Januari 13, 2024

EUR/USD: Pasaran Menjangkakan Penurunan Kadar Rizab Persekutuan

● Kami telah berikan unjuran global kami bagi EUR/USD untuk tahun hadapan pada minggu terakhir tahun 2023. Kini, beralih daripada unjuran jangka panjang, kami kembali semula kepada ulasan mingguan seperti biasa, penilaian yang telah dibuat oleh kumpulan analisis NordFX lebih daripada satu dekad.

Perkara utama yang telah berlaku pada minggu lalu sudah semestinya berkenaan data inflasi di A.S. Kadar yang telah dikeluarkan pada hari Khamis, 11 Januari ini menunjukkan Indeks Harga Pengguna (CPI) naik sebanyak 3.4% untuk tahun ke tahun, dan bukan 3.2% yang diunjur secara sepakat serta kadar sebelum ini iaitu 3.1%. Untuk bulan ke bulan, kadar inflasi pengguna juga naik, mencatatkan nilai 0.3% berbanding 0.2% yang diunjur serta kadar sebelum ini iaitu 0.1%. Namun sebaliknya, kadar CPI teras yang mengecualikan harga minyak dan makanan yang meruap susut kepada 3.9% daripada kadar sebelum ini iaitu 4.0% (tahun ke tahun).

● Jika diingat mengenai kenyataan bersifat dovish yang dibuat semasa sidang akhbar bulan Disember, Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell telah memberi bayangan bahawa beliau sudah tidak lagi bersungguh-sungguh memerangi kadar inflasi seperti sebelum ini. Perkara ini mencadangkan bahawa pihak berkuasa kewangan A.S. kini akan memberikan respon lebih fleksibel terhadap perubahan indikator itu. Sehubungan itu, data CPI yang bercampur-campur ini menyakinkan lagi peserta pasaran bahawa pihak Rizab Persekutuan akan mula melonggarkan polisi mereka pada hujung Q1 2024. Menurut Fedwatch oleh CME, kadar kebarangkalian untuk kadar faedah diturunkan sebanyak 25 mata asas pada bulan Mac nanti naik daripada 61% kepada 68% setelah statistik tersebut dikeluarkan. Sementara itu, pakar strategi di kumpulan perbankan terbesar di Belanda, ING, menjangkakan nilai dolar akan menjadi lebih lemah menjelang akhir Q2: pada ketika itulah mereka menjangkakan kadar EUR/USD akan mula naik kepada 1.1500. Pada pendapat mereka, pasaran mata wang akan terus menjadi tidak menentu sehingga tempoh itu.

● Berkenaan dengan situasi di Eurozone, statistik yang dikeluarkan pada hari Isnin, 8 Januari menunjukkan bahawa pasaran pengguna dilihat agak membimbangkan, namun tidak seteruk yang dijangkakan. Jualan runcit menunjukkan penurunan sebanyak -1.1% untuk tahun ke tahun. Walaupun lebih tinggi daripada nilai sebelum ini iaitu -0.8%, kadar ini adalah sangat rendah berbanding -1.5% yang diunjurkan.

Mengikut konteks ini, kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli lembaga Bank Negara Kesatuan Eropah (ECB) iaitu Isabel Schnabel dilihat lebih bersifat hawkish. Beliau berpendapat bahawa indikator sentimen ekonomi di Eurozone mungkin telah mencapai keadaan nadir, manakala pasaran buruh terus stabil. Schnabel juga tidak menolak tentang kemungkinan pertumbuhan ekonomi di Eropah akan menjadi lembab dan inflasi kembali kepada 2.0% yang disasarkan menjelang akhir tahun 2024. Menurut beliau, sasaran ini mampu dicapai, tetapi ia memerlukan pihak ECB mengekalkan kadar faedah yang tinggi. Perbezaan antara pendirian hawkish penggubal dasar terbesar di Eropah dan komen bersifat dovish rakan mereka di seberang telah menyokong mata wang euro, menghalang kadar EUR/USD daripada turun lebih rendah daripada 1.0900.

● Data inflasi industri di A.S. yang dikeluarkan pada hari Jumaat, 12 Januari juga menunjukkan penurunan indikator ini, namun ia tidak memberi kesan terlalu besar kepada sebut harganya. Kadar Indeks Harga Pengeluar (PPI) adalah 1.8% untuk tahun ke tahun (diunjur 1.9%, kadar sebelum ini 2.0%), manakala kadar PPI bulanan mencatatkan penurunan sebanyak -0.1% seperti bulan November (diunjur +0.1%).

Berikutan penyiaran data ini, gandingan EUR/USD mengakhiri minggu pada paras 1.0950.

Buat masa ini, pendapat para penganalisis untuk gandingan ini pada minggu hadapan tidak memberikan petunjuk yang jelas, berbeza dengan sama rata: 50% bersetuju dengan nilai dolar yang lebih kukuh, dan 50% lagi memihak kepada euro. Analisis teknikal bagi indikator ini juga dilihat agak neutral. Dalam kalangan indikator trend pada D1, keseimbangan kekuatan antara warna merah dan hijau adalah 50% dan 50%. Dalam kalangan pengayun, 25% menunjukkan warna hijau, 35% lagi berwarna kelabu neutral, dan baki 40% pula berwarna merah dengan satu perempat daripadanya menunjukkan pasangan ini memiliki lebihan belian. Sokongan paling hampir bagi pasangan ini berada di zon antara 1.0890-1.0925, diikuti dengan 1.0865, 1.0725-1.0740, 1.0620-1.0640, 1.0500-1.0515, 1.0450. Bull akan berdepan rintangan pada paras 1.0985-1.1015, 1.1185-1.1140, 1.1230-1.1275, 1.1350, dan 1.1475.

● Minggu depan, terdapat beberapa perkara penting yang berkaitan ekonomi akan berlaku termasuklah penyiaran kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) di Jerman  pada hari Selasa, 16 Januari, manakala di Eurozone pada hari Rabu, 17 Januari. Selain itu, hari Rabu juga akan memberikan statistik berkenaan keadaan di pasaran runcit A.S. Hari Khamis, 18 Januari, jumlah tuntutan awal bagi manfaat pengangguran yang biasa di Amerika Syarikat akan dikeluarkan. Pada hari yang sama, kita akan ketahui keputusan bagi Kaji Selidik Gambaran Perniagaan bagi Sektor Pembuatan oleh Bank Rizab Persekutuan Philadelphia, manakala pada hari Jumaat, kadar Indeks Sentimen Pengguna University of Michigan akan diketahui. Disamping itu, pedagang harus maklum bahawa hari Isnin, 15 Januari, adalah hari cuti umum di A.S. kerana negara itu menyambut hari Martin Luther King Jr. Day.

 

GBP/USD: Pound Mengekalkan Potensi Pertumbuhan

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 15 - 19 Januari, 20241

● Sebelum musim cuti Tahun Baru, gandingan GBP/USD mencapai paras tertingginya sejak Ogos 2023 dengan berada pada kedudukan 1.2827. Kemudian kedudukannya turun lebih daripada 200 mata menuju ke sempadan bawah saluran menaik, dan mengubah arah pergerakannya untuk mula naik semula. Semasa ulasan ini dibuat, agak sukar untuk menyatakan dengan yakin jika pound sudah kembali mengikuti trend ke atas dengan stabil. Dinamik bagi tempoh empat minggu terakhir boleh diterjemahkan sebagai trend mendatar. Corak yang serupa, khususnya di zon antara 1.2600-1.2800 telah dapat dilihat pada bulan Ogos lalu. Pada waktu itu, pergerakannya terhenti sementara sebelum ia meneruskan penurunan dengan semangat yang baru. Kita mungkin sedang menyaksikan senario yang sama sekarang, namun dengan tanda-tanda positif dan bukannya negatif. Jika benarlah, kita mungkin boleh melihat gandingan GBP/USD berada di zon antara 1.3000-1.3150 pada suku tahun pertama ini.

● Minggu lalu, mata wang British menjadi lebih kukuh setelah data inflasi di A.S. diketahui serta unjuran bersifat dovish yang dibuat Rizab Persekutuan. Jabatan Statistik Kebangsaan UK (ONS) juga mengukuhkan nilai pound, melaporkan pada hari Jumaat, 12 Januari bahawa pertumbuhan KDNK di negara tersebut untuk bulan November naik sebanyak 0.3% bulan ke bulan, dan bukannya 0.2% yang diunjur serta susut -0.3% seperti yang direkodkan pada bulan Oktober. Disamping itu, jumlah pengeluaran industri naik sebanyak 0.4% bagi bulan ke bulan pada November (diunjur 0.3%, nilai sebelumnya - turun sebanyak -1.2%). Dalam masa yang sama, kadar indeks FTSE 100 British naik sebanyak 0.8%, menunjukkan sikap optimis pasaran serta selera risiko para pelabur.

GBP/USD mengakhiri minggu pada paras 1.2753. Menurut pakar ekonomi di Scotiabank, untuk pound mengekalkan momentum bullish yang dialami sekarang, ia perlu melepasi paras rintangan di zon antara 1.2800-1.2820 dengan cemerlang. Mereka menulis, “Walau bagaimanapun, keresahan [peserta pasaran] mungkin akan mula wujud jika paras di sekitar 1.2800 gagal ditembusi, dan pergerakan harga sepanjang bulan lalu masih lagi berpotensi untuk membentuk trend bearish."

Walaupun pound berjaya mengekalkan potensi pertumbuhan dalam tempoh sederhana, unjuran para penganalisis untuk minggu depan lebih memihak kepada dolar. 60% daripada mereka bersetuju dengan penurunan gandingan mata wang ini, 25% lagi memilih pertumbuhan, dan 15% pula lebih gemar untuk kekal neutral. Tidak seperti para penganalisis, indikator hampir sebulat suara bersetuju dengan mata wang British: dalam kalangan pengayun pada D1, 90% berada di pihak pound (10% lagi neutral), manakala dalam kalangan indikator pula, 100% menunjukkan pertumbuhan. Jika gandingan ini turun ke bawah, ia akan menerima sokongan pada paras dan zon 1.2720, 1.2650, 1.2600-1.2610, 1.2500-1.2515, 1.2450, 1.2330, 1.2210, 1.2070-1.2085. Jika gandingan ini  mengalami pertumbuhan, ia akan berdepan rintangan pada paras 1.2785-1.2820, 1.2940, 1.3000, dan 1.3140-1.3150.

● Untuk minggu hadapan, tarikh-tarikh penting termasuklah hari Selasa, 16 Januari, apabila sebahagian besar data dari pasaran buruh di United Kingdom akan dikeluarkan. Data Indeks Harga Pengguna (CPI) akan diketahui pada hari Rabu, 17 Januari, manakala jumlah jualan runcit di UK akan dapata diketahui pada hari Jumaat, 19 Januari.

 

USD/JPY: Kadar CPI A.S. Lebih Baik Berbanding Jepun

● Bank of Japan (BoJ) sedang mempertimbangkan untuk menurunkan unjuran inflasi mereka bagi tahun fiskal 2024 kepada pertengahan 2% dalam laporan suku tahunan mereka yang akan datang, dijangka akan diketahui pada 23 Januari nanti. Berita ini dilaporkan oleh agensi berita Jiji pada hari Khamis, 11 Januari dengan memetik Reuters sebagai sumber. Kadar sebenar penggajian di Jepun turun sebanyak 3.0%. Dengan kelembapan pertumbuhan gaji yang mendadak, kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) Tokyo adalah lebih rendah berbanding jangkaan, turun daripada 2.7% kepada 2,4%. Mentafsir data-data ini, para penganalisis mula membuat spekulasi bahawa Bank of Japan mungkin akan menunda pengetatan polisi mereka yang teramat longgar. Mengikut logik ini, pedagang berlumba-lumba membuka posisi long terhadap gandingan USD/JPY.

Namun, setelah mencecah paras tertingginya iaitu 146.41 pada 11 Januari, pasangan ini berundur dan mula turun: penurunan kadar inflasi di A.S. rupa-rupanya memberi kesan lebih besar kepada peserta pasaran berbanding penurunan di Jepun. Hakikat bahawa kadar faedah yen akan terus kekal berada pada paras negatif -0.1% tidaklah begitu penting. Apa yang lebih penting adalah kadar faedah dolar akan turun sebanyak 0.25% tidak lama lagi.

● Mathias Cormann, Setiausaha Agung Organisasi Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi (Organisation for Economic Co-operation and Development  atau OECD) baru-baru ini menyatakan bahawa “Bank of Japan memiliki peluang untuk memikirkan lebih lanjut mengenai tahap pengetatan polisi kewangan mereka.” Namun, telah banyak kali kita dengari tentang kenyataan serta pendapat yang samar-samar mengenai perkara itu. Pada pandangan kami, adalah lebih menarik untuk membincangkan tentang analisis teknikal mengenai situasi semasa yang dibuat oleh pakar ekonomi di bank Societe Generale Perancis.

Mereka mengatakan bahawa USD/JPY telah pulih secara mendadak pada hujung bulan lalu setelah membentuk paras terendah pertengahan di sekitar 140.20. Ia telah kembali berada di kedudukan Purata Pergerakan 200 Hari (200-DMA) dan menghampiri paras terendah bulan Oktober antara 146.60-147.40 yang bertindak sebagai zon rintangan pertengahan. Setelah percubaannya gagal untuk menembusi purata pergerakan selama 50 hari pada paras 146.41 pada hari Khamis, 11 Januari, pasangan ini berundur, menunjukkan bermulanya penurunan awal. “Ia akan menjadi satu perkara yang menarik untuk melihat jika pasangan ini boleh mempertahankan paras 200-DMA di sekitar 143.40. Jika gagal, terdapat risiko untuk turun lebih rendah menuju paras 140.20-139.60. Melepasi paras 146.60-147.40 adalah sesuatu yang perlu dilakukan jika ingin meneruskan perubahan pergerakan [ke atas],” jelas penganalisis di Societe Generale.

USD/JPY mengakhiri minggu dengan berada pada paras 144.90 (menariknya, dinamik sekarang benar-benar selari dengan analisis gelombang yang dibincangkan dalam ulasan sebelum ini). Untuk minggu depan, 40% penganalisis menjangkakan nilai yen menjadi lebih kukuh, 40% lagi memihak kepada dolar, dan 20% pula kekal neutral. Bagi indikator trend pada D1, 60% menunjukkan pertumbuhan, manakala baki 40% lagi menunjukkan penurunan. Dalam kalangan pengayun, 70% adalah berwarna hijau (dengan 15% berada di zon lebihan belian), 15% berwarna merah, dan baki 15% lagi berwarna kelabu neutral. Sokongan paling hampir berada di zon antara 143.75-144.05, diikuti dengan 142.20, 141.50, 140.25-140.60, 138.75-139.05, 137.25-137.50, dan 136.00. Rintangan berada pada paras 145.30, 146.00, 146.90, 147.50, 148.40, 149.80-150.00, 150.80, dad 151.70-151.90.

● Tiada sebarang peristiwa penting berkaitan ekonomi di Jepun yang dijangka akan dikeluarkan pada minggu depan.

 

MATA WANG KRIPTO: Hari X Telah Tiba. Apa Langkah Seterusnya?

● Perkara yang telah lama dibincang dan sangat-sangat dinantikan akhirnya telah pun tiba. Seperti yang dijangka, pihak Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa A.S. (SEC) telah meluluskan kelompok pertama 11 permohonan syarikat-syarikat pelaburan bagi melancarkan dana dagangan bursa (ETF) berasaskan bitcoin pada 10 Januari lalu. Hasilnya, ETF oleh Grayscale, serta Bitwise dan juga Hashdex telah dihantar kepada bursa saham NYSE Arca. Dana Blackrock dan Valkyrie telah dilancarkan di Nasdaq. CBOE akan menjadi hos bagi ETF oleh VanEck, Wisdom Tree, Fidelity, Franklin Templeton, serta dana bersama oleh ARK Invest/21 Shares dan Invesco/Galaxy.

Tidak seperti yang dijangka, setelah permohonan-permohonan itu diluluskan, kadar gandingan BTC/USD hanya naik kepada $47,652 dan bukannya melonjak ke bulan. Punca kepada reaksi hambar itu adalah kerana pasaran sudah pun mengambil kira perkara ini ke dalam sebut harganya. Lagipun, sehari sebelum itu, penggodam telah menggodam akaun rangkaian sosial X (Twitter sebelum ini) SEC dan menghantar tweet palsu berkenaan kelulusan ETF-BTC yang ditunggu-tunggu. Pasaran kemudiannya memberikan reaksi terhadap kenyataan palsu itu dengan menaikkan kadar mata wang kripto utama tersebut ke paras $48,000. Setelah perkara tersebut dijelaskan, harganya turun semula, dan pada 10 Januari, harganya hanya mengulangi semula kenaikan yang berlaku sehari sebelum itu.

● Penting untuk ketahui bahawa pihak SEC khususnya tidak begitu gembira dengan keputusan untuk meluluskan permohonan itu. Permohonan bagi ETF spot dihantar buat pertama kalinya pada tahun 2013 oleh adik-beradik Winklevoss (Cameron & Tyler Winklevoss) dan telah ditolak pada tahun 2017. Kira-kira enam tahun telah berlalu sejak itu, tetapi keengganan penggubal dasar tersebut untuk menerima mata wang kripto masih lagi wujud, dan kelulusan yang diberikan baru-baru ini telah dibuat dengan berat hati dan di bawah tekanan. Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh pengerusi agensi tersebut iaitu Gary Gensler, keputusan Suruhanjaya itu adalah berdasarkan kepada ketetapan oleh mahkamah rayuan dalam tuntutan undang-undang Grayscale berkenaan transformasi dana amanah kepada ETF spot. Keputusan mahkamah memihak kepada Grayscale, menyatakan bahawa pihak SEC “gagal untuk memberikan hujah secukupnya dalam menyampaikan sebab penolakannya”. Selepas ini, melewatkan kelulusan produk yang hampir sama sudah tidak masuk akal lagi.

Walau bagaimanapun, pada 10 Januari, Gensler tidak menahan diri daripada memberikan penilaian negatifnya. Beliau memaklumkan dalam kenyataan akhbar itu, “Walaupun ETF spot BTC telah mendapat kelulusan, kami tidak menyokong bitcoin. Para pelabur seharusnya mempertimbangkan pelbagai risiko yang dikaitkan dengan Bitcoin dan produk-produk yang disandarkan kepada mata wang kripto. Bitcoin adalah sejenis aset yang sangat meruap dan bersifat spekulatif, dan sering digunakan bagi aktiviti-aktiviti haram termasuklah ransomware, penggubahan wang haram, mengelak daripada sekatan ekonomi, serta membiaya pengganas. Kami meluluskan penyenaraian serta dagangan sesetengah ETF spot bitcoin pada hari ini, tetapi kami tidak memberi sokongan kepada Bitcoin,” ketua SEC itu membuat kesimpulan, menekankan dengan jelas bahawa perang terhadap aset digital masih lagi belum berakhir.

● Membincangkan pendapat jangka pendek, ramai penganalisis tidak menjangkakan lonjakan nilai yang ketara, menunjukkan nilai $48,500 sebagai paras rintangan utama. Ternyata unjuran mereka itu tepat: setelah BTC/USD menembusi paras ini pada 11 Disember, ia diikuti dengan fenomena “sell the news” – penutupan order buy secara besar-besaran serta pengambilan untung. Kemudian, harganya susut dengan mendadak. Menurut Coinglass, jumlah keseluruhan posisi mata wang kripto yang dicairkan adalah kira-kira $209 juta.

Mengenai kesan jangka panjang pelancaran ETF spot bitcoin, kita menunggu masa untuk penilaian penuh. Kira-kira seminggu diperlukan untuk dana-dana itu memulakan operasi di bursa, dengan data jumlah pelaburan dijangka boleh diperolehi pada pertengahan Februari. Jika kita bandingkan ETF bagi produk lain, kira-kira $1.2 trilion telah pun didagangkan ke dalamnya sejak dua tahun lalu. Tujuh tahun selepas ETF emas fizikal dilancarkan pada tahun 2004, harga logam tersebut naik empat kali ganda, dan kini lebih daripada $100 bilion jumlah yang disimpan dalam ETF emas.

Bimbang dengan keadaan emas digital emas, penganalisis di bank Standard Chartered menganggap kelulusan ETF bitcoin ini sebagai satu detik pivotal bagi penerimaan aset tersebut. “Bitcoin mungkin akan mengalami pertumbuhan yang sama seperti produk-produk dagangan bursa yang berkait dengan emas,” jelas mereka. “Namun perkara ini dijangka akan terjadi dalam tempoh yang singkat: bukan tujuh lapan tahun seperti yang berlaku kepada emas, mungkin dalam tempoh satu hingga dua tahun, mengambil kira evolusi pantas dalam pasaran kripto”. Harga bitcoin yang diunjur bank itu berpotensi untuk mencecah $200,000 menjelang akhir tahun 2025. Standard Chartered menganggarkan bahawa menjelang hujung tahun 2024, dana dagangan bursa boleh menerima antara 437,000 BTC dan 1.32 juta BTC, bersamaan dengan aliran masuk pasaran sebanyak $50-100 bilion, mewujudkan impuls harga ketara buat mata wang kripto itu.

Pelabur modal teroka iaitu Chamath Palihapitiya juga menyampaikan sentimen yang agak sama. Beliau percaya bahawa tahun 2024 boleh menjadi tahun paling membanggakan buat bitcoin. Hartawan itu menekankan bahawa pelbagai ETF spot dagangan bursa yang mendapat kelulusan itu mungkin akan “merevolusikan BTC”, berpotensi untuk diterima pakai secara meluas. Palihapitiya menjelaskan bahawa dalam senario seperti itu, menjelang hujung tahun 2024, bitcoin boleh menjadi ruji dalam perbahasan kewangan tradisional.

● Mengikut data oleh CoinDesk, korelasi antara emas digital dan indeks teknologi Nasdaq 100 selama 40 hari telah turun kepada sifar. Sepanjang empat tahun yang lalu, korelasi harga ini berada dalam keadaan positif, kadarnya berubah-ubah antara sederhana (0.15) kepada kukuh (0.8), mencapai kadar paling tinggi semasa berlakunya pasaran bear pada tahun 2022. Kini, bitcoin telah “berpisah” sepenuhnya daripada Nasdaq. Korelasi yang menjadi sifar ini mungkin menunjukkan potensi bitcoin sebagai perkakas menarik untuk mempelbagaikan portfolio pelaburan, justeru menambah lagi nilainya.

Pakar strategi makro iaitu Henrik Zeberg juga menjangkakan pasaran bull yang menakjubkan pada tahun 2024. Beliau menjangkakan dinamik aset digital untuk tahun ini akan berbentuk “parabolik", setelah didorong oleh kemasukan pelabur-pelabur baru. “[Bitcoin] akan benar-benar meletup - nilainya akan melonjak ke atas. Saya merasakan nilainya akan mencecah sekurang-kurangnya $115,000. Itu adalah unjuran saya yang paling konservatif. Nilai $150,000 juga mampu dicapai, dan saya melihat potensi untuk mencapai nilai $250,000,” jelas pakar ekonomi itu.

Zeberg menambah lagi bahawa pasaran kripto boleh menjadi “sangat menakjubkan” pada empat bulan pertama tahun 2024, semua disebabkan oleh kemasukan pelabur tradisional dan berinstitusi setelah ETF spot bitcoin mendapat kelulusan. Mereka-mereka yang terlepas untuk menyertai kitaran bull pertama dan kedua akan berkata, “Saya sudah terlepas peluang dua kali, saya akan sertai kali ini”. Namun, beliau percaya bahawa pasaran tradisional sedang berhadapan “keruntuhan paling teruk sejak 1929” apabila Zaman Kemelesetan mula berlaku di A.S.

Penganalisis terkenal dengan nama gelaran Plan B percaya bahawa nilai bitcoin boleh mencecah antara $100,00 dan 1 juta tidak lama lagi. Beliau menjelaskan bahawa beliau tidak menjangkakan penurunan nilai BTC kerana tahap penerimaannya sekarang hanyalah 2-3%. Mengikut logistik lengkungan S dalam perkembangan organisasi serta hukum Metcalfe, penurunan kadar keuntungan aset seharusnya tidak boleh dijangka sekiranya kadar penerimaan berada di bawah nilai 50%. Makan, penganalisis itu berpendapat, “mata wang kripto utama ini dijangka akan mengalami pertumbuhan eksponen untuk beberapa tahun lagi."

● Benar, bila ada yang optimis, mesti ada juga golongan yang menjangkakan trend menurun. Kami ada bincangkan beberapa pendapat ini dua minggu lalu dalam ulasan khas berjudul “Ramalan 2024: Bitcoin Hari Ini, Semalam, dan Akan Datang”. Sekarang ini, berbaloi untuk mengambil maklum dengan kenyataan oleh hos TV dan pengasas dana lindung nilai Cramer & Co. iaitu Jim Cramer. Beliau menegaskan bahawa nilai bitcoin telah berada di kemuncaknya dan pertumbuhan ke paras lebih tinggi tidak seharusnya dijangka. Kenyataan ini dibuat semasa nilai bitcoin melepasi paras $47,000. Dengan melihat prestasi bitcoin antara 11-12 Januari, timbulnya persoalan: “Mungkin benar apa yang Jim Cramer katakan?"

Pada malam 12 Januari, semasa ulasan ini dibuat, kadar BTC/USD mengalami penurunan ketara, dan didagangkan di sekitar $43,000. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah $1.70 trilion, naik daripada $1.67 trilion minggu lalu. Kadar Indeks Fear & Greed sepanjang minggu lalu turun daripada 72 mata kepada 71 mata dan kekal berada di zon Greed.

● Berbanding dengan prestasi bitcoin, altcoin utama menunjukkan pertumbuhan nilai yang lebih memberangsangkan pada minggu lalu. Bermula pada paras $2,334 pada 10 Januari, gandingan ETH/USD mencecah nilai tertinggi mingguannya iaitu $2,711 pada 12 Januari, pertumbuhan sebanyak 16%. Menariknya, lonjakan ini berlaku setelah kenyataan Pengerusi SEC yang menekankan bahawa keputusan positif penggubal dasar itu hanya berkait secara eksklusif dengan produk dagangan bursa yang berasaskan bitcoin. Gary Gensler menjelaskan bahawa keputusan itu “tidak memberi sebarang isyarat mengenai kesediaan untuk meluluskan standard penyenaraian aset kripto yang berasaskan sekuriti”. Perlu diketahui bahawa penggubal dasar tersebut masih menganggap bitcoin sebagai satu komoditi saja, dan menyebut “majoriti aset kripto adalah kontrak pelaburan (cth. sekuriti)”. Maka, harapan untuk menunggu wujudnya ETF spot Ethereum dan lain-lain altcoin adalah tidak berasas.

Namun, nilai ETH tiba-tiba naik walaupun dengan keadaan suram sebegitu. Reaksi pasaran memang benar-benar sukar untuk difahami. Walau bagaimanapun, menjelang hujung hari Jumaat, 12 Januari, Ethereum bergerak mengikuti bitcoin ke bawah, memasuki hari Sabtu dengan berada di zon $2,500.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami