan ekonomi Jepun yang dijadual akan dikeluarkan pada minggu hadapan.

MATA WANG KRIPTO: Kejutan Masih Belum Berakhir

  • Pasaran kripto dilihat masih belum pulih daripada kejutan yang dialami pada 17 Ogos lalu, apabila nilai bitcoin turun mendadak, mencecah paras terendah $24,296. Indeks Fear & Greed Kripto yang sudah lama berada di zon neutral telah beralih menduduki zon fear. Mata wang kripto utama itu telah menarik keseluruhan pasaran kripto ke bawah bersamanya, susut sebanyak 10% daripada $1.171 trilion kepada $1.054 trilion, jumlah yang hanya tinggi sedikit berbanding jumlah psikologi pentingnya iaitu $1 trilion. Pada 17 Ogos sendiri, jumlah kerugian terkumpul yang dialami para pedagang adalah lebih daripada $1 bilion untuk kesemua instrumen, menjadikannya kerugian paling besar sejak keruntuhan bursa FTX.

    Ini adalah huraian ringkas tentang tragedi yang berlaku baru-baru ini. Sekarang mari kita dalami apakah punca-puncanya. Kami sudahpun memberi penekanan kepada teori utama pada ulasan sebelum ini, dan ternyata ianya adalah tepat, walaupun ia memerlukan analisis yang lebih mendalam. Berita mengenai dua peristiwa penting telah menyebabkan penurunan itu. Peristiwa pertama adalah penyiaran minit mesyuarat Rizab Persekutuan untuk bulan Julai, di mana majoriti ahli FOMC (Federal Open Market Committee) menyatakan tentang kemungkinan kadar faedah utama akan dinaikkan pada tahun 2023. Hasil perolehan yang lebih tinggi daripada dolar dan juga bon kerajaan akan menyebabkan modal mengalir keluar dari aset berisiko.

    Pencetus kedua adalah artikel yang diterbitkan dalam majalah The Wall Street Journal. Artikel itu memetik dokumen yang menyatakan bahawa syarikat SpacX milik Elon Musk telah menjual pemilikan BTC mereka, mencairkan mata wang kripto berjumlah $373 juta. Paling ketara, laporan itu tidak menyatakan dengan tepat bilakah penjualan coin oleh SpaceX itu dilakukan. Walau bagaimanapun, keadaan panik menyusul selepas itu, butir-butir penting tidak diperlukan lagi.

    Dalam konteks lain, kedua-dua berita itu mungkin tidak menimbulkan provokasi terhadap reaksi membimbangkan seperti itu. Namun, penyatuan berpanjangan di pasaran, jumlah dagangan di pasaran spot yang rendah, serta jumlah besar posisi derivatif dibuka menggunakan leveraj oleh para pedagang semuanya telah menjadi penyumbang negatif. Mengikut data Coinglass, penurunan harga telah mencetuskan kesan domino, mengakibatkan pencairan lebih daripada 175,000 posisi leveraj dalam masa 24 jam. Kemudian, nisbah leveraj pun turun ke paras seperti yang kali terakhir dicapai pada bulan April.

    Kini, seminggu kemudian, selepas ucapan yang dibuat oleh Pengerusi Rizab Persekutuan di Jackson Hole, kenaikan kadar faedah dilihat mungkin akan dilaksanakan ataupun tidak. Dengan kata lain, pihak Rizab Persekutuan mungkin akan menamatkan kitaran pengetatan polisi kewangan mereka serta membiarkan kadarnya pada paras semasa. Perkara ini menyingkirkan punca pertama untuk panik. Bagi penyebab kedua, SpaceX rupa-rupanya telah menjual aset kripto mereka pada tahun 2021-2022, menjadikan “berita” ini sesuatu yang tidak penting.

    Walau bagaimanapun, yang berlaku sudah pun berlaku. Pelabur jangka pendek BTC mengalami kerugian paling teruk: 88.3% daripada mereka kini kehilangan posisi. Ini menjadi satu kebimbangan kerana para spekulator yang terkesan ini terkenal dengan sifat kurang sabar mereka dan boleh memulakan penjualan baki kripto yang mereka miliki, memburukkan lagi tekanan penurunan harga. Dari sudut berbeza pula, ketahuilah bahawa pelabur jangka panjang (melabur lebih daripada 155 hari) mengambil peluang terhadap situasi ini dengan membeli lebih banyak coin, melihatnya sebagai peluang terbaik untuk mengembangkan portfolio mereka.

    Setelah pasaran runtuh pada 17 Ogos, suara-suara mereka yang menyokong pertumbuhan semula nilai bitcoin semakin berkurang, manakala golongan pesimis mula menampakkan momentum. Namun, istilah “halving” sering dinyatakan dalam unjuran mereka, satu konsep yang sering digunakan orang berpengaruh untuk meletakkan harapan tinggi. Sebagai contoh, penganalisis yang dikenali dengan nama gelaran Tolberti menjangkakan trend berterusan bearish akan berlaku sehinggalah nilai bitcoin mencecah paras terendahnya di sekitar $10,000 menjelang tempoh pengurangan penghasilan pada April 2024. Unjuran ini dibuat berdasarkan kepada penurunan harga BTC di bawah kadar purata pergerakan (MA) dalam tempoh 200 minggu dan 20 bulan. Disamping itu, Tolberti maklum dengan pembentukan bendera bearish pada carta, bentuk yang menunjukkan trend negatif yang berterusan.

    Menurut penganalisis popular Benjamin Cowen, penurunan semasa yang berlaku terhadap mata wang kripto terunggul ini mungkin bukanlah yang terakhir, dan nilai bitcoin mungkin akan terus jatuh. Beliau percaya bahawa trend bearish seperti itu konsisten dengan trajektori ekonomi global semasa. Cowen juga menekankan bahawa penurunan bitcoin seperti ini berlaku setiap empat tahun. “Hakikatnya pembetulan akan berlaku dalam pasaran Amerika setiap empat tahun pada bulan Ogos atau September, pada setahun sebelum pilihan raya presiden A.S. Bitcoin pula berkorelasi dengan indeks saham A.S. Jika melihat pada tahun 2023, perkara sama juga berlaku. Pada tahun 2019, nilai bitcoin susut sebanyak 61%. Pada tahun 2015, susut nilainya adalah kira-kira 40%. Pada tahun 2011, kita berdepan dengan ‘black swan’ sebanyak 82.5%. Ini bermaksud, setahun sebelum penghasilan dikurangkan dan pilihan raya Amerika, kita akan melihat nilai bitcoin turun,” jelas Cowen.

    Dave the Wave, penganalisis yang meramal tepat keruntuhan pasaran kripto pada Mei 2022 percaya bahawa pasaran bear yang ada sekarang akan terus berlaku sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini. Penganalisis itu menggunakan lengkung pertumbuhan logaritma beliau sendiri bagi membantu mengunjurkan kadar tertinggi dan terendah makro bitcoin sambil menyisihkan sebarang gangguan dan juga kemeruapan jangka sederhana. Mengikut pengiraan beliau, buat masa ini BTC didagangkan di sempadan bawah lengkung pertumbuhan logaritma namun masih berada di “zon beli”. Dave the Wave tidak menolak tentang penurunan lebih rendah yang mungkin dialami BTC namun menjangkakan menjelang pertengahan tahun 2024, lebih tepat lagi selepas pengurangan penghasilan pada bulan April, nilainya akan naik ke paras tertinggi yang baru melebihi $69,000.

    Menurut sebilangan pelabur dan pedagang, Indeks Kekuatan Relatif (Relative Strength Index atau RSI) menjadi perkakas berguna bagi menilai keadaan sesuatu aset. Kadar RSI bergerak di antara nilai 0 dan 100, dan bacaan melebihi 70 kebiasaannya menunjukkan keadaan terlebih beli manakala bacaan lebih rendah daripada 30 pula menunjukkan keadaan terlebih jual.

    Penurunan kadar RSI harian bitcoin antara 17 Ogos dan 22 Ogos yang mencapai kedudukan lebih rendah daripada 20 mata (pada paras 17.47) adalah sama seperti keadaan terlebih jual yang berlaku semasa pasaran runtuh pada Mac 2020, apabila keseluruhan landskap kewangan diselubungi kebimbangan serta ketaktentuan akibat COVID-19. Penganalisis dan pelabur kini memantau dengan teliti bacaan kadar RSI kerana ia mungkin boleh dijadikan petunjuk terhadap potensi perubahan trend bullish BTC, walaupun indikator tersebut bukanlah satu jaminan. Pasaran mata wang kripto dikenali dengan sifat tidak menentunya, dan trend pergerakannya boleh dipengaruhi dengan pelbagai faktor, antaranya keadaan politik serta elemen makroekonomi yang memainkan peranan mereka.

    Lagenda Wall Street, penganalisis dan juga pedagang iaitu Peter Brandt sudah pun membuat spekulasi tentang penurunan harga bitcoin pada bulan Mei lalu. Beliau mengenal pasti corak trend yang dikenali sebagai “pennant” ataupun “flag” yang menunjukkan implikasi bearish. Beliau kini memberi amaran bahawa nilai bitcoin mampu menembusi trend menaik yang bermula pada Januari 2023 kerana kedudukannya sudah hampri dengan zon harga kritikal. Penganalisis itu menjelaskan bahawa penutupan nilai di bawah $24,800 mungkin akan menjejaskan carta harian dan mingguan serta meningkatkan kemungkinan momentum bullish jangka sederhana BTC akan menjadi goyah.

    Seorang lagi penganalisis yang memberikan unjuran dengan nama gelaran Credible Crypto maklum bahawa senario pasaran semasa hampir menyamai dengan keadaan yang dilihat pada tahun 2020. Pada waktu itu, nilai mata wang digital utama ini melonjak daripada kira-kira $16,000 kepada $60,000 dalam tempoh beberapa bulan. Menurut penganalisis tersebut, peneraju pasaran itu kini sedang “mengambil angin” setelah nilainya naik pada awal tahun ini. Beliau menjelaskan bahawa ini adalah satu proses pembetulan yang normal. Kedudukan semasa hampir menyamai sepenuhnya dinamik harga bitcoin dari bulan Mac sehingga bulan Ogos 2020. Mengikut pandangan beliau, apa yang berlaku sekarang menunjukkan objektifnya adalah pengumpulan aset.

    Credible Crypto maklum bahawa bitcoin memulakan “lonjakan parabolik" pada tahun 2020 sejurus selepas melalui fasa tersebut. “Menembus keluar daripada julat pengumpulan yang berlaku sebelum ini telah menyebabkan pergerakan ke atas yang seterusnya, melonjakkan nilai BTC,” jelas penganalisis itu. Menurut beliau, bitcoin mempunyai lebih banyak masa, kira-kira empat bulan untuk melakukan perkara sama pada tahun 2023. Beliau menekankan bahawa unjurannya itu tidak sah jika sebut harga emas digital berkenaan turun lebih rendah daripada $24,800: paras sokongan kritikal yang sama diberikan oleh Peter Brandt.

    Untuk minggu lalu, mata wang kripto terunggul ini telah didagangkan pada saluran antara $25,500-26,785 di sekitar Pivot Point $26,000, membayangkan tiada sebab kukuh nilainya akan naik atau pun turun. Semasa ulasan ini dibuat pada malam hari Jumaat, 25 Ogos, pasangan BTC/USD didagangkan pada kadar kira-kira $26,050. Jumlah keseluruhan modal pasaran mata wang kripto adalah $1.047 trilion (berbanding $1.054 trilion minggu lalu). Indeks Fear & Greed Kripto untuk Bitcoin kekal berada di zon “Fear” dengan bacaan sebanyak 39 mata (37 mata pada minggu lalu).

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami