Februari 8, 2024

Teori Gelombang Elliott telah menjadi perkakas penting dalam analisis teknikal, memberikan kesan besar terhadap dagangan di seluruh pasaran kewangan. Ramai pedagang dan penganalisis menggunakan prinsip yang ada dalam teori ini untuk mengunjurkan pergerakan harga di pasaran dan juga mengenal pasti titik masuk dan keluar dagangan yang optimum. Berdasarkan teori ini, pelbagai jenis strategi dan sistem dagangan yang komprehensif telah pun dibangunkan, berjaya diguna pakai dalam pasaran Forex, saham, dan mata wang kripto. Maka, apa sebenarnya teori Gelomabg Elliot, kenapa ianya wujud, dan bagaimana untuk menggunakannya?  

Siapa Sebenarnya Elliott

Ralph Nelson Elliott dilahirkan di Kansas, USA pada tahun 1871. Walaupun butiran mengenai zaman kanak-kanak serta pendidikan awal beliau tidak banyak diperkatakan, beliau diketahui telah memulakan kerjayanya sebagai seorang akauntan. Pada pertengahan 1890-an, Ralph menceburi bidang perakaunan, bekerja bersama syarikat kereta api di Amerika Tengah dan Mexico.

Pada tahun 1903, Elliot berkahwin dengan Mary Elizabeth Fitzpatrick yang menemani bersama-sama ketika beliau melanjutkan pekerjaannya di Mexico. Pergolakan yang berlaku di negara itu akhirnya telah mendorong pasangan tersebut untuk pulang ke AS. Akhirnya, keluarga Elliot menetap di New York di mana Ralph telah memulakan perniagaan perundingan beliau yang terbukti berjaya.

Pada tahun 1924, Elliot telah dilantik sebagai Ketua Akauntan oleh Jabatan Dalam Negeri A.S. di Nicaragua, sebuah negara yang berada di bawah kawalan Amerika Syarikat. Tidak lama selepas itu, beliau telah menulis dua buah buku berdasarkan pengalaman beliau: “Tea Room and Cafeteria Management” dan juga “The Future of Latin America”.

Teori Gelombang Elliott dan Kesannya Kepada Dagangan Pasaran Kewangan1

Penghasilan Teori Gelombang Elliott

Sepanjang karier beliau, Elliot telah terlibat dalam bidang pengurusan dan juga perakaunan kewangan. Penglibatan beliau dalam bidang ini adalah hasil usaha penyelidikan dan analisis yang sangat teliti dan menyeluruh, membantu beliau dalam melakukan kaji selidik terhadap pasaran saham. Minat beliau dalam pasaran saham mula timbul pada awal 1930-an. Setelah jatuh sakit dan berundur daripada kerjaya profesional beliau, Elliot menghabiskan masa mempelajari mengenai sebut harga saham dan juga indeks pasaran. Beliau telah menjalankan analisis dan menghasilkan satu sistem daripada data pasaran selama 75 tahun yang mengandungi carta berserta julat harganya dalam tempoh antara enam bulan dan setahun.

Elliott mendapati bahawa pergerakan harga pasaran bukanlah sesuatu yang rawak dan mengikuti corak atau “gelombang” tertentu. Pada tahun 1938, beliau telah menerbitkan buku ketiga yang berjudul “The Wave Principle”, ditulis bersama-sama dengan Charles J. Collins, menceritakan tentang pemerhatian serta teori beliau tentang pergerakan yang berlaku di pasaran. Dalam bukunya itu, Elliot menyatakan bahawa sementara nilai pasaran saham mungkin dilihat rawak dan tidak dapat dijangka, ia sebenarnya mengikuti hukum-hukum tertentu dan boleh diukur dan diunjur dengan menggunakan nombor-nombor Fibonacci. Beliau memperkenalkan konsep pergerakan harga di pasaran mengikut kitaran yang berulang-ulang, dan beliau menggelarkannya sebagai “gelombang”. Tidak lama selepas “The Wave Principle” diterbitkan, majalah “Financial World” menugaskan Elliot untuk menulis dua belas siri artikel yang menghuraikan kaedah unjuran pasaran beliau itu.

Perlu diketahui bahawa Teori Gelombang Elliot itu tidak menarik perhatian ramai orang sepanjang hidup beliau. Walau bagaimanapun, sepanjang tahun 1940-an, beliau terus memperhalusi serta mempromosikan teori beliau itu, menulis beberapa buah artikel dan buku bagi memperkembangkan lagi idea beliau. Pada tahun 1946, Elliot mengeluarkan buku terakhir beliau iaitu “Nature’s Law - The Secret of the Universe”, buku yang ditulis bagi mendemonstrasikan Teori Gelombang bukan saja untuk pasaran saham tetapi juga boleh digunakan dalam kehidupan. Ralph Nielson Elliot meninggal dunia pada tahun 1948. Walaupun teori beliau terus hangat dibincangkan dan dipertikaikan, ia kekal menjadi salah satu konsep fundamental dalam analisis teknikal dan terus mempengaruhi dagangan dalam pasaran kewangan sehingga ke hari ini.

Asas Prinsip Teori Gelombang

1. Struktur Gelombang: Elliott mengenal pasti bahawa harga pasaran bergerak dalam struktur lima gelombang yang mengikuti trend utama (gelombang impuls), diikuti dengan struktur tiga gelombang yang berlawanan dengan trend (gelombang pembetulan).

2. Gelombang Impuls dan Pembetulan: Dalam kalangan trend utama, gelombang impul dilabel menggunakan nombor antara 1 dan 5, manakala gelombang pembetulan pula ditandakan dengan huruf A, B, dan C. Gelombang impuls mendorong pasaran ke atas atau ke bawah, manakala gelombang pembetulan pula mewakili pergerakan mengundur yang bersifat sementara.

3. Fraktaliti: Teori Gelombang mencadangkan bahawa sesuatu gelombang itu bersifat fraktal, ia bermaksud setiap gelombang boleh dipecahkan kepada gelombang yang lebih kecil dan mengikuti corak struktur yang sama.

4. Fibonacci: Elliott mendapati bahawa gelombang sering berkait rapat dari segi saiz mengikuti jujukan Fibonacci. Contohnya, penurunan semula akibat pembetulan sering mencecah kadar 61.8% daripada pergerakan sebelumnya.

5. Psikologi Pasaran: Teori Gelombang mencerminkan psikologi umum peserta pasaran. Gelombang impuls menunjukkan sikap optimis dan keinginan untuk melabur, manakala gelombang pembetulan menunjukkan keadaan tidak menentu serta keinginan untuk mendapatkan pulangan.

Kajian dan Perkembangan Lanjut Tentang Teori Elliot

Sains tidak kekal mengikut keadaan yang sama. Selama bertahun-tahun, ramai penganalisis dan pedagang telah menyumbang kepada perkembangan Teori Gelombang Elliot, menyesuaikannya dengan prinsip mengikut keadaan pasaran moden. Mereka telah membangunkan pelbagai variasi serta penambahan kepadanya, termasuklah bermacam-macam indikator dan algoritma bagi memperbaiki ketepatan dalam membuat unjuran. Mari senaraikan beberapa tokoh penting yang telah memberi sumbangan besar kepada proses ini:

– Robert Prechter: Salah seorang penyokong Teori Gelombang paling dikenali, beliau mula menggunakan serta mempopularkannya pada tahun 1970-an. Beliau telah menulis beberapa buah buku mengenainya, termasuklah “Elliott Wave Principle: Key to Market Behaviour” yang diterbitkan pada tahun 1978 setelah berkolaborasi bersama A.J. Frost. Prechter menambah lebih banyak kesedaran mengenai teori ini dalam kalangan pedangang dan juga penganalisis.

– A.J. Frost: Seorang penganalisis warga Kanada yang menulis buku “Elliot Wave Principle” bersama dengan Robert Prechter. Buku ini dianggap sebagai salah satu hasil kerja paling berwibawa untuk Teori Gelombang dan memberi sumbangan besar terhadap kepopularan dan pengiktirafannya.

– Glenn Neely: Membangunkan idea Elliot dan memformulasikan “Prinsip Gelombang Neely”. Prinsip ini menjelaskan lagi serta menyokong teori asal Elliot, terutamanya dari segi struktur gelombang dan juga perkadaran masa.

– Bill Williams: Seorang pedagang dan penulis buku berkenaan psikologi dagangan, analisis teknikal, dan teori huru-hara dalam dagangan pasaran kewangan. Williams menggabungkan konsep Teori Gelombang ke dalam sistem analisis beliau dan membangunkan langkah-langkah yang dapat membantu para pedagang mengenal pasti serta berdagang mengikut corak gelombang Elliot. Enam daripada indikator teknikal yang dihasilkan Williams disertakan sebagai set standard dalam terminal MetaTrader-4.

– Peter Brandt: Seorang pedagang profesional dengan pengalaman yang besar, sering digelar sebagai seorang “Lagenda Wall Street”. Brandt sering menggunakan prinsip teori Elliot dalam strategi dagangan beliau. Dalam bukunya yang berjudul “Diary of a Professional Commodity Trader”, antara perkara yang beliau bincangkan adalah penggunaan Teori Gelombang Elliot dalam dagangan.

– Steve Nison: Lebih dikenali sebagai seorang penganalisis carta lilin Jepun, beliau turut memberi sumbangan besar untuk mempopularkan Teori Gelombang Elliot, menggabungkan analisis lilin bagi menentukan titik masuk dan keluar di pasaran dengan tepat.

***

Teori Gelombang Elliott menawarkan perspektif yang unik bagi pergerakan di pasaran. Namun, ia telah berulang kali mendapat kritikan kerana subjektiviti yang ada serta sukar untuk digunakan. Ia memerlukan masa, usaha keras dan latihan berpanjangan untuk memahirinya. Cabaran utamanya adalah untuk menentukan waktu permulaan atau pengakhiran bagi sesuatu gelombang dengan tepat, serta kebolehubahannya mengikut keadaan pasaran yang mampu mengakibatkan unjuran menjadi kurang tepat. Walaupun dengan semua ini, teori Elliot kekal menjadi alat penting bagi kebanyakan peserta pasaran dan sumber berguna bagi mereka yang mecari cara untuk lebih memahami serta menjangkakan pergerakan di pasaran, mengenal pasti potensi perubahan pergerakan harga, atau kesinambungan trend. Seperti yang disebutkan oleh Robert Prechter: “Teori Gelombang Elliot bukan hanya satu set aturan dan panduan, ia adalah perspektif baru terhadap pergerakan pasaran."


« ARTIKEL BERGUNA
Ikuti Kami