Januari 24, 2024

MetaTrader 4 (MT4) adalah antara platform dagangan online di pasaran Forex, saham, komoditi, serta mata wang kripto paling popular. Satu ciri penting yang ada pada MT4 adalah bermacam pilihan grafik untuk memaparkan bacaan sebut harga. Dengan hanya klik kanan pada tetingkap gandingan mata wang yang dibuka, pergi ke pilihan “Properties” dan kemudian “Common”, pedagang boleh memilih daripada tiga jenis carta: Carta Bar (histogram), Candlesticks (Carta Lilin Jepun), dan Carta Garis (carta linear). Setiap satu daripada carta-carta ini memilik ciri-ciri serta kelebihan tersendiri, dan kita akan memahami dengan lebih teliti dalam artikel ini.

Carta Bar

Struktur Carta Bar, atau histogram, adalah seperti berikut: Setiap bar yang ada pada carta menunjukkan tempoh dagangan tertentu (tempoh masa), seperti satu hari (D1), satu jam (H1), atau satu minit (M1). Bahagian paling atas bar menunjukkan harga maksimum sesuatu aset dalam tempoh tersebut, manakala bahagian paling bawah adalah harga minimumnya. Garis mengufuk pada bar adalah mewakili harga buka (bahagian kiri) dan harga tutup (bahagian kanan) untuk tempoh masa yang sama.

Paparan Data Kewangan: Cara Mentafsirkan Carta MetaTrade1

Pembangunan jenis carta ini benar-benar dikaitkan dengan evolusi pasaran kewangan serta keperluan pada waktu itu untuk memvisualisasikan data mengenai analisis trend pasaran yang lebih berkesan. Kaedah primitif untuk pembentangan data harga secara grafik yang terawal dapat  dikesan pada kurun ke-17 dan ke-18. Walau bagaimanapun, carta yang ada pada waktu itu sangat ringkas dan tidak memberikan maklumat terperinci. Carta Bar moden seperti yang kita dapat lihat sekarang mula terhasil pada lewat kurun ke-19. Charles Dow, seorang wartawan warga Amerika yang juga menjadi pengasas bersama syarikat Dow Jones & Company adalah tokoh penting terhadap pembangunannya. Pada tahun 1884, Dow telah menhasilkan indeks saham pertama yang turut mengandungin 11 lagi syarikat utama Amerika. Beliau menggunakan carta bagi memantau pergerakan harga saham-saham ini, menyumbang kepada populariti Carta Bar. Walaupun Dow bukanlah pencipta kepada histogram moden yang ada sekarang, jasa beliau memainkan peranan penting dalam pembangunan serta penggunaan carta-carta ini dalam analisis kewangan.

Pada awal kurun ke-20, dengan perkembangan pasaran saham dan juga pertambahan jumlah pedagang, Carta Bar menjadi perkakas standard bagi menganalisis pergerakan harga. Ia menjadi lebih popular disebabkan oleh sifatnya yang mudah untuk ditafsir serta kebolehan yang ada bagi memaparkan maklumat harga secara terperinci. Ia membolehkan para pengguna menilai elemen penting dalam pergerakan harga dengan cepat, termasuklah paras tertinggi dan terendah, serta harga buka dan tutup pada satu-satu masa, membolehkan trend pasaran dapat difahami dengan lebih mendalam dan seterusnya membuat keputusan yang tepat. Dengan kemajuan teknologi komputer dan perisian dagangan seperti MetaTrader, penggunaan Carta Bar menjadi lebih meluas dan mudah.

Carta Candlesticks

Setiap lilin dalam carta Candlesticks adalah mewakili satu blok yang menunjukkan julat harga bagi tempoh-tempoh tertentu. Bentuk lilin menunjukkan perbezaan harga buka dan tutup. Bayang lilin menunjukkan julat harga paling tinggi dan paling rendah. Bagi tetapan biasa MT4, bentuk lilin Bull adalah berwarna hitam, manakala bentuk lilin Bear pula berwarna putih. Namun, pedagang bebas untuk mengubah tetapan dan warna-warna yang ada pada carta ini mengikut warna pilihan sendiri.

Carta Candlesticks sering dirujuk sebagai carta lilin Jepun, satu gelaran yang diperoleh daripada asal usulnya, mula digunakan oleh Homma Munehisa, seorang pedagan dari bandar Sakata di Jepun, juga dikenali sebagai Sokyu Homma. Lelaki ini adalah seorang tokoh penting dalam sejarah pasaran kewangan, terkenal terutama sekali kerana sumbangan beliau terhadap pembangunan kaedah analisis teknikal, termasuklah penghasilan sistem candlestick Jepun.

Dilahirkan pada tahun 1724 dalam keluarga golongan peniaga yang kaya serta mendapat pendidikan terbaik, Homma menjadi terkenal disebabkan dagangan beras yang beliau laksanakan di Bursa Beras Dojima di Osaka, lokasi yang dianggap sebagai pasaran niaga hadapan yang pertama di dunia. Di sana, beliau mendapati bahawa selain daripada faktor-faktor fundamental seperti bekalan dan permintaan, psikologi pedagang juga memainkan peranan penting dalam pembentukan harga.

Dipercayai bahawa Homma membangunkan kaedah awal analisis candlestick bagi menunjukkan keadaan emosi di pasaran, membolehkan beliau menjangkakan pergerakan harga dengan tepat dan mengumpul jumlah kekayaan yang agak besar. Walaupun butiran lengkap mengenai kaedah beliau itu mungkin boleh dipertikaikan dan mengikut tafsiran sendiri, dagangan Homma Munehisa berjaya menjadikan beliau seorang tokoh lagenda dalam dunia kewangan. Teori serta pendekatan yang beliau ambil menjadi asas kepada pelbagai strategi dagangan moden.

Sehingga pada tahun 1980-an, carta Candlesticks tidak begitu dikenali di luar Jepun. Semuanya berubah disebabkan oleh Steve Nison, seorang penganalisis warga Amerika yang menemui carta lilin Jepun dan berasa kagum dengan keberkesanannya. Nison mempelajari dan menyesuaikan teknik unjuran yang ada pada carta candlestick bagi penggunaan di pasaran kewangan Barat serta menulis beberapa buah buku mengenainya. Disebabkan oleh buku-buku beliau itu, minat terhadap carta lilin Jepun semakin bertambah dalam kalangan pedagang-pedagang Barat dan merek dengan pantas mengakui kelebihan kaedah tersebut. Hasil kerja Steve Nison kini dianggap sebagai asas dalam bidang analisis teknikal. Kini, carta lilin Jepun banyak digunakan oleh pedagang di seluruh dunia, bukan saja untuk Forex, malah juga di pasaran saham, komoditi, serta mata wang kripto. Lama kelamaan, terdapat pelbagai jenis dan bentuk carta lilin Jepun yang ada (seperti doji, hammer, shooting star, dan banyak lagi) telah dibangunkan, dan setiap satunya memiliki ciri dan kegunaan yang unik. Bermacam-macam corak candlestick mampu memberi isyarat tentang potensi perubahan arah pergerakan atau meneruskan trend sedia ada serta membolehkan strategi dagangan yang rumit dibuat.

Walau bagaimanapun, penting untuk mengetahui bahawa analisis seperti itu mengambil masa dan memerlukan pengalaman bagi mentafsir corak candlestick dengan betul. Lain pedagang mungkin memberikan tafsiran berbeza untuk corak yang sama. Kajian statistik menunjukkan bahawa kadar ketepatan sering bergantung kepada corak serta keadaan pasaran yang tertentu. Maka, adalah disyorkan untuk menggunakan carta Candlestick bersama-sama dengan bentuk analisis yang lain, seperti indikator teknikal dan juga analisis fundamental.

Carta Garis


Carta Garis dihasilkan dengan menyambung harga tutup sesuatu aset secara berturut-turut dalam tempoh masa yang dipilih, membentuk satu garis ringkas yang menunjukkan arah pergerakan harga yang biasa. Sejarah carta garis adalah lebih lama berbanding carta lilin Jepun dan dikaitkan dengan pembangunan visualisasi data dan statistik. Ia adalah antara kaedah pewakilan maklumat secara grafik yang paling tua dan paling ringkas, sangat sinonim dengan sejarah kartografi dan juga ekonomi.

Walaupun asal usul sebenar carta garis ini tidak diketahui, elemen yang dimilikinya boleh ditemui dalam hasil kerja tamadun kuno. Orang-orang Mesir dan Babylon menggunakan kaedah grafik bagi menunjukkan data astronomi dan geometri. Dalam Zaman Pertengahan dan juga Zaman Pembaharuan, ahli geografi, ahli astronomi, ahli matematik, dan lain-lain saintis mula menggunakan carta seperti itu bagi memaparkan pemerhatian serta pengiraan mereka dengan lebih aktif.

Pendorong utama bagi penggunaan carta statistik adalah William Playfair, seorang jurutera dan ahli ekonomi warga Scotland. Pada tahun 1786, beliau menulis buku berjudul "The Commercial and Political Atlas", buku yang beliau tulis menggunakan carta bar, carta garis dan carta pai buat pertama kalinya bagi menunjukkan data ekonomi. Hasil kerja beliau itu menjadikan data yang rumit lebih mudah untuk difahami dan didapati oleh golongan pembaca yang lebih meluas, satu inovasi yang mengagumkan pada waktu itu.

Hari ini, penggunaan carta garis adalah di mana-mana saja. Terdapat perkakas fundamental bagi menunjukkan siri masa dan juga trend yang digunakan secara meluas dalam sektor kewangan bagi memantau perubahan harga saham, kadar tukaran mata wang, dan lain-lain indikator kewangan. Disebabkan sifatnya yang ringkas dan jelas, carta garis kekal menjadi antara perkakas paling popular bagi visualisasi data.

***

Walaupun ketiga-tiga jenis carta - Carta Bar, Carta Candlesticks, dan Carta Garis - memiliki fungsi yang sama dalam memaparkan pergerakan harga, terdapat pelbagai cara untuk menggunakannya. Carta Bar dan Carta Candlesticks memberi maklumat lebih terperinci mengenai pergerakan harga, seperti harga buka dan tutup, serta paras tertinggi dan terendah pada satu-satu masa tertentu. Sebaliknya, Carta Garis memberi gambaran yang lebih menyeluruh, lebih memfokuskan hanya kepada harga tutup.

Pemilihan carta-carta ini bergantung kepada kaedah serta pilihan kegemaran para pedagang, dan juga strategi dagangan mereka. Carta Bar dan Carta Candlesticks lebih sesuai digunakan oleh pedagang aktif serta mereka yang menggunakan analisis teknikal, manakala Carta Garis pula sesuai untuk pedagang baru atau bagi membuat analisis trend jangka panjang. Apapun, memahami ciri bagi setiap jenis carta dan mampu untuk mentafsirkannya dengan tepat adalah kemahiran penting bagi dagangan berjaya di pasaran kewangan.


« ARTIKEL BERGUNA
Ikuti Kami