Februari 3, 2024

EUR/USD: Prospek Dolar yang Lebih Kukuh Meningkat

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 05 - 09 Februari, 20241

● Sepanjang bulan Januari, beberapa siri indikator: KDNK, pengangguran, dan jualan runcit sering menunjukkan ekonomi AS yang kukuh dengan konsisten. Ancaman untuk berlakunya kegawatan sudah tiada, dan terbukti bahawa kadar faedah yang tinggi tidak menghalang daripada ekonominya menunjukkan prestasi terbaik. Peserta pasaran tidak sabar menunggu mesyuarat Federal Open Market Committee (FOMC) Rizab Persekutuan AS yang dijadualkan pada hari Rabu, 31 Januari untuk mengetahui hasil daripada indikator-indikator ekonomi yang positif ini.

Seperti yang dijangka, penggubal dasar itu mengekalkan kadar utama mereka pada paras sedia ada (5.50%) namun mengubah pendirian yang menunjukkan langkah seterusnya mungkin adalah pelonggaran polisi kewangan. Persoalan yang timbul di minda semua: bila? Semasa berlangsungnya sidang akhbar, Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell berusaha untuk meredakan ketegangan. Beliau menyatakan bahawa ahli-ahli FOMC ingin benar-benar yakin 100% inflasi berjaya diturunkan dan mereka tidak mahu tergesa-gesa untuk berpendirian dovish sehinggalah terdapat bukti meyakinkan bahawa kadar inflasi sudah berada di bawah paras sasaran 2.0%. Mujurlah, keadaan ekonomi yang kukuh membenarkan pendekatan lebih berhati-hati ini dilaksanakan. Walau bagaimanapun, Powell maklum bahawa jika pasaran buruh menjadi lembab dengan mendadak, pelonggaran polisi kewangan boleh berlaku dengan serta-merta.

Perlu diketahui bahawa sepanjang dua minggu terakhir bulan Januari, para pegawai Rizab Persekutuan berusaha untuk meredakan keraguan berkenaan penurunan kadar faedah yang bermula seawal bulan Mac. Boleh dikatakan, usaha mereka itu membuahkan hasil. Kebarangkalian untuk polisi diubah pada bulan Mac turun daripada paras tertinggi iaitu 90% kepada 35.5%, manakala kemungkinan kadar diturunkan pada bulan Mei meningkat kepada 61%.

● Reaksi pasaran terhadap keputusan mesyuarat FOMC dilihat agak senyap. Kadar indeks dolar DXY gagal untuk mencecah kedudukan 104.00, dan gandingan EUR/USD pula mengubah arah pergerakannya dan naik ke paras 1.0900 pada hari Jumaat setelah turun ke paras 1.0800 pada 1 Februari, semua ini berlaku dalam menantikan penyiaran data daripada pasaran buruh di Amerika.

Data yang dikeluarkan pada 2 Februari menunjukkan bahawa jumlah pekerjaan baru bukan dalam sektor perladangan (Non-Farm Payrolls) naik sebanyak 353,000 pada bulan Januari, jauh lebih tinggi berbanding 180,000 yang dijangkakan. Jumlah ini mengikuti kenaikan pada bulan Disember iaitu 333,000. Pengangguran kekal stabil pada paras 3.7%, manakala kadar inflasi gaji naik kepada 4.5% secara tahunan, jauh lebih tinggi berbanding 4.1% yang dijangka pasaran. Oleh itu, kebimbangan Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell mengenai kelembapan ketara di pasaran buruh adalah tidak berasas, yang jelas memberi kelebihan kepada mata wang Amerika.

● Jika diingat pada minggu sebelumnya, pada 25 Januari, Bank Negara Kesatuan Eropah (ECB) telah bermesyuarat dan penggubal dasar itu juga mengekalkan kadar faedah utama mereka iaitu 4.50%. Semasa berlangsungnya sidang akhbar selepas mesyuarat itu, Presiden ECB iaitu Christine Lagarde enggan memberikan komen berkenaan masa yang sesuai untuk menurunkan kadar faedah. Menurut beliau, ahli-ahli Jawatankuasa Pentadbir percaya masih terlalu awal untuk membincangkan tentang pelonggaran polisi kewangan. Namun, kebanyakan peserta pasaran merasakan bahawa cabaran ekonomi mungkin akan mendesak pihak ECB untuk memulakan proses itu terlebih dahulu. Perbandingan indikator makroekonomi antara kedua-dua rantau itu sudah cukup untuk menyokong pendapat ini.

Jumlah pengangguran di Eurozone berada pada kadar 6.4% berbanding 3.7% di AS. Kadar KDNK di Eropah tidak banyak bergerak daripada paras negatif kemelesan -0.1% kepada 0% untuk Q4, manakala di AS menunjukkan pertumbuhan sebanyak +3.3%. Lebih-lebih lagi, kadar inflasi di Eurozone sudah menghampiri paras 2.0% yang disasarkan, berada pada kadar 2.9% buat masa ini, jika dibandingkan di AS pada kadar 3.4%. Kesemua indikator-indikator ini boleh menggesa pihak Bank Negara Kesatuan Eropah untuk memulakan pelonggaran polisi kewangan tidak lama lagi. Disamping itu, Timbalan Presiden ECB iaitu Villeroy de Galhau baru-baru ini menyatakan bahawa kadarnya itu boleh diturunkan pada bila-bila masa. Kebanyakan peserta pasaran mentafsirkan perkara ini sebagai satu isyarat bahawa trend dovish mungkin akan dimulakan pada dua bulan akan datang.

● Walau bagaimanapun, penganalisis di Commerzbank percaya bahawa penurunan kadar lebih awal pada bulan Mac atau April mungkin tidak akan berlaku. Mereka sedar bahawa terdapat satu faktor negatif bagi euro masih lagi kekal wujud. Pakar strategi bank tersebut merasakan bahawa ada puak dalam kalangan ahli Jawatankuasa Pentadbir ECB yang ingin melewatkan masa, kemudian mengambil peluang awal bagi menyokong penurunan kadar. “Hal ini malah mungkin terlalu awal,” Commerzbank memberikan amaran.

Pakar ekonomi di satu lagi bank iaitu HSBC British menjangkakan nilai dolar menjadi lebih kukuh sedikit untuk jangka sederhana, terutama sekali berbanding euro dan pound. Perkara ini berlaku akibat prestasi cemerlang berterusan yang ditunjukkan ekonomi AS berbanding negara-negara G10 yang lain, membolehkan pihak Rizab Persekutuan untuk menangguhkan pelonggaran polisi mereka. “Pendekatan yang kurang agresif dalam melonggarkan polisi boleh mengakibatkan penurunan selera risiko, sesuatu yang dapat menyokong dolar AS,” jelas penganalisis di HSBC.

● EUR/USD ditutup pada paras 1.0787 minggu lalu. Buat masa ini, 30% penganalisis bersetuju dengan nilai dolar yang lebih kukuh dalam masa terdekat nanti, menjangkakan penurunan lebih rendah gandingan ini. Peratusan yang sama memihak kepada euro, mereka percaya bahawa gandingan ini sekurang-kurangkan akan kekal berada dalam julat antara 1.0800-1.0900. Baki 40% lagi berpendirian neutral. Bacaan indikator pada D1 adalah lebih jelas. 100% pengayun berwarna merah (walaupun 20% daripadanya menunjukkan lebihan belian). Dalam kalangan indikator trend, keseimbangan kekuatan adalah 85% merah dan 15% hijau. Sokongan paling hampir bagi gandingan ini berada di zon 1.0780, diikuti dengan 1.0725-1.0740, 1.0620-1.0640, 1.0500-1.0515, dan 1.0450. Bull akan berdepan rintangan di sekitar paras 1.0820, 1.0890-1.0925, 1.0985-1.1015, 1.1110-1.1140, dan 1.1230-1.1275.

● Perkara utama untuk minggu depan termasuklah penyiaran data berkenaan kadar aktiviti perniagaan (PMI) dalam sektor perkhidmatan di AS pada hari Isnin, 5 Februari. Keesokan harinya, jumlah jualan runcit di Eurozone akan diketahui. Menjadi kebiasaan hari Khamis akan memberikan maklumat terhadap jumlah tuntutan awal pengangguran di Amerika Syarikat. Mengakhiri minggu bekerja, pada hari Jumaat, 9 Februari, data berkenaan kadar inflasi harga pengguna (CPI) di Jerman, penggerak ekonomi utama di Eropah, juga akan dikeluarkan. 

 

GBP/USD: Pasaran Buruh AS Memberi Tamparan Kepada Pound

● Minggu lalu, hari Khamis, 1 Februari, seperti rakan mereka di seberang Lautan Atlantik, Bank of England (BoE) mengekalkan kadar faedah utama pada nilai 5.25%. Bank of England tidak mengubah polisi mereka dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan bersifat dovish. Namun, nilai pound menerima sokongan setelah dua daripada ahli Jawatankuasa Polisi Kewangan BoE terus bersetuju dengan kenaikan kadar sebanyak 25 mata asas. Pakatan ini terbukti agak lemah, terutama sekali apabila seorang lagi ahlinya bersetuju dengan penurunan kadar, manakala majoriti lapan orang ahlinya menyokong untuk kadarnya terus dikekalkan.

Penganalisis terus percaya bahawa potensi memihak kepada mata wang British, membuat spekulasi bahawa BoE mungkin adalah antara bank terakhir yang akan menurunkan kadar mereka pada tahun ini. Walau bagaimanapun, menurut penganalisis di Scotiabank, pertumbuhan lebih tinggi gandingan GBP/USD dan menembusi paras tertinggi 1.2825 Disember lalu perlu berlaku. Namun, buat masa ini jangkaan tersebut adalah tidak berasas. Lebih-lebih lagi, data kukuh dari pasaran buruh AS mengukuhkan nilai dolar serta menghalang gandingan ini daripada kekal berada di sempadan atas saluran mendatar antara 1.2600-1.2800, julat ia didagangkan sejak tujuh minggu lalu.

● Gandingan GBP/USD ditutup pada paras 1.2632 minggu lalu. Menurut pakar ekonomi di Internationale Nederlanden Groep (ING), nilai dolar yang kukuh mungkin akan mengekalkan gandingan GBP/USD untuk berada di sekitar 1.2600-1.2700 pada Q1 2024. Berkenaan dengan unjuran median para penganalisis untuk minggu hadapan, 35% bersetuju dengan penurunan gandingan ini di bawah paras sokongan 1.2600, 50% memihak kepada pertumbuhan, dan 15% lagi kekal neutral. Tidak seperti penganalisis, indikator trend pada D1 menunjukkan sikap berat sebelah terhadap mata wang Amerika, dengan 60% menunjukkan pengukuhan nilai dolar dan penurunan lebih rendah gandingan ini, berbanding 40% yang menunjukkan pertumbuhannya. Dalam kalangan pengayun, 65% lebih memihak dolar (10% menunjukkan keadaan lebihan belian), 10% memihak kepada pound, dan baki 25% lagi kekal neutral. Jika pasangan ini bergerak ke bawah, ia akan menerima sokongan pada paras dan zon 1.2595-1.2610, 1.2500-1.2515, 1.2450, 1.2330, 1.2210, dan 1.2070-1.2085. Jika gandingan ini bergerak ke atas, ia akan berdepan rintangan pada paras 1.2695-1.2725, 1.2785-1.2820, 1.2940, 1.3000, dan 1.3140-1.3150.

● Tiada sebarang data makroekonomi penting berkaitan ekonomi United Kingdom yang dijangka akan diketahui pada minggu depan.

 

USD/JPY: Perubahan Polisi BoJ: Mimpi atau Realiti?

● Statistik pasaran buruh yang kukuh di A.S. bukan saja menghancurkan harapan bull euro dan pound malah juga yen. Pada permulaan minggu lalu, nilai mata wang Jepun bertambah, dan gandingan USD/JPY pula menunjukkan trend penurunan, berada pada paras terendah mingguan iaitu 145.89 pada hari Khamis, 1 Februari. Penurunan mendadak hasil bon Perbendaharaan A.S. telah membantu yen. Lebih tepat lagi, hasil bon 10 tahun A.S. turun ke paras paling rendah sejak hujung bulan Disember: 3.9%. Perlu ditekankan di sini mengenai korelasi antara sekuriti A.S. dan juga USD/JPY. Jika hasil bon sepuluh tahun Perbendaharaan berkurang, nilai yen menjadi kukuh, manakala gandingan USD/JPY membentuk trend penurunan. Inilah yang berlaku sebenarnya. Namun, di akhir minggu bekerja jelas menunjukkan kelebihan memihak kepada mata wang Amerika, dan kadar gandingan ini naik semula, ditutup pada paras 148.35.

● Kebanyakan peserta pasaran terus meletakkan harapan agar polisi kewangan Bank of Japan (BoJ) akan diketatkan. Sebagai contoh, penganalisis di Imperial Bank of Commerce (CIBC) Kanada menjangkakan pihak BoJ akan beralih daripada kadar faedah negatif pada bulan April, dan caj tambahan dikenakan terhadap polisi Kawalan Lengkung Hasil (YCC) bagi menyokong yen Jepun untuk enam bulan terakhir tahun ini. Pakar strategi CIBC berkata, “Kami percaya bahawa kadar USD/JPY sudah berada di kemuncaknya dan ia seharusnya […] susut ke paras 144.00 pada Q2. Disebabkan itu, kami jangkakan penurunan kadar oleh pihak Rizab Persekutuan serta prospek perubahan sedikit demi sedikit polisi YCC BoJ akan mengakibatkan penurunan kadar USD/JPY ke paras 140.00 pada Q3 dan 135.00 pada Q4 2024."

● Penting untuk ketahui bahawa ramai penganalisis yang telah menjangkakan pengetatan polisi kewangan BoJ pada tahun 2023: topik ini telah hangat dibincangkan sebelum ini. Namun, ia masih belum berlaku. Ia juga tidak mungkin akan berlaku sekarang.

Pada bulan Januari, kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) di wilayah Tokyo tanpa disangka-sangka susut daripada 2.4% kepada 1.6%, manakala kadar CPI teras, tidak termasuk harga makanan segar dan bahan api susut daripada 3.5% kepada 3.1%. Disamping itu, pertumbuhan pengeluaran industri di Jepun untuk bulan Disember turun sedikit kepada 1.8%, berbanding 2.4% yang diunjur. Untuk tahun ke tahun, jumlah pengeluaran industri juga menunjukkan kelembaban lebih teruk: untuk bulan Disember, indikator ini menunjukkan -0.7% (tahun ke tahun), kadar yang lebih baik berbanding tempoh sebelumnya iaitu -1.4% namun masih lagi menunjukkan penurunan.

Kurangnya tekanan inflasi seperti itu serta kelembapan pertumbuhan ekonomi mungkin telah mendorong pihak BoJ untuk tidak mengetatkan polisi kewangan mereka dalam masa terdekat ini, membiarkan kadar faedah mereka kekal pada paras -0.1%. Jangkaan ini turut disahkan oleh minit mesyuarat Bank of Japan untuk bulan Disember. Ia menyatakan bahawa ahli-ahli Lembaga bersetuju bahawa “adalah perlu untuk mengekalkan polisi yang longgar ini dengan sabar."

● Berkenaan dengan minggu hadapan, hanya 25% daripada penganalisis menjangkakan nilai dolar menjadi lebih kukuh dan penurunan kadar USD/JPY. Sebaliknya, 75% memihak kepada yen, bersetuju dengan pakar ekonomi CIBC bahawa pasangan ini telah mencapai kemuncaknya. Indikator trend dan pengayun pada D1 semuanya menunjukkan pertumbuhan, dengan 100% menunjukkan momentum ke atas, walaupun 10% daripada pengayun sudah berada di zon lebihan belian. Sokongan paling hampir berada di zon 147.60, diikuti dengan 146.85-147.15, 146.00, 145.30, 143.40-143.65, 142.20, 141.50, dan 140.25-140.60. Paras dan zon rintangan pula adalah 148.55-148.80, 149.85-150.00, 150.80, dan 151.70-151.90.

● Tiada sebarang data atau statistik yang berkaitan dengan ekonomi Jepun dijangka akan diketahui pada minggu depan.

 

MATA WANG KRIPTO: Pengurangan Penghasilan – Bersedih atau Gembira?

● Sepanjang minggu lalu, gandingan BTC/USD yang menerima sokongan pada paras $42,000 telah bergerak tanpa menunjukkan sebarang hasil ketara di kedua-dua arah, memberikan perhatian khusus terhadap statistiknya. Penganalisis maklum bahawa kadar kemeruapan mata wang kripto utama itu sepanjang 12 bulan telah mencecah kadar paling rendah dalam tempoh 12 tahun. Indikator tersebut menunjukkan hasil yang sangat pelbagai selama ini namun ia menunjukkan trend penurunan yang jelas secara umumnya sepanjang 12 bulan ini. Bermula dengan 179% pada Januari 2012, kadar itu turun kepada 45% pada awal tahun ini.

Kadar kemeruapan yang lebih tinggi menunjukkan kebolehubahan harga ketara serta menandakan ketidakpastian yang lebih besar di pasaran. Nilai metrik yang rendah mencadangkan keadaan dagangan yang lebih stabil. Menurut CryptoQuant, penurunan kadar kemeruapan mungkin memberi maksud jumlah pemilik jangka panjang yang lebih besar. Bahagian penyelidikan di Galaxy Digital menjangkakan bahawa pelancaran ETF spot bitcoin pada bulan Januari akan lebih melancarkan kadar turun naik ini. “Sejumlah besar BTC akan disimpan di dalam akaun pengurusan [pelaburan]. Mereka tidak berminat dalam dagangan intraday,” para penganalisis menjelaskan.

Penganalisis di Glassnode juga ada menyebut tentang pelabur jangka masa panjang. Laporan mereka menyatakan bahawa majoriti pemilik BTC yang luar biasa seperti itu masih tidak mahu menjual coin mereka dan mengikuti strategi hodling dalam menjangkakan harga spot yang lebih tinggi. Menurut K33 Market Research, jumlah dagangan spot dalam bitcoin telah mencecah “nilai aktiviti mampan yang tinggi berikutan kelulusan ETF”. Data daripada Data Dashboard oleh The Block menunjukkan jumlah transaksi dalam rantaian yang tinggi di rangkaian bitcoin untuk bulan Januari adalah yang tertinggi sejak beberapa bulan lalu, dengan jumlah dagangan pada bulan Januari melebihi $1.11 trilion.

● Berkenaan dengan ETF Bitcoin yang dilancarkan pada bulan Januari, situasinya tidak membuahkan hasil seperti yang dijangkakan. Menurut sebilangan penganalisis, ini adalah situasi klasik yang digelar sebagai “beli mengikut khabar angin, jual mengikut fakta”. Pada awalnya, telah berlakunya lonjakan ketara bull yang dicetuskan oleh spekulasi mengenai pelancaran ETF berasaskan bitcoin. Namun, setelah dana-dana tersebut mula beroperasi sekarang ini, peserta pasaran mula menjual secara aktif bagi mendapatkan pulangan.

ETF Grayscale berasal daripada dana amanah, dan menjelang akhir Januari, ia mengalami pengeluaran dana sebanyak $2.2 bilion. Punca kepada pengeluaran ini bukan saja tentang pemegang saham amanah cuba untuk mendapatkan pulangan pada tahun 2023, malah juga perasaan tidak puas hati mereka dengan fi pengurusan yang tinggi. Grayscale mengenakan fi sebanyak 1.5%, sedangkan dana-dana lain mampu mengekalkan fi antara 02-0.3%. Dalam kalangan pesaing-pesaing ETF, BlackRock terus menjadi peneraju dengan nilai $2.2 bilion, manakala Fidelity pula mencecah $2 bilion. WisdomTree berada di tangga paling bawah ranking dengan nilai $6.3 juta. Bagi aliran masuk bersih dana sejak pelancaran ETF-BTC spot, jumlahnya adalah $760 juta.

● Selain mengambil untung, satu lagi punca kepada memberi tekanan kepada pasaran adalah para penghasil. Proses pengurangan penghasilan dijangka akan dilaksanakan pada 19 April, tinggal kira-kira 2.5 bulan lagi. Jika nilai emas digital ini tidak menunjukkan pertumbuhan ketara sebelum tibanya tarikh itu, majoriti penghasil akan berdepan dengan kekurangan likuiditi yang teruk. Justeru, mereka sudah pun mula menjual BTC yang ada dalam rizab mereka bagi tujuan menggantikan likuiditi. Sejak ETF spot mendapat kelulusan pada 10 Januari, mereka telah menghantar sebanyak 624,000 BTC ke dalam bursa sepanjang enam tahun lalu, dengan nilai kira-kira $26 bilion. Mengikut anggaran, para penghasil masih ada kira-kira 1.8 juta BTC yang tinggal, dengan nilai sebanyak $76 juta. Jualan daripada simpanan rizab ini boleh berpotensi untuk menolak nilai bitcoin lebih rendah.

● Penganalisis di Matrixport telah mengunjurkan penurunan kadar BTC/USD kepada $36,000. Mereka percaya bahawa nilai bitcoin mungkin akan bertambah baik, tetapi hanya jika indikator makroekonomi memihak kepadanya serta kadar likuiditi meningkat. (Harus diketahui bahawa penganalisis yang sama ini telah menjangkakan nilai bitcoin boleh mencecah $125,000 dalam tahun 2024 pada Disember lalu).

Chris Burniske, seorang rakan kongsi dalam firma modal teroka Placeholder memberikan unjuran yang lebih pesimis. Beliau percaya bahawa nilai mata wang kripto utama tersebut akan turun di antara $30,000-$36,000 pada awalnya dan kemudian mungkin mencapai paras terendah setempat di sekitar $20,000. “Paras penyatuan akan berada lebih rendah daripada yang ramai orang jangkakan, berpunca daripada terlalu banyak pembolehubah (cth., pasaran kripto tertentu, makroekonomi, penerimaan, dan perkembangan produk baru),” penganalisis itu memberikan amaran. Walau bagaimanapun, menguji paras di sekitar $20,000 akan menjadi “langkah sebenar” untuk berada di kedudukan tertinggi yang pernah dicapai sebelum ini, yakin beliau. “Perjalanan menuju ke paras itu penuh liku - jangkakan penurunan. Ia juga akan mengambil masa yang lama. Seperti biasa, sabar adalah rakan baik anda,” tegas Burniske, menambah lagi bahawa kadar penurunan lain-lain aset adalah lebih rendah berbanding bitcoin.

● Bertentangan dengan pandangan Chris Burniske, unjuran yang dibuat oleh penganalisis DonAlt dilihat lebih optimis dengan ketara. Beliau memberikan senyuman kepada 56,700 pengikutnya di YouTube dengan menyebut bahawa bitcoin telah berjaya mengelak daripada benar-benar susut nilainya selepas pelancaran ETF Bitcoin. “Nilai emas digital dilihat menjadi lebih kukuh setelah berada di bawah nilai $40,000 pada minggu lalu,” tegas beliau. Penganalisis itu percaya bahawa ketiadaan situasi penjualan secara besar-besaran adalah satu petanda positif. “Untuk sebab ini, saya tidak lagi berada di dalam kem bear; kini saya bersama-sama dengan bull,” isytihar beliau. DonAlt juga menekankan bahawa bitcoin sedang mengalami penyatuan dalam trend menaik yang kuat dan mungkin akan mendapat momentum bullish semula setelah berjaya melepasi rintangan pada paras $44,000.

Seorang lagi penganalisis yang dikenali dengan nama gelaran Rekt Capital percaya bahawa pedagang mempunyai satu lagi peluang terakhir untuk membeli bitcoin dengan harga yang rendah. Beliau membuat analisis data lampau dan membuat kesimpulan seperti berikut:

1. Jika nilai bitcoin tidak menjadi lebih rendah dalam masa dua minggu seterusnya, maka nilai coin berkenaan tidak akan jatuh dengan ketara sehinggalah pengurangan penghasilan dilaksanakan. 2. Kira-kira 60 hari sebelum penghasilannya dikurangkan, nilai BTC akan bertambah disebabkan oleh desas-desus yang menyelubunginya. 3. Setelah pengurangan penghasilan dilaksanakan, spekulator akan terus menjual mata wang kripto, maka nilai bitcoin akan susut untuk beberapa minggu, penurunan itu mungkin antara 20-38%. 4. Kemudian tempoh pengumpulan akan bermula, berterusan selama 150 hari, bercirikan kadar kemeruapan nilai BTC yang agak rendah. 5. Setelah itu, fasa pertumbuhan parabolik nilai bitcoin akan bermula, dan nilainya akan mencapai kedudukan tertinggi dalam sejarah yang baru.

● Markus Thielen, Ketua Analisis di 10x Research adalah seorang penyokong Hukum Gelombang Elliot yang mencadangkan pergerakan nilai aset ini dalam lima gelombang. Mengikut hukum ini, gelombang pertama, ketiga, dan kelima adalah “gelombang impuls” yang menggerakkan aset ini mengikut arah trend, manakala baki gelombang lain pula adalah “gelombang penarikan” yang bersifat pembetulan. Penganalisis itu percaya bahawa kejatuhan nilai bitcoin yang berlaku baru-baru ini mewakili gelombang keempat, cth., penarikan semula. Buat masa ini, gelombang kelima sudah pun bermula, ia mungkin boleh menolak nilainya ke atas. “Analisis gelombang telah menunjukkan potensi untuk nilainya pulih sehingga ke paras $52,671 menjelang akhir suku pertama tahun 2024,” jelas Thielen.

Anthony Scaramucci, pengasas dana lindung nilai SkyBridge Capital menunjukkan kedudukan yang sama. “Andaikan nilainya [semasa pengurangan penghasilan dilaksanakan] adalah $50,000,” kata beliau. “Gandakan nilai BTC dengan empat, dan ia akan mencapai nilai [$200,000] tersebut dalam masa 18 bulan akan datang.” Sebelum ini, ketua SkyBridge itu mendakwa bahawa kadar BTC boleh mencecah $100,000 selepas penghasilannya dikurangkan. Beliau memetik penurunan kadar faedah Rizab Persekutuan AS sebagai faktor lain untuk lonjakan bullish ini.

Berkenaan dengan trend jangka panjang, Scaramucci menjangkakan jumlah modal pasaran bitcoin mampu mencecah separuh daripada jumlah emas iaitu $14.5 trilion. Justeru, mengikut pengiraan beliau, nilai coin boleh mencapai kira-kira $345,000.

● Peter Schiff, Presiden syarikat Euro Pacific Capital yang juga musuh tegar mata wang kripto pertama ini telah memberikan unjuran jangka panjang yang tidak dijangka-jangka. Walaupun biasanya beliau menjangkakan keruntuhan bitcoin sepenuhnya, kini beliau menjangkakan nilai coin tersebut pada tahun 2031 adalah … $10 juta, walaupun dalam senario bersifat hipotesis. Menurut beliau, perkara ini hanya boleh berlaku jika mata wang dolar AS mengikuti jejak langkah “mark sampah Jerman”. Istilah ini secara tidak rasmi merujuk kepada mata wang yang diperkenalkan Jerman pada awal Perang Dunia Pertama pada tahun 1914 sebagai pengganti kepada mata wang sebelum itu yang disandarkan kepada emas. Pada awal tahun 1920-an, nilai wang penanda itu susut akibat hiperinflasi. Pada waktu itu, syarikat-syarikat membayar gaji beberapa kali sehari supaya para pekerja dapat membuat pembelian sebelum harganya naik lagi. Bekalan wang ini bertambah dengan cepat dan negara tersebut gagal untuk mencetak wang kertas secukupnya sehingga terpaksa menyenaraikan syarikat swasta untuk bantuan. Denomasi terbesar yang pernah dikeluarkan adalah wang kertas bernilai 100 trilion.

Secara realiti, Peter Schiff tidak percaya dengan keruntuhan ekonomi serta kejatuhan dolar AS. Maka, unjuran ini hanya boleh dianggap sebagai sindiran dan ejekan terhadap bitcoin. Namun, pakar ekonomi serta penulis buku paling laris “Rich Dad Poor Dad” iaitu Robert Kiyosaki tidak menolak senario meragukan seperti itu daripada berlaku. Beliau terus bertegas bahawa emas, perak, dan bitcoin seharusnya ada dalam portfolio setiap pelabur. Beliau yakin bahawa nilai BTC mampu mencecah $1 juta jika ekonomi global runtuh.

● Pada malam 2 Februari, semasa ulasan ini dibuat, ekonomi global masih belum runtuh, kadar BTC/USD belum lagi mencapai $1 juta atau $10 juta, dan ketika ini didagangkan di sekitar $43,000. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah $1.65 trilion (naik daripada $1.61 trilion minggu lalu). Kadar Indeks Fear & Greed Kripto naik daripada 63 mata (49 mata minggu lalu), beralih daripada zon Neutral ke zon Greed.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami