Oktober 19, 2019

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Perkara paling utama pada minggu lalu sudah semestinya mengenai Brexit. Perdana Menteri yang baru Boris Johnson telah berjaya mencapai persetujuan dengan Brussels, dan pada hari Khamis, 17 Oktober, Sidang Kesatuan Eropah telah meluluskan satu perjanjian ke atas terma-terma untuk Britain keluar daripada EU serta tarikhnya, iaitu pada 01 November. Hal ini, serta kurangnya risiko dagangan serta politik di Eropah, Asia dan juga Amerika, ditambah dengan statistik yang lemah dari AS telah memihak kepada bull dan seterusnya melonjakkan nilainya.
    Majoriti penganalisis (70%) meletakkan 1.1160 sebagai sasaran utama, dan ternyata ramalan ini benar-benar tepat: pasangan ini berjaya bergerak ke paras tersebut pada petang hari Jumaat dan kekal berada di situ semasa berakhirnya minggu dagangan;
  • GBP/USD. Sejak 8 Oktober, matawang British telah berjaya memperoleh hampir 800 mata, atau lebih kurang 6%. Semua ini berpunca daripada Brexit yang diharap akan berakhir dengan kejayaan setelah mengharungi 3.5 tahun yang amat memenatkan. Sikap optimis ini berada pada paras tertingginya pada hari Khamis, 17 Oktober dan nilai pound mencecah 1.2990 pada waktu itu. Kemudian proses pembetulan berlaku dan mengakhiri minggu tersebut pada paras 1.2940; 
  • USD/JPY. Jika diingat semula, pendapat para penganalisis berkenaan yen terbahagi sama pada minggu lalu: satu pertiga mengunjurkan pertumbuhan, satu pertiga melihat penurunan dan satu pertiga lagi memilih trend ke arah sisi. Pendapat mereka semua adalah tepat. Pada mulanya, pasangan ini turun sedikit ke paras 108.02. Kemudian naik ke paras 108.90, dan selepas itu bergerak ke arah sisi, dan ia berada pada paras yang hampir sama seminggu sebelum itu iaitu pada zon Pivot Point antara 108.40-108.45; 
  • Matawang Kripto. Para pengguna Twitter menganggarkan harga matawang kripto utama telah meningkat sebanyak 838,078,685% dalam tempoh 10 tahun. Lonjakan seperti itu tidak mungkin akan berlaku lagi. Sebelum ini, lonjakan nilai Bitcoin adalah berpunca daripada berita pelancaran projek-projek utama seperti Libra oleh Facebook serta TON oleh Telegram. (Masih tidak jelas mengapa ia berlaku. Jika benar kedua-dua coin itu dilancarkan, ia pasti akan memberi saingan hebat kepada Bitcoin). Namun, terdapat kerajaan serta pengamal undang-undang yang menentang projek Facebook itu, dan Telegram juga telah menunda tarikh pelancaran TON atas sebab-sebab perundangan di Amerika. Justeru, jika kedua-dua alat dagangan ini tidak lenyap, nilainya pasti lemah. Semua ini mampu memberi kesan terhadap pasaran kripto. Sepanjang sepuluh hari lalu, nilai modal pasarannya turun daripada $236 bilion kepada $224 bilion, dan seperti yang dijangka kebanyakan penganalisis kami, nilai Bitcoin jatuh ke had paling bawah koridor sisi antara $7,795-8700.
    Ethereum (ETH/USD) dan Litecoin (LTC/USD) turut sama bergerak ke arah bawah seperti yang berlaku pada matawang kripto utama. Namun, Ripple (XRP/USD) telah menunjukkan sikap degilnya sepanjang empat minggu yang lalu. Sepanjang masa tersebut, nilai coin itu naik sebanyak 40%, kemudian kembali ke paras sokongan/rintangan yang kuat di zon 0.30. Berkemungkinan, kenaikan ini telah disebabkan oleh beberapa berita positif berkenaan syarikat tersebut.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • GBP/USD. Semua yang bakal berlaku ke atas pound pada minggu hadapan akan memberi kesan besar terhadap sebut harga matawang utama yang lain, disebabkan itu kami letakkan ramalan pasangan ini sebelum Euro/Dolar.
    Hakikatnya, perjanjian Brexit yang baru secara asasnya adalah sama dengan yang diusulkan oleh Perdana Menteri sebelum ini, Theresa May di mana ia telah ditolak sebanyak tiga kali di Parlimen British. Sekarang, Perdana Menteri Boris Johnson pula akan cuba untuk mendapatkan persetujuan pada hari Sabtu, 19 Oktober. Tanpa sokongan Parlimen, perjanjian bersama EU tersebut tidak akan berkuatkuasa.
    Perbezaan ketara versi Johnson adalah ketiadaan apa yang digelar sebagai “Irish backstop”, risiko terbesar yang diambil UK untuk meninggalkan kastam Kesatuan Eropah. Namun Johnson gagal untuk menutup sepenuhnya sempadan tersebut, dan Ireland Utara masih lagi perlu mematuhi undang-undang perdagangan EU. Dalam hal ini, ramai melihat ia menjadi suatu ancaman kepada kejatuhan United Kingdom. Parti kesatuan Demokratik Ireland Utara juga tidak begitu bersetuju dengan langkah tersebut. “Kami tidak berhasrat untuk menyertai projek ini,” jelas ketua DUP Arlene Foster. “Ini bukanlah pengakhirannya. Malah bukan permulaan kepada suatu pengakhiran!”
    Justeru, buat pertama kalinya sejak peperangan Falklands pada tahun 1982, para MP akan membatalkan rancangan hujung minggu mereka dan bertemu dalam mesyuarat tergempar. Semasa ramalan ini ditulis, kami masih tidak tahu bagaimana “super Saturday” berakhir. Perkiraan ringkas menunjukkan Johnson hanya memerlukan beberapa undian lagi namun beliau tidak akan mendapatnya dan semua ini akan gagal serta memulakan semula ketidaktentuan mengenai Brexit.
    Dalam apa jua keadaan, berkemungkinan besar terdapatnya jurang yang agak besar di pasaran semasa ia dibuka pada hari Isnin, 21 Oktober nanti. Hampir 20% pengayun sudahpun memberi isyarat matawang British itu telah dibeli secara berlebihan. Jika langkah yang diambil Johnson gagal, kita akan dapat lihat serangan balas bear yang agak hebat dan kembalinya pasangan ini ke paras terendah awal Oktober lalu di sekitar 1.2200. (Paras sokongan pada 1.2515, 1.2380 dan 1.2289). Jika Perjanjian tersebut diluluskan, pound mempunyai peluang yang amat besar untuk melepasi paras maksimum tahunan pada 1.3380.
    Jika kita beralih daripada ramalan mingguan ke ramalan jangka sederhana, sangat jelas bahawa pound masih lagi akan menerima tekanan walaupun Brexit secara terkawal berlaku. Pastinya ekonomi di UK yang sudah biasa bekerjasama dengan EU akan mula bergelut apabila dibiarkan sendiri, dan seterusnya memaksa Bank of England untuk mengurangkan kadar faedah serta mengambi beberapa langkah bagi melonggarkan polisi kewangannya. Dalam situasi ini, berkemungkinan besar nilai pound akan jatuh dan pasangan ini kembali ke zon 1.3100; 
  • EUR/USD. Pada minggu ini, keputusan bagi kadar faedah People’s Bank of China akan diketahui pada hari Isnin 21 Oktober, manakala untuk ECB pula pada hari Khamis 24 Oktober. Jika kadar di Eropah kekal tidak berubah, Beijing mungkin akan memberi sedikit kejutan pada pasaran. Data aktiviti perniagaan di Jerman juga akan dikeluarkan pada hari Khamis, dan ia juga perlu diberi perhatian. Namun, seperti yang telah dinyatakan, trend utama pasangan ini akan ditentukan oleh pound, sama ada menarik Euro ke atas, atau menyongsangkan arahnya beratus mata ke bawah. Sasaran bear adalah paras terendah antara September-Oktober iaitu 1.0850-1.0925, sasaran bull pula antara 1.1250-1.1350.
    Buat masa ini, majoriti penganalisis (80%) menjangkakan Boris Johnson mampu untuk mendapatkan undian yang beliau perlukan di Parlimen, dan hanya 20% meramalkan penurunan pasangan ini. Menariknya, jika beralih ke ramalan jangka sederhana, perkara sebaliknya pula yang berlaku, 80% menunggu pasangan ini untuk turun ke zon di antara 1.0800-1.0900 menjelang hujung tahun ini;
  • USD/JPY. Sasaran untuk yen masih lagi sama. Zon sokongan - 107.00, 106.65 dan 105.70, rintangan pula - 109.00 dan 109.85. Hanya mood penganalisis saja yang berubah. Jika pada minggu hadapan 60% daripada mereka mengunjurkan pertumbuhan pasangan ini, dan 40% melihat akan berlakunya penurunan, nilai semua ini adalah bertentangan jika kita beralih ke ramalan jangka sederhana: 40% menjangkakan pertumbuhan manakala 60% lagi memilih penurunan.
    Indikator juga tidak menunjukkan sebarang persamaan. Jika 80% pengayun pada H4 berwarna merah serta 20% isyarat mengatakan ia sudah terlebih jual, namun 80% berubah menjadi warna hijau pada D1 dan 20% percaya pasangan ini sudah terlebih jual.
    Percanggahan ini telah dirumuskan oleh analisis grafik pada D1, pertama sekali nilainya jatuh ke paras 107.50, dan kemudian naik ke paras 109.00;
  • Matawang Kripto. Sudah hampir sebulan pasangan BTC/USD bergerak di sepanjang koridor antara $7,795-8,700 dengan $8,300 sebagai Pivot Point, bermula pada 25 September. Perkara yang sama berlaku antara pertengahan bulan Mei hingga pertengahan Jun. Namun, jika anda mengambil kira teori alunan Elliot, ketika itu berlakunya penangguhan (atau alunan pembetulan #4) antara alunan impuls #3 dan #5 bagi trend ke atas (ia jelas kelihatan pada tempoh masa W1). Kini gambarannya adalah bertentangan, dan jika menggunakan teori Elliot sekali lagi, dapatlah kita lihat penghujung alunan #5 sudahpun menunjukkan trend ke bawah. Secara teorinya, kita harus menjangkakan pasangan ini akan mengalami pembetulan ke arah atas, terutamanya selepas indikator MFI pada H4, D1 dan W1 berada di zon rendah serta kritikal, manakala MACD pada H4 dan D1 menunjukkan pencapahan. Namun, dalam perihal matawang kripto, sudah berulang kali analisis grafik serta teknikal tersasar. Apa yang lebih utama adalah berita-berita penting serta manipulasi yang dibuat oleh pihak spekulator. Hakikatnya, nilai Bitcoin telah jatuh lebih daripada 40% dalam tempoh empat bulan, dan Indeks “Fear & Greed” matawang kripto masih lagi berada di zon “Fear”.
    Sentimen pesimis disokong oleh 60% penganalisis yang mengharapkan pasangan ini berjaya melepasi sempadan bawah koridor tersebut serta penurunan nilai pasangan BTC/USD ke zon di antara $7,000-7,400. Baki 40% penganalisis lagi juga tidak meramalkan sebarang kenaikan. Mereka berpendapat, matawang kripto rujukan ini akan didagangkan antara $8,300-8,700 bagi setiap 1 coin pada minggu yang akan datang.

Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi  21 – 25 Oktober, 20191

 

Roman Butko, NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami