Jun 8, 2024

EUR/USD: Siapa yang Mengawal Pasaran Kewangan

● Jelaslah bahawa kadar faedah bukan saja menguasai pasaran dari segi perubahan sebenar, malah juga mengawal jangkaan tentang tempoh dan skala kesan daripada perubahan pada masa hadapan. Sejak musim bunga 2022 sehingga pertengahan tahun 2023, tumpuan diberikan kepada kenaikan kadar faedah; kini, jangkaan telah mula berubah kepada penurunannya. Pedagang masih berasa ragu-ragu dengan keputusan yang diambil pihak Rizab Persekutuan serta masa pelaksanaannya, mengakibatkan mereka meneliti statistik makroekonomi bagi melihat kesan daripada pelonggaran polisi kewangan yang dijangka akan dilaksanakan penggubal dasar itu.

● Pada awal minggu lalu, dolar berdepan tekanan disebabkan oleh data aktiviti perniagaan (PMI) dalam sektor pembuatan di AS yang lemah. Pada hari Isnin, 3 Jun, Institut Pengurusan Bekalan (Institute for Supply Management atau ISM) melaporkan bahawa aktiviti pembuatan di negara tersebut susut daripada 49.2 mata kepada 48.7 mata (diunjur 49.6) untuk bulan Mei. Disebabkan kadar itu masih berada dalam kawasan penguncupan (bawah 50 mata), telah timbulnya spekulasi baru dalam kalangan pedagang dan pelabur tentang kemungkinan pemotongan kadar faedah oleh pihak Rizab Persekutuan pada bulan September.

Mata wang AS menerima sedikit sokongan daripada data aktiviti perniagaan dalam sektor perkhidmatan. Kali ini, kadar PMI berada pada bacaan 53.8 mata, lebih tinggi berbanding nilai sebelum ini iaitu 49.4 dan 50.8 yang diunjur, sedikit menggembirakan bull dolar.

● Hari Khamis, 6 Jun adalah hari yang agak tenang. Jawatankuasa Badan Pentadbir Bank Negara Kesatuan Eropah telah menurunkan kadar faedah mereka sebanyak 25 mata asas (bp) menjadi 4.25% seperti yang dijangka. Pemotongan ini adalah seiring dengan kadar unjuran dan sudah pun diambil kira dalam sebut harga EUR/USD. Apa yang menariknya, pihak ECB tidak pernah menurunkan kadar mereka sejak tahun 2019, mula menaikkannya pada Julai 2022, dan mengekalkan pada kadar yang sama dalam lima mesyuarat sebelum ini. Sejak September 2023, inflasi di Eurozone telah menunjukkan penurunan lebih daripada 2.5%, membolehkan penggubal dasar itu mengambil langkah ini buat pertama kalinya untuk satu jangka masa yang panjang.

Kenyataan yang dibuat ECB setelah selesai bermesyuarat menyebut bahawa walaupun kadar diturunkan, polisi kewangan mereka masih lagi ketat. Penggubal dasar itu menjangkakan inflasi akan terus berada pada kadar lebih tinggi daripada 2.0% yang disasarkan untuk tahun ini dan tahun hadapan. Maka, kadar faedah akan terus berada dalam keadaan yang ketat selama mana yang diperlukan sehingga berjaya mencapai kadar sasaran. ECB telah menyemak semula unjuran inflasi mereka, kali ini menjangkakan kadar purata CPI sebanyak 2.5% untuk tahun 2024, 2.2% pada tahun 2025, dan 1.9% untuk tahun 2026.

● Seperti yang telah dinyatakan, keputusan terbaru ECB ini memang telah dijangkakan oleh pasaran, seperti yang diunjur oleh kesemua 82 orang pakar ekonomi yang menjalani kaji selidik Reuters pada hujung Mei lalu. Aspek yang lebih menarik adalah apakah yang bakal berlaku selepas ini. Lebih daripada dua pertiga responden Reuters (55 daripada 82) orang percaya bahawa Jawatankuasa Pentadbir ECB akan memotong kadarnya dua kali lagi pada tahun ini - pada September dan Disember nanti. Jumlah ini telah bertambah jika dibandingkan dengan kaji selidik yang dijalankan pada bulan April, apabila hanya separuh daripada pakar ekonomi menjangkakan perkara itu.

● Kejayaan bull dolar untuk minggu ini telah berlaku pada hari Jumaat, 7 Jun setelah laporan oleh Jabatan Buruh AS diketahui. Jumlah pekerjaan baru bukan dalam sektor perladangan (NFP) adalah sebanyak 272K pada bulan Mei, bukan 185K yang dijangkakan. Jumlah ini lebih tinggi dengan ketara jika dibandingkan dengan nilai 165K untuk bulan April yang disemak semula. Data itu juga menunjukkan kenaikan jumlah purata pendapatan mengikut jam, salah satu indikator inflasi, yang sangat tinggi berbanding jangkaan, bertambah sebanyak 0.4%, lebih tinggi daripada nilai sebelum ini iaitu 0.2% serta satu setengah kali ganda daripada nilai yang diunjur iaitu 0.3%. Aspek negatif yang kecil hadir daripada kadar pengangguran, tanpa disangka naik daripada 3.9% kepada 4.0%. Namun, secara keseluruhannya, data ini memberi manfaat kepada dolar, serta gandingan EUR/USD yang mengakhiri tempoh lima hari dengan berada di sempadan bawah pada paras 1.0800 setelah turun daripada sempadan atas saluran mendatar 1.0900 selama 3.5 minggu.

● Untuk minggu hadapan, sehingga petang 7 Jun, unjuran para penganalisis dilihat agak samar-samar: 40% penganalisis menjangkakan pertumbuhan gandingan ini, nilai peratusan yang sama (40%) bersetuju dengan penurunannya, manakala baki 20% lagi kekal neutral. Analisis teknikal juga tidak memberikan panduan jelas. Dalam kalangan indikator pada D1, 25% berwarna hijau dan 75% lagi berwarna merah. Dalam kalangan pengayun, 25% berwarna hijau, 15% berwarna kelabu neutral, dan 60% lagi berwarna merah, walaupun satu pertiga daripada jumlah ini memberikan isyarat lebihan jualan gandingan ini. Sokongan paling hampir berada pada paras 1.0785, kemudian 1.0725-1.0740, 1.0665-1.0680, dan 1.0600-1.0620. Zon rintangan berada pada paras 1.0865-1.0895, kemudian 1.0925-1.0940, 1.0980-1.1010, 1.1050, and 1.1100-1.1140.

● Minggu depan turut menjanjikan keadaan yang agak menarik. Hari Rabu, 12 Jun akan menjadi hari paling penting. Pada hari itu, data inflasi pengguna (CPI) di Jerman dan Amerika Syarikat akan dikeluarkan, diikuti dengan mesyuarat FOMC (Federal Open Market Committee) Rizab Persekutuan AS. Penggubal dasar itu dijangka akan mengekalkan kadar faedah utama mereka iaitu 5.50%. Maka, peserta pasaran akan lebih memberikan tumpuan kepada Rumusan Unjuran Ekonomi FOMC dan sidang akhbar oleh barisan kepimpinan Rizab Persekutuan selepas itu. Keesokan harinya, 13 Jun, data Indeks Harga Pengeluar (PPI) di AS serta jumlah awal bagi tuntutan manfaat pengangguran akan diketahui. Pada hari terakhir minggu, Jumaat, 14 Jun, Laporan Polisi Kewangan Rizab Persekutuan sudah tersedia untuk disemak.

 

USD/JPY: Menteri Kewangan Memberi Respon Kepada Persoalan

● Minggu lalu, kami menyatakan bahawa pihak berkuasa kewangan Jepun masih belum mengesahkan jika mereka melaksanakan pembelian yen secara intensif pada 29 April dan 1 Mei bagi menyokong kadar tukarannya. Bloomberg menganggarkan kira-kira ¥9.4 trilion ($60 bilion) mungkin telah dibelanjakan dalam campur tangan mata wang tersebut, merekodkan jumlah bulanan paling banyak yang baru bagi operasi kewangan seperti itu. Kami mempersoalkan keberkesanan perbelanjaan ini untuk jangka masa panjang atau sederhana.

● Menteri Kewangan Jepun iaitu Shunichi Suzuki dilihat seperti membaca ulasan kami kerana beliau memberikan jawapan kepada persoalan itu dengan segera. Dalam kenyataan yang disediakan, pertama sekali beliau mengesahkan bahawa (petikan): “rizab asing Jepun yang susut pada hujung bulan Mei sebahagiannya digunakan untuk campur tangan mata wang”. Perkara ini mencadangkan bahawa pembelian yen telah dilakukan. Disamping itu, menteri tersebut maklum, “keberkesanan campur tangan seperti itu seharusnya telah diambil kira”, menunjukkan keraguan beliau terhadap kebolehlaksanaan langkah tersebut.

Suzuki menahan diri daripada memberikan komen berkenaan saiz dana campur tangan namun menyatakan bahawa walaupun tiada had yang dikenakan kepada modal untuk campur tangan mata wang, penggunaannya adalah terhad.

● Seperti yang disebutkan sebelum ini, selain daripada campur tangan (serta kebimbangan terhadapnya), satu lagi kaedah bagi menyokong mata wang negara itu adalah menerusi pengetatan polisi kewangan oleh Bank of Japan (BoJ). Awal minggu lalu, yen menerima sokongan daripada khabar angin yang menyatakan BoJ sedang mempertimbangkan untuk mengurangkan jumlah program pelonggaran kuantitatif (QE) mereka. Keputusan seperti itu boleh meningkatkan permintaan bagi bon kerajaan Jepun (JGB), menambah hasil perolehannya (berkorelasi songsang dengan nilai), serta memberi kesan positif kepada kadar tukaran yen. Bank of Japan dijangka akan membincangkan pengurangan pembelian bon ini semasa bermesyuarat pada hari Jumaat, 14 Jun.

● Pada hari Selasa, 4 Jun, Timbalan Gabenor BoJ iaitu Ryozo Himino mengesahkan tentang kebimbangan nilai yen yang lemah boleh memberi kesan negatif terhadap ekonomi dan mengakibatkan peningkatan kadar inflasi. Menurut beliau, kadar tukaran mata wang negara yang rendah akan meningkatkan kos import barangan serta mengurangkan perbelanjaan kerana semua orang akan melengahkan pembelian akibat harga yang mahal. Walau bagaimanapun, Ryozo Himino menyatakan bahawa Bank of Japan lebih mahukan kadar inflasi didorong oleh pertumbuhan gaji kerana ia boleh meningkatkan perbelanjaan serta penggunaan isi rumah.

Yen berdepan satu lagi tekanan daripada dolar setelah data pasaran buruh di AS dikeluarkan pada 7 Jun. Kadar USD/JPY melonjak naik setelah pertumbuhan gaji di AS bertentangan dengan penyusutan kadar gaji di Jepun 25 kali berturut-turut untuk bulan April.

● Seperti kata pepatah, biar digenggam bara api. Para pelabur terus meletakkan harapan agar penggubal dasar itu akan terus memerangi nilai yen yang semakin susut dengan aktif, mewujudkan faktor jangka panjang supayan kadar USD/JPY susut. Buat masa ini, kadarnya ditutup pada paras 156.74 untuk minggu lalu.

● Unjuran median para penganalisis untuk jangka masa terdekat ini adalah seperti berikut: 75% bersetuju dengan penurunan gandingan ini serta nilai yen yang lebih kukuh dalam menantikan mesyuarat BoJ, manakala 25% lagi berpendirian neutral. Tiada siapa yang menjangkakan pertumbuhan gandingan ini. Namun begitu, analisis teknikal memberikan gambaran berbeza: 100% indikator trend pada D1 berwarna hijau. Dalam kalangan pengayun, 35% berwarna hijau, 55% berwarna kelabu neutral, dan hanya 10% berwarna merah. Sokongan paling hampir berada di sekitar paras 156.00-156.25, diikuti dengan zon dan paras 155.45, 154.50-154.70, 153.10-153.60, 151.85-152.35, 150.80-151.00, 149.70-150.00, 148.40, serta 147.30-147.60, dengan 146.50 sebagai paras paling rendah. Rintangan paling hampir berada di zon 157.05-157.15, kemudian 157.70-158.00, 158.60, dan 160.00-160.20.

● Antara perkara penting untuk minggu depan termasuklah data KDNK Jepun untuk Q1 2024 yang akan dikeluarkan pada hari Isnin, 10 Jun, dan sudah tentu, hari Jumaat, 14 Jun, apabila Majlis Pentadbir Bank of Japan akan membuat keputusan tentang masa depan polisi kewangan mereka. Namun, seperti Rizab Persekutuan, kadar faedah yen dijangka kekal tidak berubah.

 

MATA WANG KRIPTO: Apakah Pendorong yang Akan Menolak Nilai Bitcoin Ke Atas

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 10 - 14 Jun, 20241

● Pelancaran ETF spot bitcoin pada bulan Januari lalu telah menyebabkan pertumbuhan nilai mendadak mata wang utama tersebut. Pada 12 Mac, aliran masuk modal ke dalam dana-dana seperti ini mencecah $1 bilion, dan menjelang 13 Mac, kadar BTC/USD merekodkan paras tertinggi dalam sejarah yang baru, mencapai paras $73,743. Kemudian keadaan menjadi tenang, diikuti dengan pembetulan selepas proses pengurangan penghasilan, dan akhirnya, pertumbuhan bersambung semula pada bulan Mei. Awal minggu lalu, modal bersih yang mengalir masuk ke dalam ETF-BTC adalah berjumlah $887 juta, jumlah kedua terbesar dalam sejarah dana-dana ini. Hasilnya, kadar BTC/USD berjaya menembusi paras $70,000 dan merekodkan paras tertinggi mingguan dengan nilai $71,922.

● Golongan jerung (memiliki lebih 1,000 BTC) yang baru menunjukkan pengumpulan paling ketara, menambah $1 bilion ke dalam walet mereka sehari. Ketua CryptoQuant iaitu Ki Young Ju sedar bahawa tindakan mereka baru-baru ini sama seperti pada tahun 2020. Pada waktu itu, proses penyatuan yang berlaku di sekitar paras $10,000 berterusan selama enam bulan, dan kemudian nilainya naik sebanyak 2.5 kali ganda dalam tempoh tiga bulan. Antara mereka yang baru menyertai golongan jerung ini termasuklah pelabur berinstitusi utama di AS yang bertanggungjawab untuk satu pertiga daripada keseluruhan modal yang mengalir masuk ke dalam ETF-BTC pada Q1 (kira-kira $4 bilion) daripada syarikat dengan aset berjumlah lebih $100 juga di bawah pengurusannya.

● Selain daripada ETF-BTC, pertumbuhan yang berlaku baru-baru ini telah dipengaruhi dengan pelaksanaan pengurangan penghasilan pada bulan April. Indikator Hash Ribbons memberikan “isyarat optimum” untuk belian emas digital tersebut pada minggu mendatang, menunjukkan penyambungan semula lonjakan nilai aset berkenaan, menurut pengasas Capriole Investments iaitu Charles Edwards. Metrik tersebut menunjukkan kapitulasi para penghasil yang bermula pada dua minggu lalu. Keadaan itu berlaku apabila purata pergerakan 30 hari untuk kadar hash berada lebih rendah berbanding purata pergerakan selama 60 hari.

Menurut Edwards, kapitulasi penghasil berlaku kira-kira sekali setahun, kebiasaannya disebabkan oleh pemberhentian operasi, bankrap, pengambilalihan, atau dalam hal ini, proses pengurangan penghasilan. Pengurangan blok ganjaran menjadikan kos pengeluran tidak lagi menguntungkan, mengakibatkan penutupannya serta penurunan kadar hash. Kali terakhir kapitulasi penghasil berlaku adalah pada September 2023 apabila bitcoin didagangkan di sekitra paras $25,000.

Jika terdapat impuls pertumbuhan yang baru, Edwards menjangkakan sasaran jangka sederhana seterusnya adalah $100,000. Walau bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa kebiasaannya keadaan di pasaran kewangan menjadi lebih tenang pada musim panas, maka impuls pertumbuhan mungkin akan tergendala seketika.

● Lagenda Wall Street dan ketua Factor LLC iaitu Peter Brandt menekankan tentang bentuk “simetri luar biasa” dalam kitaran pasaran dengan minggu pengurangan penghasilan berada di antara paras tertinggi dan terendah. Jika model Brandt itu tepat, BTC seharusnya mampu mencapai nilai tertinggi di antara $130,000-160,000 menjelang bulan September tahun hadapan.

Pelabur modal teroka Chamath Palihapitiya memberikan unjuran yang lebih optimis. Dengan menganalisis dinamik selepas pengurangan penghasilan bitcoin, beliau sedar mata wang kripto berjaya mencapai pertumbuhan terhebatnya setelah 12-18 bulan pelaksanaannya. Palihapitiya menjangkakan bahawa jika trajektori pertumbuhan berulang selepas pengurangan penghasilan kali ketiga, nilai bitcoin boleh mencecah $500,000 menjelang bulan Oktober 2025. Menggunakan kadar purata pada dua kitaran sebelum ini, sasarannya adalah $1.14 juta.

● Untuk minggu hadapan, penganalisis di Rekt Capital percaya emas digital itu perlu melepasi zon rintangan antara $72,000-73,000 dengan yakin untuk memasuki “fasa pertumbuhan parabolik". Penganalisis mata wang kripto popular iaitu Ali Martinez menjangkakan BTC berkemungkinan akan menguji julat nilai pada paras $79,600. Sistem AI PricePredictions menjangkakan bahawa bitcoin bukan saja boleh berada dengan teguh di atas kedudukan kritikal $70,000 malah juga meneruskan pertumbuhannya, mencecah paras $75,245 menjelang akhir bulan Jun. Unjuran ini dibuat berdasarkan kepada indikator analisis teknikal seperti Relative Strength Index (RSI), Bollinger Bands (BB), dan Moving Average Convergence Divergence (MACD).

● Dua pendorong yang boleh mencetuskan pertumbuhan seterusnya dalam pasaran kripto: pelancaran dana dagangan bursa spot yang berasaskan Ethereum setelah permohonan S-1 diluluskan SEC, serta pilihan raya presiden AS. Menurut penganalisis bursa di Bloomberg iaitu James Seyffart, pihak SEC mungkin akan meluluskan permohonan itu pada pertengahan bulan Jun, walaupun ia boleh mengambil masa “berminggu atau berbulan”. Penganalisis di JPMorgan percaya keputusan SEC terhadap ETF-ETH adalah satu tindakan politik menjelang pilihan raya presiden AS. Pilihan ray aitu sendiri menjadi pendorong kedua kepada lonjakan bull.

● Satu kaji selidik Harris Poll yang ditaja oleh pengeluar ETF-BTC iaitu Grayscale menunjukkan bahawa ketegangan geopolitik serta inflasi telah menggesa para pengundi Amerika untuk mempertimbangkan bitcoin. Kaji selidik yang turut menyertakan lebih daripada 1,700 orang pengundi yang berpotensi di AS menunjukkan bahawa 77% percaya calon presiden seharusnya memahami serba sedikit tentang mata wang kripto. Selain itu, 47% telah merancang untuk menyertakan mata wang kripto dalam portfolio pelaburan mereka, bertambah daripada 40% tahun lalu. Lebih penting, 9% pengundi tua dilaporkan semakin berminat dengan bitcoin serta lain-lain aset kripto disebabkan oleh kelulusan ETF-BTC. Menurut NYDIG, komuniti mata wang kripto di AS buat masa ini secara keseluruhannya adalah melebihi 46 juta orang, atau 22% daripada populasi dewasa.

Menilai situasi ini, Wences Casares, seorang ahli perniaggan dan CEO syarikat modal teroka Argentina Xapo percaya AS boleh menjadi antara negara pertama yang menerima sistem dua mata wang. Dalam perkara ini, dolar boleh digunakan untuk transaksi harian bagi barangan dan perkhidmatan, manakala mata wang kripto pula sebagai alat penyimpanan nilai.

● Semasa ulasan ini dibuat, pada malam Jumaat, 7 Jun, BTC/USD didagangkan pada nilai $69,220. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah $2.45 trilion ($2.53 trilion minggu lalu). Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto naik daripada 73 mata kepada 77 mata dalam masa seminggu, beralih daripada zon Greed kepada zon Extreme Greed.

● Sebelum mengakhiri ulasan, unjuran bagi calon ETF spot yang berpotensi dilancarkan seterusnya di AS selepas bitcoin dan Ethereum. CEO Galaxy Digital iaitu Mike Novogratz percaya Solana yang menunjukkan hasil memberangsangkan sepanjang tahun lalu adalah calon yang sesuai. Pada hujung tahun 2023, nilai SOL adalah kira-kira $21 namun naik lebih tinggi daripada $200 menjelang Mac 2024, menunjukkan pertumbuhan hampir sepuluh kali ganda. Buat masa ini, nilai SOL adalah kira-kira $172 dan berada pada kedudukan kelima dalam jumlah modal pasaran. Melihat kepada kedudukan Solana sekarang, Novagratz yakin altcoin ini memiliki peluang baik untuk dimasukkan ke dalam kelompok ETF spot. Baru-baru ini, CEO syarikat pelaburan BKCM iaitu Brian Kelly memberikan pendapat yang hampir sama.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini bukanlah cadangan atau panduan pelaburan bagi menyertai pasaran kewangan dan hanya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kerugian wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami