November 4, 2023

EUR/USD: Minggu yang Teruk Buat Dolar

  • Sepanjang minggu, kadar Indeks Dolar DXY, bersama-sama dengan pasangan EUR/USD dilihat tidak begitu stabil, asyik turun dan naik. Pada permulaan minggu, data awal di Eropah telah dikeluarkan. Dari segi tahunan, pertumbuhan kadar KDNK di Eurozone bagi suku ketiga hanyalah sebanyak 0.1%, rendah sedikit berbanding 0.2% yang diunjur dan kadar sebelum ini iaitu 0.5%. Selain itu, kadar inflasi pula turun - untuk bulan Oktober, kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) adalah 2.9% (tahun ke tahun), bukan 3.1% yang diunjur dan kadar bulan sebelum ini iaitu 4.3%.

    Mesyuarat Bank Negara Kesatuan Eropah telah berlangsung pada 26 Oktober, di mana ahli-ahli Jawatankuasa Pentadbir mengambil keputusan mengejut dengan membiarkan kadar faedah mereka tidak berubah iaitu 4.50%. Sekarang, peserta pasaran tidak sabar menunggu keputusan yang akan dibuat oleh pihak Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (Federal Open Market Committee atau FOMC) Rizab Persekutuan yang bermesyuarat pada hari Rabu, 1 November. Sebelum berlangsungnya mesyuarat FOMC, dolar yang dianggap aset selamat telah menerima sokongan padu disebabkan oleh ketegangan geopolitik yang semakin memuncak di Timur Tengah. Selain itu, data makroekonomi di Amerika Syarikat yang kukuh memberi kelebihan kepada mata wang Amerika itu. Kadar KDNK di negara tersebut bagi suku ketiga melonjak sebanyak 4.9%, pertumbuhan ketara melebihi kadar sebelum ini iaitu 2.1%. Satu lagi kejutan diberikan oleh data tenaga kerja ADP dalam sektor swasta: perubahan jumlah individu yang diambil bekerja dalam sektor swasta telah mencecah 113K berbanding jumlah pada bulan sebelum ini iaitu.

    Dalam situasi seperti itu, peserta pasaran dapat merasakan pihak Rizab Persekutuan (FOMC) mungkin akan terus mengetatkan polisi kewangan mereka, terutama sekali disebabkan oleh kadar inflasi yang masih belum mencapai sasarannya iaitu 2.0%. Berdasarkan perkara ini, hasil perolehan bon 10 tahun Perbendaharaan sekali lagi menghampiri paras 5.0%, manakala kadar Indeks Dolar DXY naik kepada 107.00.

    Walau bagaimanapun, tarikh 1 November memberikan kekecewaan kepada bull dolar. Untuk bulan kedua berturut-turut, pihak FOMC membiarkan kadar faedah mereka tidak berubah pada paras 5.5%. Apa yang lebih mengecewakan adalah jika pasaran percaya kadar kos pinjaman akan naik kepada 5.75% menjelang akhir tahun ini setelah berakhirnya mesyuarat bulan September, kadar kebarangkalian untuk kadarnya naik seperti itu telah turun kepada 14%. Nilai dolar juga tidak menerima sokongan daripada retorik yang dibuat oleh Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell dalam sidang akhbar setelah berakhirnya mesyuarat itu.

    Situasi yang berlaku boleh menjadi lebih baik daripada data oleh pihak Biro Statistik Buruh (BLS) A.S. yang biasanya dikeluarkan pada hari Jumaat pertama setiap bulan, kali ini jatuh pada 3 November. Namun, jumlah tenaga kerja bukan dalam sektor pertanian (NFP) di negara itu hanya naik sebanyak 150K pada bulan Oktober. Jumlah ini rupa-rupanya adalah lebih rendah berbanding 180K yang diunjur pasaran dan pertumbuhan bulan September yang dinilai semula, diselaraskan daripada 336K kepada 297K. Kadar pengangguran naik dalam tempoh yang sama daripada 3.8% kepada 3.9%. Kadar inflasi tahunan yang dikira daripada perubahan purata gaji setiap jam susut daripada 4.3% kepada 4.1%. Disebabkan oleh data bull Dolar yang mengecewakan ini, kadar Indeks Dolar (DXY) turun kepada 105.09, manakala kadar EUR/USD pula mencecah paras tertinggi sepanjang enam minggu iaitu 1.0718.

    Menghampiri hujung minggu bekerja, penyiaran kadar Indeks PMI Servis ISM mendedahkan bahawa pertumbuhan aktiviti perniagaan dalam sektor perkhidmatan di A.S. bergerak agak perlahan pada bulan Oktober. Kadar PMI susut daripada 51.8 kepada 53.6 untuk bulan September. Kadar ini adalah lebih rendah berbanding 53.0 yang diunjur pasaran. Data lebih terperinci menunjukkan bahawa kadar indeks harga perkhidmatan (salah satu komponen inflasi) turun sedikit daripada 58.9 kepada 58.6, manakala kadar indeks penggajian turun daripada 53.4 kepada 50.2. Disebabkan itu, nilai Dolar terus menyusut, dan kedudukan akhir bagi pasangan mata wang itu dilihat berada pada paras 1.0730.

    Menurut pakar strategi di Scotiabank Kanada, untuk tempoh jangka pendek, kadar EUR/USD boleh naik ke paras 1.0750. Secara umum, pendapat penganalisis bagi pasangan mata wang ini untuk minggu hadapan adalah seperti berikut: 45% bersetuju dengan nilai Dolar yang lebih kukuh, manakala 55% lagi memihak kepada Euro. Bagi analisis teknikal, 35% pengayun pada D1 menunjukkan penurunan, manakala 65% lagi menunjukkan pertumbuhan, walaupun satu pertiga daripada jumlah itu telah memberikan isyarat pasangan ini memiliki lebihan belian. Dalam kalangan indikator trend, keadaannya adalah lebih jelas: 85% menunjukkan pertumbuhan, dan hanya 15% yang menunjukkan penurunan. Sokongan paling hampir bagi pasangan ini berada di sekitar paras 1.0675-1.0700, diikuti dengan 1.0600-1.0620, 1.0500-1.0530, 1.0450, 1.0375, 1.0200-1.0255, 1.0130, dan 1.0000. Bull akan berdepan rintangan di sekitar 1.0745-1.0770, kemudian 1.0800, 1.0865, 1.0945-1.0975, dan 1.1090-1.1110.

    Tidak seperti lima hari yang lalu, kalendar ekonomi untuk minggu hadapan dijangka tidak begitu sibuk dengan hanya sedikit perkara penting. Pada hari Rabu, 8 November, data inflasi (CPI) di Jerman dan jualan runcit di Eurozone akan dikeluarkan. Selain itu, Jerome Powell selaku Pengerusi Rizab Persekutuan dijadual akan memberikan ucapan pada hari yang sama. Beliau juga akan membuat kemunculan pada hari Khamis, 9 November. Seperti biasa, hari Khamis juga akan memberikan jumlah tuntutan awal bagi manfaat pengangguran di Amerika Syarikat.

GBP/USD: Minggu Terbaik Buat Pound

  • Melihat kepada keputusan mesyuarat bank-bank pusat di kebanyakan negara, dapat dirasai bahawa trend pengetatan polisi kewangan di peringkat global sudah mula berakhir. Kedua-dua pihak ECB dan Rizab Persekutuan membiarkan kadar faedah mereka tidak berubah. Bank of England (BoE) juga mengambil keputusan yang sama semasa bermesyuarat pada 2 November lalu, tidak mengubah kadar utama mereka iaitu 5.25% untuk dua kali berturut-turut. Menurut penggubal dasar itu, keputusan yang diambil itu seharusnya dapat memberi sokongan terhadap pemulihan ekonomi serta jumlah tenaga kerja di United Kingdom. Unjuran inflasi bagi jangka masa pendek yang dinilai semula dijangka akan meningkat. Walau bagaimanapun, ketua bank negara itu sedar bahawa kadar inflasi untuk suku ketiga telah susut kepada 6.7%, paras yang lebih baik daripada jangkaan pada bulan Ogos, dan kadar 2.0% yang disasarkan mungkin boleh dicapai pada hujung tahun 2025.

    Walaupun BoE membiarkan kadar faedah mereka tidak berubah, pasaran dapat merasakan keputusan tersebut adalah bersifat hawkish kerana tiga daripada sembilan orang ahli tertinggi bank itu memilih untuk kenaikan. Tambahan pula, Gabenor Bank of England iaitu Andrew Bailey memberi penekanan semasa sidang akhbar bahawa adalah terlalu awal untuk mempertimbangkan penurunan kadar. Beliau berkata, “Polisi kewangan mungkin akan terus ketat untuk satu tempoh yang panjang”. Para pelabur sedar bahawa bank negara sering menggunakan pendekatan langsung seperti itu bagi mempengaruhi pasaran, maka penggubal dasar itu mungkin tidak akan melonggarkan polisi kewangan mereka dalam masa terdekat ini. Sudah tentu, tiada jaminan pihak BoE akan memenuhi janji mereka jika kadar inflasi tidak turun ke paras yang disasarkan. Namun, buat masa ini, pasaran mempercayai Andrew Bailey, dan tindakan itu telah memberi sokongan kepada mata wang British.

    Pound mendapat impuls bullish terkuat setelah data pasaran buruh AS dikeluarkan pada 3 November. Pada waktu itu, kadar GBP/USD melonjak ke atas, meneruskan pendakiannya, dan ditutup pada paras 1.2380 minggu lalu. Menurut pakar ekonomi Scotiabank, model dagangan jangka pendek untuk mata wang British dilihat cerah. Mereka sedar permintaan untuk pound semakin bertambah walaupun nilainya lemah sejak pertengahan bulan Julai dan tidak menolak pertumbuhan kadar GBP/USD ke paras 1.2450. Bagi unjuran median minggu hadapan, 35% penganalisis bersetuju dengan pertumbuhan kadar pasangan ini, 50% lagi percaya pasangan ini akan meneruskan pergerakan menuju paras 1.2000 yang disasarkan, manakala baki 15% pula kekal neutral. Pada tempoh masa D1, 75% indikator trend menunjukkan pertumbuhan pasangan ini dan berwarna hijau, manakala baki 25% lagi berwarna merah. Pengayun menunjukkan bacaan yang sama: 75% menunjukkan pertumbuhan (satu perempat daripadanya berada di zon lebihan belian), dan 25% bersetuju dengan penurunan. Jika pasangan ini turun ke bawah, ia akan menerima sokongan pada paras dan zon 1.2330, 1.2210, 1.2145, 1.2040-1.2085, 1.1960, and 1.1800-1.1840, 1.1720, 1.1595-1.1625, 1.1450-1.1475. Jika pasangan ini naik ke atas, pasangan ini akan berdepan rintangan pada paras 1.2390-1.2425, 1.2450-1.2520, 1.2575, 1.2690-1.2710, 1.2785-1.2820, 1.2940, dan 1.3140.

    Gabenor Bank of England iaitu Andrew Bailey dijadual akan memberikan ucapan beliau pada 8 November, manakala penyiaran data awal KDNK untuk Q3 di negara itu pada 10 November akan menjadi tumpuan bagi perkara berkaitan ekonomi United Kingdom pada minggu depan.

USD/JPY: Minggu yang Sederhana Untuk Yen

  • Jika pihak ECB, Rizab Persekutuan, dan Bank of England membiarkan kadar faedah mereka tidak berubah, apa yang boleh dijangka daripada rakan mereka dari Jepun? Sudah tentu, Bank of Japan (BoJ) memutuskan untuk mengekalkan parameter dalam polisi kewangan mereka semasa bermesyuarat pada hari Selasa, 31 Oktober. Mereka telah lama mengambil pendirian seperti itu. Penggubal dasar itu bukan saja mengekalkan kadar faedahnya pada paras negatif -0.1% tetapi juga meneruskan hasil perolehan bon 10 tahun kerajaan (JGB) mereka. Sesetengah peserta pasaran berharap setelah data pertumbuhan inflasi diketahui, BoJ akan menaikkan kadar siling hasil perolehannya daripada 1% kepada sekurang-kurangnya 1.25%. (Perlu diketahui bahawa kadar hasil bagi sekuriti yang sama di AS adalah hampir 5.0%). Walau bagaimanapun, Bank of Japan sebaliknya terus mengabaikan isyarat jelas berkenaan tekanan inflasi yang semakin bertambah. Walaupun kadar CPI di wilayah Tokyo naik daripada 2.8% kepada 3.3% (YoY) untuk bulan Oktober. Selain itu, walaupun jaminan telah diberikan oleh para pegawai tertinggi kerajaan mengenai pertumbuhan penghasilan industri, indikator ini susut daripada -4.4% kepada -4.6% secara tahunan.

    Semua faktor ini telah menolak pasangan USD/JPY ke paras 151.71 yang tinggi. Kedudukannya akan kekal berada di situ jika bukan disebabkan oleh mesyuarat Rizab Persekutuan serta data pasaran buruh di AS. Akibatnya, pasangan ini memulakan minggu pada paras 149.63 dan ditutup pada paras 149.34. Mengambil kira kadar kemeruapan pasangan ini yang tinggi, hasil itu boleh dianggap sebagai neutral.

    Pakar ekonomi dari kumpulan perbankan terbesar Belanda iaitu ING percaya bahawa pasangan ini akan mengakhiri tahun dengan berada pada kedudukan yang tidak jauh daripada 150.00. Berkenaan prospek jangka pendek, 65% penganalisis menjangkakan nilai akan menjadi lebih kukuh, 35% lagi berpendirian neutral, dan tiada siapa yang bersetuju dengan pertumbuhan ke paras lebih tinggi daripada 151.00 semasa ulasan ini dibuat. Indikator analisis teknikal dilihat bercampur-campur pada kali ini. Pada tempoh masa D1, 50% indikator trend berwarna hijau, dan peratusan yang sama berwarna merah. Dalam kalangan pengayun, satu pertiga memilih pertumbuhan pasangan ini, satu pertiga lagi penurunannya, dan baki satu pertiga pula kekal berwarna kelabu neutral. Paras sokongan paling hampir berada di antara 148.45-148.80, kemudian 146.85-147.30, 145.90-146.10, 145.30, 144.45, 143.75-144.05, dan 142.20. Paras rintangan terdekat berada di antara 150.00-150.15, diikuti dengan 150.40-150.80, 151.90 (paras tertinggi Oktober 2022), dan 152.80-153.15.

    Tiada sebarang data ekonomi penting berkaitan keadaan ekonomi Jepun yang dijadual akan dikeluarkan pada minggu hadapan.

MATA WANG KRIPTO: Petunjuk Penting Dari Masa Lalu dan Masa Hadapan

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 6 - 10 November, 20231

  • Pertama sekali, sedikit mengenai perkara yang berlaku bulan lalu. Yang pertama, hari Selasa, 31 Oktober, bitcoin menyambut hari kelahirannya. Pada tahun 2008, seseorang dengan nama gelaran Satoshi Nakamoto telah menerbitkan (atau sekumpulan orang yang menerbitkan) satu dokumen berjudul "Bitcoin: A Peer-to-Peer Electronic Cash System" pada tarikh tersebut. Pada masa yang sama, perlu diketahui bahawa bitcoin sendiri hanya wujud sebagai mata wang kripto di pasaran pada 3 Januari, 2009. Pada hari itu, satu blok bitcoin telah dihasilkan, dan tarikh serta satu petikan ringkas daripada artikel The Times telah dimasukkan: “The Times 03/Jan/2009 Chancellor on brink of second bailout for banks". Pada 12 Januari, 2009, Nakamoto melakukan transaksi pertama dalam rangkaian, menghantar mata wang kripto kepada pembangunnya iaitu Hal Finney. Pada tahun yang sama, bitcoin telah disenaraikan dalam bursa New Liberty Standart. Anda boleh membeli 1309 BTC pada bursa itu dengan hanya $1 (nilainya adalah sebanyak $55 juta pada hari ini).

    Perkara penting kedua tidak berlaku pada hari terakhir bulan Oktober tetapi dalam keseluruhan bulan. Kami bercakap mengenai “efek Uptober” (satu istilah yang digabung daripada perkataan “up” dan “Oktober”). Mengikut pemerhatian para penganalisis di CoinGecko, dalam tempoh sepuluh tahun, pasaran mata wang kripto menunjukkan pertumbuhan sebanyak lapan kali dalam bulan Oktober berbanding bulan-bulan sebelumnya. Secara purata, “efek Uptober” telah menyebabkan pertambahan jumlah modal pasaran aset digital sebanyak 14%, kenaikan antara 7.3% pada tahun 2022 dan 42.9% pada tahun 2021. Pengecualian adalah pada tahun 2014 dan 2018 apabila pasaran susut masing-masing sebanyak 12.7% dan 8.3% dalam masa sebulan.

    Tahun ini, memulakan dengan nilai $27,000 pada 1 Oktober, bitcoin menguji paras $35,000 pada 24 Oktober, menunjukkan peningkatan kira-kira 30%. Kedudukan akhir mata wang kripto terkemuka ini untuk bulan Oktober adalah $34,545. Beberapa altcoin seperti Solana (SOL) dan Chainlink (LINK) juga menunjukkan lonjakan ketara. Kesemua gandingan mata wang kripto ini bersama-sama USD boleh didapati untuk dagangan pada broker NordFX.

    Kami sudah katakan bahawa bitcoin sejak kebelakangan ini telah meninggalkan korelasi songsang dan langsungnya serta “putus hubungan” dengan dolar AS dan juga lain-lain aset berisiko. Perkara sama juga dilihat pada minggu lalu. Nilai emas digital ini naik bersama-sama dengan pendakian dolar AS dan tidak memberikan sebarang reaksi terhadap kenaikan kadar indeks saham seperti S&P500. Disebabkan itu, pasangan BTC/USD telah menunjukkan pertumbuhan sederhana sepanjang tujuh hari yang lalu.

    Menurut Michael Van De Poppe, pengasas syarikat modal teroka Eight dan juga CEO MN Trading, bitcoin telah memasuki pasaran bull secara rasminya. Penganalisis itu percaya bahawa aset itu sudah pun bersedia untuk naik ke paras $50,000, diikuti dengan pembetulan, dan kemudian naik ke paras tertinggi yang baru (all time high atau ATH). Van De Poppe maklum dengan rintangan yang bakal dihadapi bitcoin pada paras $38,000 namun mungkin akan meneruskan pergerakan ke atas dan mencapai paras antara $45,000-50,000 pada bulan Januari 2024. Namun, penganalisis itu turut menyatakan bahawa penurunan ke paras lebih rendah daripada $33,000 masih boleh berlaku, dan beliau melihatnya sebagai peluang terbaik untuk membuka posisi long. Para pembangun portal sumber maklumat Look Into Bitcoin juga percaya bahawa setelah nilainya melepasi paras $34,000, fasa awal pasaran bull akan bermula. Sasaran berikutnya adalah $41,900 dan $65,050.

    Apakah perkara untuk jangka masa pendek dan sederhana yang boleh memberi kesan besar terhadap pasaran kripto? Mari senaraikan perkara yang paling penting, ketahuilah bahawa kebanyakan daripadanya sedang berlaku atau akan berlaku di Amerika Syarikat.

    Pertama, sudah pastinya polisi kewangan Rizab Persekutuan (FRS). “Masa terbaik” untuk emas digital ini adalah ketika pandemik COVID-19 memuncak setelah penggubal dasar itu secara tidak langsung melimpahkan pasaran dengan wang murah bagi menyokong ekonominya, sebahagian daripadanya masuk ke dalam aset berisiko seperti mata wang kripto. Bermula dengan nilai $6,500 pada Mac 2020, kadar BTC/USD mencecah paras tertingginya iaitu $64,800 setahun kemudian, pada April 2021, peningkatan sebanyak 900%. Kemudian, penggubal dasar Amerika itu mengubah pendirian mereka kepada pengetatan polisi dan menaikkan kadar faedah, dan menjelang tahun 2022, pasangan ini didagangkan di sekitar $16,000. Kini, para pelabur kripto sedang menantikan pihak Rizab Persekutuan untuk melonggarkan polisi mereka sekali lagi dan berharap perkara ini akan berlaku pada tahun hadapan.

    Badan-badan penggubal dasar kerajaan AS sejak kebelakangan ini sering mengerah tenaga memberi tekanan negatif kepada industri kripto. Mungkin sedikit perubahan dapat dilihat apabila presiden baru dilantik di White House pada tahun 2024 nanti. Setidak-tidaknya sesetengah calonnya menjanjikan sokongan terhadap industri ini. Buat masa sekarang, semua perhatian tertumpu kepada pihak SEC (Suruhanjaya Bursa dan Sekuriti). Ketua SEC iaitu Gary Gensler telah berulang kali menyatakan bahawa beliau hanya sanggup mengiktiraf bitcoin sebagai satu komoditi, dan pada pendapat beliau, kesemua altcoin seharusnya diselia di bawah undang-undang sekuriti. Mengambil Ethereum sebagai contoh, dinamik pergerakannya jauh ketinggalan di belakang bitcoin akibat tekanan seperti itu. Tahun ini, semasa ulasan ini dibuat, nilai ETH telah naik kira-kira 52%, manakala BTC mengalami pertumbuhan sebanyak dua kali ganda, kira-kira 102%.

    Tuntutan undang-undang antara pihak SEC dan juga wakil-wakil industri kripto turut menarik perhatian. Baru-baru ini, pihak Reuters dan Bloomberg melaporkan bahawa Suruhanjaya itu tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah yang memihak kepada Grayscale Investments. Ada juga maklumat yang mengatakan pihak SEC telah menamatkan tuntutan undang-undangnya terhadap Ripple dan para eksekutif yang terlibat. Walau bagaimanapun, perang dingin antara bursa kripto terkemuka Binance dan barisan kepimpinannya masih diteruskan. Hasilnya, saham Binance dalam pasaran spot sudah pun susut daripada 55% kepada 34% pada tahun ini. Jika Jabatan Kehakiman AS bergabung tenaga bersama-sama pihak SEC dan mengenakan dakwaan yang lebih berat, ia boleh memburukkan lagi keadaan di pasaran kripto.

    Kewujudan ETH spot BTC juga bergantung kepada pihak SEC. Menurut penganalisis di bank JPMorgan, keputusan positif oleh pihak SEC untuk meluluskan dana pertama seperti itu dijangka akan berlaku dalam masa “beberapa bulan”. “Masih belum pasti bilakah kelulusan itu akan diperoleh, namun ia berkemungkinan berlaku […] sebelum 10 Januari, 2024 - tarikh akhir bagi permohonan ARK Invest dan 21 Co. Itu adalah tarikh akhir paling awal yang perlu pihak SEC berikan respon bagi bermacam-macam permohonan,” maklum penganalisis di JPMorgan. Dalam masa yang sama, penganalisis itu turut menekankan bahawa pihak Suruhanjaya itu mungkin akan meluluskan kesemua permohonan secara serentak bagi bagi menyokong persaingan yang adil.

    Jangkaan mengenai pelancaran ETF spot BTC yang tidak boleh dielak lagi di A.S. telah menambah minat para pelabur berinstitusi terhadap mata wang kripto. Mengikut beberapa anggaran, permintaan ini adalah berjumlah kira-kira $15 trilion, jumlah yang berpotensi dapat mendorong kadar BTC/USD kepada $200,000 dalam jangka masa panjang. Malah pakar strategi di Skybridge Capital menyebut paras yang lebih tinggi iaitu $250,000. Namun, menurut penganalisis Ernst & Young, minat pelabur-pelabur berinstitusi ini pastinya akan tertangguh akibat halangan daripada pihak SEC.

    Peter Schiff, CEO Euro Pacific Capital dan juga penggemar tegar emas terkenal memberikan pendapat sebaliknya. Menurut beliau, kelulusan terakhir ETF spot bitcoin akan menandakan berakhirnya lonjakan bull mata wang kripto terkemuka itu. Buat masa ini, bitcoin didagangkan di sekitar $35,000 kerana golongan spekulator mendesak-desak harganya ke atas, bertaruh keputusan positif akan diberi oleh penggubal dasar. Apabila keputusan telah dibuat, tiada lagi ruang untuk spekulasi seperti itu dibuat, dan boleh menjadi petanda lonjakan bull sudah berada di kemuncaknya jika nilai bitcoin tidak runtuh sebelum itu. Pada pendapat Schiff, pedagang mata wang kripto malah mungkin akan mula menjual coin mereka dan mendapatkan pulangan sebelum pihak SEC membuat sebarang keputusan.

    Perkara yang tidak bergantung kepada penggubal dasar adalah proses pengurangan penghasilan. Jika diingat blok ganjaran akan dikurangkan pada April 2024, mengurangkan jumlah ganjaran daripada 6,250 BTC kepada 3,125 BTC, sesuatu yang dijangka akan mengurangkan kadar pengeluaran. Menurut sebilangan penganalisis, ini adalah faktor deflasi kuat yang akan menghasilkan pengurangan bekalan dan menyumbang kepada peningkatan nilai bitcoin. Disebabkan bekalan coin yang terhad, pengasas bersama Morgan Creek Digital iaitu Anthony Pompliano bukan saja menyampaikan rasa optimis beliau tentang pergerakan bull bitcoin, malah juga menggelarnya sebagai “bank pusat paling berdisiplin di dunia”. Mengikut unjuran optimis yang dibuat oleh Ark Invest, nilai BTC boleh naik kepada $1.5 juta menjelang tahun 2030.

    Walau bagaimanapun, CEO MN Trading iaitu Van De Poppe menjangkakan akan berlakunya penyatuan serta pergerakan mendatar untuk satu tempoh yang lama setelah proses pengurangan penghasilan dilaksanakan pada bulan April sebelum bitcoin mula naik ke paras tertingginya. Malah seorang pedagang dan penganalisis dengan nama gelaran Rekt Capital memberi unjuran yang lebih pesimis, menjangkakan penurunan mendadak BTC/USD menjelang Mac 2024. Setelah penghasilan dikurangkan, penganalisis itu turut menjangkakan penyatuan, namun pada julat yang lebih rendah antara $24,000-30,000, dan beliau berpendapat, hanya selepas itu pasangan ini akan memasuki fasa pertumbuhan parabolik menuju kedudukan dengan nilai enam angka.

    Semasa ulasan ini dibuat, pada hari Jumaat, 3 November, pasangan BTC/USD didagangkan pada kadar $34,590. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah sebanyak $1.29 trilion ($1.25 trilion minggu lalu). Kedudukan Indeks Fear & Greed Kripto kekal di zon Greed, walaupun bacaannya turun daripada 72 mata kepada 65 mata.

    Bagi mengakhiri ulasan ini, kami berikan tip menarik untuk bahagian petua hidup kripto yang kami jarang sediakan. Di mana anda boleh gunakan haba yang dijana semasa penghasilan mata wang kripto? Jawapannya adalah sauna. Sebuah sauna di Brooklyn, New York mula menggunakan haba yang terhasil daripada perkakas penghasilan sebagai sumber untuk memanaskan air. Sauna mula meraih populariti dalam kalangan rakyat Amerika, dan cara ini telah memberi manfaat kepada penghasil kerana ia memberi lebih banyak hujah dalam perbincangan mengenai kemudahan awam atau pentingnya aktiviti usahawan seperti itu. Perkara ini berlaku di New York, kawasan yang hampir dengan garis latitud utara ke-40. Cuba bayangkan betapa bergunanya petua ini jika ia dilaksanakan di negara yang lebih ke utara sepert di Norway!

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami