Disember 15, 2019

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Seperti yang dijangka, pihak Rizab Persekutuan serta ECB mengekalkan kadar faedah mereka. Dalam masa yang sama, hampir tiada reaksi dari pasaran terhadap perkara itu. Presiden Donald Trump serta ketua ECB Christine Lagarde memihak kepada dolar pada minggu lalu.
    Presiden AS memberitahu para penyokong beliau “kita (negara AS) sudah hampir mengikat perjanjian penting bersama China. Mereka mahukannya seperti kita juga!” » Terdapat percanggahan dalam kenyataannya, kerana sebelum itu Presiden Trump berkata hanya Beijing yang memerlukan perjanjian dagangan tersebut, namun kini Washington juga turut mahukannya.
    Kemudian, menurut petikan laporan Bloomberg, Trump sudahpun menandatangani perjanjian interim bagi mencegah kadar tarif dinaikkan pada 15 Disember. Selain menghalang daripada duti baru dihasilkan, ia juga akan mengurangkan kadar tarif semasa ke atas pelbagai jenis barangan import dari China.
    Perkara kedua yang mendorong nilai dolar ke atas adalah kenyataan Christine Lagarde. Beliau berkata walaupun ECB telah membuat pelarasan terhadap unjuran KDNK serta kadar inflasi bagi tahun 2020, mereka akan meneruskan parameter dalam polisi kewangan yang sedia ada.
    Akibat daripada tindakan kedua-dua orang pemimpin ini, matawang Euro sudah pasti mencatatkan prestasi yang teruk jika bukan kerana keputusan yang dicapai pada pilihanraya parlimen di UK. Kejayaan parti Konservatif telah menolak pound ke atas, dan dalam masa yang sama turut membawa Euro bersama-sama. Hasilnya, secara maksimum, pasangan EUR/USD melonjak ke zon sokongan-rintangan jangka sederhana yang kukuh pada paras 1.1200. Namun, keseimbangan kuasa dikembalikan, dan pasangan ini akhirnya berada pada paras 1.1116;
  • GBP/USD. Sudah tentu, akibat daripada keputusan pilihanraya, terdapat jurang yang terhasil bukan saja oleh Euro, malah buat pertama kalinya oleh pound. Parti konservatif yang diterajui Perdana Menteri sekarang iaitu Boris Johnson menang majoriti kerusi di Parlimen, dan perkara ini memberi sedikit sinar baru mengenai bila Brexit akan berakhirnya, dan pada 31 Januari 2020, proses perpisahan UK daripada EU akan bermula.
    Kebiasaannya, keputusan pilihanraya seperti itu sudah dijangka oleh pasaran. Justeru, setelah pasangan GBP/USD melonjak hampir 500 mata dan melepasi paras 1.3500, ramai pelabur mula menutup posisi long dan ia turut dibantu oleh tindakan Presiden Trump seperti yang dinyatakan sebelum ini. Akhirnya, matawang British itu kerugian hampir 180 mata ketika sesi dagangan ditutup, penurunannya terhenti pada paras 1.3340;
  • USD/JPY. Walaupun matawang Eropah serta British melonjak lebih tinggi berbanding dolar, nilai yen pula adalah sebaliknya. Jika diingat kebanyakan penganalisis memilih pertumbuhan pasangan ini ke paras 109.75 pada minggu lalu, ternyata ianya tepat 100%.
    China dan juga AS sudah hampir untuk menandatangani perjanjian dagangan, dan pasaran saham di AS dilihat mencapai nilai tertinggi dalam sejarah pada hari Khamis 12 Disember lalu. Minat para pelabur sekali lagi beralih ke arah aset berisiko, sebagai contoh indeks saham niaga hadapan, ini menyebabkan berlakunya jualan matawang Jepun secara besar-besaran dan nilai maksimum kerugian yang dialami hampir mencecah 130 mata. Paras terakhir sebelum tamat sesi dagangan adalah pada 109.35;
  • Matawang Kripto. Sebelum berakhirnya minggu, Indeks Fear & Greed Kripto masih lagi berada pada paras ketiga terendah, iaitu pada bacaan 29 yang membawa maksud pelabur sederhana takut. Itulah yang berlaku di pasaran: belian secara sederhana tetapi jualan yang aktif. Pasangan BTC/USD bergerak pada julat antara $7,100-7,700 sepanjang minggu dengan memberi sedikit kelebihan kepada bear, sedikit demi sedikit menolaknya ke sempadan bawah saluran ini. Dalam tempoh tujuh hari, Bitcoin rugi hampir 4.5% nilainya. Dinamik sama ditunjukkan oleh altcoin utama, seperti Ripple (XRP/USD), Ethereum (ETH/USD) serta Litecoin (LTC/USD) dengan mengulangi pergerakan matawang rujukan mereka.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Sekali imbas, terdapat pelbagai peristiwa penting yang akan berlaku pada minggu hadapan. Antaranya data PMI Markit di Jerman serta EU yang akan dikeluarkan pada hari Isnin, 16 Disember, ucapan Presiden ECB pada hari Rabu, serta data tahunan KDNK di AS yang akan dikeluarkan pada hari Jumaat, 20 Disember. Namun, hanya sia-sia saja jika mengharapkan kadar akan melonjak seperti apa yang telah berlaku selepas pilihanraya di UK pada minggu lalu. Sesetengah penganalisis percaya bahawa pasangan ini akan mendapat tekanan akibat kejayaan rundingan dagangan antara AS-China. Manakala yang lain pula mengunjurkan pasangan ini akan terus bergerak ke atas buat sementara waktu akibat daripada inersia sebelum ini.
    Perlu diingat bahawa 85% pengayun serta indikator trend pada D1 masih lagi berwarna hijau. 85% penganalisis juga menantikan pertumbuhan berterusan pasangan ini dalam masa terdekat. Namun, pada pendapat mereka, pertumbuhan tersebut tidak begitu besar. Pasangan ini akan cuba sekali lagi untuk melepasi paras rintangan 1.1200, dan dengan mengambil kira tindak balas yang akan diterimanya, ia mungkin akan naik ke zon di antara 1.1225-1.1235. Paras rintangan berikutnya adalah pada 1.1255. Walau bagaimanapun, ia akan mengalami perubahan trend ke arah bertentangan selepas itu dan kembali ke zon di antara 1.1000-1.1100. Senario ini akan mengambil masa satu ke tiga minggu untuk berlaku, dan 65% penganalisis serta analisis grafik pada D1 bersetuju dengannya;

Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi  16 – 20 Disember, 20191

  • GBP/USD. Bagi lima hari seterusnya, kita akan memperoleh statistik makroekonomi di UK secara terus-menerus. Pada hari Isnin, data Khidmat PMI Markit, hari Selasa pula data kadar pengangguran ILO, indeks harga pengguna pada hari Rabu, manakala keputusan kadar faedah Bank of England serta laporan polisi kewangan mereka pada hari Khamis, dan akhir sekali, data KDNK bagi suku ketiga pada hari Jumaat. Tiada sehari pun yang tertinggal. Namun yang paling utama sekali, pasaran menantikan dengan penuh debaran tentang apa yang akan Perdana Menteri Boris Johnson kata dan lakukan mengenai permulaan proses Brexit. Jangan lupa beliau hanya ada sehingga 31 Januari 2020 bagi meratifikasikan perjanjian bersama Kesatuan Eropah di Parlimen.
    Dalam masa yang sama, ramalan penganalisis terhadap pound hampir sama dengan Euro. Kebanyakan daripada mereka (65%), disokong 90% indikator pada D1 percaya bahawa pasangan ini akan sekali lagi melonjak ke paras 1.3500 yang akan dicapai pada malam Khamis 12 Disember sehingga hari Jumaat 13 haribulan. Namun, hanya 25% percaya lonjakan tersebut akan berlaku. Baki 75% penganalisis yang mendapat sokongan analisis grafik percaya pasangan GBP/USD akan sekali lagi berada di zon antara 1.3100-1.3200 tidak lama lagi. Hakikatnya, mengapa tidak? Apa kelebihan yang ada pada UK setelah meninggalkan EU? Itulah persoalannya;
  • USD/JPY. 75% penganalisis percaya bahawa perkembangan yang berlaku daripada rundingan dagangan antara AS-China akan terus menolak pasangan ini ke atas. Peningkatan hasil spread bon kerajaan AS dan Jepun selama 10 tahun ke atas pasaran hutang akan menambah lagi sokongan. 85% pengayun, 95% indikator trend serta analisis grafik pada D1 bersetuju dengan ramalan ini. Paras rintangan paling hampir adalah pada 109.70, sasarannya adalah untuk menyatukan nilainya pada zon di antara 110.00-111.00.
    Baki 25% penganalisis percaya pasangan ini tidak akan mampu untuk melepasi koridor sisi di antara 108.40-109.70, dan ia akan terus kekal bergerak di situ sekurang-kurangnya sehingga penghujung tahun. Kebarangkalian pergerakan trend ke arah berbeza serta kembalinya pasangan ini ke paras sokongan 108.40 juga dinyatakan oleh 15% pengayun yang memberi isyarat jelas bahawa pasangan ini sudah dibeli secara berlebihan. Paras sokongan seterusnya adalah pada 108.25;
  • Matawang Kripto. Indeks Fear & Greed Kripto masih berada pada paras ketiga terendah dan ia semakin menurun, jatuh ke paras 22. Umumnya, keadaan sekarang berada dalam fasa tidak berkembang. Namun pasaran kripto terkenal dengan kenaikan mendadak selepas lama menyepi. Ataupun sebaliknya. Lagipun, kebanyakan pedagang yang mengikuti pasaran ini mahu mengaut keuntungan daripada kecairan matawang kripto yang tinggi.
    Buat masa sekarang para spekulator tidak kisah sama ada pasaran berada dalam keadaan bullish ataupun bearish. Disebabkan itu, walaupun harganya menurun, rangkaian Bitcoin terus berkembang dan kini ia telahpun mencecah rekod sebanyak 28.4 juta alamat. Perkara ini telah disahkan oleh khidmat data CoinMetrics. Dinamik yang hampir sama dilihat pada penghujung tahun lalu ketika Bitcoin didagangkan pada nilai $3,200. Ketika itu, kebanyakan pelabur mengambil peluang untuk membeli coin tersebut dengan aktif ketika nilainya jatuh.
    Menurut perkhidmatan glassnode, bilangan walet yang memiliki jumlah bitcoin melebihi seribu kian meningkat, dan para pemilik mengharapkan ia akan memberi pulangan terutamanya daripada sekatan ke atas penghasilan yang dijadualkan akan bermula pada Mei 2002.
    Menurut pengasas bersama Morgan Creek Digital Anthony Pompliano, sekatan itu mampu menggandakan harga Bitcoin, namun pertumbuhannya adalah berkala. “Saya tidak rasakan harganya akan meningkat sehari selepas penghasilannya disekat, tetapi saya percaya nilai yang ada sekarang akan meningkat kepada $100,000 menjelang Disember 2021,” ramal usahawan itu.
    Masih ingatkah anda saiz ganjaran yang diterima rangkaian bitcoin akibat sekatan penghasilannya menyusut dua kali ganda, daripada 12.5 menjadi 6.25 coin bagi setiap blok. Namun ia mengambil masa lima bulan untuk semua itu berlaku. Jika bercakap tentang ramalan jangka pendek, 65% penganalisis mengunjurkan penurunan pasangan BTC/USD ke zon di antara $6,500-6,800. Baki 35% berpendapat pasangan ini akan cuba untuk berada pada paras melebihi $8,000.

 

Roman Butko, NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami