Jun 29, 2024

EUR/USD: Inflasi di AS – Segalanya Mengikut Rancangan

● Minggu lalu, lebih tepat lagi pada hari Khamis, 27 Jun, dolar mendapat sokongan daripada data makroekonomi yang positif dari AS. Jabatan Perdagangan melaporkan bahawa mengikut anggaran akhir, kadar KDNK di AS berkembang sebanyak 1.4% untuk Q1, berbanding 1.3% yang diunjurkan. (Mengikut unjuran semasa Rizab Persekutuan, kadar KDNK sebenar di negara tersebut akan berkembang sebanyak 2.1% pada tahun 2024). Statistik pasaran buruh juga dilihat optimis - jumlah awal tuntutan bagi manfaat pengangguran di AS adalah berjumlah 233K, lebih rendah berbanding 236K yang diunjur dan nilai sebelum itu iaitu 239K. Jumlah pesanan bagi barangan tahan lama juga tidak mengecewakan, naik sebanyak 0.1% pada bulan Mei berbanding penurunan sebanyak -0.1% yang diunjur. Berdasarkan keadaan ini, kadar indeks dolar DXY naik kepada 106.10, menghampiri paras tertinggi April, manakala kadar EUR/USD pula turun kepada 1.0685.

● Walau bagaimanapun, peristiwa penting minggu lalu dijadual berlaku pada hari Jumaat, 28 Jun, hari terakhir dagangan untuk Q2. Penting untuk ketahui bahawa aliran tunai yang biasa berlaku pada penghujung tempoh suku tahun serta perubahan posisi dagangan pada waktu ini biasanya akan menambah kemeruapan di pasaran malah juga boleh mengakibatkan pergerakan gandingan mata wang utama yang kucar-kacir. Selain itu, keadaan kacau bilau ini juga bertambah lebih teruk dengan hakikat bahawa pada hari yang sama, Biro Analisis Ekonomi AS mengeluarkan data bagi indeks Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) untuk bulan Mei. Indikator ini adalah petunjuk inflasi yang digemari oleh pihak Rizab Persekutuan, maka ia boleh. mempengaruhi keputusan mereka berkenaan kadar faedah.

Mengikut anggaran awal, pasaran menjangkakan indeks teras itu boleh turun daripada 2.8% kepada 2.6% untuk tahun ke tahun dan 0.3% kepada 0.1% untuk bulan ke bulan. Jika benar unjuran ini, ia mampu mengukuhkan lagi jangkaan mengenai pelonggaran polisi kewangan yang pasti dilaksanakan oleh penggubal dasar Amerika itu. Sebelum data tersebut dikeluarkan, peserta pasaran menjangkakan pemotongan pertama kadar faedah Rizab Persekutuan akan dibuat pada bulan September, dan pemotongan seterusnya pada bulan November atau Disember.

Namun, terdapat juga alternatif lain terhadap senario ini. Pada hari Rabu, 26 Jun, ahli Lembaga Rizab Persekutuan iaitu Michelle Bowman menyatakan bahawa jika proses disinflasi di AS terbantut, penggubal dasar itu tiada pilihan lain selain daripada meneruskan pengetatan polisi (QT).

Kadar sebenar benar-benar menyamai unjuran - kadar teras PCE turun daripada 2.8% kepada 2.6% untuk tahun ke tahun dan daripada 0.3% kepada 0.1% untuk bulan ke bulan. Sangat jelas bahawa keputusan ini sudah pun diambil kira, maka ia tidak memberi kesan “wow” dalam kalangan peserta pasaran, dan setelah kadarnya turun sedikit, indeks DXY kembali berada pada kedudukan semasa.

● Dolar juga mendapat sokongan daripada Presiden Bank Rizab Persekutuan San Francisco iaitu Mary Daly yang memberikan komen beliau terhadap data PCE: “Rizåb Persekutuan masih lagi belum membuat keputusan, namun data PCE memberikan berita baik. […] Tiada bukti yang menunjukkan polisi kewangan adalah ketat secukupnya. […] Lebih banyak masa diperlukan untuk melihat keberkesanan polisi. […] Jika inflasi terus stabil atau turun dengan perlahan, kadar faedah yang tinggi perlu diteruskan lebih lama."

● Bagi Bank Negara Kesatuan Eropah (ECB) pula, tidak seperti rakan sejawatnya di luar negara, mereka sudah pun memulakan proses pelonggaran polisi (QE). Semasa bermesyuarat pada 6 Jun, mereka sudah menurunkan kadar euro sebanyak 25 mata asas (b.p) kepada 4.25%. Seperti yang dinyatakan oleh wakil ECB iaitu Olli Rehn pada 26 Jun, unjuran pasaran untuk dua lagi penurunan kadar pada tahun 2024 dilihat agak “berpatutan”. Kenyataan Rehn ini memberi isyarat toleransi terhadap lonjakan inflasi di Eurozone yang memberi kesan negatif kepada mata wang lazim Eropah.

● Kedudukan akhir mingguan, bulanan, dan suku tahunan bagi gandingan EUR/USD adalah pada paras 1.0713. Unjuran penganalisis untuk minggu depan sehingga malam 28 Jun adalah seperti berikut: 65% penganalisis bersetuju dengan penurunan gandingan ini, 20% lagi pertumbuhannya, dan baki 15% lagi terus neutral. Untuk analisis teknikal, 80% indikator trend pada D1 memihak kepada dolar dan berwarna merah, manakala 20% lagi menyebelahi euro. Dalam kalangan pengayun, 75% memihak kepada dolar dan baki 25% lagi berpendirian neutral. Paras sokongan paling hampir bagi gandingan ini berada di zon di antara 1.0665-1.0670, diikuti dengan 1.0600-1.0615, 1.0565, 1.0495-1.0515, 1.0450, dan 1.0370. Zon rintangan berada di sekitar 1.0740-1.0760, kemudian 1.0815, 1.0850, 1.0890-1.0915, 1.0945, 1.0980-1.1010, 1.1050, dan 1.1100-1.1140.

● Minggu depan akan dipenuhi dengan statistik makroekonomi. Pada hari Isnin, 1 Julai dan Selasa, 2 Julai, data awal bagi indikator penting seperti indeks harga pengguna (CPI) masing-masing di Jerman dan di Eurozone akan dikeluarkan. Ucapan oleh Presiden ECB iaitu Christine Lagarde dan Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell juga dijadualkan pada 1 dan 2 Julai. Selain itu, pada hari Isnin dan Rabu, indikator aktiviti perniagaaan (PMI) dalam pelbagai sektor untuk ekonomi AS akan diketahui. Namun aliran maklumat penting ini tidak berakhir di situ. Pada lewat petang 3 Julai, minit mesyuarat terakhir FOMC (Federal Open Market Committee) akan dikeluarkan. Pada hari Rabu, 3 Julai dan Jumaat, 5 Julai, kita akan menerima pelbagai statistik daripada pasaran buruh AS, termasuklah kadar pengangguran serta jumlah pekerjaan baru yang ada bukan dalam sektor agrikultur (NFP). Pedagang juga perlu mengingati bahawa 3 Julai adalah hari yang pendek di AS, dan 4 Julai pula hari cuti umum kerana negara itu menyambut Hari Kemerdekaan. Melihat jauh sedikit ke hadapan, kami ingin mengingatkan bahawa pilihan raya parlimen awal akan diadakan di Perancis pada hari Ahad, 7 Julai, dan keputusan pilihan raya itu mampu memberi kesan besar kepada mata wang lazim Eropah.

 

GBP/USD: Fokus – Pilihan Raya Oada 04 Julai

● Pilihan raya umum parlimen bukan saja akan diadakan di Perancis, ia juga akan diadakan di United Kingdom, dijadual pada hari Khamis, 4 Julai. Mengumumkan perkara ini, Perdana Menteri iaitu Rishi Sunak menyatakan bahawa beliau berbangga dengan “pencapaian kerajaan beliau [Konservatif]”. “Kestabilan ekonomi adalah asas kepada apa-apa kejayaan,” tambah beliau, sedar bahawa ekonomi UK masih lagi berkembang dan inflasi sudah kembali ke paras normal.

Walaupun dengan jaminan yang Sunak berikan, pada Mei 2024, syarikat pemantau Ipsos melaporkan bahawa 84% daripada populasi negara itu “tidak berpuas hati dengan cara kerajaan menguruskan negara”. Unjuran semasa untuk pilihan raya ini yang dibuat berdasarkan kepada pendapat orang ramai menunjukkan bahawa 21.3% mungkin akan mengundi parti Konservatif, 41.9% akan mengundi parti lawan, Parti Buruh, dan bakinya akan mengundi parti-parti lain.

● Perlu diketahui bahawa kerajaan Rishi Sunak telah mencapai beberapa kejayaan sebenar. Pada 19 Jun, data inflasi pengguna (CPI) telah dikeluarkan, secara keseluruhan, gambarannya dilihat agak baik. Indeks harga pengguna untuk bulan ke bulan terus berada pada paras sebelum ini iaitu 0.3%, lebih rendah berbanding 0.4% yang diunjurkan. Untuk tahun ke tahun, kadar CPI susut daripada 2.3% kepada 2.0%, mencapai kadar sasaran Bank of England (BoE) buat pertama kali sejak Oktober 2021. Indeks teras (CPI Teras) yang mengecualikan komponen meruap seperti harga makanan dan bahan api juga menunjukkan penurunan ketara daripada 3.9% kepada 3.5% tahun ke tahun.

Mengikut laporan Jabatan Statistik Kebangsaan (ONS) yang memberikan data akhir untuk Q1 2024 pada 28 Jun, ekonomi UK berkembang sebanyak 0.7%, lebih tinggi berbanding kadar sebelum ini dan yang diunjurkan iaitu 0.6%. Untuk tahun ke tahun, pertumbuhan sebenarnya adalah 0.3%, lebih tinggi dari nilai sebelum ini dan yang diunjur iaitu 0.2%. Ini adalah dinamik terbaik sejak Q4 2021.

● Jika pilihan raya UK pada 4 Julai dan laporan inflasi pada 17 Julai tidak memberi sebarang kejutan besar, pasaran menjangkakan bahawa pihak BoE akan mula menurunkan kadar mereka pada mesyuarat 1 Ogos nanti. Menurut pakar strategi di bank ING, “kami masih jangkakan Bank of England akan mula menurunkan kadar mereka pada bulan Ogos dan akan mula memberikan isyarat dalam ucapan mereka sebaik sahaja pilihan raya 4 Julai berakhir”. Pada pendapat mereka, kebarangkalian untuk Bank of England memotong kadar faedah adalah lebih tinggi berbanding pemotongan kadar oleh Rizab Persekutuan, dan hal ini memberi tekanan kepada pound sterling. Sebaliknya, penganalisis di syarikat TDS memberikan unjuran berikut: “Kami percaya penurunan kadar sebanyak 15 b.p dijangka akan dibuat pada bulan Ogos, dan kira-kira 50 b.p akan dipotong secara keseluruhannya pada tahun 2024”. Bagi unjuran beberapa peserta pasaran lain, pemotongan yang disebut-sebut menjelang bulan November juga adalah sekitar 30 b.p.

GBP/USD mengakhiri lima hari dagangan minggu lalu di mana ia bermula - pada paras 1.2644. Unjuran penganalisis sebelum pilihan raya parlimen bermula adalah sepakat - 100% memihak kepada dolar dan menjangkakan nilai mata wang British akan menjadi lemah. Berkenaan analisis teknikal pada D1, terdapat juga kelebihan besar yang memihak dolar. Indikator trend menyebelahi dolar dengan nisbah 65% berwarna merah dan 35% berwarna hijau. 100% pengayun menunjukkan penurunan, dengan 20% daripadanya menunjukkan gandingan ini memiliki lebihan jualan. Jika turun ke paras lebih rendah, paras dan zon sokongan bagi gandingan ini berada di antara 1.2610-1.2620, 1.2540, 1.2445-1.2465, 1.2405, 1.2300-1.2330. Jika gandingan ini mengalami pertumbuhan, ia akan berdepan rintangan pada paras 1.2675, 1.2700, 1.2740-1.2760, 1.2800-1.2820, 1.2860-1.2895, 1.2965-1.2995, 1.3040, dan 1.3130-1.3140.

● Untuk perkara yang bakal berlaku minggu hadapan, tumpuan kesemua pelabur akan berada pada pilihan raya 4 Julai. Seperti yang telah disebutkan, perkara penting seterusnya adalah penyiaran laporan inflasi baru di United Kingdom pada 17 Julai.

 

USD/JPY: Mencapai Satu Lagi Paras Tertinggi

● Minggu lalu, 75% penganalisis yang menjangkakan campur tangan mata wang baru bersetuju dengan penurunan gandingan USD/JPY ke bawah, manakala baki 25% lagi menjangkakan pertumbuhan. Golongan minoriti seperti yang sering dikaitkan dengan mata wang Jepun rupa-rupanya menjadi kenyataan: tiada campur tangan dilaksanakan, gandingan ini mencecah satu lagi paras tertinggi – 161.28.

Secara jujur, tiada komen boleh diberikan di sini - segalanya telah pun dibincangkan berkali-kali. Masalah susut nilai yen adalah berpunca daripada polisi kewangan Bank of Japan (BoJ) yang teramat longgar. Selagi polisinya tidak diubah menjadi lebih ketat, mata wang negara itu akan terus hilang kedudukannya. Sudah pasti, untuk seketika, Menteri Kewangan dan Bank Negara boleh menyokong kadar tukaran dengan campur tangan mata wang. Namun membelanjakan berbilion untuk sesuatu yang akan hilang seperti riak air selepas beberapa hari - apa gunanya? Bolehkan ia digelar sebagai polisi kewangan?

● Jika kadar inflasi turun di negara-negara pesaing utama lain, kadarnya naik di Jepun. Mengikut data yang dikeluarkan pada hari Jumaat, 28 Jun, kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) di Tokyo untuk bulan Jun naik kepada 2.3% berbanding 2.2% pada tempoh sama sebelum ini. Indeks inflasi teras CPI (mengecualikan harga makanan) juga naik kepada 2.1% untuk tahun ke tahun, lebih tinggi daripada 2.0% yang diunjur dan nilai sebelum ini iaitu 1.9%. Satu lagi indeks CPI teras di Tokyo (mengecualikan harga makanan dan bahan api) susut pada bulan Jun kepada 1.8% untuk tahun ke tahun berbanding nilai sebelum ini iaitu 2.2%.

Sudah pasti, lonjakan ini tidak menjamin kesan yang ketara - kesemua indikator “berlegar-legar” di sekitar paras 2.0% yang disasarkan. Ini membolehkan kerajaan Jepun menghentikan sementara, tanpa perlu mengubah vektor polisi kewangan mereka, dan hanya terhad dengan “campur tangan” lisan. Maka, Menteri Keweangan Jepun iaitu Shunichi Suzuki sekali lagi menyatakan bahawa beliau berasa “sangat bimbang tentang pergerakan unilateral dan berlebihan dalam pasaran Forex” serta menyatakan harapan bahawa “keyakinan terhadap mata wang Jepun masih diteruskan”. Rakan sejawat Suzuki, Setiausaha Kabinet iaitu Yoshimasa Hayashi memberikan ucapan yang hampir sama dalam setiap patah perkataan. Namun, beliau menambah bahawa pihak berkuasa “akan mengambil tindakan sesuai berkenaan pergerakan mata wang yang berlebihan”, memberi bayangan akan ada lagi campur tangan mata wang.

● Bayangan yang diberikan Yoshimasa Hayashi ini membimbangkan 60% penganalisis yang bersetuju dengan pergerakan gandingan ini ke bawah serta pengukuhan nilai yen, 20% pula bersetuju dengan pertumbuhan, dan baki 20% lagi berpendirian neutral. Isyarat indikator tidak begitu jelas kerana ia tidak pernah mengetahui tentang campur tangan. Maka, 100% indikator trend dan pengayun pada D1 berwarna hijau, walaupun satu perempat daripada pengayun sudah berada di zon lebihan belian. Sokongan paling hampir berada pada paras 160.25, diikuti dengan 159.20, 158.65, 157.60-157.80, 156.60, 155.45-155.70, 154.50-154.70, 153.60, 153.00, 151.90-152.15, 150.80-151.00. Rintangan paling hampir berada di zon 160.85, diikuti dengan 161.30 dan 162.50.

● Untuk minggu hadapan, tumpuan pada calendar adalah hari Isnin, 1 Julai. Pada hari tersebut, Indeks Pembuatan Besar Tankan akan dikeluarkan. Tiada lagi statistik makro penting lain berkenaan keadaan ekonomi Jepun yang akan dikeluarkan pada minggu hadapan.

 

MATA WANG KRIPTO: Sebab dan Akibat Hari "Black Monday" Pada 24 Jun

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 01 - 05 Julai, 20241

● Hari Isnin, 24 Jun telah memberikan kejutan tidak menggembirakan kepada para pelabur - pada hari itu, nilai bitcoin jatuh di bawah paras $60,000 buat pertama kali sejak 3 Mei, pada satu tahap nilainya mencecah $58,468. Nilai Ethereum pula berada lebih rendah daripada $3,250. Penganalisis memberikan beberapa sebab kepada penjualan secara aktif ini, menyedari bahawa ia mencerminkan keadaan keseluruhan pasaran kewangan global yang tidak stabil serta ketaktentuan mengenai polisi kewangan dan undang-undang di beberapa buah negara utama, terutama sekali China dan AS. Namun, terdapat juga faktor-faktor lebih khusus yang menyumbang kepada peningkatan trend bearish ini.

Pada pertengahan Jun, kerajaan Jerman mula menjual sejumlah besar bitcoin (kira-kira 50,000 BTC) yang dirampas pada bulan Januari. Sentimen panik ini menjadi lebih teruk dengan mendadak setelah pengumuman pada 24 Jun menyatakan bahawa pembayaran kreditor oleh bursa kripto Mt.Gox yang bankrap akan bermula pada awal Julai nanti. Jumlah keseluruhan wang yang perlu diagihkan kepada bekas pelanggan mereka adalah 162,100 BTC, kira-kira $10 bilion. Bitcoin memberikan respon kepada berita ini dengan penurunan sebanyak 8%. Ia tidak mengejutkan - jumlah coin sebanyak itu yang membanjiri pasaran terbuka boleh menjatuhkan nilainya dengan mudah. Dalam pasaran derivatif, posisi long dengan nilai $177 juta telah terpaksa dicairkan, dan kesemua kadar pembiayaan bagi kontrak niaga hadapan menjadi negatif buat pertama kali dalam bulan Jun, menunjukkan bahawa jualan telah melebihi belian.

Benarlah bahawa jangkaan pembayaran hutang Mt.Gox telah menyebabkan sebut harga aset kripto terunggul itu mencecah nilai paling rendah sejak lapan minggu pada hari Isnin lepas. Dalam situasi ini, terdapat dua perkara baik yang dilihat. Pertama, tarikh akhir untuk bayaran balik adalah pada 31 Oktober, dan bayaran ini berkemungkinan akan dibuat dalam empat peringkat dan bukan sekaligus. Kedua, ada peluang bukan kesemua kreditor tergesa-gesa untuk menukar bitcoin mereka kepada fiat, tetapi akan menyimpannya dengan harapan nilainya akan bertambah.

● Selain daripada perkara di atas, penghasil BTC telah menambah lagi tekanan penurunan di pasaran. Telah diketahui bahawa rizab coin telah mencecah jumlah paling rendah dalam tempoh 14 tahun kerana mereka telah menjual sejumlah besar BTC disebabkan oleh pelaksanaan pengurangan penghasilan pada April lalu bagi menampung kos operasi. Jika diingat bahawa menurut penganalisis JPMorgan, kos penghasilan bitcoin adalah sebanyak $53,000. Mengikut sejarah, nilai kos ini adalah paras sokongan kukuh bagi BTC/USD. Walau bagaimanapun, pada bulan Mac sekalipun, JPMorgan tidak menolah bahawa nilai bitcoin boleh turun kepada $42,000 buat seketika setelah proses penghasilannya dikurangkan.

● Dengan ketiadaan isyarat positif, permintaan bagi ETF spot bitcoin terus berkurang, peserta pasaran utama memperlahankan aktiviti mereka, dan mula mendapatkan pulangan. Perkara ini juga memberikan tekanan kepada nilainya. CEO syarikat pelaburan CryptoQuant iaitu Ki Young Ju membuat pengiraan bahawa sepanjang dua minggu lalu, golongan jerung dan penghasil bitcoin telah mencipta rekod dengan menjual coin bernilai $1.2 bilion.

Menurut 10x Research, sepanjang minggu lalu, ETF spot BTC di AS telah merekodkan aliran keluar modal pelaburan tertinggi, manakala pada 21 Jun pula, nilai bersih modal yang keluar adalah melebihi $105 juta. 10x Research percaya bahawa bitcoin kini memerlukan julat harga yang baru bagi menstabilkan susut nilai tersebut dan kemudian mencari pemangkin kepada pertumbuhan nilainya. Menurut penganalisis di 10x Research, sia-sia untuk menjangkakan nilai BTC kembali berada lebih tinggi daripada $70,000 untuk jangka masa sederhana ini.

● Penganalisis popular iaitu Matthew Hyland sedar bahawa jumlah terkumpul bitcoin yang ada dalam bursa bersepadu telah mencecah nilai paling rendah sejak beberapa tahun ini. Secara teori, ini boleh dilihat sebagai satu isyarat bullish, namun peneraju pasaran kripto masih belum berhasrat untuk menunjukkan trend pertumbuhan. Umumnya, penyiaran data ekonomi di AS boleh dijadikan sebagai vector bagi pergerakan mata wang kripto ke paras lebih tinggi. Jika Rizab Persekutuan mula melonggarkan polisi kewangan mereka pada bulan September, keadaan itu mampu memberi sokongan kepada aset berisiko, termasuklah bitcoin. Menurut penganalisis di Cryptology, peluang untuk bitcoin mencecah paras tertingginya dalam sejarah menjelang akhir September adalah agak tinggi, dan apa yang berlaku sekarang adalah fasa pengumpulan.

● Walaupun dengan penurunan semasa, kebanyakan pelabur terus bersikap optimis, menyatakan sifat pasaran kripto yang memiliki kitaran. Mereka juga tidak lupa tentang pilihan raya di AS. Sebagai contoh, bekas CEO Goldman Sachs iaitu Raoul Pal menjangkakan pertumbuhan ketara pasaran bitcoin dan mata wang kripto pada Q4 2024. Dalam satu episod podcast The Wolf Of All Street, pakar kewangan itu menyatakan bahawa aset berisiko seperti bitcoin biasanya akan melonjak naik berlatarbelakangkan pilihanraya presiden AS. “Suku terakhir dalam tahun pilihan raya adalah ‘zon pisang’ sebenar buat semua aset. Memang begitu biasanya,” Pal menyatakan dengan optimis, berkata bahawa “zon pisang” untuk mata wang kripto pada musim bunga adalah lebih ketara berbanding indeks Nasdaq sebagai contoh.

Bitcoin juga mendapat sokongan daripada hartawan Michael Saylor. Syarikat beliau iaitu MicroStrategy adalah antara pemilik bitcoin terbesar di dunia, dengan jumlah 205,000 BTC dalam penyata imbang mereka. Walaupun berdepan trend negatif, syarikat itu meningkatkan jumlah rizab mereka dengan menambah sebanyak 11,931 BTC (melebihi $700 juta) lagi dalam beberapa bulan lepas. Saylor berasa yakin dengan keupayaan nilai mata wang kripto pertama itu untuk naik kepada $10 juta dengan sokongan China serta faktor-faktor lain. Beliau percaya bahawa pada masa hadapan, pihak kerajaan terutama sekali China akan menerima sepenuhnya mata wang kripto pertama itu dan menyepadukannya ke dalam infrastruktur negara. Usahawan itu mengisytiharkan instrumen ekonomi sebelum bitcoin sebagai usang. “Sebelum Satoshi Nakamoto, ekonomi adalah suatu pseudosains. Semua pakar ekonomi sebelum Satoshi telah cuba untuk membangunkan undang-undang ekonomi dengan kulit kerang, manik kaca, helai kertas, dan instrumen kredit,” ahli perniagaan itu menulis, menggelar bitcoin sebagai satu “aset sempurna."

● Dalam ulasan sebelum ini, kami sudahpun menyatakan bahawa pelancaran ETF spot dagangan bursa Ethereum boleh memberikan sedikit rangsangan kepada pasaran aset digital. Pada 25 Jun, pihak Pengerusi SEC (Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa) iaitu Gary Gensler maklum bahawa proses pendaftaran ETF baru “berjalan lancar”, dan tarikh kelulusan bergantung kepada berapa cepat para pemohon mengubah borang S-1 yang dihantar. Penganalisis Bloomberg menjangkakan 2 Julai sebagai tarikh produk baru tersebut mendapat kelulusannya. Memetik sumber tanpa nama, Reuters melaporkan bahawa kata sepakat telah dicapai dalam rundingan antara pengurus dana dan pihak SEC, dan yang tinggal hanyalah “sentuhan akhir”.

● Pengasas bersama syarikat modal teroka Mechanism Capital iaitu Andrew Kang menyatakan bahawa setelah ETF-ETH mendapat kelulusan, nilai Ethereum boleh mengalami pembetulan sebanyak 30%, susut kepada $2,400. Beliau berpendapat, pada tahap ini, altcoin utama itu mungkin tidak dapat menarik perhatian yang tinggi dalam kalangan pelabur seperti bitcoin. Berdasarkan jangkaan ini, ETF-ETH hanya akan menarik 15% modal daripada apa yang diterima ETF-BTC semasa ia dilancarkan.

Kang sedar bahawa untuk meningkatkan daya tarikan Ethereum dalam kalangan pelabur, ekosistemnya perlu diketengahkan sebagai satu lapisan penyelesaian kewangan disentralisasi, sebuah komputer global, atau stor aplikasi Web3. Dalam masa yang sama, agak sukar untuk menjual idea baru bagi aplikasi Ethereum untuk mendapatkan modal kerana para pelabur melihat aset tersebut sebagai saham syarikat teknologi yang dinilai terlalu tinggi.

● Pandangan positif yang lebih ketara berkenaan masa depan Ethereum telah diberi oleh Matt Hougan, CIO Bitwise, sebuah syarikat pengurusan dana mata wang kripto. Pada pandangan beliau, kemunculan produk bursa yang telah lama dinantikan sudah pastinya akan menjadi faktor positif, dam aliran masuk bersih modal pelaburan ke dalam ETH-ETF dalam tempoh 18 bulan pertama akan berjumlah $15 bilion. Mengikut analisis beliau, beliau bergantung kepada pengalaman yang ada pada Kanada dan juga EU, di mana nisbah aliran masuk modal bagi produk yang hampir sama dengan Ethereum dan Bitcoin adalah kira-kira 1 kepada 4 (cth., 25%). Dengan kata lain, jika jumlah aliran masuk modal ke dalam ETF spot Bitcoin untuk tiga bulan pertama memberikan hasil sebanyak $26.9 bilion, bagi Ethereum pula dijangka akan memberikan jumlah $6.7 bilion. Dalam hal ini, untuk tiga bulan beroperasi, nilai altcoin utama itu boleh naik antara $4,400-5,000.

● CEO SkyBridge Capital iaitu Anthony Scaramucci percaya bahawa nilai Ethereum boleh naik lebih tinggi, mencecah $10,000-12,000. Berkenaan dengan bitcoin, usahawan itu menjangkakan pertumbuhan nilai ke paras $170,000-250,000. Pada pendapat beliau, pendorong utama adalah penerimaan mata wang kripto oleh pelabur berinstitusi. Scaramucci mendakwa kelulusan ETF spot bursa sebagai pematah sempadan undang-undang penting yang menarik modal baru. Pada pendapat beliau, disebabkan perkara itu, bahagian emas digital dalam portfolio pelabur-pelabur besar akan menjadi 3% tidak lama lagi.

● Sehingga malam Jumaat, 28 Jun, BTC/USD didagangkan pada paras $60,190, manakala ETH/USD pula di zon $3,390. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah $2.24 trilion ($2.34 trilion seminggu lalu). Bacaan Indeks Fear & Greed bitcoin (Indeks Fear & Greed Kripto) turun daripada 63 mata kepada 47 mata sepanjang 7 hari, beralih daripada zon Greed kepada zon Neutral.

● Sebelum mengakhiri, ada satu lagi pemerhatian oleh Matt Hougan. CIO syarikat Bitwise itu membentangkan tiga sebab kenapa pelaburan jangka panjang dalam kedua-dua bitcoin dan Ethereum memberikan lebih banyak kelebihan berbanding hanya melabur dalam bitcoin. Sebabnya adalah: 1. kepelbagaian portfolio 2. peluang untuk mendapat pulangan daripada ekosistem berbeza dan 3. manfaat ekonomi.

Mengambil kira jumlah modal pasaran antara bitcoin dan Ethereum, Hougan percaya bahawa 75% daripada modal sepatutnya dilaburkan ke dalam BTC manakala 25% lagi ke dalam ETH. Mengikut pengiraan beliau, dalam tempoh antara Mei 2020 dan Mei 2024, perolehan portfolio pelaburan seperti itu adalah 3% lebih tinggi setiap tahun berbanding portfolio yang hanya mengandungi bitcoin saja. Walau bagaimanapun, Hougan akui bahawa dalam jangka masa pendek, prestasi portfolio dengan 100% BTC adalah lebih baik berbanding pelbagai aset. Selain itu, melabur hanya dalam bitcoin kurang memberikan risiko disebabkan oleh modal pasaran yang lebih tinggi serta ciri-ciri seperti pengeluaran coin yang terhad dan pengurangan kadar inflasi kepada sifar secara berfasa.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Penafian: Material ini bukanlah cadangan atau panduan pelaburan bagi menyertai pasaran kewangan dan hanya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kerugian wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami