Oktober 14, 2023

EUR/USD: Inflasi Membentuk Trend

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 16 - 20 Oktober, 20231

  • Pada awal minggu lalu, kadar Indeks Dolar (DXY) terus mengalami penyusutan yang bermula sejak 3 Oktober lalu, manakala pasaran ekuiti global pula meneruskan pertumbuhannya. Pendirian dovish para pemimpin Rizab Persekutuan dan penurunan hasil perolehan bon Perbendaharaan A.S. menjadi faktor penentu. Sejak kebelakangan ini, penggubal dasar dengan aktif meyakinkan pasaran tentang kemungkinan berlakunya “soft landing” bagi ekonomi A.S., memberi anggapan bahawa penghentian sementara kitaran pengetatan polisi kewangan mereka akan dipanjangkan. Sebagai contoh, pada hari Rabu, 11 Oktober, Christopher Waller, salah seorang ahli Lembaga Gabenor Rizab Persekutuan menyatakan bahawa “pengetatan dalam pasaran kewangan telah berjaya melaksanakan sebahagian daripada rancangan kami,” membolehkan bank persekutuan itu untuk terus mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

    Pada hari yang sama, minit mesyuarat Federal Open Market Committee (FOMC) untuk bulan September juga dikeluarkan. Jika dokumen itu tidak dianggap sebagai dovish, sudah pasti ia bukan bersifat hawkish. Sedia maklum bahawa pihak Jawatankuasa itu membiarkan kadar faedah mereka tidak berubah untuk bulan September. Bagi prospek akan datang, minit mesyuarat itu menyatakan bahawa barisan kepimpinan Rizab Persekutuan sedar mengenai keadaan “tidak menentu yang tinggi” berkenaan masa depan ekonomi A.S. dan mengakui tentang perlunya untuk mengekalkan pendekatan berhati-hati dalam menggubal polisi kewangan mereka.

    Sentimen pasaran mula berubah dengan perlahan-lahan berikutan penyiaran kadar Indeks Harga Pengeluar (PPI) di A.S. Biro Statistik Buruh melaporkan bahawa kadar PPI naik sebanyak 0.5% pada bulan September, melebihi 0.3% yang diunjur. Kadar PPI teras (bulan ke bulan) naik sebanyak 0.3% dan bukan 0.2% yang diunjur. Secara tahunan, kadarnya itu mencecah 2.2%, lebih tinggi berbanding 1.6% yang diunjur dan kadar sebelum ini iaitu 2%. Lonjakan kadar inflasi dalam industri yang tidak dijangka ini memulakan spekulasi bahawa kadar inflasi pengguna juga akan melangkaui unjuran.

    Jangkaan itu benar-benar berlaku. Data yang dikeluarkan pada hari Khamis, 12 Oktober menunjukkan kadar inflasi pada bulan September naik sebanyak 0.4%, lebih tinggi berbanding 0.3% yang diunjurkan. Secara tahunan, kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) ini juga lebih tinggi daripada jangkaan, berada pada kadar 3.7% berbanding 3.6% yang diunjur. Peserta pasaran membuat kesimpulan bahawa pertumbuhan kadar inflasi ini mampu mendesak para pegawai Rizab Persekutuan untuk mengubah pendirian dovish mereka kepada hawkish, mungkin akan menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas (bp) lagi dan menjadikannya 5.75% pada mesyuarat FOMC akan datang. Di tengah-tengah sentimen seperti itu, nilai dolar bersama-sama dengan hasil bon kerajaan A.S. naik mendadak, sementara pasaran ekuiti pula menjadi susut. Kadar DXY mencecah paras tertinggi mingguan yang baru iaitu 106.35. Hasil perolehan bon 10 tahun Perbendaharaan meningkat kepada 4.65%, manakala bon 2 tahun mencecah 5.05%. Pasangan EUR/USD mengubah arah pergerakannya, turun dari ketinggian 1.0639 kepada 1.0525 dalam masa beberapa jam saja.

    Kadar CPI di Jerman juga dikeluarkan pada hari Rabu, 11 September, yang menunjukkan kadar inflasi pengguna tahunan sebanyak 4.3% dan kadar bulanan sebanyak 0.3% adalah selari dengan kadar yang diunjur serta data sebelum ini. Joachim Nagel, salah seorang ahli Majlis Pentadbir ECB dan juga ketua Bundesbank menyatakan bahawa inflasi di Jerman telah mencapai kadar kemuncaknya. Menjelang tahun 2025, beliau menjangkakan pengetatan polisi kewangan akan menurunkan kadar inflasi di Eurozone kepada 2.7%, beliau memberikan pendapatnya. “Sebelum kami berjaya membendung inflasi yang tinggi, kami tidak akan berhenti,” beliau memberi jaminan.

    Minit mesyuarat ECB untuk bulan September mendedahkan bahawa majoriti besar ahli Majlis Pentadbir memberikan sokongan mereka untuk kenaikan 25 mata asas bagi kadar faedah euro. Mereka berpendapat, sebarang pemberhentian sementara mungkin akan memberi isyarat bahawa kitaran pengetatan akan berakhir atau Majlis Pentadbir lebih bimbangkan tentang keadaan ekonomi dan kegawatan yang bakal berlaku berbanding kadar inflasi yang tinggi. Minit mesyuarat ini telah dikeluarkan pada hari Khamis, 12 Oktober.

    Sebahagian daripada ahli Majlis menyokong kadar utama mereka dikekalkan pada paras semasa, terutama sekali François Villeroy de Galhau, Presiden Bank of France. Beliau berpendapat, bersabar dengan polisi kewangan yang ada sekarang adalah lebih penting daripada mengubahnya, dan menyatakan adalah lebih baik untuk mencapai sasaran dengan perlahan-lahan berbanding secara mendadak.

    Dengan kadar kebarangkalian yang tinggi, Bank Negara Kesatuan Eropah akan menaikkan kadar faedah mereka kepada 4.75% pada mesyuarat yang seterusnya yang akan berlangsung pada 26 Oktober nanti. Walaupun dengan kenaikan itu, kadarnya masih lagi lebih rendah berbanding kadar Rizab Persekutuan. Ditambah lagi dengan keadaan ekonomi yang begitu lemah di Eurozone, perbezaan ini akan terus memberi tekanan kepada euro. Situasi ini dirumitkan lagi dengan kemungkinan harga bahan api yang berpotensi naik mendadak akibat serangan ketenteraan berterusan di Ukraine serta konflik Israel-Palenstin yang berlaku baru-baru ini kerana musim sejuk bakal tiba.

    Pasangan EUR/USD ditutup pada paras 1.0507 minggu lalu. Pada malam 13 Oktober, semasa ulasan ini dibuat, pendapat para penganalisis berbelah bagi mengenai prospek jangka pendek: 80% daripada mereka bersetuju dengan pembetulan pasangan ini ke atas, manakala 20% lagi berpendirian neutral. Jumlah mereka yang bersetuju denga nilai dolar yang lebih kukuh adalah 0%.

    Berkenaan dengan analisis teknikal, dalam kalangan indikator trend pada carta D1, 100% bersetuju dengan bear. Majoriti (60%) pengayun terus menyebelahi mata wang A.S. dan menunjukkan warna merah. 30% lagi memihak kepada euro, dan baki 10% pula berpendirian neutral.

    Sokongan jangka pendek bagi pasangan ini berada di sekitar 1.0450, diikuti dengan 1.0375, 1.0255, 1.0130, dan 1.0000. Bull akan berdepan rintangan di sekitar paras 1.0600-1.0620, kemudian1.0670-1.0700, 1.0740-1.0770, 1.0800, 1.0865, dan 1.0895-1.0930.

    Kalendar ekonomi minggu hadapan akan menumpukan kepada beberapa peristiwa penting. Pada hari Selasa, 17 Oktober, data jualan runcit di A.S. akan diketahui. Kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) di Eurozone dijadual akan dikeluarkan pada hari Rabu. Kadar Indeks Pembuatan Rizab Persekutuan Philadelphia serta jumlah tuntutan awal pengangguran di Amerika Syarikat akan dikeluarkan pada hari Khamis, 19 Oktober. Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell juga dijadual akan berucap pada malam hari Khamis yang sama.

GBP/USD: Keadaan yang Sulit, Akan Menjadi Lebih Sukar

  • Secara keseluruhan, carta GBP/USD sangat menyerupai carta EUR/USD: pertumbuhan sehingga hari Khamis, diikuti dengan pengunduran serta penurunan setelah data inflasi di Amerika Syarikat dikeluarkan. Selain daripada prospek polisi kewangan A.S. yang lebih ketat, pound British berdepan tekanan lebih besar daripada data pengeluaran industri di UK.

    Mengikut jumlah terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Kebangsaan (ONS) pada hari Khamis, aktiviti dalam sektor industri di negara itu turut susut untuk bulan Ogos. Hasil pembuatan susut sebanyak -0.8%, berbanding -0.4% yang diunjur dan penurunan sebanyak -1.2% pada bulan Julai. Pengeluaran industri secara keseluruhannya turun sebanyak -0.7% berbanding -0.2% yang diunjur dan -1.1% pada bulan sebelumnya. Secara tahunan, walaupun hasil pembuatan naik sebanyak 2.8% pada bulan Ogos, jumlah itu adalah lebih rendah berbanding 3.4% yang diunjur. Jumlah keseluruhan pengeluaran industri juga tidak mencapai unjurannya, hanya naik sebanyak 1.3% dan bukan 1.7% yang diunjurkan.

    Walaupun pada hakikatnya kadar KDNK di UK naik sebanyak 0.2% setelah menguncup -0.6% pada bulan Julai, risiko untuk berlakunya kelembapan pertumbuhan ekonomi semakin bertambah. Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh perkembangan yang berlaku di Israel - ketegangan yang memuncak di Timur Tengah boleh mengganggu rantaian bekalan di peringkat global, dan kenaikan harga sumber tenaga asli, terutamanya minyak, boleh menambah tekanan inflasi.

    Lebih-lebih lagi, syarikat-syarikat British bukan saja telah memperlahankan kadar pertumbuhan pengeluaran akibat kurangnya permintaan malah, juga telah menunda rancangan untuk menambah kapasiti akibat kadar faedah pinjaman yang tinggi.

    Situasi ini telah menimbulkan dilema dalam kalangan pegawai tertinggi di Bank of England (BoE) yang terperangkap antara membendung inflasi atau menghalang ekonomi daripada berhadapan keadaan gawat. Berucap dalam mesyuarat tahunan di Institute of International Finance di negara Maghribi pada hari Jumaat, 13 Oktober, Gabenor BoE iaitu Andrew Bailey menyatakan bahawa “keputusan sebelum ini amat sukar untuk diambil” dan “keputusan yang akan diambil seterusnya juga sukar”. Ketahuilah bahawa kadar faedahnya kekal tidak berubah untuk bulan September pada kadar 5.25%. Mesyuarat BoE yang berikutnya dijadual akan berlangsung pada 2 November, dan sama ada penggubal dasar itu akan menaikkan beberapa mata asas lagi terus menjadi persoalan.

    Pasangan GBP/USD ditutup pada paras 1.2143 minggu lalu. Pendapat penganalisis untuk prospek jangka pendek tidak disangka-sangka mencapai kata sepakat, dengan 100% daripada mereka menjangkakan pertumbuhan kadar pasangan ini. (Harus diingat bahawa tiada jaminan unjuran ini adalah tepat walaupun dengan kesepakatan seperti itu). Sebaliknya, indikator trend pada carta D1 kesemuanya bersifat bearish: 100% menunjukkan penurunan dan berwarna merah. 50% daripada pengayun menunjukkan penurunan pasangan ini, 40% menunjukkan pertumbuhan, dan baki 10% lagi kekal berpendirian neutral. Jika pasangan ini mengikuti trend penurunan, ia akan menerima sokongan di zon dan paras 1.2100-1.2115, 1.2030-1.2050, 1.1960, dan 1.1800. Jika pasangan ini naik ke atas, ia akan berdepan rintangan pada paras 1.2205-1.2220, 1.2270, 1.2330, 1.2450, 1.2510, 1.2550-1.2575, 1.2690-1.2710, 1.2760, and 1.2800-1.2815.

    Antara perkara yang harus diberi tumpuan pada minggu depan termasuklah data mengenai keadaan pasaran buruh di UK yang akan dikeluarkan pada hari Selasa, 17 Oktober. Pada hari Rabu, 18 Oktober, kadar indeks harga pengguna (CPI) di Eurozone serta United Kingdom akan dikeluarkan. (Kadar turun naik yang tinggi dijangka boleh berlaku terhadap EUR/GBP pada hari itu). Hari Jumaat, 20 Oktober juga penting kerana data jualan runcit di United Kingdom akan dikeluarkan.

USD/JPY: Menghampiri Kitaran Lengkap

  • Apa yang sedang berlaku di Jepun? Situasinya masih lagi besar seperti biasa. Setelah kadarnya turun ke paras 147.24 pada 3 Oktober, pasangan USD/JPY meneruskan trajektori ke atas, mencecah paras tertinggi mingguan di kedudukan 149.82, hanya sedikit saja lagi untuk mencapai paras 150.00. Telah banyak kali perkara ini dinyatakan bahawa perbezaan polisi kewangan antara pihak Rizab Persekutuan A.S. dan Bank of Japan (BoJ) akan menolak pasangan ini ke atas secara konsisten. Sebarang campur tangan mata wang yang dibuat oleh pihak berkuasa kewangan Jepun hanya mampu memberikan hasil nilai yen yang lebih kukuh buat sementara.

    Menurut Bank of Japan, kadar inflasi pengeluar telah menjadi perlahan untuk sembilan bulan berturut-turut. Harga pengeluar yang naik sebanyak 3.3% pada bulan Ogos dan diunjur sebanyak 2.3% untuk bulan September sebenarnya naik dengan minimum sebanyak 2.0% untuk tahun ke tahun, kadar terendah sejak Mac 2021. Namun, berkenaan dengan inflasi pengguna, pihak BoJ sedang mempertimbangkan untuk menaikkan kadar sasaran Indeks Harga Pengguna (CPI) teras daripada 2.5% kepada sekitar 3% untuk tahun fiskal 2023/24. Perkara ini telah dilaporkan sendiri oleh agensi berita Kyodo pada hari Selasa, 10 Oktober, dengan memetik sumber termaklum.

    Dalam menilai keadaan ekonomi Jepun serta polisi kewangannya, agensi rating S&P percaya bahawa “kadar faedah di Jepun akan naik bermula pada tahun 2024”. Namun, pendapat agensi itu bertentangan dengan kenyataan yang dibuat oleh pegawai Bank of Japan (BoJ). Sebagai contoh, ahli Lembaga BoJ iaitu Asahi Noguchi menyatakan pada hari Khamis, 13 Oktober bahawa “kenaikan kadar faedah akan dilaksanakan setelah kadar inflasi sasaran 2% berjaya dicapai”, dan sasaran ini masih jauh lagi untuk dicapai. Menurut beliau, “tiada gunanya untuk bertindak secara terburu-buru”, dan “tiada keperluan segera bagi mengubah polisi Kawalan Lengkung Hasil (Yield Curve Control atau YCC)”. Berdasarkan kenyataan Noguchi, seseorang boleh membuat kesimpulan bahawa penggubal dasar Jepun enggan untuk menyebut tentang topik kadar faedah, membiarkan pada kadar negatif -0.1% jika bukan disebabkan oleh polisi kewangan Rizab Persekutuan. Noguchi menyatakan bahawa kenaikan kadar faedah “tidak semestinya mencerminkan kadar inflasi yang diunjur di Jepun, tetapi lebih kepada kadar faedah di A.S.".

    Pasangan USD/JPY mengakhiri minggu dagangan pada paras 149.53. Sementara majoriti penganalisis menjangkakan nilai dolar yang lebih lemah berbanding euro dan pound, hanya 25% bersetuju dengan pendapat ini apabila berkaitan dengan yen. 75% menjangkakan nilai yen menjadi lebih lemah serta nilai mata wang A.S. yang lebih kukuh. 100% indikator trend kekal berwarna hijau. Dalam kalangan pengayun, jumlah warna hijau adalah rendah sedikit, 80%, 10% berwarna merah, dan baki 10% lagi berwarna kelabu neutral. Sokongan paling hampir berada pada paras 149.15, diikuti dengan 148.15-148.40, 146.85-147.25, 145.90-146.10, 145.30, 144.45, 143.75-144.05, 142.20, 140.60-140.75, 138.95-139.05, dan 137.25-137.50. Rintangan paling hampir berada di antara 149.70-150.15, kemudian 150.40, 151.90 (paras tertinggi Oktober 2022), dan 153.15.

    Tiada sebarang data ekonomi penting berkaitan keadaan ekonomi Jepun yang dijadual akan dikeluarkan pada minggu depan.

MATA WANG KRIPTO: Di Manakah Nilai Bitcoin akan Berada Seterusnya?

  • Minggu lalu, bitcoin mula melukis cartanya sendiri, tidak lagi mengikuti pergerakan “abang besar” dan melupakan tentang hubung kait terus dan songsangnya. Walaupun dengan pertumbuhan kadar indeks saham dan nilai dolar yang lemah, nilai mata wang kripto utama ini susut dan berada dalam trend mendatar apabila nilai dolar mula pulih semula.

    Pasangan BTC/USD telah didagangkan dalam julat antara $24,300-$31,300 sejak pertengahan bulan Mac. Sepanjang lapan minggu lalu, sempadan atas julat ini telah turun lebih rendah, berada di zon antara $28,100-$28,500. Disebabkan julat yang menjadi lebih sempit, golongan spekulator jangka pendek serta pedagang runcit menjadi kurang aktif, mengakibatkan indikator modal pasaran terealisasi bergerak hampir kepada sifar. Pemilik jangka panjang, juga dikenali sebagai “hodler” menambah jumlah pemilikan dalam walet BTC mereka dan bukan menjualnya dengan pembelian sebanyak 50,000 coin setiap bulan.

    Mengikut sejarah, keadaan stagnasi pasaran seperti itu akan diikuti dengan pergerakan harga yang mendadak. Kebanyakan pelabur kini membuat spekulasi bahawa pencetus bagi satu lagi lonjakan bull termasuklah pelaksanaan pengurangan penghasilan yang akan berlaku pada tahun 2024 serta permohonan ETF spot bitcoin yang berpotensi untuk diluluskan. MicroStrategy, sebuah syarikat teknologi Amerika telah mengumpul sebanyak 158,245 BTC dengan nilai kira-kira $4.24 bilion. Selain itu, gergasi pelaburan BlackRock telah menghantar permohonan bagi ETF spot bitcoin pada bulan Jun dan telah membeli saham-saham penghasil bitcoin terkemuka bernilai $400 juta.

    Lonjakan Bull berpotensi untuk mula sekarang; namun, pakar strategi Bloomberg iaitu Mike McGlone percaya bahawa polisi ketat A.S. khususnya polisi-polisi pihak Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) menjadi penghalang utama yang membantutkan pertumbuhan nilai bitcoin. CEO ChatGPT iaitu Sam Altman juga berkongsi kekecewaan mengenai pendekatan kerajaan A.S terhadap industri kripto. “Perang terhadap mata wang kripto seperti tiada penghujungnya, pihak berkuasa dilihat ingin meletakkan semua di bawah kawalan mereka,” jelas usahawan Kepintaran Buatan itu. Altman, bersama-sama dengan calon presiden A.S. iaitu Robert F. Kennedy Jr. merasakan permusuhan kerajaan terhadap aset digital bebas ini sebahagiannya adalah disebabkan oleh keinginan mereka untuk memperkenalkan Central Bank Digital Currency (CBDC) sendiri. Jika perkara ini benar-benar berlaku, ia memberikan pihak kerajaan dengan satu lagi tempat bagi memantau rakyatnya.

    Satu lagi faktor yang memberi tekanan kepada aset maya ini datang daripada polisi kewangan Rizab Persekutuan A.S. Penganalisis Nicholas Merten berpendapat bahawa bitcoin akan menerima tamparan hebat disebabkan tindakan yang diambil Rizab Persekutuan dan berpotensi untuk mengakibatkan kelembapan ekonomi yang berpanjangan di Amerika Syarikat. Jika harga komoditi seperti minyak mentah, gas asli, dan uranium mula stabil atau menjadi lemah, ini memberi isyarat bahawa kegawatan jangka pendek bakal tiba. Dalam senario seperti itu, Merten percaya, kadar indeks saham boleh susut kira-kira 33%, sama seperti pembetulan yang dialami pada bulan Oktober 2022. Dalam memberikan respon, nilai bitcoin mungkin akan turun ke paras antara $15,000-$17,000.

    Penganalisis itu yakin bahawa trend bull yang mampan dalam pasaran tidak mungkin boleh berlaku sehinggalah pihak Rizab Persekutuan mula menyuntik lebih banyak likuiditi ke dalam ekonomi. “Bitcoin akan berjaya apabila bekalan wang semakin bertambah dan ketika risiko pelabur lebih bertoleransi. Buat masa ini, kedua-dua faktor ini masih lagi belum dipenuhi, jelas Nicholas Merten.

    Dinamik bitcoin yang ada sekarang sama seperti dengan keadaan yang dialami sebelum dan selepas pelaksanaan pengurangan penghasilan pada tahun 2016 dan 2020. Setelah nilainya berada di kemuncak, coin ini mengalami pembetulan ke bawah; walau bagaimanapun, ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Menjadi kebiasaan, kira-kira 200 hari sebelum pengurangan penghasilannya dilaksanakan, nilai mata wang kripto terkemuka ini akan susut sehingga 60-65% namun kemudian akan meneruskan trajektori pertumbuhannya.

    Kebanyakan penganalisis menjangkakan lonjakan nilai bitcoin yang ketara pada tahun 2024. Sikap optimis pelabur ini turut ditambah dengan trend harga semasa emas digital ini: walaupun nilainya turun daripada paras tertinggi musim panas lalu, pelaburan dalam bitcoin telah memberi hasil perolehan lebih daripada 60% sejak awal tahun ini.

    Penganalisis di JP Morgan menjangkakan nilainya akan naik kepada $45,000 pada tahun 2024, manakala Standard Chartered meramalkan nilainya akan mencecah $100,000. Penulis buku dan pelabur iaitu Robert Kiyosaki serta ahli kriptografi Adam Black juga mensasarkan paras $100,000. Pengasas Fundstrat Research iaitu Tom Lee membayangkan nilai bitcoin berada pada paras $180,000, manakala kapitalis modal teroka iaitu Tim Draper meramalkan nilai $250,000. Hartawan Mike Novogratz dan CEO ARK Invest iaitu Cathy Wood masing-masing meramalkan nilai coin itu akan naik kepada $500,000 dan $1 juta pada tahun depan.

    Bekas CEO BitMEX iaitu Arthur Hayes telah menetapkan sasaran yang “sederhana” untuk bitcoin tahun hadapan dengan nilai $70,000. Untuk nilai antara $750,000 dan $1 juta, Hayes percaya pasangan BTC/USD hanya akan mencecah paras-paras itu pada tahun 2026. Antara faktor yang beliau gunakan bagi mewajarkan unjurannya itu adalah bekalan aset yang terhad, prospek ETF spot bitcoin diluluskan, serta keadaan tidak menentu di peringkat global. “Saya rasa ini akan menjadi letupan terhebat dalam pasaran kewangan yang pernah berlaku sepanjang sejarah kemanusiaan. Nilai bitcoin akan naik ke paras yang tidak masuk akal, kadar Nasdaq akan naik ke paras yang tidak masuk akal, dan indeks S&P 500 akan bertumbuh ke paras yang tidak masuk akal,” jelas Hayes.

    Charlie Munger, rakan kongsi Warren Buffett yang juga Naib Presiden syarikat induk Amerika iaitu Berkshire Hathaway telah memberikan ramalan yang gelap untuk masa depan aset digital. Pada pendapat beliau, majoriti pelaburan dalam aset-aset ini akhirnya akan menjadi sia-sia.

    “Jangan biar sama mulakan tentang bitcoin. Ia adalah pelaburan paling bodoh pernah saya lihat,” kenyataan yang dibuat pelabur berusia 99 tahun itu semasa sidang online Zoomtopia. 

    Semasa ulasan ini dibuat, pada malam Jumaat, 13 Oktober, jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah sebanyak $1.046 trilion, turun daripada $1.096 trilion minggu lalu. Jumlah bahagian bitcoin dalam keseluruhan pasangan naik daripada 39.18% pada awal tahun kepada 49.92%. Penganalisis Benjamin Cowen percaya pasaran kripto sedang memasuki “salah satu fasa paling brutal”. Menurut penganalisis itu, dominasi bitcoin sedang berkembang di tengah-tengah penurunan nilai altcoin serta kurangnya minat pelabur terhadap aset dalam kelas ini. Menggunakan paras-paras penarikan semula Fibonacci, Cowen menjangkakan peratusan dominasi ini mungkin akan mencapai kemuncaknya iaitu 60% seperti yang berlaku pada kitaran sebelum ini, namun tidak akan naik kepada 65% atau 70% disebabkan oleh pasaran stablecoin. Pasangan BTC/USD ditutup pada kadar $27,075 pada 13 Oktober. Kadar Indeks Fear & Greed Kripto bagi bitcoin turun daripada 50 kepada 44 mata dalam masa seminggu, berada semula di zon Neutral setelah meninggalkan zon Fear.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami