September 2, 2023

EUR/USD: Tidak Pada Kenaikan Kadar, Mengikut Pertumbuhan Nilai Dolar!

  • Peserta pasaran terus melihat dengan teliti data-data makroekonomi di Amerika Syarikat, cuba untuk membezakan (atau membuat spekulasi) adakah pihak Rizab Persekutuan akan terus menaikkan kadar faedah persekutuan yang lebih tinggi atau tidak. Berikutan laporan kadar keyakinan pengguna yang mengecewakan, data pasaran buruh ADP yang lemah, serta pembantutan pertumbuhan ekonomi pada Q2, perbincangan pasaran telah berubah kepada kebimbangan terhadap kegawatan dan juga potensi penggubal dasar Amerika untuk mengambil pendirian dovish. Pertumbuhan ekonomi A.S. buat masa ini kekal pada kadar melebihi unjuran. Namun, penilaian semula kadar KDNK masih lagi mengecewakan pasaran kerana kadarnya itu adalah rendah berbanding unjuran awal.

    Dari sudut yang berbeza pula, jumlah perbelanjaan isi rumah meningkat sebanyak 0.8% untuk bulan ke bulan, kadar tertinggi sejak bulan Januari. Kadar Indeks Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE), salah satu indikator inflasi yang dipantau dengan teliti oleh pihak Rizab Persekutuan meningkat 0.2% bagi bulan ke bulan untuk dua bulan berturut-turut. Walaupun pertumbuhan itu bersifat sederhana, namun ia tetap dikira sebagai pertumbuhan. Kadar teras PCE meningkat sebanyak 4.2% bagi tahun ke tahun, menyamai unjuran namun lebih tinggi berbanding kadar bulan lalu iaitu 4.1%.

    Situasi dalam pasaran buruh telah beralih daripada “kukuh dengan konsisten” kepada “berpotensi memberikan cabaran”. Mengikut kira-kira dalam laporan JOLTS, jumlah jawatan kosong yang ada turun kepada 8.827 juta pada bulan Julai untuk kali pertama sejak sekian lama. Sepanjang lebih daripada setahun, jumlah tersebut kebanyakan masanya berada lebih tinggi daripada 10 juta, nilai ambang Rizab Persekutuan dalam menilai kadar kekukuhan pasaran buruh. Disamping itu, jumlah tuntutan awal manfaat pengangguran naik sebanyak 228,000 pada minggu lalu.

    Data yang dikeluarkan pada hari Jumaat, 1 September lebih merumitkan keadaan. Pada hari Khamis, kesemuanya menunjukkan kelembapan pasaran buruh. Walau bagaimanapun, jumlah pekerjaaan baru bukan dalam sektor pertanian (NFP) naik mendadak daripada 157K kepada 187K, dan bukannya 170K seperti yang diunjur. Dengan kata lain, itu adalah satu berita baik. Namun sebaliknya, kadar pengangguran juga bertambah, daripada 3.5% kepada 3.8% (diunjur 3.5%). Jadi, itu adalah satu berita buruk. Selain itu, kadar Indeks Pengurusan Pembelian (PMI) dalam sektor Pembuatan di A.S. juga meningkat, daripada kadar 46.4 sebelum ini kepada kadar sebenar iaitu 47.6 dan bukan 47.0 yang diunjurkan. Sekali lagi, ia adalah berita baik. Namun, perlu diketahui bahawa bacaan kadar PMI melebihi 50.0 menunjukkan situasi ekonomi yang bertambah baik, manakala kurang daripada 50.0 pula menunjukkan kemerosotan. Maka, adakah ia satu lagi berita buruk?

    Secara keseluruhan, indikator yang bercampur-campur ini menyebabkan reaksi yang pelbagai di pasaran. Pada satu sudut, kadar Indeks Dolar A.S. (DXY) mula memperbaiki kedudukannya secara beransur-ansur pada hari Rabu, 30 Ogos, dan kadarnya naik mendadak pada hari Jumaat. Pada sudut yang lain pula, kebarangkalian untuk kadar faedah dinaikkan pada mesyuarat Rizab Persekutuan yang akan berlangsung pada 19-20 September nanti turun kepada 12%. Perbezaan kenyataan yang dibuat oleh para pegawai Rizab Persekutuan telah menyumbang kepada penurunan jangkaan ini. Kami sudahpun menyampaikan kenyataan-kenyataan oleh Susan Collins selaku Presiden Bank Rizab Persekutuan Boston, Patrick Harker, Presiden Bank Rizab Persekutuan Philadelphia, dan juga Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell semasa berlangsungnya simposium bank-bank negara global di Jackson Hole dalam ulasan sebelum ini. Kini, kami menambah pula Presiden Bank Rizab Persekutuan Atlanta iaitu Raphaael Bostic yang percaya bahawa kadar semasa sudah pun berada pada keadaan tersekat dan kenaikan lebih tinggi boleh mengakibatkan kesukaran terhadap ekonomi A.S.

    Untuk ekonomi di Eurozone, statistik terbaru menunjukkan bahawa kadar inflasi sudah tidak lagi menurun, dan bekalan wang tunai pula menguncup akibat penurunan jumlah pembiayaan. Bertentangan dengan unjuran sebanyak 5.1% oleh para penganalisis Bloomberg, kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) untuk tahun ke tahun kekal stabil pada 5.3%. Di Jerman pula, rantau ekonomi terbesar mereka, kadar CPI bulanannya juga kekal tidak berubah pada 0.3%.

    Dalam situasi seperti itu, sesiapa pun akan menjangkakan polisi kewangan Bank Negara Kesatuan Eropah (ECB) akan terus diketatkan. Walau bagaimanapun, ancaman mengenai stagflasi lebih membimbangkan penggubal dasar tersebut berbanding kenaikan harga. Walau dengan pendirian bersifat hawkish yang ditunjukkan oleh Ahli Lembaga Eksekutif ECB iaitu Isabel Schnabel mengesahkan bahawa situasi ekonomi di Eurozone adalah lebih teruk daripada jangkaan awal mereka, mencadangkan bahawa rantau itu berada di ambang kegawatan teruk atau berpanjangan.

    Komen beliau turut mendapat sokongan data dari pasaran buruh. Kadar pengangguran di Eurozone secara keseluruhannya masih lagi tinggi, kekal berada pada kadar 6.4%. Di Jerman, kadar ini beransur-ansur naik setiap tiga bulan, perlahan-lahan kembali kepada jumlah ketika pandemik COVID-19 melanda.

    Kedua-dua penggubal dasar, Rizab Persekutuan dan juga Bank Negara Kesatuan Eropah dilihat telah mula hilang minat untuk mengetatkan lagi polisi kewangan mereka dan sedang bersedia untuk mengakhiri kitaran pengetatan kewangannya (atau setidak-tidaknya menghentikan sementara kenaikan kadar faedah). Dalam senario seperti itu, tidak pelik jika ekonomi yang lebih lemah akan berhadapan masalah. Pakar strategi di JP Morgan dan Bank of America menjangkakan nilai euro akan mencecah $1.0500 menjelang akhir tahun ini, manakala BNP Paribas pula mengunjurkan kadar yang lebih rendah iaitu $1.0200.

    Memulakan dagangan lima hari pada paras 1.0794, pasangan EUR/USD ditutup hampir pada paras permulaannya, pada kadar 1.0774. Semasa ulasan ini dibuat, pada malam 1 September, 50% penganalisis berpendirian bullish untuk pasangan ini pada minggu hadapan, 20% lagi bearish, dan 30% pula berpendirian neutral. Berkenaan dengan analisis teknikal, tiada apa yang berubah sejak minggu lalu. Semua indikator trend dan pengayun pada tempoh masa D1 kekal menyebelahi mata wang A.S. 100% dan berwarna merah. Disamping itu, 15% daripadanya menunjukkan pasangan ini memiliki lebihan jualan. Paras sokongan paling hampir untuk pasangan ini berada di sekitar 1.0765, diikuti dengan 1.0665-1.0680, 1.0620-1.0635, dan 1.0515-1.0525. Bull akan berdepan rintangan pada paras 1.0800, diikuti 1.0835-1.0865, 1.0895-1.0925, 1.0985, 1.1045, 1.1090-1.1110, 1.1150-1.1170, 1.1230, dan 1.1275-1.1290.

    Antara peristiwa yang akan berlaku pada minggu depan, tumpuan harus diberi terhadap ucapan oleh Presiden ECB iaitu Christine Lagarde pada hari Isnin, 4 September. Pada hari Rabu, 6 September pula, data jualan runcit di Eurozone akan dikeluarkan, bersama-sama dengan kadar PMI dalam sektor Perkhidmatan di A.S. Pada hari Khamis, 7 September, kadar KDNK untuk Q2 di Eurozone yang telah disemak semula serta jumlah awal tuntutan manfaat pengangguran di A.S. akan dikeluarkan. Mengakhiri minggu bekerja, pada hari Jumaat, 8 September, kita akan ketahui keadaan inflasi (CPI) di Jerman, penggerak ekonomi utama di Eropah.

GBP/USD: Adakah Kadarnya TIdak Akan Naik Langsung?

  • Dalam ulasan EUR/USD sebelum ini, kami telah tumpukan kepada persoalan utama bank-bank pusat: mana lebih penting - membendung inflasi atau menghalang ekonomi daripada gawat? Walaupun kadar inflasi tahunan di United Kingdom telah turun daripada 7.9% kepada 6.8% (paling rendah sejak Februari 2022), kadar ini masih lagi yang tertinggi dalam kalangan negara-negara G7. Lebih-lebih lagi, indikator teras CPI kekal pada kadar 6.9% untuk tahun ke tahun, sama seperti bulan lalu. Kadar ini hanya 0.2% lebih rendah daripada paras tertingginya dua bulan sebelum ini. Disamping itu, kenaikan harga tenaga memberi ancaman kepada kenaikan kadar inflasi yang baru.

    Menurut sebilangan penganalisis, data-data dan kejadian seperti itu seharusnya memaksa Bank of England (BoE) untuk terus menaikkan kadar faedah mereka. Namun, terdapat faktor lain yang menjadi penghalang. Bulan Ogos menunjukkan lebih banyak penurunan dalam sektor pembuatan di UK. Para pengilang di negara itu melaporkan keadaan ekonomi yang lemah akibat kurangnya permintaan yang disebabkan oleh kenaikan kadar faedah, krisis kos hidup, kerugian yang dialami sektor eksport, serta kebimbangan terhadap keadaan pasaran. Menurut S&P Global, pengilang barangan setengah jadi adalah yang paling terkesan - sektor B2B berdepan penurunan paling teruk dari segi jumlah penghasilan. Perkara ini memberi kesan terhadap pesanan baru dan juga jumlah kekosongan jawatan kerana semua itu turut dikurangkan.

    Kadar akhir Indeks Pengurusan Pembelian (PMI) untuk bulan Ogos berada pada paras 43.0. Kadar utama PMI susut ke paras paling rendah dalam tempoh 39 bulan disebabkan oleh jumlah penghasilan serta kontrak pesanan baru mencapai jumlah yang jarang-jarang dilihat, kecuali sepanjang tempoh berlakunya ketegangan ekonomi, seperti krisis ekonomi global pada tahun 2008-2009 dan juga langkah kawalan pergerakan semasa pandemik melanda.

    Berdasarkan keadaan yang suram ini, hasil kaji selidik menunjukkan penggubal polisi di negara itu akan memberi tumpuan terhadap kebimbangan mengenai keadaan ekonominya dan bukan isu berkenaan kenaikan kadar faedah. Ketua Pakar Ekonomi Bank of England iaitu Huw Pill menyatakan bahawa walaupun tiada ruang untuk berasa puas hati dengan kadar inflasi semasa, beliau sendiri lebih suka untuk membiarkan kadar itu stabil untuk jangka masa yang lebih lama. Beliau menyatakan bahawa pada mesyuarat BoE yang berikutnya pada 21 September nanti, beliau akan mengundi untuk mengekalkan kadar semasa iaitu 5.25%. Berikutan kenyataan seperti itu, aturan yang disebutkan sebelum ini akan berkuat kuasa - jika kedua-dua penggubal dasar hilang minat untuk menaikkan kadar faedahnya, ekonomi yang lemah akan berdepan masalah. Bagi pasangan UK/US, negara pada kedudukan pertama dilihat menjadi yang lemah.

    Kami telah nyatakan sebelum ini bahawa pihak Scotiabank tidak menolak tentang kemungkinan kadar GBP/USD susut lebih rendah ke paras 1.2400. Penganalisis di ING, kumpulan perbankan terbesar Belanda percaya bahawa jika nilai dolar menjadi lebih kukuh, pasangan ini mungkin akan menerima sokongan di sekitar 1.2500. Rakan mereka di United Overseas Bank Singapura pula menjangkakan bahawa “selagi nilai pound berada di bawah paras rintangan kukuh 1.2750, kadarnya mungkin akan susut ke paras 1.2530, malah mungkin ke paras 1.2480."

    Pasangan ini ditutup pada paras 1.2585 minggu lalu. Melihat kepada minggu hadapan, 40% penganalisis menjangkakan pembetulan ke atas, 20% lagi menjangkakan nilai dolar menjadi lebih kukuh, dan baki 40% lagi mengunjurkan pergerakan mendatar. Dalam kalangan pengayun pada tempoh masa D1, 90% adalah berwarna merah dan 10% berwarna hijau. Bagi indikator trend, nisbah antara warna merah dan hijau masing-masing adalah 85% dan 15%, memihak kepada warna merah. Jika pasangan ini turun, ia akan menerima sokongan pada paras dan zon 1.2560-1.2575, 1.2545, 1.2500-1.2510, 1.2435-1.2450, 1.2300-1.2330, 1.2190-1.2210, 1.2085, 1.1960, dan 1.1800. Jika ia naik ke atas, pasangan ini akan berdepan rintangan pada paras 1.2620-1.2635, 1.2690-1.2710, 1.2760, 1.2800-1.2815, 1.2880, 1.2940, 1.2980-1.3000, 1.3050-1.3060, 1.3125-1.3140, dan 1.3185-1.3210.

    Bagi peristiwa penting yang melibatkan keadaan ekonomi United Kingdom, perhatian harus diberi kepada penyiaran Laporan Inflasi yang dijadual akan berlangsung pada hari Khamis, 7 September.

USD/JPY: Menunggu Campur Tangan Mata Wang

  • Bercakap secara umum, jika kami mengulas tentang keputusan mingguan, kami boleh nyatakan bahawa Indeks Dolar (DXY) telah menewaskan ketiga-tiga pasangan, EUR/USD, GBP/USD,  dan USD/JPY pada hari Jumaat, 1 September, hampir menolak kedudukan ketiga-tiga pasangan kembali ke paras permulaan lima hari dagangan. Perkara ini tetap berlaku walaupun dengan kemeruapan yang tinggi. Sebagai contoh, bermula dengan kadar yen sebanyak 146.40 bagi setiap dolar, nilai mata wang Jepun itu mencecah paras tertinggi mingguannya iaitu 147.36, dan kemudian turun ke paras 144.44 dan kadar akhirnya ditutup pada paras 146.21.

    Statistik terbaru menunjukkan bahawa aktiviti industri di Jepun mengalami pembantutan. Perkara ini dibuktikan oleh data Indeks Pengurusan Pembelian (PMI) dalam sektor pembuatan yang susut daripada 49.7 kepada 49.6 dalam masa sebulan, kekal berada di bawah nilai ambang 50 untuk tiga bulan berturut-turut. Paras 50 membezakan sama ada ekonominya berkembang atau menguncup. Melihat kepada hakikat itu, pasangan USD/JPY mengekalkan sentimen bullish, namun ia boleh bertukar jika pihak berkuasa di Jepun melaksanakan campur tangan mata wang. Para pegawai memberi jaminan bahawa mereka akan terus berjaga-jaga. Sebagai contoh, Menteri Kewangan Jepun iaitu Sunaiti Suzuki telah melaksanakan satu lagi campur tangan berbentuk lisan (bukan kewangan) baru-baru ini. Pada 1 September, beliau menyatakan bahawa pasaran seharusnya menentukan kadar tukaran mata wang mereka sendiri, dan sementara itu menekankan bahawa kadar turun naik yang begitu mendadak perlu dielakkan. Beliau juga turut menyebut memantau pergerakan mata wang dengan teliti. Masih tidak pasti jika “mentera” seperti itu dapat menenangkan para pelabur yang bimbang tentang yen. Adalah munasabah jika campur tangan mata wang benar-benar dilaksanakan, dan bukan sekadar lisan untuk dijadikan bukti, seperti pada November lalu.

    Untuk situasi jangka pendek, sama seperti pasangan sebelum ini, majoriti penganalisis percaya bahawa indeks DXY telah naik secukupnya dan mungkin inilah masanya untuk ia turun ke bawah, setidak-tidaknya buat sementara waktu. Berkenaan pasangan USD/JPY, 80% penganalisis bersetuju dengan trend pengunduran seperti itu. Baki 20% lagi terus berharap dengan potensi dolar agar kadar pasangan ini naik lebih tinggi. Pada tempoh masa D1, 100% indikator trend berwarna hijau. Dalam kalangan pengayun, 65% berwarna hijau, 10% lagi berwarna merah, dan baki 25% lagi mengekalkan pendirian neutral.

    Sokongan paling hampir berada pada paras 146.10, diikuti dengan 145.50-145.70, 144.90, 144.50, 143.75-144.05, 142.90-143.05, 142.20, 141.40-141.75, 140.60-140.75, 139.85, 138.95-139.05, 138.05-138.30, 137.25-137.50. Rintangan paling hampir berada di antara 146.50-146.60, diikuti dengan 146.90, 147.25-147.35, 148.45-148.85, 150.00, dan akhir sekali paras tertinggi pada Oktober 2022 iaitu 151.90.

    Hari Jumaat, 8 September menjadi tumpuan dalam kalendar ekonomi untuk minggu hadapan kerana kadar KDNK di Jepun bagi Q2 2023 akan dikeluarkan. Tiada statistik penting yang lain berkenaan keadaan ekonomi Jepun akan dikeluarkan pada minggu hadapan.

MATA WANG KRIPTO: Mengapa Nilai Bitcoin Naik dan Kemudian Turun Semula

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 04 - 08 September, 20231

  • Permulaan minggu lalu tersangat-sangat membosankan. Keadaan seperti itu boleh terus berlaku jika bukan disebabkan oleh berita mengenai Grayscale. Buat masa ini, Grayscale adalah firma pelaburan terbesar dunia yang menguruskan aset mata wang kripto. Sekarang, syarikat itu telah memenangi rayuan terhadap Suruhanjaya Bursa dan Sekuriti A.S. (SEC). Para hakim sebulat suara menyifatkan keengganan penggubal dasar itu daripada menukar tabung amanah Bitcoin kepada ETF spot sebagai “sewenang-wenang dan berubah-ubah”. Tuntutan undang-undang ini telah berlaku lebih daripada setahun, dan tanpa disangka-sangka, mahkamah menyampaikan keputusan muktamad mereka pada hari Selasa, 29 Ogos lalu. Akibatnya, dalam masa tiga jam, nilai Bitcoin naik daripada $26,060 kepada $28,122, kenaikan sebanyak 7.9%, pertumbuhan kadar terbaik dalam tempoh 12 bulan lepas.

    Mungkin, kesan memberangsangkan ini mungkin boleh menjadi lebih baik jika bukan disebabkan oleh orang dalam. Rupa-rupanya terdapat pihak yang tahu lebih awal tentang keputusan mahkamah itu. Sejurus sebelum mahkamah mengumumkan keputusan mereka, terdapat individu yang menjual 30,000 Bitcoin dengan nilai sekitar $780 juta di bursa. Menjual coin sebanyak itu ketika harga berada di kemuncaknya ternyata agak mencabar disebabkan oleh kadar likuiditi yang rendah, justeru mengakibatkan nilai jualannya semakin susut. Selepas itu, pertumbuhan yang dialami BTC/USD mula hilang perlahan-lahan, dan nilainya kembali pada kadar ia bermula seperti pada 29 Ogos lalu.

    Namun begitu, walaupun nilainya menjadi susut, kebanyakan penganalisis berasa yakin bahawa keputusan terbaru mahkamah ini akan memberikan kesan positif terhadap pasaran. Jika diingat pada musim panas lalu, lapan institusi kewangan utama sudah pun memfailkan permohonan mereka kepada SEC untuk memasuki pasaran mata wang kripto menerusi ETF spot Bitcoin. Antaranya adalah pihak pengurusan aset global seperti BlackRock, Invesco, dan Fidelity. Sebelum ini, hakikatnya adalah amat membimbangkan apabila pihak SEC menolak kesemua permohonan yang hampir serupa. Namun, segalanya telah berubah sekarang berikutan keputusan kes Grayscale ini.

    Pakar strategi kanan Bloomberg iaitu Eric Balchunas sudah pun menaikkan nilai unjurannya kepada 95% bagi kelulusan ETF sehingga tahun 2024 dan 75% untuk kemungkinan ia berlaku pada tahun ini, tahun 2023. Mengikut bermacam-macam anggaran, dana-dana baru ini boleh menarik pelaburan pihak berinstitusi antara $5 bilion dan $10 bilion dalam tempoh enam bulan pertama saja, tidak diragui ianya dapat menolak sebut harganya ke atas.

    Pengasas bersama syarikat Fundstrat iaitu Tom Lee percaya bahawa jika ETF spot Bitcoin mendapat kelulusan, nilainya boleh naik kepada $185,000. Pendapat lain pula diberikan oleh CEO ARK Invest iaitu Cathy Wood. Beliau menjangkakan lonjakan dalam jumlah keseluruhan modal pasaran mata wang kripto kepada $25 trilion menjelang tahun 2030, kenaikan lebih daripada 2100%. Mengikut unjuran ini, senario dasar ARK Invest membayangkan harga BTC akan naik kepada $650,000 sepanjang tempoh itu, manakala senario lebih optimis pula menjangkakan nilainya naik dua kali ganda daripada itu.

    Kepintaran Buatan ChatGPT yang dibangunkan oleh OpenAI mencadangkan senario yang optimis. Ia membayangkan nilai mata wang kripto utama itu akan naik kepada $150,000 menjelang tahun 2024, $500,000 menjelang tahun 2028, $1 juta pada tahun 2032, dan $5 juta pada tahun 2050. Walau bagaimanapun, ChatGPT menggariskan beberapa syarat. Pertumbuhan nilai ini hanya akan berlaku jika: mata wang kripto diterima pakai secara meluas, bitcoin menjadi penyimpan nilai popular, dan coin tersebut diintegrasikan ke dalam pelbagai sistem kewangan. Mengikut pengiraan AI tersebut, jika syarat-syarat ini tidak dipenuhi, nilai coin itu adalah antara $20,000 dan $500,000.

    Secara umumnya, nilai-nilai baru ini turut memberikan harapan kepada pelabur jangka panjang BTC, golongan yang terus menunjukkan peningkatan jumlahnya. Kaji selidik yang dijalankan oleh Glassnode mendedahkan bahawa jumlahnya mencecah rekod tertinggi baru-baru ini, menunjukkan konsep menyimpan yang semakin popular, mewujudkan sedikit perasaan optimis, dan berpotensi menjadi rintangan terhadap turun naik pasaran.

    Pada sudut yang lain, spekulasi jangka pendek mula hilang dari pasaran. Menurut CryptoQuant, jumlah dagangan bitcoin telah mencecah kadar terendahnya dalam masa lima tahun. “Jumlah dagangan turun di tengah-tengah trend bearish kerana para pelabur runcit telah keluar,” jelas Julio Moreno, Ketua Penganalisis di CryptoQuant. “Secara keseluruhan, pasaran kekal kurang bersemangat,” tegas Gautam Chhugani, seorang penganalisis di Bernstein. “Trend ini tidak semestinya bermaksud bearish, namun peserta pasaran masih tidak berminat untuk melakukan dagangan kerana pasaran menantikan pemangkin."

    Raoul Pal, CEO Real Vision Group iaitu salah satu platform media kewangan terkemuka dunia maklum dengan kadar kemeruapan 30 hari bitcoin yang  turun kepada 20 mata. Namun, berdasarkan kepada pemerhatiannya, kemeruapan rendah dalam tempoh dua dan empat bulan seperti itu jika mengikut sejarah boleh mendorong kepada lonjakan mendadak nilai mata wang kripto pertama tersebut. Menurut penganalisis yang dikenali sebagai Credible Crypto, untuk nilainya benar-benar melonjak, bull perlu menolak nilai mata wang kripto pertama itu ke zon utama antara $29,000-$30,000. Buat masa sekarang, sebahagian besar pedagang menjangkakan penurunan kadar BTC ke paras yang lebih baik untuk membuat pembelian. Maka, menurut Credible Crypto, apabila nilainya lebih tinggi daripada $30,000, fenomena Fear of Missing Out (FOMO) akan memainkan peranannya, menolak sebut harga ke atas.

    Sejauh manakah nilai mata wang kripto terunggul ini boleh turun jika mengikut situasi semasa? Mengikut sejarah September bukanlah bulan yang menyebelahi bitcoin. Antara tahun 2011 sehingga 2022, BTC mengalami kerugian kira-kira 4.67% daripada nilainya secara purata pada bulan ini.

    Penganalisis Justin Bennett percaya bahawa nilai bitcoin berpotensi untuk turun kepada $14,000. Paras ini telah menjadi sokongan kukuh antara tahun 2018 hingga 2020. Bennett menyokong unjuran beliau dengan carta yang menunjukkan aset kripto terunggul ini telah keluar daripada saluran menaik yang dilaluinya kira-kira sepuluh bulan. Bitcoin gagal untuk menembusi rintangan pada julat antara $29,000-$33,000 dan menyebabkan ia keluar daripada saluran itu. Disamping itu, kegawatan ekonomi di peringkat global boleh memburukkan lagi penurunan kadarnya. Menurut Bennett, disebabkan indeks saham S&P 500 gagal untuk mencatat rekod sama yang dicapai pada tahun 2022 iaitu 4,750, kini ia berpotensi untuk kerugian sebahagian besar daripada kadarnya.

    Namun, walaupun dengan pendapat-pendapat yang disebutkan di atas tadi, bulan September masih terbukti memberi kelebihan kepada pelaburan jangka panjang mengikut strategi “beli ketika murah”. Penganalisis kanan Bloomberg iaitu Mike McGlone membandingkan metrik antara mata wang kripto pertama itu dengan pasaran saham dan menyimpulkan bahawa penurunan ke paras $10,000 sekali pun tidak akan menggoyahkan dengan teruk kedudukan coin tersebut. Sebagai contoh, penganalisis itu mengambil saham syarikat gergasi Amazon sebagai contoh, ia memberikan perolehan lebih daripada 7000% dalam tempoh 20 tahun. Namun, BTC telah melangkaui kadar ini dengan lebih jauh setelah mengalami pertumbuhan kira-kira 26,000% sejak tahun 2011. “Prestasi aset yang belum pernah dicapai mampu dikekalkan walaupun nilainya turun ke paras $10,000,” jelas McGlone. Beliau menekankan bahawa trajektori “migrasi arus perdana” bitcoin juga amat penting kerana dana dagangan bursa serta ciri-ciri instrumen pasaran tradisional yang lain mula membuat kemunculan.

    Selain daripada potensi ETF spot bitcoin mendapat kelulusan, pengurangan penghasilan yang akan dilaksanakan nanti turut boleh mempengaruhi pertumbuhan nilai coin. Menurut penganalisis TradingShot, kadar BTC/USD boleh mencecah paras $50,000 menjelang akhir tahun ini disebabkan oleh faktor-faktor tersebut. Namun, semasa ulasan ini dibuat pada malam Jumaat, 1 September, ia didagangkan di sekitar $25,750. Jumlah keseluruhan modal pasaran mata wang kripto adalah $1.048 trilion ($1.047 trilion seminggu lalu). Kadar Indeks Fear & Greed Kripto pula kekal di zon Fear pada bacaan 40 mata (39 mata seminggu lalu).

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami