Januari 6, 2024

Mengikut statistik, USD/JPY (Dolar AS/Yen Jepun) adalah antara tiga gandingan mata wang yang paling banyak didagangkan dalam pasaran Forex. Hal ini dibantu oleh kadar kecairan gandingan yang tinggi, memastikan kadar spread yang kecil serta keadaan dagangan yang memberi kelebihan. Ini bermakna pedagang boleh membuka dan menutup posisi dengan kos yang minimum. Disamping itu, gandingan yang menunjukkan kadar kecairan tinggi ini menyediakan peluang keuntungan yang menakjubkan, khususnya dalam operasi jangka pendek dan sederhana.

USD/JPY: Ulasan Tahun 2023 dan Ramalan Tahun 20241

 

2023: Harapan Untuk Yen yang Gagal Dipenuhi

● Sepanjang tahun 2023, nilai mata wang Jepun terus susut berbanding dolar Amerika, dan akibatnya, membawa gandingan USD/JPY ke atas. Paras paling rendah tahunan telah direkodkan pada 16 Januari iaitu 127.21, manakala kedudukan tertingginya pula dicapai pada 13 November, dengan tukaran nilai 1 dolar kepada 151.90 yen.

Kami telah berulang kali nyatakan bahawa nilai yen yang lemah itu telah disebabkan oleh pendirian Bank of Japan (BoJ) yang teramat longgar. Dapat difahami, kadar faedah yang negatif iaitu -0.1% tidak akan menarik perhatian peserta pasaran, terutama sekali apabila melihat pertambahan hasil perolehan serta kenaikan kadar faedah di peringkat global yang ditetapkan oleh bank-bank pusat di lain-lain negara utama. Bagi pelabur, mereka lebih gemar untuk menjalankan dagangan carry trade: membuat pinjaman yen dengan kadar faedah rendah, dan menukarkannya kepada bon Perbendaharaan serta dolar AS yang akan memberi pulangan lebih baik disebabkan perbezaan kadar, semua itu tanpa menanggung sebarang risiko.

● Polisi kewangan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Jepun dan Bank of Japan beberapa tahun sejak kebelakangan ini jelas menunjukkan bahawa mereka tidak mengutamakan kadar tukaran yen, tetapi kepada indikator ekonomi. Sehingga pertengahan musim panas lalu, penggubal-penggubal dasar di US, EU, dan UK telah mengetatkan polisi kewangan serta menaikkan kadar faedah utama mereka bagi membendung kenaikan harga barang. Walau bagaimanapun, BoJ langsung tidak melaksanakan langkah yang sama, walaupun kadar inflasi di negara itu terus meningkat. Pada bulan Jun 2023, kadar inflasi terasnya mencecah 4.2%, kadar paling tinggi dalam tempoh empat tahun. Satu-satunya langkah yang dilaksanakan Bank of Japan adalah menukar polisi lengkung hasil perolehan bon kerajaan Jepun yang ketat menjadi lebih fleksibel, namun ia juga tidak dapat membantu mata wang negara tersebut.

Daripada mengambil tindakan yang lebih ketara, Menteri Kewangan Jepun iaitu Shunichi Suzuki, Gabenora Bank of Japan, Kazuo Ueda, dan diplomat tertinggi mata wang Jepun iaitu Masato Kanda dengan aktif membuat campur tangan secara lisan. Mereka ini bersama-sama pegawai tertinggi kewangan yang lain secara konsisten memberi jaminan bahawa semuanya masih lagi terkawal semasa memberikan ucapan. Mereka mendakwa bahawa pihak Kerajaan “memantau rapat pergerakan mata wang dengan rasa terdesak dan kesegeraan yang tinggi” dan mereka “akan mengambil langkah bersesuaian terhadap pergerakan mata wang yang berlebih-lebihan tanpa menolak sebarang pilihan yang ada”. Ini adalah beberapa petikan daripada ucapan Kazuo Ueda: “Ekonomi Jepun sedang pulih pada kadar sederhana. […] Keadaan tidak menentu dalam ekonomi Jepun berada pada kadar yang tinggi. […] Pertumbuhan kadar inflasi mungkin akan menjadi lembab dan kemudian naik semula. [Namun] secara keseluruhan, sistem kewangan Jepun masih mengekalkan kestabilannya.” Secara mudahnya, tafsirkan mengikut kesesuaian.

Musim Sejuk-Bunga 2023. Pada permulaan tahun, kebanyakan peserta pasaran mempercayai dengan serius dengan janji-janji “langkah segera akan diambil”. Mereka berharap dengan kenaikan kadar faedah, kadar yang terus berada pada paras negatif sejak tahun 2016. Pada bulan Januari, pakar ekonomi di Danske Bank menjangkakan bahawa setelah kadar faedah dinaikkan, gandingan USD/JPY akan turun ke paras 125.00 dalam tempoh tiga bulan. Penganalisis di Societe Generale Perancis menunjukkan sasaran yang sama. Rakan mereka dari ANZ Bank tidak menolak kemungkinan jika pasangan ini berada di sekitar paras 124.00 menjelang akhir tahun 2023. Mengikut unjuran BNP Paribas, pengetatan polisi kewangan dijangka dalam merangsang aliran masuk semula modal para pelabur Jepun, dan berpotensi menolak gandingan USD/JPY turun ke paras 121.00 menjelang hujung tahun. Pakar ekonomi dari kumpulan perbankan antarabangsa Nordea menjangkakan kedudukannya berada lebih rendah daripada 120.00. Potensi untuk mata wang Jepun menjadi lebih kukuh turut diunjur oleh pakar strategi dari MUFG Bank di Jepun dan juga HSBC, bank terbesar di UK.

Musim Panas 2023. Beberapa bulan telah berlalu, tiada sebarang tindakan besar diambil. Commerzbank, sebuah bank di Jerman menyatakan bahawa yen adalah satu mata wang yang sukar untuk difahami, mungkin disebabkan oleh polisi kewangan BoJ. Kristalina Georgieva, Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) membayangkan dengan halus bahawa “masanya agak sesuai untuk menjadikan polisi kewangan Bank of Japan lebih fleksibel."

Pada separuh pertengahan musim panas, peserta pasaran mula mengubah unjuran mereka. Pakar ekonomi di Danske Bank kini mengunjurkan kadar USD/JPY berada lebih rendah daripada 130.00 sepanjang tempoh 6-12 bulan seterusnya. Unjuran yang hampir sama dibuat oleh pakar strategi di BNP Paribas, menjangkakan paras 130.00 menjelang akhir tahun 2023 dan paras 123.00 pada hujung tahun 2024. Unjuran Societe Generale untuk bulan Julai juga menjadi lebih berhati-hati. Dengan menganalisis gandingan itu, penganalisis di bank berkenaan menjangkakan hasil perolehan bon 5 tahun Perbendaharaan A.S. akan turun kepada 2.66% dalam masa setahun, membolehkan gandingan tersebut menembusi paras lebih rendah daripada 130.00. Jika hasil perolehan bon kerajaan Jepun (JGB) kekal pada kadar yang sama, gandingan mata wang ini mungkin akan turun ke paras 125.00.

Ramalan Wells Fargo, salah satu daripada empat bank terbesar di AS dianggap lebih sederhana dengan para penganalisis mereka mensasarkan kadar 136.00 untuk USD/JPY menjelang akhir tahun 2023 dan 129.00 pada hujung tahun 2024. MUFG Bank menyatakan bahawa Bank of Japan mungkin akan mengambil keputusan untuk menaikkan kadar faedah mereka buat kali pertama hanya pada enam bulan pertama tahun 2024. Hanya selepas itu nilai yen boleh dilihat menjadi lebih kukuh. Berkenaan dengan perubahan polisi kawalan lengkung hasil perolehan yang dibuat pada waktu itu, MUFG percaya pelaksanaan itu sendiri tidak cukup untuk menjadi pencetus kepada pemulihan nilai mata wang Jepun. Danske Bank menyatakan bahawa adalah dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang jangkaan bagi langkah yang akan diambil oleh BoJ sebelum tibanya enam bulan terakhir tahun 2024.

Musim Luruh-Sejuk 2023. Tiada siapa yang berharap Bank of Japan (BoJ) akan mengubah polisi kewangan mereka sebelum berakhirnya tahun semasa. Namun, peserta pasaran mula berasa takut bahawa nilai yen yang lemah akhirnya akan mendesak para pegawai kerajaan Jepun untuk beralih daripada campur tangan lisan kepada tindakan sebenar.

Gandingan USD/JPY bergerak ke paras 150.00 yang penting dengan penuh semangat. Peserta pasaran dengan jelas teringat dengan perkara yang berlaku pada musim luruh tahun 2022 apabila pihak berkuasa Jepun memulakan campur tangan kewangan setelah kedudukan gandingan ini mencecah paras tertingginya dalam tempoh 32 tahun iaitu 152.00. Satu laporan oleh Reuters telah menyemarakkan lagi keadaan dengan menyebut bahawa ketua diplomat mata wang Jepun iaitu Masato Kanda telah mengumumkan pihak berkuasa bank sedang mempertimbangkan untuk campur tangan bagi menamatkan pertumbuhan “spekulatif” itu.

Kemudian, pada 3 Oktober, setelah sebut harganya berada lebih tinggi daripada paras “magik” 150.00, mencecah paras kemuncak 150.15, perkara yang ditunggu-tunggu oleh semua orang akhirnya berlaku. Dalam hanya masa beberapa minit, gandingan USD/JPY susut hampir 300 mata, menamatkan penurunannya pada paras 147.28. Menteri Kewangan Jepun, Shunichi Suzuki enggan memberikan komen tentang kejadian itu. Beliau dengan samar-samar menjelaskan bahawa “terdapat bermacam-macam faktor yang menentukan sama ada pergerakan di pasaran mata wang adalah berlebihan”. Walau bagaimanapun, kebanyakan peserta pasaran percaya kejadian itu adalah campur tangan kewangan yang sebenar. Namun, sudah pastinya tiada siapa yang boleh menolak tentang pelaksanaan stop-order besar-besaran secara automatik setelah paras utama 150.00 ditembusi kerana peristiwa “black swan” seperti itu pernah berlaku sebelum ini.

● Apapun yang berlaku, campur tangan itu tidak banyak membantu mata wang Jepun, dan 40 hari selepas itu, ia sekali lagi didagangkan lebih tinggi daripada 150.00, pada paras 151.90. Pada ketika itulah, tanggal 13 November, trendnya berubah arah, dan pengukuhan nilai yen menjadi konsisten. Perkara ini berlaku beberapa minggu setelah hasil perolehan bon sepuluh tahun Perbendaharaan A.S. mencapai kemuncaknya apabila pasaran berasa yakin bahawa penurunan itu sudah menjadi satu trend. Penting untuk mengingati bahawa korelasi songsang biasanya akan berlaku antara aset sekuriti ini dengan yen. Jika hasil bon Perbendaharaan naik, nilai yen akan lemah berbanding dolar, dan sebaliknya: jika hasil sekuriti berkurang, nilai yen menjadi lebih kukuh.

Punca utama kepada kebangkitan mata wang Jepun adalah pertambahan jangkaan bahawa Bank of Japan (BoJ) akhirnya tidak lagi melaksanakan polisi kadar faedah negatif, mungkin lebih awal daripada jangkaan. Khabar angin menyebut bahawa desakan agar polisi sasaran lengkung hasil perolehan ditamatkan oleh bank-bank serantau di negara itu telah memberi tekanan lebih besar kepada penggubal dasarnya.

Yen juga menerima kelebihan daripada pasaran yang berasa yakin dengan kadar faedah utama Rizab Persekutuan dan juga ECB telah mencapai kemuncaknya, dan sedikit penurunan dijangka berlaku selepas itu. Disebabkan oleh perbezaan ini, dijangka para pelabur akan menamatkan strategi carry trade dan mengurangkan spread hasil perolehan antara bon kerajaan Jepun dan bon yang sama di A.S. dan di Eurozone. Menurut kebanyakan penganalisis, kesemua faktor-faktor ini dijangka akan membawa balik semula modal ke dalam yen.

Paras paling rendah untuk suku keempat direkodkan pada 28 Disember pada kadar 140.24, dan USD/JPY mengakhiri tahun 2023 selepas itu pada paras 141.00.

 

2024 – 2028: Unjuran Baru

● Setelah susut dengan mendadak selama tiga tahun, nilai yen mungkin akan bertambah akhirnya. Ini adalah pendapat peserta pasaran yang menyertai kaji selidik oleh Bloomberg. Secara keseluruhan, para responden menjangkakan nilai mata wang Jepun akan lebih kukuh pada tahun hadapan, dengan unjuran bagi USD/JPY rata-rata menunjukkan paras 135.00 menjelang hujung tahun 2024.

Beberapa buah bank menjangkakan gandingan mata wang ini akan didagangkan pada julat antara 125.00-135.00 (130.00 untuk Goldman Sachs, 135.00 untuk Barclays, 132.00 untuk UBS, 125.00 untuk MUFG). Pakar strategi mata wang di HSBC percaya buat masa ini dolar AS dinilai terlalu tinggi dan akan kembali berada pada nilai sebenar dalam tempoh lima tahun akan datang akibat penurunan hasil perolehan bon AS serta kebangkitan pasaran saham. Penganalisis HSBC menjangkakan kadar tukaran gandingan ini akan mencecah kadar 120.00 menjelang pertengahan tahun 2024 dan turun ke paras 108.00 menjelang tahun 2028. Menurut ramalan ING Group, kadarnya hanya akan berada di sekitar paras 120.00 pada tahun 2025.

Walau bagaimanapun, masih terdapat mereka yang menjangkakan nilai mata wang Jepun itu akan menjadi lebih lemah dan gandingan ini akan meneruskan “pergerakan ke bulan”. Sebagai contoh, penganalisis di Economic Forecasting Agency (EFA) menjangkakan USD/JPY akan mencecah paras 166.00 menjelang akhir tahun 2024, 185.00 menjelang akhir tahun 2025, dan 188.00 menjelang hujung tahun 2026. Unjuran Wallet Investor mencadangkan bahawa pasangan ini akan meneruskan lonjakan ke atas, mencapai paras 208.10 pada tahun 2028.

● Kesimpulannya, bagi mereka yang lebih gemarkan analisis grafik, berbaloi untuk menyebut bahawa pergerakan USD/JPY pada sepanjang tahun 2023 hampir selari sepenuhnya dengan Teori Elliott Wave. Jika gandingan ini terus mengikuti teori itu sepanjang tahun 2024, kita boleh jangkakan dahulu pembetulan bullish bagi gelombang B. Ia akan diikuti dengan impuls bearish gelombang C yang boleh mendorong gandingan ini bergerak ke paras yang disasarkan oleh para penyokong pengukuhan mata wang Jepun.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami