September 9, 2023

EUR/USD: 13 dan 14 September - Hari Penting Dalam Minggu

  • Untuk lapan minggu berturut-turut, kadar Indeks Dolar A.S. (DXY) meningkat, manakala kadar EUR/USD pula susut. Pasangan mata wang ini turun ke paras pada tiga bulan lalu, berada di zon 1.0700. Hanya pada hari Jumaat, 8 September, penurunan ini terhenti setelah golongan bull dolar mula mengumpulkan pulangan mereka.

    Data-data fundamental terus memihak kepada mata wang A.S. Aktiviti perniagaaan yang direkodkan menerusi Indeks PMI dalam sektor Perkhidmatan telah menunjukkan pertumbuhan konsisten; naik daripada 52.7 kepada 54.5 dan bukan 52.5 yang diunjur. Disamping itu, data yang dikeluarkan pada 8 September menunjukkan bahawa pasaran buruh A.S. setidak-tidaknya memperlihatkan prestasi yang mencukupi. Jumlah tuntutan awal manfaat pengangguran adalah 216K, lebih rendah berbanding 234K yang diunjur serta jumlah sebelum ini iaitu 229K.

    Pada hari yang sama, statistik di Eropah menunjukkan keputusan yang agak lemah. Sebagai contoh, kadar pertumbuhan di EU bagi Q2 hanya naik 0.1%, walaupun kadar pertumbuhan pada Q1 dan kadar unjurannya adalah 0.3%. Secara tahunan, kadar pertumbuhan sebenar juga adalah rendah iaitu 0.5% berbanding 0.6% yang diunjur. Jumlah pengeluaran industri di Jerman susut sebanyak -0.8% untuk bulan Julai berbanding susut -0.5% yang diunjur. Sementara itu, walaupun dengan usaha untuk mengurangkannya, kadar inflasi di Jerman terus stabil. Kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) yang dikeluarkan pada hari Jumaat, 8 September kekal pada 0.3% untuk bulan ke bulan (m/m) dan 6.4% untuk tahun ke tahun (y/y).

    Menurut kebanyakan penganalisis, pihak Bank Negara Kesatuan Eropah (ECB) sedang berada dalam kesusahan. Pada satu sudut, kadar faedah perlu dinaikkan bagi membendung inflasi; pada sudut yang lain pula, kadar tersebut harus dikurangkan bagi membantu ekonominya. Terdapat kemungkinan penggubal dasar berkenaan akan menghentikan sementara serta tidak mengubah kadar faedah 4.25% yang ada sekarang pada mesyuarat yang akan berlangsung pada hari Khamis, 14 September nanti. Buat masa ini, kadar kebarangkaliannya adalah35%  untuk perkara itu berlaku.

    Untuk mesyuarat Federal Open Market Committee (FOMC) Rizab Persekutuan A.S. yang dijadualkan pada 20 September pula, peserta pasaran berasa yakin bahawa penggubal dasar itu juga akan membiarkan saja kadar faedah mereka tidak berubah. Namun, sebab kepada pelaksanaan itu adalah berbeza sama sekali. Sementara keadaan ekonomi di Eurozone berada di ambang kegawatan dan stagflasi, ekonomi di A.S. sedang melalui fasa “pendaratan berhati-hati”. Seperti jaminan yang diberi oleh John C. Williams, Presiden Bank Rizab Persekutuan New York, “keadaan polisi kewangan adalah baik-baik saja”. Sudah pasti, keseimbangan ini boleh berubah pada kedua-dua arah setelah data inflasi di Amerika Syarikat diketahui pada hari Rabu, 13 September nanti.

    Kesimpulannya, penamatan sementara pada bulan September tidak bermaksud kitaran pengetatan polisi kewangan akan berakhir. Mengikut data FedWatch CME, terdapat 37% kadar kebarangkalian untuk kadar faedah dinaikkan sebanyak 25 mata asas (b.p) pada bulan November. Walaupun jika tiada kenaikan itu, berkemungkinan besar ia tidak memberi keburukan kepada dolar. Semua sentimen negatif telah diambil kira dalam sebut harga USD kerana pasaran sudah lama berharap ekonomi A.S. akan gawat dan mengakibatkan pelonggaran polisi kewangan Rizab Persekutuan. Kini, jelaslah bahawa peralihan kepada pendirian dovish tidak akan berlaku, dan kadar faedah pula akan kekal pada paras tertinggi sekurang-kurangnya 5.5% untuk tempoh yang lebih lama.

    Pasangan EUR/USD memulakan penurunannya dari ketinggian 1.1275 lapan minggu yang lalu, pada 18 Julai, dan mengakhiri dagangan minggu lalu pada paras 1.0699, kerugian sebanyak 576 mata. Pada malam 8 September, semasa ulasan ini dibuat, 45% penganalisis menjangkakan pertumbuhan pasangan ini pada minggu hadapan, 45% lagi mengunjurkan penurunan, dan baki 10% pula berpendirian neutral. Berkenaan analisis teknikal, tiada apa yang berubah daripada minggu lalu. Semua indikator trend dan pengayun pada tempoh masa D1 100% terus memihak kepada mata wang A.S. dan berwarna merah. Namun, 30% daripadanya sudah pun memberi isyarat lebihan jualan. Sokongan paling hampir bagi pasangan ini berada di sekitar 1.0680, diikuti dengan 1.0620-1.0635, 1.0515-1.0525, 1.0480, 1.0370, dan 1.0255. Bull akan berdepan rintangan di sekitar 1.0730-1.0745, diikuti dengan 1.0780-1.0800, 1.0835-1.0865, 1.0895-1.0925, 1.0985, 1.1045, 1.1090-1.1110, 1.1150-1.1170, 1.1230, dan 1.1275-1.1290.

    Penting untuk maklum mengenai tarikh 13 September, hari Rabu pada kalendar minggu hadapan kerana data inflasi pengguna (CPI) di A.S. akan dikeluarkan. Pada hari Khamis, 14 September, Bank Negara Kesatuan Eropah (ECB) akan mengumumkan keputusan tentang kadar faedah mereka. Sudah pasti, sidang akhbar barisan kepimpinan bank negara tersebut selepas itu juga harus diberi tumpuan. Pada hari yang sama, jumlah tuntutan awal pengangguran di A.S. kebiasaannya akan dikeluarkan, bersama-sama dengan data jualan runcit serta kadar Indeks Harga Pengeluar (PPI) di negara tersebut.

GBP/USD: Kadar Tertinggi Terus Susut

  • Buat masa ini, soalan utama buat kebanyakan bank negara, termasuklah Bank of England (BoE) adalah apa yang paling diutamakan: membendung inflasi atau menghalang ekonomi daripada jatuh meleset? Benar, ekonomi British dilihat sedang menuju ke arah kemelesetan. Indeks Pengurusan Pembelian (PMI) dalam sektor pembuatan di negara itu berada pada kadar 43.0, dengan kadar PMI utamanya susut ke paras paling rendah sepanjang 39 bulan. Mengikut data terbaru, kadar PMI dalam sektor perkhidmatan susut ke paras 49.5, berada di bawah kadar ambang 50.0 dan masuk ke dalam zon penguncupan buat pertama kali sejak bulan Januari.

    Jadi, bagaimana pula dengan inflasi? Walaupun kadar inflasi tahunan di UK susut daripada 7.9% kepada 6.8% (terendah sejak Februari 2022), kadar itu kekal yang tertinggi dalam kalangan negara-negara G7. Lebih lebih lagi, kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) teras kekal pada paras 6.9% untuk tahun ke tahun, hanya 0.2% lebih rendah berbanding paras tertinggi yang dicapai dua bulan lalu.

    Mengikut kaji selidik terbaru yang dijalankan oleh Panel Pembuat Keputusan (Decision Maker Panel atau DMP) Bulanan Bank of Enland pada hari Khamis, 7 September, perniagaan di British menjangkakan kadar CPI akan turun kepada 4.8% untuk tahun ke tahun pada tahun hadapan. Penting untuk menyatakan bahawa sasaran penggubal dasar itu sendiri adalah menurunkan kadar CPI hampir kepada 5.0% menjelang akhir tahun ini.

    Kaji selidik menunjukkan bahawa mengikut keadaan semasa, barisan pemimpin negara itu lebih mengutamakan keselamatan ekonomi berbanding membendung kadar inflasi. Huw Pill, Ketua Pakar Ekonomi Bank of England menyatakan bahawa walaupun tiada ruang untuk berasa puas hati dengan kadar inflasi, beliau sendiri lebih suka untuk membiarkan kadar itu stabil untuk jangka masa yang lebih lama. Beliau menambah lagi bahawa pada mesyuarat BoE yang berikutnya pada 21 September nanti, beliau akan mengundi untuk mengekalkan kadar semasa iaitu 5.25%.

    Menurut Reuters, buat masa ini pasaran menjangkakan 85% kebarangkalian kadar faedah akhir BoE selepas satu atau dua lagi kenaikan menjelang akhir tahun ini adalah 5.75%. Unjuran ini adalah begitu rendah berbanding unjuran bulan Julai, di mana kadar paling tinggi yang diunjur adalah 6.5%. Penting untuk menyebut bahawa kadar 5.75% yang dijangkakan untuk pound itu hanyalah 25 mata asas lebih tinggi daripada kadar semasa dolar iaitu 5.50%, jurang yang begitu jelas tidak memberi kelebihan kepada mata wang British. Lebih-lebih lagi, kadar Rizab Persekutuan A.S. mungkin berpotensi untuk naik lagi 25-50 mata asas.

    Pasangan GBP/USD ditutup pada kadar 1.2465 minggu lalu. Pakar ekonomi dari United Overseas Bank Limited (UOB) di Singapura menjangkakan pasangan ini mungkin akan menguji paras sokongan kukuh 1.2400 pada 1-3 minggu akan datang. Namun, mereka percaya keadaan lebihan jualan jangka pendek mungkin boleh memperlahankan kadar penurunan. Unjuran para penganalisis terbahagi sama rata seperti yang dialami EUR/USD: 45% menjangkakan pembetulan ke atas, 45% lagi mengunjurkan trend penurunan yang berterusan, dan baki 10% pula menunjukkan pergerakan mendatar. Dalam kalangan pengayun pada carta D1, 100% berwarna merah, dengan 15% menunjukkan keadaan lebihan jualan. Indikator trend menunjukkan nisbah 90% dan 10% yang memihak kepada warna merah. Jika pasangan ini bergerak ke bawah, ia akan menerima sokongan pada paras dan zon 1.2445, 1.2370-1.2390, 1.2300-1.2330, 1.2270, 1.2190-1.2210, 1.2085, 1.1960, dan 1.1800. Jika ia bergerak ke atas, rintangan akan dihadapi pada paras 1.2510, 1.2560-1.2575, 1.2600-1.2615, 1.2690-1.2710, 1.2760, 1.2800-1.2815, 1.2880, 1.2940, 1.2995-1.3010, 1.3060, dan 1.3125-1.3140, serta 1.3185-1.3210.

    Berkenaan data ekonomi utama di United Kingdom, set data kadar pengangguran yang akan diketahui pada hari Selasa, 12 September perlu diberi perhatian. Disamping itu, kadar KDNK bulan Julai di negara itu yang akan dikeluarkan pada hari Rabu, 13 September juga penting.

USD/JPY: Bull Berasa Bimbang dan Bear Menjangkakan Campur Tangan Mata Wang

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 11 - 15 September, 20231

  • Di Jepun, persoalan mengenai “ekonomi atau inflasi” tidak timbul; jawapan yang tidak berbelah bagi semestinya adalah ekonomi. Pada hari Rabu, 6 September, memetik sumber tanpa nama, Kyodo News melaporkan bahawa kerajaan Jepun rupa-rupanya sedang merancang untuk melaksanakan langkah merangsang ekonomi yang baru pada bulan Oktober. Reuters, memetik saluran media Jepun itu telah mengenal pasti matlamat utama pakej rangsangan itu sebagai “menyokong kenaikan gaji dalam syarikat dan mengurangkan kos elektrik”. “Perdana Menteri Fumio Kishida dijangka akan memberi tugas [kepada pihak bertanggungjawab] untuk menyediakan satu draf […] bagi memperuntukkan sumber belanjawan tambahan bagi melaksanakan langkah ini,” laporan itu menyebut. Reuters juga membentangkan satu analisis yang menunjukkan beban hutang negara itu akan meningkat disebabkan oleh pengumuman langkah rangsangan itu. Mengikut anggaran, hutang negara Jepun yang sudah pun dua kali ganda lebih tinggi daripada kadar KDNK akan mencecah rekod 112 trilion yen (760 bilion dolar) pada tahun fiskal seterusnya.

    Semakin jelaslah bahawa dalam keadaan seperti itu, kadar inflasi akan terus meningkat. Sementara itu, pasangan USD/JPY meneruskan pergerakan ke atasnya, mencecah paras 147.86 pada 7 September, merekodkan paras tertinggi baru dalam masa 10 bulan. Pada hari Jumaat, 8 September, Menteri Kewangan Jepun iaitu Shunichi Suzuki sekali lagi menegaskan bahawa pihak berkuasa negara itu “tidak menolak sebarang langkah bagi membendung kadar turun naik mata wang yang berlebihan”. Walau bagaimanapun, peserta pasaran tidak lagi mengharapkan kenaikan kadar faedah memandangkan ia sudah bertahun-tahun kekal pada kadar negatif -0.1%. Kebimbangan mengenai Menteri Kewangan dan Bank of Japan (BoJ) mungkin        akhirnya terpaksa mengambil campur tangan mata wang dan bukannya secara lisan seperti yang berlaku pada musim luruh lalu mula timbul dalam kalangan pelabur. Menurut laporan Reuters yang sama, ketua diplomat mata wang Jepun iaitu Masato Kanda telah menyatakan bahawa pihak berkuasa bank Jepun sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk campur tangan bagi menamatkan pergerakan “spekulatif”.

    Melihat kadar Indeks Dolar DXY mengekalkan kedudukannya di sekitar paras 105.00, paling tinggi sejak bulan Mac lalu, hanya campur tangan mata wang oleh Bank of Japan saja boleh membantu mengukuhkan kedudukannya. Walau bagaimanapun, menurut sebilangan penganalisis, punca utama kepada nilai yen yang lemah adalah perbezaan pendapat dalam kalangan ahli-ahli politik negara itu berkenaan polis kewangan mereka.

    Dagangan minggu lalu untuk pasangan ini ditutup pada paras 147.79. Pakar strategi di UOB Group menjangkakan momentum ke atas yang berterusan boleh menolak pasangan USD/JPY untuk mensasarkan paras 149.00 pada minggu hadapan. Bagi unjuran konsensus, hanya 20% penganalisis masih percaya dengan potensi dolar serta pertumbuhan lebih tinggi pasangan ini. Bear menerima kelebihan sebanyak 80%. (Penting bahawa konsensus 100% sekalipun tidak menjamin ketepatan sesuatu unjuran, terutama sekali jika melibatkan yen Jepun). Bagi indikator trend dan pengayun pada carta D1, 100% berwarna hijau, walaupun 40% daripadanya memberikan isyarat keadaan lebihan belian. Sokongan paling hampir berada di zon 146.85-147.00, diikuti dengan 146.10, 145.55-145.70, 145.30, 144.90, 144.50, 143.75-144.05, 142.90-143.05, 142.20, 141.40-141.75, 140.60-140.75, 139.85, 138.95-139.05, 138.05-138.30, dan 137.25-137.50. Rintangan paling hampir berada pada paras 148.45, diikuti 148.45-149.10, dan akhir sekali, paras tertinggi yang dicapai pada Oktober 2022 iaitu 151.90.

    Tiada data ekonomi penting berkenaan keadaan ekonomi Jepun yang dijangka akan dikeluarkan pada minggu hadapan.

MATA WANG KRIPTO: Rasa Takut dan Gusar di Pasaran

  • Untuk minggu ketiga, pasaran masih berada dalam keadaan tidak peduli. Mengikut pemerhatian oleh jutawan kripto William Clemente, jumlah keseluruhan dagangan bagi aset digital telah turun ke paras paling rendah sejak tahun 2020. Carta BTC/USD pada tempoh masa H1 dan D1 kebanyakannya menyerupai jejak semut, pergerakan serangga itu dalam satu garisan halus dan tidak terputus-putus.

    Situasi ini menjadi lebih baik dengan keputusan mahkamah berkenaan kes Grayscale. Firma pelaburan terkemuka dunia dalam pengurusan aset mata wang kripto itu telah memenangi rayuan terhadap pihak Suruhanjaya Bursa dan Sekuriti A.S. (SEC). Hasilnya, nilai bitcoin melonjak daripada $26,060 kepada $28,122 dalam tempoh tiga jam pada 29 Ogos, menunjukkan kadar pertumbuhan terbaik sepanjang 12 bulan lalu. Namun, keterujaan itu tidak berpanjangan kerana pihak SEC membuat serangan balas dengan mengambil keputusan menunda untuk mempertimbangkan permohonan bagi pendaftaran ETF spot bitcoin sehingga bulan Oktober. Sehubungan itu, nilai mata wang kripto terunggul ini kembali berada di zon sokongan $25,500.

    Kembali kepada analisis teknikal, paras sokongan ini sepadan dengan paras Fibonacci 0.382. Penurunan di bawah paras ini berpotensi untuk mendorong kepada susut nilai ke paras $21,700: paras Fibonacci 0.618. Para penganalisis di Fairlead Strategies sedia maklum bahawa pada penghujung bulan Ogos, carta bulanan emas digital ini mengesahkan penyingkirannya dari zon lebihan belian pada pengayun stochastic, keadaan yang boleh mencetuskan kekecewaan kepada bull bitcoin. Para penganalisis percaya bahawa pembentukan isyarat ini sering menunjukan kepada paras kemuncak yang dilepasinya, seperti yang dilihat pada hujung tahun 2017 dan awal tahun 2021. “Penurunan ini [pada pengayun stochastic] menunjukkan bahawa proses pembentukan paras terendah mungkin akan berpanjangan. Perkara ini adalah benar sekali jika mengambil kira overhed cloud Ichimoku yang bertindak sebagai rintangan (~$31,900),” jelas laporan oleh Fairlead Strategies.

    Menurut penganalisis dengan nama gelaran Tolberti, carta BTC sedang membentuk corak “head and shoulder” yang memberi ancaman penurunan nilai lebih rendah. Satu lagi pendapat yang menyokong trend bearish adalah bitcoin kini didagangkan di bawah kadar purata pergerakan (MA) 200 minggu. Disebabkan itu, Tolberti membuat spekulasi bahawa nilai mata wang kripto terkemuka itu boleh turun kepada $10,000, dengan kemungkinan perubahan trend berlaku pada Mac 2024.

    Unjuran bersifat negatif turut diberikan oleh penganalisis di Cointelegraph. Hakikatnya derivatif bitcoin sudah mula menunjukkan kecenderungan bearish. Carta nilai BTC tidak menipu bahawa sentimen pelabur tidak bertambah baik berikutan kejayaan yang diperoleh Grayscale. Justeru, para penganalisis menjangkakan sebut harga mata wang kripto terkemuka ini boleh turun kepada $22,000 dalam beberapa minggu akan datang.

    Cointelegraph percaya bahawa bukan saja penundaan tarikh pelancaran ETF spot bitcoin memberi tekanan kepada pasaran, malah juga tindakan pihak berkuasa A.S. terhadap bursa seperti Binance dan Coinbase. Pelbagai sumber mendakwa bahawa Jabatan Kehakiman (DOJ) A.S. mungkin akan menyaman platform dagangan terbesar dunia itu dan memulakan siasatan jenayah. Antara dakwaan yang dikenakan adalah membantu penggubahan wang haram serta pelanggaran sekatan terhadap syarikat-syarikat Rusia.

    Buat masa ini, peserta pasaran berada dalam keadaan terawang-awang dan tidak pasti tentang perkara yang akan berlaku. Ketaktentuan undang-undang memberi kelebihan kepada bear. Menurut Cointelegraph, derivatif pasaran dipenuhi dengan rasa takut dan ragu-ragu, keadaan yang memberi faedah kepada mereka yang inginkan nilainya turun.

    Kami telah maklum sebelum ini bahawa pencetus yang kuat bagi pertumbuhan pasaran jangka sederhana dan panjang mungkin adalah pelancaran ETF spot bitcoin serta pengurangan penghasilan bitcoin yang dijadual akan dilaksanakan pada April 2024.

    Jika diingat, lapan institusi kewangan utama telah menghantar permohonan mereka kepada pihak SEC untuk masuk ke dalam pasaran mata wang kripto menerusi ETF spot bitcoin pada musim panas lalu. Antara yang memohon selain daripada BlackRock adalah pengurus aset global Invesco dan Fidelity. Mengikut sebilangan anggaran, permintaan baru untuk mata wang kripto mampu mencecah $5-10 bilion dalam masa enam bulan selepas ETF itu dilancarkan, dan nilai BTC boleh naik antara $50,000-120,000 bagi setiap coin.

    Walaupun pihak SEC telah memutuskan untuk menunda sehingga pertengahan musim bunga bagi menilai permohonan itu, peluang untuk ia diluluskan adalah amat tinggi. Lagi pun, BlackRock bukanlah calang-calang kerana ia adalah gergasi pelaburan global, dan mempunyai hubungan baik dengan pihak berkuasa A.S. Sesuai untuk kami sebutkan bahawa ketika pihak Rizab Persekutuan mengambil keputusan membeli sekuriti menggunakan ETF bagi menyokong ekonomi Amerika pada tahun 2020, separuh daripada jumlah pembelian itu adalah daripada dana BlackRock.

    Yang menariknya, syarikat itu sendiri telah menganggarkan peluang untuk permohonan mereka diluluskan adalah amat tinggi. Perkara ini terbukti dengan pembelian bitcoin dan juga saham syarikat-syarikat penghasil. Pada pertengahan Ogos lalu, telah diketahui bahawa BlackRock telah membeli saham empat syarikat penghasilan utama, membelanjakan lebih daripada $400 juta. Larry Fink, CEO BlackRock telah menganggap bitcoin sebagai emas digital dan aset antarabangsa yang berpotensi memberi perlindungan terhadap inflasi.

    Alistair Milne, Ketua Pegawai Pelaburan di Altana Digital Currency Fund percaya bahawa nilai bitcoin boleh mencecah $100,000 walaupun permohonan dana dagangan bursa (ETF) spot bitcoin tidak diluluskan. Pada pendapat beliau, topik ETF sedikit sebanyak telah mengalih perhatian peserta pasaran. Milne yakin bahawa isu yang menyelubungi sektor perbankan A.S., kestabilan aset berisiko sejurus selepas Rizab Persekutuan menamatkan kenaikan kadar faedah serta peningkatan kadar keuntungana dalam sektor penghasilan kripto akan mendorong nilai coin itu ke atas.

    Arthur Hayes, pengasas bersama bursa kripto BitMEX turut merasakan bahawa akibat isu yang melanda sektor perbankan, bitcoin sudah bersedia untuk mengalami pertumbuhan ketara. Menurut beliau, fasa bull akan bermula selepas pihak Rizab Persekutuan mengaktifkan program penstabilan sektor perbankan berjumlah $25 bilion, termasuklah yang paling utama sekali “menyelamatkan” Bank Silicon Valley. Hayes menegaskan bahawa situasi ini telah memaksa pedagang untuk memberi tumpuan kepada aset dengan bekalan yang terhad, seperti bitcoin. Walaupun hanya sebilangan kecil peserta pasaran yang diambil kira buat masa ini, beliau yakin bahawa jumlah ini akan bertambah, dan selepas 6-12 bulan akan datang, mata wang kripto ternama ini akan mengalami lonjakan baru.

    Untuk pencetus kedua iaitu pengurangan penghasilan, blogger dan penganalisis terkenal iaitu Lark Davis percaya bahawa pelaksanaan itu boleh menggandakan nilai sedia ada bitcoin sekarang kepada 500-600%, dan berpotensi untuk mencecah nilai di sekitar $150,000 hingga $180,000. Namun, dengan tempoh tujuh bulan lagi sebelum penghasilannya dikurangkan, terdapat dua peristiwa penting yang boleh memberi pengaruh besar kepada selera para pelabur terhadap aset berisiko. Ia adalah penyiaran data inflasi A.S. pada hari Rabu, 13 September, serta mesyuarat Rizab Persekutuan pada 20 September.

    Semasa ulasan ini dibuat, pada malam 8 September, pasangan BTC/USD telah didagangkan di sekitar nilai $25,890. Jumlah keseluruhan modal pasaran mata wang kripto adalah $1.043 trilion, turun sedikit daripada $1.048 trilion minggu lalu. Kadar Indeks Fear & Greed Kripto untuk bitcoin kekal di zon ‘Fear’ dengan bacaan 46 mata, naik daripada 40 mata minggu lalu, mendekatkan kedudukannya dengan zon ‘Neutral’.

    Sebagai penutup, terdapat satu lagi unjuran yang diberikan oleh Kepintaran Buatan. Dengan menggunakan beberapa indikator teknikal termasuklah Moving Average Convergence Divergence (MACD), Relative Strength Index (RSI), Bollinger Bands (BB), dan lain-lain lagi, sistem AI pada platform PricePredictions telah menjangkakan bahawa nilai bitcoin seharusnya mencecah $26,228 pada 30 September nanti. Kita tidak perlu menunggu lama untuk mengetahui sama ada sistem kepintaran itu boleh dipercayai atau pun tidak.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami