Jun 22, 2024

EUR/USD: Eurozone - Peningkatan Kadar Inflasi, Penguncupan Ekonomi

● Seperti yang ditunjukkan oleh data yang disemak semula Eurostat dan dikeluarkan pada hari Isnin, 17 Jun, kadar inflasi (CPI) di 20 negara di Eurozone meningkat kepada 2.6% (tahun/tahun) pada bulan Mei, berbanding 2.4% pada bulan April, kadar paling rendah sejak November 2023. Kadar indeks harga pengguna dalam sektor perkhidmatan naik daripada 3.7% kepada 4.1% secara tahunan. Inflasi teras yang mengecualikan kos makanan serta bahan api (CPI Teras) meningkat kepada 2.9% untuk bulan Mei berbanding 2.7% pada bulan April - kadar paling rendah sejak bulan Februari 2022.

Pertumbuhan harga pengguna seperti itu memberikan sedikit harapan kepada bull euro bahawa pihak Bank Negara Kesatuan Eropah (ECB) boleh memperlahankan penurunan kadar faedah. Melihat kepada jangkaan ini, kedudukan EUR/USD naik ke atas, mencapai paras tertinggi mingguan 1.0760. Walau bagaimanapun, statistik aktiviti perniagaan (PMI) di Eurozone yang dikeluarkan pada 21 Jun menunjukkan bahawa untuk menyokong ekonominya, kadar faedah perlu diturunkan lebih rendah, bukan kekal pada paras 4.25% yang ada sekarang.

● Di Jerman, penggerak utama ekonomi di Eropah, kadar indeks PMI dalam sektor pembuatan berada pada kedudukan 43.4 mata untuk bulan Jun, kadar yang lebih membimbangkan berbanding 45.4 pada bulan Mei dan sangat ketara lebih rendah berbanding yang diunjur pasaran iaitu 46.4. Indeks PMI dalam sektor perkhidmatan susut daripada 54.2 kepada 53.5, gagal mencapai jangkaan pasaran iaitu 54.4. Kadar awal bagi indeks PMI Komposit di Jerman juga susut untuk bulan Jun kepada 50.6 mata, bukan 52.7 seperti yang diunjur dan 52.4 pada bulan Mei. Perlu diketahui bahawa ketiga-tiga indikator berada pada kedudukan yang lemah sejak dua bulan lalu.

Statistik di Eurozone secara umumnya tidak begitu memberangsangkan. Mengikut data awal, kadar indeks PMI dalam sektor pembuatan turun daripada 47.3 pada bulan Mei kepada 45.6 pada bulan Jun, bukan seperti yang diunjur iaitu 47.9. Kadar indeks PMI dalam sektor perkhidmatan susut daripada 53.2 kepada 52.6 (diunjur 53.5). Kadar PMI Komposit turun daripada 52.2 kepada 50.8 (diunjur 52.5) dan hampir mencecah paras kritikal 50.0 mata yang membezakan perkembangan daripada penguncupan.

● Setelah data-data ini disiarkan, peserta pasaran menunggu statistik sama dari AS yang dikeluarkan pada hujung minggu bekerja. Indeks PMI Komposit menunjukkan tidak seperti di Eurozone, aktiviti perniagaan dalam sektor swasta di AS terus berkembang dengan yakin. Mengikut anggara awal, indikator ini naik daripada 54.5 pada bulan Mei kepada 54.6 pada bulan Jun. Indeks PMI dalam sektor pembuatan berkembang daripada 51.3 kepada 51.7 untuk tempoh yang sama, manakala indeks aktiviti perniagaan dalam sektor perkhidmatan naik daripada 54.8 kepada 55.1. Kesemua indikator ini berada pada kadar lebih tinggi berbanding jangkaan penganalisis (masing-masing pada kadar 51.0 dan 53.4).

● Selain daripada data PMI, laporan polisi kewangan Rizab Persekutuan yang dikeluarkan sebelum hari Jumaat berakhir juga menarik perhatian. Berikutan penyiaran laporan itu, kadar EUR/USD ditutup pada paras 1.0691 untuk minggu lalu. Berkenaan unjuran penganalisis untuk minggu hadapan, sehingga malam 21 Jun, keadaan tidak berubah seperti tujuh hari lalu. Maka, 60% penganalisis bersetuju dengan penurunan kadar gandingan ini, 20% memilih pertumbuhan dan 20% lagi kekal neutral, Bagi analisis teknikal, 100% indikator trend dan juga pengayun pada D1 memihak kepada dolar dan berwarna merah, walaupun satu perempat daripada pengayun berada di zon lebihan jualan. Paras sokongan paling hampir bagi gandingan ini berada di zon 1.0665-1.0670, diikuti dengan 1.0600-1.0615, 1.0565, 1.0495-1.0515, 1.0450, dan 1.0370. Zon rintangan berada pada paras 1.0760, kemudian 1.0810, 1.0890-1.0915, 1.0945, 1.0980-1.1010, 1.1050, dan 1.1100-1.1140.

● Minggu hadapan, terdapat beberapa maklumat menarik yang penting dan menarik dijangka diketahui di AS. Pada hari Selasa, 25 Jun, kadar Indeks Keyakinan Pengguna AS akan dikeluarkan. Hari Khamis, 27 Jun, data KDNK di AS bagi Q1 2024 serta jumlah tuntutan awal bagi manfaat pengangguran di negara itu akan diketahui. Akhir sekali, pada penghujung minggu bekerja, pada hari Jumaat, 28 Jun, data dari pasaran pengguna AS, termasuklah indikator inflasi penting seperti Indeks Teras Penggunaan Perbelanjaan Peribadi akan dikeluarkan.

 

GBP/USD: Bagaimana Kadar Faedah Akan Turun

● Pada hari Rabu, 19 Jun, sehari sebelum Bank of England (BoE) bermesyuarat, data inflasi pengguna (CPI) telah dikeluarkan di UK. Secara keseluruhan, gambarannya dilihat agak baik. Indeks harga pengguna kekal pada kadar sebelum ini iaitu 0.3% untuk bulan ke bulan, lebih rendah berbanding 0.4% yang diunjurkan. Untuk tahun ke tahun, kadar CPI turun daripada 2.3% kepada 2.0%, mencecah kadar yang disasarkan bank negara itu buat kali pertama sejak Oktober 2021. Indeks teras (Core CPI) yang mengecualikan komponen meruap seperti harga makanan dan bahan api juga menunjukkan penurunan ketara daripada 3.9% kepada 3.5% (tahun/tahun).

Kadar inflasi dalam sektor perkhidmatan yang masih lagi tinggi agak mengecewakan. Indikator ini menunjukkan kadar yang lebih tinggi daripada nilai yang diunjur bank negara itu dalam laporan mereka untuk bulan Mei iaitu 5.7% (tahun/tahun) dan bukannya 5.3% seperti yang diunjur. “Indikator seperti pertumbuhan kadar sewa terus menunjukkan nilai yang agak tinggi. […] Data-data ini mengesahkan bahawa Bank of England tidak akan menurunkan kadar faedah mereka semasa bermesyuarat esok,” pakar strategi ING Bank memberikan komen dalam statistik yang dikeluarkan pada 19 Jun, dan jangkaan mereka adalah tepat.

Semasa bermesyuarat pada hari Khamis, 20 Jun, Bank of England membiarkan kadar faedah utama mereka tidak berubah pada nilai 5.25% untuk tujuh kali berturut-turut. Tujuh orang ahli Jawatankausa Polisi Kewangan mengundi keputusan itu, dua orang memilih untuk menurunkannya, dan tiada undian yang ingin menaikkan kadar. Menurut sebilangan penggubal polisi, keputusan yang diambil penggubal dasar berkenaan adalah “benar-benar seimbang."

● Data inflasi terkini dalam sektor perkhidmatan mungkin tidak akan menghalang pihak BoE daripada memulakan kitaran pelonggaran polisi kewangan (QE) untuk enam bulan terakhir tahun ini. Terutama sekali, jika mengikut ahli Jawatankuasanya, kadar CPI lebih tinggi daripada jangkaan telah disebabkan oleh faktor bayaran gaji sekali.

Jika pilihan raya parlimen di UK pada 4 Julai serta laporan inflasi pada 17 Julai tidak memberi sebarang kejutan luar biasa, Bank of England dijangka akan mula menurunkan kadar faedah seawal bulan Ogos. Seperti yang dinyatakan oleh pakar strategi ING, “pasaran telah mengambil kira kebarangkalian sebanyak 43% pemotongan kadar pertama pada bulan Ogos dan menjangkakan penurunan sebanyak 46 mata asas (bp) menjelang hujung tahun nanti”. Penganalisis TDS pula memberikan unjuran seperti berikut: “Kami jangkakan penurunan kadar sebanyak 15 bp pada mesyuarat bulan Ogos dan sekitar 50 bp secara keseluruhan untuk tahun 2024”. Beberapa peserta pasaran lain turut menjangkakan penurunan kira-kira 30 bp menjelang bulan November.

● Pada hari mesyuarat BoE diadakan, Jumaat, 21 Jun, Jabatan Statistik Kebangsaan (ONS) telah mengeluarkan data jualan runcit yang baru di UK, kadarnya adalah lebih tinggi sedikit berbanding jangkaan. Untuk bulan Mei, kadarnya naik sebanyak 2.9% (bulan/bulan) setelah turun sebanyak -1.8% pada bulan April, manakala pasaran mengunjurkan pertumbuhan sebanyak 1.5%. Indeks teras jualan runcit yang mengecualikan harga minyak automotif juga naik sebanyak 2.9% (bulan/bulan) berbanding penurunan sebelum ini iaitu -1.4% dan 1.3% yang diunjur pasaran. Untuk tahun ke tahun, jualan runcit naik sebanyak 1.3% berbanding penurunan -2.3% pada bulan April, manakala kadar indeks teras jualan runcit naik sebanyak 1.2% (tahun/tahun) berbanding -2.5% pada bulan lalu.

Data awal aktiviti perniagaan (PMI) agak bercampur-campur. Namun, secara keseluruhan, ia menunjukkan ekonomi UK sedang berkembang. Kadar PMI dalam sektor pembuatan naik daripada 51.2 kepada 51.4 mata (diunjur 51.3). Kadar aktiviti perniagaan dalam sektor perkhidmatan adalah 51.2, lebih rendah berbanding nilai sebelum ini iaitu 52.9 dan 53.0 yang diunjur. Indeks PMI Komposit menunjukkan sedikit penurunan kepada 51.7 berbanding 53.1 yang diunjur dan nilai sebelum ini iaitu 53.0. Walaupun dua indikator menunjukkan kadar lebih rendah berbanding nilai sebelum ini, ia masih lebih tinggi daripada 50.0 mata yang membezakan pertumbuhan dan penguncupan ekonomi.

● Melihat kepada semua itu, percubaan pound untuk pulih telah gagal, dan kadar GBP/USD ditutup pada paras 1.2643 untuk minggu lalu, menjadikan paras sokongan kukuh di zon 1.2675 sebagai paras rintangan.

Unjuran penganalisis untuk minggu hadapan dilihat neutral: 50% penganalisis menjangkakan nilai dolar menjadi lebih kukuh, manakala peratusan sama (50%) memihak kepada mata wang British.

Bagi analisis teknikal pada D1, kelebihan memihak kepada dolar. Dalam kalangan indikator trend, nisbah keseimbangan antara warna merah dan hijau adalah 75% dan 25% yang memihak kepada warna merah. Dalam kalangan pengayun, 85% menunjukkan penurunan (satu perempat sudah memberi isyarat lebih jualan gandingan ini) dan hanya 15% menunjukkan pertumbuhan. Jika gandingan ini terus turun, ia akan menerima sokongan pada paras dan zon 1.2575-1.2610, 1.2540, 1.2445-1.2465, 1.2405, dan 1.2300-1.2330. Jika gandingan ini mengalami pertumbuhan, ia akan berdepan rintangan pada paras 1.2675, 1.2740-1.2760, 1.2800-1.2820, 1.2850-1.2860, 1.2895-1.2900, 1.2965-1.2995, 1.3040, dan 1.3130-1.3140.

● Untuk perkara yang bakal berlaku minggu hadapan, tidak banyak yang dijangkakan. Antara yang paling utama adalah penyiaran data KDNK di UK pada hari Jumaat, 28 Jun.

 

USD/JPY: Hampir Tiada Peluang BoJ Menaikkan Kadar Faedah

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 24 - 28 Jun, 20241

● Pada mesyuarat 13-14 Jun lalu, Bank of Japan (BoJ) mengekalkan kadar faedah mereka pada 0.1%. Jika diingat pada Mac tahun ini, bank negara itu mengambil tindakan “berani” dengan menaikkan kadar faedah buat pertama kali sejak tahun 2007 (kadarnya adalah negatif -0.1% sejak tahun 2016). Walau bagaimanapun, setelah kadarnya dinaikkan sekali dalam tempoh 17 tahun, BoJ dilihat mungkin tidak akan meneruskan kenaikan itu dalam masa terdekat, tidak kiralah setinggi mana sesetengah penganalisis dan pelabur mahukannya.

Keinginan dan jangkaan seperti itu menjadi popular disebabkan kadar faedah mata wang Jepun yang sangat-sangat rendah. Pada awal tahun 2011, gandingan USD/JPY didagangkan di sekitar paras 76.00, dan sejak itu, nilai yen menjadi dua kali ganda lebih lemah - pada 29 April, 2024, kadarnya mencecah paras 160.22, paling tinggi sejak tahun 1986. Ini memberi kesan negatif kepada sektor perniagaan negara. Faedah yang diterima sektor eksport daripada nilai yen yang rendah tidak dapat menampung kesan negatif terhadap sektor import kerana keseimbangan dagangannya adalah negatif; negara itu lebih banyak mengimport daripada mengeksport. Import yang lebih mahal, terutama sekali bahan mentah dan bahan api mengurangkan margin keuntungan penghasilan. Kadar pertumbuhan KDNK juga menurun - untuk Q1 2024, indikator ini menunjukkan penguncupan ekonomi kepada -1.8% (tahun/tahun) berbanding +0.4% pada suku sebelumnya. Disamping itu, hutang negara yang berkait dengan KDNK sudah menghampiri 265%.

● Dalam situasi seperti ini, ekonominya memerlukan sokongan, bukan mengekang dengan menaikkan kadar faedah utama. Lebih-lebih lagi, jika dibandingkan dengan negara-negara G10 lain, inflasi di Jepun berada pada kadar yang rendah dan terus menyusut beberapa bulan kebelakangan ini. Mengikut data baru, indeks CPI negara yang mengecualikan harga makanan dan bahan api, susut daripada 2.4% kepada 2.1%. Selain itu, untuk bulan Jun, kadar tersebut boleh turun lebih rendah berbanding paras 2.0% yang disasarkan BoJ. Maka, membendung inflasi dengan menaikkan kadar faedah dilihat tidak perlu dan mungkin lebih memudaratkan. Namun bagaimana kedudukan yen boleh diperkukuhkan lagi?

Satu kaedah lain selain daripada pengetatan polisi kewangan (QT) adalah campur tangan mata wang. Diplomat mata wang utama Jepun iaitu Masato Kanda menyatakan pada 20 Jun bahawa pihak kerajaan “akan berhati-hati dalam memberikan respon terhadap pergerakan mata wang yang berlebihan” dan beliau “tidak pernah berasa bahawa potensi untuk campur tangan mata wang adalah terhad” dan campur tangan yang dilaksanakan pada bulan Mei “adalah berkesan dalam membendung pergerakan berlebihan mata wang akibat golongan spekulator."

Kata-kata beliau disusun dengan baik. Namun, melihat pada carta, seseorang boleh mempertikaikan keberkesanan campur tangan yang dinyatakan oleh pegawai itu. Sudah tentu, kadar USD/JPY turun sedikit daripada paras 160.00 buat seketika. Tempoh ini agak pendek, dan sekarang kadarnya sekali lagi dilihat menghampiri paras tertingginya. Terdapat juga mereka yang mengingati tindakan sama pada tahun lalu, menghalang nilai mata wang negara menjadi lebih lemah baut sementara.

● Kali ini, para pegawai kerajaan dilihat telah menggunakan kaedah lain untuk meningkatkan tahap keberkesanan polisi kewangan mereka tanpa mengubah kadar faedah. Menurut Reuters, tugas Kementerian Kewangan mungkin adalah mendesak pihak kerajaan untuk mengeluarkan bon dengan tempoh matang lebih pendek bagi mengurangkan risiko kadar faedah yang berubah. (Untuk rujukan, hasil bon 10 tahun kerajaan Jepun buat masa ini adalah melebihi 0.9%, tiga kali lebih tinggi daripada kadar bank negara itu).

● Kadar USD/JPY ditutup pada paras 159.79 minggu lalu. Pengetatan polisi Rizab Persekutuan yang diteruskan seperti disahkan dalam mesyuarat bulan Jun, serta polisi BoJ yang teramat longgar masih memihak kepada dolar. (Namun, campur tangan mata wang yang baru sudah pastinya tidak dikecualikan). Pakar ekonomi di United Overseas Bank (UOB) Singapura percaya bahawa hanya penembusan paras sokongan di antara 156.50-156.80 akan menandakan berakhirnya momentum ke atas gandingan ini yang berlaku sekarang.

Unjuran median para penganalisis untuk minggu hadapan adalah seperti berikut: 75% bersetuju dengan penurunan gandingan ini ke bawah serta nilai yen yang lebih kukuh (nampaknya menjangkakan campur tangan baru), manakala 25% lagi menunjukkan pertumbuhan. Indikator menunjukkan gambaran berbeza; ia tidak menjangkakan campur tangan. Justeru, kesemua 100% indikator trend dan pengayun pada D1 berwarna hijau, walaupun 20% daripada pengayun sudah berada di zon lebihan belian. Sokongan berada di sekitar paras 158.65, diikuti dengan 157.60-158.20, 156.80-157.05, 156.00-156.10, 155.45-155.80, 154.50-154.70, 153.60, 152.85, 151.85, 150.80-151.00, 149.70-150.00, 148.40, 147.60, dan 146.50-147.10. Paras rintangan berada di zon 160.00-160.20, diikuti dengan 162.50.

● Minggu depan dilihat agak sibuk pada hari Jumaat, 28 Jun. Pada hari itu, data inflasi pengguna (CPI) di wilayah Tokyo akan dikeluarkan, serta data untuk jumlah penghasilan industri serta situasi pasaran buruh di Jepun. Tiada sebarang statistik penting lain dijangka akan diketahui minggu depan.

 

MATA WANG KRIPTO: Sabar, Sabar dan Sabar Lagi

● Dalam ulasan sebelum ini, kami telah berikan unjuran daripada pengasas MN Capital iaitu Michael van de Poppe yang menjangkakan kadar BTC/USD akan turun dan berada pada julat antara $60,000-65,000. Jangkaan penganalisis ini secara umumnya adalah tepat - paras terendah mingguan telah direkodkan pada hari Jumaat, 21 Jun apabila nilainya turun di sekitar $63,365.

Kali ini, kami ingin menumpukan perhatian kepada unjuran seorang lagi orang berpengaruh, presiden syarikat Euro Pacific Capital dan juga penentang tegar mata wang kripto iaitu Peter Schiff. Kami telah beberapa kali memetik unjuran beliau yang bersifat apokaliptik. Kali ini, pakar kewangan itu menggariskan beberapa kemungkinan strategi dana lindung nilai yang boleh mendorong kepada keruntuhan bitcoin. Menurut beliau, pelabur ETF spot BTC yang didagangkan di bursa menganggap emas digital itu sebagai aset spekulatif. Schiff menyatakan bahawa bitcoin sudah mengikuti trend “mendatar” untuk bulan ketiga, didagangkan lebih rendah berbanding paras tertinggi bulan Mac. Dengan dinamik seperti itu, pelabur mungkin akan mula hilang sabar dan mengambil keputusan untuk menutup posisi pada satu masa, mengakibatkan sebut harga BTC jatuh disebabkan kurangnya jumlah likuiditi.

● Perlu dikatakan di sini bahawa unjuran negatif Schiff itu ada benarnya - baru-baru ini, ETF spot bitcoin Amerika memang telah menunjukkan aliran keluar modal. Sejak 7 Jun, baki kumulatifnya telah berkurang sebanyak $879 juta menjadikan jumlahnya $15 bilion. Sejak dua minggu lalu, golongan pemilik jerung untuk jangka panjang telah menjual emas digital bernilai $1.2 bilion, dan lebih daripada $370 juta adalah dikaitkan dengan GBTC. Maka, golongan jerung dan ETF telah bersama-sama mewujudkan tekanan ke bawah dengan nilai $1.7 bilion sepanjang tempoh itu.

● Sudah pasti, keruntuhan pasaran mata wang kripto mungkin tidak akan berlaku, tidak kiralah betapa Peter Schiff inginkannya. Namun, situasi yang berlaku sekarang ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ramai penganalisis. Menjadi kebiasaan, pasaran bullish mata wang kripto dicetuskan dengan semangat mendalam terhadap coin digital. Namun, penganalisis di IntoTheBlock melihat bahawa walaupun terdapat pertambahan aktiviti dalam kalangan pemilik besar (jerung) pada awal tahun ini, tiada influks daripada peserta baru dalam pasaran. Malah, jumlah pengguna utama BTC telah turun mendadak ke paras terendah selama beberapa tahun, menduduki paras yang sama seperti pada pasaran bear tahun 2018. Keadaan tidak berkembang seperti ini telah mewujudkan salah faham yang kritikal dalam persoalan mengapa pelabur tidak membeli bitcoin. “Pelabur runcit terus menunggu di tepi,” maklum IntoTheBlock.

● Mungkin ia disebabkan oleh keadaan musim panas yang tenang, data makroekonomi yang suram, kurangnya aliran masuk modal yang baru, dan lain-lain dorongan. Namun, sudah tentu segalanya boleh berubah. Berucap di persidangan BTC Prague 2024, CEO MicroStrategy iaitu Michael Saylor menekankan lagi bahawa bitcoin sekarang ini seharusnya dianggap sebagai antara aset paling selamat. Apabila ditanya oleh wartawan jika sekarang ini adalah masanya untuk menjual BTC, usahawan itu mengatakan bahawa aset tersebut tidak menerima pemangkin fundamental untuk pertumbuhan buat masa sekarang, namun nilainya dijangka naik tidak lama lagi. Menurut Michael Saylor, mereka yang bersabar akan menerima pulangan berlipat ganda dengan memiliki emas digital nanti. (Untuk rujukan: MicroStrategy adalah pemilik bitcoin paling besar dalam kalangan syarikat awam dengan jumlah 205,000 BTC dalam penyata imbang mereka, berjumlah $13 bilion).

● Penganalisis di syarikat kewangan Bernstein telah menaikkan sasaran nilai mata wang kripto pertama mereka kepada $200,000 menjelang akhir tahun 2025. Unjuran itu didorong oleh jangkaan “jumlah permintaan yang belum pernah berlaku sebelum ini terhadap ETF spot bitcoin yang diuruskan BlackRock, Fidelity, Franklin Templeton, dan lain-lain”. “Kami percaya bahawa ETF telah menjadi titik perubahan kepada mata wang kripto, menyebabkan permintaan berstruktur daripada kelompok modal tradisional. Secara keseluruhan, ETF telah menarik kira-kira $15 bilion dalam modal bersih yang baru,” jelas kenyataan yang diberikan Bernstein.

Menurut penganalisis syarikat itu, bitcoin berada dalam kitaran bullish yang baru. Mereka memanggil proses pengurangan penghasilan sebagai satu situasi unik di mana tekanan biasa yang dihadapi penghasil untuk menjual telah dikurangkan separuh atau lebih, dan mewujudkan pemangkin terhadap permintaan mata wang kripto yang baru hingga menyebabkan pergerakan nilai eksponen. Para penganalisis menunjukkan kepada kitaran sebelum ini: pada tahun 2017, nilai emas digital naik kira-kira lima kali ganda daripada kos pengeluaran marginal dan kemudian mencecah paras terendah setelah susut 0.8 daripada nilai tersebut pada tahun 2018. “Dalam kitaran antara tahun 2024-2027, kami jangkakan nilai bitcoin akan naik sebanyak 1.5 kali ganda, membayangkan paras tertingginya dalam kitaran ini adalah $200,000 dan akan dicapai pada pertengahan tahun 2025,” jelas Bernstein.

● Buat masa ini, semasa ulasan ini dibuat, pada malam Jumaat, 21 Jun, gandingan BTC/USD masih jauh untuk menduduki nilai $200,000 dan didagangkan pada paras $64,150. Jumlah keseluruhan modal pasaran mata wang kripto adalah $2.34 trilion ($2.38 trilion minggu lalu). Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto turun daripada 70 kepada 63 mata sepanjang 7 hari dan kekal berada di zon Greed.

● Bagi mengakhiri ulasan ini, sedikit berita daripada dunia Kepintaran Buatan. Bertahun-tahun lamanya, konsep mata wang kripto pertama ini yang tidak sempurna masil lagi menjadi pertikaian. Sesetengah pihak menuduh pencipta coin itu, Satoshi Nakamoto sebagai seorang yang tidak berpandangan jauh, dan ada juga pihak yang mengkritik pelaksanaan teknikal projek itu. Untuk mengetahui apakah masalah yang ada pada bitcoin, pasukan editor di BeInCrypto telah bertanyakan kepada ChatGPT versi terkini untuk menganalisis kertas putih mata wang kripto yang diterbitkan oleh Nakamoto pada Oktober 2008. Hasilnya, sistem Kepintaran Buatan itu telah menemui beberapa kelemahan dan ralat yang terdapat dalam dokumen penting industri kripto, dan sebahagiannya dilihat agak serius:

1. Syarat 51%. Kertas putih itu mendakwa bahawa rangkaian akan terus selamat jika lebih daripada 51% kuasa dikawal oleh peserta yang jujur. Walau bagaimanapun, amalan menunjukkan dalam keadaan tertentu, serangan boleh dibuat walaupun dengan sumber yang kecil.

2. Tanpa nama. Dokumen ini ada menjelaskan tentang isu pengguna tanpa nama, namun bitcoin hanya menyediakan nama samaran. Transaksi boleh dijejak semula kepada pengguna tertentu.

3. Kebolehskalaan. Dokumen ini tidak menjangka isu mengenai kebolehskalaan yang menjadi semakin ketara akibat peningkatan populariti rangkaian. Jumlah transaksi yang tinggi menyebabkan kelewatan serta caj fi yang meningkat.

4. Kemas kini perisian. Dokumen itu tidak menangani keperluan untuk mengemas kini perisian secara berkala bagi mengekalkan keselamatan rangkaian serta menambah ciri-ciri baru.

5. Rintangan Fork. Dokumen tersebut tidak mengambil kira risiko berkaitan dengan hard fork dalam rangkaian. Fork seperti Bitcoin Cash telah memecahbelahkan komuniti, berpotensi untuk mengurangkan nilai dalam rangkaian.

6. Isu undang-undang dan penyeliaan. Dokumen ini tidak menyatakan halangan yang bakal dihadapi bitcoin dari segi undang-undang dan kawal selia. Sejak diterbitkan, banyak negara sudahpun memperkenalkan atau sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang.

7. Tahap kesukaran penghasilan. Penulis dokumen ini tidak menjangkakan proses penghasilan yang menjadi semakin sukar serta perubahan penggunaan tenaga. Penghasilan moden memerlukan kuasa dan tenaga elektrik yang banyak untuk membuat pengiraan. Menurut Greenpeace, pada tahun 2023, penggunaan tenaga elektrik dalam penghasilan bitcoin di peringkat global adalah kira-kira 121 TWh, bersamaan penggunaan tenaga bagi sesebuah negara seperti Poland. Hal ini mengakibatkan pelepasan gas CO2 yang banyak serta pencemaran atmosfera yang serius, seperti yang dilaporkan oleh Greenpeace.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini bukanlah cadangan atau panduan pelaburan bagi menyertai pasaran kewangan dan hanya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kerugian wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami