Oktober 10, 2020

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Berulang kali telah kami sebutkan mengenai kebimbangan pihak ECB mengenai ancaman terhadap pemulihan ekonomi di Eurozone yang akan timbul jika nilai euro semakin kukuh. Walau bagaimanapun, tiada siapa antara ketua ECB iaitu Christine Lagarde atau rakan sejawat beliau yang mahu mulakan perang matawang dengan pihak Rizab Persekutuan AS. Oleh yang demikian, mereka cuba untuk mengubah keadaan di pasaran dengan perkataan, dan bukannya dengan tindakan.
    Minit mesyuarat ECB bagi bulan September adalah untuk meyakinkan para pelabur dengan mengatakan tidak lama lagi para penggubal dasar mungkin akan menambah jumlah program pelonggaran kuantitatif (QE) mereka dalam usaha untuk menyelamatkan ekonomi daripada gelombang kedua COVID-19, malah mungkin akan menurunkan kadar faedah. Melihat pada kadar sebut harga, pasaran pada mulanya mempercayai semua itu: kedudukan pasangan EUR/USD menurun, manakala nilai dolar mengukuh. Namun semua itu tidak berpanjangan: setelah rugi kira-kira 80 mata dan mencecah zon 1.1725, arah pergerakan pasangan ini berubah dan naik semula, mengakhiri tempoh lima hari dagangan pada paras 1.1825. Hasil daripada itu, kedudukannya kini kembali ke zon tengah di saluran sisi antara 1.1710-1.1920, sempadan sama yang telah terhasil pada awal bulan Ogos lalu.
    Berkemungkinan besar, perubahan trend seperti itu ada kaitannya dengan ramalan mengenai keputusan pilihan raya presiden UA yang akan diadakan pada 3 November nanti. Joe Biden yang dijangka akan meraih kemenangan telah menarik pasaran saham ke atas dan mencetuskan penyusutan matawang Amerika itu sekali lagi. Indeks S&P500 naik sebanyak 265 mata dalam masa seminggu setengah, manakala nilai dolar menyusut sebanyak 210 mata dalam masa dua minggu. Meskipun begitu, semua ini mungkin berdasarkan pada emosi saja. Dapat dirasakan tiada siapa pun yang boleh menjelaskan kekuatan serta kemampuan Biden dari segi ekonomi AS jika dibandingkan dengan Trump;
  • GBP/USD. Kebiasaannya, dinamik pasangan ini akan mengulangi pergerakan EUR/USD, dan ia memberi maksud segala yang berlaku bukanlah bergantung pada turun naik matawang Eropah mahupun British, tapi berdasarkan pada dolar AS.
    Statistik makro yang menunjukkan keadaan ekonomi di British semuanya bertukar kepada warna merah. Data daripada sektor pembinaan, industri penghasilan, KDNK - semua berada pada bacaan negatif. Tiada sebarang perkembangan terbaru dalam rundingan ke atas Brexit. Namun pasaran tidak lagi memberi sebarang reaksi terhadap data-data ini. Jika kita lihat pada pencapaian minggu lalu, nilai pound telah memintas dolar walaupun pertumbuhannya agak kecil setelah mengalami pengukuhan lebih daripada 100 mata. Semua ini berpunca daripada pertumbuhan pasaran saham AS yang telah mengakibatkan penyusutan matawang Amerika secara umumnya (indeks DXY turun daripada 94.64 pada 25 September kepada 93.06 pada 9 Oktober). Kedudukan terakhir pasangan GBP/USD berada di zon Pivot Point yang telah didudukinya sejak 10 minggu lalu iaitu pada paras 1.3045;
  • USD/JPY. Hanya 15% daripada penganalisis yang bersetuju dengan pertumbuhan pasangan ini pada ramalan minggu lalu. Namun, pergerakannya menuruti ramalan tersebut pada awal minggu dan naik ke zon 106.00. Nampaknya, para pelabur tidak mahu berselindung di sebalik matawang Jepun yang sunyi dan memilih sentimen berisiko. Walau bagaimanapun, situasi tersebut kembali tenang, trend pasangan ini bertukar kepada mendatar, dan kedudukannya pada penghujung minggu pula kembali di sekitar kawasan yang sering dikunjungi sejak 25 September hinggalah 7 Oktober lalu - berada di zon 105.60. Justeru, hasil daripada dua minggu yang lalu boleh dikatakan sebagai sifar;
  • Matawang Kripto. Adakah bitcoin sudah menjadi aset terlindung sepenuhnya? Ramai penganalisis dan pelabur yang bertanyakan soalan ini. Memang benar, nilainya gagal untuk melepasi paras $11,000 untuk lima minggu berturut-turut, namun nilainya juga tidak turun, dan telah membentuk corak “segitiga menaik”.
    Kadar sebut harganya juga tidak menerima impak daripada berita mengenai keluarga Presiden Trump yang dijangkiti coronavirus, atau serangan penggodam, atau tekanan daripada penggubal dasar. Apakah reaksi Bitcoin terhadap tuduhan penipuan kewangan di BitMEX, salah sebuah bursa matawang kripto terbesar oleh pihak berkuasa CFTC Amerika dan juga pejabat pendakwa raya persekutuan? Tiada! Terdapat pula khabar angin mengenai aset kripto dengan nilai $200-300 juta yang dicuri daripada bursa KuCoin di Hong Kong. Sebelum ini, berita seperti itu pasti akan menyebabkan pasaran terganggu, Kini, keadaannya sunyi sepi.
    Tidak perlu diperkatakan lagi tentang penahanan pencipta anti virus terkenal McAfee yang menempa nama dalam dunia kripto akibat pertaruhan serta ramalannya yang dipenuhi skandal. Baiklah, John McAfee (seorang bekas calon presiden AS daripada parti Libertarian) telah mengelak dari membayar cukai dengan bantuan matawang kripto. Jadi? Sudah pasti berita itu dipenuhi sikap curiga. Namun ia tidak boleh menjadi sebab untuk menurunkan nilai bitcoin.
    Kadar turun naik matawang kripto ini telah mencecah paras paling rendah sejak dua tahun yang lalu. Satu laporan oleh pasukan perkhidmatan analitik CoinMetrics ada menyebut para pelabur lebih suka untuk menyimpan coin berbanding menjualnya dalam keadaan seperti sekarang ini. Percaturan para pelabur itu lebih giat berlaku sejak kejatuhan nilainya pada bulan Mac lalu. Para pelabur telah memindahkan bitcoin daripada bursa ke suatu tempat yang dipanggil sebagai walet kaku sejak kebelakangan ini, hal ini menunjukkan keinginan mereka untuk beralih ke simpanan matawang kripto jangka panjang. Bilangan alamat yang memiliki BTC lebih daripada satu tahun telah mencecah jumlah tertinggi pada bulan lalu - sebanyak 63.5% bitcoin tidak bergerak sejak musim bunga 2019.
    Minggu lalu, apabila nilainya tidak berada di bawah paras $10,500, pasangan BTC/USD sekali lagi cuba untuk melepasi rintangan pada paras $11,000 dan secara umumnya hal itu adalah konsisten dengan senario yang disebutkan penganalisis kami. Semasa ramalan ini dibuat, nilai matawang kripto utama berada pada paras $11,100. Namun, tidak dapat dipastikan lagi jika ia mampu kekal berada di zon itu kerana hari Sabtu dan Ahad akan tiba, dua hari yang mampu menggerakkan harga secara mendadak dalam pasaran yang agak kecil ini.
    Jumlah keseluruhan modal pasaran matawang kripto bertambah daripada $330 bilion kepada $349 bilion dalam tempoh tujuh hari. Tambahan pula, carta ini agak menyerupai carta BTC/USD yang sekali lagi mengingatkan kita mengenai coin manakah yang mendominasi pasaran. Bagi Indeks Fear & Greed Kripto pula, ia berada pada bacaan 48, hampir berada di tengah-tengah skala. Sedia maklum bahawa sejak hari pertama bulan September, bacaan indeks ini tidak pernah melepasi zon tengah, kekal berada pada julat antara 40 dan 50, dan ia konsisten sepenuhnya dengan kadar turun naik semasa pasangan BTC/USD yang rendah serta mengesahkan korelasi rapat antara dua indikator tersebut.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Jadi, tarikh pilihan raya bagi Presiden Amerika Syarikat semakin menghampiri, ia dijadual akan berlaku pada 3 November. Namun, apakah perubahan radikal yang mungkin akan berlaku? Secara teori, ia berkenaan penstabilan polisi kewangan yang mampu mengukuhkan matawang AS. Namun, kemampuan untuk pihak Rizab melaksanakan rancangan itu dilihat sudah mencapai pada kemuncaknya.
    Tidak kira siapa jua yang akan memegang jawatan tertinggi di White House, akhbar Wall Street Journal menganggarkan majoriti penganalisis (57%) percaya bahawa pasaran buruh tidak mampu untuk mengembalikan kadar pekerjaan kepada tahap sepenuhnya sehingga tahun 2023. Hal ini menambah lagi kemungkinan mengenai nilai dolar yang semakin susut serta pertumbuhan pasangan EUR/USD ke paras yang lebih tinggi. Sekali lagi kami akan bincangkan mengenai konflik matawang yang berlaku antara pihak Rizab dan juga ECB.
    Seperti yang telah dinyatakan, European Central Bank tidak mahu nilai dolar yang menyusut serta nilai euro yang kukuh, dan mereka lebih suka jika pasangan ini bergerak ke bawah. Antara faktor yang sering diguna oleh para penganalisis untuk menyakinkan para pelabur berbuat demikian adalah situasi epidemiologi COVID-19 yang semakin teruk di Eropah, serta ramalan negatif oleh penganalisis dari benua Amerika yang mampu mengembangkan lagi pelan tindakan rangsangan pihak ECB, termasuklah pengurangan kadar faedah serta mewujudkan program QE.
    Satu lagi faktor penting adalah pertumbuhan pasaran saham di AS. Ia amat penting selagi pasaran tersebut mengalami pertumbuhan. Jika secara tiba-tiba para pelabur mula menetapkan untung dalam skala besar sehari sebelum keputusan pilihan raya presiden diumumkan, nilai dolar akan naik dengan mendadak dan euro serta lain-lain matawang pula akan menyusut.
    Antara peristiwa paling penting dan menarik yang akan berlaku pada minggu depan adalah ucapan ketua ECB iaitu Christine Lagarde pada 12 dan 13 Oktober, statistik makro ke atas pasaran pelanggan di AS yang akan dikeluarkan pada 13 dan juga 16 Oktober, serta perbahasan antara calon-calin Presiden Amerika Syarikat yang akan berlangsung menjelang hujung minggu, iaitu pada hari Jumaat 16 Oktober nanti.
    - EUR/USD. 100% indikator trend pada H4 dan D1 adalah berwarna hijau. Di kalangan pengayun, majoritinya (75%) juga bersetuju dengan pergerakan ke atas, namun baki 25% sudah menunjukkan isyarat bahawa pasangan ini memiliki lebihan belian. Analisis grafik menunjukkan pasangan ini akan bergerak di sepanjang saluran antara 1.1710-1.1920 untuk beberapa hari, dan kemudian turun ke paras terendah antara 25-28 September di zon 1.1600. Bagi penganalisis, kebanyakan daripada mereka (60%) percaya bahawa sebelum pasangan ini mengalami penurunan, ia akan mula dengan bergerak ke sempadan atas saluran tersebut. Baki 40% pula menjangkakan penurunan mendadak ke paras 1.1600;
  • GBP/USD. Seperti yang berlaku kepada matawang lain, ramalan ke atas pasangan ini adalah berdasarkan kepada pertambahan serta pengurangan selera risiko para pelabur. Indeks GBR100 berjaya mengalami pertumbuhan sama seperti yang berlaku terhadap indeks di Amerika. Jika pasaran saham AS terus mengalami peningkatan manakala nilai dolar menyusut, pasangan GBP/USD akan terus mengalami pertumbuhan. Jika pelabur mula menjual secara besar-besaran dalam pasaran saham sebelum keputusan pilihan raya presiden Amerika diumumkan, jadi bolehlah kita unjurkan penurunan ke bawah mungkin akan berlaku. Keadaan yang tenang, seperti biasa akan menyebabkan keadaan di pasaran juga tenang.
    Bagi analisis teknikal dan juga grafik, bacaan yang ditunjukkan juga kebetulan menyamai “teman” mereka pada pasangan EUR/USD. Korelasi antara dua pasangan ini hanya akan terbatal jika dua faktor berikut berlaku: 1) jika terdapat perkara luar biasa yang mungkin terjadi semasa rundingan mengenai Brexit antara EU dan juga UK, atau 2) jika pihak ECB mengambil keputusan untuk menyokong ekonomi di Eurozone dengan pelan tindakan yang baru, manakala Bank of England pula, seperti yang mereka katakan, “kekal seperti biasa” iaitu tidak mengambil sebarang langkah-langkah insentif tambahan. Ucapan oleh ketua penggubal dasar iaitu Andrew Bailey yang seterusnya dijadualkan berlangsung pada hari Isnin, 12 Oktober, dan tidak terkecuali bahawa beliau akan menggariskan keutamaan Bank of England untuk suku terakhir pada tahun ini.
    Seperti yang dibincangkan, pasangan ini mengakhiri minggu lalu dengan berada di zon Pivot Point jangka sederhana yang hampir dengan 1.3045. Paras sokongan paling hampir berada di kedudukan 1.3000, paras seterusnya berada pada 1.2840, 1.2760 dan 1.2675. Paras rintangan pula berada di kedudukan 1.3120, 1.3185 dan 1.3265;
  • USD/JPY. Dengan mengambil kira hasil daripada dua minggu yang lalu, tiada apa yang jelas mengenai masa depan pasangan ini, dan pendapat para penganalisis (50% menyokong 50% menentang) juga tidak membenarkan sebarang kesimpulan untuk dibuat. Namun begitu, jika melihat pada bacaan analisis grafik dan juga pengayun pada D1, kelebihan masih memihak kepada bull, dan pasangan ini berpeluang untuk bergerak ke paras rintangan 106.00 terlebih dahulu, naik ke paras 106.40 selepas itu, dan akhir sekali mencecah ketinggian 107.20.
    Jika kita beralih daripada ramalan mingguan kepada bulanan, terdapat pendapat jelas dikalangan penganalisis, namun sebaliknya ia memihak kepada bear. 70% daripada mereka mengunjurkan pengukuhan nilai yen serta penurunan pasangan ini ke paras terendah yang didudukinya pada 21 September lalu iaitu 104.00. Paras sokongan berada pada 105.00 dan 104.45;
  • Matawang Kripto. Nilai indeks saham melonjak manakala pasangan BTC/USD mengalami pertumbuhan pada minggu lalu, mengukuhkan lagi teori korelasi antara bitcoin dengan indeks S&P500 dan juga Dow Jones. Walau bagaimanapun, sesetengah penganalisis percaya bahawa kebergantungan ini hanyalah bersifat sementara.
    Ketua Pegawai Eksekutif syarikat modal teroka Social Capital iaitu Chamat Palihapitiya dalam temubual bersama CNBC berkata, beliau masih melihat bitcoin sebagai dana yang terlindung daripada sistem kewangan moden. “Secara asas, BTC tiada hubung kait dengan pasaran tradisional kerana kewujudannya bergantung kepada nilai-nilai kepercayaan, dan ia bertentangan dengan prinsip pemerintahan dunia moden yang ada sekarang. Pelaburan bitcoin menjadi insuran supaya saya tidak perlu bimbang kalau-kalau bank-bank pusat serta pihak berkuasa di serata dunia gagal berfungsi”, jelas Palihapitiya.
    Menurut penganalisis di salah sebuah syarikat pemegang saham Tesla iaitu dana ARK Invest, jumlah keseluruhan modal pasaran bitcoin mungkin akan mencecah $5 trilion. Ia akan mengambil masa 10 tahun sebelum coin ini mencapai jumlah tersebut, namun pelaburan secara besar-besaran boleh bermula lebih awal. Jumlah permodalannya mampu mencapai $1 trilion dalam tempoh 5 tahun akan datang, dan jumlah tersebut akan terus bertumbuh dengan kadar yang lebih pantas selepas itu. Hal ini turut memberi kesan terhadap nilai aset. Justeru, menurut salah seorang ahli lembaga pengarah Bitcoin Foundation iaitu Bobby Lee, nilai coin boleh mencecah sehingga $500 ribu menjelang 2028.
    Ramalan yang dibuat oleh penganalisis Bloomberg iaitu Mike McGlone juga agak menarik. Beliau berpendapat, nilai bitcoin mampu mencecah $100k dalam tempoh 5 tahun. Logiknya agak mudah: nilai BTC adalah kira-kira $10 pada tahun 2011, pada 2013 pula - $1,000, dan ia mengambil masa selama empat tahun untuk nilainya mencapai $10,000 pada tahun 2017. Ini menunjukkan kadar pertumbuhannya semakin perlahan, dan ia akan mengambil masa lapan tahun untuk mencapai paras tertinggi yang baru selepas ini, dan bukannya empat tahun. Tiga tahun sudah berlalu, ini bermakna nilai BTC akan mencecah $100K menjelang tahun 2025. Mike McGlone juga menjangkakan nilai BTC akan kembali ke paras tertingginya pada tahun 2019 iaitu $14,000 menjelang akhir tahun ini.
    Bagi ramalan secara umum untuk minggu hadapan, nilainya akan bergerak 500 mata lebih tinggi berbanding pada minggu lalu: sokongan utama diunjur pada paras $10,500, paras rintangan pula pada $11,500. Anggaran penganalisis terhadap kebarangkalian coin ini akan melepasi paras $12,000 yang hanyalah sebanyak 10%.

Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 12 - 16 Oktober, 20201

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami