Oktober 5, 2019

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Kebanyakan penganalisis (55%) telah menjangkakan pasangan ini akan melalui proses pembetulan ke zon 1.100. Senario ini turut mendapat sokongan 15% pengayun pada D1 dan juga W1, suatu isyarat jelas bahawa pasangan ini telah terlebih jual. Ramalan ini boleh dianggap tepat 100% kerana kadar EUR naik ke paras USD 1.0999 pada hari Khamis, 3 Oktober. Amaran yang dibuat analisis grafik juga benar-benar berlaku kerana sebelum pasangan ini boleh berada pada paras 1.1000, ia dijangka akan mengalami penurunan dan situasi tersebut boleh dilihat pada permulaan minggu.
    Pertumbuhan nilai matawang Eropah ini telah disebabkan oleh statistik makro di AS yang lemah, berpunca daripada perang dagangan yang dicetuskan oleh Presiden Trump. Disamping itu, indeks aktiviti perniagaan ISM dalam sektor perkhidmatan juga menunjukkan penurunan daripada 56.4 kepada 52.6. Setelah kenyataan dibuat pada 3 Oktober, pasaran kemudian menumpukan perhatiannya pada data pasaran buruh di Amerika yang biasanya akan dikeluarkan pada hari Jumaat pertama bulan tersebut iaitu pada 4 Oktober. Bilangan pekerjaan baru bagi sektor selain agrikultur (Non-Farm Payrolls) di AS turun sebanyak hampir 20% (dari 168K kepada 136K) dan ini menunjukkan kegawatan semakin hampir.
    Indikator seperti ISM dan NFP inilah yang akan menentukan langkah-langkah yang perlu diambil pihak Rizab Persekutuan AS dalam mengubah kadar faedah mereka. Justeru, pembayang utamanya adalah ucapan Jerome Powell pada hujung minggu tersebut yang diharap dapat memberi petunjuk terhadap rancangan pihak Rizab untuk bulan-bulan yang akan datang.
    Powell terkenal dengan kemampuan untuk berucap panjang tanpa memberikan sebarang maklumat yang khusus. Nampaknya sekali lagi ia berlaku. Akhirnya, setelah beberapa kali berjaya membuat lompatan keci, pasangan ini mengakhiri pergerakannya di sekitar 1.0980;
  • GBP/USD. Tanpa disangka, keadaan agak tenang pada minggu pertama bulan Oktober di Kepulauan British. Tiada yang luar biasa berlaku akibat Brexit. Justeru, pada hari Jumaat, 3 Oktober, pasangan ini berada di zon yang sama pada tujuh hari lalu. Ia bergerak di saluran sisi di antara 1.2275-1.2350 pada kebanyakan masanya, walaupun kedua-dua bull dan bear cuba beberapa kali untuk melepasi paras tersebut. Paras terendah mingguan ditetapkan pada 1.2205, manakala paras tertinggi pula berada pada 1.2415, dan julat turun naik kadar tukaran adalah sebanyak 210 mata;
  • USD/JPY. Bagi yen pula, sudah dijangka para pelabur akan menunggu perkembangan daripada perang dagangan antara AS-China. Nilai yen boleh melonjak naik lagi akibat penurunan hasil bon Amerika. Akhirnya, kekalutan daripada rundingan antara Washington dan Beijing masih tidak jelas, dan hasil daripada bon kerajaan AS selama 10 tahun juga turun sebanyak 12%. Disebabkan faktor-faktor ini, ditambah dengan statistik makroekonomi di AS yang lemah telah melonjakkan nilai yen, mencecah nilai pada sebulan lalu di sekitar 106.50 pada hari Khamis. Paras terakhir mingguan telah di tetapkan oleh matawang Jepun tersebut pada 106.85;
  • Matawang Kripto. Indeks “Fear & Greed” matawang kripto naik daripada zon merah “amat takut” kepada zon jingga iaitu ”takut”. Perasaan takut jika nilai Bitcoin turun ke paras yang lebih rendah masih lagi ada. Keadaan pasaran agak tenang dan kembali kepada sedia kala selepas dagangan hadapan kripto Bakkt yang gagal dilancarkan serta keadaan panik akibat kejadian itu yang berlaku pada 24 September. Para pedagang serta pelabur menghentikan dagangan untuk sementara, dan ia amat jelas kelihatan pada carta BTC/USD. Turun naik maksimum pasangan ini untuk minggu lalu tetah dicatatkan pada 30 September - 01 Oktober sebanyak 9%. Pada masa yang lain, pasangan ini bergerak di sepanjang garis paras $8,190 dalam saluran yang agak sempit dan tidak melebihi 5%.
    Mengikuti jejak langkah matawang kripto, altcoin utama iaitu Ethereum (ETH/USD), Litecoin (LTC/USD). Ripple (XRP/USD), dll juga bergerak mengikut trend sisi. Jumlah keseluruhan modal pasaran matawang kripto kembali pada nilai pertengahan bulan Mei 2019 dan jumlahnya adalah melebihi $223 bilion.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Untuk beberapa minggu yang akan datang, kami menantikan berita-berita penting yang agak besar bilangannya, ini termasuklah ucapan oleh ketua Rizab Persekutuan AS J. Powell pada permulaan minggu. Namun, acara paling penting sudah semestinya minit mesyuarat Majlis Pentadbir Persekutuan yang akan dikeluarkan pada hari Rabu, 9 Oktober serta laporan mesyurat oleh rakan sejawat mereka di ECB pada hari Khamis, 11 Oktober. Kedua-dua dokumen ini pastinya dapat memberi sedikit penjelasan terhadap polisi kewangan di Amerika Syarikat serta di EU untuk masa terdekat ini.
    Buat masa ini, pendapat para penganalisis terbahagi seperti berikut. 60% daripada mereka yang turut disokong oleh analisis grafik pada D1 memilih penurunan pasangan ini dan akan cuba untuk berada pada 1.0880 iaitu paras terendah pada 1 Oktober lalu. Baki 40% penganalisis yang mendapat sokongan sepenuhnya analisis grafik pada H4 memihak kepada pendapat yang bertentangan. Mereka percaya pertumbuhan matawang Eropah masih belum berakhir dan pasangan ini akan mampu naik sehingga ke zon 1.1100.
    Akhir sekali, indikator. Kedua-dua pengayun serta indikator trend pada H4 adalah berwarna hijau, separuh daripadanya sudahpun berwarna merah pada D1, manakala pada H4 pula, warna merah menjadi dominan. Dalam masa yang sama, 15% daripada pengayun sudahpun memberi isyaratnya bahawa psangan ini telah dibeli secara berlebihan pada H4 dan juga D1;
  • GBP/USD. Pada hari Selasa, 8 Oktober, ketua Bank of England Mark Carney dijadualkan akan berucap. Namun, bukan beliau yang akan berucap tetapi Perdana Menteri Boris Johnson yang kini kerap menjadi muka hadapan akhbar di UK. Apa yang beliau katakan, apa yang beliau lakukan mampu menggembirakan para pelabur (minta maaf Mr. Carney). Walaupun begitu, setiap patah kata dan kelakuan Mr Johnson tidak menunjukkan sesuatu yang jelas kepada sesiapa pun (mungkin termasuk dirinya sendiri). Hanya tinggal tiga minggu lagi sebelum Britain keluar daripada EU, dan Johnson kelihatan tidak akan mampu untuk mencapai persetujuan dengan Brussels mengenai terma perjanjian yang akan menguntungkan negaranya. Sama ada akan berlakunya Brexit tanpa sebarang perjanjian, atau... sekali lagi meminta tempoh lanjutan.
    Walaupun keajaiban kadang-kala berlaku... Namun, seperti yang ditunjukkan oleh kaji selidik, 65% penganalisis tidak percayakan mereka, sama seperti hasil daripada analisis grafik. Jadi, mereka berpendapat nilai pound akan jatuh merudum dan memperbaharui paras terendah pada 3 September lalu iaitu 1.1960. Paras sokongan paling hampir adalah pada paras 1.2200 dan juga 1.2070.
    Hanya 35% penganalisis yang percayakan Boris Johnson dan mengharapkan yang terbaik, mereka ini menunggu nilai pound menjadi lebih kukuh dan kemudian menaikkan pasangan ini ke paras 1.2525.
    Dikalangan pengayun, situasi yang ditunjukkan sama seperti yang berlaku di Parlimen British: warna merah, hijau dan kelabu bercampur-campur, serta percanggahan sama ada pasangan ini telah terlebih jual ataupun terlebih beli adalah begitu ketara pada tempoh masa yang berbeza. Jadi, anda tidak harus terlalu bergantung pada bantuan pengayun dalam membuat keputusan;

Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi  07 – 11 Oktober, 20191

  • USD/JPY. Analisis grafik serta 65% daripada penganalisis mengharapkan pertumbuhan nilai yen dan juga penurunan pasangan ini. Malahan, ia bukan hanya untuk minggu ini saja, ia juga adalah ramalan sehingga penghujung 2019. 100% indikator trend pada H4 dan D1 serta 75% pada W1 bersetuju dengannya. Namun dikalangan pengayun, situasinya adalah berbeza: 75% mengatakan pergerakan ke arah bawah pada H4, 60% pula memilih pada D1, manakala hanya 25% memilih W1. Sasaran bear adalah pada paras 106.50, 105.70, 105.00 dan 104.45. Sasaran bull pula pada 107.55, 108.50, 109.00;
  • Matawang Kripto. Penggemar pasaran digital terus mengagumkan para pelabur dengan janji-janji mengenai keuntungan lumayan. Antaranya adalah pembangun perisian anti virus terkemuka John McAfee yang mengatakan harga Bitcoin mampu mencecah $1 juta menjelang tahun 2020. Beliau menjelaskan ramalannya itu adalah berdasarkan bilangan Bitcoin yang semakin terhad, 85% daripadanya telah dihasilkan. Ramalan yang lebih munasabah telah dibuat oleh penganalisis dari German Bayerische Landesbank (BayernLB). Pada pandangan mereka, rancangan bagi mengurangkan penghasilannya mungkin akan memberikan pulangan pada tahun hadapan dan mampu menaikkan harga BTC kepada $90,000, keuntungan hampir 1000% jika mengikut harga semasa iaitu $8,200.
    Disamping sikap optimis yang ada, terdapat juga mereka yang skeptik dan bilangan mereka ini dilihat semakin bertambah. Sepanjang dua tahun lepas sejak pertengahan 2017, matawang kripto bukan saja gagal untuk menggantikan wang tradisional, malah ia bukan sebahagian penting daripada sistem kewangan. Penggunaan dalam skala besar sebagai kaedah pembayaran masih belum dimulakan. Tambahan lagi, ia kini dikawal selia badan kerajaan, dan sepertinya telah melupakan tentang matlamat kebebasan pasaran kewangan.
    Buat masa ini, hanya 25% penganalisis percaya nilai Bitcoin mampu melonjak naik melebihi zon di antara $8,500-8,600 dalam masa terdekat nanti. Kebanyakan berpendapat ia akan bergerak di bahagian sisi dengan bear yang akan mendominasi dan menurunkan nilai pasangan ini ke paras di antara $7,500-7,700.

 

Roman Butko, NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami