September 12, 2020

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Berikutan mesyuarat ECB yang berlangsung pada 11 September, nilai Euro cuba untuk naik ke atas, malah mencecah paras 1.1920, namun sejam selepas itu pasaran memutuskan semua itu tidak lagi penting, dan nilai pasangan EUR/USD serta-merta kembali ke posisi asal mereka. Hasilnya, seperti yang dijangka satu pertiga penganalisis, pasangan ini gagal untuk keluar daripada saluran yang dilaluinya sepanjang tujuh minggu lalu di antara 1.1700-1.2010. Tambahan pula, julat dagangannya semakin mengecil kepada 1.1750-1.1920, kembali ke paras terakhir bulan Ogos.
    Jadi, apa sebenarnya yang berlaku?
    Dari satu segi, kenyataan oleh penggubal dasar Kesatuan Eropah rupa-rupanya lebih agresif dari apa yang pelabur jangkakan. Pihak ECB telah mengambil langkah yang sangat optimis terhadap prospek ekonomi di eurozone. Semasa sidang akhbar dijalankan, ketuanya iaitu Christine Lagarde berkata statistik makro menunjukkan permintaan domestik dan juga aktiviti dalam sektor pembuatan kini pulih dengan pesat. Namun, beliau menekankan agar tidak bertindak secara melulu terhadap pertumbuhan nilai dolar sepanjang lima bulan lalu. Menurut beliau, para penggubal dasar tidak menumpukan pada kadar tukaran matawang Eropah tetapi memantau kesannya terhadap inflasi.
    Selepas kenyataan itu dikeluarkan, nilainya melonjak sehingga naik melebihi paras 1.1900. Namun, para pelabur dengan cepat mengingati pengunduran mendadak di pasaran saham AS, pengukuhan dolar selepas kejadian ini serta hari demi hari bertambahnya kemungkinan Brexit secara paksa akan berlaku, bukan saja ekonomi di UK akan terjejas, nasib yang sama juga akan menimpa EU. Akhirnya, perubahan trend mendadak berlaku, kadar sebut harga turun, dan pasangan ini mengakhiri minggu pada paras sama ia bermula iaitu 1.1840;
  • GBP/USD. Pihak yang mendapat faedah pada minggu lalu adalah pedagang yang membuka posisi short ke atas pasangan ini. Seperti yang dijangka kebanyakan penganalisis, nilai pound terus menyusut, rugi sebanyak 480 mata sepanjang minggu dan mengakhiri lima hari dagangan pada paras 1.2797.
    Punca pound dijual secara besar-besaran adalah disebabkan langkah terbaru Perdana Menteri Boris Johnson yang memperkenalkan rang undang-undang pasaran dalaman kepada Parlimen. Jika ia diluluskan, dokumen tersebut boleh menggagalkan perjanjian perpisahan negara itu daripada EU yang sudah dipersetujui. Sebagai respon terhadap tindakan itu, Brussels mengeluarkan notis akhir kepada British menuntut rancangan untuk menyemak semula Perjanjian dihentikan pada hujung September. Namun London tetap dengan pendirian mereka, tiada jalan keluar daripada kebuntuan ini, dan senario Brexit secara paksa mungkin akan berlaku.
    Amerika Syarikat juga turut serta dalam kekecohan itu. Speaker Dewan Perwakilan Kongres Nancy Pelosi berkata Amerika tidak akan menyokong apa-apa perjanjian dagangan dengan Britain jika negara tersebut melanggar Perjanjian Perpisahan EU.
    Kelembapan ekonomi British untuk pulih serta situasi wabak coronavirus yang tidak memberangsangkan turut menyumbang kepada penyusutan itu. Kombinasi semua faktor-faktor ini telah memberi tekanan kepada pound, tiada apa yang baik akan muncul dalam masa terdekat ini;
  • USD/JPY. Sejak sepuluh hari terakhir bulan Februari lalu, nilai pasangan ini sedikit demi sedikit mengalami penyatuan di sekitar 106.00. Seperti yang penganalisis jangkakan, ia tidak mampu untuk meninggalkan saluran 105.10-107.00. Melihat pada kejatuhan pasaran saham, kedua-dua matawang pasangan ini terus bergerak seiringan sebagai aset terlindung, memastikan proses penyegerakan mereka serta pengecilan julat dagangan kepada 60 mata di antara 105.80-106.40. Paras terakhir selepas lima hari berada pada 196.10;
  • Matawang Kripto. Selepas cubaan untuk berada di atas paras $12,000 sekali lagi gagal dan turun ke paras antara 2-4 September, Bitcoin menghentikan pergerakannya pada paras sokongan penting di zon $10,000. Pasangan BTC/USD telah didagangkan pada julat yang amat sempit di antara $10,000-10,350 sepanjang minggu lalu. Bear dan bull kehabisan tenaga: bear sudah menetapkan untung jangka pendek, manakala bull telah membuka posisi long dengan diskaun nilai sebanyak 20% dari paras akhir bulan Ogos. Sudah pasti, kedua-dua pihak tidak menggunakan sepenuh tenaga dalam percubaan tersebut, menambah turun naik nilainya di antara $9,850-10,500, namun ianya tidak membuahkan sebarang hasil. Pada petang Jumaat, 11 September, semasa ulasan ini sedang ditulis, matawang kripto utama itu didagangkan di zon $10,300. Sudah pasti ramai yang menjangkakan peningkatan mendadak harganya pada hujung minggu, terutama sekali pada malam Ahad hinggalah Isnin. Walau bagaimanapun, seperti yang biasa berlaku, trend seperti itu hanyalah bersifat jangka pendek.
    Anda harus maklum bahawa pergerakan bitcoin dalam saluran sempit tidak menghalangnya daripada mencipta rekod tertinggi yang baru untuk jumlah transaksi dan juga kadar hash. Menurut platform analisis Glassnode, kadar hash Bitcoin pada 8 September adalah 156 EH/s - itu adalah rekod tertinggi yang pernah dicatatkan. Kadar hash tertinggi sebelum ini dicatatkan pada 11 Mei, sebelum pengurangan penghasilan ketiga berlaku. Ia mencecah 152 EH/s, namun turun kepada 90 EH/s tidak lama selepas itu.
    Bilangan transaksi bulanan adalah melebihi 600 ribu. Selain itu, terdapat juga peningkatan pada jumlah purata transaksi harian yang mencecah 130.110 BTC, ia adalah satu rekod baru. Menurut Chainalysis, pindahan bersaiz kecil dan sederhana yang mencecah sehingga $10,000 dari segi saiznya telah bertambah lebih daripada $300 juta.
    Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto kekal tidak berubah dan kini berada pada kedudukan 41 mata (40 pada minggu lalu). Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto kekal kira-kira pada paras yang sama, $334 bilion.
    Jika diingat jumlah paling sedikit yang dicatatkan tahun ini pada 16 Mac hanyalah berjumlah $134 bilion. Jika begitu, peningkatan jumlahnya adalah sebanyak 150% sepanjang 6 bulan yang lalu. Dalam masa yang sama, bitcoin terus kehilangan kedudukannya. Indeks dominasinya telah turun daripada 63.75% kepada 57.45% untuk tempoh yang sama. Sebaliknya, prestasi Ethereum adalah lebih baik, ia menunjukkan peningkatan daripada 10.40% kepada 12.04%.
    Fi transaksi yang tinggi menyebabkan altcoin ini sukar untuk diakses pelabur-pelabur kecil. Namun ia menarik minat kebanyakan “jerung”. Menurut maklumat dari platform analisis Santiment, sebanyak 68 pelabur besar baru telah memiliki 1000 hingga 10000 ETH ($350,000 - $3,500,000) tiga hari selepas nilai ethereum turun 30% dan menambah jutaan dolar ke dalam modal pasaran coin tersebut. Justeru, ethereum masih kekal sebagai matawang kripto kedua terbesar dan nombor satu dikalangan altcoin dari segi jumlah modal pasaran, kira-kira $40 bilion.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Mari mulakan dengan hakikat bahawa kedua-dua indikator trend dan juga pengayun tidak boleh memberi sebarang isyarat jelas selepas tujuh minggu bergerak secara mendatar di saluran antara 1.1700-1.2010 dan berakhir pada kedudukan tengah iaitu 1.1840. Pendapat penganalisis terbahagi sama rata. Malah analisis grafik turut menunjukkan turun naik pasangan ini pada saluran tersebut sehingga akhir September. Walau bagaimanapun, melihat pada carta, akhirnya bear akan mula mendapat kelebihan, awal bulan Oktober akan menandakan pengukuhan nilai dolar serta penurunan sebut harga EUR/USD ke paras 1.1600.
    Akibat penurunan kadar permintaan terhadap aset berisiko serta perasaan takut akan berlakunya Brexit secara paksa, kebanyakan penganalisis menjangkakan kedudukan nilai Euro akan mengukuh berbanding pound British, turun berbanding yen Jepun dan mencapai kejayaan berbeza dalam persaingannya dengan dolar tanpa mengikuti trend yang stabil.
    Berbeza dengan kenyataan yang dibuat Christine Lagarde, sumber Reuters mendakwa pihak ECB tidak peduli sama sekali dengan kadar tukaran mereka, walaupun bank tersebut enggan memulakan perang dengan pihak Rizab Persekutuan AS disebabkannya. Mereka berpendapat, kadar 1.2000 adalah hampir dengan kadar keseimbangan dan buat masa ini sesuai untuk kedua-dua belah pihak. Dalam masa yang sama, penganalisis di Citigroup percaya jika sebut harga EUR/USD meningkat 5% lagi, pihak ECB akan memulakan langkah mereka dalam menyusutkan nilai euro. Tambahan pula, menurut Reuters, negara-negara di selatan Eurozone telah mula rasa gementar dengan matawang mereka yang semakin kukuh.
    Sementara itu, indikator utama dari Bloomberg menunjukkan pertumbuhan berterusan EUR/USD. Ia berpunca daripada kadar pemulihan ekonomi di benua Eropah yang lebih pantas berbanding di Amerika Syarikat. Jerman dan Norway adalah yang terpantas untuk pulih, diikuti dengan Perancis, Itali dan Sepanyol. Namun Amerika Syarikat dan Great Britain tidak berada dalam kelompok tersebut.
    Sedikit perubahan terhadap unjuran penganalisis mungkin akan berlaku setelah berakhirnya mesyuarat Rizab Persekutuan AS serta sidang akhbar oleh pihak pengurusan mereka yang akan berlangsung pada hari Rabu 16 September. Terdapat kemungkinan kecil penggubal dasar mereka akan mengurangkan kadar faedah semasa sebanyak 0.25%. Namun jika perkara ini berlaku tanpa disangka-sangka, keseimbangan kuasa serta situasi di pasaran akan berubah dengan mendadak;
  • GBP/USD. Punca mengapa nilai pound terus menyusut telah dinyatakan di atas. Jika hubungan antara London dengan Brussels yang kini tegang dapat dikurangkan, penyusutan matawang British itu boleh terhenti dan hanya selepas itu ia boleh mula bergerak ke atas. Sebenarnya situasi yang berlaku adalah agak serius kerana masa depan UK bergantung kepadanya. Jika Brexit secara paksa berlaku, ekonomi EU juga akan menerima tamparan hebat.
    Buat masa ini, kebanyakan penganalisis (60%) mengunjurkan penurunan berterusan pasangan ini. Mereka disokong oleh 100% indikator trend pada H4 dan 80% pada D1, serta 85% pengayub pada kedua-dua tempoh masa. Baki 40% penyokong bull pula, mereka disokong oleh analisis grafik pada D1, baki indikator trend serta 15% pengayun yang telah memberi isyarat bahawa pasangan ini mempunyai lebihan jualan. Semua ini menunjukkan jika trend tidak berubah, sekurang-kurangnya pembetulan mungkin akan berlaku tidak lama lagi.
    Sedia maklum jika beralih daripada ramalan mingguan ke bulanan, bilangan penganalisis yang memilih perubahan arah trend pasangan ini ke atas meningkat daripada 40% kepada 70% (dengan harapan konflik bersama EU dapat diselesaikan).
    Paras sokongan berada pada 1.2650, 1.2465 dan 1.2250, manakala rintangan pula berada pada 1.3000, 1.3050, 1.3185, 1.3265. Sasarannya adalah paras tertinggi pada 1 September, iaitu 1.3480.
    Minggu depan akan dipenuhi dengan pelbagai peristiwa ekonomi yang penting. Harus diingat, hari Isnin 14 September, Parlimen akan membuat undian mengenai terma-terma Brexit serta mendengar laporan inflasi. Pasaran buruh di UK akan diketahui pada hari Selasa, 15 September, diikuti dengan data pasaran pengguna pada 16 September. Peningkatan turun naik dijangka akan berlaku pada hari Khamis, 17 September apabila Bank of England bermesyuarat bagi membincangkan mengenai langkah penyelesaian terhadap isu kadar faedah serta jumlah pembelian aset di bawah program QE;
  • USD/JPY. Pada 17 September juga, Bank of Japan akan mengadakan mesyuarat dan berkemungkinan besar kadar faedah mereka dibiarkan tidak berubah. Dari segi kadar pemulihan akibat wabak COVID-19, Jepun adalah antara negara yang terpantas. Justeru, tiada sebab untuk para penggubal dasar mereka membuat keputusan mendadak, dan hasil daripada mesyuarat itu mungkin tidak akan memberi sebarang kejutan dan kesan kepada pasaran.
    Adalah mustahil untuk meramalkan pergerakan pasangan ini jika berdasarkan pada analisis teknikal. Dengan julat turun naik maksimum mingguan sebanyak 60 mata serta penyatuan nilai pasangan ini di sekitar 106.00, tiada nasihat yang boleh indikator berikan.
    Namun majoriti penganalisis (60%) menjangkakan pengukuhan matawang Jepun serta penurunan pasangan ini ke paras 105.10, dan kemudian mungkin turun 100 mata lagi ke bawah. Baki 40% pula mensasarkan pada 107.00. Walau bagaimanapun, semua yang mungkin berlaku kepada pasangan USD/JPY nanti, termasuklah arah pergerakan trend serta turun naiknya tidak banyak bergantung kepada keadaan yen tetapi pada dolar, serta situasi yang berlaku pada jarak 11,000 km dari Tokyo - di New York dan juga Washington;

Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 14 - 18 September, 20201

  • Matawang Kripto. Untuk ramalan “terbaik” pada minggu lalu, tidak syak lagi tempat pertama adalah milik pencipta model nisbah antara saham dan aliran (S2F) popular dengan nama gelaran PlanB. Mengikut pengiraan beliau, bitcoin bukan saja akan mencecah nilai $288 ribu, malah ia juga akan menunjukkan pertumbuhan sebanyak tiga kali ganda. Menurut penganalisis, perkara ini akan menyebabkan nilai 1 BTC mencecah kira-kira $864,000 menjelang akhir 2024. Memahami reaksi pelabur dalam komuniti kripto mengenai angka sebanyak itu, PlanB menambah semuanya tidak mustahil kerana bitcoin pernah melakukan perkara yang hampir sama sebelum ini.
    Jika anda mengundurkan masa dan kembali ke November 2020 dari tahun 2024, anda boleh lihat tamparan hebat terhadap pasaran saham yang mampu ditimbulkan oleh pilihan raya presiden AS. Inilah yang bermain di fikiran ketua pelaburan syarikat 10T Holdings and Gold Bullion International iaitu Dan Tapiero. “Jika Donald Trump gagal meneruskan untuk penggal kedua”, beliau menjelaskan, “saham syarikat-syarikat di bawah kawalan Presiden itu akan mengalami kerugian. Hal ini akan memberi kesan terhadap sebut harga indeks yang paling besar. Bagi emas dan bitcoin, mereka mampu bertahan daripada keruntuhan pasaran saham. Jika pada waktu itu juga Rizab Persekutuan AS menurunkan kadar faedah mereka menjadi negatif, nilai dolar akan menyusut dengan mendadak dan menurut Dan Tapiero, hal itu akan memberi insentif mega kepada bull untuk bitcoin.
    Sekarang adalah ramalan untuk dua minggu terakhir bulan September. Indikator baru terhadap sentimen pelabur BTC yang dibentang sumber analitik CryptoQuant menunjukkan bitcoin sedang “mendapat permintaan tinggi daripada pelabur » pada nilai $10,000. Ia dikenali sebagai “Potensi Tekanan JUAL/BELI”. Prinsip operasinya adalah membuat pengiraan nisbah antara deposit bitcoin yang didagangkan dengan deposit stablecoin, dan hasilnya adalah berdasarkan hipotesis bahawa bacaan yang terhasil akan berkadar songsang dengan selera para pelabur.
    Buat masa ini parameter tersebut sedikit menyebelahi bullish. Kini bursa memiliki lebih banyak stablecoin daripada bitcoin berbanding pada awal tahun”, jelas Ki Yang Koo, dan beliau merumuskan: “Saya rasa trend bullish masih boleh berlaku”.
    60% penganalisis bersetuju dengan kemungkinan pertumbuhan sederhana pasangan BTC/USD ke zon antara $10,700-11,200. Baki 40% lagi mensasarkan julat antara $9,500-10,350 tidak lama lagi.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami