Januari 3, 2021

Jika seseorang bertanyakan pasangan matawang manakah yang paling penting dan paling cair di pasaran Forex, dengan serta-merta jawapan boleh diperoleh. Pedagang baru juga pasti akan mengatakan: “Sudah tentulah EUR/USD”. Tiada apa yang boleh menyangkal jawapan tersebut: jumlah dagangan pasangan ini mencecah $1.1 trilion setiap hari. Kedua-dua matawang itu mewakili dua ekonomi terkuat di dunia, dan dolar AS adalah rizab matawang pertama paling penting. Kebanyakan bank-bank pusat terus menyimpan sejumlah besar rizab matawang asing dan juga emas mereka (melebihi 60%) dalam dolar AS. Matawang euro berada di tempat kedua dengan 22%.

Ramalan 2021: Jangkaan Terhadap Matawang Euro dan Dolar1 

Semua harus maklum bahawa dolar semakin lama semakin kehilangan kedudukannya, menurut Bloomberg, dolar berada di kemuncak sebagai kaedah bayaran global (45.3%) pada April 2015. Kini, mengikut statistik SWIFT, matawang euro berjaya mendahului dolar, walaupun tidak begitu besar jurangnya. Pada Oktober 2020, 37.8% daripada pemindahan wang yang menggunakan sistem itu adalah euro, manakala dolar pula adalah sebanyak 37.64%. (Pound British berada di kedudukan ketiga dengan margin yang besar iaitu 6.92%).

Walaupun nilai matawang AS itu semakin menyusut, masih terlalu awal untuk melupakan tentang dolar. Bank for International Settlements (BIS) mengumumkan kira-kira 50% pembiayaan rentas sempadan dan juga bon antarabangsa adalah dalam matawang USD pada musim panas 2020. Akhir sekali, kira-kira separuh daripada invois dagangan dunia yang dikeluarkan adalah dalam dolar walaupun untuk dagangan bukan dolar.

Jangan pula diabaikan penilaian yang dibuat penganalisis pasaran mengenai pengukuhan nilai matawang berbeza dengan melihat pada Indeks Dolar AS (DXY). Malah, indeks tersebut adalah satu kelompok unit kewangan yang melibatkan enam negara, dan nilai matawang setiap negara perlu melalui perbandingan dengan USD. Euro memiliki bahagian paling besar iaitu 57.6% (bahagian untuk 5 lagi matawang hanyalah berjumlah 42.4%).

Kesemua statistik di atas menunjukkan dengan jelas pasangan EUR/USD berada pada kedudukan nombor 1 dalam kalangan pasangan utama Forex. Pasangan inilah yang menentukan trend utama pada matawang yang lain. Disebabkan itulah setiap pedagang harus tahu dan memahami apa yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku pada pasangan ini.

 

Sedikit Mengenai Sejarahnya

Agak mengejutkan, walaupun pasangan ini dilihat penting, kewujudan pasangan EUR/USD adalah agak baru. Matawang euro adalah hasil daripada pembentukan Kesatuan Eropah pada tahun 1992, bermula dengan bentuk bukan tunai, dan hanya pada 1 Januari, 1999, matawang itu dengan rasminya menggantikan matawang negara-negara anggota Kesatuan Eropah yang lain. Beberapa tahun kemudian, EUR menjadi satu-satunya bentuk bayaran yang diterima di Eurozone pada Jun 2002, menggantikan pasangan kegemaran pada waktu itu, Mark Jerman (USD/DEM) daripada pasaran.

Sebelum semua ini terjadi, terdapat dua peristiwa penting yang telah berlaku dan mempengaruhi pembentukan kadar tukaran EUR/USD selepas itu. Pertama sekali adalah pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS pada lewat tahun 2000, dan yang kedua adalah siri empat serangan terancang pengganas yang dibuat terhadap Amerika Syarikat pada 11 September 2001, serangan terbesar dalam sejarah manusia, termasuklah musnahnya pencakar langit berkembar World Trade Center di New York. Hasil daripada itu, bermula dengan kadar 0.93 dolar bagi setiap euro, kedudukan pasangan ini melonjak pada paras 1.60 menjelang pertengahan 2008. Dengan kata lain, nilai dolar menyusut lebih daripada 70% berbanding euro.

Walau bagaimanapun, Bank Negara Kesatuan Eropah (ECB) tidak mahu nilai euro begitu kukuh kerana ia akan menimbulkan masalah serius terhadap eksport di Eropah serta memberi tamparan hebat kepada keseimbangan dagangan. Justeru, campur tangan secara lisan mula berlaku di pasaran. Selain itu, berita positif berkenaan keadaan ekonomi di Amerika Syarikat juga sering didengari, dan disebabkan itulah pasangan EUR/USD mula mengalami penurunan serta merekodkan paras paling rendah dalam dekad kedua kurun ke-21 hampir dengan 1.032 pada akhir Disember 2016.

Ramai penganalisis kemudiannya membuat ramalan bahawa pasangan ini akan mencapai kesamarataan 1:1, namun ia tidak pernah berlaku. Kini kadar matawang Eropah itu berada di sekitar 1.22 dolar bagi setiap euro.  


Sorotan Peristiwa: Tahun 2020

Tepat setahun yang lalu, kami tuliskan ramalan yang dibuat penganalisis terkenal serata dunia berkenaan kadar EUR / USD bagi tahun 2020, dan kini bolehlah kami memilih ramalan manakah yang tepat dan sejauh manakah ia benar-benar berlaku.

Pada Disember 2019 lalu, para penganalisis daripada Deutsche Bank, Goldman Sachs, Bank of New York Mellon serta beberapa lagi bank lain telah mencapai kata sepakat, meramalkan penyusutan nilai dolar AS untuk tahun 2020. Alasan utama yang diberikan adalah kelembapan pertumbuhan ekonomi global. Selain itu, menjelang pilihan raya presiden, mereka turut menjangkakan Rizab Persekutuan AS akan terus mengurangkan kadar faedah, atau sekurang-kurangnya mengekalkan kadar yang ada akibat tekanan yang diterima dari Donald Trump.

Kedua-dua ramalan ini ternyata tepat. Jika indeks dolar DXY mengalami turun naik di sekitar 97 pada penghujung 2019, kadar tersebut turun di bawah paras 90 mata 12 bulan kemudian. Kadar faedah juga turun: kadarnya adalah 1.75% pada Disember 2019 - Januari 2020, turun pada 1.25% menjelang awal Mac, dan akhir sekali turun kepada 0.25%.

Jika diingat pada Disember 2019, jangkitan wabak COVID-19 di Wuhan China adalah yang pertama direkodkan, dan tiada siapa menjangka ia bakal menjadi pandemik global. Malah pada ketika itu, Financial Times menerbitkan ramalan penganalisis Citigroup yang menyatakan polisi pelonggaran kuantitatif (QE) yang dibuat oleh Rizab Persekutuan AS serta melambakkan wang murah ke dalam pasaran mampu menyusutkan nilai dolar. Pada waktu itu, penganalisis di Citigroup mendapat sokongan rakan sekerja mereka di bank Swiss iaitu Lombard Odier, serta salah sebuah syarikat pelaburan terbesar dunia, BlackRock. Ternyata senario ini juga tepat 100%, dan wabak coronavirus hanya memainkan peranan sebagai pemangkin dalam proses itu: hampir suku daripada semua dolar yang ada telah dikeluarkan dalam tempoh setahun lalu.

Hujah sesetengah ahli teori konspirasi mengatakan bahawa coronavirus sengaja dicipta bagi melaksanakan rancangan kerajaan rahsia dunia serta membantu para elit kewangan membeli dolar yang murah secara pukal. Namun ulasan ini bukan bertujuan untuk mendedahkan pelbagai jenis konspirasi. Justeru, mari kita beralih kepada angka-angka spesifik dan lihat ramalan manakah yang paling tepat.

Menurut Bloomberg, ramalan konsensus oleh operator pasaran terbesar itu mencadangkan matawang dolar AS akan “susut” 400-500 mata lagi menjelang akhir 2020, manakala pasangan EUR/USD akan naik ke zon 1.16.

Penganalisis di JPMorgan Chase menjangkakan pasangan ini akan berada pada paras 1.14 menjelang akhir 2020. Goldman Sachs dan Bank of America Merrill Lynch mengunjurkan paras 1.15. Manakala Deutsche Bank di Jerman serta Societe Generate di Perancis pula menunjukkan paras $1.20 bagi setiap dolar. Ternyata dua ramalan terakhir adalah yang paling tepat sekali: pasangan ini mencecah kedudukan tertingginya iaitu 1.225 pada penghujung 2020. (Harus diingat kesemua senario ini tidak mengambil kira kesan ke atas ekonomi akibat COVID-19).

 

Perkara Yang Bakal Berlaku: Tahun 2021

Sesetengah penganalisis percaya bahawa bagi Amerika Syarikat, permulaan wabak COVID-19 boleh disamakan dengan Perang Dunia Ketiga: jumlah kematian melebihi 300,000, satu pertiga daripada populasinya yang bekerja pula tidak memiliki sumber pendapatan tetap. Pandemik itu melanda negara tersebut pada penghujung kitaran pertumbuhan ekonomi selama 20 tahun dan juga tahun pilihan raya presiden. Ekonominya mendapat lebih banyak tekanan daripada perang dagangan ke atas China dan Eropah yang dimulakan oleh Donald Trump, serta pertambahan bekalan wang dolar.

Berkemungkinan besar, wang akan mengalir masuk ke Eropah secara aktif pada tahun 2021, manakala dolar akan berhadapan dengan penurunan nilai yang lebih rendah. Benar, penganalisis berbeza menilaikan kemungkinan penurunan kadar USD ke paras yang berbeza.

Sebagai contoh, Goldman Sachs mengunjurkan penurunan nilai USD hanya sebanyak 6% saja, manakala Morgan Stanley menjangkakan kedudukan pasangan EUR/USD akan naik daripada paras sedia ada kepada 1.25. (Sebenarnya, angka 1.25 itu banyak dilihat pada lain-lain ramalan sederhana).

Namun terdapat juga mereka yang meramalkan nilai matawang Amerika akan jatuh teruk. Ahli ekonomi terkemuka dan Presiden Euro Pacific Capital, Peter Schiff serta bekas ketua Morgan Stanley Asia yang juga anggota Lembaga Pengarah Rizab Persekutuan iaitu Stephen Roach menjangkakan penurunan nilai dolar mungkin akan mencecah 50% pada tahun 2021. Dalam masa yang sama, Roach percaya bahawa penyusutan nilai dolar mampu mencecah 35%. Penyusutan yang lebih kecil tetapi masih agak mengagumkan sebanyak 20% diramal oleh para penganalisis di Citigroup. Mereka berpendapat, kita boleh melihat kedudukan pasangan EUR/USD di zon antara 1.40-1.44 menjelang akhir tahun ini.

Apa yang boleh menghentikan penurunan nilai dolar?

Kebiasaannya, pengetatan polisi kewangan oleh Rizab Persekutuan. Sehingga kini, unjuran inflasi jangka panjang sudah meningkat kepada 1.85%, tidak jauh daripada paras yang diunjur para penggubal dasar iaitu 2.0-2.5%. Inflasi yang berlaku akan menyebabkan nilai dolar menyusut. Sehinggakan pada satu tahap, bagi mengelakkan kejatuhan nilai matawang AS yang pasti, pihak Rizab terpaksa menghentikan lambakan wang murah ke dalam ekonomi mereka serta memulakan kitaran pertambahan kadar faedah utamanya walaupun mereka enggan berbuat demikian.

Selain itu, Eropah mungkin lebih berminat untuk menghentikan pertumbuhan kadar pasangan EUR/USD lebih daripada AS. 

Sejak pertengahan Mac 2020, nilai euro hampir terus mengalami pengukuhan berbanding dolar. Semua itu berlaku walaupun pada hakikatnya pihak ECB telah mencetak lebih daripada €2.2 trilion dalam masa setahun serta menetapkan kadar faedah negatif.

Terdapat pengiraan yang menunjukkan pengukuhan euro sebanyak 10% mengurangkan KDNK di Eurozone kira-kira 1%. Bayangkan jika kadar EUR/USD terus meningkat ke paras 1.40 seperti yang diramal oleh Citigroup. Pertumbuhan seperti itu mampu memberi tamparan hebat kepada eksport Eropah. Siapa yang mahu membeli barangan dari EU pada harga yang kian meningkat? 

Pihak ECB sudah pun memiliki peluang untuk mengurangkan nilai euro berbanding dolar. Namun ia tidak berlaku: para penggubal dasar di Eropah mengambil keputusan untuk tidak masuk campur dalam hal ehwal pasaran tukaran asing dan hanya mengehadkan pada “memantau kadar tukaran”. Namun, menurut kebanyakan penganalisis, melihat pada pertumbuhan pasangan itu ke paras sekitar 1.25, pihak ECB akan dipaksa untuk mengambil langkah yang amat serius bagi menghentikan pertumbuhan nilai matawangnya ke paras yang lebih tinggi. Tidak mustahil program bantuan terhadap ekonomi EU seterusnya yang berjumlah €2 atau €3 trilion akan diguna pakai tidak lama lagi. Mengikuti tindakan yang diambil oleh Eropah, langkah yang hampir serupa bakal diambil oleh bank-bank pusat di Great Britain, Kanada, China dan lain-lain negara. Jika 2019-2020 dikenali sebagai Perang Dagangan Dunia, tahun 2021 bakal dikenali sebagai Perang Matawang Dunia.

Namun begitu ... mungkin kita akan dapat melihat kedua-duanya pada masa yang sama.   

Selamat Tahun Baru, 2021! Ia pasti menjanjikan keseronokan!

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami